Friday, February 20, 2015

MTA 084 : JOHORKU XIII: SEJARAH DAERAH SEGAMAT


KEMBARA
JOHOR

SEJARAH DAERAH SEGAMAT



Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat' atau ‘segar amat'. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis.

Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendahara Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.



Bandar Segamat


Daerah Segamat mempunyai keluasan 2,807 km persegi dengan jumlah penduduk 198,000 orang (2020). Terdapat 11 buah Mukim dalam daerah Segamat iaitu:
  1. Mukim Labis.
  2. Mukim Buloh Kasap.
  3. Mukim Chaah.
  4. Mukim Gemas.
  5. Mukim Bekok.
  6. Mukim Gemereh.
  7. Mukim Jabi.
  8. Mukim Jementah.
  9. Mukim Pogoh.
  10. Mukim Sermin.
  11. Mukim Sungai Segamat
Bandar dan pekan utama dalam daerah Segamat adalah bandar Segamat, pekan-pekan Labis, Tenang, Sungai Karas, Batu Anam, Bekok, Buloh Kasap, Ayer Panas, Chaah, Jementah dan Gemas Baharu.

Labis

Labis pula adalah pekan kedua terbesar dalam daerah Segamat. Kali pertama penulis sampai ke pekan Labis ketika penulis di sekolah menengah kerana abang penulis Md Jahrom (Long) bernah bertugas di Felda Chemplak. 

Kononnya berpuluh-puluh tahun dahulu, Labis belum lagi dikenali sebagai nama 'Labis' sehinggalah menurut cerita orang tua-tua bahawa asal nama tempat ini adalah daripada perkataan 'labi-Iabi'.Pada masa itu kawasan Labis masih diliputi hutan tebal. Binatang-binatang liar masih berkeliaran dan di situ kawasan paya terdapat banyak labi-labi. Labi-labi ialah sejenis binatang yang mempunyai bentuk badan serupa dengan kura-kura dan tuntong.

Menurut cerita daripada orang-orang dahulu, kawasan yang menjadi tumpuan labi-labi ialah Sungai Paya Merah. Pada ketika itu, Sungai Paya Merah ini ditumbuhi sejenis rumput yang berupa seperti pokok tebu kecil setinggi tiga ela. Tetapi yang menghairankan, rumput ini hanya tumbuh di tepi sungai tanah paya itu dan tidak terdapat di tepi sungai lain. Jenis rumput ini telah menjadi makanan kegemaran labi-labi. Anehnya, apabila rumput ini hampir mati layu, ia akan bertukar menjadi warna merah. Selepas layu, ia akan terendam ke dalam sungai, warna merah yang ada pada tumbuhan ini akan meluntur keluar dan mewarnai air sungai menjadi merah seperti darah.daripada sinilah, orang kampung menamakan sungai itu sebagai Sungai Paya Merah dan kampung mereka sebagai Labi-labi.

Kira-kira pada kurun kesembilan belas, orang putih melawat Kampung Labi-labi. Mereka hairan dan terperanjat melihat banyak labi-labi merayap lalu bertanya akan nama binatang tersebut. Penduduk disitu pun menjawab, “Labi-labi tuan,” berulang kali. Tetapi pegawai orang putih itu menggelengkan kepala seolah-olah tidak faham.Kemudian, pegawai itu pun berfikir sejenak dan tersenyum, “Labis, oh these are Labis.” Pada pendapat orang putih kata jamak perkataan labi-labi dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai Labis. Maka, nama Labi-labi yang digunakan kemudian ditukarkan kepada Labis atas nasihat pegawai Inggeris itu.

Maka, orang ramai pun datang beramai-ramai membuka petempatan di sekitar paya itu. Sawah padi telah dibuka. ‘Rumput merah’ yang dikenali oleh penduduk kampung dibersihkan dan labi-labi yang banyak itu kehilangan sumber makanan utama. Selepas kejadian itu, bilangan labi-labi kian berkurangan. Akhirnya labi-labi tidak lagi kelihatan di Labis sehinggalah sekarang.

