Sunday, February 8, 2015

MTA 070 : JOHORKU VI : SEJARAH DAERAH BATU PAHAT

KEMBARA
JOHOR
SEJARAH BATU PAHAT


Setelah mendapat pelbagai maklumat sejarah dan metos berkaitan Daerah Muar dan Ledang, kita memasuki daerah Batu Pahat.

Batu Pahat adalah tanah daerah kelahiran penulis. Penulis dilahirkan pada 22 November 1959 di Kampung Parit Lapis Mahang, Mukim 10, Senggarang, Batu Pahat. Nama 'PARIT' adalah simbol yang selalu dikaitkan dengan perkampungan MELAYU yang dibuka oleh keturunan Jawa di Malaysia sejak awal tahun 1900an. Terdapat banyak perkampungan Melayu keturunan Jawa yang menggunakan nama PARIT di daerah Batu Pahat, Muar, Pontian, Kluang di Johor; Jasin di Melaka;  Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam (Selangor) dan Bagan Datuk di Perak.

Selain itu kelompok perkampungan Melayu keturunan Bugis banyak terdapat di daerah Batu Pahat Selatan (Rengit dan Tampok) dan daerah Pontian Utara.

DAERAH BATU PAHAT


Sejarah Batu Pahat

Pada zaman dahulu, Batu Pahat dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat juga dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan-petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenamaan dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Sultan Hussin di Singapura dan Johor, dua orang ketua dari orang-orang Melayu Daik, dan seorang lagi dari Simpang Kiri bernama Rapang dari keturunan Orang Besar Pahang telah menghadap Sultan Hussin. Mereka berdua telah diberi taraf penghulu oleh Sultan Hussin di tempat masing-masing pada tahun 1834.

Berikutan dengan pembukaan petempatan-petempatan kecil ini, maka kawasan Batu Pahat ini telah bertambah maju dan meluas. Pada tahun 1885 beberapa orang keturunan Inggeris iaitu bernama Stiple, Jackson dan Watt telah membuka sebuah ladang kopi di Bukit Penggaram iaitu berhampiran dengan Pengkalan Jeram. Pemborong yang telah mengerjakan ladang itu adalah seorang Cina bernama Lim Soo Poon telah menjadi seorang kaya (tauke) dan ia telah berjaya membuat empat pintu rumah batu berdekatan dengan Sungai Batu Pahat.

Pada tahun 1888, usaha-usaha untuk membuka Bandar Batu Pahat semakin giat dijalankan oleh Dato’ Yahya bin Awaluddin yang turut dikenali sebagai Dato’ Yahya Tinggi di suatu kawasan Bukit Senangin, Kampung Tambak, tebing kanan Sungai Batu Pahat. Tetapi usaha beliau menemui kegagalan kerana faktor ekonomi dan geografi yang tidak sesuai. Malah menurut kepercayaan orang tua yang ada di kawasan itu tidak boleh dijadikan bandar kerana akhirnya akan dimasuki “angin”. Akhirnya, tempat tersebut ditinggalkan begitu sahaja. Pada tahun yang sama juga seorang lagi pembesar yang bergelar Dato’ Yahya Rendah cuba membuka bandar di kawasan Senanangar tetapi gagal juga kerana orang-orang tua peda masa itu menyatakan “nanti mulut ternganga”.

Walau bagaimanapun, pembukaan petempatan-petempatan baru masih juga diteruskan. Pada tahun 1889 Orang Kaya Sidek bin Ismail telah membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan Kampung Jakun dan kawasan ini dinamakan Benut Selamat. Tetapi tidak lama kemudian nama tersebut telah bertukar kepada Bagan. Ramai orang yang tertarik ke tempat itu termasuk juga orang yang datang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain pulau. Orang-orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka kebun-kebun kelapa dan kopi. Di antara orang-orang yang terkenal di kampung itu ialah seperti Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang Muar). Sehinggalah pada tahun 1893, Dato’ Bentara Luar iaitu Dato’ Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari Kuala Sungai Batu Pahat.

Kemajuan Bandar Maharani yang telah dibuka pada tahun 1884, mencabar keupayaan penghulu-penghulu Batu Pahat bagi membuka sebuah bandar. Tambahan pula memandangkan kemajuan yang pesat di kawasan sekitarnya seperti Serum, Bertam, Tebing Tinggi, Kampung Sejagong, Langkap, Chaah dan lain-lain lagi. Maka satu perjumpaan telah diadakan di Kuala Simpang, terdiri daripada orang-orang kaya, penghulu-penghulu, Menteri Penghulu dan Jenang-jenang (gelaran bagi ketua orang asli) yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Hamid bin Ahmad Ketua Pengaman Batu Pahat. Keputusan Mesyuarat tersebut telah melantik Penghulu Rahmat bin Ragam (Penghulu Simpang Kanan) dan Penghulu Kitam bin Mohd. Shah (Penghulu Simpang Kiri) mengadap Sultan Abu Bakar memohon Dato’ Muhamad Salleh bin Perang membuka satu bandar untuk Batu Pahat. Mereka berkeyakinan Dato’ Bentara Luar akan berjaya membuka sebuah lagi bandar kali ini di Batu Pahat.

