Thursday, February 26, 2015

MTA 106 : ALKISAH BANGSA JOHOR


ALKISAH BANGSA JOHOR


CAKAP DAN BAHASA ORANG JOHOR

Bahasa Melayu Johor-Riau. Bahasa Melayu yang dituturkan sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia sekarang adalah berasaskan kepada Bahasa Melayu Johor-Riau yang asalnya digunakan oleh penduduk Johor, Riau, Melaka dan Singapura. Sejarah ini adalah berasaskan kepada kedudukan dan pengaruh Kerajaan Melaka dan Johor-Riau yang terletak ditengah-tengah Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) dan mejadi pusat pertemuan pedagang dari pelusuk dunia khususnya China, India, Parsi dan Arab sejak abad ke 15. Bahasa Melayu dialek Johor-Riau telah menjadi bahasa perantaraan di kalangan para pedagang dan menjadi lingua franca di wilayah ini. Pastinya penulis (walaupun berketurunan Jawa, merasa bangga kerana bahasa pertuturan negeri kelahiran penulis dijadikan asas kepada Bahasa Melayu yang piawai (standard).

Gaya percakapan bangsa Johor juga mempunyai keunikan yang tersendiri. Walaupun orang Johor bertutur dalam Bahasa melayu standard, terdapat banyak istilah khusus yang hanya digunakan oleh orang Johor. Penulis ingin berkongsi dengan pembaca dari negeri-negeri lain mengenai beberapa keunikan tersebut.

Pengakhiran Percakapan Dengan Bunyi ‘Ekkk’ dan ‘No’. Perkataan ‘ekk’ adalah trademark untuk orang Johor (Johorean). Perkataan 'ekk' ini sering diucapkan di hujung ayat dalam perbualan dan biasanya ia berbentuk question mark?. Contohnya: "Ni awak punya ekk?", "Nama awak sapa ekk?", "Kenapa kita punya tak cantik macam awak punya ekk?", "Ini gambo adik awak ekk?" dan macam-macam 'ekk' lagi.

Jadi jika anda berbual dengan seseorang (terutamanya wanita) dan selalu terkeluar perkataan ‘ekk’ dihujung ayatnya, confirmed ‘Orang Johor". Satu lagi kegemaran orang Johor ialah menambah perkataan “no” bermaksud betul atau sungguh. Contoh: banyak no, suka no, kuat no. Orang Johor juga suka menyoal atau menyampuk dengan kata “ye ke?” Seolah-olah masih belum berpuas hati.

Johor Versus Johor Bahru. Jika rakan anda datang luar Johor dan mendengar perbualan sesama orang Johor (berada di dalam negeri Johor) yang berbunyi, “Esok kami sekeluarga nak ke Johor” atau, “petang ni kami nak balik Johor”, anda tentu agak pelik mendengarnya, kenapa sudah ada dalam Johor hendak balik ke Johor pula?.

Oleh itu, jika anda mendengar kawan anda berkata seperti itu, anda tidak perlu bertanya lagi "Eh, kan sekarang kita dah ada kat Johor?". Apa lagi memandai-mandai menambah perkataan ‘ekk' dalam soalan, contoh; "Eh, kan kita dah ada kat Johor ekk?".

Bagi orang ‘bangsa Johor veteran’ perkataan Johor yang disebut itu bermaksud bandar Johor Bahru. Tapi itu dulu. Anak-anak Johor moden mungkin sudah berubah dan lebih spesifik dengan menyebut atau ‘Jay Bee’ sahaja.

Sebut ‘MUAR’ Bunyinya 'MUO'. Orang Johor menyebut perkataan yang dieja dengan dua huruf terakhirnya "AR" dengan bunyo "O" (dengan memuncug dan menjuihkan bibir). Contohnya, keluar, ular, seluar, tiar, besar, selipar dan belukar dengan bunyi 'keluo', 'ulo', 'seluo', 'tiko', 'beso', 'selipo' and 'beluko'. Contoh ayat,

"Suruh keje dia mengulo je, kata nak pegi bando Muo kejap je, tapi keluo pagi balik lepas Aso. Bila kena marah, tangan terketo-keto. Nampaknya, memang nak kene penampo budak ni."

