Monday, March 2, 2015

MTA 116 : KRISIS PERLEMBAGAAN MALAYSIA 1988


KRISIS PERLEMBAGAAN MALAYSIA 1988
EKSEKUTIF vs KEHAKIMAN


Peristiwa atau sejarah hitam dalam Sistem Kehakiman Malaysia ini berlaku semasa PENULIS sedang melanjutkan pengajian Diploma in Business Studies (DBS) di ITM, Shah Alam. Ketika itu penulis dalam Semester 4 dan baru sahaja mengenal apa itu Undang-undang Malaysia. Subjek Pengenalan kepada Undang-undang Malaysia diajar oleh Puan Rohazar Wati Zualcobley dan tutornya ialah Encik Haidar Dziyaudin. Mereka mengajar sistem pentadbiran negara sebagaimana yang dijelaskan dalam Perlembagaan Negara telah mengasingkan Kuasa Pemerintahan kepada tiga (3) badan atau institusi utama iaitu; Perundangan (Legaslative) iaitu Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara); Eksekutif (Exercutive) iaitu Jemaah Menteri (Kabinet) dan Pentadbiran Awam; dan Kehakiman (Judiciary).

Sebagai seorang yang meminati perkembangan politik negara, penulis turut mengikuti isu ini. Apa yang penulis faham waktu itu ialah; ia bermula dari 'Krisis Dalaman UMNO' semasa pemilihan jawatan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987. Ia berlarutan apabila Perdana Menteri, Dato' Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan kehakiman Malaysia yang tidak berpihak kepada Kerajaan.

Bagaimanapun, mengikut pandangan peribadi penulis, perpecahan dalam UMNO selepas Pemilihan UMNO tahun 1987. Berlalu pertembungan antara Kumpulan barisan kepimpinan yang diketuai oleh Dr Mahathir dengan satu lagi fraksi yang diketuai oleh Tan Sri Tengku Razaleigh (Ku Li).  Selepas perhimpunan tahun 1987 inilah, pertubuhan UMNO diharamkan oleh Mahkamah Tinggi. mansuhkan dan kemudiannya menjadi titik tolak kepada Krisis Kehakiman 1988.

Krisis Kehakiman 1988 ialah titik hitam dalam sejarah perundangan Malaysia yang menyaksikan pemecatan Ketua Hakim Negara dan penggantungan hakim-hakim kanan akibat konflik antara badan eksekutif dan kehakiman.

Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 merupakan satu siri peristiwa yang dicetuskan oleh pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau “UMNO” pada tahun 1987 yang berakhir dengan penggantungan perkhidmatan dan kemudiannya penyingkiran Ketua Hakim Negara, Tun Mohammad Salleh bin Abas dari jawatannya yang dijamin tidak boleh dipecat oleh Perlembagaan Negara. 

Pemecatannya (menggunakan TRIBUNAL KEHAKIMAN) oleh Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah diperlihatkan sebagai satu penyekatan terhadap kebebasan kehakiman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

KRISIS BERMULA DARI 'UMNO'

Pada tahun 1987, UMNO mengadakan pemilihan jawatan-jawatan partinya. Buat pertama kali sejak tahun 1978, jawatan Presidennya dicabar (kali terakhir apabila almarhum Tun Hussein Onn dicabar oleh Tuan Haji Sulaiman Palestin). Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan calon "Pasukan B" untuk kePresidenan mencabar Dr Mahathir daripada kem yang digelarkan "Pasukan A".


Berlakulah siri kempen yang panas untuk mendapat sokongan perwakilan  dari seluruh negara yang akan memilih pegawai-pegawai parti. Penyokong-penyokong Razaleigh mengharapkan beliau akan menang, dan dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak lama selepas pengiraan undi, terdapat khabar-khabar angin bahawa Razaleigh telah menang. Bagaimanapun, keputusan rasmi mengisytiharkan Mahathir sebagai pemenang, dengan 761 undi berbanding 718 undi untuk Razaleigh. Ghaffar Baba, calon Pasukan A untuk Timbalan Presiden, menewaskan Musa Hitam daripada Pasukan B, dan Pasukan A juga memenangi 16 daripada 25 dalam Majlis Agung UMNO.

