Thursday, February 26, 2015

MTA 108 : SENARAI MENTERI PERTAHANAN MALAYSIA

MENTERI PERTAHANAN
MALAYSIA


SEJARAH

Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 dan memulakan operasi rasminya di sebuah bangunan yang terletak di Brockman Road (sekarang Jalan Dato' Onn) , Kuala Lumpur. Bangunan ini turut menempatkan pejabat Menteri Pertahanan (MENHAN) yang pertama iaitu Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussien yang berkhidmat dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

Bangunan Kementerian Pertahanan yang pertama telah dibina oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos bernilai RM122,000.00 dan telah dirasmikan oleh Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein pada 18 Mac 1960. Bangunan yang dibina di Jalan Padang Tembak ini juga menempatkan pejabat Panglima-panglima dan Pegawai Tinggi Angkatan Tentera Malaysia dari ketiga-tiga perkhidmatan.
Akibat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin betapa peri pentingnya pembesaran keanggotaan angkatan tentera, sebuah kompleks yang mengandungi 6 blok setinggi 4 tingkat telah dibina di hadapan Pejabat Bahagian Perkhidmatan Anggota bagi menampung jumlah keanggotaan yang semakin bertambah. Bangunan bernilai RM 2 juta ini telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 6 April 1967.

Selepas pengunduran tentera British , Kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik untuk meningkatkan tahap keselamatan negara dari sebarang ancaman. Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertahanan selain mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan keperluan angkatan tentera dari masa ke semasa.

Bagi menampung kesemua agensi di bawah satu bumbung, kerajaan telah membuat keputusan membina satu bangunan baru untuk Kementerian Pertahanan. Sebagai simboliknya, batu asas bangunan tersebut telah diletakkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Abang Abu Bakar bin Datu Bandar Abang Haji Mustapha pada 10 Mac 1982. Bangunan baru yang terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur ini telah dibina dengan nilai RM144 juta dan telah disiapkan pada pertengahan tahun 1985. Bangunan setinggi 20 tingkat ini dikenali sebagai "WISMA PERTAHANAN" yang turut menyediakan ruang-ruang pejabat dan bilik-bilik mesyuarat. Kawasan sekeliling "WISMA PERTAHANAN" yang dikenali sebagai Kompleks Wisma Pertahanan turut menyediakan beberapa kemudahan seperti bangunan tempat letak kereta bertingkat, auditorium, surau, Medan Pertahanan (Padang Kawad), balai pengawal, menara, bilik komputer, 'helipad', kafetaria dan lain-lain.

Kementerian Pertahanan diterajui oleh Menteri Pertahanan dan dibantu oleh seorang Timbalan Menteri. Organisasi Kementerian Pertahanan pula mengandungi dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera.


YAB TUN HJ ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSEIN
(ALLAHYARHAM)
(31 OGOS 1957 - 12 OGOS 1973)
MERANGKAP TIMBALAN PERDANA MENTERI

YB DATO' HAMZAH BIN HJ ABU SAMAH
(ALLAHYARHAM TAN SRI)
(13 OGOS 1973 - 4 SEP 1974)

YAB TUN HJ ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSEIN
(ALLAHYARHAM)
(5 SEP 1974 - 14 JAN 1976)
MERANGKAP PERDANA MENTERI

YAB DATO' SERI HUSSEIN BIN DATO' SIR ONN
(ALLAHYARHAM TUN)
(15 JAN 1976- 27 JUL 1978)
MERANGKAP PERDANA MENTERI

YB DATUK HJ ABDUL TAIB BIN MAHMUD
(ALLAHYARHAM PEHIN TUN)
(28 JUL 1978 - 15 SEP 1980)

YAB DATO' SERI HUSSEIN BIN DATO' SIR ONN
(ALLAHYARHAM TUN)
(16 SEP 1980 - 15 JULAI 1981)
MERANGKAP PERDANA MENTERI

YAB DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMMAD
(TUN)
(16 JUL 1981- 22 APR 1986)
MERANGKAP PERDANA MENTERI

DATUK HJ ABDULLAH BIN HJ AHMAD BADAWI
(ALLAHYARHAM TUN)
(3 OGOS 1986 - MEI 1987)

DATO' TENGKU AHMAD RITHAUDDEEN BIN TENGKU ISMAIL
(ALLAHYARHAM TAN SRI)
(20 MEI 1987 - OKT 1990)

DATO' SERI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
(27 OKT 1990- 4 MEI 1995)

DATO' SERI SYED HAMID BIN TAN SRI SYED JAAFAR ALBAR
(TAN SRI)
(5 MEI 1995 - 7 JAN 1999)

DATUK HAJI ABANG ABU BAKAR BIN DATU BANDAR ABANG HJ MUSTAPA
(ALLAHYARHAM TAN SRI)
(7 JAN 1999- 29 NOV 1999)
DATO' SRI MOHAMMAD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
(29 NOV 1999 - MAC 2008)

DATUK SERI HJ ABDULLAH BIN DATUK HJ AHMAD BADAWI
(ALLAHYARHAM TUN)
(MAC 2008 - 8 APR 2009)
MERANGKAP PERDANA MENTERI

DATO' SERI DR HJ AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
(8 APR 2009 - 22 APR 2013)

DATUK SERI HISHAMMUDDIN BIN TUN HUSSEIN
(22 APR 2013 - 9 MEI 2018)
MERANGKAP MENTERI DENGAN TUGAS-TUGAS KHAS

YB TUAN HJ MOHAMAD BIN SABU
(21 MEI 2018 - 24 FEB 2020)

YB DATO' SRI HAJI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
(10 MAC 2020 - 16 OGOS 2021)

YB DATO' SERI HISHAMMUDDIN BIN TUN HUSSSEIN
(30 OGOS 2021 - 24 NOV 2022)

YB DATO' SERI UTAMA HAJI MOHAMMAD BIN HASSAN
(3 DIS 2022 - 12 DIS 2023)

YB DATO' SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
(12 DIS 2023 - KINI)


TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN


Walaupun KEMENTAH dan jawatan Menteri Pertahanan (MENHAN) telah diwujudkan sejak tahun 1957, jawatan Timbalan Menteri Pertahanan hanya diperkenalkan pada tahun 1970 apabila allahyarham Tun Abdul Razak dilantik menjadi Perdana Menteri dan membentuk Kabinet pertamanya pada tahun 1970. Perlantikan Timbalan Menteri Pertahanan ini adalah bagi melancarkan pentadbiran di KEMENTAH kerana jawatan MENHAN disandang oleh Perdana Menteri sendiri yang amat sibuk dengan tugas rasmi sebagai PM. 