Kata orang lagi, bila menyeberangi sempadan Melaka, bunyi dialek sebutan akan bertukar menjadi

“Suruh keje dia mengulau je, kata nak pegi bandau Muau sekejap je, tapi keluau pagi balik lepas Asau. Bila kena marah, tangan terketau-ketau. Nampaknya,memang nak kena penampau budak ni.”

Gurau Kasar Orang Johor. Orang Johor agak sukar untuk terlalu serius dalam sesuatu hal kecuali yang terlalu peribadi. Kebanyakan orang Johor agak loyar buruk atau suka buat kelakar secara bersahaja. Anda boleh lihat gaya bahasa Jep, Mamat dan Shuib (SEPAH) Raja Lawak. Begitulah karakter bangsa Johor. Kadang-kadang mereka buat perangai 'bigo'. ‘Bigo' bukanlah dari perkataan 'bigar' tetapi ia bermaksud perangai 'bodoh-bodoh atau gila-gila'. Orang luar kadang agak rimas dengan gaya gurau orang Johor. Bagaimanapun, generasi baru anak-anak Johor mungkin sudah berbeza.

Berendut Dengan Budak Begetah. 'Endut' bermaksud buah hati atau kekasih (tidak kira lelaki atau perempuan), dan ‘berendut' maksudnya sedang bercinta (couple). Contoh:

"Haa...kau dah ada endut ekk? Semalam ko berendut kat mana ekk? Ko ni, orang berendut ko pun nak berendut jugak ekk".

'Bergetah' atau 'begetah' bermaksud perempuan yang cantik dan menarik untuk dipikat. 'Budak tu begetah ekkk" atau... "eeee...makcik tu umo dah 50 tapi masih begetah lagi ekkk!".

Haram Jadah. Perkataan ‘haram jadah’ boleh disebut sebagai bahasa seranah orang Johor. Ini adalah sedikit keunikan yang negatif bagi orang Johor. Walaupun bunyinya memang amat kasar (malah kadangkala ada yang suka menyebut anak haram) tetapi sebenarnya ia tidaklah sebegitu teruk maksudnya. Sepertimana orang Barat (khususnya orang Amerika) yang suka menyebut ‘fuck you’ @ ‘fucking shit’ @ fuck all @ bull shit, walaupun bunyinya seperti mencarut dan menjijikkan tetapi maksudnya tidak seteruk itu. Perkataan ‘haram jadah ini hanya untuk melahirkan perasaan marah yang amat sangat apabila seseorang itu ditipu atau disakiti hatinya. Ia bermaksud ‘kurang ajar’ atau ‘sial’. Ia lebih banyak digunakan oleh wanita yang berumur empat puluhan ke atas sahaja. Contohnya apabila melibatkan kes seperti barangannya diragut, pokok bunga yang disukai jatuh pecah atau terjatuh akibat terpijak kulit pisang. Maki atau seranah ‘haram jadah’ itu ditujukan kepada peragut, orang yang melanggar pasu bunganya dan orang yang membuang kulit pisang merata-rata.

Nota : Sejarah perkataan ‘haram jadah’ ini, mengikut ceritanya bermula di Tanah Suci Makkah. Di Arab Saudi, orang menyebut tanah haram Makkah dan Madinah dengan sebutan “Haram’. Kalau dua-dua disebut ‘Haramain’. Jeddah ialah bandar pelabuhan dan lapangan terbang terdekat dengan Kota Makkah.

Perkhidmatan teksi dari Makkah ke Jeddah biasa disebut teksi Haram Jeddah (dari tanah Haram Makkah ke Jeddah). Bila ditanya, naik teksi mana untuk ke Jeddah, orang akan kata teksi Haram Jeddah.

Menurut ceritanya, pada suatu ketika dahulu (di tahun 50an) ada sepasang jemaah haji dari Johor pergi membeli belah di Jeddah dengan menaiki teksi dari Makkah ke Jeddah. Perjalanan perginya tiada masalah. Dalam perjalanan balik ke Makkah, mereka telah ditipu oleh pemandu teksi tersebut. Pemandu tersebut menurunkannya jauh dari tempat penginapan. Pasangan penumpang tadi amat marah dan memaki hamun pemandu teksi tersebut. Tetapi pemandu yang telah menerima tambang semasa memulakan perjalanan tadi, buat bodoh dan pergi meninggalkan mereka. Sepanjang berjalan membawa barang-barang yang dibeli menuju ke rumah penginapan, mulut si isteri tidak berhenti memaki hamun pemandu teksi itu.

