Tuesday, February 3, 2015

034 NEGERI 6: PAHANG DARUL MAKMUR

.
PAHANG DARUL MAKMUR
NEGERI TERBESAR DI SEMENANJUNG

Negeri yang ingin kita kenali seterusnya selepas Johor, Kedah, Kelantan, Melaka dan  NS ialah Negeri Pahang Darul Makmur- negeri yang paling besar di Semenanjung Malaysia.

Pahang ada kenangan tersendiri dalam sejarah hidupku kerana aku pernah berkhidmat di TUDM Kuantan selama hampir 3 tahun (Okt 1983 hingga Jun 1986).  Di negeri lahirnya pahlawan-pahlawan Melayu Tok Bahaman Orangkaya Semantan, Tok Gajah Imam Rasul dan Mat Kilau inilah aku memulakan kehidupan rumahtangga dengan isteriku yang tercinta.  Sebagai pasangan muda yang baru belajar mengemudi pelayaran di semudera luas, banyak sekali dugaan dan cubaan yang telah ditempuhi dan alhamdulillah masih survive sehingga sekarang.

Di negeri ini juga seorang putera dan seorang puteriku  (Muhammad Hafeez dan Nur Fairiz Fazeera) dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.  Di negeri Pahang ini juga salah seorang anak saudara isteriku (Ghazali bin Ismail) yang kebetulan berkerja di sebuah farmasi telah meninggal dunia dalam usia yang begitu muda.  Ghazali (panggilannya Aza) seorang pemuda yang baik budi pekertinya, menghormati ahli keluarga meninggal secara mengejut ketika tidur di rumah sewanya.  Semoga Allah melimpahi ruhnya dengan rahmat dan keampunan.

Pahang dan Johor adalah negeri yang bersaudara.  Sultan Pahang yang pertama, Sultan Ahmad Shah adalah anak kepada Bendahara Tun Abdul Majid, Bendahara Johor.  Pertalian keluarga DiRaja Johor-Pahang kekal rapat hingga sekarang.  Sultan Pahang sekarang, KDYMM Sultan Abdullah Riayatuddin al Mustaffa Billah Shah beristerikan puteri kepada  almarhum Sultan Iskandar Alhaj, Sultan Johor ke 4, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Dengan itu, Sultan pahang adalah adinda ipar kepada DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor sekarang.


Fakta Negeri Pahang:


Keluasan: 35,965 km persegi
Jumlah: 1,188,600 (2004)
Kepadatan: 33.0/km persegi
Ibu Negeri: Kuantan
Bandar DiRaja: Pekan

SEJARAH NEGERI PAHANG

Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan Kesultanan Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan kerajaan Pahang. Orang JawaMajapahit zaman dahulu menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Pada awal kurun Masihi ke 16, pada permulaan terdirinya kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang Darul Makmur; di sebelahnya sampai ke Sedili Besar dan di utara sampai ke Terengganu, sempadan ke baratnya pula sampai ke Rembau, Selangor dan Perak.   Negeri Pahang Darul Makmur sekarang ini di sebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan di sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan (LCS). 

Negeri Pahang Darul Makmur ialah sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu dengan keluasan 35,515 kilometer persegi. Kemasyhuran dan kehebatan namanya pada masa dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada di sekelilingnya. 

Asal Usul Nama Negeri Pahang

Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225, Chao Ju-ka telah mengarang sebuah buku bertajuk Chu-Fan-Chi,  beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.

Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sg Tembeling.

Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu diSungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu.Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu.Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan.Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

Zaman Pra-Sejarah

Penyelidikan telah dibuat oleh ahli kaji purba secara ilmiah di beberapa tempat di Negeri Pahang Darul Makmur iaitu di gua-gua batu, di gunung-gunung, di tempat berhampiran dengan sungai, di tanah perlombongan lama dan juga di tempat lapang. Jumpaan benda purba terdiri daripada batu, tembikar, gangsa dan besi kuno buatan orang zaman purbakala.

