Thursday, February 26, 2015

M 112 MENTERI PERTAHANAN MALAYSIA


MENTERI PERTAHANAN
MALAYSIA

SEJARAH

Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 dan memulakan operasi rasminya di sebuah bangunan yang terletak di Brockman Road (sekarang Jalan Dato' Onn) , Kuala Lumpur. Bangunan ini turut menempatkan pejabat Menteri Pertahanan (MENHAN) yang pertama iaitu Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussien yang berkhidmat dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

Bangunan Kementerian Pertahanan yang pertama telah dibina oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos bernilai RM122,000.00 dan telah dirasmikan oleh Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein pada 18 Mac 1960. Bangunan yang dibina di Jalan Padang Tembak ini juga menempatkan pejabat Panglima-panglima dan Pegawai Tinggi Angkatan Tentera Malaysia dari ketiga-tiga perkhidmatan.
Akibat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin betapa peri pentingnya pembesaran keanggotaan angkatan tentera, sebuah kompleks yang mengandungi 6 blok setinggi 4 tingkat telah dibina di hadapan Pejabat Bahagian Perkhidmatan Anggota bagi menampung jumlah keanggotaan yang semakin bertambah. Bangunan bernilai RM 2 juta ini telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 6 April 1967.

Selepas pengunduran tentera British , Kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik untuk meningkatkan tahap keselamatan negara dari sebarang ancaman. Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertahanan selain mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan keperluan angkatan tentera dari masa ke semasa.

Bagi menampung kesemua agensi di bawah satu bumbung, kerajaan telah membuat keputusan membina satu bangunan baru untuk Kementerian Pertahanan. Sebagai simboliknya, batu asas bangunan tersebut telah diletakkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Abang Abu Bakar bin Datu Bandar Abang Haji Mustapha pada 10 Mac 1982. Bangunan baru yang terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur ini telah dibina dengan nilai RM144 juta dan telah disiapkan pada pertengahan tahun 1985. Bangunan setinggi 20 tingkat ini dikenali sebagai "WISMA PERTAHANAN" yang turut menyediakan ruang-ruang pejabat dan bilik-bilik mesyuarat. Kawasan sekeliling "WISMA PERTAHANAN" yang dikenali sebagai Kompleks Wisma Pertahanan turut menyediakan beberapa kemudahan seperti bangunan tempat letak kereta bertingkat, auditorium, surau, Medan Pertahanan (Padang Kawad), balai pengawal, menara, bilik komputer, 'helipad', kafetaria dan lain-lain.

Kementerian Pertahanan diterajui oleh Menteri Pertahanan dan dibantu oleh seorang Timbalan Menteri. Organisasi Kementerian Pertahanan pula mengandungi dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera.





TUN HJ ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSEIN
(ALLAHYARHAM)
(31 OGOS 1957 - 12 OGOS 1973)
MERANGKAP TIMBALAN PERDANA MENTERI


DATO' HAMZAH BIN HJ ABU SAMAH
(ALLAHYARHAM TAN SRI)
(13 OGOS 1973 - 4 SEP 1974)



TUN HJ ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSEIN
(ALLAHYARHAM)
(5 SEP 1974 - 14 JAN 1976)
MERANGKAP PERDANA MENTERI



DATO' SERI HUSSEIN BIN DATO' SIR ONN
(ALLAHYARHAM TUN)
(15 JAN 1976- 27 JUL 1978)
MERANGKAP PERDANA MENTERI



DATUK HJ ABDUL TAIB BIN MAHMUD
(PEHIN TUN)
(28 JUL 1978 - 15 SEP 1980)



DATO' SERI HUSSEIN BIN DATO' SIR ONN
(ALLAHYARHAM TUN)
(16 SEP 1980 - 15 JUL 1981)
MERANGKAP PERDANA MENTERI)



DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMMAD
(TUN)
(16 JUL 1981- 22 APR 1986)
MERANGKAP PERDANA MENTERI


'

DATUK HJ ABDULLAH BIN HJ AHMAD BADAWI
(TUN)
(3 OGOS 1986 - MEI 1987)



DATO' TENGKU AHMAD RITHAUDDEEN BIN TENGKU ISMAIL
(TAN SRI)
(20 MEI 1987 -  OKT 1990)


DATO' SERI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
(27 OKT 1990- 4 MEI 1995)



DATO' SERI SYED HAMID BIN TAN SRI SYED 
JAAFAR ALBAR
(TAN SRI)
(5 MEI 1995 - 7 JAN 1999)



DATUK HAJI ABANG ABU BAKAR BIN DATU BANDAR ABANG HJ MUSTAPA
(TAN SRI)
(7 JAN 1999- 29 NOV 1999)


DATO' SRI MOHAMMAD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
(29 NOV 1999 - MAC 2008)



DATUK SERI HJ ABDULLAH BIN DATUK HJ AHMAD BADAWI

(TUN)

(MAC 2008 - 8 APR 2009)
MERANGKAP PERDANA MENTERI



Image result for ahmad zahid hamidi
DATO' SERI DR HJ AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
(8 APR 2009 - 22 APR 2013)

Related image
DATUK SERI HISHAMMUDDIN BIN TUN HUSSEIN 
(22 APR 2013 - 9 MEI 2018)
MERANGKAP MENTERI DENGAN TUGAS-TUGAS KHAS 


TUAN HJ MOHAMAD BIN SABU
(YB)
(12 MEI 2018 - kini)



TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN


Walaupun KEMENTAH dan jawatan Menteri Pertahanan (MENHAN) telah diwujudkan sejak tahun 1957, jawatan Timbalan Menteri Pertahanan hanya diperkenalkan pada tahun 1970 apabila allahyarham Tun Abdul Razak dilantik menjadi Perdana Menteri dan membentuk Kabinet pertamanya pada tahun 1970. Perlantikan Timbalan Menteri Pertahanan ini adalah bagi melancarkan pentadbiran di KEMENTAH kerana jawatan MENHAN disandang oleh Perdana Menteri sendiri yang amat sibuk dengan tugas rasmi sebagai PM. 

Bagaimanapun setelah Tun Razak dan Perdana Menteri yang lain tidak membuat tugas MENHAN, jawatan Timbalan MENHAN ini tidak pernah dimansuhkan kerana bidang tugas KEMENTAH amat luas dan penting yang memerlukan MENHAN mempunyai seoarang Timbalan untuk membantu tugasnya.