Pada 4hb. November 1893, Dato’ Muhamad Salleh yang Pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pda 11hb. November 1893, Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau:

“Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar…”

Kedudukan tempat yang hendak dijadikan bandar adalah kira-kira 15 kilometer dari kuala Sungai Batu Pahat, sebelah kanan tebing mudik sungai. Dato’ Bentara Luar memilih kawasan ini kerana senang dan boleh merapatkan kapal-kapal besar yang dianggarkan dapat masuk ke sungai dengan membina sebuah dermaga bagi kemudahan perdagangangan laut. Sungguhpun kawasan yang hendak dijadikan bandar rendah, sering ditenggelami air masin sewaktu air pasang besar dari laut, kira-kira 2 kilometer ke darat tanahnya tinggi dan subur bagi tanam-tanaman.

Dato’ Bentara Luar membuat rumah kediamannya di Kampung Penggaram bertentangan dengan Tasik Kadri untuk membuat kerja membuka bandar.

“Pada 2hb. Disember 1893, fakir menjalankan pekerjaan ukur-mengukur dari jalan kebun kopi ke Gunung Penggaram sampai ke Sungai Penggaram. Di tepi Sungai Penggaram itu fakir jadikan sebuah rumah atap tempat duduk fakir. Fakir jalankan pekerjaan membuat jalan dalam itu. Fakir mulakan menjalankan membuat rumah, pejabat, polis, mahkamah dan tambak-menambak batu di jalan.”.

Kerja mengukur, merancang dan membangunkan pusat Bandar pentadbiran daerah telah berjalan lancar dengan bantuan kuat dua orang penghulu itu termasuk perbelanjaan yang dipungut dari orang tempatan dan juga bantuan kewangan dari Orang Kaya Bagan serta kewangan Dato’ Bentara Luar sendiri. Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato’ Muhamad Salleh bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit tersebut disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu pegawai-pegawai tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis, penjara, rumah sakit dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu. Perkembangannya berjalan dengan baik dan lancar dan dalam masa sebulan sahaja jumlah hasil kutipan telah mencapai RM1,500.00.

Pada 1hb. Disember 1894, diadakan satu majlis pengisytiharan menamakan bandar itu dengan nama Bandar Penggaram mengambil sempena nama Kampung Penggaram yang sedia ada di situ yang menjadi kampung kediaman Penghulu Rahmat.

Selain itu, turut diwujudkan sistem pentdbiran moden serta pegawai-pegawai tadbir tertentu bagi menggantikan sistem tradisional. Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato’ Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, telah memainkan peranan yang amat aktif. Orang-orang kampung telah digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang dan berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Dato’ Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini.

Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato’ Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commissioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21 hingga 24 Disember 1896. Kemajuan ekonomi Batu Pahat dapat diukur berdasarkan pendapatan daerah yang didapati sepanjang tahun. Semasa bandar ini di bangunkan dalam tahun 1893 pentadbiran daerah berjaya mengutip sejumlah RM15,000.00 sahaja tetapi dalam tahun 1910 pendapatan tahunan mencapai jumlah RM55,375.00.

Era Dato’ Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato’ Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru apabila sistem pentadbiran yang seiring dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran.

Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Ta’zim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

Minyak Beku

Kampung Minyak Beku merupakan sebuah kampung berhampiran dengan bandar Batu Pahat. Lokasi tepatnya ialah di tepi laut barat Johor. Asal usul nama Kampung Minyak Beku ialah di awal penemuannya, penduduk kawasan berdekatan sering mengambil minyak daripada sejenis pokok (ada yang menyatakan pokok keruing) di kawasan tersebut, apabila ditakik akan mengeluarkan cecair minyak. Minyak pokok tersebut itu membeku sebelum sampai ke tanah. Lalu mereka berpakat memanggil nama tempat itu sebagai Minyak Beku.

Kampung Minyak Beku terkenal dengan tempat terletaknya sebuah batu besar berpahat, lebih kurang sepuluh kaki saiznya (di sebelah balai polis). Batu besar ini dipahat oleh Siam (Ayudhya) untuk mendapatkan bekalan air tawar. Telah dikatakan bahawa askar Siam yang diketuai oleh Awi Dichu berlabuh di tempat ini bagi berlindung dan menyusun strategi untuk menyerang Melaka. Namun mereka dapat ditewaskan angkatan perang Melaka yang diketuai oleh Tun Perak dan mereka berundur pulang ke Siam.

Lokasi perigi batu dipahat inilah juga yang diceritakan menjadi  asal-usul nama Batu Pahat. Nama Batu Pahat ini kemudiannya menjadi lebih terkenal berbanding nama asalnya Bandar Penggaram. 



Fail:Peta Mukim Batu Pahat.jpg

Daerah Batu Pahat mempunyai keluasan 1872.56 km persegi (723 batu persegi) dengan jumlah penduduknya seramai lebih kurang 496,000 (2020) mengandungi 14 buah Mukim, iaitu:
  • Lubok (Mukim I)
  • Bagan (Mukim II)
  • Peserai (Mukim III)
  • Simpang Kiri (Mukim IV)
  • Simpang Kanan (Mukim V)
  • Linau (Mukim VI)
  • Tanjung Semberong (Mukim VII)
  • Sri Gading (Mukim VIII)
  • Minyak Beku (Mukim IX)
  • Kampung Bahru (Mukim X)
  • Sungai Punggor (Mukim XI)
  • Sungai Kluang (Mukim XII)
  • Chaah Bahru (Mukim XIII)
  • Sri Medan (Mukim XIV)
Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat.

