Tuesday, February 3, 2015

M 022 SULTAN JOHOR 1: ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR BAPA JOHOR MODERN


BAPA JOHOR MODEN

SULTAN JOHOR PERTAMA

ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR

Almarhum Sultan Sir Abu Bakar ibni al-Marhum Dato Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim   DK SPMJ GCMG KCSI diputerakan pada 3 February 1833 merupakan putera sulung kepada Dato Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim bin Temenggong Sri Maharaja Daing Abdul Rahman.  Bondanya bernama Che Ngah.  Baginda mendapat didikan di  Keasberry's Academy, Singapore.  Menggantikan ayahandanya sebagai Temenggung Sri Maharaja Johor pada 31 Januari 1862.


Pada 8 Nov 1877, apabila Sultan Ali (yang memerintah Muar) mangkat, Temenggung Abu Bakar dilantik memerintah Muar sebahagian dari Johor.  Pada 14 April 1885, baginda mengisytiharkan Perlembagaan Negeri Johor, memperkenalkan Jemaah Menteri dan Dewan Perundangan.  Pada 11 Disember 1885, memakai gelaran 'Sultan' (diperakui pada 13 Feb 1886) dan dimahkotakan (tabalkan) pada  29 Julai 1886.

.




.
Menerima penganugerahan dari Kerajaan asing seperti:

(1)   The Prince of Wales's Gold medal (1876);

(2)   Grand Commander of the Orders of Kalakaua I of Hawaii (1881); 

(3)   Franz Joseph of Austria (1893);

(4)   The Order of the Crown of Prussia 1st Class (1880);

(5)   The Imperial Order of the Osmans (Nishan-i-Osmanieh) special class in brilliants of Turkey (1893);

(6)   The Imperial Order of the Double Dragon 1st Class of China (1894);

(7)   Commander of the Order of the Crown of Italy (1891); dan 

(8)   The Ducal Saxe-Ernestine House Order.



  

Sultan Abu Bakar berkahwin dengan YAM Cik Wan Chik binti Dato' Bendahara Sri Maharaja Tun Muhammad Tahir dari Pahang (bergelar Cik Puan Besar) pada 1858.

Pada 1870, baginda berkahwin kali kedua di Bali dengan YAM Cik Puan Zubaidah binti Abdullah @ Cecelia Catherina Lange  (1849 - 1936) yang berketurunan Denmark dan China.


Baginda berkahwin (kali ketiga) di Singapura pada 1885 dengan Cik Puan Fatimah @ Wong Ah Gew binti Abdullah  kemudian bergelar Sultanah Fatimah (mangkat pada 1891).


Image result for isteri sultan abu bakar johor

Perkahwinan keempat baginda ialah dengan Che' Khadija Hanum (keturunan Circassion) di Istanbul, Turki pada 22 Sep 1893 yang kemudian bergelar Sultanah Khadijah (baginda mangkat 1 Feb 1904).

Image


Sultan Abu Bakar mangkat di Bailey's Hotel, South Kensington, London pada 4 Jun 1895 dan jenazahnya dibawa pulang ke Johor dan dimakamkan di Makam Sultan Abu Bakar, Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru.  Almarhum Sultan Abu Bakar meninggalkan seorang putera dan 4 puteri:

(1)   YTM Tunku Ibrahim Iskandar, Tunku Mahkota, yang menggantikan baginda sebagai Sultan Johor. Bondanya ialah Sultanah Zubaidah.

(2)   YTM Tunku Mariam atau Tunku Sulong  (lahir pada 21 Dis 1871) diberi gelaran Tunku Ampuan berkahwin dengan DYMM Sultan Mahmud Shah ibni almarhum Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang pada 14 Sep 1897. 

(3)   YTM Tunku Besar Puteri, berkahwin dengan Ungku Ahmad bin Ungku Abd Rahman (meninggal 1945).

(4)   YTM Tunku Azizah (meninggal 1926) berkahwin dengan Ungku Abd Aziz bin Abd Majid.


(5)   YTM Tunku Fatimah (1891 - 1942), berkahwin dengan Raja Abdul Majid bin Raja Muhammad.

Paduka ayahanda kepada Sultan Abu Bakar, Temenggung Daing Tun Ibrahim Sri Maharaja

 

Almarhum Sultan Abu bakar banyak membawa perubahan yang di luar dari kebiasaan atas dasar membuka minda rakyat untuk menerima idea permodenan sama ada dari aspek pembangunan, cara pentadbiran dan juga adat istiadat, tanpa mengabaikan adat istiadat Melayu Johor.