Berikut adalah ahli politik yang pernah menyandang jawatan Timbalan MENHAN.


Image result for tengku ahmad rithauddeen
YB Tengku Ahmad Rithauddeen bin Tengku Ismail
(Sep 1970 - Ogos 1974)

YB Senator Datuk Dzulkifli bin Abdul Hamid
(Ogos 1974 - Ogos 1976)

YB Dato' Mokhtar bin Hashim
(Sep 1976 - 1980)

YB Haji Abu Hasan bin Omar
(1980 - Jul 1981)

Image result for dato abang abu bakar
YB Datuk Abang Abu Bakar bin Datu Bandar Abang Mustapha
(Jul 1981 - Okt 1990)

YB Tok Muda Dato Wan Abu Bakar bin Wan Mohamad
(Okt 1990 - Apr 1995)

Image result for Abdullah Fadzil bin Che' Wan Kuala Kangsar
YB Tok Muda Dato' Dr Abdullah Fadzil bin Che' Wan
(Apr 1995 - Nov 1999)

Image result for shafie apdal
YB Datuk Mohd Shafie bin Apdhal
(Nov 1999 - Mac 2004

YB Datuk Hj Zainal Abidin bin Zin
(Mac 2004 - Mac 2008)

Related image
YB Datuk Abu Seman bin Yusop
(Mac 2008 - Apr 2009)

Image result for datuk dr abd latiff bin ahmad
YB Datuk Dr Abd Latif bin Ahmad
(Apr 2009 - Mei 2013)

YB Datuk Hj Abd Rahim bin Bakri
(Mei 2013 - Jul 2015)

Image result for johari baharum
YB Datuk Seri Mohd Johari bin Baharom
(Jul 2015 - Mei 2018)

YB Senator Liew Chin Tong
(Mei 2018 - Feb 2020)

YB Dato' Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
(Feb 2020 - kini)











M 111 TRAGEDI HIGHLAND TOWER 1993


Tragedi Highland Towers

Tragedi Highland Towers merupakan tragedi runtuhan satu dari tiga blok kondominium di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, pada 11 Disember 1993. 

Tragedi tersebut adalah satu-satunya tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Seramai 48 orang terkorban dalam tragedi yang menyayat hati ini. Highland Towers merupakan tiga blok pangsapuri 12 tingkat yang dinamakan Blok A, Blok B dan Blok C.


https://youtu.be/GlFt9qv8EyI


Kajian geologi

Pelbagai pihak melakukan kajian terhadap tanah runtuh khususnya di Bukit Antarabangsa yang melibatkan Highland Towers. Antaranya ialah Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).Hampir setiap universiti mempunyai pusat penyelidikan dan kepakaran berkaitan alam sekitar malah lebih mengkhusus lagi kepada tanah runtuh antaranya seperti Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara (Nasec) di UiTM dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) di UKM. Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara (Nasec) di UiTM Shah Alam.

Mangsa Yang Terbunuh
  1. Rohana Bano Mushtak Ahmad, 29
  2. Mohammad Budi Abdullah @ Robin Williams Wharton, 44
  3. Mohammad Adam, 6 bulan
  4. Carlos Rashid bin Musa (anak kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia,Tun Musa Hitam);
  5. Rozita binti Datuk Abu Bakar (isteri Carlos Rashid)
  6. Bahk Jung Soon, 45 (Korea);
  7. Bahk Hee Won (anak perempuan Bahk)
  8. Koh Yuet Met
  9. Gene Koh Wai Keong, 15
  10. Brandon Koh Wai Hong, 6
  11. Daryl Koh Wai Kin, 3.
  12. Yap Kien Seng, 18.
  13. Yap Woei Ning
  14. Yap Hsiao Mei, 18
  15. Wong Mee Thai, 35 (emak Yap H M)
  16. Datin Milly Lee, 55
  17. Teo Tea
  18. Ong Yong, 53
  19. Douglas Ong Tee Ming, 17.
  20. Fatimah Abdul Majid, 66
  21. Che Mariam Abdul Majid, 76
  22. Noranira Mohamed Nor, 15
  23. Nik Mohamed Baharudin bin Nik Wan Mahmood, 41
  24. Shizue Nakajima, 50
  25. Dr Anne George,
  26. Debbie George
  27. Sharon George
  28. Majnawiyah Masnawi, 25
  29. Amirah Nor Hamzah, 15
  30. Fergus Phang Thien Liang, 26
  31. Ivy Lim Ai Bee (emak Fergus Phang),
  32. Nenek Phang, Cheng Kim Tai
  33. Trimah Ngarijo
  34. Yusna Anuar
  35. Farah Aruzi
  36. Lee Mun Lin
  37. Tony Lou Yoke Yong
  38. Adrian Lou Chung Wei
  39. Barry Lou Ka Wei
  40. Sajjive Chandran
  41. Prakash Chandran
  42. Radha Chandran
  43. Quah Li Jun
  44. Chiew Poh Wah
  45. Goh Fong Kiew
  46. Judith Mosquiter
  47. Suharti Kusban
  48. Aribinda Datta
  49. Rita Datta
  50. Mohan Raj





Punca Keruntuhan

Musim tengkujuh di Malaysia iaitu bulan November dan Disember membawa hujan lebat melampau setiap tahun dan boleh menyebabkan banjir , banjir kilat dan tanah runtuh. Blok 1 Highland Towers runtuh selepas hujan yang turun 10 hari berturut-turut menyebabkan gelongsoran tanah selepas tembok penahan tempat meletak kereta kondominium itu runtuh. Kadar air luar biasa menyebabkab tahap kelembapan tanah, kekuatan struktur tanah, keseimbangan kandungan bendalir di dalam tanah dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan. Hutan Hujan Khatulistiwa yang padat memenuhi Banjaran Titiwangsa dengan daunnya yang lebar serta berakar tunjang, sekali gus mampu menampung dan menerima taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah. Apabila tidak ada tanaman tutup bumi, air akan meresap ke dalam tanah dan menjadi pelincir kepada gelongsoran tanah dan bangunan di atasnya.

