SULTAN KELANTAN
DITURUNKAN DARI TAHTA
Dalam SEJARAH MALAYSIA selepas merdeka, belum pernah mana-mana seorang Raja Melayu (Sultan-Raja-YDP Besar) turun dari takhta semasa masih dalam tempoh pemerintahan - sama ada secara sukarela - dipaksa atau berlandaskan perundangan.
Pernah juga penulis membaca tentang Sultan Brunei telah turun takhta secara sukarela kerana memberi peluang kepada anakandanya menaiki takhta. Mungkin ada motif penyerahan kuasa ini - namun penulis kurang berminat menulisnya - kerana kesilapan fakta boleh mengundang kecelakaan.
"After ruling for 17 years, on 4 October 1967, Sultan Omar Ali Saifuddien decided, on his own freewill, willingly abdicated in favour of his eldest son, Sultan Haji Hassanal Bolkiah. After his abdication from the throne, he took the title of His Royal Highness Paduka Seri Begawan Sultan, a title he held until his death in 1986" - Wikipedia.
BAGAIMANAPUN- pernah berlaku dalam sejarah - pada bulan Julai 1951, Raja Abdullah (Raja Jordan) telah meninggal dunia kerana dibunuh di Masjidil Aqsa dan digantikan oleh anakanda sulungnya Talal. Bagaimanapun pada bulan September 1952, Raja Talal telah diisytiharkan sebagai Raja Jordan tetapi baginda mengalami masalah kesihatan yang berpanjangan. Sebahagian besar tempoh pemerintahan baginda menjalani rawatan di Eropah dan tugas dipangku oleh adiknya, Putera Naif. Sehinggalah pada 11 Ogos 1952, apabila puteranya Hussein mengambil tindakan mengikut perlembagaan untuk mengambil-alih takhta Kerajaan Jordan atas asas - raja yang memerintah telah hilang kelayakan untuk meneruskan pemerintahan. Kes ini merupakan kes yang paling hampir dengan apa yang berlaku di Kelantan pada 10 September 2010.
"Prince Talal succeeded on the death of his father on 20 July 1951. He reigned under the regency of his younger brother (Prince Naif) until he returned from a clinic in Switzerland and took the oath to the constitution on 3 September 1951. Talal reigned under a series of regencies for most of his short reign and then constitutionally deposed in favour of his eldest son for reasons of ill health on 11 August 1952" - Wikipedia.
Bagaimanapun, jika mengambil kira sejarah Kesultanan Melayu moden di Semenanjung Tanah Melayu semasa dan selepas Perang Dunia II (1945), berlaku beberapa kes pemecatan/perlantikan Raja-Raja Melayu Sultan oleh pemerintah Jepun dan juga British. Antaranya ialah:
- Sultan Selangor ke 6, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah ibni almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah (naik tahta: 1938) telah diturunkan tahta oleh pemerintah Jepun pada tahun 1942 digantikan oleh abang tirinya Sultan Musa Ghiatuddin Shah ibni almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah. Bagaimanapun setelah Jepun menyerah kalah pada bulan Ogos 1945, penguasa British telah menurunkan Sultan Musa dan mengembalikan kedudukan Sultan Hisamuddin ke tahta pada 14 Sep 1945. Baginda memerintah Selangor hingga mangkat pada 1 Sep 1960.
- Raja Perlis ke 5, Raja Syed Hamzah ibni almarhum Raja Syed Safi Jamalullail (naik tahta: 2 Feb 1943) telah diturunkan tahta oleh pemerintah British pada 17 Sep 1945 digantikan oleh Raja Syed Harun Putra ibni Syed Hassan Jamalullail. Baginda memerintah Perlis hingga mangkat pada 16 Apr 2000.
- Sultan Terengganu ke 15, Sultan Ali Badrul Hassan Shah ibni almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (naik tahta: 26 Sep 1942) telah diturunkan tahta oleh penguasa British pada 5 Nov 1945 dan digantikan oleh bapa saudaranya Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni almarhum Sultan Zainal Abidin II. Baginda memerintah Selangor hingga mangkat pada 20 Sep 1979.
Tanggal 12 September 2010 bersamaan 4 Syawal 1431 merupakan satu tarikh berlakunya satu peristiwa yang pertama kali berlaku dalam sejarah Raja-raja Melayu selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
Lazimnya, seseorang Sultan atau Raja yang baru hanya diisytiharkan setelah Sultan/Raja yang memerintah telah mangkat. Namun, pada hari ini, Tengku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke13 menggantikan ayahandanya Sultan Ismail Petra yang masih hidup (gering) dan menggunakan nama gelaran rasmi SULTAN MUHAMMAD V.