Baginda memperkenalkan baju kurung Melayu 'Telok belanga' sebagai pakaian kebangsaan Johor.  Baginda juga Raja Melayu pertama memperkenalkan penggunaan 'mahkota' sebagai pakaian pertabalan Sultan Johor bagi menggantikan 'tanjak atau tengkolok' yang biasa diamalkan oleh Raja-raja Melayu sejak zaman berzaman.  Pemakaian 'mahkota' ini kemudiannya diikuti oleh Sultan Selangor dan Sultan Kelantan.

Almarhum memperkenalkan Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri (Johor Military Force) dan merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang mempunyai pasukan tentera moden beruniform sendiri.  Pasukan TSN ini menerima latihan sebenar sebagai anggota tentera dan dilengkapi dengan senjata api. Pasukan Tentera TSN ijni masih kekal sehingga sekarang walaupun hanya berkhidmat dengan istana Johor sahaja.


DYMM Sultan Abu Bakar bersama MB pertamanya, Dato' Jaafar bin Mohamad

ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI

Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar ibni Daeng Ibrahim, Sultan bagi jajahan takluk Johor Darul Ta'zim. Almarhum Sultan Abu Bakar seorang berfikiran jauh dan telah berjaya memodenkan Negeri Johor. Baginda juga telah berbaik-baik dengan Ratu Great Britain Queen Victioria ketika itu sebagai helah untuk mengelakkan campur tangan dan penjajahan Inggeris di Johor dan menghalang cita-cita British untuk menjajah negeri Johor.

Johor adalah negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan tentera yang tertua dalam Malaysia dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini.

Sejarah

Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada 1885 dengan kompeni percubaan 60 anak Melayu Johor dan 20 orang askar Punjabi. Anggota Melayu dilatih sebagai askar Infantri sementara anggota Punjabi dilatih sebagai anggota pasukanArtileri. Seorang pegawai tentera Inggeris bernama Kapten Newland dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu yang pertama sekali diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman. Askar Timbalan Setia Negeri telah diberi panji-panji DiRaja pada 11 Mei 1916 semasa pemerintahan almarhum Sultan Sir Ibrahim.,

Perang Dunia Pertama

Askar Timbalan Setia Johor terlibat dalam mematahkan pemberontakan oleh askar-askar India dari pasukan 5th Infantry di Singapura dalam tahun 1915. . Askar Timbalan Setia menangkap askar-askar yang memberontak yang menyeberang ke Johor merentasi Selat Johor semasa melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.

Semasa Perang Dunia I,  pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor menghantar kontinjen seramai 2 orang pegawai berserta 100 orang anggota ke Berek Tanglin di Singapura untuk membantu mengawal keselamatan di Singapura. Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri juga membuat tugas-tugas membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura. Pasukan ini juga memberi bantuan menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang mati (kini Pulau Sentosa), Singapura hingga tamat PD I.

Selain memberikan bantuan kawalan keselamatan di Singapura, Pasukan Askar timbalan Setia Johor juga memberikan kawalan keselamatan laluan perhubungan di kawasan-kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat termasuk pangkalan udara di Kluang.

Perang Dunia Kedua

Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu di bawah pimpinan Lt Jen A E Percival  sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu. Apabila pasukan Tentera Jepun memasuki negeri Johor, khususnya bandar JB, pasukan Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang tentera Jepun.

Cadangan Pemansuhan Askar Timbalan Setia

Kerajaan pusat Malaysia pernah dalam tahun 1994 mencadangkan pembubaran pasukan Askar Timbalan Setia berikutan krisis berkaitan isu kekebalan Raja-raja Melayu dan satu Rang Undang-Undang di panggil Johore Military Forces (Disbandment And Repeal) Bill 1994 telah digubal untuk dibahaskan di Parlimen.


Tetapi Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara ketika itu (walaupun mempunyai hubungan yang kurang baik dengan Sultan) telah menasihatkan Sultan Johor  bahawa Askar Timbalan Setia Negeri Johor diwujudkan jauh lebih dahulu daripada rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) dan penubuhan serta pengekalan pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat Negeri Johor. Dengan demikian, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Sehubungan itu, rang undang-undang ini tidak dilaksanakan dan terkubur begitu sahaja. Maka, Pasukan ATSNJ masih kekal hingga sekarang.