Kesilapan dalam rekabentuk tembok penahan yang dibina di belakang Blok Satu Kondominium Highland Towers mungkin antara punca berlakunya tanah runtuh di situ. Perunding jurutera geoteknikal, Prof Noel Edward Simons menyalahkan rekabentuk tembok penahan yang tidak sempurna.

Jurutera Perunding Geoteknikal, Dr Alan George Weeks menyatakan pangsapuri Highland Towers runtuh hasil daripada pergerakan bawah tanah yang bermula dari kawasan runtuhan lereng bukit milik Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB) di belakang pangsapuri itu. Beliau menolak kesimpulan oleh pakar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) , Prof Noel Edward Simons . Tanah runtuh kerana keruntuhan besar dan bukan beberapa siri keruntuhan seperti dakwaan MPAJ.

Sistem saliran tidak sempurna di kawasan pangsapuri mewah di Hulu Klang dan sistem perparitan yang tidak dikendalikan dengan sistematik. Proses pembersihan dengan menebang pokok membabitkan sebahagian kawasan di situ menyebabkan ia membentuk sasaran saliran dari atas bukit terus ke kawasan berhampiran dan pangsapuri berkenaan. Rakaman video 10 minit tahun 1992 menunjukkan air mengalir turun dari lereng bukit ke keliling kondominium Highland Towers ketika hujan lebat, setahun sebelum tragedi. Air membuak dari lereng bukit menuju ke arah Blok C kondominium dan tingkat paling bawah tempat letak kereta blok itu telah dibanjiri tanah lumpur. Longkang untuk mengalirkan air daripada paip pembentung di lereng bukit ke parit utama di hadapan blok Highland Towers tidak dibina. Ahmad Zaini Mohd Yusof selaku bekas pegawai daerah menyatakan Majlis Daerah Gombak (MDG) tidak menghentikan kerja pembinaan kondominium Highland Towers walaupun pemaju gagal mengemukakan pelan saliran untuk mengalirkan air dari kawasan itu ke Sungai Ulu Klang. Pemilik lot kosong di belakang kondominium Highland Towers, Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB), tidak mengadakan sistem saliran sementara kerana ia menunggu sistem induk yang akan dibina untuk keseluruhan kawasan itu.

Topografi kawasan itu yang berbukit, keadaan geologi dan jenis tanah yang tidak stabil juga menggalakkan berlaku tanah runtuh. Pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ibrahim Komoo menyatakan tanahnya bukan batu yang kuat tetapi tanah bercampur pasir. Ini termasuklah Bukit Antarabangsa, Taman Tun Abdul Razak, Taman Hillview dan Bukit Indah.

Gaya hidup mereka yang memiliki taraf ekonomi dan sosial yang tinggi berbangga menghuni di kawasan lereng, cerun dan tanah tinggi. Mereka membeli dan membina kediaman mewah di kawasan tersebut walaupun nampak hebat sama ada disedari atau tidak seperti pelaburan jangka panjang untuk membunuh diri dan ahli keluarga sendiri. Apabila permintaan tinggi maka pihak pemaju sebagai golongan kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan tidak 'gila' untuk berlumba-lumba membina kawasan perumahan di tanah tinggi.

Pembinaan bangunan rancak dan tiada pemantauan cerun oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Pemaju perumahan melobi hendak memajukan cerun skala 3 dan skala 4 dengan alasan akan menggunakan teknologi penampan cerun yang terkini. Cerun bukit ditarah secara melampau , pokok-pokok yang menjadi pasak bumi dan rumput tutup bumi tidak dijaga dengan rapi.

Kerajaan negeri Selangor tidak boleh membatalkan kontrak pembangunan yang telah diberikan kepada pihak pemaju kerana ia membabitkan implikasi undang-undang. Pemaju yang kerugian dari segi kos tanah, kos arkitek dan bahan binaan tentu akan menyaman pihak berkuasa. Mereka juga melobi ahli politik agar menekan pegawai daerah, pegawai pejabat tanah dan sebagainya. Mereka lupa bahana yang pasti bakal menimpa 10-20 tahun lagi. Contoh terbaik ialah Taman Pertanian Bukit Cerakah seluas 3,000 ekar di Seksyen U10, Shah Alam telah diagih-agihkan kepada lebih 30 pemaju Kawasan ini adalah bukit-bukit tinggi dan kawasan tadahan air.

Kronologi Peristiwa

11 Disember 1993: Pangsapuri Blok A Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. Dr Hui Chan Peng, yang tinggal selama 14 tahun di tingkat empat Blok A kondominium 12 tingkat itu menyatakan dia kembali dari kerja pada jam 1.30 petang, lima minit sebelum tragedi itu berlaku. Dia yang sedang berbual dengan Puan Abraham, terdengar bunyi gegaran dan tiba-tiba batu besar bergolek ke arahnya. Surirumah Leela George (39) menyatakan dia mendengar bunyi kuat seperti `dentuman logam' jam 1.30 tengah hari dari arah belakang blok A.

124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn membantu mencari . Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) , sukarelawan PBSMM datang lebih awal.

Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu terjuih keluar dan begoyang. Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan diselamatkan.

Nakajima Shizue, 50 wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam. Dr Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalam yang teruk.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad , Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai menteri kabinet datang menjenguk.

12 Disember: Penghuni Blok B dan C Highland Tower di Taman Hillview, Hulu Kelang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu. Helikopter Nuri dan Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.

13 Disember: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi.Mereka menggunakan teknologi pengesan degup jantung dan menebuk lubang 4.5 meter dalam. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.

15 Disember: Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang. Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan. Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

16 Disember: Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.

17 Disember: Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.

18 Disember: Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.

19 Disember: Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga dipercayai lelaki jam 10.15 malam.

20 Disember: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita yang memakai sari dan sedang memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha. 

22 Disember: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan.

Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers. Kondominium itu dimiliki dan dimajukan oleh Highland Properties Sdn Bhd.

14 Oktober 1997 , Bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12 tingkat. Beliau menyatakan pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak melebihi dua tingkat.

