Sunday, February 8, 2015

MTA 073 : JOHORKU IX : SEJARAH DAERAH KLUANG

KEMBARA
JOHOR

SEJARAH DAERAH KLUANG

.

Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

Bandar Kluang terkenal Kopi Stesen Keretapi Kluang atau jenama komersilnya 'Kluang Rail Coffee'. Selain beroperasi sejak dahulu di stesen keretapi Kluang, sekarang banyak telah membuka franchise di negeri-negeri lain. 

Berita menggemparkan.....

HARIAN METRO
MARCH 25, 2011
Sah, KLUANG RAILCOFFEE Jual Kopi Haram - Jabatan Agama Johor.

JOHOR BAHRU: Sebuah Kai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dandikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin babi.

Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan memang ada gelatin babi dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan.

“Sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin babi.

“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal.

“Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,” katanya.

Difahamkan, pengusaha premis terbabit akan hadir ke pejabat JAJ, hari ini. Selain di Johor, kedai kopi itu dikatakan turut memiliki cawangan di Lembah Klang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya menghantar lima pegawai ke premis terbabit, kelmarin.

“Selepas menerima aduan menerusi SMS, kami melakukan pemeriksaan di premis itu dan mendapati memang tiada tanda logo halal dipamerkan di situ.

“Berikutan itu, kami tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdul Hamid, jika premis terbabit memaparkan logo halal, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

Sehubungan itu, menasihatkan pelanggan beragama Islam supaya berhati-hati memilih lokasi untuk menjamu selera.

“Sepatutnya orang Islam memastikan tanda logo halal sebelum memasuki sesuatu premis itu kerana dalam kes ini, tiada langsung logo berkenaan dipamerkan tapi pengguna Islam masih ke situ untuk menjamu selera.

“Pada masa sama, pengusaha terbabit juga perlu lebih bertanggungjawab kerana premis perniagaan mereka sering dikunjungi pelanggan beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Bumiputera Johor Bahru berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengusaha premis terbabit secepat mungkin dan menasihati pengusaha berkenaan supaya mempamerkan kandungan minuman dan makanan kepada pelanggan.

“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang selepas melihat sebaran berkaitan isu berkenaan di Internet dan laman web sosial,” katanya.

Itu 2011...yang terkini

Kluang Rail Coffee Halal 

Kluang Rail Coffee diperakui halal oleh JAKIM. 7 cawangan mempunyai sijil Halal Malaysia aktif di bawah kumpulan syarikat Kluang Rail Coffee (COMP-20110419-010023), dengan sijil sah sehingga 30 April 2027.


STESEN KERETAPI KLUANG

 
 
 
Stesen Keretapi Kluang (lama)

Stesen baru

Satu lagi kenangan PENULIS mengenai bandar Kluang ialah apabila mengimbas kenangan atau nostalgia perjalanan penulis dengan keretapi Sinaran Pagi dari Kluang ke Seremban iaitu sebahagian dari perjalanan untuk melapor diri ke Sekolah Pegawai Kedet, Port Dickson pada 2 April 1980.

Keretapi mel berhenti di begitu banyak stesen kecil penumpang naik/turun atau tidak. Kebanyakannya adalah stesen-stesen kecil yang uzur, semak, kotor di estet-estet, kebanyakan pengguna adalah pekerja estet yang majoritinya bangsa India - kanak-kanak naik ke keretapi menjual air teh dalam tin susu, karipap, nasi lemak, goreng pisang. Yang agak 'menggelikan' dan menyebabkan aku tidak selera untuk membeli ialah, teh panas itu dijual di dalam tin-tin susu yang telah digunakan, yang diikat dengan tali untuk dijadikan pemegang....good for recycling...but the hygiene was questionable".

Masih terungat nama-nama stesen kecil (dalam negeri Johor) selepas Kluang seperti Niyor, Chamek, Batang Ridan, Paloh, Beradin, Jagoh, Bekok, Lenek, Labis, Tenang, Genuang, Segamat (stesen besar), Buloh Kasap, Batu Anam dan Gemas. Keadaan 80% dari kesemua stesen tersebut juga kelihatan amat daif.

Apa yang menarik ialah cara mereka mendendangkan lagu jualan adalah sama antara stesen-stesen tersebut;

"nasiiii lemak, goreng pisang, teh panassssss"...kadang ada karipap.

