Mersing dikatakan sebagai daerah yang paling mundur dalam negeri Johor TETAPI Mersing mempunyai banyak keistimewaan yang tidak dimiliki oleh daerah lain. Mersing kaya dengan khazanah hutan, jaluran pantai yang indah dan puluhan pulau-pulau kecil di Laut China Selatan yang popular sebagai destinasi pelancungan laut. Mersing juga memiliki sebahagian dari Taman Negara Endau-Rompin.
Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh bernama Amer Singh, kerana melakukan kesalahan jenayah yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Mungkin kerana jenayah yang dimiliki itu, namanya menjadi sebutan orang tempatan (mungkin berwaspada/takut) atau rupa diriyang berbeza dengan majoriti penduduk. Amer Singh, Amer Singh. Mer Singh, Mer Sing, Mersing. Ini membawa kepada tempat itu dikenali dengan nama Mersing.
Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang anak dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.
Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang telah kecewa (patah hati) lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal.
Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.
Antara pasir pantai yang indah di Mersing
Masjid Jamek bandar Mersing
Perjalanan dari Kluang ke Mersing melalui perjalanan yang sunyi kerana selain dari kampung-kampung tradisional, di kiri kanan jalan adalah hutan tebal yang sejuk mata memandang. Apabila menghampiri Mersing, banyak tanah penempatan Rancangan Felda (jika melalui jalan potong Felda Nittar. Jika diteruskan akan melalui ke simpang pekan koboi Jemaluang, sebuah pekan lama yang masih mundur dan tidak banyak kemajuan sejak bertahun-tahun lalu.
Pentadbiran
Daerah Mersing mempunyai keluasan 2,838.47 km persegi (1,096.94 batu persegi) dan jumlah penduduk seramai 78, 200 (2020), merupakan daerah yang mempunyai jumlah penduduk paling sedikit dalam negeri Johor dengan kepadatan 28 orang setiap satu km persegi.
Daerah ini mengandungi 14 buah Mukim, iaitu:
- Mukim Jemaluang
- Mukim Lenggor
- Mukim Mersing
- Mukim Padang Endau.
- Mukim Penyabong.
- Mukim Pulau Aur.
- MUkim Pulau Besar
- Mukim Pulau Pemanggil
- Mukim Pulau Sibu.
- Mukim Pulau Tinggi.
- Mukim Sembrong
- Mukim Tenggaruh
- Mukim Tenglu.
- Mukim Teriang
Bandar dan pekan yang terdapat dalam daerah Mersing adalah:
- Bandar Mersing.
- Pekan Jemaluang
- Pekan Endau.
Jemaluang
Jemaluang dikaitkan dengan sejarah awal penempatan di hulu Sungai Mersing yang dahulunya dikenali oleh pedagang sebagai Sam Man Thau.
Pada sekitar tahun 1890-an, kawasan ini menjadi tempat persinggahan penting bagi kapal-kapal dagang dari China. Nama Sam Man Thau membawa maksud hujung atau hulu sungai.
Lokasi ini dijadikan tempat tambatan tali sampan bagi para pelombong sebelum meneruskan perjalanan menaiki kereta lembu ke kawasan perlombongan berhampiran.
Nama Jemaluang kemudiannya berkembang sebagai sebuah mukim dan pekan penting di Daerah Mersing, terutamanya dengan pembukaan ladang getah dan kelapa sawit serta rangkaian jalan raya yang menghubungkan Mersing, Kluang, dan Kota Tinggi.
Pekan Jemaluang
PULAU-PULAU PERANGINAN JOHOR

Jeti Pulau Aur
Jeti Pulau Besar
Pulau Sibu
Jeti Pulau Sibu


Endau
Dari bandar Mersing ke utara iaitu ke arah sempadan negeri Pahang yang dipisahkan oleh Sungai Endau. Di kuala sungai ini, disebelah selatan terdapat sebuah pekan nelayan bernama Endau. Manakala di seberang sebelah utara (dalam negeri Pahang) adalah pekan Tanjung Gemok. Kedua-dua pekan ini mempunyai jeti pelabuhan untuk perkhidmatan bot ke Pulau Tioman.
Asal usul nama Endau tidak dicatatkan dalam sejarah bertulis hanya berdasarkan cerita rakyat. Dikatakan ia berasal dari nama seorang keturunan peranakan India bernama Endau. Oleh kerana keseluruhan penduduk di situ adalah keturunan Melayu, kehadiran orang peranakan menjadi perhatian, seperti juga nama Amer Sing di Mersing. Oleh kerana nama Endau kerap disebut dalam perbualana orang setempat maka ia menjadi rujukan kepada orang yang bertanya tentang nama tempat itu.
