Pada tahun 2012 aku telah mengambil keputusan untuk menghabiskan usiaku (selepas bersara) di negeri yang mempunyai keunikan adat tersendiri, iaitu Negeri Sembilan. Aku membeli sebuah rumah di Taman Ampangan, Paroi, Mukim Ampangan, Seremban. Andainya Allah memberikan aku usia yang lebih panjang, dengan izinya aku bakal bermastautin di Taman Ampangan, Negeri Sembilan.
Insyaallah jika diizinkan Allah juga, dengan ilmu dan pengalaman yanga ku miliki, aku ingin menabur bakti kepada masyarakat setempat.
Sebelum, memulakan langkah untuk menjadi warga NS, aku ingin membuat sedikit research berkaitan adat istiadat Perpatih yang berkait rapat dengan NS ini melalui wikipedia.
ADAT PERPATIH
Negeri
Sembilan mempunyai adat, kebudayaan, sejarah, tradisi dan sistem politiknya
yang agak unik. Peribahasa "biar mati anak, jangan mati adat" telah
menjadi pegangan hidup rakyat yang berketurunan Minangkabau. Adat perpatih
telah wujud di Tanah Melayu sejak kurun ke-14, kekal menjadi adat yang unik di
Negeri Sembilan sehingga kini. Ia amat jelas diterangkan dalam pembahagian
harta pusaka, gelaran dan juga suku yang memihak kepada kaum wanita.
Menurut
sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi
susurgalur keturunan seseorang itu adalah "mengikut perut" iaitu
tertakluk kepada suku ibunya. Melalui persemendaan ini jugalah masyarakat
Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali dengan nama
"suku".
Adat
Perpatih Di Negeri Sembilan
Keunikannya
adat adalah berdasarkan kepada sumber adat tersebut dan sistem nasab ibu yang
diamalkan oleh masyarakatnya. Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain
di Malaysia. Disebabkan itu, ia merupakan peraturan atau undang-undang dalam
masyarakat orang Melayu di Negeri Sembilan dan kata-kata yang diungkapkan dalam
adat perpatih iaitu "perpatah-pertitih" mempunyai nilai-nilai
kesenian yang tinggi. Para sarjana pernah mencatatkan hasil sastera lama Melayu
adalah pancaran masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Oleh itu,
perpatah-petitih ini dapat menyingkap tentang weltanschuung atau pandangan
hidup masyarakat Melayu secara umum dan etos Melayu khususnya. Adat Perpatih
yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat
itu boleh menerima perubahan masa ke semasa. Ini boleh dilihat dari segi
politik dimana sistem Yamtuan Besar dan Dato'-Dato Undang masih meneruskan
kelangsungan tanpa digugat termasuklah institusi Dato' Lembaga dan buapak-buapak.
Dari aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya
bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan.
Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai
ciri-ciri tradisi yang unik.
Suku dan
Perut
Masyarakat
Melayu Negeri Sembilan dikelaskan mengikut nenek moyang mereka. Pengkelasan ini
dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang
terbentuk daripada kelompok keturunan yang daripada sebelah ibunya. Dalam
konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu:
1. Biduanda
2. Batu
Hampar
3. Mungkal
4. Sri
Lemak
5. Paya
Kumboh
6. Tiga
Nenek
7. Sri
Melenggang
8. Batu
Belang
9. Tanah
Datar
10. Anak
Acheh
11. Anak
Melaka
12. Tiga
Batu
Seseorang
yang membuat tafsiran mengenai nilai-nilai yang terdapat dalam adat sehubungan
dengan ungkapan "biar mati anak, jangan mati adat" ini hanya melihat
dari sudut kategori yang keempat di atas sahaja. Pepatah "biar mati anak
jangan mati adat" yang menjadi pegangan asas sistem hidup bermasyarakat
dalam Adat Perpatih ini sering disalah tafsir bukan sahaja orang biasa tetapi
juga pemimpin-pemimpin Melayu. Semua ini berlaku adalah disebabkan mereka
kurang memahami maksud sebenarnya yang dikatakan mengenai adat tersebut.