Keretapi hanya berhenti lebih kurang satu minit sahaja di setiap stesen kecil ini. Apabila keretapi bergerak perlahan-lahan, mereka (budak-budak penjual ini) akan turun semula. Mereka menunggu keretapi mel yang akan datang.

Aku menghargai penulis zkeretapi.blogspot.com yang mengambil banyak gambar untuk aku impot sebagai bukti apa yang aku lihat dulu. Setelah lebih 30 tahun, keadaan banyak berubah. Dengan wujudnya rangkaian jalan raya yang menghubungkan pekan-pekan kecil dan kawasan kampung, maka keperluan pengangkutan kreta api semakin kecil. Banyak stesen kecil yang telah ditutup atau tidak berfungsi. Stesen-stesen yang dikekalkan telah diroboh dan dibina semula dengan bangunan yang lebih cantik dan bersistem.


Renggam adalah sebuah pekan kecil yang lambat menerima pembangunan. Pada asalnya ia adalah sebuah pekan utama kepada beberapa estet di selatan Kluang. 
Pekan ini hanya terdiri dari beberapa deret bangunan lama yang masih tersergam dan masih digunakan bagi tujuan perniagaan. Di bahagian atas bangunan-bangunan ini tercatat tahun ianya dibina. Jelas, bangunan-bangunan ini telah dibina sejak sebelum merdeka lagi.

Asal usul nama Renggam diceritakan (lisan) bermula pada sekitar tahun 1950 iaitu peristiwa letusan Gunung Berapi Krakatau. Pada tahun 1950 telah wujud penempatan baru disekitar daerah Kluang selatan. Sebuah bukit telah terbelah dua dan menjadi renggang yang masih boleh dilihat sehingga kehari ini. Peristiwa 'renggang'nya bukit itu menjadi sebutan ramai. Sebutan 'Renggang' lama kelamaan telah menjadi 'Renggam'. Itulah asal usul nama Renggam yang telah digunapakai dari dahulu sehingga kini.

Sejarah Bandar Renggam tercatat dalam Muzium British di United Kingdom iaitu ia telah menerima kunjungan Ratu Elizabeth II dan Ratu Victoria pada tahun-tahun 1950'an. Sebagai penempatan utama pada masa itu, ia telah menjadi tumpuan Kolonial Inggeris yang memiliki ladang-ladang besar seperti Ladang Guthrie, Ladang Ulu Remis dan sebagainya yang masih kekal sehingga kehari ini.

Dahulunya, ketika pengangkutan keretapi menjadi pilihan utama, pekan Renggam lebih maju dari Simpang Renggam, Namun, pekan Renggam agak lambat (berbanding Simpang Renggam) mengikuti arus pembangunan kerana kedudukannya yang jauh dari lebuhraya dan jalanraya utama Persekutuan.  Ia boleh dianggap sebagai pekan mati.

 
 
Pekan Rengam (bangunan lama yang masih ada)

Simpang Renggam


Pekan Simpang Rengam- pesat membangun dan menjadi pusat pentadbiran Majlis Daerah Simpang Rengam yang dipecahkan dari MD Kluang apabila Kluang dinaikkan taraf Majlis Perbandaran.

Paloh

Paloh adalah sebuah pekan yang agak terpencil dari laluan utama (jalan persekutuan dan lebuhraya) menyebabkan ia lambat menerima pembangunan. Penduduknya lebih kurang 17,000 orang dan seimbang antara ketiga-tiga kaum utama. Jaraknya 35 km dari Kluang dan 32 km dari Yong Peng. Aktiviti utama adalah pertanian perladangan (getah dan sawit).

Nama Paloh, Johor dikatakan berasal daripada istilah yang merujuk kepada bentuk muka bumi kawasan berpaya, serta penyesuaian sebutan daripada perkataan dialek Cina.  Ia disesuaikan dengan keadaan muka bumi Paloh itu sendiri (ketika awal penerokaannya) merupakan kawasan tanah rendah yang berlekuk, berair, atau lubuk yang menakung air.

Namun sejak sistem pengangkutan bertambah baik, pembangunan di pekan Paloh telah banyak kelihatan.

 
 
Pekan Paloh yang masih terpinggir dari arus pembangunan


No comments:

Post a Comment