Taman Negara Endau Rompin
Daerah Mersing juga merupakan sebahagian dari Taman Negara Endau-Rompin yang meliputi kedua-dua negeri Johor dan Pahang. Taman Negeri Endau-Rompin merupakan salah satu daripada sebilangan kecil hutan hujan tropika tanah pamah di Malaysia. Terletaknya di legeh Sungai Endau dan Sungai Rompin di Johor bersempadan dengan Pahang, kawasan ini yang seluas 50,000 hektar (500 kilometer persegi) dianggar berumur sekitar 250 juta tahun. Pelbagai jenis tumbuhan yang unik terdapat di sini seperti keruing, meranti, paku pakis, periuk kera dan orkid hutan. Pada sekitar 1985, satu ekspedisi sains menemui 25 spesies tumbuhan yang baru.
Taman Negeri Endau Rompin juga terdapat banyak hidupan liar seperti harimau, gajah dan babi hutan serta bilangan badak sumbu Sumatera yang terbesar di dunia. Spesies tempatan yang lain termasuk binturong (bear cat) dan Ungka Tangan Putih (white handed gibbon) yang merupakan spesies mawas yang tunggal di kawasan ini. Di sini juga terdapat pelbagai jenis serangga dan burung yang jarang ditemui di tempat lain.
Terdapat juga banyak air terjun dan denai kecil di Taman Negeri ini. Air Terjun Buaya Sangkut dengan ketinggian 120 meter merupakan kawasan air terjun yang paling cantik. Ia ada lima tingkat dan mampu mengalirkan empat perpuluhan lima juta liter air seminit.
Kawasan ini juga penuh dengan mitos dan legenda dan telah menjadi sebuah kawasan rekreasi dan pelancongan yang mashyur di Malaysia. Ramai pelancong gemar menjejaki hutan ini, khususnya di habitat puak Jakun di mana mereka dapat mendengar cerita-cerita mitos hutan yang terpesona. Taman ini juga memberikan wawasan bernilai tentang budaya orang asli yang unik, teknik ketakatan serta kemahiran pemburuan dan pengesanan haiwan.
Perkhemahan merupakan penginapan yang paling popular. Terdapatnya empat tapak perkhemahan yang dapat menampung kira-kira 300 ratus orang, yakni di Kuala Jasin, Batu Hampar, Upeh Guling dan Kuala Marong. Pada waktu sekarang, Taman ini tengah merancang untuk memberikan lebih kemudahan kepada pelancong selaras dengan matlamat untuk membentukkan taman negara ini sebagai destinasi pelancong yang utama.
PULAU-PULAU PERANGINAN JOHOR
Pantai timur Johor khususnya daerah Mersing memang terkenal dengan keindahan pantai peranginannya malah lebih cantik dari pantai-pantai di Terengganu dan Kelantan. Selain dari itu Mersing juga dianugerahi dengan banyak pulau-pulau kecil yang mempunyai semula jadi yang sangat indah dan mempersona. Antaranya ialah Pulau Tinggi, Pulau Rawa, Pulau Sibu, Pulau Aur, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar.
Pulau Tinggi
Pulau Tinggi ialah sebuah pulau peranginan berbentuk bujur dan terletak kira-kira 20 batu notika (37km) dari selatan tenggara Mersing. Pada zaman dahulu, pulau ini digelar sebagai Pulau Topi Jeneral ("General's Hat Island") oleh kelasi kapal-kapal Cina.
Pulau Tinggi mempunyai hampir 500 penduduk dan merupakan yang paling ramai penduduk di kalangan pulau-pulau timur negeri Johor. Penduduknya menetap di Kampung Tanjung Balang, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Sebirah Besar.
Perjalanan ke Pulau Tinggi dari Mersing memakan masa 45 minit. Pulau Tinggi mempunyai pantai berpasir putih yang bersih, air yang jernih mengelilingi kesemua pantai di pulau-pulau tersebut. Ini antara lain disebabkan ia mengadap ke laut lepas, menjadikan pantainya dilanda ombak yang menarik lumpur dari pasir pantainya. Pedalaman pulau diselaputi oleh hutan pamah tropika. Titik tertinggi pulau ini ialah 2,000 kaki (600 meter) dari aras laut. Pulau Tinggi kaya dengan buah-buahan, rotan, kayu kayan serta gua-gua dan terumbu karang yang mengandungi banyak hidupan laut.
Jeti Pulau Tinggi



Pulau Tinggi Resorts
Sek Keb Pulau Tinggi
Istana Kelong (Sultan Johor) di Pulau Tinggi
Sebagai pulau peranginan, Pulau Tinggi mempunyai banyak rumah penginapan dan chalet dan destinasi utama untuk peminat snorkel dan selam scuba ialah di Tanjung Balang dan Sebirah Besar.