Baginda dilantik sebagai Sultan Kelantan di bawah peruntukan Artikel 23A Perlembagaan Negeri (Bahagian 2). Perisytiharan ini diluluskan sebulat suara oleh Majlis Perajaan Kelantan. Peristiwa ini menarik perhatian umum, bukan sahaja rakyat Kelantan malah seluruh rakyat Malaysia kerana sebelum ini istana Kelantan telah melalui krisis kekeluargaan yang berlarutan.
Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra diputerakan pada hari Jumaat 11 November 1949 bersamaan dengan 19 Muharam 1369 Hijrah di Istana Jahar, Kota Bharu, Kelantan. Baginda adalah putera tunggal dan anakanda bongsu kepada Almarhum Sultan Yahya Petra dan Almarhumah Raja Perempuan Zainab II. Baginda membesar bersama empat orang kekanda iaitu Tengku Merjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani.
Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mendapat pendidikan menengah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu sebelum belajar dengan guru khas Bahasa Inggeris.
Pada tahun 1968, Sultan Ismail Petra menyertai Perkhidmatan Pentadbiran Kerajaan sebagai pegawai dan berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk tempoh setahun. Baginda kemudiannya bekerja di Pejabat Tanah dan Daerah di Kota Bharu. Pada masa ini, baginda memperoleh pengalaman yang luas dan pengetahuan yang luas dalam semua bidang pentadbiran.
Sultan Ismail Petra telah berkahwin dengan Raja Perempuan Kelatan Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid pada tanggal 4 Disember 1968 di Istana Kota Lama, Kota Bharu dan Istiadat persandingan Diraja telah dilangsungkan di Istana Balai Besar pada 12 Mac 1969 mengikut adat istiadat raja-raja Kelantan.
Baginda telah dianugerahi empat orang cahaya mata dengan Tengku Anis iaitu Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Sultan Ismail Petra dan Tengku Amalin A’ishah Putri binti Sultan Ismail Petra.

Sultan Ismail Petra juga mempunyai seorang lagi isteri, iaitu Cik Puan Elia Suhana binti Ahmad, yang dinikahinya pada 23 Disember 2007. Dilaporkan bahawa Sultan Ismail Petra telah memfailkan permohonan untuk pengesahan perceraiannya daripada isteri keduanya di Mahkamah Tinggi Syariah pada 9 Mac 2010. Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Syariah menolak permohonan untuk mengesahkan lafaz cerai yang didakwa dilafazkan oleh Sultan Ismail Petra terhadap isteri keduanya pada 30 Mac 2011.
Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yanya Petra telah dikurniakan dengan gelaran YTM Tengku Mahkota Kelantan pada 11 November 1967 oleh Almarhum ayahanda Baginda Sultan Yahya Petra sewaktu Baginda mencapai usia 18 tahun, dan ditabalkan sebagai YTM Tengku Mahkota sempena dengan sambutan hari ulang tahun keputeraan Baginda Sultan Yahya Petra yang ke-58 pada tahun 1968.
Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra telah dimasyhurkan sebagai Al-Sultan Kelantan ke-28 menggantikan ayahanda baginda yang mangkat pada 29 Mac 1979 ketika bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-6 . Baginda telah dimahkotakan (ditabalkan) sebagai Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, Kota Bharu Kelantan pada 0 Mac 1980.
Baginda dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat dalam bidang Sains Politik dari Universiti Ramkhamhaeng, Thailand pada 8 Januari 2002.
Sultan Ismail Petra telah mengalami kegeringan yang panjang dan menyebabkan baginda tidak dapat menjalankan daripada tugas mentadbir negeri. Baginda telah
menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana mengalami strok pada 14 Mei 2009. Kerajaan negeri Kelantan melantik 10 pakar perubatan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan baginda. Panel pakar memutuskan baginda masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas memerintah negeri.
Pada 25 Mei 2009, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan bagi menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b)- Bahagian II, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja sehingga pada 12 Sep 2010 apabila Majlis Perajaan Negeri (MPN) membuat keputusan mengisytiharkan Tengku Mahkota sebagai Sultan Kelantan ke 29 dengan gelaran Sultan Muhammad V.
Walau bagaimanapun pada 13 September 2010, Sultan Ismail Petra telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan tidak mengikut Perlembagaan. Sultan Ismail Petra sedang sembuh daripada strok yang dialaminya pada tahun 2009.
Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat pada hari Sabtu, 28 September 2019 dalam usia 69 tahun, di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akibat serangan jantung. Baginda dimakamkan berhampiran makam ayahandanya, Almarhum Sultan Yahya Petra di Makam Diraja Langgar, berdekatan dengan Masjid Langgar di Kota Bharu, Kelantan.
SULTAN MUHAMMAD V
DK DKM DMN DK(Selangor) DKNS DK(Johor) DK(Perak) DK(Perlis) DK(Kedah) DK(Terengganu) DK(Pahang) SPMK SJMK SPKK SPSK SPJK
Sultan Muhammad V diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra bin Tengku Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969. Baginda merupakan putera sulung kepada Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis.