Nama-nama bandar dan pekan utama dalam daerah Batu Pahat adalah:
  • Bandar Penggaram (Batu Pahat)
  • Bandar Yong Peng 
  • Pekan Parit Raja 
  • Pekan Rengit 
  • Pekan Ayer Hitam
  • Pekan Parit Sulong
  • Pekan Parit Yaani
  • Pekan Senggarang
  • Pekan Semerah
  • Pekan Seri Medan
  • Pekan Seri Gading (Kencana Pura)
Ayer Hitam

Pekan Ayer Hitam adalah jalan masuk ke daerah Batu Pahat, kalau kita datang dari daerah Kluang atau Kulai. Sebelum wujudnya lebuhraya PLUS, kedudukan pekan ini amat strategik kerana terletak di tengah perjalanan dari Johor Bahru ke Kluang atau ke Batu Pahat atau ke Segamat (melalui Yong Peng). Ini menjadikan lampu isyarat di simpang empat pekan ini menjadi sesak, kerana pemandu tidak mempunyai alternatif lain. Masjid Jamek Air Hitam juga menjadi tempat persinggahan popular bagi musafir yang menggunakan jalan Persekutuan tersebut. Pada masa itu pekan ini hanya mempunyai deretan bangunan batu yang lama serta kedai dari bangunan kayu yang nampak begitu usang dan daif.

Pekan Ayer Hitam (tahun 1940an)
Pekan Ayer Hitam (tahun 1960an)

Nama pekan Ayer Hitam pada mulanya dikenali sebagai Simpang Pulai. Nama asal ini diambil sempena sebatang pokok pulai besar yang tumbuh di tengah-tengah simpang empat (lokasi lampu isyarat yang diceritakan di atas). Simpang yang ada di pokok pulai besar. Nama Simpang Pulai diubah menjadi Ayer Hitam kerana penduduk tempatan menemui aliran air (dulu perkataan 'AIR' dieja dengan 'AYER') berwarna kehitam-hitaman mengalir dari atas bukit ke kawasan penduduk (mungkin air tanah gambut). Perubahan nama ini dipercayai berlaku pada awal kurun ke-20. 

Apabila lebuhraya PLUS dibina, penulis ingat, pekan Ayer Hitam akan mati namun tanggapan ini salah. Pekan ini sekarang semakin maju, banyak projek pembangunan seperti stesen bas, bangunan kedai dan perumahan baru menjadikan pekan ini lebih cantik dan sistematik. Simpang berlampu isyarat masih tetap sesak dengan pertembungan kenderaan dari arah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Yong Peng dan yang masuk dari lebuhraya. Kalau musim perayaan (especially Hari Raya dan KHFC), kesesakan dari semua arah boleh mencapai hingga 3 atau 4 km panjangnya.

Parit Raja

Pekan Parit Raja merupakan pekan ketiga terbesar dalam daerah selepas Bandar BP dan Yong Peng. Pada tahun 1970an, Parit Raja yang terletak kira-kira 17.5 km dari Ayer Hitam dan  30.3 km dari bandar Batu Pahat hanyalah sebuah pekan kecil yang terdiri deretan rumah kedai (bangunan kayu) lama di kiri kanan jalan sepanjang setengah km sahaja. Pada masa itu Parit Raja hanya terkenal sebagai pasar mingguan Isnin dan Khamis dan sebuah bangunan pasar buruk berlantai tanah, tiang kayu, atap zing, tiada dinding yang menjual hasil kampung khususnya sayur-sayuran, ubi keledek, kueh-mueh, makanan (terutama pecal) dan hanya satu sahaja kedai daging lembu milik Pakcik Atis (almarhum Abdul Aziz- dia adalah sepupu almarhum bapa penulis). 

Bagaimana Parit Raja mendapat nama?. 

Sejarah asal usul nama Parit Raja ini dikutip dari sebuah laman facebook. Pada tahun 1909, sekumpulan masyarakat Jawa yang di ketuai oleh Tn Hj Nawawi @ Abdullah Fakeh bin Hj Mohamad Ali telah membuka dan meneroka sebuah penempatan kecil di dalam daerah Batu Pahat. Di penempatan baru, pelbagai aktiviti telah dilakukan seperti bercucuk tanam, membuka kebun, memburu dan sebagainya. Sebelum kejadian bah besar, kawasan ini merupakan satu kawasan tanah yang sangat subur. Hj Nawawi mengetuai penduduk kampung menggali parit dan membina benteng penghalang banjir secara gotong-royong pada sekitar tahun 1918. Pada ketika gotong-royong dijalankan, DYMM Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Abu Bakar berserta rombongan yang dalam perjalanan ke Muar telah melalui jalan ini. Selaku Sultan yang amat prihatin kepada rakyatnya, baginda telah mencemar duli turun dari kenderaannya dan telah menemui rakyat.

Baginda turut berkenan mencemar duli dengan meminta sebatang cangkul dari Tuan Hj Nawawi untuk turut serta dalam kerja pembinaan benteng dan parit tersebut. Sebelum baginda berangkat meneruskan perjalanan, baginda telah berkenan bermurah hati memberikan barangan sumbangan seperti beras, gula dan sumbangan wang tunai sebanyak 270 ringgit kepada penduduk kampong (mungkin nilainya lebih RM200,000 sekarang).

Dengan rasa penuh kesyukuran, penduduk kampong tersebut telah menganjurkan majlis jamuan dan doa selamat di kalangan mereka bagi menunjukkan penghargaan dan rasa bangga masyarakat di atas kunjungan DYMM Sultan. Seluruh penduduk kampung kemudiannya bersepakat untuk menamakan kampung mereka dengan PARIT RAJA, iaitu mengambil sempena keberangkatan Tuanku Raja yang memerintah Negeri Johor itu.