Tempat tersebut ialah di gua batu kapur seperti Kota Tongkat, Kota Gelanggi dekat Jerantut; Gua Kecil, Raub; Gunung Senyum; Bukit Chintamanis, Karak; Sungai Lembing, Tersang, Kuala Lipis Sungai Selinsing Sungai Tui, Nyong, Teluk Lubuk Puai, Batu Pasir Garam, Bukit Jong dan Kg. Padi di persimpangan Sungai Tembeling dan beberapa tempat lagi di sepanjang Sungai Pahang. Antara benda purba yang dijumpai tertanam dalam tanah di negeri ini ialah barang dan perkakas yang dibuat daripada batu oleh orang zaman batu pertengahan (mesolithic). Barang-barang tersebut ialah kapak genggam, beliung dan pahat.

Ahli kaji purba menyatakan manusia zaman batu pertengahan yang mendiami Negeri Pahang Darul Makmur tinggal di gua batu dan gua-gua di gunung-ganang negeri ini dan mereka adalah kumpulan yang mula-mula datang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Tanah Besar Benua Asia. Rombongan Melayu Proto mendiami Semenanjung termasuk Pahang dan pulau-pulau Nusantara ialah dalam lingkungan 3,000 atau 2,000 sebelum Masehi.

Dari aspek pertanian, barang dan perkakas buatan orang zaman batu akhir yang telah dijumpai dalam tanah ialah benda yang berupa mata lembing, pisau, sabit, cangkul, tenggala dan lain-lain perkakas ganjil yang dibuat daripada besi zaman dahulu. Tempat yang dijumpai terutamanya di tepi Sungai Lembing, Teluk Lubuk Puai Jong tepi Sungai Lipis. Di Kampung Batu Pasir Garam di tepi Sungai Tembeling, dijumpai pecahan muka gendang zaman dahulu yang diperbuat daripada gangsa. Gendang gangsa ini digunakan oleh orang yang memakai kebudayaan gangsa.Dr. Linehan berpendapat gendang gangsa ini ditukangi di Indo Cina dan dibawa dari negeri Funan ke Ulu Tembeling antara kurun Masihi ketiga iaitu dibawa bersama-sama dengan perkakas dari besi kuno (tulang mawas).

Mengikut ahli kaji manusia dan ahli sejarah, orang Melayu pesisir (DeutroMalays) ialah nenek moyang orang Melayu yang tinggal di daerah pantai Semenanjung Tanah Melayu. Pendek kata pada zaman dahulu kala selain daripada orang asli iaitu orang Semang dan puaknya di Negeri Pahang Darul Makmur telah didiami oleh manusia yang disebut dalam ilmu sejarah sebagai manusia zaman batu pertengahan, zaman batu akhir atau permulaan zaman gangsa lagi.

