Wednesday, February 11, 2015

083 SYARIAT PERKAHWINAN


PERKAHWINAN


Ye, entah kenapa, tetiba aku terlintas untuk menulis tentang perkahwinan.  Jangan salah sangka, ini bukan bermakna tetiba aku terlintas untuk berkahwin!  Kena bagi tau awal-awal kerana antara benda halal dan sunnah Rasulullah (saw) yang paling tidak suka didengar oleh kebanyakan insan yang bergelar isteri ialah cerita pasal perkahwinan. hahahaha..... 

Zaman dulu-dulu, dari cerita nenek (Embah) dan emakku, semua perkahwinan adaah di aturkan oleh ibu bapa.  Anak (especially anak perempuan) tidak mempunyai pilihan lain selain dari menurut perintah.  Malah sehingga tahun 50an,kebanyakan wanita dinikahkan dalam usia antara 12 hingga 15 tahun.  Emak aku sendiri diknikahkan dengan bapak dalam 1950 ketika berusia 15 tahun.

Aku pun  tak pernah tanya emak sama ada semasa dia dinikahkan, dia telah belajar tentang ilmu munakahat atau pernah mendengar teori-teori dan tip-tip tentang alam perkahwinan dari ibunya (embah aku).  Aku rasa tidak.  Emak aku buta huruf.  Aku tau kerana semasa aku kecil, ibu baru pergi sekolah-  kita orang panggil sekolah dewasa.  Emak kurang mahir menulis- mungkin sekarang sudah lupa semula, tetapi emak mahir membaca Jawi.  Dulu dia selalu baca akhbar Utusan Melayu.

Bapak aku memang genius (pada tahap dan zaman dia la) kerana dia bersekolah, boleh membaca, menulis dan mengira (3M) dengan baik.  Malah masa aku sekolah rendah, hari-hari dia akan periksa buku sekolah aku,mencari kesalahan.  Aku pernah cerita dalam blog ini di tajuk-tajuk yang awal.

Ishhh... apa pulak nak cerita tentang emak aku.  Aku yang dilahirkan lepas merdeka pun tak mengambil berat ilmu perkahwinan sebelum aku berkahwin.  Masa sekolah agama Seri Rejo Sari, ada juga belajar Munakahat- tapi masa itu bukan untuk faham atau mendalami ilmu, tapi hanya untuk lulus periksa.  Dulu kalau tak lulus tak naik kelas.

Masa aku sekolah menengah, kalau nak baca buku-buku 'peringkat dewasa' berkaitan ilmu hubungan seksual pun kena curi-curi- malu!.  Bila dah dewasa, dah kerja- pandailah sendiri menambah ilmu-ilmu berkaitan perkahwinan sama ada yang bersih atau yang kurang bersih.

Antara buku 'ilmu perkahwinan- Seni Nafkah Batin' yang popular dalam tahun 80an ialah 'Permata Yang Hilang' tulisan Ibnu Yusof.  Aku hanya mendalami ilmu syariat perkahwinan setelah aku berkahwin dengan membeli banyak buku-buku ilmu fiqah untuk rujukan.

PALING MENAKUTKAN ialah sekarang ini terlalu banyak kesesatan yang berlaku berhubung dengan perkahwinan.  Selain dari wujudnya kebebasan sex yang berleluasa, yang paling menakutkan dan mengerikan ialah trend perkahwinan sesama gender- khususnya sesama lelaki (homosexual).

Aku harap, penulisanku dalam blog ini akan dapat membantu generasi muda yang juga Generasi ICT untuk mendapat sedikit ilmu berkaitan syariat perkahwinan.

PERKAHWINAN MENURUT ISLAM

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (aqad) yang menghalalkan persetubuhan antaralelaki dan perempuan diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan 'zawwaj' digunakan di dalam alQur’an bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.


