Wednesday, February 11, 2015

MTA 083 : JOHORKU XII : SEJARAH DAERAH PONTIAN


KEMBARA
JOHOR

SEJARAH DAERAH PONTIAN


Pontian adalah sebuah daerah yang terkecil di Johor. Disinilah terletaknya Tanjung Piai yang merupakan tanah paling selatan dalam tanah besar benua Asia. Daerah Pontian juga amat popular dengan produk nanasnya yang terbesar di Malaysia.

Daerah Pontian mengandungi 11 buah Mukim iaitu;
  1. Benut
  2. Ayer Baloi
  3. Api-api
  4. Sungai Pinggan
  5. Pontian
  6. Pengkalan Raja
  7. Jeram Batu
  8. Rimba Terjun
  9. Sungai Karang
  10. Serkat
  11. Ayer Masin
Pontian dan Kukup

Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.

Daerah dikenali sebagai Pontian dahulunya adalah dikenali sebagai Kukup atau Kukub dengan pusat pentadbirannya terletak di Kukup Laut berhampiran pelabuhan Kukup yang ada sekarang. Pada zaman dahulu kawasan pantai barat Johor dari Kukup hingga Benut adalah kawasan persinggahan dan perhentian perompak-perompak lanun yang berpangkalan di Selat Kukup. Mereka singgah dan berhenti di kuala Sungai Perhentian Besar dan Sungai Perhentian Kecil yang kemudian dikenali sebagai Sungai Pontian Besar dan Sungai Pontian Kecil.

Pada 1 Januari 1866, Tanjung Puteri telah ditukar namanya menjadi Johor Bahru dan dijadikan pusat pemerintah negeri Johor yang baru. Negeri Johor mula dibangun. Beberapa penempatan telah diteroka dan dibuka. Kawasan pantai barat Johor diletakkan di bawah jagaan Datuk Penggawa Barat Abdul Saad bin Ibrahim yang berpusat di Tanjung Kupang. Sementerara itu bahagian Johor Timur pula di Mersing dan Kuala Sedili dijaga Datuk Penggawa Timur yang berpusat di Tanjung Surat.

Pada tahun 1878 Tuan Syed Muhamad Alsagoff atau Nong Chik, seorang saudagar dan hartawan Arab dari Singapura telah memohon kepada Sultan Abu Bakar Johor untuk membuka satu kawasan pertanian. Sultan Abu Bakar telah memperkenankan permohonan ini dan menyerahkan kepada Syed Muhamad Alsagoff untuk memilih kawasan yang diingininya. 

Pada tahun 1878, Tuan Syed Muhamad Alsagoff telah belayar dari Teluk Belanga, Singapura menghala ke barat daya Johor di perairan Kukup dan Pontian untuk mencari kawasan yang sesuai bagi pertanian. Beliau telah memilih Kukup kerana Kukup pada masa itu cuma sebuah kampung nelayan yang didiami oleh orang-orang Melayu dari Melaka belum diteroka dan dibuka secara meluas. 
Beliau mengemukakan permohonannya kepada pentadbir pantai barat Johor iaitu Datuk Penggawa Barat Abdul Saad bin Ibrahim yang ketika itu berpusat di Tanjung Kupang. 

Kawasan Kukup yang dikurniakan oleh Sultan Abu Bakar ini meliputi kawasan-kawasan Sungai Permas, Sungai Pontian Kecil, Sungai Pontian Besar dan Sungai Jerqam Batu.

Tuan Syed Muhamad Alsagoff telah meneroka dan membuka kawasan Kukup ini dengan membawa buruh-buruh dari Jawa. Tuan Syed Muhamad Alsagoff telah membuka ladang besar atau estet di Kukup dengan tanaman getah, sagu, kelapa, kopi, nenas dan nilam. Beliau menamakan estetnya itu Constantinople Estate. Hasil-hasil dari Kukup Ini dibawa ke Singapura dengan kapal melalui pelabuhan Kukup kerana masa itu jalan darat menghubungkan Kukup dengan Singapura belum ada.