Pemerintahan Negeri

Kesultanan Pahang bermula pada tahun 1470 apabila Raja Muda (bakal  Sultan) Melaka yang bernama Raja Muhammad (putera Sultan Mansur Shah) yang dibuang ke Pahang kerana kesalahan membunuh anak Bendahara Tun Perak.  Baginda dirajakan di Pahang  dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.  Baginda mangkat dalam usia 25 tahun setelah memerintah hanya selama 5 tahun.
  • Sultan Muhammad Shah ibni almarhum Sultan Mansur Shah (1470 - 1475)
  • Sultan Abdul Jamil Shah ibni almarhum Sultan Muhammad Shah (1475) - Turun takhta secara sukarela  takhta kerana terlalu muda. Mangkat 1511.
  • Sultan Ahmad Shah ibni almarhum Sultan Mansur Shah (1475 - 1497) - adinda almarhum Sultan Muhammad Shah. Turun takhta untuk merajakan cucu saudaranya dan kemudian mangkat pada tahun 1512.
  • Sultan Mansur Shah ibni Sultan Abdul Jamil Shah (1497 - 1519)
  • Sultan Mahmud Shah ibni almarhum Sultan Muhammad Shah (1519- 1530)
  • Sultan Mudzaffar Shah ibni almarhum Sultan Mahmud Shah (1530 - 1542) - mati dibunuh oleh Khoja Zainal.
  • Sultan Zainal Abidin Shah ibni almarhum Sultan Mahmud Shah (1542 - 1555)
  • Sultan Mansur Shah ibni almarhum Sultan Zainal Abidin Shah (marhum Shahid) (1555 - 1560)- baginda terbunuh dalam peperangan melawan pemberontakan.
  • Sultan Abdul Jamal Shah ibni almarhum Sultan Zainal Abidin Shah (1560 -1590)- baginda mangkat dibunuh.
  • Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah ibni almarhum Sultan Zainal Abidin Shah (1560 -1590) baginda juga mangkat dibunuh - terdapat kekeliruan kerana terdapat dua Sultan dalam satu masa. Kemungkinan kedua-dua beradik berlainan ibu ini diisytiharkan oleh pengikut masing-masing.
  • Sultan Ahmad Shah ibni almarhum Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah (1590 - 1592)
  • Sultan Abdul Ghaffar Muhiauddin Shah ibni almarhum Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah (1592 - 1614)- baginda mangkat diracun oleh anakandanya sendiri, Raja Alauddin yang merampas kuasa.
  • Sultan Alauddin Riayat Shah ibni almarhum Sultan Abdul Ghaffar Muhiaddin Shah (1614 - 1615) - dikalahkan dan dihalau oleh Acheh. 
Selepas kekalahan  Sultan Alauddin Riayat Shah pada tahun 1615, Acheh telah melantik Sultan Abdul Jalil Riayat Shah, iaitu Sultan Johor   sebagai Sultan yang memerintah Johor,  Pahang dan Lingga. Pahang adalah merupakan sebahagian dari jajahan takluk Kesultanan Johor yang berasal dari keturunan Sultan Mahmud Shah, Melaka.  Pemerintahan di Pahang diletakkan di bawah tanggungjawab Bendahara Pahang. Kesultanan ini memerintah lebih dari 200 tahun sehingga raja yang terakhir bernama Sultan Mahmud Shah yang masyhur di dalam Sejarah Marhum Mangkat Di julang dalam tahun 1699 tidak mempunyai waris.

Setelah itu pemerintah Pahang pindah kepada keturunan Bendahara Tuan Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor. Dari titisan keluarga dan zuriat ini juga telah menjadikan Negeri Pahang Darul Makmur terputus dari takluk Riau dan telah menubuhkan satu pemerintahan merdeka.


Kesultanan Pahang berkuasa penuh sehingga berlakunya campurtangan Inggeris pada tahun 1888 dan Sultan Pahang menerima seorang penasihat British, J.P. Rodger yang bergelar Residen.


Pahang kemudian menyertai Negeri Melayu Bersekutu bersama Perak, Selangor dan Negeri Sembilan pada tahun 1896 sehinggalah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu (Federatuon of Malaya) pada tahun 1948 dan akhirnya mencapai kemerderkaan pada tahun 1957. 


Senarai Bendahara yang memerintah Pahang di bawah Kesultanan Johor ialah:

  • Bendahara Sri Paduka Tun Abdul Majid bin Dato' Temenggong Sri Maharaja Tun Mutahir ibni almarhum  Sultan Abdul Jalil Ri'ayat Shah (1770 -1802)
  • Bendahara Sri Paduka Raja  Tun Muhammad bin Tun Abdul Majid (1802 - 1803) 
  • Bendahara Sri Paduka Raja Tun Koris bin Tun Abdul Majid (1803 - 1807)
  • Bendahara Sri paduka Raja Tun Ali bin Tun Koris (1807 - 1857) 
  • Bendahara Sri Paduka Raja Tun Muhammad Tahir bin Tun Ali (1857 - 3 Mei 1863)
  • Bendahara Muda Tun koris bin Tun Muhammad Tahir (3 Mei 1863 - 3 Jun 1863)
  • Bendahara Sri Paduka Raja Tun Ahmad bin Tun Ali (10 Jun 1863 - 6 Ogos 1882) - mengisytiharkan diri sebagai Sultan pada 6 Ogos 1882 dengan gelaran Sultan Ahmad AlMuadzam Shah - bagindalah pengasas Kesultanan Pahang yang ada sekarang.
Kesultanan Pahang yang diasaskan oleh Bendahara Tun Ahmad:
  • Sultan Ahmad al-Muadzam Shah ibni almarhum Bendahara Sri Paduka Raja Tun Ali  (06 Ogos 1882 - 13 April 1909) - turun tahta (uzur) dan mangkat pada 29 Mei 1914
  • Sultan  Mahmud Shah ibni almarhum Sultan Ahmad al-Muadzam Shah  (13 April 1909 - 19 Jun 1917)
  • Sultan Abdullah al-Mutasim Billah Shah ibni almarhum Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (19 Jun 1917 - 23 Jun 1932)
  • Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah ibni almarhum Sultan Abdullah Al-Muktasim Billah Shah (23 Jun 1932 - 07 Mei 1974)
  • Tuanku Ahmad Shah al-Mustain  Billah ibni almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah (07 Mei 1974 - 29 Mac 1979) - dilantik menjadi SPB Yang Di Pertuan Agong ke 7.
  • Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah (Pemangku Raja)  (29 Mac 1979 - 26 April 1984) -apabila DYMM Sultan menjawat jawatan SPB Yang Di Pertuan Agong)
  • Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain  Billah ibni almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah (26 April 1984 hingga 11 Januari 2019). Baginda mangkat pada 22 Mei 2019.
  • Sultan Abdullah Riayatuddin al-Mustaffa Billah Shah ibni almarhum Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain  Billah  (11 Januari 2019 - 31 Januari 2019) - dilantik menjadi SPB Yang Di Pertuan Agong ke 16.
  • Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah ibni Sultan Abdullah Shah.(Pemangku Raja)  (31 Januari 2019 - kini) - semasa ayahandanya DYMM Sultan Abdullah dilantik menjadi SPB Yang Di Pertuan Agong)
Pusat Pentadbiran Negeri 

Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.
Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur.

Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan dari Kuala Lipis ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955.  

.
Kuala Lipis dahulu (zaman penjajah)

  
Kuala Lipis sekarang (bangunan lama)

Masjid Jamek Kuala Lipis - dahulu ini adalah Masjid Negeri Pahang (semasa K.Lipis menajdi ibu negeri Pahang)

 
Masjid Jamek Bandar K.Lipis sekarang

Nama-nama Penasihat (Residen) Inggeris di Pahang sejak tahun 1888 ialah:

1888
1896
John Pickersgill Rodger           
1896
1900
Hugh Clifford
1900
1901 
Arthur Butler
1901
1905
Hugh Clifford
1905
1908
Cecil Wray
1908
1909
H. Chevallier (Pemangku)
1909
1910 
Edward Lewis Brockman
1910
1911
W.D. Baines
1911
1917
Edward John Brewster 
1917
1921
Cecil William Chase Parr          
1921
1922 
F.A.S. McClelland (Pemangku)
1922
1926
Henry Wagstaffe Thomson
1926
1929
Arthur Furley Worthington
1929
1930
C.F.J Green
1930
1931
-
1931
1935
H.G.R. Leonard
1935
1941
C.C. Brown
1937
1938
J.V. Cowgill (Pemangku)


Sistem Perhubungan Awal Di Negeri Pahang

Pada zaman dahulu di Negeri Pahang Darul Makmur sungai-sungai seperti Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan cawangan-cawangan sungai itu serta beberapa buah sungai kecil yang lain telah digunakan sebagai jalan perhubungan. Begitu juga perhubungan antara Negeri Pahang Darul Makmur dan negeri-negeri lain di sekitarnya. Orang yang hendak pergi ke Kelantan ikut Sungai Tanum anak Sungai Jelai atau ikut Sungai Sat dan Sungai Sepia, kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Sungai Sepia itu boleh juga digunakan jika hendak pergi ke Negeri Terengganu. Perhubungan dengan Negeri Perak dihubungi oleh jalan-jalan yang lebih sukar iaitu ikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis. Kedua-duanya adalah anak Sungai Jelai. 