SEJARAH PERKAHWINAN

Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia berlaku antara Nabi Adam a.s. bersama Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan suatu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah s.w.t kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk memerintah Bumi dan mendudukinya buat sementara waktu. Selain al-Quran dan hadith, kitab-kita agama Kristian (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru)  turut menceritakan kejadian Adam dan Hawa sebagai pasangan pertama. Di dalam Perjanjian Lama atau Taurat, telah diselitkan beberapa ayat, antaranya yang bermaksud, “Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka Aku jadikan seorang penolong sepertinya”.


Berkenaan dengan perkahwinan anak-anak Adam sendiri tidaklah dapat diketahui bagaimanakah sistemnya yang sebenar. Di dalam Tafsir Ibn Kathir, apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Masi’ud dari beberapa orang sahabat yang lain, bahawa mereka berkata yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak diperanakkan bagi Adam anak lelaki melainkan diperanakkan beserta anak perempuan, kemudian anak lelaki kandungan ini dikahwinkan dengan anak perempuan dari kandungan lain, dan anak perempuan bagi kandungan ini dikahwinkan dengan anak lelaki dari kandungan yang lain itu.” Pada masa itu, perkahwinan berlainan kandungan boleh dijadikan seperti perkahwinan berlainan keturunan.



JENIS-JENIS PERKAHWINAN

Poligami adalah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita. Ia diamalkan oleh hampir kesemua bangsa di dunia ini. Mereka mengamalkan poligami tanpa had dan batas. Contohnya ada agama di Negara China yang membolehkan perkahwinan sehingga 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, poligami dibenarkan tanpa batas dan menurut Islam, poligami hanya dibenarkan sehingga empat orang isteri dengan syarat-syarat yang tertentu.


Poliandari merupakah perkahwinan yang berlaku antara seorang perempuan dengan beberapa orang lelaki (konsep songsang dari poligami). Perkahwinan ini sangat jarang berlaku kecuali di Tibet, orang-orang bukit di India dan masyarakat jahiliah Arab. Contohnya masyarakat Juansuwaris apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang wanita, wanita itu juga menjadi isteri untuk semua saudara-saudaranya. Amalan ini merujuk kepada kitab Mahabhrata.




HUKUM PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Allah Maha Mengetahui. Allah (swt) telah menetapkan hukum dan syariat perkahwinan dengan sebaik-baiknya dan bersesuaian untuk semua peringkat dan golongan manusia.  Hukum perkahwinan boleh jatuh wajib, sunat, mubah (harus), makruh dan haram mengikut keadaan dan situasi.

Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu. Disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.

Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta telah berniat untuk menganiaya isteri jika dia berkahwin.




HIKMAH PERKAHWINAN


Manusia, jin dan haiwan adalah makhluk Allah yang dikurniakan dengan nafsu syahwat bagi membolehkan membiak dan memakmurkan muka bumi ini sehingga hari Kiamat.  Haiwan telah ditaqdirkan diberi kebebasan untuk melepaskan syahwatnya.  Tiada undang dan peraturan hukum-hakam yang perlu dituruti.  TETAPI ajaib- Haiwan tidak bersetubuh dari kalangan kaum sejenis.  Tidak pernah dengar cerita sejak zaman Nabi Adam alaihisSalam, ada lembu yang menyodom lembu jantan.  Tidak ada juga singa merogol harimau, kuda merogol lembu atau ayam mengejar itik untuk melepaskan nafsunya.  Cuma, haiwan diberi kebebasan untuk tidak perlu ada ikatan pernikahan- tidak mengkhususkan seekor lembu betina itu adalah milik lembu jantan tertentu.

Seekor lembu betina boleh disetubuhi oleh mana-mana lembu jantan.  Seekor lelmbu jantan boleh melepaskan nafsu syahwatnya ke atas mana-mana lembu betina yang dia jumpa termasuk lembu betina yang melahirkan dia dulu.

Dalam sejarah MANUSIA, hanya anak-anak nabi Adam sahaja yang dibenarkan oleh Allah swt untuk berkahwin adik-beradik.

Manusia tidak boleh.  Andainya manusia mahu bebas seperti haiwan di atas, boleh juga tapi ada syaratnya.  Dia mesti terlebih dahulu menukar TARAFnya dari seorang manusia kepada SEEKOR haiwan.  