Bagaimanapun setelah Tun Razak dan Perdana Menteri yang lain tidak membuat tugas MENHAN, jawatan Timbalan MENHAN ini tidak pernah dimansuhkan kerana bidang tugas KEMENTAH amat luas dan penting yang memerlukan MENHAN mempunyai seoarang Timbalan untuk membantu tugasnya.

Berikut adalah ahli politik yang pernah menyandang jawatan Timbalan MENHAN.

YB Tengku Ahmad Rithauddeen bin Tengku Ismail
(Allahyarham Tan Sri)
(22 Sep 1970 - Ogos 1974)

YB Senator Datuk Dzulkifli bin Abdul Hamid
(Ogos 1974 - Ogos 1976)


YB Dato' Mokhtar bin Hashim
(Sep 1976 - 1980)

YB Haji Abu Hasan bin Omar
(Allahyarham Tan Sri)
(1980 - Jul 1981)

YB Datuk Abang Abu Bakar bin Datu Bandar Abang Mustapha
(Jul 1981 - Okt 1990)

YB Tok Muda Dato Wan Abu Bakar bin Wan Mohamad
(Okt 1990 - Apr 1995)

YB Tok Muda Dato' Dr Abdullah Fadzil bin Che' Wan
(Allahyarham)
(Apr 1995 - Nov 1999)

YB Datuk Mohd Shafie bin Apdhal
(Nov 1999 - Mac 2004

YB Datuk Hj Zainal Abidin bin Zin
(Mac 2004 - Mac 2008)

YB Datuk Abu Seman bin Yusop
(Mac 2008 - Apr 2009)

YB Datuk Dr Abd Latif bin Ahmad
(Apr 2009 - Mei 2013)

YB Datuk Hj Abd Rahim bin Bakri
(Mei 2013 - Jul 2015)

YB Datuk Seri Mohd Johari bin Baharom
(Jul 2015 - 9 Mei 2018)

YB Senator Liew Chin Tong
(2 Jul  2018 - 24 Feb 2020)

YB Dato' Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
(10 Mac 2020 - 24 Nov 2022)

YB HJ Adly bin Zahari
(2 Dis 2022 -kini)





MTA 107 : TRAGEDI HIGHLAND TOWER 1993




TRAGEDI HIGHLAND TOWERS


Highland Towers adalah satu kompleks kondominium mewah yang mengandungi  tiga blok kondominium 12 tingkat di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor. 
Tiga blok itu adalah dinamakan Blok A, Blok B dan Blok C.


Tragedi Highland Towers merupakan satu tragedi menggemparkan negara apabila Blok A, iaitu salah satu dari tiga blok kondominium di Hillview Park telah runtuh pada 11 Disember 1993. Tragedi ini mengorbankan 48 orang penghuninya. Tragedi tersebut adalah tragedi bangunan kondominium runtuh yang pertama dan terburuk sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.  

Nota: Maklumat mengatakan jumlah korban adalah 48 orang, namaun senarai nama yang disenaraikan adalah 50 orang.

Senarai Korban
  1. Rohana Bano Mushtak Ahmad, 29
  2. Mohammad Budi Abdullah @ Robin Williams Wharton, 44
  3. Mohammad Adam, 6 bulan
  4. Carlos Rashid bin Musa (anak kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia,Tun Musa Hitam);
  5. Rozita binti Datuk Abu Bakar (isteri Carlos Rashid)
  6. Bahk Jung Soon, 45 (Korea);
  7. Bahk Hee Won (anak perempuan Bahk)
  8. Koh Yuet Met
  9. Gene Koh Wai Keong, 15
  10. Brandon Koh Wai Hong, 6
  11. Daryl Koh Wai Kin, 3.
  12. Yap Kien Seng, 18.
  13. Yap Woei Ning
  14. Yap Hsiao Mei, 18
  15. Wong Mee Thai, 35 (emak Yap H M)
  16. Datin Milly Lee, 55
  17. Teo Tea
  18. Ong Yong, 53
  19. Douglas Ong Tee Ming, 17.
  20. Fatimah Abdul Majid, 66
  21. Che Mariam Abdul Majid, 76
  22. Noranira Mohamed Nor, 15
  23. Nik Mohamed Baharudin bin Nik Wan Mahmood, 41
  24. Shizue Nakajima, 50
  25. Dr Anne George,
  26. Debbie George
  27. Sharon George
  28. Majnawiyah Masnawi, 25
  29. Amirah Nor Hamzah, 15
  30. Fergus Phang Thien Liang, 26
  31. Ivy Lim Ai Bee (emak Fergus Phang),
  32. Cheng Kim Tai (Nenek Phang) 
  33. Trimah Ngarijo
  34. Yusna Anuar
  35. Farah Aruzi
  36. Lee Mun Lin
  37. Tony Lou Yoke Yong
  38. Adrian Lou Chung Wei
  39. Barry Lou Ka Wei
  40. Sajjive Chandran
  41. Prakash Chandran
  42. Radha Chandran
  43. Quah Li Jun
  44. Chiew Poh Wah
  45. Goh Fong Kiew
  46. Judith Mosquiter
  47. Suharti Kusban
  48. Aribinda Datta
  49. Rita Datta
  50. Mohan Raj.