Labis dahulunya adalah gabungan beberapa buah kampung melayu di antaranya Kampung Paya Merah, Kampung Tenang dan Kampung Sg Gatom. Penduduk bersawah padi untuk mendapatkan beras sebagai sumber makanan utama disamping ternakan ayam dan itik kampung Terdapat sebuah ladang getah yang dibuka oleh penjajah Inggeris dikenali sebagai North Labis Estate dan beberapa di sekitar Labis dan ladang Kelapa Sawit di Chaah telah membawa kepada kemasukan kaum India sebagai buruh di ladang.

Bandar Labis, pekan Chaah dan Bekok pula suatu masa dahulu adalah kawasan penempatan semula kaum Cina semasa berlaku darurat, di mana kerajaan membina rumah-rumah tersusun untuk menempatkan dari kawasan pendalaman dan hutan dari diburu atau dipengaruhi pengganas komunis pada masa itu.

Pekan Labis

Tenang

Kampung Tenang telah dibuka oleh Mohamad Ariffin bin Allauddin atau juga dikenali sebagai Tok Tenang, pada awal abad ke-19 iaitu dalam tahun 1806 Masihi bersamaan 22 Ramadhan 1221 Hijrah. Dari saat itu Kampung Tenang mula membangun mengikut peredaran masa.

Tenang telah ditadbirkan mengikut susunannya sendiri dimana Mohd Ariffin sebagai Ketua Pentadbir dan Ketua Agama. Keadaan ini berubah semasa pentadbiran anak Mohd. Ariffin iaitu Hj. Abu Bakar bin Mohd. Ariffin setelah setelah Perang Jementah berlaku pada tahun beliau berumur 117 tahun. Semasa pentadbiran Hj. Abu Bakar bin Mohd. Ariffin. Ketua Pentadbiran dipegang oleh beliau sendiri sementara Ketua Agama dipegang oleh abangnya iaitu Abu Hassan bin Mohd Ariffin.

Pekan Tenang

Semasa Perang Jementah berlaku, Tenang menyebelahi Johor, menentang Segamat, Jementah dan Kesang. Setelah Segamat dan Jementah jatuh ke tangan Johor, Hj. Abu Bakar Bin Mohd. Ariffin telah dilantik oleh Maharaja Abu Bakar sebagai Penghulu Mukim Tenang/Juasseh. Hj. Abu Bakar tidak bersetuju dengan sikap Maharaja Abu Bakar dan telah melepaskan jawatannya sebagai penghulu Tenang/Juasseh kepada anak saudaranya iaitu Yaakob bin Abu Hassan. Semasa Dato Seri Amar Diraja Johor menjadi Menteri Besar Johor pemetaan Negeri Daerah dan Mukim dibuat semula. Mulai dari saat itu Mukim Tenang/Juasseh dikenali sebagai Mukim Labis.


Jementah

Pekan Jementah terletak kira-kira 38.1 km dari bandar Segamat ke arah bandar Tangkak. Terdapat dua versi bagaimana Jementah mendapat namanya. Versi pertama, dikatakan sewaktu tempat ini mula-mula dibuka, sesetengah penduduk kampung pada ketika itu mengadu "Jemu, jemu, jemu! Asyik-asyik menebas lalang saja!" yang lain pula menyahut "Entah, entah, entah!" . Penduduk setempat percaya dalam perkataan Melayu, iaitu Jemu dan Entah digabungkan menjadi Jementah.

Versi kedua pula, penduduk pada ketika itu jemu mencabut lintah yang menghisap darah sewaktu mereka sedang bekerja. Akibat daripada itu, perkataan Jemu dan Lintah dicantumkan menjadi Jementah.

Pekan Jementah

Cerita versi pertama tadi mempunyai satu lagi cerita yang hampir sama. Dalam daerah Segamat, ada satu tempat yang dipercayai banyak emas. Ramailah orang luar datang ke situ. Mereka ingin mencari emas di situ. Mereka ingin cepat kaya. Mereka mendapati tempat itu masih dipenuhi hutan. Mereka pun mula menebang pokok-pokok dengan menggunakan kapak. Mereka mula menebang pada waktu pagi. Apabila petang, banyak lah pokok yang sudah ditebang. Mereka sangat gembira. Mereka pun berehat kerana hari hampir malam.