14 November 1997 , Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh. Ia "bukan satu bencana alam semula jadi".
Saman dikemukakan oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong. Saman terhadap pemaju dan sembilan lain bagi kerugian yang dialami antara RM31 juta hingga RM35 juta. Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ), Arab- Malaysian Finance Berhad, Tropic Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd. Gambar yang dirakam oleh Bruce Aaron Mitchell (49), bekas juruterbang Tentera Marin Amerika yang mengambil 8 keping gambar dari tingkap bilik pangsapuri kawannya di Blok C menjadi bukti dalam kes saman terhadap 10 pihak. Gambar itu menunjukkan tanah runtuh dan runtuhan kondominium Blok A di saat-saat tragedi itu . Pengurus Projek Micheal Patrick Rickard (51), penghuni di Blok C mendakwa rompakan bermula ketika operasi menyelamat mangsa yang pada masa itu dipercayai masih hidup dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan Blok C yang runtuh pada 11 Disember, 1993. Padahal bangunan yang dikosongkan itu dikawal oleh tentera dan polis. Bekalan air dan elektrik terputus selepas blok satu runtuh.

8 Ogos 2002: Hakim Datuk James Foong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Wisma Denmark, Jalan Ampang memutuskan 7 daripada 10 pihak yang disaman 60 penghuni, waris dan keluarga mangsa tragedi Highland Towers sebagai cuai.Laporan penghakiman 162 muka surat itu mengembirakan Dr Benjamin George selaku pengerusi Persatuan Penduduk dan Pemilik Highland Towers.

4 Disember 2002: Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB) merayu kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mokhtar Sidin dan Datuk Mohd Saari Yusoff berkaitan pampasan yang perlu dibayar. Di Mahkamah Rayuan, 3 hakim diketuai Datuk Gopal Sri Ram bersama Datuk Richard Malanjum dan Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff memerintahkan 3 pihak yang cuai supaya membayar gantirugi. Iaitu MPAJ 15 %, , jurutera Wong Yuen Kean 10 %, Arab-Malaysian 30 % , Metrolux Sdn. Bhd. dan MBF Property Services Sdn. Bhd. 20 %.

2004 : Akhirnya diluar mahkamah , AmFinance Bhd setuju membayar RM52 juta kepada 139 plaintif yang diketuai oleh Dr Benjamin George.

18 Februari 2006 : Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) , Majlis Daerah Gombak (MDG) atau mana-mana kerajaan tempatan mempunyai kekebalan dan dilindungi Seksyen 95 (2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 daripada sebarang tuntutan sebelum runtuhan. Tan Sri Steve Shim Lip Kiong , Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Arifin Zakaria memutuskan MPAJ tidak bertanggungjawab terhadap kerugian sebelum dan selepas kondominium itu runtuh. Kerajaan tempatan ditugaskan menjalankan beberapa tanggungjawab termasuk menyedia dan menyelenggara tempat rekreasi, memungut sampah, menyediakan kenderaan awam, menyedia rumah untuk setinggan dan banyak lagi serta harapan orang ramai adalah tinggi. Ini adalah tanggungjawab sosial kepada pembayar cukai di kawasan mereka dan sumber kewangannya hanya melalui cukai taksiran dan bayaran lesen.

Keadaan Semasa

Dua blok yang masih tegak berdiri utuh.

Pada tahun 1995,terdapat perancangan untuk membaikpulih Blok 2 dan 3 untuk didiami semula namun pemeriksaan mendapati bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami.

Maka satu-satunya pilihan yang ada adalah merobohkannya.Pihak berkuasa menyatakan 2 blok lain iaitu Blok 2 dan Blok 3 tidak selamat diduduki , akan roboh bila-bila masa dan mereka mesti pindah ke lokasi lain.  Tetapi sehingga kini masih tidak roboh atau runtuh. Highland Towers tidak lagi didiami hari ini. Ia dibiarkan telah ditumbuhi semak samun menjadi mangsa sasaran laku musnah. Jadi sebenarnya pakar geoteknik masih tidak dapat meramal dengan tepat bila dan di mana tanah runtuh akan berlaku.

.
 
 

 
 
 
 
 
  
 

 
 

KRONOLOGI: Highland Towers

11 Disember 1993: Pangsapuri Blok A Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan diselamatkan. Nakajima Shizue, 50, rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam.

12 Disember: Penghuni Blok B dan C Highland Tower di Taman Hillview, Hulu Klang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britian dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu.

13 Disember: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers. 

15 Disember: Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang. Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan. 

16 Disember: Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL. 

17 Disember: Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan. 

18 Disember: Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.  

19 Disember: Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga dipercayai lelaki jam 10.15 malam. 

20 Disember: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita yang memakai sari dan sedang memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha. Jenazah anak lelaki tunggal bekas Perdana Menteri Datuk Musa Hitam, Carlos Rashid dan isteri, Rozita Datuk Abu Bakar, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru. 

22 Disember: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan.





M 110 ULAMAK TERSOHOR TANAH MELAYU 2

ULAMAK TERSOHOR TANAH MELAYU
SIRI 2
TUAN SAYYID ALWI BIN TAHIR AL HADAD 
(1884 - 1962)



Nama lengkapnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w.. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad dilahirkan di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M

Dalam Tasynif al-Asma' oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh menyebut bahawa Saiyid 'Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia di Jakarta, ibu kota Indonesia, pada bulan Jamadilakhir 1382 H (hlm. 383). Nik Yusri Musa dalam kertas kerja berjudul Polemik Datuk Sayed bin Tahir al-Haddad dan A. Hassan Bandung: Gambaran Pemikiran Fiqh Nusantara menyebut bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia pada 14 November 1962 M dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmudiah Johor Bahru (lihat Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, 2005 M/1427 H, hlm. 538).

Ditinjau dari segi tarikh wafat kedua-dua maklumat di atas adalah sepakat kerana 14 November 1962 M adalah bersamaan dengan 17 Jamadilakhir 1382 H. Tetapi tempat wafat masih perlu ditinjau kerana Tasynif al-Asma' hanya menyebut Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat di Jakarta dan tidak menyebut di mana dikebumikan.

Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa pula dinyatakan bahawa beliau dikebumikan di Johor Bahru, tetapi tidak menyebutkan di mana sebenarnya Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat. Apakah memang benar beliau wafat di Jakarta kemudian jenazahnya dibawa ke Johor Baharu juga tidak dijelaskan. Sekiranya benar beliau wafat di Jakarta ada kemungkinan dikebumikan di Jakarta ataupun Bogor kerana Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad sebelum ke Johor memang tinggal di sana. Murid beliau pun memang ramai di Jakarta dan Bogor.
Seperkara lagi ketika tarikh wafat Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, 14 November 1962 M itu, urusan penerbangan dari Jakarta ke Singapura mungkin sedikit terganggu kerana detik-detik awal konfrontasi Indonesia-Malaysia, sedangkan Singapura ketika itu dalam Malaysia. Oleh itu sejarah yang demikian perlu diselidiki dengan lebih kemas lagi.

Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa juga dinyatakan bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 - 1961 (Ibid, hlm. 538). Maklumat ini berbeza pendapat dengan tulisan Othman bin Ishak dalam buku Fatwa Dalam Perundangan Islam yang menyebut bahawa Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad menjadi Mufti Johor tahun 1934 - 1941, Datuk Haji Hasan bin Haji Yunus menjadi Mufti Johor 1941 - 1947 dan Datuk Haji Abd. Jalil Hasan menjadi Mufti Johor 1961 - 1964 (lihat terbitan Fajar Bakti, 1981, hlm. 31).

Mufti Johor yang berikutnya ialah Datuk Haji Abd. Rahim bin Haji Yunus tahun 1965 - 1977. Sesudahnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Abdullah al-Haddad. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan ‘al-Haddad’. Jadi bererti ada dua orang keturunan ‘al-Haddad’ yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.

PENDIDIKAN

Guru-gurunya di Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang berketurunan Nabi Muhammad s.a.w..

Sungguhpun demikian yang lebih diutamakan ialah tentang hadis dan ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada hadis itu. Berkali-kali Saiyid Alwi al-Haddad menamatkan kitab as-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami' ash-Shaghir. Sehubungan dengan hadis Saiyid Alwi al-Haddad juga mempelajari kitab-kitab mengenai sanad hadis di antara kitab-kitab itu ialah ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid al-'Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Saiyid Alwi al-Haddad telah berhasil memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad yang bersambung.

Selain guru tersebut, Saiyid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain pula ialah al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari. Saiyid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat hadis daripada al-Allamah as-Saiyid 'Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250 H/1834 M.

Diriwayatkan bahawa Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar namun pencapaian pengetahuan terlalu banyak. Ketika berumur 12 tahun Saiyid Alwi al-Haddad tamat belajar Ihya' 'Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun beliau telah mulai mengajar dan mengajar kitab yang besar-besar dan ilmu yang berat-berat dalam usia 20 tahun. Ilmu-ilmu yang beliau ajar dalam usia itu ialah ilmu tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, tarikh, falak, nahu, sharaf, balaghah, falsafah dan tasawuf.
PEMIKIRAN

Saya mulai mengikuti tulisan-tulisan Saiyid Alwi al-Haddad sejak tahun 1966, iaitu yang dimuat dalam Warta Jabatan Agama Johor. Salah satu karya Saiyid Alwi al-Haddad bagi saya yang cukup menarik ialah sebuah karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberi judul Sejarah Islam di Timur Jauh. Saya ringkaskan saja bahawa karya Saiyid Alwi al-Haddad yang telah diketahui sebagai berikut:

1. Anwar al-Quran al- Mahiyah li Talamat Mutanabi' Qadyani (dua jilid).
2. Al-Qaul al-Fashl fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani.
3. Al-Khulashah al-Wafiyah fi al-Asanid al-'Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah.
4. 'Iqd al-Yaqut fi Tarikh Hadhramaut.
5. Kitab as-Sirah an-Nabawiyah asy-Syarifah.
6. Dalil Khaidh fi 'Ilm al-Faraidh.
7. Thabaqat al-'Alawiyin (sepuluh jilid).
8. Mu'jam asy-Syuyukh.
9. 'Uqud al-Almas bi Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-'Athas.

Sekiranya kita sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadis.

Lebih khusus lagi sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan ‘al-'Alawiyin’ atau keturunan Nabi Muhammad s.a.w.. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang pernah dilakukan Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi.

Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung.

Bukan Saiyid Alwi al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, “Pada menjawab dan membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu najisnya.” Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan ‘Kaum Tua’ menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor.

DATO' SYED ALWI BIN TOHIR AL-HADDAD

Saiyid Alwi al-Haddad mengembara ke pelbagai negara, antaranya Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di negara-negara yang pernah beliau singgah, beliau berdakwah dan mengajar.

Di Jakarta, Saiyid Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair yang diasaskan oleh keturunan ‘Saiyid’ di Indonesia. Madrasah Jam'iyah al-Khair ialah sekolah Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia, Saiyid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah itu diasaskan. Bahkan beliau ialah Wakil Mudir sekolah itu.

Mudirnya ialah Saiyid Umar bin Saqaf as-Saqaf. Para guru didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustaz Hasyimi yang berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari Sudan (mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad Abdul Hamid yang berasal dari Mekah.

Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor dan tempat-tempat lain di Jawa. Muridnya sangat ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi al-Haddad ialah:

1. Saiyid Alwi bin Syaikh Bilfaqih al-Alawi.
2. Saiyid Alwi bin Abbas al-Maliki.
3. Saiyid Salim Aali Jindan.
4. Saiyid Abu Bakar al-Habsyi
5. Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Haddad.
7. Saiyid Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih.
8. Saiyid Husein bin Abdullah bin Husein al-Attas.
9. Syeikh Hasan Muhammad al-Masyath al-Makki.
10. Kiyai Haji Abdullah bin Nuh.

sumber: www.jamaluddin,net
.
TUAN GURU HJ YAHYA KUPANG 
(1906-1959)
TG HJ YAHYA KUPANG (1906-1959)

Nama sebenar Hj Yahya bin Muhammad Taha bin Idris. Beliau dilahirkan di Kg Pisang, Kupang, Baling, Kedah. Keturunan beliau berasal dari Pattani, Thailand. Beeliau belajar al-Qur'an dengan bapa saudaranya Awang Besar dan Tuan Guru Hj Ahmad Awang Besar. 

Beliau juga belajar di Sekolah Melayu Sik hingga Darjah 3. Kemudian beliau mengaji di Pondok dan menadah kitab dengan TG Hj Yaakub selama 6 tahun. Seterusnya menyambung pelajaran di Makkah selama 12 tahun. Antara gurunya di Makkah dan Tanah Melayu ialah TG Haji  Daud Fathoni, TG Hj Yahya Reman, Pak Da Eil, Syekh Mukhtar Utarid, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Syeikh Syed Alawi dan lain-lain. 

