Tuesday, March 3, 2015

M 126: TUN DR ISMAIL: TOKOH INTEGRITI 2

Image result for assalamualaikum jawi

TUN DR ISMAIL


DIA YANG PERTAMA DAN TERAKHIR

https://www.scribd.com/doc/218979208/Tun-Dr-Ismail

Pengenalan

Tun Dr. Ismail Bin Dato' Abdul Rahman merupakan seorang tokoh negara yang tidak kurang pentingnya dalam sejarah Malaysia sama ada sebagai seorang pemimpin negara ataupun seorang ahli politik. Beliau merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh awal yang telah  berusaha mendapatkan kemerdekaan negara.

Latar Belakang dan Peribadi

Tun Dr. Ismail Bin Dato Abdul Rahman  dilahirkan pada 4 November 1915 di Bandar Johor Bahru. Beliau adalah anak kepada sebuah keluarga Melayu berketurunan Bugis. Bapa beliau, Dato Abdul Rahman Bin Mohd. Yassin ialah bekas pegawai perkhidmatan awam kerajaan Johor dan juga merupakan mantan Presiden Dewan Negari yang pertama. Ibu beliau, Zaharah Binti Abu Bakar meninggal dunia sewaktu Tun Dr. Ismail berumur sembilan tahun. Oleh itu, perhubungan beliau dengan ibunya tidak jelas dalam ingatan beliau. Jika dilihat latar  belakang kehidupan beliau, Tun Dr. Ismail dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan mewah,  bapanya berketurunan Orang Kaya Muar. Oleh itu keluarga ini mempunyai pengaruh dalam kalangan masyarakat sekeliling dan disanjungi serta dihormati. Darah Bugis yang mengalir dalam tubuh mereka.

Ternyata membawa penghormatan kepada keluarga Dato Abdul Rahman.

Bapa beliau, Dato Abdul Rahman berasal dari Parit Abu Bakar, Muar. Jika dilihat  salasilah keluarganya, beliau berketurunan Bugis yang berasal dari kerabat Raja Chempa Bugis yang berkerajaan di daerah Bukit Mor, Muar.

Raja Chempa Bugis dikatakan mempunyai dua orang putera. Putera pertama bernama Daeng Seriok dan putera kedua bernama Daeng Indera Perma. Keturunan Indera Perma membawa kepada kelahiran bapa Tun Dr. Ismail, Dato Abdul Rahman. Oleh itu, adalah jelas bahawa Tun Dr. Ismail mempunyai warisan keturunan Bugis. Tun Dr. Ismail mempunyai beberapa orang adik-beradik yang memegang jawatan tinggi dalam  pentadbiran. Antara adik- beradiknya yang terkenal ialah Abdullah, Dato Sulaiman, Encik Mohamad, Doktor Zubaidah dan seorang lagi bertugas sebagai guru. Abang Tun Dr. Ismail iaitu Dato Sulaiman adalah seorang siswazah lulusan Undang-undang dari Universiti Cambridge.

Dato Sulaiman pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam Negara. Antara jawatan yang  pernah disandang ialah sebagai kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri Johor, anggota Dewan Undangan Persekutuan, Menteri Kabinet dan juga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia.


Image result for tun dr ismail abdul rahman

Pendidikan

Tun Dr. Ismail dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpelajaran. Oleh itu, tidak hairanlah beliau menerima pendidikan yang tinggi. Bapa beliau mempunyai pendirian yang tegas terhadap pelajaran dan disiplin dalam membentuk peribadi anak-anaknya. Menurut pandangan Dato Abdul Rahman, cara yang terbaik untuk membahagiakan masa depan anak-anaknya adalah dengan pelajaran yang sempurna dan disebabkan itulah anak-anaknya mendapat didikan dan  pelajaran yang terbaik.

Tun Dr. Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Bukit Zahrah, Johor Bahru dan kemudiannya ke Maktab Inggeris ( English College) di Johor Bahru. Setelah menamatkan  pelajaran menengahnya, beliau meneruskan pengajiannya ke Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura. Beliau menyimpan satu cita-cita yang tinggi. Walaupun beliau telah gagal di dalam  beberapa mata pelajaran semasa menjadi penuntut di Kolej Perubatan King Edward, namun kegagalan tersebut bukanlah menjadi penghalang kepadanya untuk terus maju dalam pelajaran. Pada beliau, kegagalan mengajar seseorang itu untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi. Di atas keazaman itulah beliau ingin mencuba nasib di luar negara. Dengan itu, pada tahun 1939, beliau berangkat ke luar Negara untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang  perubatan di Universiti Melbourne, Australia. Berkat usahanya yang tidak pernah mengenal  jemu, akhirnya beliau muncul sebagai anak Melayu yang pertama mendapat ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Melbourne pada tahun 1945. Ini jelas terbukti bahawa kegagalan yang  pernah dialami oleh Tun Dr. Ismail sewaktu menuntut di Singapura tidak melemahkan semangat  beliau untuk mencapai cita-cita. Kejayaan memperoleh ijazah perubatan menunjukkan beliau mempunyai pendirian hidup yang kukuh dan sanggup menghadapi kesusahan demi untuk  berjaya. Setelah mendapat ijazah di Australia, beliau tidak terus kembali ke tanah air berikutan dengan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Untuk mengisi masa di Australia, beliau telah  berkhidmat di hospital tentera dalam angkatan bersenjata Australia.

Perkhidmatan Awal

Tun Dr. Ismail pulang ke tanah air pada tahun 1947. Beliau telah memulakan tugasnya di Jabatan Perubatan Johor Bahru. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya merasakan bahawa tugasnya di Jabatan Perubatan tidak serasi dengan dirinya dan meninggalkan tugasnya di sana. Untuk menampung hidupnya, Tun Dr. Ismail membuka klinik sendiri di Johor Bahru yang dinamakan sebagai „Tawakkal. Perkhidmatannya sebagai seorang doktor persendirian berlangsung selama 7 tahun iaitu pada tahun 1947 hingga tahun 1953. Sepanjang  perkhidmatannya, beliau telah menjalankan tugas memberikan khidmat dan bakti kepada masyarakat. Beliau membuka klinik sendiri kerana memikirkan pada masa tersebut bilangan orang Melayu yang menceburkan diri dalam sektor persendirian adalah sangat sedikit.

Sebagai seorang doktor muda, Tun Dr. Ismail boleh dikatakan telah berjaya dalam kerjaya yang diceburinya. Beliau tidak banyak menghadapi masalah khususnya masalah kewangan kerana sambutan yang diterima daripada orang Melayu amat menggalakkan. Tambahan pula bidang perubatan moden sudah mula mendapat tempat pada ketika itu. Apabila  berhadapan dengan pesakit, beliau sebenarnya adalah seorang yang tegas. Kadangkala, hal ini meninggalkan kesan kepada pesakit-pesakit yang merasa takut untuk mendapat rawatan daripada Tun Dr. Ismail. Sememangnya sifat tegas merupakan sifat semula jadi yang dimiliki oleh Tun Dr. Ismail namun beliau lebih berhati-hati dan meletakkan disiplin sebagai perkara utama. Tdak hairanlah dalam menjalankan tugas beliau berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dan sempurna, dan berusaha mengkaji secara terperinci penyakit para pesakitnya bagi menentukan rawatan yang akan diberikan.