Selain dari mengusahakan ladangnya sendiri, Tuan Syed Muhamad Alsagoff juga menyewakan tananhnya kepada pengusaha-pengusaha lain seperti Hevea Rubber Company dan Peneiro Planting Syndicaste dengan syarat syarikat-syarikat ini membayar cukai sebayak 2.5% dari hasil yang dikeluarkannya.

Selain dari itu, beliau juga memberikan penempatan kepada buruh-buruhnya berupa kebun-kebun kecil secara sistem pajak dengan cukai 1/10 dari hasil yang didapatinya. Beliau juga memberikan hak membuka kebun kepada orang-orang perseorangan.  
Ramai orang-orang Jawa telah diberikan hak meneroka dan membuka kebun di kawasan tanah kurnia kepunyaan Tuan Syed Muhamad Alsagoff ini. Selain dari itu, Tuan Syed Muhamad Alsagoff juga mengeluarkan matawang sendiri yang digunakan untuk kegunaan buruh-buruh dan pekerja-pekerja di tanah kurnia atau konsesi Kukup ini. Dengan cara itu, Kukup yang dahulunya hutan rimba dan paya menjadi terbuka dan ramai orang mula berhijrah membuat kebun dan kampung halaman. Pelabuhan Kukup terus membesar.

Pada tahun 1906, apabila Tuan Syed Muhamad Alsagoff meninggal dunia maka urusan tanah konsesi Kukup di bawah kelolaan anaknya iaitu Tuan Syed Omar Alsagoff. Pada tahun 1914 apabila Johor mula menerima Penasihat British, beberapa perubahan cuba dilaksanakan oleh Inggeris. Ini termasuklah perubahan dalam pentadbiran tanah konsesi Kukup.

Pada tahun 1921, Kerajaan Johor dengan nasihat Inggeris telah melantik seorang pegawai Inggeris menjadi Wakil Penerima yang dikenali sebagai Receiver Alsagoff Consession bagi urusan tanah-tanah konsesi Alsagoff di Kukup itu.
Wakil Penerima yang pertama untuk Kukup ialah Tuan B.R. Whitehouse. (Nama ini diabadikan menjadi nama sebatang jalan di bandar Pontian yang mulai tahun 1984 diubah namanya menjadi Jalan Dato' Ali Haji Ahmad).

Pada tahun 1921 hingga 1926, ada 6 orang Wakil Penerima (RAC) untuk Kukup, mereka ialah:
(1)   B.R. Whitehouse: 1921 - 1923.
(2)   F.K. Wilson: 1923 - 1924.
(3)   Sheehan: Jun 1924 - Julai 1924.
(4)   Sbden: Julai 1924 - November 1924.
(5)   Miller: 1 Disember 1924 - 31 Disember 1924.
(6)   J. Huggin: 1924 - 1926.

Selepas tahun 1926, tanah-tanah konsesi Kukup diambil semula oleh Kerajaan Johor secara membeli dengan harga 1 juta Ringgit. Dengan ini Kukup ditadbir oleh Pegawai Pemungut Hasil Tanah bagi menggantikan Receiver Alsagoff Consession (RAC) yang terdahulu.

Pegawai Pemungut Hasil Tanah yang pertama untuk Kukup ini ialah Encik Wan Hussein bin Endut. Nama ini kini diabadikan menjadi nama sebatang jalan disebelah Balai Polis Pontian menghala ke Jalan Parit Mesjid.

Pada tahun 1921, usaha-usaha telah dibuat bagi membina jalanraya dari pelabuhan Kukup ke Pontian bagi memesatkan lagi pembangunan Daerah Kukup.
Di sepanjang jalanraya yang jauh 12 batu (20 Kilomiter) ini juga terdapat pekan-pekan dan kampung-kampung seperti Permas, Penerok, Teluk Kerang, Rambah, Rimba Terjun dan Pontian Kecil serta Pontian Besar. Kampung-kampung baru terus dibuka oleh pendatang-pendatang dari Jawa, Sulawesi dan Sumatera. Dengan ramainya penduduk-penduduk di daerah yang baru terbuka ini, Kerajaan merasakan perlu adanya sebuah mahkamah bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.