Tapi manusia tetap manusia- ada bakal ahli syurga dan ada bakal ahli neraka.  Sejak zaman dahulu- sentiasa berkeinginan melanggar perintah Allah.  Walaupun telah banyak bukti hukuman dan laknat Allah ke atas kaum yang mengamalkan hubungan seks sesama jenis ini- manusia tetap engkar.

Antara hikmat perkahwinan ialah:
  • Cara yang halal untuk menyalurkan nafsu seks melalui ini manakala perzinaan liwat dan pelacuran sebagainya dapat dielakkan.
  • Untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman.
  • Memelihara kesucian diri.
  • Melaksanakan tuntutan syariat.
  • Menjaga keturunan.
  • Sebagai media pendidikan: Islam begitu teliti dalam menyediakan persekitaran yang sihat bagi membesarkan anak-anak.Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral. Oleh itu, institusi kekeluargaan yang disyorkan Islam dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman kepada anak-anak.
  • Mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab.
  • Dapat mengeratkan silaturahim

Dalil Pensyariatan Perkahwinan

Sila rujuk ayat-ayat al Qur'an berikut:
  • Surah An-Nisaa: Ayat 1 hingga 3.
  • Surah An-Nur: Ayat 32.
  • Surah An-Nahl: Ayat 72.
  • Surat Yaasin: Ayat 36.
  • Surah Ar-Rum:Ayat 21.
  • Surah Az-Dzariyat: Ayat 49
  • Surah Luqman: Ayat 10.
  • Surah Qaf: Ayat 7.
  • Surah Asy-Syuaraa': Ayat 7.



PEMILIHAN CALON SUAMI/ISTERI




Islam ada menggariskan beberapa ciri-ciri bakal suami dan bakal isteri yang dituntut di dalam Islam. Namun, ia hanyalah panduan dan tiada paksaan untuk mengikut panduan-panduan ini.

Ciri-ciri bakal suami
  • beriman & bertaqwa kepada Allah s.w.t
  • bertanggungjawab terhadap semua benda
  • memiliki akhlak-akhlak yang terpuji
  • berilmu agama agar dapat membimbing bakal isteri dan anak-anak ke jalan yang benar
  • tidak berpenyakit yang berat seperti gila, AIDS dan sebagainya
  • rajin berusaha untuk kebaikan rumahtangga seperti mencari rezeki yang halal untuk kebahagiaan keluarga.

Ciri-ciri bakal isteri
  • beriman & solehah
  • rupa paras yang sedap mata memandang, dapat menyejukkan hati suami
  • memiliki akhlak-akhlak yang terpuji
  • menentukan mas kahwin yang rendah
  • wanita yang subur
  • masih dara
  • berasal dari keturunan yang baik
  • bukan keturunan terdekat
  • tidak memandang harta semata-mata
.


KENAPA HARAM NIKAH?

Perempuan yang diharamkan berkahwin oleh lelaki disebabkan keturunannya (haram selamanya) dan ia dijelaskan dalam surah an-Nisa: Ayat 23 yang bermaksud,

“Diharamkan kepada kamu mengahwini ibu kamu, anak kamu, adik-beradik kamu, emak saudara sebelah bapa, emak saudara sebelah ibu, anak saudara perempuan bagi adik-beradik lelaki, dan anak saudara perempuan bagi adik-beradik perempuan.”

Haram Sebab Keturunan (Darah Daging)
  • Ibu
  • Nenek sebelah ibu mahupun bapa
  • Anak perempuan & keturunannya
  • Adik-beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu
  • Anak perempuan kepada adik-beradik lelaki mahupun perempuan, iaitu semua anak saudara perempuan
  • Emak saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa)
  • Emak saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu)

Haram Sebab Susuan
  • Ibu susuan
  • Nenek dari sebelah ibu susuan
  • Adik-beradik perempuan susuan
  • Anak perempuan kepada adik-beradik susuan lelaki atau perempuan
  • Emak saudara sebelah ibu susuan atau bapa susuan