Nota : Ummi Rashidah Khoruman, anaknya Nur Hamidah Nadjib (bayi ketika itu), serta Shizue Nakajima yang kemudiannya meninggal dunia di hospital. 

 

Punca Keruntuhan

Musim tengkujuh di Malaysia iaitu bulan November dan Disember membawa hujan lebat melampau setiap tahun dan boleh menyebabkan banjir , banjir kilat dan tanah runtuh. Blok 1 Highland Towers runtuh selepas hujan yang turun 10 hari berturut-turut menyebabkan gelongsoran tanah selepas tembok penahan tempat meletak kereta kondominium itu runtuh. Kadar air luar biasa menyebabkab tahap kelembapan tanah, kekuatan struktur tanah, keseimbangan kandungan bendalir di dalam tanah dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan. Hutan Hujan Khatulistiwa yang padat memenuhi Banjaran Titiwangsa dengan daunnya yang lebar serta berakar tunjang, sekali gus mampu menampung dan menerima taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah. Apabila tidak ada tanaman tutup bumi, air akan meresap ke dalam tanah dan menjadi pelincir kepada gelongsoran tanah dan bangunan di atasnya.

Kesilapan dalam rekabentuk tembok penahan yang dibina di belakang Blok Satu Kondominium Highland Towers mungkin antara punca berlakunya tanah runtuh di situ. Perunding jurutera geoteknikal, Prof Noel Edward Simons menyalahkan rekabentuk tembok penahan yang tidak sempurna.

Jurutera Perunding Geoteknikal, Dr Alan George Weeks menyatakan pangsapuri Highland Towers runtuh hasil daripada pergerakan bawah tanah yang bermula dari kawasan runtuhan lereng bukit milik Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB) di belakang pangsapuri itu. Beliau menolak kesimpulan oleh pakar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) , Prof Noel Edward Simons . Tanah runtuh kerana keruntuhan besar dan bukan beberapa siri keruntuhan seperti dakwaan MPAJ.

Sistem saliran tidak sempurna di kawasan pangsapuri mewah di Hulu Klang dan sistem perparitan yang tidak dikendalikan dengan sistematik. Proses pembersihan dengan menebang pokok membabitkan sebahagian kawasan di situ menyebabkan ia membentuk sasaran saliran dari atas bukit terus ke kawasan berhampiran dan pangsapuri berkenaan. Rakaman video 10 minit tahun 1992 menunjukkan air mengalir turun dari lereng bukit ke keliling kondominium Highland Towers ketika hujan lebat, setahun sebelum tragedi. Air membuak dari lereng bukit menuju ke arah Blok C kondominium dan tingkat paling bawah tempat letak kereta blok itu telah dibanjiri tanah lumpur. Longkang untuk mengalirkan air daripada paip pembentung di lereng bukit ke parit utama di hadapan blok Highland Towers tidak dibina. Ahmad Zaini Mohd Yusof selaku bekas pegawai daerah menyatakan Majlis Daerah Gombak (MDG) tidak menghentikan kerja pembinaan kondominium Highland Towers walaupun pemaju gagal mengemukakan pelan saliran untuk mengalirkan air dari kawasan itu ke Sungai Ulu Klang. Pemilik lot kosong di belakang kondominium Highland Towers, Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB), tidak mengadakan sistem saliran sementara kerana ia menunggu sistem induk yang akan dibina untuk keseluruhan kawasan itu.

Topografi kawasan itu yang berbukit, keadaan geologi dan jenis tanah yang tidak stabil juga menggalakkan berlaku tanah runtuh. Pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ibrahim Komoo menyatakan tanahnya bukan batu yang kuat tetapi tanah bercampur pasir. Ini termasuklah Bukit Antarabangsa, Taman Tun Abdul Razak, Taman Hillview dan Bukit Indah.

Gaya hidup mereka yang memiliki taraf ekonomi dan sosial yang tinggi berbangga menghuni di kawasan lereng, cerun dan tanah tinggi. Mereka membeli dan membina kediaman mewah di kawasan tersebut walaupun nampak hebat sama ada disedari atau tidak seperti pelaburan jangka panjang untuk membunuh diri dan ahli keluarga sendiri. Apabila permintaan tinggi maka pihak pemaju sebagai golongan kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan tidak 'gila' untuk berlumba-lumba membina kawasan perumahan di tanah tinggi.

Pembinaan bangunan rancak dan tiada pemantauan cerun oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Pemaju perumahan melobi hendak memajukan cerun skala 3 dan skala 4 dengan alasan akan menggunakan teknologi penampan cerun yang terkini. Cerun bukit ditarah secara melampau , pokok-pokok yang menjadi pasak bumi dan rumput tutup bumi tidak dijaga dengan rapi.

Kerajaan negeri Selangor tidak boleh membatalkan kontrak pembangunan yang telah diberikan kepada pihak pemaju kerana ia membabitkan implikasi undang-undang. Pemaju yang kerugian dari segi kos tanah, kos arkitek dan bahan binaan tentu akan menyaman pihak berkuasa. Mereka juga melobi ahli politik agar menekan pegawai daerah, pegawai pejabat tanah dan sebagainya. Mereka lupa bahana yang pasti bakal menimpa 10-20 tahun lagi. Contoh terbaik ialah Taman Pertanian Bukit Cerakah seluas 3,000 ekar di Seksyen U10, Shah Alam telah diagih-agihkan kepada lebih 30 pemaju Kawasan ini adalah bukit-bukit tinggi dan kawasan tadahan air.

Kronologi Peristiwa

Pada 11 Disember 1993, Kondominium Blok A, Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. Dr Hui Chan Peng, yang tinggal selama 14 tahun di tingkat empat Blok A kondominium 12 tingkat itu menyatakan dia kembali dari kerja pada jam 1.30 petang, lima minit sebelum tragedi itu berlaku. Dia yang sedang berbual dengan Puan Abraham, terdengar bunyi gegaran dan tiba-tiba batu besar bergolek ke arahnya. Surirumah Leela George (39) menyatakan dia mendengar bunyi kuat seperti `dentuman logam' jam 1.30 tengah hari dari arah belakang blok A.