Baginda mendapat pendidikan awal di TADIKA Fatima Convent dari 1974 hingga 1975. Baginda meneruskan pendidikan peringkat rendahnya di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1), Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran peringkat menengah di Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur. Baginda kemudiannya berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya, baginda melanjutkan pengajian di Kolej St Cross, Oxford dan Oxford Islamic Centre untuk mengikuti Pengajian Islam dalam bidang diplomatik. Baginda menamatkan pengajian pada tahun 1991.
Baginda juga menuntut pengajian di Kolej Universiti Huron, Ontario di Kanada, Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit di Berlin, Jerman dan European Business School London di United Kingdom.
Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan. Baginda juga telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) dari 20 Mei 2003 hingga 1 Ogos 2012.
Tengku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan Baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985. Baginda ditabalkan sebagai Tengku Mahkota secara rasmi pada 6 Oktober 1987 di Balairong Sri Istana Balai Besar, Kota Bharu.
Tengku Mahkota Kelantan
Pada 25 Mei 2009, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan, setelah ayahanda baginda Sultan Ismail Petra mendapat rawatan susulan akibat serangan strok di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Pada 13 September 2010, baginda telah diisytiharkan sebagai Al-Sultan Kelantan ke-29, menggantikan ayahandanya yang gering dan tidak mampu memerintah akibat serangan strok. Mengikut Perkara 29A Perlembagaan Negeri Kelantan, Sultan tidak boleh lagi menjadi raja jika baginda tidak berdaya maju memerintah selama tempoh lebih daripada satu tahun. Baginda mengambil nama Sultan Muhammad V.
Sultan Muhammad V telah menghadiri Mesyuarat ke-222 Majlis Raja-Raja buat kali pertamanya sebagai ahli penuh pada bulan Oktober 2010. Ini menandakan pengiktirafan kesertaan baginda sebagai Sultan oleh raja-raja Melayu lain.
Selaras dengan tugas baginda sebagai Sultan dan pemerintah negeri Kelantan, baginda kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan dimasyhurkan pada Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor & Konvokesyen ke-12 UMK di UMK Bachok pada 23 November 2022. Baginda juga memegang jawatan sebagai Kolonel Utama Rejimen Artileri Diraja dan Kor Risik DiRaja (Korp Perisikan Diraja), kedua-duanya dari Tentera Darat Malaysia.
Pada tanggal 13 Disember 2011, baginda telah dilantik memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah pula ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14. Istiadat mengangkat sumpah jawatan dijalankan di Istana Negara Kuala Lumpur.
Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih Sultan Muhammad V untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 selepas tamatnya penggal Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memegang tampuk negara. Pemasyhuran itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.
Pada 24 April 2017, baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Malaysia yang ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat yang diadakan di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada usia 47, baginda adalah Yang di-Pertuan Agong termuda keempat yang ditabalkan selepas Raja Perlis Tuanku Syed Putra Jamalullail (40), Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin (44) dan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim (43).
Pada 2 November 2018, pihak Istana Negara memaklumkan bahawa baginda beristirehat menjalani rawatan sehingga 31 Disember 2018. Maka, Timbalan YDPA, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memangku tugas YDPA selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Malaysia sepanjang ketiadaan baginda.
Pada 6 Januari 2019, baginda telah turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15, menjadikan baginda yang pertama untuk turun takhta kerajaan Persekutuan dalam sejarah Malaysia sementara penggal pemerintahan baginda seharusnya berakhir pada 12 Disember 2021.
BERITA MENGEJUTKAN
Pada 6 Jan 2019, Sultan Muhammad V telah meletakkan jawatan sebagai Yang Di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa serta merta. Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.
Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016dan turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Tuanku turut bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini, supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.
Kontroversi Perkahwinan Demi Perkahwinan
Pada 15 November 2004, Sultan Muhammad V (ketika itu bergelar Tengku Mahkota Kelantan) telah berkahwin dengan kerabat diraja Pattani, Tengku Zubaidah binti Tengku Norudin. Namun pasangan diraja ini telah bercerai pada tahun 2008.
Pada 30 Oktober 2010, baginda telah melangsungkan perkahwinan kedua dengan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah yang berasal dari Republik Czech dan mengisytiharkannya sebagai Sultanah Kelantan pada 2 Ogos 2022 dengan kurniaan Pangkat Kemuliaan yang membawa gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Sultanah Kelantan.