Haram Sebab Persemendaan
  • Ibu mentua dan ke atas
  • Ibu tiri
  • Nenek tiri
  • Menantu perempuan
  • Anak tiri perempuan dan keturunannya
  • Adik ipar perempuan dan keturunannya
  • Emak saudara kepada isteri
  • Anak saudara perempuan kepada isteri dan keturunannya


.
PEMINANGAN & PERTUNANGAN



Pertunangan atau bertunang merupakan suatu ikatan janji pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Meminang merupakan adat kebiasaan masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang. Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki, pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan dilakukan. Melihat bakal suami dan bakal isteri adalah sunat, kerana tidak mahu penyesalan berlaku setelah berumahtangga. Anggota yang harus dilihat bagi seorang wanita ialah muka dan kedua-dua tapak sahaja.

Hadis Rasullullah berkenaan kebenaran untuk merisik (melihat tunang) dan meminang:

"Daripada Abu Hurairah RA berkata,sabda Rasullullah SAW kepada seorang lelaki yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan: "Adakah kamu telah melihatnya? jawabnya tidak(kata lelaki itu kepada Rasullullah). Pergilah melihatnya supaya perkahwinan kamu terjamin berkekalan." (Hadis Riwayat Tarmizi dan Nasai)


Hadis Rasullullah berkenaan larangan meminang wanita yang telah bertunang:


"Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasullullah SAW telah bersabda: "Kamu tidak boleh meminang tunang saudara kamu sehingga dia (membuat ketetapan untuk) memutuskannya". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim(Asy-Syaikhan))

.

.
PERNIKAHAN

Rukun Nikah
  • Pengantin lelaki
  • Pengantin perempuan
  • Wali
  • Dua orang saksi lelaki
  • Ijab dan Kabul (akad nikah)



Syarat bakal suami
  • Islam
  • Lelaki yang tertentu (telah ditetapkan)
  • Bukan lelaki mahram dengan bakal isteri
  • Mengetahui wali yang sebenar bagi akad nikah tersebut
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah.
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa
  • Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri.

.
.
MAHAR (MAS KAHWIN)


Mahar ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan surah an-Nisa: ayat 4. Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. 

Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut.


Jenis-Jenis Mahar

Mahar misil : mahar untuk perempuan yang telah berkahwin sebelumnya
Mahar muthamma : mahar yang dinilai berdasarkan keadaan, kedudukan, atau ditentukan oleh perempuan atau walinya.

.
.
WALIMATUL URUS






Dalam menganjurkan agenda berkaitan Walimatulurus, etika berbudaya mengikut adat resam bangsa masing-masing adalah dibolehkan,namun perlu diingat agar penganjurannya perlulah selari dengan apa yang dianjurkan oleh Islam tanpa mempunyai rasa gharar(was-was) dalamnya. Juga tidak mempunyai pengaruh adat berunsur keagamaan dan kepercayaan yang dicedok dari agama lain. Islam melarang aktiviti persandingan seperti yang menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat melayu khususnya kerana perbuatan tersebut telah menampakkan pengaruh Hindu-Buddha seperti aktiviti merenjis dan menepung tawar,selain memperlihatkan pasangan pengantin yang bergaya dan bersolek secara terus kepada hadirin. Hal ini akan pasti akan menimbulkan rasa bangga oleh pasangan pengantin dan menimbulkan rasa (seperti cemburu, gersang dan was-was) dari kalangan hadirin yang melihat aktiviti 
persandingan tersebut.


.