 PENGABDIAN 

Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru



Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Johor Bahru


Bangunan Sultan Abu Bakar Muar


Muzium Sultan Abu Bakar (bekas Istana besar Johor)


SYARAT KETAT ANUGERAH 'DATO' JOHOR
Oleh DATUK ABDUL RAHIM RAMLI

MAHARAJA Abu Bakar membawa balik beberapa inovasi dari pengalaman baginda melawat England dan Eropah untuk menjadikan Johor sebagai negeri moden dan bertamadun. Baginda merupakan Raja Melayu yang pertama membuat lawatan ke England dalam tahun 1866 dan seterusnya sebanyak enam kali melawat England dan Eropah.

Baginda berhasrat Johor kekal sebagai negeri yang merdeka dan berdaulat dan mendahului negeri-negeri lain. Dengan termetrinya Perjanjian Setia yang ditandatangani baginda dengan kerajaan Ratu Victoria pada 11 Disember 1885 bukan sahaja Inggeris mengiktiraf Johor sebagai negeri merdeka bahkan lebih daripada itu mengiktiraf Abu Bakar dan waris-waris gantinya sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Johor dan Segala Jajahan Takluknya. Pengiktirafan ini menambah lagi kedaulatan Abu Bakar dan menyingkir anggapan baginda hanya seorang bangsawan tetapi tidak berdarah raja.

Tidak seperti Raja-raja lain, Sultan Abu Bakar tidak menunggu Inggeris menakluk negerinya dan menghadiahkan darjah dan bintang sebagai balasan. Malah baginda membawa "peperangan" dengan Inggeris ke gelanggang mereka sendiri iaitu England. Dengan itu terzahirlah Perjanjian Setia yang memberi perlindungan daripada ancaman Inggeris.

Persetiaan ini merupakan satu kemenangan moral bagi Abu Bakar terhadap Inggeris yang sentiasa merancang untuk meletakkan Johor di bawah pentadbiran dan takluknya sebagaimana yang telah dilakukan ke atas negeri-negeri lain.

Sultan Abu Bakar berjaya bertahan dan mematahkan perancangan Inggeris yang bertubi-tubi selama 30 tahun.

Selepas Abu Bakar memindahkan pusat pentadbiran dari Telok Belanga ke Iskandar Puteri (sekarang Johor Bahru) dalam tahun 1858, baginda menubuhkan sistem pentadbiran moden yang menjadi asas pengurusan sekarang.

Baginda menubuhkan sebuah Jemaah Menteri mengandungi 12 orang pengikut-pengikut baginda yang taat setia, dan sebuah Dewan Negeri dengan tambahan 12 orang lagi termasuk dua orang wakil masyarakat Cina untuk bersama-sama mengurus dan mentadbir Johor.

Di samping itu baginda menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti polis, kastam, mahkamah, perbendaharaan, kesihatan, agama, pelajaran, jabatan ukur dan kemajuan tanah dan lain-lain.

Sistem pengurusan ini berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga Gabenor Inggeris melaporkan kepada Colonial Office tidak ada keperluan dan tidak munasabah Inggeris campur tangan dalam pentadbiran Johor.

Pada asalnya Ahli Jemaah Menteri memegang jawatan-jawatan yang mempunyai ascribed title atau gelaran seperti Dato' Menteri bagi Menteri Besar, Dato' Bentara Dalam bagi Menteri Hal Ehwal Dalam dan Pelajaran, Dato' Bentara Luar bagi Menteri Pembangunan dan Tanah, Dato' Sri Amar DiRaja bagi Menteri Hal Ehwal Luar dan Setiausaha Kerajaan, Dato' Setia bagi Pesuruhjaya Polis, Dato' Penggawa Barat bagi Pentadbir Wilayah Barat, dan Dato' Penggawa Timor bagi Pentadbir Wilayah Timor.

Gelaran Dato' adalah dipadankan daripada gelaran hulubalang Empayar Johor dalam kurun ke-15 lagi. Abu Bakar meneruskan gelaran ini melalui peraturan perundangan dan fisikal.

Baginda berhasrat menghargai pengikut dan pegawai baginda yang taat setia bersama-sama membangunkan Johor dari hutan belantara ke sebuah negeri yang maju dan bertamadun.

Baginda mencipta Darjah Kerabat Johor Yang Amat DiHormati (DK) dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia (SPMJ dan DPMJ). Darjah-darjah kebesaran ini dizahirkan serentak pada 31 Julai 1886 dan merupakan Darjah pertama di antara Negeri-negeri Tanah Melayu.

Di antara penerima-penerima DK ialah adik-beradik Abu Bakar. Antara penerima utama gelaran Dato' adalah Menteri Besar Dato' Jaafar bin Mohammad, Dato' Bentara Dalam Mohammad Ibrahim Abdullah Munshi, Dato' Bentara Luar Mohammad Salleh Bin Perang, dan Pesuruhjaya Polis Dato' Setia Abdullah Tahir.

Penerima SPMJ pertama bergelar Dato' bagi ketua masyarakat Cina ialah Tan Hiok Nee seorang ahli Dewan Negeri dan ketua persatuan Ngee Heng Kongsi.

Kriteria pemilihan Dato' yang digunakan oleh Abu Bakar iaitu taat setia, perkhidmatan cemerlang, kepimpinan dan keikhlasan terus diamal dan dipraktikan oleh Sultan-Sultan Johor selepas baginda. Abu Bakar memaktubkannya ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 bagi mempertinggikan martabat Darjah itu, dan memberi kuasa mutlak kepada Raja terhadap pengurniaannya.

Almarhum Sultan Ibrahim dalam tahun 1925 mencipta Undang-Undang dan Peraturan bagi Darjah memperkuatkan kuasa Raja dalam hal-hal Darjah. Pada masa sekarang jika terdapat kesangsian nama calon dirujuk kepada pihak berkuasa seperti polis, mahkamah dan agensi pencegah rasuah untuk siasatan dan pengesahan.



Mulai 1886 juga seorang Dato' diberi gelaran "Yang Berhormat" membawa makna ia hendaklah mempunyai dan mengamalkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, perwatakan berhemah tinggi, jujur dan ikhlas, menghormatkan orang lain, bermoral, bertingkah laku yang sopan santun, dan kepimpinan yang boleh dijadikan teladan.

Mulai tahun 1990, calon beragama Islam dikehendaki menyempurnakan Solat Sunat dan melafaz Sumpah Syarie bertaubat dan mohon ampun dan perlindungan Allah SWT dan sentiasa taat kepada perintah-Nya, serta taat kepada Raja dan kerajaan.

Imam Darjah membacakan doa sebelum dan selepas kurniaan mohon kepada Allah semoga dikurnia perlindungan dan petunjuk-Nya kepada Dato' itu. Perkataan "Kepada Allah Berserah" diukir ke atas Bintang Darjah. Semuanya ini menunjukkan seorang Dato' itu tidak terlepas daripada tanggungjawab yang berat dan sentiasa memohon taufik dan hidayat Allah Maha Kuasa.

Bagi Dato' yang bukan beragama Islam harapan dan aspirasi rakyat serta tanggungjawab terhadap mereka adalah sama beratnya walaupun mereka tidak mengangkat sumpah.

Dato' Johor yang terdiri daripada orang Melayu secara otomatis menjadi ahli bagi Jemaah Pangkuan Negeri yang berkuasa dalam hal memilih, mengesah dan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor sebagai Sultan selepas kemangkatan Almarhum. Di sini juga keikhlasan dan taat setia serta pendirian mereka diuji.

Ada orang mengatakan gelaran Dato' Johor adalah berat, dan mungkin ada orang yang tidak dapat memikulnya dengan sempurna. Setelah diperkenankan, istana akan mengeluarkan surat bertanya jika calon itu bersetuju menerimanya.

Jika seseorang calon berasa belum sampai masanya dan tidak sanggup memikul bebanan tanggungjawab yang berat, dia boleh menolaknya. Ini tidak dianggap sebagai biadab atau menderhaka asalkan tujuannya murni.

Syarat-syarat kurniaan amat ketat bagi memartabatkan kemuliaan Darjah itu. Dari tahun 1886 hingga sekarang 712 orang telah diberi kurniaan Dato'. Pada hari ini terdapat 110 Dato' Johor yang masih hidup. Justeru sindiran sinis jika dibaling batu tentunya sebiji akan jatuh ke atas seorang Dato' Johor tidaklah boleh diterima.

Dalam zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, baginda mengurniakan gelaran "Datin" kepada isteri seorang Dato'. Pada masa sekarang isteri Dato' tidak bergelar Datin tetapi digelar "Datin Dato'….(nama suami).


Gelaran ini hanya kepada isteri pertama jika Dato' itu mempunyai lebih daripada seorang isteri. Gelaran itu boleh digunakan jika Dato' itu meninggal dunia dan selagi balu tidak bernikah lagi. Isteri yang diceraikan oleh Dato' tidak boleh menggunakan gelaran itu. Ini merupakan satu keunikan di Johor.

Rencana ini disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini. PENULIS ialah Setiausaha Jemaah Majlis DiRaja merangkap Menteri Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Istana Besar, Johor Bahru

No comments:

Post a Comment