Masyarakat mengenali beliau sebagai seorang doktor yang mengambil berat tentang  pesakit dan beliau sentiasa berhati-hati dalam memberikan rawatan. Sudah menjadi kebiasaan,  beliau tidak akan memberitahu penyakit yang dialami oleh pesakitnya melainkan setelah dirawat dengan teliti dan sempurna.


Alam Rumah Tangga

Tun Dr. Ismail telah mendirikan rumah tangga dengan Norashikin binti Dato' Mohd Seth  (kemudiannya bergelar Toh Puan). Dato' Mohd. Seth adalah bekas pegawai kanan
kerajaan Johor dan merupakan seorang yang berpengaruh. Ini memperlihatkan bahawa Tun Dr. Ismail mengahwini anak kepada seorang yang mempunyai pengaruh dalam politik. Hal ini mungkin memberikan manfaat atau membuka jalan bagi penglibatannya dalam politik. Hasil  perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan enam orang anak iaitu emapat orang lelaki dan dua orang perempuan.

Salah seorang ialah Mohd. Taufik Bin Ismail yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan Benut, Johor Bahru pada 1986 hingga 1990. Dalam keluarganya, Tun Dr. Ismail merupakan seorang ayah yang dihormati oleh anak-anaknya walaupun beliau bersikap tegas terhadap anak-anak. Seperti mana bapanya, Tun Dr. Ismail juga meletakkan disiplin sebagai keutamaan dalam mendidik anak-anak agar menjadi orang yang berguna. Walaupun beliau tegas, sifat-sifat penyayang sebagai seorang ayah tetap ada terutama kepada anak bongsunya. Beliau mewarisi pegangan ayahnya Dato Abdul Rahman yang mementingkan pelajaran. Tun Dr. Ismail juga mengambil berat tentang pelajaran anak-anaknya. Beliau mencontohi sikap bapanya yang berusaha memberikan pelajaran peringkat tertinggi dan Tun Dr. Ismail mempunyai pendirian bahawa pelajaran adalah sebagai hadiah yang tidak ternilai untuk diberikan kepada anak-anak. Di samping memastikan anak-anak mendapat pelajaran yang sempurna dan tinggi, beliau  juga memastikan mereka mempunyai disiplin dalam hidup. Oleh itu untuk melaksanakan apa yang ditekankannya maka anak-anak beliau diwajibkan bangun awal pada pagi untuk bersarapan  bersama-sama dengannya. Mereka juga dimestikan menghafal jadual sifir.

Walaupun pelajaran akademik diutamakan, ini tidak bermakna pelajaran agama diabaikan. Tun Dr. Ismail memastikan anak-anaknya turut menerima pelajaran dan didikan agama yang sempurna. Oleh itu seorang guru agama dijemput ke rumahnya untuk mengajar hukum-hukum agama. Cara ini bersesuaian dengan sifat beliau yang warak.


Related image

Sikap dan Perwatakan

Watak tegas dan berterus terang yang diperlihatkan dalam menjalankan tugas seharian menjadikan Tun Dr. Ismail seorang yang dikenali ramai. Mereka yang mengenali diri beliau sama ada sebagai manusia biasa atau sebagai pemimpin umumnya mengakui bahawa beliau seorang yang serius dalam hidupnya. Beliau dikatakan lebih banyak bekerja dan kurang  bercakap. Dengan air mukanya yang sentiasa serius, memang mudahlah orang mentafsirkan  bahawa beliau sombong dan garang. Tetapi setelah mengenali beliau dengan lebih dekat, seseorang akan menyedari beliau mempunyai prinsip tersendiri dan berdisiplin. Apabila membuat sesuatu keputusan beliau tidak akan berpatah balik. Kata-katanya adalah keputusannya. Sifat-sifat ini menonjolkan suatu keistimewaan kepada Tun Dr. Ismail.

Sebagai seorang pemimpin, beliau cuba mengelakkan sikap pilih kasih. Ini terbukti apabila setiausaha sulitnya, Encik Zawawi Mahmuddin pernah meminta pertolongan beliau untuk mendapatkan pekerjaan untuk seorang rakan, tetapi dalam hal ini Tun Dr. Ismail dengan tegas telah berkata:

tak adil saya menolong seorang sedangkan 10 juta orang penduduk memerlukan  pertolongan. Saya tidak berdaya hendak menolong semua jadi saya tidak dapat menolong seorang.”

 Kata-kata beliau ini menunjukkan beliau tidak cuba menggunakan kedudukannya untuk mendapat pengaruh. Jika dirasakan sesuatu perkara itu tidak dapat beliau laksanakan maka beliau akan berterus terang. Dalam kalangan mereka yang pernah berkhidmat dengannya, Tun Dr. Ismail dihormati dan disanjungi kerana sikapnya yang tidak memandang darjat. Beliau bergaul dengan semua golongan sama ada kaya atau miskin tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka yang mengenali diri beliau dapat menilai sifat-sifat peribadi Tun Dr. Ismail walaupun terdapat gambaran-gambaran buruk tentangnya

Tun Dr. Ismail juga dikatakan mudah berurusan dengan para wartawan. Beliau senang memahami tingkah laku wartawan dan jarang sekali menghampakan mereka kecuali jika terdapat hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Apabila beliau mengadakan pertemuan dengan wartawan  beliau cuba menghidupkan suasana. Sebagai seorang ketua, Tun Dr. Ismail merupakan seorang pemimpin yang jujur dan  bersedia menjaga kepentingan orang bawahannya. Ini diakui oleh juruiring dan Pegawai Perhubungan Polis beliau iaitu D.S.P Yahya. Beliau mengatakan walaupun Tun Dr. Ismail sibuk dengan tugas-tugas negara, beliau sentiasa mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh kakitangannya. Memang tidak dapat dinafikan sebagai seorang manusia biasa, Tun Dr. Ismail mempunyai kegemaran yang tertentu. Beliau merupakan seorang peminat sukan khasnya  permainan bola sepak. Jika ada kelapangan, beliau tidak ketinggalan menonton pertandingan  bola sepak. Di samping itu beliau juga minat bermain golf dan berenang. Dilihat daripada latar belakang keluarga beliau, jelaslah Tun Dr. Ismail berpengaruh di kalangan masyarakat khasnya di Johor. Darah Bugis yang mengalir di tubuh beliau menjadikan  beliau dipandang tinggi oleh masyarakat. Tambahan pula, ayahnya yang berketurunan orang kaya itu turut menjadi factor bagi kejayaan-kejayaan yang dikecapi oleh Tun Dr. Ismail. Latar  belakang dan didikan yang telah diterima daripada bapa menjadikan beliau seorang yang tegas dan berani. Disiplin yang kuat melahirkan suatu sifat terpuji pada dirinya. Ternyata Tun Dr. Ismail mempunyai peribadi dan sifat-sifat yang wajar disanjungi dan dihormati. Sikapnya yang tegas menjadikan beliau terkenal di kalangan tokoh-tokoh politik tanah air.