Walimatul urus atau kenduri kahwin sunat (seperti majlis santapan makanan)diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat). Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkata dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka. Terdapat beberapa adab dalam walimatulurus seperti dilakukan selepas akad nikah; menjemput jemputan mengikut keutamaan seperti didahulukan saudara-mara, kaum kerabat dari kedua-dua pihak, jiran dan rakan kenalan; bagi pengantin wanita hendaklah mengikut sunah Nabi Muhammad SAW dengan cara bersederhana dan tidak unsur mehah, maksiat dan kemungkaran; dilarang sama sekali berhutang yang membebankan. 
.
KONSEP YANG DIHARAMKAN ISLAM

Konsep Rahbaniyah


Perkataan rahbaniyah bermasud kerahiban atau kependetaan, atau kehidupan paderi.  Di dalam Islam, membujang tidak dianggap sebagi satu etika atau cara bagi mendekatkan diri dengan Tuhan seperti yang dilakukan oleh agama Kristian, Buddha,  Jain dan sebagainya. Sebagai contoh, agama Buddha ada menyebut tiga aspek yang perlu dimiliki oleh seorang sami iaitu kefakiran, ketabahan dan kelanjangan (membujang). Mengikut agama Buddha, jika seseorang mahu membebaskan dirinya dari nafsu duniawi dan keperluan jasmaniah maka ia akan sampai kepada hakikat diri yang sebenarnya dan dapatlah ia masuk ke dalam Nirwana.

Dalam agama Kristian ada ajaran yang menggalakkan penganutnya mengamalkan hidup membujang. Sejak abad ke-5 lagi, orang begitu kagum dengan golongan paderi yang hidup membujang dan sekiranya golongan paderi mahu dihormati dan mengekalkan kuasa mereka, amatlah berfaedah sekiranya mereka memisahkan diri mereka dari orang biasa dengan cara menjauhkan diri dari perkahwinan. Mereka juga berpendapat bahawa paderi yang berkahwin lebih rendah tarafnya dari paderi yang terus membujang kerana perkahwinan bererti tunduk kepada nafsu. Saint Paul berkata, “Sekiranya mereka tidak boleh tahan, biarlah mereka berkahwin akan tetapi seseorang yang benar-benar suci mesti sanggup menahan diri dari berkahwin.” Oleh yang demikian, taraf membujang di kalangan paderi dianggap memelihara moral gereja.

Selain itu, perkahwinan juga ditolak oleh golongan bukan paderi mahupun sami seperti golongan yang terlalu sibuk mengejar kekayaan material dan memberi alasan kesibukan bekerja sebagai penghalang membina rumahtangga.

Konsep Ibahiyah

Istilah ibahiyah diambil dari perkataan yang bermaksud membolehkan. Selain itu, ibahiyah membawa maksud membolehkan atau membebaskan tanpa batas seperti pergaulan seks bebas, homoseksual, lesbian dan sebagainya. Gejala sebegini wujud kerana sikap mereka yang menolak konsep institusi perkahwinan.

Konsep Mut'ah (Kahwin Kontrak)

x dalam proses penyelidikan

Konsep Cina Buta

Cina Buta adalah peribahasa Melayu kerana konsep perkahwinan ini hanya applicable dalam masyarakat Melayu.  Ia berlaku apabila berlaku perceraian TALAK 3 antara suami dan isteri (A (suami) dan B (isteri)).  Dalam Islam A telah diharamkan untuk mengahwini semula B kecuali B telah bernikah dan melakukan persetubuhan dengan suami barunya- kemudian bercerai dan telah habis edahnya.

Apabila A telah gila talak ingin balik kepada bekas isterinya (B), dia menyusun strategi supaya B berkahwin dengan lelaki C.  A membuat perjanjian dengan C supaya C akan menceraikan B setelah berkahwin supaya dia boleh mengahwini semula B. Dalam kes ini C digelar sebagai CINA BUTA.

Konsep dan 'arrangement' Cina Buta ini hukumnya HARAM tetapi perkahwinan B dengan C adalah SAH.  Setelah C menceraikan B dan kemudian berkahwin semula dengan A - perkahwinan ini juga SAH.