Penyokong-penyokong Razaleigh berasa susah hati tentang pemilihan ini yang mereka berkeras mengatakan telah dimanipulasi. Mahathir membuat kemarahan mereka bertambah buruk apabila beliau menyingkirkan semua ahli Pasukan B daripada Kabinetnya. Oleh itu, 12 orang ahli UMNO mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi untuk memperoleh perintah mahkamah yang mengisytiharkan bahawa keputusan pemilihan tidak sah supaya dapat mengadakan pemilihan yang baru. Plaintif-plaintif itu mendakwa bahawa 78 orang wakil telah dipilih daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu, tidak layak mengundi. Mereka juga mendakwa bahawa beberapa dokumen mengenai pemilihan itu telah "diubah". Walaupun Razaleigh bukannya antara kedua belas plaintif itu, beliau dipercayai secara meluas sebagai pembiaya dan penyelaras tuntutan mahkamah ini.

Kemudian, salah satu daripada dua belas plaintif itu menarik diri (mereka kemudiannya dikenali UMNO 11, tetapi sebelas plaintif yang tinggal meneruskan tuntutan mahkamah mereka. Mahkamah Tinggi akhirnya memberikan kedua-dua pihak dua minggu untuk mencapai penyelesaian di luar mahkamah. Sebuah "Panel Perpaduan" UMNO dibentuk untuk menangani perundingan-perundingan supaya dapat bertolak ansur. Bagaimanapun, perbezaan-perbezaan antara mereka jelas sukar diselesaikan — Pasukan B mendesak untuk mengadakan pemilihan baru, manakala Pasukan A mendesak bahawa tuntutan mahkamah ditarik balik dan satu penyelesaian menutup malu dicapai untuk membenarkan sebilangan ahli daripada Pasukan B untuk mengekalkan keahlian mereka dalam parti. Akhirnya, sebelas plaintif itu mengisytiharkan bahawa mereka akan mendapat penghakiman muktamad daripada mahkamah.


Ini tidak menyenangkan hati Dr. Mahathir yang pernah beberapa kali bertelingkah dengan badan kehakiman. Dalam satu peristiwa, satu perintah kerajaan yang membatalkan permit kerja untuk dua orang wartawan asing yang kritis terhadap kerajaan Mahathir telah ditolak oleh Mahkamah Agung. Mahathir memulakan bidasan-bidasan hangat terhadap badan kehakiman, dan memberitahu majalah Time

"Badan kehakiman berkata, ' Walaupun kamu meluluskan undang-undang dengan menimbangkan sesuatu, kami berfikir bahawa fikiran kamu adalah salah, dan kami hendak memberikan tafsiran sendiri.' Kalau kita tidak bersetuju, Mahkamah-mahkamah akan berkata, 'Kami akan mentafsirkan pertentangan pendapat kamu.' Kalau kami [kerajaan dan Parlimen] mengikut, kami akan hilang kuasa perundangan."

Mahathir juga mengecam "kambing hitam [hakim]... yang hendak... kebebasan yang keterlaluan," dan menuduh mereka kerana bermuka-muka.

Sebaik sahaja Dr. Mahathir membuat kenyataan yang terakhir ini, kerajaan menugasi semula beberapa hakim Mahkamah Tinggi ke bahagian yang lain, termasuk Hakim Harun Mahmud Hashim yang sedang mendengar kes UMNO. Bagaimanapun, oleh sejak kes itu telah berlangsung, pemindahan Harun tidak akan dikuatkuasakan sehingga kes itu ditutup. Oleh itu, Harun terpaksa membuat keputusan terakhir untuk kes "UMNO 11".