Seramai 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn membantu mencari . Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) , sukarelawan PBSMM datang lebih awal.

Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu terjuih keluar dan begoyang. Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan diselamatkan.

Nakajima Shizue, 50 wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam. Dr Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalam yang teruk. 
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad , Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai menteri kabinet datang melawat mendiang.

Pada 12 Disember, penghuni Blok B dan C Highland Tower diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu. Helikopter Nuri dan Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.

Pada 13 Disember, sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi.Mereka menggunakan teknologi pengesan degup jantung dan menebuk lubang 4.5 meter dalam. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.

Pada 15 Disember, pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang. Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan. Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

Pada 16 Disember, Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.

Pada 17 Disember, Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.

Pada 18 Disember, pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.

Pada 19 Disember, pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga dipercayai lelaki jam 10.15 malam.

Pada 20 Disember, sehingga tarikh ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita yang memakai sari dan sedang memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

Pada 21 Disember, operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha.

Pada 22 Disember, operasi mencari dan menyelamat dihentikan. Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers. Kondominium itu dimiliki dan dimajukan oleh Highland Properties Sdn Bhd.

Pada 14 Oktober 1997, bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12 tingkat. Beliau menyatakan pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak melebihi dua tingkat.

Pada 14 November 1997, Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh. Ia "bukan satu bencana alam semula jadi".

Saman dikemukakan oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong. Saman terhadap pemaju dan sembilan lain bagi kerugian yang dialami antara RM31 juta hingga RM35 juta. Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ), Arab- Malaysian Finance Berhad, Tropic Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd. 

Gambar yang dirakam oleh Bruce Aaron Mitchell (49), bekas juruterbang Tentera Marin Amerika yang mengambil 8 keping gambar dari tingkap bilik pangsapuri kawannya di Blok C menjadi bukti dalam kes saman terhadap 10 pihak. Gambar itu menunjukkan tanah runtuh dan runtuhan kondominium Blok A di saat-saat tragedi itu . 

Pengurus Projek Micheal Patrick Rickard (51), penghuni di Blok C mendakwa rompakan (harta yang ditinggalkan oleh penghuni yang diarahkan pindah) bermula ketika operasi menyelamat mangsa yang pada masa itu dipercayai masih hidup dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan Blok C yang runtuh pada 11 Disember, 1993. Padahal bangunan yang dikosongkan itu dikawal oleh tentera dan polis. Bekalan air dan elektrik terputus selepas blok satu runtuh.

Pada 8 Ogos 2002,  Hakim Datuk James Foong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Wisma Denmark, Jalan Ampang memutuskan 7 daripada 10 pihak yang disaman 60 penghuni, waris dan keluarga mangsa tragedi Highland Towers sebagai cuai. Laporan penghakiman 162 muka surat itu mengembirakan Dr Benjamin George selaku pengerusi Persatuan Penduduk dan Pemilik Highland Towers.

Pada 4 Disember 2002,  Arab-Malaysian Finance Bhd (AMFB) merayu kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mokhtar Sidin dan Datuk Mohd Saari Yusoff berkaitan pampasan yang perlu dibayar. Di Mahkamah Rayuan, 3 hakim diketuai Datuk Gopal Sri Ram bersama Datuk Richard Malanjum dan Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff memerintahkan 3 pihak yang cuai supaya membayar gantirugi. Iaitu MPAJ 15 %, , jurutera Wong Yuen Kean 10 %, Arab-Malaysian 30 % , Metrolux Sdn. Bhd. dan MBF Property Services Sdn. Bhd. 20 %.

Pada tahun 2004, melalui penyelesaian di luar mahkamah, AmFinance Bhd setuju membayar RM52 juta kepada 139 plaintif yang diketuai oleh Dr Benjamin George.

Pada 18 Februari 2006, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) , Majlis Daerah Gombak (MDG) atau mana-mana kerajaan tempatan mempunyai kekebalan dan dilindungi Seksyen 95 (2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 daripada sebarang tuntutan sebelum runtuhan. Tan Sri Steve Shim Lip Kiong , Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Arifin Zakaria memutuskan MPAJ tidak bertanggungjawab terhadap kerugian sebelum dan selepas kondominium itu runtuh. Kerajaan tempatan ditugaskan menjalankan beberapa tanggungjawab termasuk menyedia dan menyelenggara tempat rekreasi, memungut sampah, menyediakan kenderaan awam, menyedia rumah untuk setinggan dan banyak lagi serta harapan orang ramai adalah tinggi. Ini adalah tanggungjawab sosial kepada pembayar cukai di kawasan mereka dan sumber kewangannya hanya melalui cukai taksiran dan bayaran lesen.

Keadaan Semasa

Dua blok, Blok B dan Blok C Pangsapuri Highland Tower masih teguh berdiri.

Pada tahun 1995,terdapat perancangan untuk membaikpulih Blok B dan C untuk didiami semula namun pemeriksaan mendapati bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami.

Maka satu-satunya pilihan yang ada adalah merobohkannya. Pihak berkuasa menyatakan 2 blok lain iaitu Blok B dan Blok C tidak selamat diduduki dan akan roboh bila-bila masa. Tetapi sehingga kini masih tidak roboh atau runtuh. Highland Towers tidak lagi didiami hari ini. Ia dibiarkan telah ditumbuhi semak samun menjadi mangsa sasaran laku musnah. Jadi sebenarnya pakar geoteknik masih tidak dapat meramal dengan tepat bila dan di mana tanah runtuh akan berlaku.