Pergaulan Bebas

Pendirian Islam dalam pertemuan antara lelaki dan perempuan adalah tidak diharamkan sebaliknya ia diharuskan atau dituntut jika ia menjurus kepada matlamat yang mulia seperti mencari ilmu yang bermanfaat, amal ibadat, perkara kebajikan, jihad dan perkara-perkara lain yang memerlukan pengembelingan tenaga antara kedua-duanya. Namun setelah meluaskan arus pemikiran Barat dan seruan kebebasan wanita, pergaulan bebas telah digariskan oleh al-Qardhawi sebagai keruntuhan akhlak YANG MENGHASILKAN:
  • Wujudnya anak-anak yang tidak sah tarafnya (anak luar nikah).
  • Merebaknya pelbagai penyakit membahaya.
  • Banyaknya terdapat andartu serta lelaki yang terus membujang.
  • Berlakunya keruntuhan rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh.



akan datang 

.....aku akan menulis pula berkaitan dengan PERCERAIAN, kerana zaman ini banyak  pasangan yang mengambil enteng berkaitan perceraian.

Amalan Seks Bebas

Kegilaan Barat yang memilih cara hidup ‘hidonistik’ iaitu mementingkan keseronokan dan tidak terikat dengan tanggungjawab menyebabkan amalan seks rambang dan bebas berleluasa dan mempengaruhi masyarakat dari benua lain untuk bersama mereka mengejar keseronokan duniawi tanpa mempedulikan dunia selepas mati.

Homoseksual & Lesbian

Pasangan homoseksual atau gay lebih dikenali sebagai perhubungan antara lelaki dengan lelaki dan lesbian sebagai perhubungan antara wanita dengan wanita. Mereka menjalani hidup seperti suami isteri dan beberapa negara Barat telah menghalalkan perkahwinan sejenis. Bahkan sesetengah gereja dan paderi terus meraikan perkahwinan yang sememangnya dihalang oleh semua agama termasuk Kristian sendiri. 

Manakala di Malaysia, pertubuhan seperti Human Right Watch bagi rantau Asia menyeru supaya Malaysia menghalalkan homoseksualiti dan lesbian. Artikel seperti “Homosexuality is not a Sin”menjelaskan hujah-hujah yang dilihat secara sepintas lalu ianya boleh menyakinkan orang ramai.


Syarat bakal isteri
  • Islam
  • Perempuan yang tertentu
  • Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
  • Bukan seorang khunsa
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak dalam idah
  • Bukan isteri orang

Syarat wali
  • Islam, bukan kafir dan murtad.
  • Lelaki dan bukannya perempuan
  • Baligh
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak fasik
  • Tidak cacat akal fikiran,gila, terlalu tua dan sebagainya
  • Merdeka
  • Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya
Sebaiknya bakal isteri perlulah memastikan syarat WAJIB menjadi wali. Sekiranya syarat2 wali bercanggah seperti di atas maka tidak sahlah sebuah pernikahan itu.Sebagai seorang mukmin yang sejati, kita hendaklah menitik beratkan hal2 yag wajib seperti ini.Jika tidak di ambil kira, kita akan hidup di lembah zina selamanya.

Jenis-jenis Wali

Wali Mujbir: Wali dari bapa sendiri atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak (sebaiknya perlu mendapatkan kerelaan bakal isteri yang hendak dikahwinkan).

Wali Aqrab: Wali terdekat mengikut susunan yang layak dan berhak menjadi wali.

Wali Ab’ad: Wali yang jauh sedikit mengikut susunan yang layak menjadi wali, jika ketiadaan wali aqrab berkenaan. Wali ab’ad ini akan berpindah kepada wali ab’ad lain seterusnya mengikut susunan tersebut jika tiada yang terdekat lagi.

Wali Raja/Hakim: Wali yang diberi kuasa atau ditauliahkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa negeri kepada orang yang telah dilantik menjalankan tugas ini dengan sebab-sebab tertentu

Syarat-syarat Saksi
  • Sekurang-kurangya dua orang
  • Islam
  • Berakal
  • Baligh
  • Lelaki
  • Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul
  • Dapat mendengar, melihat dan bercakap
  • Adil (Tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
  • Merdeka

Syarat Ijab
  • Pernikahan nikah ini hendaklah tepat
  • Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran
  • Diucapkan oleh wali atau wakilnya
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(nikah kontrak e.g.perkahwinan (ikatan suami isteri) yang sah dalam tempoh tertentu seperti yang dijanjikan dalam persetujuan nikah muataah)
  • Tidak secara taklik (tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab dilafazkan)

Contoh bacaan Ijab:Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami:"Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Miss J Binti Mr K dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai".