Semasa zaman dharurat di Malaya, beliau bersama Pak Su Hj Ahmad berarak sambil bertakbir dan berzikir dgn kuat sehingga komunis mengundurkan diri. Beliau juga dijemput menghalau komunis di Batu Kurau. Perak. Beliau melahirkan murid yang ramai dan dipercayai seorang yang mempunyai kiramah. 

Beliau meninggal dunia petang Khamis di rumah isteri ketiganya pada tahun 1959. Dikuburkan di Tanah Perkuburan Masjid al-Huda, Kg Hangus, Kedah.

TUAN GURU HJ NIK MAN KHATIB
(1911 - 1968)
TG HJ NIK MAN KHATIB(1911 - 1968)

Nama sebenarnya ialah Tuan Hj Abdul Rahman bin Abdullah bin Abdul Samad. Dilahirkan pada tahun 1911 di Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan di zaman Sultan Muhammad ke IV. Pada masa pemerintahan baginda Kelantan baru memulakan zaman kemajuannya. 

Bapanya salah seorang ulamak terbilang di Kelantan. Beliau mula belajar ilmu Feqh dan Tasawuf dengan ayahnya dan TG Hj Ahmad Mannan dan lain-lain. Beliau beramal dengan Tarikat Ahmadiyyah. 

Beliau meneruskan pengajiannya ke Makkah pada tahun 1935. Seorang yang warak dan amat merendah diri. Beliau adalah sahabat baik TG Hj Daud Bukit Abal. Beliau dilantik menjadi Imam Tua Masjid Muhammadi pada tahun 1946. Beliau dilantik oleh Sultan Kelantan menjadi ahli Jemaah Ulamak MAIK pada tahun 1949.  

Beliau meninggal dunia pada 22 Jan 1968 dalam usia 57 tahun.


TUAN GURU DATO' HJ AHMAD MAHER
(1904 - 1968)

Namanya ialah Tuan Hj Ahmad Maher bin Haji Ismail. Beliau dilahirkan pada bulan November 1904 bersamaan tahun 1324H di Ma'ala, Makkah oleh ibunya Hj To' yang datang ke Makkah dengan ayahnya untuk mengerjakan haji dan menuntut ilmu. Ayahnya yg dikenali dengan Tok Kemuning mengajar anaknya menghafaz al-Qur'an, Bahasa Arab dan kitab2 agama. Beliau juga masyhur dengan gelaran Tok Ayah.

Pada usia 9 tahun, beliau kemudian kembali ke Kelantan, menetap di Kemuning, Machang. Berpindah ke Bachok dan akhirnya di Kubang Pasu dan diserahkan untuk belajar di Pondok Tok Kenali dan kemudiannya mengikuti halaqah kitab di Masjid Besar Kota Bharu. Di samping itu berguru juga kepada Tok Kenali, Hj Ali Pulau Pisang,Tok Khatib Haji Nik Abdullah, Haji Ahmad Hakim dan Maulana Tok Khurasan Hj Yaakob Gajah Mati dan lain-lain.. Balik dari Makkah . Antara kitab yg dipelajar ialah Misykat Masabih, Sunan Tirmidzi,, Mantiq al-Qurtubi dan Ihya' Ulumiddin.

Pada tahun 1925, beliau berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajaran di Universiti Al Azhar, di mana beliau beroleh gelaran "Maher" daripada gurunya Syeikh Mohd. Bakhit bin Husain al-Hanafi kerana kemahirannya dalam ilmu Usul al-Fiqh dan Balaghah.Allahyarham adalah seorang yang pandai dan pintar berbahas. Beliau juga dikurniakan daya ingatan yang luar biasa. Beliau merupakan anak Melayu yang pertama yang pernah mendapat Syahadah Ulya (Sijil Tinggi) di Mesir dalam masa singkat di al-Azhar Syarif. Beliau banyak menghafaz mutun dan bijak berhujjah.

Syeikh Muhammad Bakhit (bekas Mufti Mesir) menggelarnya "maher" kerana kemahiran beliau dalam usul Feqh. Anak Kelantan pertama mendapat syahabah alimiyyah dalam masa yang singkat di Azhar Syarif. Banyak menghafaz mutun, bijak berhujjah dan beliau pernah mengajar di Masjidil Haram. Beliau juga adalah pengarang Majalah Pengasuh.



Sekembali ke Kelantan, beliau dilantik menjadi Nazir Pelajaran di Pejabat Pelajaran MAIK pada 1hb Julai 1931, dan kemudiaannya pada 15hb Oktober 1935, menjawat jawatan Qadhi Besar Kelantan. Pada tahun 1938 dilantik sebagai Mufti Khas Sultan Ismail. Berikutan permohonan bersara oleh Dato' Haji Ibrahim Yusoff daripada jawatan Mufti pada Jun 1941, beliau dilantik memangku jawatan berkenaan sehinggalah apabila beliau disahkan dalam jawatannya pada 1hb Januari 1945.

Dato' Haji Ahmad Maher ialah seorang Mufti yang mempunyai banyak kebolehan. Di samping alim dalam berbagai-bagai ilmu Islam dan ilmu-ilmu alat, beliau juga seorang pentadbir yang cekap dan berdedikasi. Selama tempoh perkhidmatannya selaku Nazir.  Pelajaran MAIK, beliau telah mengadakan beberapa pembaharuan dalam sistem kurikulum pengajian halaqah kitab di Masjid Muhammadi Kota Bharu. Kerana pembaharuan-pembaharuan beliau inilah Masjid Muhammadi kemudiannnya muncul menjadi sebuah pusat pengajian ilmu-ilmu Islam secara teratur dan sistematik sehingga berjaya melahirkan ramai ilmuan Islam yang terkenal dan dihormati. Setakat ini, beliau adalah Mufti Kelantan tunggal yang pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (1955-1960. 