Penglibatan Awal Dalam Politik UMNO 1951

Minat untuk menceburkan diri dalam lapangan politik wujud dalam diri Tun Dr. Ismail sejak beliau masih menuntut lagi. Dalam tempoh tersebut, beliau bergiat cergas dalam kegiatan-kegiatan pelajar khasnya dalam soal-soal kemerdekaan tanah air. Justeru apabila kembali ke tanah air setelah tamat belajar di Australia Tun Dr. Ismail telah melibatkan diri secara aktif dalam politik Tanah Melayu. Bermula dengan penglibatannya dalam Dewan Undangan Negeri Johor sehinggalah menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau telah memberi sumbangan yang tidak kurang pentingnya dalam sejarah politik Malaysia. Tun Dr. Ismail pulang ke tanah air pada tahun 1947 setelah memperoleh ijazah kedoktoran dari Universiti Melbourne, Australia. Kepulangannya di saat-saat perjuangan bangsa Melayu berada pada tahap kemuncak berikutan dengan selesainya penentangan terhadap Malayan Union. Walau bagaimanapun, beliau tidak terlibat dalam penentangan Malayan Union kerana penentangan terhadap Malayan Union telah  pun tamat ketika Tun Dr. Ismail kembali ke tanah air pada tahun 1947. Penglibatan Tun Dr. Ismail dalam arena politik bermula pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan bagi menggantikan Malayan Union di bawah  perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk pertama kalinya Tun Dr. Ismail dilantik sebagai anggota bebas Dewan Undangan Negeri Johor.

Bermula dari tahap ini, beliau telah memainkan  peranan yang aktif dalam politik Tanah Melayu. Namun begitu, Tun Dr. Ismail tidak menjadi ahli UMNO sehinggalah pada tahun 1951.

Dato Onn Bin Jaafar merangkap Yang Dipertua UMNO pernah beberapa kali menawarkan agar Tun Dr. Ismail menjadi ahli UMNO tetapi tawaran itu telah ditolak oleh beliau dengan alasan tidak mahu mencampurkan kerjayanya sebagai seorang doktor dengan politik. Penolakan Tun Dr. Ismail terhadap tawaran Dato Onn untuk menjadi ahli UMNO mungkin juga disebabkan oleh alasan-alasan peribadi dan faktor perselisihan keluarga bapanya Dato Abdul Rahman Bin Mohd. Yasin dengan politik Johor. Dato'

Abdul Rahman merupakan seorang yang banyak pengalaman dan telah lama berkhidmat semenjak tahun 1985 hinggalah tahun 1946. Oleh itu dengan pengalaman yang begitu lama Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mengandungi Sembilan buah Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat. Di bawah perlembagaan ini, taraf kerakyatan diketatkan.

Tentunya beliau mengharapkan akan mendapat kedudukan yang sesuai dalam kerajaan Johor.  Namun begitu pada tahun 1946, Dato Onn Bin Jaafar iaitu seorang yang lebih muda dan baru dalam perkhidmatan awam berbanding dengan Dato' Abdul Rahman telah dipilih menjadi Menteri Besar Johor. Ini berikutan dengan sikap Sultan Ibrahim yang lebih gemar kepada mereka yang berasal dari Teluk Belanga, Singapura sedangkan Dato Abdul Rahman berasal dari Muar.

Walau bagaimanapun apabila pimpinan UMNO diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1951, Tun Dr. Ismail menjadi ahli dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat UMNO. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Yang Dipertua UMNO pada tahun 1951 berikutan dengan perletakan jawatan Dato Onn sebagai Yang Dipertua UMNO. Di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail telah bergiat aktif dalam politik UMNO khasnya dalam soal-soal perundingan kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau bersama Tunku Abdul Rahman dan ahli-ahli UMNO telah berusaha mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Kedudukan beliau dalam UMNO telah mencapai tahap tinggi apabila beliau dilantik sebagai Naib Presiden UMNO dan seterusnya sebagai Timbalan Presiden UMNO. Dengan ini terbukti bahawa bermula tahun 1951 Tun Dr. Ismail mengambil peranan yang cergas dalam UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.


Sistem Ahli 1951

Kemampuan Tun Dr. Ismail sebagai seorang ahli politik dan pemimpin terbukti apabila beliau telah dilantik sebagai menteri dalam kabinet British melalui Sistem Ahli. Sistem Ahli telah dibentuk oleh British pada tahun 1951. System ini memerlukan wakil daripada kerajaan Perikatan untuk berkhidmat dalam kabinet British. Tujuannya adalah untuk memberikan latihan  pentadbiran kepada wakil Perikatan sebagai persediaan untuk membina kerajaan sendiri. Mengikut sistem tersebut, portfolio yang ditawarkan terbahagi kepada portfolio rasmi dan tidak rasmi. Kementerian Dalam Negeri, Kesihatan, Pelajaran dan Perumahan diletakkan di bawah  portfolio tidak rasmi manakala Hubungan Ekonomi, Pertahanan, Perusahaan, Perhubungan Sosial, Kereta Api dan Pelabuhan sebagai rasmi.

Walau bagaimanapun ahli-ahli Perikatan telah menolak untuk berkhidmat di bawah Sistem Ahli kerana dikatakan bekerjasama dengan British. Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer pernah menawarkan jawatan kepada Tunku Abdul Rahman tetapi beliau menolak tawaran tersebut. Alasan yang diberikan ialah sebagai Ketua UMNO beliau tidak sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan British kerana hal ini akan menimbulkan salah faham di kalangan ahli-ahli UMNO.

Namun begitu, Tunku Abdul Rahman sedar bahawa adalah lebih baik  jika wakil dari Perikatan berkhidmat dengan kerajaan British agar mereka mendapat pengalaman. Oleh itu, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan agar Tun Dr. Ismail menerima tawaran daripada kerajaan British. Pada mulanya Tun Dr. Ismail telah menolak cadangan tersebut tetapi apabila didesak oleh Tunku Abdul Rahman maka beliau akhirnya bersetuju untuk berkhidmat dalam kabinet British. Mulai 1 November 1953, Tun Dr. Ismail telah berkhidmat dengan kerajaan British dan memegang jawatan Menteri Tanah dan Galian. Turut sama dilantik ialah wakil dari Malayan Chinese Association (MCA) Col. H.S. Lee sebagai Menteri Perhubungan. Kemasukan Tun Dr. Ismail ke dalam kabinet British tertakluk kepada beberapa syarat yang dikemukakan oleh beliau kepada kerajaan British. Antara syarat-syarat yang ditetapkannya ialah:

(1)   Perkhidmatan beliau dalam kerajaan hanya untuk tempoh satu tahun.

(2)   Perkhidmatan beliau bersama Col. H.S. Lee adalah sebagai mewakili pihak UMNO dan MCA.

(3)   Mereka akan meletak jawatan jika pilihan raya tidak diadakan menjelang tahun 1954.

(4)   Mereka juga akan menarik diri sekiranya Perikatan mahu berbuat demikian.