Walaupun penduduk kampung pada asalnya mahu menamakan kampung mereka dengan nama Kampung Haji Nawawi (sebagaimana nama-nama sebahagian kampong sekitarnya yang mengambil sempena nama Ketua mereka yang membuka kampong tersebut. Bermulalah dari hari itu, kampung ini dinamakan kampong Parit Raja. Anak Hj Nawawi ini yang bernama Hj Yushak kemudiannya menjadi tokoh politik tempatan (UMNO) dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja.

Pekan Parit Raja di tahun 1980an.

Kini walaupun kekal sebagai pusat pengedaran hasil industri kecil makanan dari kampong sekitarnya (seperti kerepek dan kueh mueh tradisi), Parit Raja juga membangun dengan pesat sebagai kawasan perindustrian (perkilangan) teknologi tinggi, malah di Parit raja kini tersergam sebuah kampus universiti (IPTA) iaitu Universiti Tun Hussein Onn (dulu Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn -KUiTTHO).

Parit Sulong

Pekan Parit Sulong terletak di tebing Sg Simpang Kiri. Kata orang-orang tua zaman dahulu, jika rusa masuk kampung, tanda kampung akan menjadi bandar. Begitulah alamat yang terbayang pada orang-orang Pt Sulong sebelum ia ditandakan sebagai salah satu kawasan pembangunan pada tahun 1950.

Dalam tahun itu dua ekor rusa tiba-tiba muncul di Kampung Parit Jalil. Melihat rusa, orang-orang kampung jadi terkejut, ada yang sempat mencapai parang dan mengejarnya untuk dijadikan makanan. Seperti lazimnya, rusa itu pun bertempiaran lari. Apabila di bibir Sungai Simpang Kiri, kedua-dua ekor rusa itu berpisah. Seekor menuju ke hutan tebal dan seekor lagi menyeberang sungai ke arah Parit Sulong. Bagaimanapun, kemuncuan tiba-tiba rusa itu di Parit Sulong seolah-olah memukau orang-orang kampung di situ. Rusa itu berjalan dengan gemalainya menyeberang Kampung Dalam lalu ghaib.

Dua tahun kemudian, apabila cerita rusa memukau itu hampir dilupakan orang, tiba-tiba kerajaan mengumumkan Parit Sulong akan dijadikan pusat pemindahan orang-orang kampung pedalaman yang diancam komunis. Pengumuman itu disertakan dengan pelan lengkap tentang pembangunannya. Dan sejak itu Parit Sulong terus membangun sebagai salah sebuah pekan besar dan penting di Johor ini.Bagaimanapun, apa yang menarik tentang pekan ini kini ialah sejarah bagaimana ia memperoleh namanya? Soalnya SULONG itu berasal daripada apa?

Sebenarnya, pekan itu mengambil sempena nama seorang pemburu diraja yang terkenal dalam awal kurun ke 20 bernama Sulong. Sulong ialah anak seorang panglima bernama Gantang keturunan Megat Seri Rama atau Laksamana Bentan pada zaman Kerajaan Johor Purba.

Semasa berlaku krisis dalam Istana, kerajaan Johor antara Raja Kecil, pewaris Sultan Johor dan orang-orang Bugis, ayah Panglima Gantang, Panglima Bontak, dan keluarga serta pengikutnya,mengundur diri ke Pahang kerana tidak mahu mencampuri perebutan kuasa itu.

Bagaimanapun, tidak lama di Pahang, istana Pahang juga mengalami krisis perebutan kuasa dan campur tangan British. Panglima Gantang ketika itu sudah berkeluarga berserta pengikutnya dan beberapa pembesar Pahang, mengundur diri ke Bukit Inas, dekat Parit Sulong sekarang. Tiba di Bukit Inas yang mempunyai sejarah Raja Donan, rombongan Panglima Gantang pun berkhemah dan kemudian berkampung di situ.

Bagaimanapun, bak kata pepatah 'Ke mana tumpahnya kuah,jika tidak ke nasi?' anak-anak Panglima Gantang, iaitu Sulong, Awal, Manang dan Manap meninggalkan Bukit Inas untuk membuka kampung di kaki bukit. Bersama-sama mereka tertanam semangat dan kecekapan bermain dan membuat senjata Megat Seri Rama. Keempat-empat beradik ini terkenal dengan kecekapan memburu. Apatah lagi apabila diperkenalkan dengan senjata moden seperti senapang, memburu menjadi satu kerja yang mudah bagi mereka.  Kecekapan mereka mashur hingga ke seluruh negeri Johor.

Suatu hari ketika Sultan Ibrahim (Sultan Johor) melawat Singapura, baginda  ternampak sepasang gading gajah besar dipamerkan di sebuah kedai. Apabila ditanya dari mana asalnya gading itu, Sultan diberitahu ia dijual oleh seorang pemburu ternama dari Simpang Kiri, Johor, Pendekar Sulong namanya. Sultan murka kerana Sulong memburu tanpa izin kerajaan, sedangkan semua hidupan liar di bawah takluk baginda. Kebetulan baginda juga mahir berburu. Baginda menitahkan pegawainya untuk menangkap Pendekar Sulong dan seterusnya dipenjarakan beberapa bulan

Bagaimanapun, oleh sebab banyak pembesar menasihati baginda Sultan supaya membawa pengiring yang cekap semasa memburu dan mengenang cerita orang tentang kecekapannya, Sulong kemudian diarahkan memandu Sultan semasa masuk hutan. Ketika Sultan berburu di Kota Tinggi, Mersing dan lain-lain di pelusuk Johor, Sulong sempat menunjukkan kehandalannya. Dan dia segera memenangi hati Sultan yang kemudian mengampunkannya. Dan sebagai menghargai jasa-jasanya pada Sultan, Sulong dilantik oleh baginda menjadi Ketua di kampungnya di Simpang Kiri.

