DATO' BENTARA LUAR
ARKITEK PEMBANGUNAN NEGERI JOHOR
ARKITEK PEMBANGUNAN NEGERI JOHOR
Tempoh hari aku menulis tentang seorang tokoh Melayu luar biasa dalam sejarah Johor Moden, iaitu Dato' Seri Amar DiRaja. Walaupun jasadnya disemadikan di England namun bak kata peribahasa 'manusia mati meninggalkan nama'. Biarpun tulangnya berada jauh beribu batu di benua negara penjajah, namun namanya tetap dikenang dan sentiasa bersemadi bersama nama Negeri Johor itu sendiri.
Seorang lagi tokoh agong dalam sejarah Johor moden yang melalui peralihan abad ke 19 dan 20 ialah Dato' Bentara Luar Muhammad bin Perang. Beliau adalah salah seorang Orang Besar yang dilantik dan diberi amanah oleh almarhum Sultan Abu Bakar untuk membuka dan memajukan Batu Pahat.
Nama Dato Bentara Luar yang melekat dalam minda aku adalah disebabkan sinonimnya nama almarhum dengan nama Batu Pahat. Salah sebuah sekolah menengah aliran Melayu yang popular di daerah Batu Pahat bernama Sek Dato Bentara Luar (SDBL). Begitu juga sebuah masjid (di Jalan Masjid) yang sewaktu dulu merupakan Masjid Daerah Batu Pahat juga dinamakan sebagai masjid Dato' Bentara Luar.
Waktu aku sekolah menengah dahulu, satu-satunya sekolah menengah aliran Melayu yang menawarkan Tingkatan 4 Aliran Sains ialah SDBL. Jadi semua budak-budak kampung yang mempunyai keputusan baik dalam SRP dan layak naik ke Tingkatan 4 Sains terpaksa berpindah sekolah ke SDBL. Walaupun aku merupakan pelajar terbaik yang tinggal setelah 4 pelajar yang lebih baik dari aku terpilih ke Sekolah Berasrama Penuh seperti SAS, SMPJKA dan SMSJ, aku tidak berminat ke aliran Sains. Selain dari itu, aku agak keberatan meninggalkan kampung dan menghadapi kesulitan untuk duduk di rumah sewa atau asrama di bandar BP. Maka, kekal lah aku di kampung sehingga tamat SPM.
Hampir semua orang hanya mengenali nama Dato' Bentara Luar (DBL) ini, yang sebenarnya hanyalah gelaran kepada salah seorang Orang Besar dalam Jemaah Menteri Negeri Johor di zaman Johor merdeka di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Walaupun 'mungkin' penjawat jawatan atau gelaran DBL ini lebih dari seorang, tetapi bila disebut DBL, sebenarnya merujuk kepada insan yang bernama Muhammad Salleh bin Perang.
Almarhum Dato' Bentara Luar Muhammad Salleh bin Perang dilahirkan pada tahun 1841. Almarhum memegang jawatan utama dalam pentadbiran Negeri Johor ini di antara tahun 1856 hingga 1912. Kerjaya almarhum di peringkat negeri adalah bermula dengan jawatan Pesuruhjaya Polis Negeri, dan berakhir sebagai ahli Dewan Negeri dan juga ahli Jemaah Menteri. Tugas utamanya adalah sebagai Pegawai Perancang Pembangunan Negeri Johor. Beliau meninggal dunia pada 21 Jul 1915.
Sumbangan Besar DBL Buat Negara Johor
Almarhum Dato' Muhammad Salleh merupakan tokoh utama yang bertanggungjawab membangunkan tanah-tanah pertanian khususnya perladangan gambir dan lada hitam di Negeri Johor yang pada masa itu mempunyai permintaan pasaran yang tinggi. Almarhum juga mengetuai Jabatan Ukur Tanah Negeri yang bertanggungjawab sebagai orang pertama menyediakan peta Negeri Johor- yang lengkap dan bertulisan Jawi. Almarhum juga menyediakan lukisan peta pelan pembangunan Johor Peta berkenaan memaparkan semua jalan-jalan yang menghungkan bandar dan pekan di dalam negeri Johor. Peta ini juga menunjukkan rupa bumi negeri, dan sempadan daerah-daerah. Inilah peta lengkap seumpama itu yang pertama diwujudkan di Semenanjung Tanah Melayu.
Peta rasmi Johor yang pertama yang dilukis oleh DBL
Almarhum merupakan individu yang bertanggungjawab
membangunkan daerah Muar khususnya Bandar Maharani pada tahun 1888 dan bandar Penggaram (1893). Almarhum juga
merupakan Pesuruhjaya Kerajaan bagi dua Wilayah Pembangunan Johor itu (Muar dan Batu Pahat) sebelum dipanggil
bertugas ke Johor Bahru oleh DYMM Sultan.
Keistimewaan almarhum ialah kemahirannya berbahasa Cina dan
tahu selok belok adat resam Cina.
Keistimewaan ini membolehkan almarhum menjalin hubungan yang rapat
dengan masyarakat Tionghua dan memperkenalkan Sistem Kangchu China. Almarhum
pernah mengiringi almarhum Sultan Abu Bakar melawat negeri China dalam tahu
1880'an.
Pembukaan Bandar Batu Pahat
Batu Pahat bermula dengan satu penempatan kecil yang
dibuka oleh ketua-ketua masyarakat seperti Penghulu dan Ketua Kampung. Perkampungan yang dikenali sebagai 'Pulau
Kundur' ini terletak di kawasan Simpang Kanan kira-kira 7 batu dari Kuala
Sungai Batu Pahat.
Berikutan dengan pembukaan petempatan-petempatan kecil
ini, maka kawasan Batu Pahat ini telah bertambah maju dan meluas. Maka pada
tahun 1885 beberapa orang keturunan Inggeris iaitu nama-namanya Stiple, Jackson
dan Watt telah membuka sebuah ladang kopi di kaki Bukit Penggaram iaitu
berhampiran dengan Pengkalan Jeram. Pemborong yang telah mengerjakan lading itu
adalah seorang Cina bernama Lim Soo Poon telah menjadi seorang kaya (taukeh)
dan ia telah dapat membuat empat pintu rumah batu berdekatan dengan Sungai Batu
Pahat.
Usaha- usaha untuk membuka Bandar Batu Pahat semakin giat
dijalankan pada tahun 1888 oleh Dato' Yahya bin Awaluddin yang juga dikenali
sebagai Dato' Yahya Tinggi di suatu kawasan Bukit Senangin, Kampung Tambak,
tebing kanan Sungai Batu Pahat. Tetapi usaha beliau menemui kegagalan kerana
faktor geografi dan ekonomi yang tidak sesuai. Malah menurut kepercayaan orang
tua yang ada di kawasan itu tidak boleh dijadikan bandar kerana akhirnya akan
dimasuki "angin". Akhirnya tempat itu ditinggalkan begitu sahaja. Di
tahun yang sama juga, seorang lagi pembesar yang bergelar Dato' Yahya Rendah
cuba membuka Bandar di kawasan Senangar tetapi gagal juga kerana orang-orang
tua pada masa itu menyatakan "nanti mulut ternganga".
Walaupun begitu, pembukaan petempatan-petempatan baru
masih juga diteruskan. Pada tahun 1889 Orang Kaya Sidek bin Ismail telah
membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan
Kampung Jakun dan kawasan ini dinamakan Benut Selamat. Tetapi tidak lama kemudian
nama ini telah bertukar kepada Bagan. Ramai orang-orang yang tertarik ke tempat
itu termasuk juga orang yang datang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain
pulau. Orang-orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka
kebun-kebun kelapa dan kopi. Di antara orang-orang yang terkenal di kampung itu
ialah seperti Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang
Muar).
Pada 4 Nov 1893, DBL Muhammad Salleh bin Perang yang
tinggal di Kampung Senangar telah dipanggil ke Johor Bahru oleh DYMM Sultan Abu
Bakar. Pada 11 Nov tahun itu, Sultan
menitahkan DBL untuk membuka Batu Pahat. DBL membuat perancangan rapi dengan
memulakan usaha membina infrastruktur seperti jalan-jalan, pejabat-pejabat
pentadbiran dengan sistem pentadbiran moden.
almarhum Sultan Abu Bakar bin Temenggung Daing Ibrahim
Apabila segala keperluan asas sebuah bandar pentadbiran
selesai, DBL melakukan pembukaan bandar Batu Pahat pada 1 Januari 1894. Sultan
telah melantik DBL menjadi Wakil Raja untuk mentadbir Batu Pahat. Bandar Batu
Pahat itu terus berkembang maju dibawah pentadbiran DBL. Beliau kemudian
dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan.
Beliau menggalakkan penduduk Batu Pahat membuka kebun dan membuat tali
air. Dalam masa yang sama pelabur dari
luar daerah dan luar Johor datang ke Batu Pahat membuka ladang dan perniagaan
di Batu Pahat. Pelabur bangsa China menyukai beliau kerana beliau fasih
berbahasa China. Kemahiran ini membantu
banyak perkara dalam mentadbir dan mengawal bangsa asing ini yang terkenal
dengan budaya gangster dari negara mereka.
Penduduk Batu Pahat yang berbagai bangsa hidup dengan penuh harmoni.
Kejayaan DBL mentadbir Batu Pahat dan membawa kemajuan di
perakui oleh Pesuruhjaya Besar Negeri Johor, Ungku Sulaiman bin Daud yang
membuat lawatan ke daerah Batu Pahat pada 21 Dis 1896.
Persaraan Dato' Bentara Luar
Apabila Sultan Abu Bakar mangkat pada tahun 1895, baginda
digantikan oleh anakandanya Sultan Ibrahim.
Gaya pemerintahan juga turut berubah kerana pengaruh pegawai-pegawai
British. Atas nasihat pegawai-pegawai
ini yang 'dengki' dan tidak mahu mengiktiraf kebolehan pegawai-pegawai bangsa
Melayu, Sultan mula memecat atau menukarkan pegawai pentadbir Melayu yang
berkebolehan. Tidak terkecuali, Dato
Bentara Luar turut menjadi mangsa. Jasa
dan sumbangan besarnya membawa kemajuan kepada negeri Johor, khususnya daerah
Batu Pahat dilupakan. Malah yang lebih menyedihkan beliau didakwa melakukan
penyelewengan dalam pentadbiran.
Pada 3 April 1909, DBL menerima surat yang ditandatangani
oleh Dato Seri Amar DiRaja (Setia Usaha Kerajaan) atas perintah Sultan yang
memerintahkannya supaya bersara dari jawatannya. Sebagai seorang pegawai Kerajaan yang taat
kepada pemerintah, DBL akur dengan kemahuan Sultan.
Akhirnya pada 21 Mei 1912, DBL terus bersara dari
perkhidmatan Kerajaan pada usia 71 tahun.
Jawatan beliau sebagai Pesuruhjaya Kerajaan di Batu Pahat digantikan
oleh Ungku Ahmad bin Ungku Muhammad Khalid.
Dalam pentadbiran baru ini, Pesuruhjaya Kerajaan melaksanakan tugas di
bawah panduan Penolong Penasihat British.
Tiga tahun setelah bersara dari memperhambakan diri untuk
bangsa dan negara, Muhammad Salleh bin Perang meninggalkan dunia yang fana ini
pada 21 Julai 1915 jam 6.15 petang bersamaan dengan 18 Syaaban 1333 dan jasadnya dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru.
Masjid (lama) Daerah Batu Pahat dinamakan Masjid Dato Bentara Luar
Sekolah Dato Bentara Luar Batu Pahat juga mengabadikan almarhum sebagai tokoh ulong pembangunan Batu Pahat
.
mengutip maklumat dari siapamoyanganda.com berikut adalah beberapa fakta mengenai Dato Bentara Luar.
Ayah Dato Muhammad Salleh bernama Perang (Panglima Perang) bin Mohamed Salleh dan ibunya bernama Yang Jaleha binti Basir. Panglima Perang mempunyai seorang lagi isteri bernama Kundur binti Abdul Jamil @ Abbas.
Muhammad Salleh berkahwin dengan Datin Gembab binti Hasan dan dikurniakan enam putera dan seorang puteri iaitu; Yaacob, Sulaiman, Yusof, Kalthom, Othman, Mohamed dan Ibrahim. Selain dari itu, DBL mempunyai seorang lagi isteri bernama Jamilah @ Achang binti Jumaat.
Satu petikan dari http://www.infojohor.blogspot.com/;
“Di tengah-tengah arus perkembangan seni muzik ghazal di Johor pada ketika itu muncullah Mejar Haji Musa Bin Yusof (gambar bawah) atau lebih di kenali dengan panggilan Pak Lomak. Pak Lomak adalah cucu kepada Datuk Bentara Luar. Sebagai seorang anak yang lahir di tengah-tengah keluarga mencintai seni ghazal, Pak Lomak tidak dapat memisahkan dirinya daripada seni ini. Beliau telah mempelajari seni muzik ghazal ini dengan begitu mendalam sekali. Ditinjau daripada sudut sejarah perkembangan seni muzik ghazal di Johor dari tarikh perkembangannya bermula dari tempat asalnya di Tanah Arab hingga ke zaman Pak Lomak, perkembangan seni muzik ini telah melalui satu penjelajah yang agak panjang dan mengambil masa yang lama”
Dato' Bentara Luar mempunyai isteri ketiga yang bernama 'Aishah @ Empok Bafadhol' dan mempunyai seorang anak bernama 'Abdullah'.
ReplyDelete