Pulau Aur
Pulau Aur terletak kira-kira 60 kilometer dari timur Mersing mempunyai seramai 128 penduduk. Pulau Aur merupakan satu daripada kawasan Taman Marin Johor. Pulau Aur merupakan salah satu dari gugusan pulau yang indah di Laut Cina Selatan di persisiran laut Johor. Pulau Aur merupakan salah satu tapak penyemaian Kerang Gergasi (giant cockle).
Pulau Besar
Pulau Besar atau dahulunya dikenali sebagai Pulau Babi Besar, merupakan salah satu dari gugusan pulau yang indah di Laut Cina Selatan di persisiran laut Mersing. Pulau ini termasuk dalam Taman Laut Sultan Iskandar (disytiharkan pada tahun 1985). Penduduk Pulau Besar lebih kuranbg 100 orang dari kalangan Orang Laut (Asal) yang hidup sebagao nelayan sejak ratusan tahun lalu.
Nama asal, Pulau Babi Besar adalah berdasarkan kepada cerita lama, pulau ini dahulu mempunyai banyak babi hutan liar yang merayau di kawasan daratan pulau sebelum manusia mula menetap. Oleh itu, nelayan dan penduduk pantai mula memanggilnya Pulau Babi kerana banyak babi yang ada dekat situ. Walaupun nama lama Pulau Babi Besar, Kerajaan negeri dan pihak pelancongan lebih cenderung menggunakan nama Pulau Besar kerana ia kedengaran lebih sesuai disebut untuk tujuan pelancongan. Kini pulau ini dipromosikan sebagai destinasi percutian dengan pantai pasir putih, air laut biru jernih, dan kawasan hutan yang menarik untuk dijelajahi.
Pulau Tengah
Nama asal Pulau Tengah adalah Pulau Babi Tengah adalah merupakan sebahagian dari Taman Laut Sultan Iskandar Johor. Ia merupakan satu daripada pulau-pulau kecil di sekitar gugusan tersebut.
Pulau ini yang jaraknya 16 km dari pantai Mersing ini pernah menjadi tempat pelarian Vietnam masa tahun 1970an. Sekarang pulau ni tidak berpenduduk menjadi salah satu pulau untuk menjadi pusat pemuliharaan penyu melalu Tengah Island Conservation (TIC).
Pulau Rawa
Pulau Rawa merupakan salah satu dari gugusan pulau yang indah di pesisiran laut Mersing. Pulau Rawa terletak berhampiran dengan beberapa pulau lain iaituPulau-pulau Besar, Sibu dan Tinggi. Pulau Rawa mempunyai pantai berpasir putih yang bersih. Air yang jernih mengelilingi kesemua pantai di pulau-pulau tersebut. Ini antara lain disebabkan ia menghadap kelaut lepas, menjadikan pantainya dilanda ombak yang menarik lumpur dari pasir pantainya.
Pulau Sibu
Pulau Sibu sepanjang 6 km, merupakan salah satu dari gugusan pulau yang indah di Laut Cina Selatan di persisiran laut Johor, Malaysia. Antara pulau berdekatan adalah Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kurus dan Pulau Sibu Hujung. Pulau Sibu mempunyai pantai berpasir putih yang bersih.
Pintu masuk ke Pulau Sibu
Pulau Pemanggil
Pulau Pemanggil merupakan pulau yang paling jauh dari pantai Mersing. Ia berpenduduk kurang dari 100 orang, Jarak dari jeti Mersing ke Pulau Pemanggil adalah 78 km dan perjalanan bot mengambil masa tiga jam.
Mengikut ceritan lisan, nama Pulau Pemanggil dikaitkan dengan kesah bunyi seperti gong yang didengari oleh seorang pelayar yang berlayar di perairan pulau tersebut. Pelayar itu terdengar suara atau bunyi dari arah pulau yang seolah-olah seperti bunyi gong yang memanggil beliau merapati pulau berkenaan.
Terdapat satu lagi versi cerita yang mengatakan nama ini dikaitkan dengan amalan tradisi nelayan tempatan yang sering “memanggil” ikan menggunakan jampi, seru, atau doa khas sebelum turun ke laut mencari rezeki. Mereka mengadakan upaca memanggil itu di pulau tersebut lalu pulau tersebut dikenali oleh para nelayan sebagai Pulau Pemanggil.
Pulau ini pernah dirasmikan oleh Sultan Abu Bakar Johor pada tahun 1912.
Jeti Pulau Pemanggil
Sek Keb Pulau Pemanggil (SKPP) di Kg Buau
sekolah yang dibuka pada tahun 1955 ini dikatakan hanya mempunyai 5 orang murid tetapi mempunyai 8 orang guru.
No comments:
Post a Comment