Dengan itu sebuah balai polis dan sebuah mahkamah telah dibuka di Kukup pada tahun 1924. Majistret pertama mahkamah ini ialah Tuan J.I. Miller yang juga menjadi Receiver Alsagoff Concession Daerah ini selama sebulan. Kemudian Engku Abdul Rahman pula dilantik menjadi Majistret.

Untuk memudahkan perjalanan darat ke Johor Bahru, maka dibina pula jalanraya dari Pontian ke Johor Bahru. Dengan siapnya jalan ini pada tahun 1929, pekan Pontian Kecil berkembang pesat dan menjadi bandar utama Daerah Kukup.
Ini disebabkan kedudukannya yang strategik di pertengahan dan persimpangan jalanraya dari Johor Bahru dan Kukup ke BatuPahat dan Muar. Ia menjadi tempat persinggahan.

Akhirnya Pontian Kecil terus membesar dan layak menjadi pusat bandar untuk Daerah Kukup. Jabatan-jabatan Kerajaan mula dipindahkan ke Pontian Kecil.
Akhirnya bandar Pontian Kecil menjadi pusat pentadbiran daerah. Lanjutan dari ini daerah yang mulanya dikenali sebagai Daerah Kukup berubah menjadi Daerah Pontian dengan ditadbir oleh Pegawai Daerah.

Encik Wan Hussein bin Endut yang menjawat jawatan Pemungut Hasil Tanah Kukup meneruskan tugasnya sebagai Pegawai Daerah dan Pemungut Hasil Tanah.
Rujukan: @Kelab Sejarah Kesultanan Johor

Kukup merupakan sebuah mukim dan juga pekan dalam daerah Pontian, berhampiran kedudukannya dan menghadap Selat Melaka dan Selat Johor. Kedudukan bandar Kukup tersorok ke tepi pantai Selat Melaka.

Kukup mempunyai sebuah jeti atau pangkalan bot nelayan dan feri menuju ke Pulau Karimun, Indonesia dan lain-lain. Kukup sesuai dijadikan jeti /pangkalan nelayan kerana dilindungi dari angin kencang oleh Pulau Kukup. Ramai penduduknya terutama bekerja di sektor perikanan dan pertanian.

Pekan Kukup

Pulau Pisang

Pulau Pisang adalah salah sebuah pulau kecil yang terdapat di perairan negeri Johor ini terletak 5 kilometer dari Bandar Benut dan 12 kilometer dari Pontian Kechil. Ia berada di selatan laluan perkapalan Selat Melaka yang sibuk serta berkedudukan strategik di barat daya negeri Johor.

Di pulau ini terdapat sebuah rumah api yang dikawal selia oleh Kerajaan Singapura berikutan daripada perjanjian di antara Sultan Johor ketika itu (Sultan Ibrahim) dengan Kerajaan Inggeris pada tahun 1900.

Namun berikutan daripada keputusan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di mahkamah Antarabangsa di The Hague yang telah memihak kepada Singapura, , terdapat gesaan dari pelbagai pihak supaya kerajaan Malaysia segera mengambil alih pengurusan rumah api tersebut. Walaupun Singapura ketika ini mengakui pulau itu milik Malaysia, penduduk Malaysia bimbang jika Pulau Pisang juga bakal menerima nasib yang sama seperti Batu Putih jika kerajaan Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk membuktikan penguasaan serta kedaulatannya terhadap pulau ini.

 
 
Rumah Api Pulau Pisang

Benut

Benut adalah sebuah pekan di dalam daerah Pontian yang terletak diantara persimpangan jalan dari arah bandar Pontian kecil, Batu Pahat dan Simpang Rengam. Perkataan "benut" berasal dari sebatang pokok dipanggil "asam bunut". Nama asal pekan tersebut ialah Bunut. Oleh kerana masyarakat Cina yang mendiami kawasan ini agak sukar menyebut "Bunut" tetapi menyebut "Benut" lama kelamaan ianya kekal menjadi Benut sehingga sekarang.