Asal Usul Adat Perpatih
Adat
Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang
pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang.
Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat
Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang
tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke
Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau
Minangkabau pada abad ke 14 Masehi. Adat ini mungkin berumur 3000-4000 tahun
berdasarkan dari banyaknya persamaan adat ini dengan orang Polynesia,
Micronesia dan Melanesia yang telah berhijrah ke sana dan membawa adat resam
ini bersama mereka. Contohnya orang Palau ,salah satu etnik penutur
bahasa-bahasa Melayu-Polinesia masih mewariskan harta sepenuhnya kepada anak
perempuan dan dijaga oleh anak lelaki, ketua suku dan raja mereka
Di
Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat
Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Naning.
Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.
Struktur
Masyarakat Adat Perpatih
Masyarakat
Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku dan Luak.
1. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu
adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini
sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang
sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak. Buapak ini
dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan.
2. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga
berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato'
Lembaga.
3. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari
segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan
Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang.
Selain daripada empat luak
utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak
Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti
iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak
Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar
Penghulu Luak.
Adat
Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata
perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal
harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat,
sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan
pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan
setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat
itu.
Perlantikan
pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan
demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di
mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui
pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung,
Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk
melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang
DiPertuan.
Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah)
masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik
secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu
secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan
rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan
demokrasi.
Perlembagaan
Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menyatakan,
Undang Luak Johol, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak
Rembau, Tunku Besar Tampin dan Yang di-Pertuan Besar adalah Raja dan Pemerintah
bagi Negeri Sembilan.
Mereka
bersama mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal adat Melayu, agama Islam,
melantik Menteri Besar, dan menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)
di negeri ini
Prinsip-prinsip
Adat Perpatih
Adat
Perpatih mempunyai lima prinsip utama.
1. Keturunan
dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan
yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota
masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota
suku bapanya.
2. Tempat
Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu
perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di
kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan
mengusahakan tanah keluarga isterinya.
3. Perempuan
mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak
menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi
harta pusaka keluarga ibunya.
4. Perkahwinan
seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan
adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah
saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama
suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang
haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak
untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat mereka.
5. Orang
luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris
mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara
melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat
setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.
Pembahagian
Harta
Selalu
menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai
pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah
satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya,
pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat.
Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu
keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata
untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya,
seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan
merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia
sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki.
Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha
untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta
sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena
mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja). Adat ini menepati
ayat Quran 4:34 bahawa lelaki bertanggungjawab menjaga makan minum dan tempat tinggal
saudara-mara perempuan yang tidak berkahwin dan isteri mereka.
Institusi Kerajaan Dibawah Tunku Besar Tampin
By Ameer Khan
- 5 March 2017
Tunku Besar Tampin merupakan nama gelaran yang diperkenalkan
Inggeris pada awal tahun 1830an dahulu. Pada masa itu Inggeris yang menjajah
Melaka sedang berperang dengan Naning, wilayah di utara Melaka yang enggan
mengakui ketuanan Inggeris. Dato’ Naning dan para pengikutnya dengan bantuan
Undang Rembau Ke-13, Dato’ Lela Maharaja Ngonit berusaha mempertahankan
wilayahnya daripada dijajah Inggeris. Inggeris mengalami kesukaran menakluki
Naning. Inggeris menyedari bahawa tanpa bantuan orang tempatan, tidak mungkin
mereka berjaya mengalahkan Dato’ Naning.
Pada masa yang sama, Undang Rembau,
yang mentadbir wilayah Rembau berada dalam keadaan “bermasalah” dengan Yang
Dipertuan Muda Rembau, Syed Syaaban dihalau keluar dari wilayah Rembau.