Bila sampai di rumah penginapan, dia masih marah-marah. Lalu ditanya oleh kawan-kawan jemaah yang lain tentang apa yang berlaku. Dia pun bercerita yang dia ditipu oleh pemandu teksi Haram Jeddah tadi. Bila sudah balik kampung dia masih bercerita kena tipu teksi Haram Jeddah. Lama-lama sumpah seranahnya itu jadi ikutan orang kampung dan mungkin jemaah hai lain lalu tersebar ke sebahagian orang Johor yang lain. Tetapi, bagi orang yang kemudian yang tidak tahu asal usul teksi Haram Jeddah ini, mereka semakin memudahkan sebutannya dari Haram Jeddah kepada ‘haram jadah’ sahaja.

Jaki. Jaki bermaksud kurang lebih macam 'meluat' atau 'tak suka' atau 'benci'. Kadangkala ia boleh memberi makna 'dengki' dengan pencapaian seseorang lain. Contoh ‘jaki bermaksud meluat, "Dia tu asyik nak cerita pasal sedara-mara dia yang kaya-kaya je, jaki betul aku dengar". Contoh ‘jaki’ bermaksud dengki, “Mentang-mentang lah dapat first class degree, ramai yang nak bergambar dengan dia, jaki betul aku”.

Simpan Baju Dalam Gerobok. Kebanyakan orang Johor tidak menggunakan perkataan almari untuk tempat menyimpan baju (wardrobe). Kita panggil ‘gerobok’ atau dipendekkan ‘gobok’ ta GEROBOK or GOBOK. Tetapi bukan ‘gubok’ kerana gubok adalah bahasa Jawa sudah membawa mana pondok rehat di kebun. Manakala ‘gabuk’ bermaksud mandul. Contoh; "Ni, mak dah lipat semua baju-baju ni, pegi simpan dalam gerobok!”

TV Singapura. Sebelum adanya ASTRO dan juga internet yang boleh melanggan rancangan televisyen (TV), terutamanya dalam tahun 1970an dan 1980an, penduduk Malaysia hanya menonton televisyen dari Rangkaian (RTM) 1 dan RTM 2 sahaja. Kemudian baru ada TV3 dan TV4. Bagi penduduk Negeri Johor terutamanya yang tinggal di daerah , Kulai, , Kluang Selatan, Batu Pahat dan Pontian mereka mendapat lebih pilihan dari saluran TV Singapura. Malah TV Singapura menayangkan cerita-cerita yang lebih terkini berbanding TV Malaysia, terutamanya filem luar negara. Kalau orang Johor datang ke KL dan menonton filem di TV, mereka akan kata “kita dah tengok cerita ni, kat Johor dah tunjuk lama dahhhh”.

Epok-epok, Onde-onde dan Jemput-jemput. Sebelum meninggalkan Johor pada tahun 1977 (ke Sekolah Alam Shah), penulis tak pernah dengar apa itu kueh karipap (curry puff). Kueh yang sama di Johor aku panggil 'epok-epok'. Begitu juga dengan nama kueh 'buah melaka' atau ada yang panggil 'kueh bom'. Orang Johor (aku) panggil dengan nama 'onde-onde'. Lagi satu istilah (nama kueh) baru yang aku tahu selepas keluar dari tanah Johor ialah ‘cekodok’ kerana penulis panggil ‘jemput-jemput’. Contoh: jemput-jemput pisang, jemput-jemput jagung dan sebagainya. Itulah sedikit dari banyak perbezaan nama kueh antara orang Johor dengan negeri lain.

Peliknya, dalam keadaan nama kueh yang satu perkataan berubah menjadi 'kata berganda' ada pula nama kueh yang namanya adalah perkataan berganda iaitu 'AGAR-AGAR' tetapi bila berada di Johor namanya berubah menjadi 'LENGKONG".

 
Epok-epok
 
Onde-onde
 
Jemput-jemput
Lengkong

Karipap ada pelbagai perasa, bergantung kepada inti di dalamnya. Antara jenis-jenis karipap ialah karipap daging, karipap ayam, temosa (karipap ikan), karipap sardin dan karipap pusing. Bentuk epok-epok Johor ada yang berbentuk bulat seperti piring terbang.