Berikutan dengan kemasukan Tun Dr. Ismail dalam kerajaan British telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan ahli UMNO yang tidak bersetuju pemimpin-pemimpin pertubuhan tersebut memegang apa juga jawatan dalam kerajaan yang ada. Pengikut UMNO menuduh Tun Dr. Ismail tidak sabar menjawat jawatan tinggi. Sebagai menghadapi penentangan ahli-ahli UMNO maka Tunku Abdul Rahman menjelaskan bahawa langkah yang diambil oleh Perikatan adalah atas dasar keselamatan dan kerjasama. Tunku mengatakan bahawa adalah perlu ahli Perikatan mendapat pengalaman mentadbir kerajaan. Untuk memuaskan hati ahli-ahli UMNO, Tun Dr. Ismail sendiri telah menyatakan bahawa beliau bersetuju menerima jawatan daripada kerajaan hanyalah sebagai tanda kerjasama. Beliau hanya mewakili cita-cita dan perjuangan UMNO. Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak berniat untuk mengkhianati UMNO dan dasar perjuangannya. Dengan penjelasan-penjelasan itu maka redalah kritik-kritik terhadap Tun Dr. Ismail.

Walau bagaimanapun setelah beberapa jam berkhidmat dalam kabinet British, Tun Dr. Ismail telah meletak jawatan. Hal ini berikutan dengan timbulnya beberapa masalah antara Perikatan dengan kerajaan British. Dasar-dasar yang bertentangan antara kedua-dua pihak akhirnya membawa kepada perselisihan dan pengunduran wakil Perikatan dari kabinet British. Masalah yang timbul ialah masalah pilihan raya bagi Tanah Melayu.

Rundingan Membentuk Perikatan UMNO-MCA

Sebagai ahli UMNO, Tun Dr. Isamil turut memainkan peranan dalam soal-soal perikatan dengan kaum Cina khususnya dalam arena politik Tanah Melayu. Peranan Tun Dr. Ismail sebagai ahli jawatan kuasa yang merundingkan untuk membentuk satu perikatan antara UMNO dan MCA bertujuan untuk menghadapi pilihan raya dan seterusnya menuntut kemerdekaan daripada British. Perikatan antara UMNO dan MCA telah dibentuk pada awal tahun 1952 yang melibatkan kedua-dua orang pemimpin UMNO dan MCA bersetuju berbaik-baik dengan tujuan untuk bersatu dan bertanding dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun timbul beberapa masalah yang telah merosakkan hubungan antara UMNO dengan MCA. Ini disebabkan oleh kedatangan Dr. Victor Percell, penasihat politik MCA yang merupakan seorang anti-Melayu. Victor Percell kononnya datang ke Tanah Melayu untuk menjadi orang tengah dalam rundingan antara UMNO dan MCA. Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli UMNO.

Berikutan itu, isu tersebut telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Agung UMNO di Butterworth, Seberang Perai pada bulan September 1952. Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya menyeru supaya pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA mengadakan perundingan dan menolak campur tangan Dr. Victor Percell. Sebagai menyahut seruan tersebut, maka satu rundingan diadakan antara UMNO dan MCA. Rundingan tersebut dinamakan “Rundingan Meja Bulat” yang diadakan pada 3 Februari 1953, di Kuala Lumpur. Dalam rundingan tersebut Tun Dr. Ismail sebagai Naib Yang Dipertua UMNO turut mewakili pihak UMNO. Rundingan-rundingan tersebut telah diadakan beberapa kali iaitu pada 21 Februari 1953 di Singapura dan seterusnya pada 16 Mac 1953 di Johor Bahru. Begitulah peranan yang telah dimainkan oleh Tun Dr. Ismail semasa tahap-tahap awal  penglibatan beliau dalam pertubuhan UMNO. Seterusnya, peranan Tun Dr. Ismail dalam arena politik dapat dilihat dalam perhimpunan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang merundingkan tuntutan bagi mengadakan pilihan raya Persekutuan.

Pilihan Raya Persekutuan 1955

Pengenalan kepada pilihan raya Persekutuan merupakan suatu yang rumit untuk dilaksanakan khasnya dalam pembangunan ke arah berkerajaan sendiri. Bagi nasionalis-nasionalis Tanah Melayu kepentingan pihan raya mendapat perhatian yang utama. Tidak dapat dinafikan bahawa Tun Dr. Ismail juga turut memainkan peranan dalam usaha mendapatkan  pilihan raya bagi Persekutuan Tanah Melayu. Peranan aktif beliau dalam badan-badan rundingan yang ditubuhkan turut terlihat. Pertubuhan UMNO telah menganjurkan satu perhimpunan pertubuhan Melayu bagi mendapatkan kerjasama bagi menuntut pihan raya Persekutuan 1954. Perjumpaan tersebut telah diadakan di Johor Bahru pada 11 Ogos 1953 dan telah dihadiri oleh 10 buah pertubuhan. Tun Dr. Ismail merupakan salah seorang ahli yang mewakili pertubuhan UMNO. Tun Dr. Ismail juga telah mewakili UMNO dalam satu perhimpunan yang disebut National Convention yang terdiri daripada semua pertubuhan siasah segala bangsa dan satu ketetapan telah dibuat bagi menuntut supaya diadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1954.

Berikutan itu, sebuah jawatankuasa khas dilantik bagi berunding dan membuat syor-syor bagi perubahan dalam Tanah Melayu. Tun Dr. Ismail merupakan salah seorang ahli jawatankuasa tersebut. Seterusnya apabila penyata pilihan raya telah dibentangkan oleh jawatankuasa 46 orang yang dilantik oleh Raja-raja dan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan, ia telah menimbulkan kekecohan di kalangan ahli Perikatan kerana penyata yang dibentangkan oleh Perikatan  berlawanan antara satu sama lain dengan golongan penentang. Apabila penyata pilihan raya tersebut diumumkan maka Perikatan telah menentang dan menghantar petisyen kepada pihak kerajaan dan Pesuruhjaya Tinggi menuntut agar tuntutan Perikatan diterima. Seterusnya pihak Perikatan telah menghantar tiga orang wakil ke London untuk menemui Setiausaha Tanah Jajahan, Mr. Oliver Lyttelton. Dalam perundingan yang diadakan, pihak Perikatan tetap dengan keputusan mereka. Hasil perundingan tersebut jelas menunjukkan tuntutan pihak Perikatan tidak ditunaikan. Keputusan telah dibuat untuk menolak Kertas Putih Penyata Pilihan Raya. 