Bagaikan menangguk di air keruh Inggeris berjaya “memujuk” Syed Syaaban membantunya
mengalahkan Dato’ Naning, sekutu Rembau. Inilah detik permulaan nama Tampin
mula menjadi sebutan. Sebelumnya Tampin, yang menjadi sebahagian daripada
wilayah Rembau Baruh adalah daerah yang dibuka sepenuhnya. Inggeris menjanjikan
kepada sekutu tempatannya andainya Naning dapat ditakluki maka Tampin akan
diserahkan kepada sekutunya setelah membuat perjanjian dengan Rembau.
Syed
Syaaban dianggap sekutu Inggeris yang banyak membuka rahsia kekuatan Dato’
Naning hingga akhirnya musuh utama Inggeris itu berjaya dikalahkan. Disebabkan
itu, Yang Dipertuan Muda Rembau, Syed Syaaban “ditabalkan” sebagai Tunku Besar
Tampin, maka terpisahlah Tampin daripada wilayah Rembau.
Wilayah pentadbiran di
bawah Tunku Besar Tampin ialah Repah, Keru, Tebung dan Tampin Tengah. Gelaran
Tunku Besar Tampin ini hanyalah untuk keluarga dan keturunan Syed Syaaban dan
Tunku Syed Razman, anakanda beliau Tunku Dato’ Syed Idrus yang merupakan waris
ketujuh dianugerahkan gelaran ini.
Kedudukan Tunku Besar Tampin dalam jenjang
pentadbiran adat di Negeri Sembilan, beliau hanyalah sebagai salah seorang ahli
penuh Dewan Perundangan dan Keadilan Negeri Sembilan yang dipimpin Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan termasuklah ahli-ahli lain iaitu Undang Yang
Empat dan Menteri Besar Negeri Sembilan. Lazimnya gelaran Tunku Besar Tampin
ini akan disebut bersamaan dengan nama Undang Yang Empat dengan kedudukan di
bawah Yang Di Pertuan Besar. Namun, Tunku Besar Tampin tidak memiliki kuasa
untuk memilih dan melantik Yang Dipertuan Besar. Kuasa itu adalah hak Undang
Yang Empat. Maka jelas, kedudukan keluarga keturunan Syed Syaaban ini telah
berubah yang dari asalnya sebagai Yang Dipertuan Muda Rembau kepada hanya Tunku
Besar Tampin.
Berkenaan bagaimana perubahan kuasa ini berlaku adalah disebabkan
oleh penjajah Inggeris yang sentiasa mencari kesempatan dalam kesempitan
suasana politk. Kelicikan Inggeris ini telah berjaya memecahbelahkan orang
Melayu. Lebih parah lagi, sistem politik Rembau yang satu ketika dahulu begitu
tersusun, habis lebur begitu sahaja. Walaubagaimanapun, ada hikmah di sebalik
kekacauan politik yang berlaku akibat campur tangan Inggeris di Rembau, Tampin
dan Naning. Setidak-tidaknya wilayah Tampin sekarang dari sudut geopolitik hari
ini, ternyata Tampin lebih menonjol berbanding dua daerah kembarnya, Rembau dan
Naning (kini lebih popular dengan nama Alor Gajah).
Tampin hari ini adalah
panggilan popular kepada pekan yang berkembar dipisahkan sempadan Melaka-Negeri
Sembilan, dengan Pulau Sebang di belahan Melaka dan Tampin sendiri di belahan
Negeri Sembilan. Kedua-dua saling menyaingi mengejar arus pembangunan.
Kedua-duanya sebising dan sesibuk yang diungkapkan Blue’s Gang dalam
nyanyiannya “Apo Nak Dikato”.