Allahyarham Hakim Tan Sri Harun Mahmud Hashim

Walaupun kebanyakan bukti yang dikemukakan oleh "UMNO 11" tidak dipertikaikan, peguam pembela UMNO memperdebatkan bahawa semua remedi yang mungkin masih belum dihabiskan dalam UMNO. Bagaimanapun, plaintif-plaintif itu menegaskan bahawa fakta tentang sekurang-kurang 30 cawangan tak berdaftar yang menghantar wakil-wakil mereka ke pemilihan UMNO itu harus mencukupi untuk membatalkan keputusan-keputusan pemilihan. Akhirnya, Harun membuang kes itu, dan menyebut Perkara 41 dalam Akta Pertubuhan 1966 yang mengatakan bahawa mana-mana satu pertubuhan akan menjadi "tidak sah" secara automatik jika mana-mana satu cawangannya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Oleh itu, Harun mengisytiharkan bahawa beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk mengisytiharkan bahawa UMNO adalah sebuah "pertubuhan yang tidak sah" dan dengan itu, "apa yang terjadi pada tahun 1987" tidak sah di sisi undang-undang. Dalam keputusannya, Harun menyalahkan Parlimen untuk memaksakan tangannya:

"Jika undang-undang lama masih wujud... [seseorang] boleh menggunakan prinsip Common Law tetapi pada kelihatannya, Parlimen, untuk memastikan pematuhan undang-undang yang sebenarnya, telah membuat peruntukan ini terlalu keras."

Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, Dr. Mahathir meyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa disebabkan keputusan ini didasarkan pada "keteknikan" yang kecil, parti UMNO boleh dipulihkan menjadi pertubuhan yang sah dengan mudah. Beliau juga memperingatkan orang ramai bahawa tarafnya sebagai Perdana Menteri tidak terancam kerana hanya undi tidak percaya yang sah boleh menyingkirkannya.

Dua minggu selepas keputusan Harun, Dr. Mahathir mengumumkan pendaftaran UMNO Baru. Kepimpinan UMNO Baru hampir terdiri pada keseluruhannya daripada ahli-ahli Pasukan A yang kemudian memulakan pemindahan aset UMNO "lama" ke UMNO baru dalam bulan-bulan yang berikut. UMNO 11 meneruskan kes mereka ke mahkamah yang tertinggi di dalam negara, iaitu Mahkamah Agung, untuk memulihkan status UMNO "lama" serta untuk mengadakan pemilihan baru. Bagaimanapun, rayuan mereka ditolak.

Razaleigh kemudian memutuskan untuk membentuk parti baru yang menumpukan kepada "semangat 1946", iaitu tahun UMNO diasaskan. UMNO Baru kemudian memutuskan bahawa perkataan "Baru" tidak diperlukan, dan menggugurkannya secara rasmi dan oleh itu, menuntut diri sebagai waris UMNO yang benar, bukannya parti Razaleigh. Akhirnya, Razaleigh menggunakan nama "Semangat 46" untuk partinya yang baru.

Pindaan-pindaan Perlembagaan

Kes "UMNO 11" hanya merupakan salah satu daripada sebilangan kes yang menjengkelkan Dr. Mahathir dan kerajaannya. Kes terhadap dua orang wartawan yang tersebut di atas tertimbul ketika John Berthelsen dan Raphael Pura menulis sebuah siri makalah terhadap urusniaga-urusniaga kewangan yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang diragui tidak etika dan sah. Jurnal Asian Wall Street yang menerbitkan makalah-makalah itu diharamkan dengan segera, dan Dr Mahathir selaku Menteri Daslam Negeri membatalkan permit-permit kerja Berthelsen dan Pura. Bagaimanapun, Mahkamah Agung mengubah pembatalan permit kerja Berthelsen disebabkan dia tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan kerajaan. Disebabkan ini, pengharaman Jurnal Asian Wall Street juga ditarik balik.

Dalam lagi satu kes, Mahkamah Agung menggunakan kuasa kajian semula kehakiman, dan membatalkan pindaan-pindaan kepada Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding jenayah di Mahkamah Tinggi tanpa melalui Mahkamah Majistret. Selepas Ops Lalang pada tahun 1987 di mana kerajaan menahan beberapa penentang politik tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan Karpal Singh untuk dibebaskan daripada tahanan disebabkan masalah teknik terhadap cara beliau ditahan.