Perhubungan dengan Negeri Selangor pula melalui Sungai Semantan dan cawangannya.
Jalan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu ialah jalan yang menghubungkan Negeri Pahang Darul Makmur dengan daerah-daerah di Hulu Muar dan Negeri Melaka. Jalan ini dari Negeri Pahang Darul Makmur ikut (mudik) Sungai Pahang; kemudian masuk ke sebuah anak Sungai Pahang yang bernama Sungai Bera, selepas itu ikut pula sebuah anak Sungai Bera bernama Sungai Serting. Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat sejauh tiga ratus ela, masuk pula Sungai Jempol, menghilir Sungai Jempol dan masuk ke Sungai Muar. Dari Muar bolehlah pergi ke Melaka dan tempat-tempat lain di barat Semenanjung Malaysia. Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah ia dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar) pada akhir tahun 1511. Jalan ini juga yang digunakan oleh Sultan Ali (putera Sultan Husain Shah Singapura) dari Kampung Umbai, Melaka yang pergi berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pahang (Pekan) pada tahun 1863.

Godinho de Eredia, seorang pengarang dan pegawai Portugis di Melaka (tahun 1613) menyatakan: "Dari Melaka jalan menempuh Penarikan itu boleh sampai ke Pahang (dan sebaliknya), hanya enam hari perjalanan".

Perahu jalak telah digunakan bukan sahaja membawa kargo dan barang-barang tetapi juga untuk membawa penumpang. Jalak boleh memuatkan dua belas penumpang dan lebih kurang 15 tan kargo. Dari Kuantan ke Kuala Pahang sewa yang dikenakan untuk satu perjalanan ialah $25.00. Syarikat Lombong Bijih Timah Sungai Lembing (PCCL) telah memulakan perkhidmatan harian antara bandar Kuantan dan Pasir Kemudi. Dari Pasir Kemudi penumpang dan kargo dibawa dengan keretapi ke Sungai Lembing.

Sebelum siap jalanraya dari Jerantut ke Kuantan, pegawai di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan akan menggunakan perahu atau rakit menghilir Sungai Pahang atau untuk pergi ke Pekan.

Setelah beberapa tahun kerajaan Inggeris mentadbir Pahang, usaha membina jalanraya pun dimulakan. Pada penghujung tahun 1910 jalan sepanjang 18 batu dari Kuantan menuju Ulu Pahang siap dibuka kepada orang ramai. Feri mula dibuka dan digunakan oleh orang ramai pada 5 September 1910 di Kuantan. Dalam tahun 1918 jalan raya Jerantut-Kuantan dapat dihubung terus ke Kuala Lipis. Hujung tahun 1933, jalan raya dari Pekan ke Kuantan dibuka dengan rasminya. Kemudahan perhubungan negeri ini terus maju dengan banyaknya pembinaan jalan raya, jambatan dan lapangan terbang serta pelabuhan. Kesemuanya ini dapat memendek dan memudahkan perjalanan serta perhubungan antara satu tempat dengan satu tempat di Negeri Pahang Darul Makmur di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura di sebelah selatan dan Thailand di sebelah utara.


Anak-anak Pahang yang menentang penjajahan Inggeris Datuk Bahaman (Abdul Rahman bin Tuanku Imam nuh) Orang Kaya Semantan (kiri) dan Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah (1865-1970).

Pahang dan Kemerdekaan


Bermula dengan campur tangan Inggeris di Pahang pada tahun1888, Sultan Pahang memerintah di bawah nasihat pegawai British kecuali yang berkaitann dengan agama islam dan Adat Istiadat Melayu.  Pada 1 Julai 1896 Pahang menyertai Negeri-negeri Melayu Bersekutu di abwah Gabenur Inggeris yang berpusat di Kuala Lumpur sehingga penaklukan tentera Jepun pada Disember 1941 hingga Ogos 1945.  Apabila Jepun menyerah kalah, Pahang ditadbir oleh BMA sehingga penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 yang kemudian dibubarkan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Feb 1948.


Pahang mencapai kemerderkaan dari British sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan akhirnya membentuk Malaysia pada 16 September 1963.