Sebagai ulama' terkenal, beliau menerima ramai pelajar yang ingin berguru dengannya tentang ilmu agama. Di antara muridnya yang juga menjadi ulama yang tidak kurang juga terkenal ialah Haji Yahya Junid, Padang Lumut, Kedah. Tuan Omar Haji Abdul Aziz Abu Bakar, Pondok Terusan, Kelantan. Haji Mokhtar Ismail, Pekalang Asar, Perlis. Haji Husin Hafiz Umbai, Melaka. Lebai Isa Kaplo, Kedah. Haji Ahmad Osman Kodiang, Kedah. Haji Osman Bukit Besar, Kedah. Haji Abdul Jalil Sungaui Udang, Melaka Ustaz Mohd Nor Salleh Sumatra, Perak dan kemudian berhijrah ke Kelantan, menetap di Banggol Ara. Haji Awang Beta, Kelantan. Haji Ismail Cenderung Batu, Kelantan.  Beliau pernah dianugerah pingat S.P.M.K, D.J.M.K dan gelaran Datok Kaya Purba oleh  Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Kekal menjadi Mufti sehingga ke akhir hayatnya pada 16hb Mac  1968 atau 17 Zulhijjah 1387, ketika beliau berusia 65 tahun 5 bulan. Beliau dikebumikan di Kubur Banggol, Kota Bharu, Kelantan. Allahyarham meninggalkan anak yang ramai.  

Pada bulan Okt 1935 dilantik menjadi Qadhi Besar Kelantan. Pada tahun 1938 dilantik sebagai Mufti Khas Sultan Ismail. Pada tahun 1941 dilantik sebagai Mufti Kelantan hingga akhir hayat. Pernah berlaku debat "Jilatan Anjing" beliau bersama TG Hj Ibrahim mempertahankan Mazhab Syafi'ie. Manakala Hj Abbas Taha, Hj Wan Musa & Dr Burhanuddin Helmi dengan fahaman Kaum Muda.  Debat dimenangi beliau apabila Hj Abbas Taha gagal membalas hujahnya. 

Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu 17 Zulhijjah 1387 bersamaan 16 Mac 1968. Dimakamkan di Kubor Banggol, Kota Bharu.  

TUAN GURU PAKCU HIM GAJAH MATI
(1894- 1968)
TG PAKCU HIM GAJAH MATI(1894- 1968)

Nama sebenarnya ialah  Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Kadir merupakan salah seorang ulamak Kedah yang masyhur. Berusaha memberi ilmu pengetahuan serta menolak pandangan yang menyeleweng tentang akidah. 

Beliau dilahirkan di Pattani pada tahun 1894 tetapi menetap di Kedah. Beliau adalah adik kepada Tuan Guru Pak Da Ali Pattani yang masyhur mengajar di Makkah. Ayahnya ialah TG Hj Wan Kadir Wan Mustafa (Tok Bendang Daya). Beliau belajar dengan ayahnya kemudiannya dengan Tok Jakar di Bermin, Pattani dan kemudiannya merantau untuk belajar di Makkah. Beliau menguasai penulisan syair Arab. Buku Qawaid Feqhiyyah ditulis dalam syair. Mempunyai hubungan yang rapat dengan Tok Kenali. 

Beliau kemudian pulang ke tanah air, Kedah dan berkahwin dan membuka pondok di Kg Gajah Mati, Pendang. Pondoknya mendapat sambutan hangat. Beliau mengajar Fathul Wahhab, Sahih Bukhari dan lain-lain. Kitabnya Fathul Jalil Wa Syifa' al-Ghalil ditulis untuk menolak pandangan  Qidam Mustahil. 

Beliau meninggal dunia pada tahun 1968 dalam usia 74 tahun dan meninggalkan 11 orang anak dan jenazah beliau dikebumikan Kg Gajah Mati, Pendang, Kedah.
sumber: al-ghari.blogspot.com

TUAN GURU HAJI YUSUF SAAD
(1894- 1968)

Tuan Guru Haji Yusoff bin Haji Saad dilahirkan di sebuah kampung bernama Relau dalam Daerah Bandar Baharu Kedah Darul Aman pada tahun 1918 dan ditakdirkan bertemu jodoh beliau dengan adik perempuan kepada sahabat beliau iaitu Hajjah Kalsom binti Haji Putih.Antara pusat pengajian terawal bagi beliau ialah Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan Kuala Kangsar, Perak. Beliau kemudiannya menyambung pengajiannya di Pondok Guar Chempedak Yan, Kedah Darul Aman. 

Beberapa tahun kemudian, beliau melanjutkan lagi taraf pendidikannya dengan memilih sebuah sekolah pondok yang begitu masyhur di Pulau Pinang iaitu Madrasah Daeratul Maarif Kepala Batas yang ketika itu dipimpin oleh Tuan Guru Abdullah Fahim. Selepas itu beliau kemudian memilih sebuah lagi pusat pengajian Pondok yang masyhur iaitu Madrasah Manabil Ulum Wamataliu'nujum yang dipimpin oleh Tuan Guru  Sheikh Osman Jalaluddin. Di sinilah kewibawaan  beliau mula terselah apabila Tuan Guru Sheikh Osman Jalaluddin memberikan kepercayaan kepada beliau 'mengepalai' kumpulan usrah dan muzakarah bersama-sama Tuan Guru Haji Talib bin Haji Putih (abang ipar beliau). 

Setiap pelajar mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian di gedung ilmu termasyhur iaitu Makkah Mukarramah.Oleh itu selepas beliau tamat pengajian di Madrasah Manabil Ulum beliau berkesempatan 'bermusafir' ke Makkah Mukarramah untuk meneruskan pengajiannya selama dua tahun disamping beroleh ilmu yang banyak. Pada tahun 1953, beliau telah membuka sebuah pusat pengajian agama berteraskan Pondok yang diberi nama Madrasah Irshad Al Ashraf Al Wataniah, terkenal dengan nama Pondok Sungai Bakap.