Berikutan itu, sebuah perwakilan Perikatan UMNO-MCA dilantik untuk menemui Jeneral Templer, Pesuruhjaya Tinggi yang baru. Mewakili pihak UMNO ialah Tun Dr. Ismail, Tunku Abdul Rahman, Col. H.S. Lee dan Leong Yew Koh. Sebagai langkah penentangan ahli Perikatan dalam kabinet British telah menarik diri yang turut membawa kepada peletakan jawatan Tun Dr. Ismail dan Col. H.S. Lee. Ini memperlihatkan bahawa Tun Dr. Ismail sememangnya tegas dalam membuat keputusan. Beliau tetap menunjukkan penentangan terhadap dasar-dasar kerajaan yang bertentangan dengan UMNO. Apabila wakil Perikatan menarik diri, maka Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan yang baru telah menyatakan hasrat untuk menemui dan mengadakan perbincangan dengan Tunku Abdul Rahman. 2 Julai 1954, Tun Dr. Ismail bersama Tunku Abdul Rahman serta Col. H.S. Lee telah menemui Sir Donald Mac Gillivary di atas kapal perang H.M. Alert di Singapura.

Rundingan tersebut telah mencapai persetujuan bahawa keputusan tentang 52 orang ahli dipilih akan kekal.  Namun begitu, 7 orang ahli dipilih oleh Pesuruhjaya Tinggi akan dilakukan kelak dengan merujuk kepada Perikatan. Dengan keputusan itu, ahli-ahli Perikatan yang menarik diri daripada kerajaan diterima untuk berkhidmat semula. Tarikh Pilihan Raya Persekutuan ditetapkan pada 27 Julai 1955. Dalam pilihan raya 1955, Tun Dr. Ismail telah bertanding mewakili Perikatan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Johor Timur. Beliau telah memenangi pilihan raya dengan majority 10 800 undi. Jelaslah peranan yang telah dimainkan oleh beliau dalam  proses menuntut pilihan raya telah meletakkan diri beliau mempunyai pengaruh yang ramai. Setelah kemenangan dalam pilihan raya 1955, Tun Dr. Ismail terus aktif dalam politik dengan  peranan yang tidak kurang pentingnya. Penglibatan beliau untuk tahap seterusnya ialah dalam  proses merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Rundingan-rundingan Kemerdekaan

Dalam usaha Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu peranan Tun Dr. Ismail juga tidak dapat dilupakan. Selepas memenangi pilihan raya 1955, Perikatan telah mula membuat tuntutan untuk mendapat kemerdekaan Tanah Melayu. Beberapa bulan selepas  pilihan raya, Setiausaha Tanah Jajahan Mr. A. Lennox-Boyd telah melawat Tanah Melayu. Berikutan itu Perikatan telah mengemukakan hasrat untuk mengadakan perbincangan dengan  pihak British di London melalui rombongan kemerdekaan yang akan dibentuk. Setelah mengadakan perbincangan keputusan diambil untuk menghantar empat orang mewakili Raja-raja Melayu dan empat orang mewakili Perikatan untuk berunding di London. Dalam rombongan kemerdekaan tersebut wakil Perikatan terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Col. H.S. Lee dan Tun Abdul Razak. Manakala wakil Raja-raja Melayu ialah Datuk Panglima Bukit Gantang, Abdul Aziz Bin Haji Abdul Majid, Datuk Mohd. Seth dan Datuk Nik Ahmad Kamal. Rombongan tersebut telah berlepas pada 1 Januari 1956. Perundingan di London berlangsung dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956 antara wakil-wakil Tanah Melayu, Setiausaha Tanah Jajahan dan Pesuruhjaya Tinggi.

Daripada hasil rundingan tersebut maka tarikh kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 sebagaimana yang dituntut oleh rakyat. Tunku Abdul Rahman dan ahli-ahli rombongan telah menurunkan tandatangan di atas Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu di Lancaster House. Dengan kemerdekaan Tanah Melayu, peranan Tun Dr. Ismail lebih jelas lagi dalam mengisi kemerdekaan tersebut. Setakat ini Tun Dr. Ismail telah bergiat cergas dalam proses ke arah pencapaian kemerdekaan. Terbuktilah beliau mempunyai kebolehan sebagai seorang ahli  politik yang berjaya walaupun beliau tidak mempunyai pengalaman politik yang luas sewaktu usia mudanya. Tun Dr. Ismail tidaklah mempunyai pengalaman politik yang luas tetapi kejayaan dan namanya meningkat dalam politik secara tiba-tiba. Kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Persekutuan 1955 menunjukkan bagaimana beliau mempunyai pengaruh yang besar walaupun tidak berpengalaman dan hanya bersandarkan kepada kebolehan yang dimiliki dan pengaruh latar belakang keluarga semata-mata.

Peranan Selepas Kemerdekaan Tanah Melayu 4.1 Tun Dr. Ismail sebagai Menteri Kerajaan

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Tun Dr. Ismail telah dipilih menjadi menteri dalam pelbagai jabatan. Suasana politik tanah air ketika itu menempatkan beliau sebagai salah seorang yang terpenting untuk mengisi proses kemerdekaan seterusnya. Berikutan itu, ahli-ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam kabinet yang dibentuk itu Tun Dr. Ismail telah diberikan tempat Menteri Tak Berjawatan. Dengan itu, ternyatalah bahawa aktiviti politik Tun Dr. Ismail dalam zaman sebelum kemerdekaan telah meletakkan beliau sebagai seorang yang berpengaruh. Ini kemudiannya terbukti apabila Tun Dr. Ismail telah dipilih oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai wakil persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-82 dan juga sebagai Duta Persekutuan Tanah Melayu ke Amerika Syarikat. Dengan pemilihan Tun Dr. Ismail sebagai Ketua Perwakilan dan Duta Negara, beliau terpaksa menjalankan dua tugas serentak. Ini menunjukkan keistimewaan yang dimiliki oleh  beliau sebagai seorang pemimpin.

Image result for tun dr ismail abdul rahman

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai wakil Persekutuan Tanah Melayu, beliau telah cuba mengemukakan idea-idea yang bernas. Setelah dua tahun menetap di Amerika Syarikat sebagai Duta Negara beliau telah bertanding dalam Pilihan Raya Persekutuan 1959 bagi kerusi Parlimen kawasan Johor Timur dan memenanginya untuk kali kedua. Berikutan dengan kemenangan Perikatan dalam Pilihan Raya Persekutuan 1959, Tunku Abdul Rahman telah menyusun jemaah menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Tun Dr. Ismail telah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Tun Dr. Ismail kemudian telah dilantik sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri apabila Kabinet Tunku Abdul Rahman disusun semula pada bulan November 1960.

Image result for tun dr ismail dan isteri

Semasa menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri, beliau memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam membentuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Di kalangan anggota polis, Tun Dr. Ismail disifatkan sebagai arkitek ulung PDRM kerana kerjsama dan  bimbingan yang telah beliau berikan dalam membentuk pasukan tersebut sebagai pasukan yang terbaik. Beliau juga bertanggungjawab dalam mengusahakan tempat tinggal yang baik bagi anggota polis khasnya anggota polis di peringkat rendah selain pasukan polis telah dapat menggunakan peluang- peluang yang ditawarkan oleh Negara lain misalnya “Rancangan Colombo” dan pasukan Polis Diraja juga telah dianugerahkan panji-panji Diraja Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1961.