Senarai nama Menteri-menteri Besar Pahang sejak tahun 1948 ialah:

01-02-1948
01-02-1951
Dato Setia Wangsa Sir Mahmud bin Mat

01-02-1951
01-02-1955
Dato Panglima Perang Tengku Mohamad ibni al marhum Sultan Ahmad

01-02-1955
15-06-1955
Dato Orang Kaya Indera Shahbandar Abdul Razak bin Hussein

15-06-1955
08-01-1957
Dato Panglima Perang Tengku Mohamad ibni al marhum Sultan Ahmad

09-01-1957
18-07-1959
Datuk Kurnia Paduka Raja Abdullah bin Tok Muda Ibrahim

18-07-1959
05-05-1964
Orang Kaya Indera Pahlawan Wan Abdul Aziz bin Ungku Abdullah (MB pertama yang dipilih oleh rakyat)

05-05-1964             
01-09-1972
Dato Pentara Raja Tan Sri Haji Yahya bin Mohamed Seh

01-09-1972


01-09-1974    
31-08-1974


18-07-1978 
Datuk Kurnia Bistari Dato Abdul Aziz bin Ahmad

Dato Seri Hj Mohamed bin Jusoh

19-07-1978 
07-11-1981
Tuan Haji Abdul Rahim bin Abu Bakar (Datuk)

11-07-1981
04-05-1982 
Dato Haji Abdul Rashid bin Abd Rahman

04-05-1982
14-08-1986 
Dato Seri Hj Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

14-08-1986
20-05-1999 
Tan Sri Mohd Khalil bin Yaakob (sekarang Tun)       

20 Mei 1999 hingga 9 Mei 2018 - Dato' Sri Diraja Adnan bin Yaakob.

15 Mei 2018 hingga kini - Dato' Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail.


 
PENTADBIRAN NEGERI

DAERAH
  • Pekan
  • Kuantan
  • Temerloh
  • Maran
  • Rompin
  • Lipis
  • Bentong
  • Raub
  • Jerantut
  • Bera
  • Cameron Highlands

PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Majlis Bandaraya
  • tiada
Majlis Perbandaran
  • Kuantan
  • Temerloh
  • Bentong
Majlis Daerah
  • Mentakab
  • Pekan
  • Raub
  • Lipis
  • Jerantut
  • Rompin
  • Bera
Pelabuhan Antarabangsa
  • Pelabuhan Tg Gelang, Kuantan
Lapangan Terbang Antarabangsa
tiada

Pelabuhan Domestik
tiada

Landasan Terbang  Domestik
  • LT Sultan Ahmad Shah, Kuantan
Destinasi Pelancungan/Rekreasi
  • Taman Negara Tahan
  • Pantai Cherating
  • Pantai Batu Hitam
  • Pantai Balok
  • Gua Kota Gelanggi
  • Bukit Fraser
  • Cameron Highland
  • Taman Negara Endau-Rompin
  • Muzium Lombong Sungai Lembing
  • Pulau Tioman
Kem
  • Kem Batu 10, Gambang
  • Kem Bentung
  • Kem Puncak Emas,  Raub
  • Kem Brinchang
  • Kem Batu 3, Temerloh
  • Kem Batu 5, Mentakab
  • Kem Kuala Lipis
  • Kem Rej AW Telok Sisik
  • Pangkalan TLDM Tg Gelang
  • Pangkalan Udara Kuantan
  • TUDM Bukit Ibam
Pusat Pengajian Tinggi

  • Univesiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Teknologi MARA (Kampus Jengka)
  • Kampus UNITEN Cawangan Muadzam Shah
  • Kolej IKIP
  • Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan
  • Politeknik Muadzam Shah
  • Institut Perguruan Kuantan
Wilayah Pembangunan
  • Lembaga Kemajuan Wilayah JENGKA (JENGKA)- telah dibubarkan
  • Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)
  • East Corridor Economic Region (ECER)

KEBAWAH DYMM SULTAN PAHANG

SULTAN HJ AHMAD SHAH ALMUSTAIN BILLAH (1974 - kini)

ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR RIAYATUDDIN ALMUADZAM SHAH
(1932 - 1974)

ALMARHUM SULTAN ABDULLAH ALMUKTASSIM BILLAH SHAH
(1917 - 1932)