 
 
 
 
Allahyarham Carlos Rashid Musa

Kajian Geologi

Pelbagai pihak melakukan kajian terhadap tanah runtuh khususnya di Bukit Antarabangsa yang melibatkan Highland Towers. Antaranya ialah Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Hampir setiap universiti mempunyai pusat penyelidikan dan kepakaran berkaitan alam sekitar malah lebih mengkhusus lagi kepada tanah runtuh antaranya seperti Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara (NASEC) di UiTM dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di UKM. 

SETELAH 30 TAHUN

Tragedi Highland Towers: Noktah musibah tiga dekad

Kuala Lumpur: Tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 11 Disember 1993 kekal sebagai antara bencana bangunan paling buruk dalam sejarah negara.

Kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari itu menyaksikan Blok 1 kondominium berkenaan runtuh selepas berlaku kegagalan cerun di kawasan belakang bangunan yang turut dikaitkan dengan hujan lebat berterusan.

Susulan tragedi itu, penduduk di Blok 2 dan Blok 3 diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing atas faktor keselamatan.

Sejak tragedi itu, kedua-dua blok berkenaan kekal tidak berpenghuni dan menjadi struktur terbiar yang menghantui kawasan berkenaan selama lebih 30 tahun.

Peristiwa itu turut mencetuskan pertikaian undang-undang yang berlarutan selama bertahun-tahun membabitkan pelbagai pihak termasuk penduduk, pemaju dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

ANGGOTA penyelamat dari Perancis

Menurut laporan media, pada 4 Disember 1996, pemilik kondominium memfailkan saman terhadap beberapa pihak termasuk MPAJ bagi menuntut ganti rugi yang dianggarkan berjumlah RM31 juta hingga RM35 juta susulan kehilangan kediaman mereka.

Dalam masa sama, usaha merobohkan baki dua blok berkenaan turut berdepan pelbagai kekangan termasuk tindakan undang-undang dan isu pemilikan yang menyebabkan ia tertangguh selama bertahun-tahun.

Kes berkaitan tuntutan pampasan pula melalui pelbagai peringkat perbicaraan sebelum dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, pada 2006, Mahkamah Persekutuan dilaporkan memutuskan bahawa seramai 73 penghuni Blok 2 dan Blok 3 gagal dalam tuntutan mereka terhadap MPAJ.

Walaupun lebih 32 tahun berlalu, baki dua blok Highland Towers terus berdiri sebagai struktur terbiar yang semakin uzur dan sering mengundang perhatian orang ramai.

BLOK 1 kondominium Highland Towers hilang dari pandangan

Disiarkan pada: Jun 15, 2026 @ 7:05am

MTA 106 : ALKISAH BANGSA JOHOR


ALKISAH BANGSA JOHOR


CAKAP DAN BAHASA ORANG JOHOR

Bahasa Melayu Johor-Riau. Bahasa Melayu yang dituturkan sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia sekarang adalah berasaskan kepada Bahasa Melayu Johor-Riau yang asalnya digunakan oleh penduduk Johor, Riau, Melaka dan Singapura. Sejarah ini adalah berasaskan kepada kedudukan dan pengaruh Kerajaan Melaka dan Johor-Riau yang terletak ditengah-tengah Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) dan mejadi pusat pertemuan pedagang dari pelusuk dunia khususnya China, India, Parsi dan Arab sejak abad ke 15. Bahasa Melayu dialek Johor-Riau telah menjadi bahasa perantaraan di kalangan para pedagang dan menjadi lingua franca di wilayah ini. Pastinya penulis (walaupun berketurunan Jawa, merasa bangga kerana bahasa pertuturan negeri kelahiran penulis dijadikan asas kepada Bahasa Melayu yang piawai (standard).

Gaya percakapan bangsa Johor juga mempunyai keunikan yang tersendiri. Walaupun orang Johor bertutur dalam Bahasa melayu standard, terdapat banyak istilah khusus yang hanya digunakan oleh orang Johor. Penulis ingin berkongsi dengan pembaca dari negeri-negeri lain mengenai beberapa keunikan tersebut.

Pengakhiran Percakapan Dengan Bunyi ‘Ekkk’ dan ‘No’. Perkataan ‘ekk’ adalah trademark untuk orang Johor (Johorean). Perkataan 'ekk' ini sering diucapkan di hujung ayat dalam perbualan dan biasanya ia berbentuk question mark?. Contohnya: "Ni awak punya ekk?", "Nama awak sapa ekk?", "Kenapa kita punya tak cantik macam awak punya ekk?", "Ini gambo adik awak ekk?" dan macam-macam 'ekk' lagi.

Jadi jika anda berbual dengan seseorang (terutamanya wanita) dan selalu terkeluar perkataan ‘ekk’ dihujung ayatnya, confirmed ‘Orang Johor". Satu lagi kegemaran orang Johor ialah menambah perkataan “no” bermaksud betul atau sungguh. Contoh: banyak no, suka no, kuat no. Orang Johor juga suka menyoal atau menyampuk dengan kata “ye ke?” Seolah-olah masih belum berpuas hati.

Johor Versus Johor Bahru. Jika rakan anda datang luar Johor dan mendengar perbualan sesama orang Johor (berada di dalam negeri Johor) yang berbunyi, “Esok kami sekeluarga nak ke Johor” atau, “petang ni kami nak balik Johor”, anda tentu agak pelik mendengarnya, kenapa sudah ada dalam Johor hendak balik ke Johor pula?.

Oleh itu, jika anda mendengar kawan anda berkata seperti itu, anda tidak perlu bertanya lagi "Eh, kan sekarang kita dah ada kat Johor?". Apa lagi memandai-mandai menambah perkataan ‘ekk' dalam soalan, contoh; "Eh, kan kita dah ada kat Johor ekk?".

Bagi orang ‘bangsa Johor veteran’ perkataan Johor yang disebut itu bermaksud bandar Johor Bahru. Tapi itu dulu. Anak-anak Johor moden mungkin sudah berubah dan lebih spesifik dengan menyebut atau ‘Jay Bee’ sahaja.