Pagi esoknya mereka terkejut. Pokok-pokok yang ditebang telah bercantum. Kawasan itu menjadi hutan semula. "Ganjil. Sungguh ganjil!! Bagaimana pokok-pokok itu boleh bercantum semula?" soal mereka sesama sendiri. Mereka menggeleng-geleng. Mereka tidak sangka perkara ajaib boleh berlaku. "Kita jangan putus asa. Kita mesti terus berusaha. Mari kita tebang semula pokok-pokok itu," cadang seorang daripada mereka. Mereka bersetuju. Mereka pun mula menebang. Apabila petang, mereka berhenti rehat. Apabila malam, mereka pun tidur. Pagi esoknya mereka dapati pokok-pokok itu bercantum semula. Mereka semakin hairan tetapi tidak putus asa . Mereka tebang semula pokok-pokok itu. Orang yang lalu di situ juga hairan. Ada yang bertanya, "sudah habiskah menebang pokok?" Jemu, jemu, asyik tebang pokok saja," jawab mereka sambil menggeleng-geleng. Orang itu bertanya lagi, "bila kawasan ini dapat dibersihkan?". Entah, entah, entah," jawab mereka lagi. Keadaan itu berlaku saban hari. Apabila ditanya, jawapan mereka tetap sama. Mereka menjawab: "Jemu, entah, jemu, entah." Akhirnya orang ramai pun memanggil tempat itu Jementah.

Bekok

Di Bekok, masih terdapat deretan rumah kedai klasik yang masih teguh berdiri. Sebahagian rumah kedai di situ dibuat daripada kayu sepenuhnya. Ada yang telah runtuh dan sebahagiannya masih kekal digunakan. Pekan berdekatan stesen ini kelihatan "mati" kerana tiada tanda-tanda pembangunan baru akan dibina di situ.

Terdapat beberapa versi cerita tentang asal usul nama pekan Bekok. Dari sudut geografi dan dialek Cina, nama Bekok dikatakan berasal daripada perkataan bahasa Hakka iaitu "Mukok" (木角). Perkataan ini membawa maksud "sudut terpencil" atau "corner", merujuk kepada kedudukan pekan yang terletak agak jauh di pedalaman dan pinggir hutan Endau.

Versi kedua adalah nama yangi diambil daripada spesies burung tempatan iaitu Burung Punai Bakok (sejenis burung punai berbulu hijau). Burung ini banyak ditemui di kawasan sekitar semasa pembukaan penempatan tersebut oleh 
Sulaiman bin Ain yang menjadi ketua penerokanya. Beliau kemudian dilantik menjadi Ketua Kampung (Penghulu) pertama di situ dan dikenali sebagai Penghulu Sulaiman.  Apabila Sulaiman meninggal duunia, jawatan tersebut diambil oleh anaknya Alam bin Sulaiman dan kemudian cucunya Ismail din Alam. 


 
 
 

Pekan Bekok yang masih menggambarkan suasana tahun 50an. Mungkin undi mereka tidak memberi banyak makna kepada jumlah majoriti wakil rakyat di situ.

Bekok yang jaraknya lebih kurang (10) kilometer dari persimpangan Pekan Chaah dan Pekan Labis merupakan sebuah mukim dalam daerah Segamat. Sebilangan besar kawasannya merupakan ladang kelapa sawit dikelilingi hutan tebal yang menganjur sehingga ke sempadan Kuala Rompin, Pahang dan Daerah Mersing,Johor. Di zaman darurat khususnya awal tahun 1950an dalam krisis menentang gerila komunis, Bekok antara wilayah selatan yang dianggap kawasan amat aktif sebagai sarang gerila komunis selain Labis, , Paloh, Kluang, Kulai, Endau, Kambau, Sedeli, Penggerang dan Pontian.