Sulong segera membangun kampung dengan menjemput lebih ramai orang-orang Cina untuk mengusahakan tanaman gambir di Kangkar Merlimau dan Kangkar Senangar. Di samping itu, beliau juga menggalakkan lebih ramai orang keturunan Jawa untuk meluaskan lagi Kampung Simpang Kiri.

Apabila Sulong meninggal dunia, mengenangkan bahawa pelantikannya dibuat oleh Sultan sendiri, anak lelakinya hendak dilantik menggantikannya. Bagaimanapun, oleh sebab anak lelakinya masih kecil, lalu menantunya, Mohamad yang berasal dari Melaka diangkat menjadi ketua sementara.

Apabila anaknya meningkat dewasa, jawatan Ketua Kampung itu diserahkan kepada anak lelakinya yang tua bernama Mian. Ketika itu berlaku peperangan Dunia Ke Dua dan Jepun masuk memerintah. Ketika itulah Kampung Simpang Kiri ditukarkan namanya kepada PARIT SULONG oleh pemerintah Jepun dan Mian pula dilantik terus menjadi Soncho (Ketua Kampung) yang menyokong Jepun.

Apabila Tentera British kembali, mereka mahu menangkap Penghulu Mian namun beliau telah meninggal dunia. Panglima atau Kiyai Salleh yang menjadi hero orang-orang Melayu semasa pemerintahan Bintang Tiga diangkat menjadi Penghulu Kampung Parit Sulong.

Bagaimanapun, nama Sulong pewaris darah pahlawan Bentan tetap diabadikan kepada pekan yang cukup banyak kesan sejarahnya itu.

Parit Sulong juga terkenal semasa Perang Dunia II. Di sinilah berlakunya Pertempuran Batu Pahat antara Tentera Imperial Jepun dengan pasukan Tentera Australia yang menyayat hati.  Kesah Parit Sulong Massacre boleh dibaca di dalam Tajuk MTA 026 melalui url berikut:


Seri Medan

Sri Medan dahulunya merupakan bandar perkampungan yang unik telah banyak mengalami perubahan pembangunan. Sri Medan telah dibuka oleh Tuan Haji Yusof yang berasal dari Indonesia pada tahun 1912. Dahulunya Sri Ramonia merupakan nama asal bagi Sri Medan, nama ini diubah semasa pemerintahan Jepun di Malaya. Penduduk asal di Sri Medan adalah seramai 70 orang, mereka terdiri dari saudara terdekat Tuan Haji Yusof.

Sri Medan merupakan nama tempat asal Haji Yusof yang berasal dari Indonesia, dan Medan pula merupakan tempat yang berkelompok besar. Nama Medan juga diambil bersempena pengumpulan warga-warga buruh yang bekerja di lombong bijih besi yang diusahakan oleh Pihak Jepun. Buruh-buruh ini terdiri dari kaum Melayu, India, Cina dan warga lain.

Pada zaman pelombongan besi di Sri Medan di anggarkan seramai 15,000 orang pekerja dari warga Melayu, India, Cina dan Indonesia yang bekerja pada zaman tentera British. Pada tahun 1918 lombong besi diteroka oleh syarikat Jepun. Syarikat Jepun yang meneroka lombong besi ini bernama 'Nippon Kanji Kaisa ' atau dengan nama singkatannya ' NKK '. Pada tahun 1941 operasi lombong di Sri Medan telah ditamatkan, dan pada tahun 1942 ia telah dibuka semula sehingga 1945.

Pada sekitar tahun 60 an Sri Medan ini sering di landa banjir dalam tempoh yang panjang. Ini kerana kedudukan geografinya dan ketiadaan sistem saliran yang baik. Kesemua air yang melanda banjir di Sri Medan melalui dari Chaah dan Bekuk. Air banjir dari Sri Medan akan melanda Parit Sulong dan seterusnya akan mengalir terus ke Sungai Simpang Kiri (cabang Sg Batu Pahat). Penduduk Sri Medan perlu menempuh banjir yang panjang dan kadangkala berbulan-bulan lamanya sehingga air itu akan mengalir ke sungai atau meresap ke bumi. Ini menyebabkan beribu ekar kebun atau tanaman yang rosak dan musnah.

Pada tahun 1985 kerajaan Johor telah mengeluarkan peruntukan untuk membuat sistem saliran air di kawasan Sri Medan. Sehingga kehari ini tiada banjir yang melanda Sri Medan ini amat memudahkan penduduk di kawasan Sri Medan mendapat bekalan air yang cukup dan tiada tanaman yang akan di musnahkan akibat banjir.


Pekan Seri Medan

Senggarang

Pekan Senggarang adalah sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 24.3 km dari  bandar Batu Pahat ke arah bandar Pontian melalui jalan raya Persekutuan. Senggarang merupakan pekan yang terdekat dengan kampung kelahiran penulis. Tiada apa-apa keistimewaan yang aku boleh ceritakan mengenai pekan ini. Cuma wujud satu cerita bodoh semasa PRU ke 11 tahun 2004 apabila...