Sebut ‘MUAR’ Bunyinya 'MUO'. Orang Johor menyebut perkataan yang dieja dengan dua huruf terakhirnya "AR" dengan bunyo "O" (dengan memuncug dan menjuihkan bibir). Contohnya, keluar, ular, seluar, tiar, besar, selipar dan belukar dengan bunyi 'keluo', 'ulo', 'seluo', 'tiko', 'beso', 'selipo' and 'beluko'. Contoh ayat,

"Suruh keje dia mengulo je, kata nak pegi bando Muo kejap je, tapi keluo pagi balik lepas Aso. Bila kena marah, tangan terketo-keto. Nampaknya, memang nak kene penampo budak ni."

Kata orang lagi, bila menyeberangi sempadan Melaka, bunyi dialek sebutan akan bertukar menjadi

“Suruh keje dia mengulau je, kata nak pegi bandau Muau sekejap je, tapi keluau pagi balik lepas Asau. Bila kena marah, tangan terketau-ketau. Nampaknya,memang nak kena penampau budak ni.”

Gurau Kasar Orang Johor. Orang Johor agak sukar untuk terlalu serius dalam sesuatu hal kecuali yang terlalu peribadi. Kebanyakan orang Johor agak loyar buruk atau suka buat kelakar secara bersahaja. Anda boleh lihat gaya bahasa Jep, Mamat dan Shuib (SEPAH) Raja Lawak. Begitulah karakter bangsa Johor. Kadang-kadang mereka buat perangai 'bigo'. ‘Bigo' bukanlah dari perkataan 'bigar' tetapi ia bermaksud perangai 'bodoh-bodoh atau gila-gila'. Orang luar kadang agak rimas dengan gaya gurau orang Johor. Bagaimanapun, generasi baru anak-anak Johor mungkin sudah berbeza.

Berendut Dengan Budak Begetah. 'Endut' bermaksud buah hati atau kekasih (tidak kira lelaki atau perempuan), dan ‘berendut' maksudnya sedang bercinta (couple). Contoh:

"Haa...kau dah ada endut ekk? Semalam ko berendut kat mana ekk? Ko ni, orang berendut ko pun nak berendut jugak ekk".

'Bergetah' atau 'begetah' bermaksud perempuan yang cantik dan menarik untuk dipikat. 'Budak tu begetah ekkk" atau... "eeee...makcik tu umo dah 50 tapi masih begetah lagi ekkk!".

Haram Jadah. Perkataan ‘haram jadah’ boleh disebut sebagai bahasa seranah orang Johor. Ini adalah sedikit keunikan yang negatif bagi orang Johor. Walaupun bunyinya memang amat kasar (malah kadangkala ada yang suka menyebut anak haram) tetapi sebenarnya ia tidaklah sebegitu teruk maksudnya. Sepertimana orang Barat (khususnya orang Amerika) yang suka menyebut ‘fuck you’ @ ‘fucking shit’ @ fuck all @ bull shit, walaupun bunyinya seperti mencarut dan menjijikkan tetapi maksudnya tidak seteruk itu. Perkataan ‘haram jadah ini hanya untuk melahirkan perasaan marah yang amat sangat apabila seseorang itu ditipu atau disakiti hatinya. Ia bermaksud ‘kurang ajar’ atau ‘sial’. Ia lebih banyak digunakan oleh wanita yang berumur empat puluhan ke atas sahaja. Contohnya apabila melibatkan kes seperti barangannya diragut, pokok bunga yang disukai jatuh pecah atau terjatuh akibat terpijak kulit pisang. Maki atau seranah ‘haram jadah’ itu ditujukan kepada peragut, orang yang melanggar pasu bunganya dan orang yang membuang kulit pisang merata-rata.

Nota : Sejarah perkataan ‘haram jadah’ ini, mengikut ceritanya bermula di Tanah Suci Makkah. Di Arab Saudi, orang menyebut tanah haram Makkah dan Madinah dengan sebutan “Haram’. Kalau dua-dua disebut ‘Haramain’. Jeddah ialah bandar pelabuhan dan lapangan terbang terdekat dengan Kota Makkah.

Perkhidmatan teksi dari Makkah ke Jeddah biasa disebut teksi Haram Jeddah (dari tanah Haram Makkah ke Jeddah). Bila ditanya, naik teksi mana untuk ke Jeddah, orang akan kata teksi Haram Jeddah.

Menurut ceritanya, pada suatu ketika dahulu (di tahun 50an) ada sepasang jemaah haji dari Johor pergi membeli belah di Jeddah dengan menaiki teksi dari Makkah ke Jeddah. Perjalanan perginya tiada masalah. Dalam perjalanan balik ke Makkah, mereka telah ditipu oleh pemandu teksi tersebut. Pemandu tersebut menurunkannya jauh dari tempat penginapan. Pasangan penumpang tadi amat marah dan memaki hamun pemandu teksi tersebut. Tetapi pemandu yang telah menerima tambang semasa memulakan perjalanan tadi, buat bodoh dan pergi meninggalkan mereka. Sepanjang berjalan membawa barang-barang yang dibeli menuju ke rumah penginapan, mulut si isteri tidak berhenti memaki hamun pemandu teksi itu.

Bila sampai di rumah penginapan, dia masih marah-marah. Lalu ditanya oleh kawan-kawan jemaah yang lain tentang apa yang berlaku. Dia pun bercerita yang dia ditipu oleh pemandu teksi Haram Jeddah tadi. Bila sudah balik kampung dia masih bercerita kena tipu teksi Haram Jeddah. Lama-lama sumpah seranahnya itu jadi ikutan orang kampung dan mungkin jemaah hai lain lalu tersebar ke sebahagian orang Johor yang lain. Tetapi, bagi orang yang kemudian yang tidak tahu asal usul teksi Haram Jeddah ini, mereka semakin memudahkan sebutannya dari Haram Jeddah kepada ‘haram jadah’ sahaja.