Menurut orang lama yang menetap di salah sebuah
tempat di Tampin, “Tampin hari ini adalah hasil kejayaan orang terdahulu yang
diketuai Syed Syaaban dan warisan keturunannya. Kalaulah bukan kerana usaha
mereka membangunkan Tampin dengan bantuan Inggeris tempat yang saya diami
sekarang mungkin masih hutan dan didiami orang buangan dari Rembau.” – Rujukan
Norhalim Ibrahim (Ahli Sejarah Negeri Sembilan)
Artikel Penuh:
https://www.orangnogori.com/institusi-kerajaan-dibawah-tunku-besar-tampin.html
KRISIS UNDANG LUAK JOHOL
Undang
Luak Johol pertama dilucut jawatan
SYAIRAH
ABDUL LAJIS & SARINAH MAT KASIM
29 Mac
2016
KUALA PILAH – Undang Luak Johol,
Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani,
dilucutkan jawatan sebagai Undang Johol ke -14 berkuatkuasa 27 Mac lalu.
Perlucutan jawatan tersebut
hasil kerapatan dan permuafakatan hampir kesemua datuk-datuk tertinggi Lembaga
Adat dalam Luak Johol dan dibacakan secara rasmi oleh Datuk Jenang Zakaria
Mohammad, di hadapan Datuk Mohd Jan, yang dihadiri oleh Buapak Yang Enam, dan
Datuk Batin di Balai Undang Luak Johol, di sini, Ahad lalu.
Disebabkan perlucutan itu,
mengikut tradisi jawatan tersebut akan diisi oleh Timbalan Undang Luak Johol,
Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah.
Pada pengumuman itu, Datuk
Jenang turut membaca 13 kesalahan yang telah dilakukan oleh Datuk Mohd Jan
dalam adat Luak Johol sepertimana yang termaktub dalam buku ‘Gemuk Berpupuk
Segar Bersiram’ yang diterbitkan pada 1996.
Ketua Buapak Yang Enam, Datuk
Nenggarang Hasanuddin Ahmad berkata, kesalahan yang dilakukan beliau telah mula
dikesan sejak dilantik menjadi Undang Luak Johol pada 13 Mac 2007.
“Kesemua 13 kesalahan beliau itu
telah ‘menghina pesaka dan adat istiadat’ di bawah ‘Kesalahan Berat’ merujuk
kepada buku ‘Gemuk Berpupuk Segar Bersiram’.
“Banyak perkara yang beliau
lakukan membelakangkan Buapak Yang Enam, sebaliknya sistem pentadbirannya
dipengaruhi oleh orang-orang di sekelilingnya yang mempunyai kepentingan
peribadi serta puak-puak tertentu.
“Kami telah beberapa kali
menegur namun, teguran kami tidak diambil peduli. Justeru, kami beberapa
kali melakukan mesyuarat dan mesyuarat terakhir dilakukan jam 10.30 pagi tadi
(kelmarin).
“Mesyuarat telah mengambil
keputusan untuk memecat beliau kerana didapati tidak layak lagi untuk memegang
jawatan sebagai Undang Luak Johol Ke 14,” katanya ketika ditemui di rumah
Jenang di Kampung Renggoh, malam Ahad lalu.
Terdahulu mengikut kronologi,
pada 27 Mac jam 8 pagi, satu rombongan terdiri daripada Datuk Jenang dan Buapak
Yang Enam, telah menghadap beliau di Balai Undang Luak Johol bagi membacakan 13
pertuduhan terhadapnya.
Kata Hasanuddin, kehadiran
mereka ke Balai Undang Luak Johol meminta agar beliau membela diri, selepas
pertuduhan kesalahan dibacakan, namun beliau gagal untuk berbuat demikian.
“Setelah kertas kesalahan
selesai dibacakan, kami mengadakan satu mesyuarat khas bagi memutuskan hukuman
terhadap beliau, dan sepakat untuk memecatnya.
“Kemudian tepat jam 3 petang ,
kami datang semula menghadap beliau di Balai Undang Luak Johol untuk
menyerahkan surat pemecatan jawatannya berkuat kuasa 27 Mac,”katanya.
Sehubungan itu, pada jam 3.15
petang, Datuk Jenang turut melantik Timbalan Undang Luak Johol, Datuk
Muhammad, bagi mengisi kekosongan jawatan Undang Luak Johol yang baharu.