Selain itu, Tun Dr. Ismail juga telah menetapkan 1 Mei sebagai haru  buruh dan menjadikan hari tersebut sebagai cuti am. Beliau juga dikatakan telah memulakan  pengenalan pas kerja bagi memastikan rakyat Malaysia diberi keistimewaan dalam mendapatkan  pekerjaan. Walaupun menjadi seorang menteri, beliau tidak melupakan tanggungjawab terhadap  parti UMNO khasnya bagi kawasan Johor. Pada Mac 1961, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Negeri oleh Tunku Abdul Rahman. Tun Dr. Ismail juga merupakan anggota Majlis Keselamatan Dalam Negeri Singapura sebagai wakil dari Malaysia. Seterusnya bagi kali kedua beliau telah mengetuai delegasi negara ke Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 1962. Pada tahun berikutnya pula beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Keselamatan Dalam Negeri

Apabila melihat peranan Tun Dr. Ismail dalam pelbagai perkhidmatan kerajaan, ternyata beliau merupakan seorang yang berkebolehan tinggi dalam mengendalikan tugas sebagai pemimpin. Kedudukan yang beliau telah capai pada tahap-tahap awal selepas kemerdekaan menunjukkan beliau mempunyai pengaruh yang luas. Ini dapat dibuktikan apabila Tun Dr. Ismail telah memenangi semua kerusi Parlimen kawasan Johor Timur tiga kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1964.

Peletakan Jawatan Tun Dr. Ismail

Di kalangan rakyat dan pemimpin-pemimpin negara, Tun Dr. Ismail dipandang sebagai seorang yang bersungguh-sungguh apabila menjalankan tugas-tugas negara. Sikapnya yang serius itu menyebabkan beliau meletakkan kepentingan negara lebih daripada diri sendiri.  Namun begitu Tun Dr. Ismail tidak menghiraukan penyakit jantung yang dihidapi sehinggalah keadaan kesihatannya benar-benar memaksa beliau mendapatkan rawatan semula. Pada 1 Jun 1967, Tun Dr. Ismail telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Keputusan untuk berundur dari Perikatan itu telah diumunkan olehnya ke seluruh tanah air menerusi televisyen. Walaupun terasa sayang meninggalkan perkhidmatannya selama 12 tahun namun demi menjaga kesihatan, beliau terpaksa berundur. Walau bagaimanapun, Tun Dr. Ismail tetap menjadi ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Peletakan jawatan Tun Dr. Ismail telah menimbulkan spekulasi di kalangan ahli-ahli  politik berkaitan sebab-sebab peletakan jawatan itu kerana beliau tidak sefahaman dengan dasar  perjuangan Tunku Abdul Rahman. Spekulasi tersebut timbul kerana Tun Dr. Ismail dikatakan  pernah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Tunku Abdul Rahman. Walaupun timbul  pelbagai spekulasi, Tun Dr. Ismail mengatakan bahawa peletakan jawatan tersebut dilakukan kerana keuzurannya yang memerlukan beliau berehat. Dalam ucapan perpisahan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tun Dr. Ismail menjelaskan walaupun perkhidmatannya masih diperlukan khasnya dalam Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, namun beliau terpaksa  berundur. Tambahan pula, kesibukannya pada masa lalu telah menghalang beliau untuk berehat dan berfikir sebagai ahli politik. Oleh itu, beliau tetap mengambil keputusan untuk bersara. Antara ucapan beliau berbunyi:

Walau bagaimanapun saya  berpegang teguh atas keputusan saya hendak bersara kerana saya tidak dapat lagi menjalankan tugas-tugas saya di Kementerian Hal Ehwal Dalam  Negeri dengan tekun dan penuh minat.”

Selepas bersara, Tun Dr. Ismail pernah ditawarkan bekerja dengan beberapa syarikat  perniagaan dan kewangan. Walaupun beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut, disebabkan ketokohannya beliau mendapat penghormatan. Tun Dr. Ismail pernah  berkhidmat dengan Guthries dan Malayan Banking. Walaupun Tun Dr. Ismail tidak lagi menjadi menteri, beliau masih mendapat sanjungan rakyat. Beliau tetap dilihat sebagai tokoh politik dan  pemimpin yang berkebolehan. Semuanya ini kerana sifat-sifat tegas dan serius dalam bidang yang diceburinya. Oleh itu, apabila negara mengalami saat-saat genting sewaktu Peristiwa 13 Mei peranan Tun Dr. Ismail diperlukan.

Berkhidmat Semula Hingga Akhir Hayat

Selepas pilihan raya umum 1969, Tun Dr. Ismail bercadang untuk mendapatkan rawatan kesihatan di England. Tetapi hasrat beliau tergendala kerana beliau telah diminta oleh kerajaan untuk memberikan khidmatnya berikutan dengan meletusnya Peristiwa 13 Mei 1969. Keadaan negara yang huru-hara pada masa peristiwa tersebut memaksa Tunku Abdul Rahman meletakkan negara di bawah Undang-undang Darurat. Sebuah majlis yang dinamakan “Majlis Gerakan  Negara” (MAGERAN) ditubuhkan dan Tunku Abdul Rahman telah melantik Tun Abdul Razak Bin Dato Hussein sebagai pengarah. Berikutan itu, Tun Abdul Razak kemudiannya telah meminta jasa baik Tun Dr. Ismail agar menjadi Timbalan Pengarah MAGERAN.

Dengan pelantikan Tun Dr. Ismail sebagai Timbalan Pengarah MAGERAN beliau kembali berkhidmat untuk negara walaupun pada saat keadaan kesihatan beliau tidak berapa  baik. Tetapi beliau sanggup berkorban demi untuk membantu Tun Abdul Razak menghadapi masalah-masalah yang timbul dalam Peristiwa 13 Mei. Menerusi MAGERAN, Tun Dr. Ismail telah bertindak tegas dalam menghadapi soal-soal orang Melayu dan dasar pelajaran kebangsaan.

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan rusuhan kaum terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah tanah air. Ia terjadi akibat daripada perasaan tidak puas hati yang wujud dalam perhubungan antara orang Cina dan Melayu.

Tun Dr. Ismail berpendapat bahawa Peristiwa 13 Mei menunjukkan demokrasi telah mati dan ia mati di tangan parti-parti pembangkang. Hal ini telah mendorong berlakunya keganasan dalam  peristiwa tersebut. Namun begitu, umumnya orang Melayu menyalahkan orang Cina sebagai  punca kepada meletusnya rusuhan itu.

Memandangkan Tun Dr. Ismail pernah meletakkan  jawatan sebagai menteri maka kembalinya beliau ke dalam pimpinan negara telah menimbulkan spekulasi. Namun begitu Tun Dr. Ismail menyatakan pendiriannya bahawa beliau kembali melibatkan diri dalam politik atas dasar membantu Tun Abdul Razak mengembalikan semual kekuatan negara. Bagi beliau sebagai anggota parti maka setiap anggotanya bertanggungjawab terhadap parti. Beliau mengatakan kembalinya beliau ke dalam kabinet adalah atas permintaan Tun Abdul Razak. Tun Dr. Ismail menyatakan:

“… saya kembali ke arena politik kerana bangsa dan negara memerlukan tenaga saya. Saya memasuki kabinet adalah dengan kehendak Tun Abdul Razak sendiri."

Dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO yang ke-22 pada 1971, Tun Dr. Ismail telah dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO. Seterusnya apabila Majlis Tertinggi UMNO menubuhkan biro-biro UMNO, Tun Dr. Ismail menjadi anggota Biro Politik dengan jawatan sebagai Pengerusi dan Penyelaras Bahagian Pilihan Raya. Beliau juga merupakan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Johor. Perkembangan-perkembangan politik yang berlaku dalam kepimpinan negara telah mewujudkan sebuah kerajaan campuran Perikatan-Pas yang  berkuatkuasa pada 1 Januari 1973. Sebuah Jawatankuasa Penyelaras Kerajaan Campuran Perikatan-Pas telah dibentuk dengan mempunyai 14 orang anggota. Keanggotaan meliputi 7 orang wakil dari Perikatan dan 7 orang wakil Pas. Tun Dr. Ismail merupakan salah seorang wakil Perikatan.

Image result for tun dr ismail meninggal dunia

Pada Januari 1973, Tun Dr. Ismail diberikan jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Dalam menghadapi kemelesetan ekonomi dan inflasi, beliau cuba mengambil langkah-langkah tertentu seperti mengawasi aliran harga barang-barang. Melalui dasar-dasar yang ditetapkannya, kementerian dapat mencapai matlamat kerajaan untuk mengekalkan kestabilan harga bagi tempoh yang panjang. Jelaslah bahawa selepas kemerdekaan Tanah Melayu, peranan Tun Dr. Ismail masih penting dalam membangunkan negara. Pengalaman dan wakil Perikatan yang lain terdiri daripada Ghaffar Baba, Datuk Sri Syed Ahmad Shahabuddin, Datuk Haji Nik Hassan, Lee San Choon, Datuk Senu Abdul Rahman.

Penglibatan beliau pada masa lalu menyebabkan beliau dianggap seorang tokoh yang turut memberi sumbangan penting bagi mengisi kemerdekaan yang telah dicapai. Walaupun beliau telah meletak jawatan pada masa tertentu tetapi tenaga dan fikirannya masih diperlukan sewaktu menghadapi masalah-masalah negara.

Tun Dr. Ismail Tinggalkan Jasa

Tun Dr. Ismail meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 dalam usianya 57 tahun. Pada masa itu beliau memangku jawatan Perdana Menteri kerana Tun Abdul Razak berada di Ottawa. Tun Abdul Razak menghadiri sidang kemuncak Komanwel. Tun Dr. Ismail pada saat akhir hayatnya telah menghadiri perasmian sambutan Hari Jubli Perak Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung. Beliau meninggal dunia di saat-saat negara masih memerlukan khidmatnya. Tun Abdul Razak ketika pulang dari Ottawa meluahkan perasaan terharu atas kematian Tun Dr. Ismail. Menurutnya Tun Dr. Ismail disifatkan sebagai seorang rakan sejawat yang setia.

Image result for tun dr ismail meninggal dunia  
Related image  

Kehilangan Tun Dr. Ismail disifatkan sebagai kehilangan “tonggak kekuatan negara” yang  berpendirian tegas dan sanggup mengorbankan kepentingan sendiri demi menjalankan tugas-tugas negara. Sebagai menghargai jasa-jasa Tun Dr. Ismail terhadap Negara dan bangsa, jenazah beliau telah dikebumikan di Makam Pahlawan Negara atas kehendak Tun Abdul Razak. Tun Dr. Ismail merupakan pemimpin negara yang pertama yang dikebumikan di makam tersebut. Ini menggambarkan bahawa khidmat Tun Dr. Ismail terhadap bangsa dan negara tidak dilupakan  begitu saja. Jasa-jasa beliau ke arah mencapai perpaduan antara kaum sentiasa dikenang. Oleh kerana khidmatnya yang cemerlang kepada negara beliau telah dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong dalam senarai pengurniaan merdeka pada 31 Ogos 1959.

Penglibatan aktif baliau dalam soal-soal politik antarabangsa khasnya mengenai soal Vietnam ternyata mendapat perhatian dan dihargai. Ini terbukti apabila pada bulan Oktober, 1965 Tun Dr. Ismail dikurniakan Darjah Kebesaran Vietnam iaitu

Vietnam National Order Grand Officer. Dalam bulan yang sama, beliau telah dikurniakan anugerah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) daripada Sultan Johor.

Majlis Senat Universiti Malaya turut memperingati dan menghargai jasa-jasa Tun Dr. Ismail dengan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang pada 13 Jun 1964. Seterusnya pada bulan April, 1966 beliau dikurniakan Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun. Ketokohan Tun Dr. Ismail turut mendapat penghargaan kerajaan Indonesia apabila  beliau telah dikurniakan Bintang Republik Indonesia Kelas Dua. Penghargaan ini diterima semasa Presiden Suharto melawat Malaysia pada tahun 1970. Seterusnya dalam Konvensyen Pertama Universiti Sains Malaysia pada 9 Januari 1973, Tun Dr. Ismail telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang.

Memandangkan gelaran-gelaran dan penghargaan yang pernah diterima oleh Tun Dr. Ismail sewaktu hidupnya jelaslah beliau seorang patriot negara. Ini menunjukkan bahawa  peranan yang telah dimainkan oleh Tun Dr. Ismail mendapat pengiktirafan dalam negeri dan luar negara. Kehilangan beliau turut dirasakan oleh negara-negara jiran khasnya Indonesia. Pada hari  pengebumian beliau, Jeneral Panggabean wakil Presiden Suharto telah menegaskan bahawa kehilangan Allahyarham Tun Dr. Ismail turut dirasakan oleh bangsa Indonesia. Tun Dr. Ismail meninggal dunia di saat-saat bangsa Indonesia dan Malaysia sedang berusaha menjalinkan  persaudaraan.

Pandangan Mengenai Tun Dr. Ismail

Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman merupakan teman seperjuangan Allahyarham yang paling rapat. Mereka sama-sama menghadapi liku-liku  perjuangan menuntut kemerdekaan negara daripada pihak Inggeris. Apabila berita kematian Tun Dr. Ismail diketahuinya, beliau menyifatkan pemergian yang kekal abadi itu sebagai satu kehilangan yang besar kepada negara Malaysia yang sedang menuju ke peringkat kedua dalam  perkembangan politiknya. Ketika Allahyarham Tun Dr. Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir, Tun Abdul Razak sedang berada di Kanada. Beliau sedang meneruskan perjalannya ke Amerika Syarikat kerana menghadiri Majlis Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di  New York. Apabila beliau mendapat tahu tentang kematian timbalannya itu, Tun Abdul Razak membatalkan perjalanannya ke Amerika Syarikat dan terus bertolak ke Kuala Lumpur untuk menziarahi jenazah Allahyarham Tun Dr. Ismail. Semasa tiba, beliau menahan rasa sedih pilunya dengan bertafakur. Pada Tun Abdul Razak:

Bagi saya, kematiannya bukan sahaja kehilangan seorang rakan yang boleh saya bergantung tetapi kehilangan seorang sahabat karib sejak kami menceburkan diri dalam politik dan sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan. Tun Dr. Ismail adalah seorang yang berpendirian tegas dan sedia pada bila-bila masa juga memberikan khidmatnya dan ini telah dibuktikan ketika beliau menyahut semula seruan Negara untuk berkhidmat selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 semasa beliau telah bersara dari perkhidmatan Kerajaan. Beliau rela untuk menyumbangkan tenaga bersama dalam kerajaan bagi menolong dan membantu negara ke arah satu azam yang baru

Tan Sri Ghazali Shafie pula menyifatkan Allahyarham sebagai:

Seorang penganjur yang tulen dan tegas, seorang patriot, seorang pejuang kemerdekaan dan keadilan yang tidak mengenal takut dan pilih kasih”.