Dr Mahathir hilang sabar terhadap kes yang terakhir ini. Pada minggu yang berikut, beliau menyerahkan beberapa pindaan perlembagaan kepada Parlimen untuk melucutkan "kuasa kehakiman Persekutuan" dan hanya memberikan mereka kuasa kehakiman sebagaimana yang Parlimen inginkan. Sebagai justifikasi untuk pindaan-pindaan itu, Dr. Mahathir berkata: "...mahkamah-mahkamah telah memutuskan bahawa dalam penguatkuasaan undang-undang, mereka terikat kepada tafsiran-tafsiran sendiri dan bukannya terhadap alasan-alasan yang menyebabkan Parlimen merumuskan undang-undang ini... akhir-akhir ini, badan kehakiman telah berasa wajar untuk menyentuh perkara-perkara yang dahulu dianggap sebagai hanya dalam kuasa eksekutif."

Ketua Hakim Negara untuk Mahkamah Agung, Salleh Abas, telah dipaksa oleh hakim-hakim sekerjanya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan kerajaan. Salleh memutuskan untuk mengadakan sebuah mesyuarat bagi kesemua 20 orang hakim daripada Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi di ibu negara KL. Dalam mesyuarat ini, mereka bersetuju untuk tidak mengumumkan jawapan mereka terhadap kritikan-kritikan Dr. Mahathir. Sebagai ganti, mereka menulis sepucuk surat sulit kepada YDP Agung dan Raja-raja Melayu bagi mengemukakan ketidakpuasan hati mereka. Surat yang ditulis oleh Salleh Abas, dan yang dipersetujui oleh semua hakim yang hadir dengan sebulat suara, menyatakan kekecewaan hakim-hakim terhadap "berbagai-bagai komen dan tuduhan yang telah dibuat oleh Yang Berhormat Perdana Menteri terhadap Badan Kehakiman," tetapi tidak mendesak sebarang tindakan yang khusus untuk diambil — sebaliknya, surat itu hanya berakhir dengan ungkapan "harapan bahawa kesemua tuduhan yang tidak berasas itu akan dihentikan".

  
Almarhum Tun Mohd Salleh bin Abas

Penggantungan jawatan dan pemecatan Salleh Abas

Pada tahun 1988, Tun Salleh Abas dihadapkan ke sebuah tribunal yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad, atas dakwaan salah laku. Tribunal tersebut dipengerusikan oleh Tun Hamid Omar. Sebagai tindak balas terhadap tribunal itu, Tun Salleh Abas memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar kesahihan perlembagaan tribunal berkenaan. Semasa prosiding saman itu berjalan, Tun Salleh Abas memohon perintah penangguhan sementara terhadap tribunal tersebut sehingga 4 Julai 1988. Permohonan itu ditolak.

Allahyarham Hakim Tun Abd Hamid Omar

Walau bagaimanapun, kemudiannya, lima orang hakim Mahkamah Agung (sekarang dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan) bersidang dan memberikan perintah interlokutori kepada Tun Salleh Abas terhadap tribunal tersebut. Setelah menerima perintah itu, peguam cara Tun Salleh Abas pergi ke Parlimen untuk menyerahkan perintah interlokutori tersebut kepada pengerusi tribunal. Namun, pintu pagar menuju ke Parlimen berkunci, dan wakil Tun Salleh Abas terpaksa memanggil pihak polis bagi memastikan mereka dapat masuk ke dalam Parlimen. Akhirnya, perintah itu berjaya diserahkan kepada Pengerusi tribunal tersebut.

Tidak lama kemudian, kelima-lima hakim tersebut digantung tugas. Hakim-hakim berkenaan ialah Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah. Tindakan ini secara berkesan menggantung fungsi Mahkamah Agung. Dengan penggantungan Mahkamah Agung, cabaran terhadap kesahihan tribunal itu tidak dapat didengar. Tribunal tersebut kemudiannya melucutkan jawatan Tun Salleh Abas. Tan Sri Wan Sulaiman dan Datuk George Seah juga dilucutkan jawatan mereka. Tiga hakim yang lain kemudiannya dikembalikan semula ke jawatan masing-masing.