Pengumuman dibuat di hadapan
Dato’ Batin, Buapak Yang Enam, Datuk’-Datuk’ Lembaga Adat, Datuk’-Datuk’ Buapak
kepada Lembaga serta Juak-Juak dikediamannya di Kampung Tanggai.
Sinar Harian difahamkan, sekitar
jam 12 tengah hari semalam, Ketua Buapak, Buapak Yang Enam, Datuk Jenang dan
Tok Batin menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku
Munawir di Istana Hinggap Seremban, bagi menyerahkan satu salinan surat
pelucutan bagi pemakluman kepada Tuanku.
Sementara itu, Menteri Besar,
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan
berkenaan isu yang berlaku di Luak Johol, dan membiarkan Datuk-Datuk Lembaga
Adat menyelesaikan permasalahan berlaku di luak berkenaan.
Katanya, pihaknya serahkan
kepada luak tersebut dan Datuk Lembaga Adatnya untuk membuat keputusan, kerana
ia melibatkan hukum adat di luak berkenaan, tidak melibatkan kerajaan negeri.
Difahamkan sejak pelantikan
Undang Luak Johol yang pertama pada 1723 iaitu Undang Pertama- Datuk Sitiawan
1, ini adalah kejadian pertama perlucutan jawatan berlaku.
Usaha mendapatkan reaksi dari
Undang Luak Johol yang dilucutkan jawatan setakat ini masih belum berjaya.
Sebelum ini, pelantikan baharu
hanya dibuat setelah penyandangnya mangkat.
Berikut adalah 13 dakwaan salahlaku yang kenakan ke atas YTM Undang Luak Johol:
1. Y.T.M Dato' telah membenarkan perlantikan Allahyarham Hj. SULAIMAN
bin KICHUT sebagai Tok Pawang dari suku yang lain.
2. Semasa kerjan Y.T.M Dato' yang diadakan pada 13 hingga 18 MEI 2018
sembelihan yang dibuat adalah lembu sedangkan dari segi adat Johol sembelihan
mestilah 5 ekor kerbau untuk jamuan selama 5 malam.
3. Y.T.M telah menidakkan perlantikan Tok Pawang AMERUDIN bin ISMAIL
sebagai Tok Pawang sedangkan perlantikan beliau sebagai Tok Pawang dibuat oleh
anak-anak buah suku Biduanda Kebangsa.
4. Y.T.M Dato' pernah memalukan dan menjatuhkan air muka YAM Dato'
Baginda Tan Mas di khalayak ramai.
5. Y.T.M Dato' tidak mahu menerima perlantikan Tn Hj. HASANUDDIN bin
AHMAD sebagai Dato' Mengarang Buapak Yang 6.
6. Y.T.M Dato' telah melantik MOHD SHARI bin ABD RAZAK sebagai Tok
Pawang sedangkan beliau cacat anggota badan (tempang).
7. Y.T.M Dato' tidak sepatutnya melantik MOHD SHARI bin ABD RAZAK
sebagai Tok Pawang sedangkan beliau berkahwin dengan orang luar luak Johol.
8. Y.T.M Dato' telah mengelirukan orang ramai di dalam dan diluar luak
johol dengan menamakan Balai Undang Johol sebagai istana kediaman DYTM Undang
Luak Johol.
9. Y.T.M Dato' ketika menyambut hari Keputraan Yang Ke-75 telah
melakukan perlanggaran adat.
10. Y.T.M Dato' pada sambutan Hari Keputraan ke-75, beliau tidak
sepatutnya membenarkan isteri Y.T.M Dato' Puan, KHUZAIMAH bte RIDUAN memakai
selimpang.
11. Y.T.M Dato' telah mewujudkan gelaran baru.
12. Y.T.M Dato' telah berkahwin secara senyap-senyap secara tanpa
pengetahuan Dato-dato adat.
13. Y.T.M Dato' telah mengarahkan penebangan kayu balak untuk
kepentingan peribadi di Tanah Hutan Gunung Tampin.