Nama beberapa kampung di daerah Pontian (khususnya kawasan Mukim Benut) mempunyai mitosnya yang tersendiri seperti Sungai Pinggan, Sepah Beruang, Puteri Menangis, Parit Gantung, dan Sanglang Cerita mitos tersebut amat popular dikalangan masyarakat tempatan. Di percayai ada seorang Puteri Bunian yang menjaga pinggan mangkuk untuk kenduri kahwin masyarakat Bunian. Terdapat juga masyarakat kampung yang meminjam pinggan tersebut tetapi tidak dipulangkan semula disebabkan ada yang dirosakkan oleh beruang yang banyak ketika itu (Kg. Sepah Beruang). Keadaan itu menyebabkan Puteri yang menjaga pinggan (Kg. Sungai Pinggan) kecewa lalu menangis sepanjang masa (Kg. Puteri Menanggis). Akhirnya Puteri tersebut menggantung dirinya (Kg. Parit Gantung). Kematian Puteri ini disebarkan oleh burung-burung helang (Sang Helang/Sanglang) kepada semua penduduk. Semua penduduk meratapi kematian Puteri Bunian sehingga mengalirkan air mata yang banyak atau berbaloi lalu kampung itu dinamakan Ayer Baloi.

Pekan Nanas

Pekan Nanas adalah pekan yang kedua besar dalam daerah Pontian. Pekan ini berasal dari sebuah penempatan kaum China semasa Dharurat bagi mengelakkan pengaruh Parti Komunis. Oleh itu majoroti penduduknya adalah berbangsa China. Kawasan sekeling pekan ini amat terkenal dengan ladang nenas yang luas serta ternakan ayam untuk daging atau telurnya.

 
 
Bandar Pekan Nanas

Tanjung Piai

Pada 4 Disember 1977, satu tragedy menyayat hati dalam sejarah Negara kita apabila sebuah pesawat MAS, Malaysia Airlines Flight 653 (Boeing 737-2H6) terhempas di kawasan belukar berdekatan dengan Kampong Tanjung Kupang (Mukim Tanjung Piai). Seramai 93 penumpang dan 7 anak kapal terbunuh. Kapal terbang ini dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju keSingapura.

Antara penumpangnya ialah Menteri Pertanian Malaysia, Dato' Ali Haji Ahmad (secara kebetulan adalah Ahli Parlimen Pontian), Ketua Pengarah JKR, Dato' Mahfuz Khalid, dan Duta Cuba ke Jepun, Mario Garcia. Pilotnya ialah Kapten G.K. Ganjoor. Beliau ada melaporkan kepada Menara Subang tentang kehadiran 'perampas kapal terbang' yang tidak dikenali. Penduduk di Kampung Ladang, Tanjung Kupang ada mendengar bunyi letupan dan kebakaran di udara. Tidak ada yang selamat dan semua tubuh mangsa hancur berkecai dan tidak dapat dikenali.

Tanjung Piai merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal.ni kerana ia merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Ia terletak dalam Mukim Kukup, di daerah Pontian. Tanjung Piai terkenal dengan restoran makanan laut dan juga mempunyai hutan paya bakau yang indah dan belum terdedah kepada pencemaran mahupun pembangunan. Dari sini, kita dapat lihat bangunan pencakar langit Singapura yang dipisahkan oleh Selat Johor.

Secara tepatnya Tanjung Piai terletak pada latitud 01.16 `Utara dan longitud 103.30.46 ` Timur . Sebuah mercutanda dibina di sini bagi menandakan 'Tanah Terselatan Benua Asia' yang dibina pada 2001. Gentian konkrit mesra alam berukuran 20 m tinggi dan 10 m lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor. Warna kelabu pada mecu tanda Tanjung Piai menggambarkan kekayaan hutan paya pakau dan dataran lumpurnya.

Dua pelepah Paku Piai raya (acrostichum aureum) diukir di permukaan mercu tanda bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Paku Piai didapati tumbuh dengan banyaknya bersama dirian bakau di sini. Tanjung pula bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang terpapar menjelaskan kedudukan sebenar Tanah Terselatan Benua Asia , supaya dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat.

Mercu Tanda Tanjung Piai

kampung nelayan Tg Piai


.

No comments:

Post a Comment