Onde-Onde juga sejenis kueh tradisional. Ia diperbuat dari tepung beras pulut. Onde-onde berbentuk bulat seperti bola dan isinya (intinya) adalah inti kelapa atau kacang hitam dan ia digoreng dan disalut dengan biji bijan. Orang luar Johor menyebutnya sebagai kueh bom dan ada juga menyebut buah Melaka. Kueh buah melaka bagi orang Johor ialah jenis kueh bulat dari tepung pulut juga yang direbus dan disalut dengan kelapa dan isinya ialah gula melaka (yang cair).

Kalau tanya orang Johor, apa itu kueh bom?, jawapannya adalah berbeza. Ia berbentuk bulat juga dan diperbuat dari tepung gandum dan tidak berisi inti. Ia dimakan dengan dicicah dengan sambal kicap, sambal tumis, sos cili atau sambal kacang.

BUDAYA DAN PAKAIAN

Baju Kurung Johor (Telok Belanga). Johor mempunyai fesyen baju kurung lelaki (baju Melayu) dan wanitanya yang dipanggil baju kurung Telok Belanga. Telok Belanga adalah nama satu tempat di Singapura (satu ketika dahulu sebahagian dari Johor) di mana letaknya istana Temenggung Daing Ibrahim. Perbezaan baju kurung Johor ialah di bahagian lehernya. Kalau baju Melayu kebangsaan fesyen lehernya dipanggil ‘cekak musang’.

Baju Melayu Telok Belanga 

Sehingga hari ini jika ada majlis rasmi yang melibatkan istana Johor atau kehadiran Sultan atau kerabat Diraja, para hadirin dimestikan memakai 'baju kurung Telok Belanga'.

Tarian Zapin. Tarian zapin cukup sinonim dengan negeri Johor. Tarian zapin (asalnya Al Zaffan bermaksud penari) yang berasal dari Yaman untuk hiburan di kalangan istana telah dibawa ke Timur dan diperkenalkan oleh pedagang Arab dalam abad ke 13. Tarian ini secara tradisinya ditarikan oleh golongan lelaki sahaja dan kemudiannya setelah ia mula berkembang luas, tarian ini telah ditarikan secara berpasangan antara penari lelaki dan wanita dengan gerak tari yang melambangkan sifat-sifat diri golongan tersebut.

Struktur utama persembahan zapin Melayu ialah pembahagian persembahan kepada tiga bahagian iaitu taksim, ragam dan kopak, dan wainab. Muzik lagu yang mengiringi tarian zapin terdiri daripada lagu Lancang Kuning, Naan Sidi, Ya Salam, Zapin Budi, Zapin Pekan, Ya Ladan dan banyak lagi. Penarinya mengenakan busana baju kurung Teluk Belanga dikancing dengan butang emas ataupun suasa, kain sampin, seluar dan songkok. Penari wanita juga berbaju kurung Teluk Belanga dan sampin dagang luar, bersanggul atau bertudung dipadankan dengan aksesori rantai emas.

Seni Muzik Ghazal. Ghazal merupakan kesenian tradisional yang agak popular. Pada permulaannya, ini disebut sebagai ‘gamat’ yang bererti nyanyian dan beriuh rendah berasal dari Tanah Arab. Pada abad ke-19, kerajaan Johor menjalin hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga. Beberapa bangsawan Johor yang berulang-alik Riau mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kepada Sultan Johor pada ketika itu di Teluk Belanga, Singapura.

Perkembangan ghazal di Johor dikaitkan dengan Allhayarham Datuk Bentara Luar, Mohd. Salleh Bin Perang yang memperkenalkan permainan ghazal dalam majlis-majlis keramaian rasminya.

Kumpulan Ghazal terdiri daripada Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do (Gendang). Kemudian ini ditambah dengan beberapa alat yang sesuai seperti gitar, kecapi Jepun, Keroncong dan Marakas. Setelah itu dicampurkan dengan alat muzik lain seperti ukeleli dan sebagainya. Oleh kerana terlampau mengganggu serta menghilangkan silau dan lemah lembut lagu Melayu maka alat itu dibatalkan.