Syarat Qabul
  • Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab
  • Tiada perkataan sindiran
  • Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(seperti nikah kontrak)
  • Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan)
  • Menyebut nama bakal isteri
  • Tidak diselangi dengan perkataan lain

Contoh sebutan qabul (akan dilafazkan oleh bakal suami):"Aku terima nikah/perkahwinanku dengan Miss J Binti Mr K dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai" ATAU "Aku terima Miss J Binti Mr K sebagai isteriku".



Selanjutnya Wali/wakil Wali akan membaca doa selamat agar perkahwinan suami isteri itu berkekalan dan berbahagia sepanjang kehidupan mereka serta doa itu akan diAmeenkan oleh para hadirin.

Sejurus itu, mas kahwin/bayaran perkawinan/mahar akan diserahkan kepada pihak isteri dan selalunya sebentuk cincin akan disarungkan kepada jari manis isteri oleh suami sebagai tanda permulaan ikatan kekeluargaan atau simbol pertalian kebahagian suami isteri. Aktiviti ini diteruskan dengan suami mengucup/mencium isteri. Aktiviti ini disebut sebagai "Pembatalan Wuduk". Ini kerana sebelum akad nikah dijalankan suami dan isteri itu diminta untuk berwuduk terlebih dahulu.

Suami isteri juga diminta untuk solat sunat nikah sebagai tanda kesyukuran selepas perkahwinan berlangsung. Perkahwinan Islam sememangnya mudah kerana ia tidak perlu mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak aset-aset perkahwinan disamping mas kahwin,hantaran atau majlis keramaian(walimatul urus)yang tidak perlu membebankan atau membazir. Jadi mengapa perlu menyusahkan dalam hal berkaitan perkahwinan dan mengapakah perlu melakukan zina?

Wakil Wali/Qadhi

Wakil wali/ Qadhin adalah orang yang dipertanggungjawabkan oleh institusi Masjid atau jabatan/pusat Islam untuk menerima tuntutan para Wali untuk menikahkan/ mengahwinkan bakal isteri dengan bakal suami.Segala urusan perkahwinan, penyedian aset perkahwian seperti mas kahwin, barangan hantaran(hadiah), penyedian tempat berkahwin, jamuan makanan kepada para hadirin dan lain-lain adalah tanggungan pihak suami isteri itu. Qadi hanya perlu memastikan aset-aset itu telah disediakan supaya urusan perkahwinan berjalan lancar. 

Disamping tanggungjawabnya mengahwinkan suami isteri berjalan dengan dengan sempurna, Qadi perlu menyempurnakan dokumen-dokumen berkaitan perkahwinan seperti sijil perkahwinan dan pengesahan suami isteri di pihak tertinggi seperti jabatan Islam dan jabatan pendaftaran negara. Ini bagi memastikan status resume suami isteri itu sentiasa sulit dan terpelihara. Qadi selalunya dilantik dari kalangan orang-orang alim (yang mempunyai pengetahuan dalam agama Islam dengan luas) seperti Ustaz, Muallim, Mufti, Sheikhul Islam dan sebagainya. Qadi juga mesti merupakan seorang lelaki Islam yang sudah merdeka dan akhil baligh.

Monogami merupakan cara perkahwinan tunggal iaitu perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan sahaja. Sesetengah agama seperti Kristian mengamalkan perkahwinan jenis ini kerana menganggap perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan adalah untuk sepanjang zaman. Oleh kerana itulah penceraian tidak diiktiraf sama sekali (seperti mazhab Katholik).

Selepas qabul dilafazkan Wali/wakil Wali akan mendapatkan pengikhtirafan/kesaksian dari para hadirin khususnya dari dua orang saksi perkahwinan dengan cara meminta saksi mengatakan lafaz "SAH" atau perkataan lain yang sama maksud dengan perkataan itu.

No comments:

Post a Comment