Pada 14 Mac 2004. Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang kepada PAS jika calonnya memberikan perhatian serius ketika mengisi borang pencalonan. Beliau yang kecewa dengan kehilangan kerusi itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh dipersalahkan kerana mereka telah memudahkan cara untuk calon bertanding. Calon berkenaan telah melakukan satu kesilapan ke atas BN dan ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan pengundi-pengundi kawasan DUN Senggarang. Pengundi di kawasan itu mahu mengundi BN kerana kawasan itu adalah kubu kuat BN.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas mengenai kemenangan tanpa bertanding calon PAS, Dr. Mohd. Ramli Md. Kari setelah pencalonan BN, Shamsiah Rashidah Ibrahim ditolak oleh SPR kerana kesilapan teknikal. Ini berikutan Muhayah Sulong yang menjadi penyokong Shamsiah Rashidah ditolak kerana bukan pengundi DUN Senggarang. Muhyiddin berkata, setiap calon BN di negeri Johor telah diarah memeriksa borang pencalonan dan mereka telah diberi penerangan tentang perkara berkaitan sehari suntuk di kediaman Menteri Besar di Johor Bahru.

Asal usul nama Senggarang ini ada beberapa versi. Cerita dari guru penulis semasa di sekolah rendah dulu, nama Senggarang ini, berasal dari perkataan 'Sang (Buaya) Yang Garang' iaitu merujuk kepada buaya yang garang atau ganas yang banyak menghuni di Sungai Senggarang. Banyak penduduk yang berurusan dengan sungai (masa dulu-dulu tiada jalan raya, orang kampong naik sampan menggunakan sungai untuk ke pekan) telah menjadi mangsa serangan sang buaya. Dek hari-hari menyebut sang garang, sang garang, lama kalau orang tanya, 'awak nak ke mana?".”Pegi Sungai Sanggarang". 

Dalam bahasa Jawa (bahasa penduduk majoriti kawasan ini) 'Yang Garang' disebut sebagai 'Seng Garang' dan bila disebut laju menjadi Senggarang.

Nama Senggarang juga dikesan sebagai nama sebuah kampung di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau, Indonesia.  Oleh itu, ada kemungkinan juga, salah satu kumpulan awal penduduk yang meneroka kawasan ini berasal dari kelurahan Senggarang di Riau ini, lalu mereka menamakan penempatan baru ini dengan nama kampung asal mereka. Ia tidak mustahil kerana banyak nama kampung di Johor yang menyamai nama tempat di Indonesia.

Rengit

Pekan Rengit popular dengan pasar minggu hari Jumaat dan menjadi lokasi jualan barangan perabut dan peralatan elektrik 'secondhand' yang tumbuh subur di sepanjang tebing Sg Rengit. Masuk ke arah pantai (kuala sungai) 1km dari pekan Rengit. Penjualnya adalah dari kalangan orang Asli (suku Orang Laut).

Kedudukan Rengit adalah 11 km selepas pekan Senggarang (ke arah Pontian). 
Di Negeri Johor, ada dua pekan bernama Rengit. Satu lagi ialah pekan Sungai Rengit di Pengerang dalam daerah Kota Tinggi. Rengit adalah nama sejenis serangga yang saiznya besar sedikit dari agas yang suka menghurung hidangan di dapur yang tidak bertutup, khususnya nasi yang sudah sejuk. Serangga ini tidak menggigit seperti agas atau nyamuk dan juga tidak membawa kuman penyakit seperti lalat tetapi ia merimaskan kita yang mahu menikmati hidangan.

Yong Peng

Yong Peng adalah pekan kedua terbesar dalam daerah Batu Pahat. Ia adalah pekan besar yang sudah hampir mencapai taraf bandaran. Yong Peng terletak kira-kira 32 km dari bandar Batu Pahat melalui jalan Ayer Hitam, atau 35 km jika melalui jalan Tongkang Pechah dan Parit Yaani.  Majoriti penduduknya adalah berbangsa China yang telah berhijrah ke sini sejak 1880 dalam zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar.

Semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar dari Johor pada tahun 1870-an, ramai pendatang dari Tanah Besar Cina (yang ketika itu dalam kekacauan) yang dibawa ke Tanah Melayu untuk bekerja sebagai buruh kasar di ladang dan perlombongan. Sebahagian daripada perintis awal kaum Cina ini memulakan perjalanan dari muara sungai di Batu Pahat, menyusuri Sungai Bekok, dan akhirnya menetap di kawasan tanah subur yang terletak tidak jauh dari pertemuan Sungai Bekok dan Sungai Sedi.

Sebelum kedatangan orang China, kawasan tebing Sungai Bekok dan Bukit Jambu merupakan penempatan lima keluarga Melayu yang berhijrah dari Indonesia di awal tahun 1800an. Pada masa itu, pekan tersebut dikenali sebagai ‘Sri Bertam’, yang dinamakan sempena sebatang pokok yang dipanggil ‘Pokok Bertam’ di Kampung Bukit Jambu. Masyarakat Melayu di situ ketika itu dipimpin oleh Arujamin Bin Runshut pelarian dari Acheh kerana berperang dengan Belanda. 