Muzik ‘ROCKERS’. Orang Johor dikatakan menerima pengaruh budaya Barat lebih awal dari orang Kuala Lumpur. Ini kerana budaya Barat masuk ke Johor melalui Singapura. Singapura jauh lebih maju lebih awal dari KL dan lebih ramai bangsa Eropah tinggal di Singapura. Kalau anda membaca sejarah Johor, Sultan Johor merupakan Raja Melayu yang awal mengahwini wanita Eropah. Kecuali Almarhum Sultan Ismail, semua Sultan Johor moden seperti pernah mengahwini wanita Eropah.

Salah seorang isteri Almarhum Sultan Abu Bakar (memerintah Johor, 1862 - 1895) ialah Cecilia Catherina Lange (Che Puan Zubaidah) berbangsa Denmark. Beberapa orang isteri Almarhum Sultan Ibrahim (1895 - 1959) yang berbangsa Eropah ialah Lady Helen Bartholomew (Sultanah Helen) berbangsa Inggeris, Lady Marcella Mendl (Sultanah Marcela @ Fawziah) berbangsa Romania. Manakala isteri pertama Almarhum Sultan Iskandar (1981 - 2010) ialah Lady Josephine Ruby Treverrow (Che Puan Kalsom) yang berbangsa Inggeris iaitu bonda kepada Sultan Ibrahim, Sultan Johor sekarang. Malah, melalui sumber sebuah portal aku menemui maklumat bahawa Sultan Ibrahim juga pernah berkahwin dengan seorang wanita Barat bernama Vivien Theresa Johnson.

Ketika Raja-Raja Melayu lain masih berpakaian baju Melayu labuh dan tinggal di istana kayu, Sultan Johor sudah memiliki harta benilai jutaan Pound Sterling serta mempunyai rumah di London dan telah mampu mengelilingi dunia menaiki kapal laut.

Oleh itu, tidak hairan jika kebanyakan kumpulan awal muzik Rock yang top di Malaysia berasal dari Johor, seperti Amy (Suhaimi) Search, Zainal Abidin, Tam Spider, Hurricane, Crossfire, Gersang, Bumiputra Rockers dan Nash Lefthanded.

Banyak lagi perkara istimewa dari Johor untuk diceritakan. Selain dari perkara yang disebut di atas, Johor juga popular dengan produk pasu tanah liat (clay) dan porcelain yang berkualiti dari Ayer Hitam. Dari dulu-dulu lagi, selain dari pasu tanah liat Sarawak kalau di Semenanjung Malaysia, pasu Ayer Hitam menjadi pilihan. Pada tahun 1980an, ketika corak pasu Sarawak masih kekal dengan identiti lama, pasu Ayer Hitam telah mempelbagaikan coraknya yang kontemporari. Ayer Hitam menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Johor juga merupakan pengeluar terbesar produk makanan ringan tradisi yang dihasilkan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana. Produk seperti kerepek pisang (atau ubi, keladi, keledek da sukun), pisang salai, rempeyek serta bahulu gulung adalah sinonim dengan makanan tradisi masyarakat Jawa di Johor. Pekan Parit Raja merupakan pusat membeli-belah produk seperti ini, diikuti oleh daerah Muar dan Pontian. Hari ini, selain Johor, daerah Kuala Langat, Kuala Selangor dan Tanjung Karang merupakan pengeluar skala besar bagi produk ini.

SIFAT MELAYU JOHOR

Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang, dalam satu sajaknya telah menukilkan sifat Melayu Johor. Antaranya Usman Awang menyebut bahawa orang Johor ini: 

kurang ajarnya tetap santun,
lembutnya cukup jantan,
dajalnya masih selamba,
nakalnya bersulam jenaka,
menikam dengan pantun,
menyanggah dengan senyum,
marahnya dalam tertawa,
merendah bukan menyembah.
meninggi bukan melonjak.

Pelukisan watak Melayu itu dicerna melalui pengetahuan dan pemerhatian terhadap budaya yang membentuk watak Melayu dalam sejarah yang begitu panjang sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka membawa kepada Kerajaan Johor-Riau, Kesultanan Melayu Johor, penentangan terhadap penjajahan British, liku-liku perjuangan kemerdekaan negara dan mengisi kemerdekaan sehinggalah ke hari ini.

Sumber rujukan:

No comments:

Post a Comment