Jaki. Jaki bermaksud kurang lebih macam 'meluat' atau 'tak suka' atau 'benci'. Kadangkala ia boleh memberi makna 'dengki' dengan pencapaian seseorang lain. Contoh ‘jaki bermaksud meluat, "Dia tu asyik nak cerita pasal sedara-mara dia yang kaya-kaya je, jaki betul aku dengar". Contoh ‘jaki’ bermaksud dengki, “Mentang-mentang lah dapat first class degree, ramai yang nak bergambar dengan dia, jaki betul aku”.

Simpan Baju Dalam Gerobok. Kebanyakan orang Johor tidak menggunakan perkataan almari untuk tempat menyimpan baju (wardrobe). Kita panggil ‘gerobok’ atau dipendekkan ‘gobok’ ta GEROBOK or GOBOK. Tetapi bukan ‘gubok’ kerana gubok adalah bahasa Jawa sudah membawa mana pondok rehat di kebun. Manakala ‘gabuk’ bermaksud mandul. Contoh; "Ni, mak dah lipat semua baju-baju ni, pegi simpan dalam gerobok!”

TV Singapura. Sebelum adanya ASTRO dan juga internet yang boleh melanggan rancangan televisyen (TV), terutamanya dalam tahun 1970an dan 1980an, penduduk Malaysia hanya menonton televisyen dari Rangkaian (RTM) 1 dan RTM 2 sahaja. Kemudian baru ada TV3 dan TV4. Bagi penduduk Negeri Johor terutamanya yang tinggal di daerah , Kulai, , Kluang Selatan, Batu Pahat dan Pontian mereka mendapat lebih pilihan dari saluran TV Singapura. Malah TV Singapura menayangkan cerita-cerita yang lebih terkini berbanding TV Malaysia, terutamanya filem luar negara. Kalau orang Johor datang ke KL dan menonton filem di TV, mereka akan kata “kita dah tengok cerita ni, kat Johor dah tunjuk lama dahhhh”.

Epok-epok, Onde-onde dan Jemput-jemput. Sebelum meninggalkan Johor pada tahun 1977 (ke Sekolah Alam Shah), penulis tak pernah dengar apa itu kueh karipap (curry puff). Kueh yang sama di Johor aku panggil 'epok-epok'. Begitu juga dengan nama kueh 'buah melaka' atau ada yang panggil 'kueh bom'. Orang Johor (aku) panggil dengan nama 'onde-onde'. Lagi satu istilah (nama kueh) baru yang aku tahu selepas keluar dari tanah Johor ialah ‘cekodok’ kerana penulis panggil ‘jemput-jemput’. Contoh: jemput-jemput pisang, jemput-jemput jagung dan sebagainya. Itulah sedikit dari banyak perbezaan nama kueh antara orang Johor dengan negeri lain.

Peliknya, dalam keadaan nama kueh yang satu perkataan berubah menjadi 'kata berganda' ada pula nama kueh yang namanya adalah perkataan berganda iaitu 'AGAR-AGAR' tetapi bila berada di Johor namanya berubah menjadi 'LENGKONG".

 
Epok-epok
 
Onde-onde
 
Jemput-jemput
Lengkong

Karipap ada pelbagai perasa, bergantung kepada inti di dalamnya. Antara jenis-jenis karipap ialah karipap daging, karipap ayam, temosa (karipap ikan), karipap sardin dan karipap pusing. Bentuk epok-epok Johor ada yang berbentuk bulat seperti piring terbang.

Onde-Onde juga sejenis kueh tradisional. Ia diperbuat dari tepung beras pulut. Onde-onde berbentuk bulat seperti bola dan isinya (intinya) adalah inti kelapa atau kacang hitam dan ia digoreng dan disalut dengan biji bijan. Orang luar Johor menyebutnya sebagai kueh bom dan ada juga menyebut buah Melaka. Kueh buah melaka bagi orang Johor ialah jenis kueh bulat dari tepung pulut juga yang direbus dan disalut dengan kelapa dan isinya ialah gula melaka (yang cair).

Kalau tanya orang Johor, apa itu kueh bom?, jawapannya adalah berbeza. Ia berbentuk bulat juga dan diperbuat dari tepung gandum dan tidak berisi inti. Ia dimakan dengan dicicah dengan sambal kicap, sambal tumis, sos cili atau sambal kacang.

BUDAYA DAN PAKAIAN

Baju Kurung Johor (Telok Belanga). Johor mempunyai fesyen baju kurung lelaki (baju Melayu) dan wanitanya yang dipanggil baju kurung Telok Belanga. Telok Belanga adalah nama satu tempat di Singapura (satu ketika dahulu sebahagian dari Johor) di mana letaknya istana Temenggung Daing Ibrahim. Perbezaan baju kurung Johor ialah di bahagian lehernya. Kalau baju Melayu kebangsaan fesyen lehernya dipanggil ‘cekak musang’.

Baju Melayu Telok Belanga 

Sehingga hari ini jika ada majlis rasmi yang melibatkan istana Johor atau kehadiran Sultan atau kerabat Diraja, para hadirin dimestikan memakai 'baju kurung Telok Belanga'.

Tarian Zapin. Tarian zapin cukup sinonim dengan negeri Johor. Tarian zapin (asalnya Al Zaffan bermaksud penari) yang berasal dari Yaman untuk hiburan di kalangan istana telah dibawa ke Timur dan diperkenalkan oleh pedagang Arab dalam abad ke 13. Tarian ini secara tradisinya ditarikan oleh golongan lelaki sahaja dan kemudiannya setelah ia mula berkembang luas, tarian ini telah ditarikan secara berpasangan antara penari lelaki dan wanita dengan gerak tari yang melambangkan sifat-sifat diri golongan tersebut.