Pada 2 November 2018 sehingga 31 Disember 2018, ketika baginda dalam tempoh cuti sakit dan mendapatkan rawatan di luar negara, baginda dilaporkan telah berkahwin dengan bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss Moscow 2015 Oksana Voevodina di Barvikha, Rusia. Bagaimanapun, majlis perkahwinan yang diadakan di Moscow hanya dihadiri kenalan rapat dan ahli keluarga terdekat sahaja. Sebelumnya, baginda bersama Oksana Voevodina telah mengadakan akad nikah mengikut syariat Islam yang dilakukan secara tertutup pada 7 Jun 2018 di Kota Bharu, Kelantan. Oksana juga dilaporkan telah memeluk Islam pada April 2018. Walau bagaimanapun, tiada rekod rasmi perkahwinan mereka didaftarkan di Rusia. Pengamal media juga melaporkan kelahiran putera mereka Tengku Ismail Leon Petra pada 21 Mei 2019. Pada 22 Jun 2019, baginda telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Singapura. Seterusnya, pada 1 Julai 2019, baginda telah menceraikan Oksana dengan "talak tiga" atau talaq ba'in. Pada 6 September 2019, baginda mengakui bahawa perkahwinan itu pernah berlaku serta menzahirkan kekesalan dan rasa yang amat dukacita di atas kekhilafan peribadi baginda yang telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Pada Oktober 2025, tular di media bahawa baginda telah melangsungkan perkahwinan kali keempat dengan seorang warga Amerika Syarikat, Brittany Porter atau nama Islamnya, Brittany Petra. Menurut beliau, mereka mula berkenalan di bandaraya New York pada Januari 2024. Pada April 2024, baginda telah melamarnya dengan sebentuk cincin berlian biru dan pasangan tersebut kemudiannya melangsungkan upacara akad nikah di Oman pada bulan yang sama. Brittany mendakwa bahawa beliau tidak menyedari bahawa upacara tersebut merupakan perkahwinan yang sah di sisi undang-undang dan menganggapnya sebagai sebuah majlis pertunangan. Brittany turut menyatakan bahawa beliau mengalami keguguran pada Julai 2024 dan baginda kemudiannya telah menghentikan semua bentuk komunikasi dengannya
Kontroversi Perlantikan Pewaris Tahta Kelantan
Pada 18 Oktober 2010, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, 36 tahun, adinda Sultan Muhammad V, telah dilantik menjadi Tengku Mahkota Kelantan. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias menyatakan bahawa perlantikan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang dipengerusikan oleh Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Majlis perlantikan di adakan di Istana Negeri, Kubang Kerian.
MPN juga telah membuat keputusan untuk menamatkan keahlian Tan Sri Tengku Razaleigh bin Tengku Hamzah dalam MPN Kelantan.
Tengku Muhammad Fa-iz, adalah putera kedua Sultan Ismail Petra. Baginda diputerakan di Istana Kota Lama pada 20 Jun 1974 sebelum itu merupakan Tengku Bendahara Kelantan sejak 30 Mac 1989 dan juga Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sejak 21 Jun 2009.
Pada 8 Dis 2016, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kelantan sepanjang tempoh DYMM AlSultan Muhammad V bersemayam di atas tahta Istana Negara sebagai Yang Di Pertuan Agong XV mulai 13 Dis 2016.
Pada 30 Sep 2010, Sultan Muhammad V telah melucutkan gelaran Tengku Temenggong Kelantan dari adindanya Tengku Muhammad Fakhry ibni Sultan Ismail Petra. Selain gelaran itu, turut ditarik balik adalah anugerah kebesaran Darjah Kerabat Kelantan (DK) Al Yunusi dan Darjah kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) (Al-Muhammadi).
Pengumuman perlucutan jawatan tersebut dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias.
Pada 6 Januari 2019, rakyat Malaysia menerima berita yang amat mengejutkan apabila Sultan Muhammad V telah turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15. Mengikut perlembagaan tempoh penggal pemerintahan baginda seharusnya berakhir pada 12 Disember 2021.
Pada 14 Mac 2022, Tengku Muhammad Fakhry Petra dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kekandanya Tengku Muhammad Fa-iz Petra pada 18 Okt 2010.
Pada 18 Jan 2024, rakyat Kelantan menerima berita mengejutkan apabila dimumkan bahawa Istana Kelantan menarik balik gelaran Tengku Mahkota Kelantan dari Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra dan menganugerahkannya kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang juga Tengku Bendahara Kelantan.
Perkara itu dinyatakan dalam dua warta kerajaan Kelantan secara berasingan bertarikh 11 Januari 2024 yang disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nazran bin Muhammad. Kedua-dua keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Kelantan berkuatkuasa pada 4 Januari 2024 berdasarkan kuasa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bawah Fasal (2) Perkara 27 Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) yang dibaca bersama dengan Seksyen 27 Interpretation Acts 1948 dan 1967.
KEMASKINI TERAKHIR : 30 OGOS 2026
No comments:
Post a Comment