Bagi Tun V.T. Sambanthan, kematian Tun Dr. Ismail merupakan kehilangan pemimpin  besar yang berjiwa nasionalis dan seorang patriot negara. Tan Sri Manickavasagam pula menyifatkan sejarah perjuangan yang diukir oleh Allahyarham merupakan sejarah yang cemerlang sekali dan beliau merupakan seorang tokoh yang memberikan khidmat dan jasa  baktinya sehingga akhir hayatnya. Datuk Ong Kee Hui menyifatkan kehilangan beliau sebagai satu kehilangan yang sukar untuk dicari ganti dan negara meratapi kehilangannya. Encik Ghafar Baba yang turut serta bersama Allahyarham di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dahulu menyifatkan Tun Dr. Ismail adalah seorang pemimpin yang jujur, lurus, tegas dan baik sama ada di dalam parti mahupun terhadap negara.

Pemimpin-pemimpin negara asing juga menerima berita „pemergian abadinya itu dengan rasa terkejut. Presiden Suharto dari Republik Indonesia telah mengutus ucapan takziah kepada balunya, Toh Puan Norashikin melalui wakilnya, Tun Jeneral Mardin Pangabian yang mewakili kerajaan Indonesia di istiadat pengebumian jenazah Allahyarham.

Kata-kata Mutiara Tun Dr. Ismail

Saya amat menekankan perkara disiplin ini kerana inilah kunci kekuatan sesebuah parti. Walau  bagaimana besar dan kuatnya sekalipun sesebuah parti, sekiranya disiplin anggota-anggotanya lemah, nescaya lambat laun hancurlah parti itu

Telah saya katakan tadi bahawa tugas kita sebagai mata, telinga, penyambung lidah rakyat tidak  berubah, apa yang saya maksudkan ialah parti kita yang menjadi tumpuan rakyat, berpuak-puak atau  factionalism ertinya golongan yang kononnya berhaluan ke utara, satu golongan lagi kononnya ke selatan, satu ke timur dan satu ke barat”

UMNO teras politik, Melayu teras negara

Pemuda-pemuda patut meniru cara-cara hidup orang Timur dan menyesuaikan diri dengan keadaan serta tidak mengambil sesuatu yang tidak diterima oleh orang ramai

Tidak ada buku teks yang mengajar kita untuk memimpin atau untuk hidup. Buku teks hanya penting dan berguna sebagai panduan tetapi ujian dan teori-teori yang kita pelajari dari buku- buku mestilah dipakai kepada keadaan-keadaan yang konkrit, tidak ada jawapan yang standard  kepada sesuatu problem kerana tidak ada problem yang standard di dalam penghidupan

Saya yakin, kegiatan-kegiatan sastera serta seni-seni yang lain akan membuka jalan baru dalam  perkembangan kebudayaan Malaysia. Ianya tidak sahaja tetapi akan terpancar jauh ke Negara-negara lain. Kita tidak akan memberikan getah, bijih timah dan kayu balak sahaja pada dunia tetapi kita juga akan memberikan novel, sajak serta hasil-hasil seni lain kepada jiwa manusia!

Orang-orang Melayu dengan kecenderungannya dalam bidang politik dan pentadbiran akan terus diterima sebagai satu kumpulan yang dapat memberikan pimpinan dan pentadbiran yang adil

Saya percaya orang-orang Melayu akan terus mempelopori lapangan ini untuk masa depan

Kesimpulan

Tun Dr. Ismail lahir dalam sebuah keluarga intelektual Johor yang mempunyai pengaruh yang luas dalam masyarakat setempat. Khidmat yang telah diberikan dalam pelbagai kementerian meletakkan diri beliau di tahap yang tinggi. Ketokohan dirinya sebagai pemimpin dilihat daripada sifat ketegasan dan pendirian yang kukuh. Keyakinannya terhadap politik dan kemajuan negara menyebabkan beliau disanjung dan dihormati oleh setiap lapisan masyarakat. Sikap dan pendirian Tun Dr. Ismail terhadap soal-soal politik, ekonomi dan sosial menyebabkan  beliau terkenal di kalangan anggota masyarakat. Ini telah terbukti melalui kejayaan-kejayaan yang diterima sepanjang mengabdikan diri dalam politik tanah air.

Tun Dr. Ismail dikatakan sebagai salah seorang pemimpin zaman merdeka yang telah memainkan peranan yang jelas untuk mengisi kemerdekaan. Kemunculannya dalam lingkungan politik adalah secara tiba-tiba dan namanya juga meningkat secara tiba-tiba. Kemunculan Tun Dr. Ismail dalam lingkungan politik mungkin disebabkan pengaruh kedudukan bapanya Dato Abdul Rahman, seorang pegawai kanan Johor. Latar belakang keluarga menyebabkan pengaruh beliau begitu luas. Beliau  bolehlah dikatakan sebagai pemimpin lapisan keduayang memimpin Johor selepas Dato' Onn.

Justeru, adalah wajar beliau dianggap sebagai seorang negarawan yang berjasa kepada bangsa dan Negara khususnya dalam memberikan sumbangan pemikiran ke arah mewujudkan Negara yang bersatu padu. Beliau bukan sahaja seorang pencinta bangsa dan tanah air tetapi adalah seorang pemimpin yang tegas, berani dan rela mengorbankan kepentingan diri sendiri. Khidmat dan baktinya wajar dikenang dan kekal abadi dalam sejarah.

Bibliografi

1.   E-man (2007).

2.   Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman. Kuala Lumpur: Cipta Publishing. Mohd. Tajuddin Haji Abdul Rahman (1987).

3.   Tun Dr. Ismail, Negarawan Berjasa. Petaling Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd. Ooi Kee Beng (2007).

4.    Bukan kerana pangkat, Tun Dr. Ismail dan Masanya. Institut of Southeast Asian Studies (ISEAS). Sulaiman Zakaria (2007).

5.   Tokoh pejuang kemerdekaan 1. Kuala Lumpur: Cahaya Kesturi (M) Sdn. Bhd. Talib Samat (2010).

6.   Kenali tokoh berjasa. Kuala Lumpur: Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd. Thajunnisa Mohamed Ibrahim (2004).

7.   Tun Dr. Ismail, kejora timur yang mengerdip. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Sumber daripada Arkib Negara Malaysia.

8.   https://www.scribd.com/doc/218979208/Tun-Dr-Ismail



.





No comments:

Post a Comment