ALMARHUM SULTAN MAHMUD SHAH (1914 - 1917)



YAB MENTERI BESAR

Dato' Sri Diraja Hj Adnan bin Yaakob
(mulai 20 Mei 1999)

MANTAN MB PAHANG


Tan Sri Mohamad Khalil bin Yaakob
(14 Ogos 1986 - 20 Mei 1999)


Dato Seri Hj Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
(4 Mei 1982 - 14 Ogos 1986)


Dato' Hj Abdul Rashid bin Abdul Rahman
(11 Jul 1981 - 4 Mei 1982)


Tuan Hj Abdul Rahim bin Abu Bakar
(19 Jul 1978  - 11 Jul 1981)


Dato Seri Hj Mohamed bin Jusoh
(1 sep 1974 - 18 Jul 1978)


Datuk Kurnia Bistari Dato Hj Abdul Aziz bin Ahmad
( 01 Sep 1972  - 31 Ogos 1974)


Tok Bentara Raja Tan Sri Dato Sri Hj Yahya bin Mohammad Seth
(5 Mei 1964 - 31 Ogos 1972)


Orangkaya Indera Pahlawan Wan Abdul Aziz bin Engku Abdullah
(18 Jul 1959 - 5 Mei 1964)


Datuk Kurnia Paduka Raja Abdullah bin Tok Muda Ibrahim
(9 Jan 1957 - 8 Jul 1959)


Orangkaya Indera Shahbandar Dato Abdul Razak bin Hussein
(1 Feb 1955 - 15 Jun 1955)


Dato Panglima Perang Tengku Mohammad ibni almarhum Sultan Ahmad Shah
(1 Feb 1951 - 1 Feb 1955)
(15 Jun 1955 - 8 Jan 1957)


Datuk Setia Wangsa Sir Mahmud bin Mat
(1 Feb 1948 - 1 Feb 1951)


Antara Yang Ada Dalam Lipatan Sejarah Pahang

Lurah Bilut adalah sebuah kawasan penempatan FELDA yang terletak di daerah Bentong.  Ia mula dibuka pada tahun 1958 dan merupakan rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama ditubuhkan seumpamanya di Malaysia dan dunia.

Felda Lurah Bilut adalah merupakan kawasan FELDA yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Penempatan penduduk dibahagikan mengikut kawasan asal penduduk datang. Contohnya penduduk berasal dari Pulau Pinang dikumpulkan penempatan mereka di Jalan Pulau Pinang. Kegiatan pertanian utama adalah penanaman getah dan kelapa sawit . Penduduk terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. 

 
catatan sejarah  kesukaran pembukaan Lurah Bilut

   
TPM allahyarham Tun Razak melawat Lurah Bilut

 
Masjid Lurah Bilut sekarang

CERITA TAMBAHAN

Rumah Dato' Siti Nurhaliza binti Tarudin di Kuala Lipis. Siti adalah primadona Malaysia abad ke 21, anak kelahiran Kuala Lipis Pahang.

 


Siti Nurhaliza dilahirkan di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh, Pahang Darul Makmur kepada bapanya Tarudin bin Ismail, seorang anggota polis dan ibunya Siti Salmah Bachik.  Merupakan anak kelima dalam sekeluarga lapan adik-beradik, yang mana salah seorang daripada mereka meninggal dunia setelah beliau dilahirkan. Memasuki Sekolah Tabika PRKEP, Balai Polis Kampung Awah, Temerloh.

Darjah 1 - Darjah 6, memasuki SRJK Clifford, Kuala Lipis kemudian melanjutkan pelajaran ke SMK Clifford, Kuala Lipis (Tingkatan 1 - Tingkatan 5). Sewaktu di sekolah, Siti sangat aktif dalam arena sukan.

Siti mengeluarkan album sulungnya iaitu bertajuk, "Siti Nurhaliza" pada tahun 1996 dan seterusnya beliau telah menjadi terkenal

Siti mendirikan rumahtangga dengan Dato' Seri Khalid Mohamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K, seorang ahli perniagaan, pada 17 Julai 2006.

.

No comments:

Post a Comment