Sejarah Darah Pahlawan di Bekok

Ramai anggota keselamatan yang terbunuh semasa darurat mencatatkan di antara tahun 1950 hingga tahun 1952 ramai anggota polis yang terbunuh di kawasan Bekok ini:

(1)  04/03/1950: Dua anggota Special Constable terkorban di Eldred Estet, Bekok.
(2)  30/09/1950: Dua anggota Special Constable terkorban di Eldred Estet, Bekok.
(3)  15/10/1950: Lapan anggota polis, (1) KPL (5) PC dan (2) EPC terkorban di Chan Wing Estet, Bekok.
(4)  09/07/1951: Seorang anggota Special Constable terkorban di Anglo – Johor Estet, Bekok.
(5)  30/06/1952: Dua anggota (1) A.P Insp (1) AP terkorban di Chan Wing Estet Bekok.
(6)  01/07/1952: Dua anggota Special Constable terkorban di Anglo-Johor Bekok Estet, Bekok.
(7)  27/12/1952: Dua anggota Special Constable terkorban di Sungai Bekok Estet, Bekok.

Pengkisahan yang diceritakan oleh saksi-saksi kejadian turut membuktikan jumlah ini sebenarnya lebih ramai yang terkorban jika melibatkan orang awam yang turut menjadi mangsa

Tragedi Bukit Locing. Menceritakan tragedi yang berlaku, bagi En. Taman bin Salleh 84 Tahun yang kini menetap di Ladang Geddes, Bahau Negeri Sembilan masih ingat beliau waktu itu berkhidmat sebagai Special Constable (SC) di Segamat Johor telah di arah ke Bekok untuk mengambil anggota Polis yang terkorban diserang hendap Komunis. “Saya sampai di sana sebagai pasukan bantuan, Saya sampai dan waktu itu keadaan sudah reda, saya tengok mayat ramai anggota di bariskan di tepi jalan kawasan ladang getah. Saya masih ingat ada, ada seorang anggota polis yang saya kenali nama Mat Dom, masih hidup dan mengerang dalam kesakitan tetapi keadaan baju yang dipakainya penuh berlumuran darah. Dia yang menceritakan kenderaan yang dinaiki telah terkena jerangkap samar dan kemudiannya diserang hendap Komunis. Kisah (8) anggota polis terbunuh dalam satu serang hendap di Bekok, Labis Johor, senarainya seperti berikut:
  1. Koperal 7163 Mohd Yatim bin Abdullah
  2. PC 11768 Mohd Nor bin Lajis.
  3. PC 11765 Nordin bin Kadir.
  4. PC 11898 Anuar bin Buyong.
  5. PC 13049 Ismail bin Abbas
  6. PC 13168 Mohd Shah bin Hj Abdullah
  7. EPC 2596 Mohd. bin Hussin
  8. EPC 3426 Mohd. bin Salleh.
Peristiwa terkorbannya anggota polis ini juga di ceritakan oleh Hj Johari Bin Yunos 85 tahun bekas Ketua Kampong Labis yang kini menetap di Felda Tenang,Labis Johor. Beliau ketika itu juga bertugas sebagai SC di Balai Polis Labis menceritakan kejadian berlaku di satu tempat dipanggil Bukit Locing. Gerila Komunis dikatakan mengguna tektik dengan cara memasang jerangkap samar di kawasan berhampiran jurang menyebabkan pasukan keselamatan tidak mempunyai ruang untuk berlindung. Sebaik kenderaan pasukan keselamatan yang merupakan anggota dari Balai Polis Labis menghampiri laluan tersebut, kenderaan tersebut meletup lalu terbalik dan ketika itulah gerila menghujani mereka dengan peluru dan bom tangan dari atas bukit . Hanya kereta menjadi tempat berlindung. Kekuatan gerila yang ramai tidak mematahkan semangat juang anggota keselamatan. Dengan kekuatan yang kecil berbanding musih yang ramai bilangannya,peluang untuk hidup memang ada jika mereka menyerah tetapi mereka berjuang habis-habisan, namun untuk menyerah tidak sekali. Mereka membalas balik setiap tembakan yang dilepaskan musuh. Kenderaan itulah yang menjadi pelindung mereka, Gerila hanya meninggalkan tempat kejadian setelah menjangkakan tidak ada seorangpun yang selamat dari serangan tersebut. Turut terkorban ialah beberapa orang awam yang merupakan pekerja Telekom. Mereka diiringi oleh pasukan keselamatan dalam tugas memasang kabel di Chan Wing Estet.