Pada bulan November 1847, empat orang pendatang Cina dari Chaozhou yang diketuai oleh Boo Koh Lak Loo (lebih dikenali sebagai Ah Loh) tiba di Sri Bertam dengan menaiki bot menyusuri Sungai Bekok. Mereka kemudian membina tiga buah rumah, dan seterusnya, beliau bersama pengikutnya serta bantuan rakan-rakan Melayu mula membersihkan kawasan hutan tebal di sekitar tebing sungai tersebut. Apabila penempatan kecil ini semakin makmur dan berkembang maju, Boo menamakan tempat itu sebagai Yong Peng, yang membawa maksud ‘Keamanan Abadi’ dalam bahasa Cina. Boo mentadbir Yong Peng berdasarkan sistem ‘Kangchu’ atau sistem ketua komuniti; dalam bahasa Cina, perkataan "Kang" bermaksud sungai manakala "Chu" bermaksud rumah. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, "Chu" merujuk kepada nama klan ketua pertama yang bertanggungjawab menguruskan kawasan perladangan di situ.

Kangchu Boo juga akan mengemukakan laporan tahunan mengenai Yong Peng kepada Sultan Abu Bakar. Bagi mengekalkan undang-undang dan ketenteraman, seorang lelaki Melayu bernama Ismail telah dilantik sebagai anggota polis Yong Peng. Kesalahan-kesalahan kecil dikendalikan oleh Kangchu Boo, manakala kes yang lebih serius dirujuk ke mahkamah majistret di Batu Pahat. 

Kangchu Boo meninggal dunia pada tahun 1907 dan diganti oleh anaknya, Kangchu Boo Koh Soon Meng. Beliau memimpin selama kira-kira 35 tahun sehingga meninggal dunia pada tahun 1942. Memandangkan beliau tidak mempunyai anak lelaki, sistem Kangchu mula merosot; pada tahun yang sama juga, Yong Peng telah ditakluki oleh pihak Jepun. 

Yong Peng turut terjejas semasa peristiwa 13 Mei 1969. Namun hubungan baik antara Ketua masyarakat Cina dan Penghulu Melayu dari kampung-kampung sekitarnya telah berjaya mencegah pertumpahan darah yang teruk seperti yang berlaku di kawasan bandar lain. Pada pertengahan tahun 1970-an, ketenteraman Yong Peng kerap diganggu  oleh persaingan dua kumpulan samseng (gangster). Keamanan berjaya dipulihkan apabila ASP Mokhtaruddin Yunus atau dikenali sebagai 'Justice Pao' dihantar bertugas mengetuai Balai Polis Yong Peng. Dalam tempoh beberapa minggu, beliau berjaya memulihkan ketenteraman awam, malah sehingga hari ini, ramai penduduk tempatan masih mengingatinya dengan penuh penghormatan sebagai seorang pegawai polis yang tegas dan berintegriti tinggi yang telah menyelamatkan Yong Peng.

TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH DI BATU PAHAT

Perigi Batu Pahat

Perigi Batu Pahat ini asalnya disebut Perigi Siam. Ia dibuat oleh tentera Siam yang diketuai oleh Panglima Awi Di Chu untuk mendapatkan bekalan minuman dalam tahun 1456 pada masa mereka datang hendak menyerang Melaka bagi kali yang kedua pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah. Baginda memerintah Melaka di antara tahun 1445-1458. Walau bagaimanapun kedatangan angkatan tentera Siam itu gagal menawan Melaka. Perigi ini asalnya adalah daripada sebuah takungan air terjun daripada bukit yang dikorek dan di dalamkan. Semenjak itu, orang-orang yang berulang-alik belayar yang mengambil air memanggilnya Batu Pahat.

Bukit Inas

Satu kawasan perkampungan dipercayai yang tertua sekali di Batu Pahat yang wujud pada awal kurun ke enam belas telah dibuka dan diasaskan oleh Tun Mamat (Tun Ahmad), seorang pembesar Melayu Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Setelah Melaka dikalahkan oleh Portugis dalam tahun 1511, Tun Mamat mengundurkan diri dan membuat tempat kediaman di kawasan ini. Salah satu makam yang bernisankan batu Aceh ini adalah dipercayai makam Tun Mamat. Keturunan dan zuriat Tun Mamat terus menetap di beberapa tempat di kawasan Simpang Kiri dan tempat-tempat lain khasnya di Batu Pahat hingga hari ini.

Tanjung Labuh

Perkampungan Tanjung Labuh ini telah diteroka dan di buka oleh Bagus bin Juma’at yang datang dari Simpang Kanan Batu Pahat kira-kira dalam tahun 1850-an. Sejak itu Tanjung Labuh mula terkenal dan penduduknya bertambah ramai. Seterusnya dalam tahun 1858 Bagus bin Juma’at telah dilantik menjadi Penghulu yang pertama bagi kampung ini. Dalam tahun 1870 Ahmad bin Abdul Majid seorang utusan Maharaja Abu Bakar Johor telah sampai untuk meninjau keadaan Tanjung Labuh dan mereka berpuas hati bahawa tempat ini ada harapan untuk berkembang maju. Sebuah Rumah Pasung (Balai Polis) telah dibina oleh Kerajaan Johor dalam tahun 1886 dan apabila Bandar Penggaram dibuka dalam tahun 1894 serta pentadbiran Batu Pahat disusun semula, maka Tanjung Labuh telah diiktiraf sebagai sebuah daerah dengan melantik Sulaiman bin Ali sebagai Pegawai Daerah yang pertama bagi kawasan Tanjung Labuh.