Struktur utama persembahan zapin Melayu ialah pembahagian persembahan kepada tiga bahagian iaitu taksim, ragam dan kopak, dan wainab. Muzik lagu yang mengiringi tarian zapin terdiri daripada lagu Lancang Kuning, Naan Sidi, Ya Salam, Zapin Budi, Zapin Pekan, Ya Ladan dan banyak lagi. Penarinya mengenakan busana baju kurung Teluk Belanga dikancing dengan butang emas ataupun suasa, kain sampin, seluar dan songkok. Penari wanita juga berbaju kurung Teluk Belanga dan sampin dagang luar, bersanggul atau bertudung dipadankan dengan aksesori rantai emas.

Seni Muzik Ghazal. Ghazal merupakan kesenian tradisional yang agak popular. Pada permulaannya, ini disebut sebagai ‘gamat’ yang bererti nyanyian dan beriuh rendah berasal dari Tanah Arab. Pada abad ke-19, kerajaan Johor menjalin hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga. Beberapa bangsawan Johor yang berulang-alik Riau mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kepada Sultan Johor pada ketika itu di Teluk Belanga, Singapura.

Perkembangan ghazal di Johor dikaitkan dengan Allhayarham Datuk Bentara Luar, Mohd. Salleh Bin Perang yang memperkenalkan permainan ghazal dalam majlis-majlis keramaian rasminya.

Kumpulan Ghazal terdiri daripada Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do (Gendang). Kemudian ini ditambah dengan beberapa alat yang sesuai seperti gitar, kecapi Jepun, Keroncong dan Marakas. Setelah itu dicampurkan dengan alat muzik lain seperti ukeleli dan sebagainya. Oleh kerana terlampau mengganggu serta menghilangkan silau dan lemah lembut lagu Melayu maka alat itu dibatalkan.

Muzik ‘ROCKERS’. Orang Johor dikatakan menerima pengaruh budaya Barat lebih awal dari orang Kuala Lumpur. Ini kerana budaya Barat masuk ke Johor melalui Singapura. Singapura jauh lebih maju lebih awal dari KL dan lebih ramai bangsa Eropah tinggal di Singapura. Kalau anda membaca sejarah Johor, Sultan Johor merupakan Raja Melayu yang awal mengahwini wanita Eropah. Kecuali Almarhum Sultan Ismail, semua Sultan Johor moden seperti pernah mengahwini wanita Eropah.

Salah seorang isteri Almarhum Sultan Abu Bakar (memerintah Johor, 1862 - 1895) ialah Cecilia Catherina Lange (Che Puan Zubaidah) berbangsa Denmark. Beberapa orang isteri Almarhum Sultan Ibrahim (1895 - 1959) yang berbangsa Eropah ialah Lady Helen Bartholomew (Sultanah Helen) berbangsa Inggeris, Lady Marcella Mendl (Sultanah Marcela @ Fawziah) berbangsa Romania. Manakala isteri pertama Almarhum Sultan Iskandar (1981 - 2010) ialah Lady Josephine Ruby Treverrow (Che Puan Kalsom) yang berbangsa Inggeris iaitu bonda kepada Sultan Ibrahim, Sultan Johor sekarang. Malah, melalui sumber sebuah portal aku menemui maklumat bahawa Sultan Ibrahim juga pernah berkahwin dengan seorang wanita Barat bernama Vivien Theresa Johnson.

Ketika Raja-Raja Melayu lain masih berpakaian baju Melayu labuh dan tinggal di istana kayu, Sultan Johor sudah memiliki harta benilai jutaan Pound Sterling serta mempunyai rumah di London dan telah mampu mengelilingi dunia menaiki kapal laut.

Oleh itu, tidak hairan jika kebanyakan kumpulan awal muzik Rock yang top di Malaysia berasal dari Johor, seperti Amy (Suhaimi) Search, Zainal Abidin, Tam Spider, Hurricane, Crossfire, Gersang, Bumiputra Rockers dan Nash Lefthanded.

Banyak lagi perkara istimewa dari Johor untuk diceritakan. Selain dari perkara yang disebut di atas, Johor juga popular dengan produk pasu tanah liat (clay) dan porcelain yang berkualiti dari Ayer Hitam. Dari dulu-dulu lagi, selain dari pasu tanah liat Sarawak kalau di Semenanjung Malaysia, pasu Ayer Hitam menjadi pilihan. Pada tahun 1980an, ketika corak pasu Sarawak masih kekal dengan identiti lama, pasu Ayer Hitam telah mempelbagaikan coraknya yang kontemporari. Ayer Hitam menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Johor juga merupakan pengeluar terbesar produk makanan ringan tradisi yang dihasilkan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana. Produk seperti kerepek pisang (atau ubi, keladi, keledek da sukun), pisang salai, rempeyek serta bahulu gulung adalah sinonim dengan makanan tradisi masyarakat Jawa di Johor. Pekan Parit Raja merupakan pusat membeli-belah produk seperti ini, diikuti oleh daerah Muar dan Pontian. Hari ini, selain Johor, daerah Kuala Langat, Kuala Selangor dan Tanjung Karang merupakan pengeluar skala besar bagi produk ini.

SIFAT MELAYU JOHOR

Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang, dalam satu sajaknya telah menukilkan sifat Melayu Johor. Antaranya Usman Awang menyebut bahawa orang Johor ini: 

kurang ajarnya tetap santun,
lembutnya cukup jantan,
dajalnya masih selamba,
nakalnya bersulam jenaka,
menikam dengan pantun,
menyanggah dengan senyum,
marahnya dalam tertawa,
merendah bukan menyembah.
meninggi bukan melonjak.

Pelukisan watak Melayu itu dicerna melalui pengetahuan dan pemerhatian terhadap budaya yang membentuk watak Melayu dalam sejarah yang begitu panjang sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka membawa kepada Kerajaan Johor-Riau, Kesultanan Melayu Johor, penentangan terhadap penjajahan British, liku-liku perjuangan kemerdekaan negara dan mengisi kemerdekaan sehinggalah ke hari ini.

Sumber rujukan: