Tuesday, February 24, 2015

M 103 ANAK JOHOR TERSOHOR 2

.
 Anak-anak Johor Tersohor  

BAHAGIAN 2 

TOKOH 6 

Almarhum
TUN SARDON BIN JUBIR  
(19 Mac 1917 - 14 Dis 1985) 

Almarhum Tun Sardon bin Haji Jubir merupakan bekas Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang ke 4 (1975-1981). Tun Sardon juga pernah menjadi Menteri Pengangkutan, Menteri Perhubungan dan Menteri dalam kabinet Tunku Abd Rahman dan Tun Abd Razak. Almarhum sebangsa rumpun denganku (Jawa) dan kampungku pernah termasuk dalamkawasan Parlimen almarhum, iaitu Kawasan Pontian Utara, sebelumbeberapa kali dipinda ke kawasan Seri Gading, kemudian ke kawasan Batu Pahat

Sardon dilahirkan di Sungai Kluang, Rengit, Johor pada 19 Mac 1917. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Bagan Mukim Sungai Kluang dan Victorian English Primary School di Singapura dan menduduki peperiksaan Senior Cambridge di Raffles Institute pada tahun 1932.Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan disahkan sebagai Barrister dari Middle Temple, London. Beliau kembali ke Singapura pada tahun 1941.

 
Almarhum pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO dari tahun 1951 hingga 1964. Beliau juga pernah menjadi Ketua Pengakap Negara (1963-1973). 

Sepanjang tempoh bergiat di dalam politik dan Kerajaan, Tun Sardon pernah menyandang jawatan berikut: Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1948), Ketua Pemuda UMNO (1951 - 1964), Naib Presiden UMNO (1967 - 1973), Menteri Kerjaraya, Telekom dan Pos (1957 - 1959), Menteri Pengangkutan (1959 - 1968) dan (1972-1974), Menteri Kesihatan (1969 - 1972), Wakil Tetap Malaysia ke PBB (1974-1975).

Setelah bersara dari politik dan Kerajaan Sardon telah dilantik menjadi Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang selama 2 penggal dari tahun 1975 hingga 1981.


Beliau berkahwin dengan Toh Puan Hajjah Saadiah pada tahun 1944 dan dikurniakan 4 cahayamata.  Tun Sardon meninggal dunia pada 14 Disember 1985 dan jenazah allahyarham dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara.


Pusara Almarhum Tun Sardon bin Jubir

TOKOH 7 

Almarhum
TUN DR AWANG BIN HASSAN  
(Nov 1910 - 23 Okt 1998)

Tun Datuk Dr Hj Awang bin Hassan dilahirkan di Muar pada bulan November 1910.  Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Bukit Zahrah, Johor Bahru. Awang memulakan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine tahun 1930n. Beliau erlebih dahulu bertugas sebagai doktor pakar di Hospital Kandang Kerbau, Singapura sebelum membuka klinik sendiri.   

Dr Awang menceburkan diri dalam politik dan dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyatdan memenangi pilihanraya (tahun ?) bagi kawasan parlimen Muar.  Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia sehingga tahun 1980

Selepas bersara dari politik dan perkhidmatan Kerajaan beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang ke 5 dari tahun 1981 hingga 1989 dan dianugerahi darjah SMN yang membawa gelaran 'Tun'

Tun Dr Awang adalah adik ipar kepada Almarhum Tun Dr Ismail. Tun Dr Awang meninggal dunia pada 23 Oktober 1998.  Antara anak-anaknya yang mengikuti jejaknya dalam bidang perubatan ialah Dato' Dr Yahya dan Dr Hussein Awang

TOKOH 8


Almarhum
TUN DR FATIMAH BT HASHIM 
(25 Dis 1924 - 9 Jan 2010)

Almarhumah Tun (Dr.) Fatimah binti Hashim telah dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Parit Kurma, Muar, Johor. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Tan Sri Abdul Kadir Yusof (Allahyarham) dan mereka mempunyai enam orang anak. Beliau merupakan wanita pertama dilantik Menteri Kabinet, iaitu Menteri Kebajikan Am Malaysia. Jawatan itu telah dipegang dari 20 Mei 1969 hingga akhir Februari 1973. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Kurma, Muar, kerana pada masa itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan telah belajar bahasa Inggeris di sekolah malam dengan guru Sekolah Convent Johor Bahru.

Tun Fatimah telah memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947, ketika berusia 21 tahun dengan menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru dan memegang jawatan sebagai Bendahari. Pada tahun 1956, telah mengikut suaminya ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam tahun yang sama telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya, menggantikan tempat Puan Khadijah Sidek. Pada tahun 1959, beliau berpindah mengikut suaminya ke Kedah dan di sana, Dalam pilihanraya umumkedua (1959) beliau telah dipilih sebagai calon UMNO dan memenangi kawasan Jitra-Padang Terap seterusnya mengekalkan kerusi berkenaan selama 3 penggal berturut-turut. Pada 20 Mei 1969, beliau telah dilantik Menteri Kebajikan Am, wanita pertama Malaysia menjawat jawatan Menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga besara pada bulan Februari 1973.


Selain bidang politik, Tun Fatimah juga aktif dalam pergerakan sosial terutamanya dalam pertubuhan wanita. Pada tahun 1962, bersama-sama beberapa orang pemimpin wanita lain, beliau telah memulakan perayaan Hari Wanita pada 25 Ogos dan dirayakan setiap tahun sehingga hari ini. Beliau juga terlibat secara langsung menubuhkan Majlis Kebangsaan Petubuhan-pertubuhan Wanita atau National Council of Women’s Organisations (NCWO) dan menjadi Yang Dipertua NCWO sebagai selama 24 tahun (sehingga tahun 1989.

Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, dengan sendirinya beliau menjadi Naib Yang Dipetua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO.


Sebagai mengenang jasanya beliau, beliau telah dianugerahi bintang Panglima Mangku Negara (PMN) pada 31 Ogos 1958 yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ dan merupakan wanita Malaysia pertama menerima  gelaran tersebut. Universiti-universiti tempatan juga telah memberi penghormatan kepada beliau seperti Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang (Universiti Malaya- 1975) dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan (UTM -2000).  Beliau juga pernah dilantik menjadi Pro-Canselor UTM dari tahun 1995 – 2000. Pada tahun 2003, beliau telah dikurniai darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.  Tun Fatimah meninggal dunia pada 9 Januari 2010.  Jenazah allahyarhamah dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara.


Pusara Almarhumah Tun Fatimah 


TOKOH 9


Almarhum
 TAN SRI ABDUL KADIR BIN YUSUF PSM
(1915 - 1992)

Tan Sri Abdul Kadir Yusuf adalah seorang peguam dan ahli politik UMNO yang terkenal. Beliau dilahirkan di Parit Sakai, Muar pada tahun 1915. Sepanjang hayatnya beliau pernah memegang jawatan sebagai ahli dalam UMNO, Menteri Undang-undang, Peguam Negara (1963 - 1977) serta Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah. Isterinya ialah Tun Fatimah Hashim, seorang tokoh politik veteran wanita yang pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Persekutuan.Beliau menang bertanding dalam PRU tahun 1978 dalam kawasan Parlimen Tenggaruh.

Tan Sri Abdul Kadir telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1992 dan sebagai pengiktirafan jasa Allahyarham terhadap negara, jenazah beliau dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara


Pusara AlmarhumTan Sri Kadir Yusof

TOKOH 10

Almarhum
TUN HJ SULAIMAN BIN HJ NINAM SHAH  
(2 Jan 1920 - 5 Jul 2003) 

Tun Sulaiman Ninam Shah merupakan bekas Pengerusi Tetap UMNO yang paling lama berkhidmat (26 tahun) dan tokoh politik veteran

Dilahirkan di Muar pada 2 Jan 1920. Sulaiman memasuki alam kerjaya sebagai seorang konstabel polis di Johor pada tahun 1939. Tiga tahun kemudian, semasa Tanah Melayu berada di bawah pemerintahan Jepun, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Kenderaan Polis dan kemudiannya sebagai Penolong Penguasa untuk bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Muar hingga Jepunmenyerah kalah pada tahun 1945. Pada tahun yang sama, Sulaiman mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan membuka kedai akhbar, buku dan majalah di Muar. Tahun berikutnya, Sulaiman berjaya mendapat tender membekalkan makanan keperluan kepada HospitalMuar. Pada tahun 1970-an, beliau telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama yang membuka ladang kelapa sawit di Segamat.

Sulaiman kemudiannya dilantik menjadi pengerusi dan pengarah di beberapa buah syarikat ternama seperti Budget Rent-A-Car, Laksamana Tour, Top Coach Builder, Malacca-Singapore Ekspress, Pelaburan Johor Bhd., T & T Properties, Menara Landmark dan juga Bank Rakyat.

Sulaiman mula menceburkan diri dalam politik pada tahun 1946 ketika penubuhan UMNO. Pada pilihan raya umum kedua, iaitu pada tahun 1959, beliau menang pilihanraya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Jawa. Kariernya sebagai wakil rakyat tidak dapat bertahan lama akibat serangan jantung ketika berumur 40 tahun, menyebabkan Sulaiman membuat keputusan menarik diri dari bertanding pada tahun 1964. Bagaimanapun, beliau terus aktif dalam politik dan mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar sehingga 1967

Pada tahun 1976, Sulaiman mula memangku tugas sebagai Pengerusi Tetap UMNO walaupun beliau sebenarnya memegang jawatan timbalan. Beliau hanya dipilih secara rasmi pada tahun 1978 dan mengekalkan jawatan tersebut sehingga kematiannya. Selain itu, Sulaiman pernah dilantik sebagai Senator selama dua penggal mulai tahun 1979-1985 yang mana beliau turut dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Negara pada penggal kedua.

Dari segi kegiatan kemasyarakatan, Sulaiman banyak terlibat dalam persatuan-persatuan yang berkaitan dengan bidang perniagaan utama yang diceburinya iaitu pengangkutan.

Antaranya ialah sebagai Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia dan ahli jawatankuasa Persatuan Pengusaha Pengangkutan Pan-Malayan. Selain itu, beliau mengasaskan Dewan Perniagaan Melayu Cawangan Negeri Johor dan Rumah Anak-Anak Yatim Daerah Muar.

Berdasarkan jasa-jasa yang dicurahkannya kepada rakyat, parti dan negara, Sulaiman dikurniakan pingat Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun pada 2001.  Tun Sulaiman meninggal dunia pada 5 Julai 2003 di Pusat Perubatan Pantai akibat sakit leukemia. Beliau meninggalkan seorang balu, Toh Puan Rose Othman dan sembilan orang anak.  

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri, Muar.

TOKOH 11

Almarhum
TAN SRI SYED JAAFAR BIN HASSAN ALBAR 
(1914 - 14 Jan 1977)

Tan Sri Syed Jaafar bin Hassan Albar dilahirkan pada tahun 1914i.  Beliau adalah ahli politik (UMNO) yang terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya.  Di atas keberaniannya mempertahankan maruah UMNO dan Melayu,  beliau juga masyhur dengan gelaran "Singa UMNO". 

Dikalangan ahli politikMelayu beliau amat dianggap sebagai golongan radikal dan sanggup kehilangan jawatan demi mempertahankan prinsipnya, khususnya menentang pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965.


Seorang yang berketurunan Arab Hadhrami, Syed Jaafar pernah menyandang jawatan Setia Usaha Agung UMNO dalam kerjaya politiknya (awal tahun 1960an).  

Tan Sri Syed Jaafar Albar meninggal dunia pada 14 Januari 1977 semasa menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan jenazah a

llahyarham dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara


Pusara Almarhum Tun Syed Jaafar Albar

TOKOH 12

Almarhum
TUN SYED NASIR BIN SYED ISMAIL 
(7 Mac 1921 - 1982)

Masa aku di sekolah rendah aku dah kenal nama almarhum Syed Nasir Ismail. Masa dalam semua buku teks yang digunakan di semua sekolah ada tertera nama almarhum di muka surat pertama. Almarhum adalah Pengarah DBP, penerbit tunggal untuk semua buku teks sekolah di seluruh negara pada masa itu.

Tun Syed Nasir bin Ismail adalah bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kemudiannya menjadi Speaker Dewan Rakyat Malaysia yang ke 5 (1978 -1982). Semasa hayatnya almarhum merupakan pejuang Bahasa Melayu.

Almarhum yang berketurunan Arab Hadhramaut dilahirkan di Batu Pahat pada 7 Mac 1921 merupakan ahli politik yang berjuang melalui UMNO. 

Tun Syed Nasir meninggal dunia pada tahun 1982 dan jenazah allahyarham dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara


Pusara Almarhum Tun Syed Nasir Ismail

No comments:

Post a Comment