Bukit Jeragan

Semasa Penghulu Pulau mentadbir Simpang Kanan ada seorang jeragan kapal (Kapten) yang dijumpai terdampar hampir maut di Sungai Kundur (Sungai Batu Pahat) apabila kapalnya pecah dan karam di tengah laut. Apabila ia meninggal dunia mayatnya dikebumikan di bukit berhampiran, lalu bukit itu disebut Bukit Jeragan. Peristiwa ini berlaku kira-kira dalam tahun 1819. Sebelum dinamakan Bukit Jeragan ia dikenali sebagai Bukit Pantai kerana mudah dilihat dari arah laut.  

Selepas itu, Bukit Jeragan ini menjadi tanah perkuburan orang ramai termasuklah kubur Penghulu Pulau,  Penghulu Musa dan kaum keluarganya. Bukit Jeragan ini asalnya besar tetapi telah dipecahkan oleh Jepun pada zaman pemerintahannya di Malaya dan menjadi kecil seperti sekarang.

Kayu Tanda

Kayu tanda yang terletak di tepi padang hadapan Masjid Daerah ini adalah Kayu Tanda peringatan pembukaan Bandar Penggaram Batu Pahat pada tahun 1894. Tanda ini juga digunakan sebagai pengukur cahaya matahari untuk menentukan waktu gelincir cahaya bayangannaya bagi menentukan masuk waktu solat.

Kampung Minyak Beku

Kampung Minyak Beku telah di buka dan didiami oleh Daeng Ahmad atau gelarannya Wak Minah dalam tahun 1811 atas perintah Dato’ Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja Johor untuk membuka satu penenpatan di pantai barat Johor. Di situ ada sebatang pokok keruing yang berminyak dan beku keadaanya lalu tempat itu dinamakan Minyak Beku. Daeng Ahmad ini datang dari Tanah Bugis adalah keturunan Daeng Indera Perma yang berasal dari anak cucu Raja Chempa yang berkerajaan di Bukit Mor, Padang Muar. Beliau meninggal dunia kira-kira dalam tahun 1855 di Pontian Besar dan dikebumikan di situ.

Tasik Qadri

Pada masa dahulu terdapat sebuah tasik semula jadi di daerah Batu Pahat ini. Tanah berhampiran tasik ini dimiliki oleh seorang kaya keturunan Arab yang bernama Syed Abu Bakar Al-Qadri berasal dari Pontianak, Kalimantan yang tinggal di situ.  Maka Dato’ Bentara Luar dan Penghulu Rahmat telah meletakkan nama tasik itu sebagai Tasik Kadri. Bagaimanapun, pada tahun 1934 tasik yang indah ini telah di timbus (dikatakan membahayakan orang awam) dengan perintah Penolong Penasihat Kerajaan di Batu Pahat, iaitu seorang yang berbangsa Inggeris yang menjalankan pentadbiran di Bandar Penggarami.

Nota: Kesan kewujudan Tasik Qadri ini tidak dapat dibuktikan dan tidak diketahui lokasi sebenar. Ada yang mengatakan ia di kawasan Taman Rekreasi Tasik Y berhampiran dengan Sekolah Tinggi Batu Pahat.

Bukit Soga

Semasa Batu Pahat dibuka, kawasan di daerah ini terdapat rotan sega. Dengan ini maka ramailah orang yang berulang-alik mencari rotan dan termasuk juga orang-orang Kampar turut datang untuk mengambilnya. Tapi dari kepelatan percakapan orang-orang Kampar, mereka telah menyebut rotan sebagai soga. Sempena dengan kepelatan ini, bukit di mana terdapat banyak rotan ini telah di sebut sebagai “Bukit Soga”.

Bukit Cermai

Merupakan kawasan perkuburan orang-orang Islam yang terawal di daerah ini. Tanah perkuburan tersebut dinamakan Bukit Cermai bersempena mengambil nama orang yang pertama dikebumikan di kawasan tersebut iaitu “Cik Mai”. Tetapi sebelum kawasan ini dijadikan kawasan perkuburan dan dinamakan Bukit Cermai, orang-orang di sini mengenalinya sebagai “Bukit Basirah”.  Ada kemungkinan mengambil sempena pokok cermai 

Nota: Ayah mertua penulis, almarhum Dato' Haji Taha bin Zakaria yang meninggal dunia pada 26 Jun 1989 telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai ini.

Tasik Merdeka

Tasik Merdeka yang terletak di Jalan Bukit Pasir (bandar Batu Pahat ke arah Tongkang Pecah. Pada mulanya ia merupakan sebuah bukit yang dipanggil Bukit Memberus. Kemudian kerja-kerja mengambil batu dijalankan di sini untuk ditambak pada jalan-jalan baru. Setelah itu, iaitu di antara tahun 1935-1936 sebuah syarikat Jepun telah membuat lombong di sini untuk mengeluarkan bijih ‘boxide” dan nama bukit ini ditukar pula kepada Bukit Makmor. Bila kerja-kerja mengeluarka bijih ini selesai maka kawasan ini telah menjadi tasik. Semasa Dato’ Mohammad Eusof bin Abdul Rahman menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat, beliau mengesyorkan supaya tasik ini dimajukan untuk dijadikan tTaman Rekreasi dan dinamakan sebagai Tasik Merdeka.

Nota : Di Tasik Merdeka inilah penulis buat pertama kalinya membuat 'dating' dengan isteri penulis sekarang untuk menetapkan tarikh merisik dan meminang.

Tasik Merdeka (tahun 1990an)

No comments:

Post a Comment