Pemecatan Tun Salleh Abas yang tidak mengikut prosedur yang sewajarnya menyebabkan Majlis Peguam Malaysia enggan mengiktiraf Ketua Hakim Negara yang baharu. Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi melucutkan "kuasa kehakiman Persekutuan" daripada mahkamah, dan sebaliknya memberikan mahkamah kuasa kehakiman sebagaimana yang diperuntukkan oleh Parlimen.

 
SCJ Tan Sri Azmi Kamaruddin dan SCJ Datuk George Seah

  
Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh

20 Tahun Kemudian

Kekesalan Kerajaan Malaysia

Dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, pada malam 17 April 2008 anjuran Majlis Peguam Malaysia di hadapan lebih kurang 600 orang, mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada Tun Salleh Abas dan lima orang lagi hakim yang terlibat secara langsung dalam kes 20 tahun lalu iaitu; Datuk George Seah, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdul Kader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyentuh mengenai hakim-hakim yang dipecat dan digantung pada 1988:

"Bagi saya dan ramai lagi orang Malaysia, personaliti-personaliti tertinggi badan kehakiman ini mewakili era berbeza bagi badan kehakiman negara. Ramai yang merasakan badan kehakiman pada masa itu adalah institusi dihormati yang boleh dipercayai untuk menjalankan keadilan. Sesetengah mereka menyanjung tinggi badan kehakiman Malaysia sebagai model kepada negara lain - bebas dan boleh dipercayai."

Mengenai kehakiman:

"Tiada satu negara boleh memanggil ia adil dan saksama tanpa mempunyai badan kehakiman yang cekap dan dipercayai. Mengenai "dipercayai", maksud saya adalah hakim menjalankan keadilan dan dilihat berlaku adil.

Mengenai pemisahan kuasa:

"Saya boleh mengatakan dengan ikhlas yang saya patuh dan akan sentiasa mematuhi prinsip pengasingan kuasa, membiarkan perkara berkaitan keadilan kepada badan kehakiman. Badan kehakiman mestilah diperkuatkan menjadi satu institusi yang berkhidmat untuk prinsip demokratik pemisahan kuasa. Badan kehakiman hendaklah menjadi penjaga kepada Perlembagaan dan pengawal kepada hak rakyat."

Mengenai suruhanjaya kehakiman:

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan kepada anda sekalian pada malam ini bahawa kerajaan bercadang mewujudkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon hakim kepada Perdana Menteri."

Ucapan Perdana Menteri mendapat pujian dari presiden Majlis Peguam yang mengatakan hakim-hakim yang dipecat sebagai hero yang menggadaikan hidup mereka dan merayu kepada Perdana Menteri untuk melihat kembali kes mereka yang ditahan di bawah ISA. Tiada kenyataan meminta maaf diucapkan tetapi hanya kekesalan.

Kerajaan bayar ex-gratia RM10.5 juta kepada bekas Hakim

06/11/2008 4:33pm

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kerajaan membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bayaran tersebut adalah Tun Salleh berjumlah RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamaruddin (RM2juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2juta) dan yang lain iaitu Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh berjumlah RM500,000 setiap seorang. - Utusan.

Kerajaan bayar RM10.5 juta pada 6 bekas Hakim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan hari ini bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk bekas Ketua Hakim Tun Salleh Abbas.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh.

Jumlah tersebut dibayar oleh kerajaan kepada enam bekas hakim tersebut yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988.

Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.

Menjelaskan mengapa enam hakim tersebut masih menerima bayaran pension sejak 20 tahun lalu walaupun mereka diberhentikan perkhidmatan, Nazri berkata, mereka tidak dipecat tetapi perkhidmatan mereka ditamatkan lebih lebih awal dari kebiasaannya.

Menurutnya, Salleh menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102.00 Seah pula menerima RM5,916.00, Hamzah (RM6,508.00), Wan Suleiman (RM4,815.00), Eusoffe (RM4,815.00) dan Azmi (RM5,916.00).




No comments:

Post a Comment