Kekuatan gerila komunis dalam serangan tersebut tersebut dianggarkan seramai 80-100 orang dan dipercayai dari Rajimen ke 4 Parti Komunis Malaya yang ketika itu dianggarkan mempunyai kekuatan seramai 370 anggota[1]. Penulis yang melawati tempat kejadian mendapati kini kawasan tersebut terletak di Ladang Gunung Mas yang suatu ketika dahulu dikenali dengan nama Chan Wing Estet. Jarak tempat kejadian dari Balai Polis Bekok lebih kurang (10) kilometer. Lokasi itu dinamakan Bukit Locing kerana dikatakan suatu ketika dahulu terdapatnya locing yang amat besar berhampiran puncak yang digunakan sebagai isyarat kepada pekerja-pekerja ladang supaya meninggalkan kawasan ladang sebaik jam 3 petang. Pertempuran itu memang hebat, kekuatan pasukan keselamatan tidak mampu menyamai musuh yang jumlahnya lebih besar, namun mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab walaupun nyawa mereka menjadi sandarn. Bagi mereka untuk menyerah tidak sekali-kali. Wira-wira ini sememangnya antara mereka yang terbilang walaupun tidak pernah dijulang..

Rujukan: http://kampungmelayubekok.blogspot.com/2014/04/lokasi-pekan-bekok.html

Air Panas

Pekan Air Panas adalah sebuah pekan kecil dalam daerah Segamat. Pekan ini terkenal dan mendapat nama sempena kolam air panas yang terdapat di sini. Terletak kira-kira 14 kilometer dari Pekan Labis melalui jalan raya Persekutuan.

Majoriti penduduk di sini ialah kaum Cina dan juga komuniti masyarakat Melayu. Selain daripada itu juga disini terdapat beberapa perkampungan orang asli seperti Bekok dan juga di pekan ini terdapat ladang buah mata kucing yang banyak.


Pekan Air Panas

Gemas

Pekan Gemas terbahagi kepada dua bahagian, bahagian yang besar terletak dalam  Negeri Sembilan (pekan Gemas yang utama) dan satu di sebelah Johor. Bahagian di johor kini dikenali sebagai Gemas Baharu.

Bandar Gemas, Negeri Sembilan

Gemas Baharu, Johor

Gemas menjadi titik pertemuan penting laluan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung. Stesennya dibina sejak 1992 masih beroperasi hingga sekarang. Stesen Keretapi Gemas terletak betul-betul di sempadan Johor-Negeri Sembilan. Kedudukan ini dianggap strategik, bahkan ada yang menggelarnya Segi Tiga Emas.

Bukan setakat Segi Tiga Emas, bandar kecil ini juga sebenarnya mendapat nama sempena sejenis logam kuning yang mahal harganya iaitu emas. Ada yang mengatakan nama Gemas bermula apabila orang Inggeris berhujah dengan orang tempatan mengenai nama logam. Orang Inggeris menamakan ‘gold’ tetapi penduduk mengatakan ia ‘omeh’ dan gabungan kedua-duanya menjadi Gomeh sebelum ejaannya dimuktamadkan sebagai Gemas.

Penduduk tempatan mengatakan ia sebenarnya dinamakan sempena penemuan tempat lombong emas di sebuah gua yang mereka namakan ‘Gomeh’ (gua emas). Apa pun ia sebenarnya berkaitan dengan penemuan logam emas. Kedua-duanya saling berkaitan dan mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa gua emas itu memang wujud, cuma ia sebenarnya adalah bekas tapak lombong emas yang terletak di sebuah bukit. Teori awal yang mengaitkan perdebatan mengenai emas itu memang logik kerana diakui, pelombong asalnya ialah orang Inggeris yang bekerjasama dengan penduduk tempatan.

Berikutan penemuan lombong emas itu, nama Gemas terus popular dan ditukar menggantikan nama asal iaitu Ayer Terap yang diambil sempena anak sungai berhampiran.

 
 
Stesen Keretapi Gemas

Pekan Batu Anam

Pekan Buloh Kasap

Pekan Chaah

Pekan Sungai Karas

Pekan Bekok


No comments:

Post a Comment