TUAN GURU HAJI MOHD ZAIN ABDUL RAHMAN
(1883 - 1943)

Haji Mohd Zain bin Haji Abdul Rahman dilahirkan di Kampung Paya Semambu Relau, Kedah, pada tahun 1883.Anak sulung daripada 8 orang adik beradik.Semasa kecil Haji Mohd Zain mempelajari ilmu Al-Quran dan agama daripada ayahnya sendiri iaitu Haji Abdul Rahman bin Ateng, seorang imam di Kampung Relau yang amat  disegani.Daripada 4 orang anak lelaki Hj. Abdul Rahman, Mohd Zain merupakan anak yang paling cerdik dan cepat menerima ilmu yang diajar.Sebelum meningkat dewasa, beliau telah dihantar belajar kepada beberapa orang tuan guru di sekitar utara negeri Kedah.Paling lama beliau menuntut  ialah di Pondok Kampung Pulau Pisang, Kedah.Tidak diketahui disini siapakah guru-guru beliau ketika itu.Setelah mendapat tauliah dan ijazah daripada beberapa orang gurunya di Kedah, pada tahun 1924 beliau telah berhijrah ke negeri Melaka yang bersejarah dan membuka sebuah sekolah pondok di Kampung Paya Rumput, Alor Gajah yang diberi nama Madrasah Ad Diniah.Beliau telah berkahwin dengan Puan Aishah binti Ismail dan mendapat 5 orang puterii.

Nama Hj.Mohd Zain bin Hj. Abdul Rahman tercatat dalam sejarah Melaka antara 4 orang ulama masyhur yang membuka sekolah pondok.Selain daripada alim dengan ilmu agama Hj. Mohd Zain juga mahir dengan beberapa ilmu kebatinan, beliau cekap bermain senjata seperti keris dan tekpi. Beliau juga mahir dengan ilmu penangkap.Pada bulan Safar 1352 bersamaan Jun 1932, Hj.Mohd Zain pulang ke Sungai Bakap dan membuka pondok Ad Diniah Islamiah di Jalan Stesen dengan menggunakan nama pondok yang ditinggalnya di Melaka.Pada malam Ahad 2 Safar 1362 bersamaan 7 Februari 1943, ketika menjelang subuh Tuan Guru Haji Mohd Zain pulang ke rahmatullah.Walaupun telah meninggal, penyebaran ilmu dan dakwah Islamiah berjalan terus dibawah pimpinan  menantu sulung beliau iaitu Tuan Guru Haji Shapee bin Haji Harun.
TUAN GURU HAJI AHMAD BIN TUAN HUSSIN
(1906 - 1977)

Tuan Guru Haji Ahmad atau nama sebenarnya Ni'matullah Ahmad bin Tuan Hussin. Dilahirkan pada 17 Jun 1906 di Kampung Bohar, Mukim Titi Gajah Alor Setar, Kedah. Pendidikan awal beliau di Sekolah Melayu Chourasta Pulau Pinang, manakala Pendidikan Agama dan Bahasa Arab beliau belajar daripada ayahandanya sendiri iaitu Tuan Hussin KedaH. 

Setelah 7 tahun berada di Bagan Ulu, keluarganya berpindah ke Sungai Limau Yan, Kedah. Setelah itu beliau mengumpul wang sendiri untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah Al Mukaramah pada tahun 1923 hingga 1927. Sekembalinya beliau dari Mekah beliau mengajar di kampung halaman sebelum berpindah ke Pokok Sena Kepala Batas Seberang Perai sebuah Pusat Pengajian Pondok yang didirikan oleh ayahandanya yang terkenal dengan “Madrasah Khairiah Islamiah.” 

Beliau meneruskan usaha ayahandanya menerajui Madrasah Khairiah Islamiah di kampung itu, pernah menjawat jawatan sebagai Kadi Besar Pulau Pinang pada tahun 1965 hingga 1974, dan pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Kawasan Kerian, Perak pada tahun 1955. Tuan Guru Haji Ahmad meninggal dunia pada tahun 1977 ketika usia beliau 71 tahun.


TUAN GURU HAJI SALLEH BIN MASRI
(1875 - 1971)

Haji Salleh Masri ialah Haji Salleh bin Baki.Dilahirkan di Kampung Rasah,Negeri Sembilan pada tahun 1875.Keluarganya berasal dari Tembusi, Sumatera.Ketika berusia tujuh tahun,beliau memasuki sekolah Melayu Bukit Nenas, Seremban.Selepas tiga tahun,beliau mula cenderung mempelajari ilmu agama.Pada tahun 1886, Haji Salleh Masri ke Sekolah Agama Bersilam, Langkat, Sumatera.Beliau berguru kepada Syeikh Abdul Wahab, ulama keterunan Arab yang masyhur di Sumatera.Menjelang tahun 1893, beliau pulang ke tanah air.Sesudah itu, beliau terus mendalami ilmu agama dengan berguru kepada Haji Zainal Abidin Al-Fatani( Haji Minal) di Madrasah Sungai Dua, Butterworth, Seberang Prai selama tiga tahun.Fakih Mohd Salleh berguru pula selama tiga tahun kepada Imam Ahmad di Madrasah Padang Lalang, Bukit Mertajam, Seberang Prai.Dengan mendapat galakkan daripada Imam Ahmad, Fakih Salleh akhirnya melanjutkan pengajian Islam di Mesir. Pemergiannya itu dibiayai oleh keluarganya sebanyak RM1,000. 

Pada tahun 1899,beliau dikatakan antara anak Melayu yang pertama belajar di Al-Azhar.Ketika di universiti, Fakih Salleh pernah berguru kepada Syeikh Muhammad Khatib, iaitu pejuang islah ynag diutarakan oleh reformis Muhammad Abduh.Apabila bapanya meninggal dunia pada tahun 1903, Fakih Salleh mengambil keputusan pulang ke tanah air kerana orang yang menyara pembelajarannya tiada lagi.Seorang hartawan dari Bukit Mertajam,iaitu Haji Abbas Haji Othman bersedia untuk membantunya.
Pada tahun 1905, Fakih Salleh memperolehi Ijazah Alliyyah.Pada akhir tahun, apabila kembali ke tanah air, Fakih Salleh telah disambut dengan meriahnya di Pelabuhan Pulau Pinang.Akhirnya Fakih Salleh berkahwin dengan Hajah Saadiah Haji Abbas, iaitu anak kepada pembantunya ketika belajar di Mesir yang dianggap sebagai bapa angkatnya.Pada tahun 1906, Haji Salleh Masri menubuhkan Madrasah Al-Masriyah dan mentadbirkannya hingga tahun 1950 sebelum ke Mekah bagi kali kedua.Selepas itu,anaknya mengendalikan madrasah itu. Beliau meninggal dunia pada 30 Mei 1971 di Mekah

sumber: www.tokoh1038.blogspot.com