Pertabalan
Undang Luak Johol ke-15 Penuh Adat Istiadat
SYAIRAH
ABDUL LAJIS
23 MAC
2017
KUALA
PILAH - Majlis istiadat Kerjan (pertabalan) Undang Luak Johol ke-15 Datuk Johan
Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah berlangsung penuh adat
istiadat yang bermula hari ini sehingga 27 Mac bertempat di Johol sekali gus
melengkapkan perisytiharan Undang Luak Johol ke-15.
Bermula
dengan upacara adat menurunkan alat kebesaran di kediaman rasminya di Kampung
Tanggai, kemudian adat istiadat diteruskan kepada Mandi Berlangir untuk
bersiram di perigi Godang di Kampung Bukit Istana yang diiringi oleh datuk
Jenang dan Buapak Yang Enam Luak Johol jam 9 pagi tadi.
Sejurus
selesai majlis bersiram, Muhammed diarak ke Makam Gobah bagi bertujuan
menaikkan daulat diiringi penduduk kampung dan datuk-datuk adat.
Adat ini
sebagai simbolik membersihkan jasmani dan rohani Muhammed sebagai Undang Luak
Johol yang baharu.
Kemudian,
beliau dibawa ke kediaman rasminya di Kampung Tanggai sebelum diarak ke sekitar
Johol menggunakan kereta kuda bagi menemui penduduk kampung.
Hadir
sama memeriahkan majlis, datuk-datuk adat, ketua-ketua jabatan dan penduduk
yang dianggarkan 500 orang.
Menurut
Batin Mukim Luak Johol, Datuk Batin Alam Suhut, pengisian dalam pertabalan atau
Kerjan adalah upacara yang dianggap kemuncak Undang Luak Johol ditabalkan
sebagai pemerintah sebuah kerajaan yang berdaulat bagi jajahannya di Luak
Johol.
Katanya,
Gobah ialah gelaran bagi Almarhum Datuk Abu Bakar yang menjadi Undang Luak
Johol yang keenam pada tahun 1820-1840.
"Datuk
Gobah dikatakan Undang yang berdaulat, memiliki ilmu kesaktian yang luar biasa
sehinggakan jika ada orang yang melintas belakangnya tanpa izin orang itu akan
rebah (gobah).
"Disebabkan
kehebatan ilmu kesaktian datuk Gobah itu, maka adat istiadat Mandi Berlangir
itu menjadi satu tradisi yang wajib diikuti dalam adat istiadat Kerjan bagi
sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan,"
katanya.
Dalam
pada itu, Kerjan diakhiri dengan istiadat menjunjung kasih dan ikrar taat setia
oleh datuk adat, Ibu Waris dan Ibu Soko serta pembesar lain di Luak Johol, di
kediaman rasmi Datuk Undang di Kampung Tangai di sini.
Muhammed,
50, yang sebelum ini adalah Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol),
dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani
yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan13
kesalahan salah laku dan adat.
Pelantikan
Muhammed disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt
tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikannya pada
15 Disember lalu.
Undang
Luak Johol enggan pindah, bekalan air rumah dipotong
Thursday
April 6, 2017
SEREMBAN, 6 April - Bekas
Undang Luak Johol Datuk Mohd Jan Abdul Ghani enggan berpindah keluar dari
kediaman rasmi menyebabkan kerajaan bertindak memotong bekalan air, kata Datuk
Seri Mohamad Hasan.
Kerajaan Negri Sembilan bertindak memotong bekalan
air dan elektrik di Balai Undang Luak Johol, yang merupakan kediaman rasmi
Undang Luak Johol, setelah bekas undang luak itu Datuk Mohd Jan Abdul Ghani
enggan berpindah keluar.
Menteri
Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihak berkuasa turut diarah berkawal di
luar bangunan berkenaan.
“Saya
merasa kesal kerana kerajaan negeri terpaksa berbuat sampai ke tahap
begini...ia tidak sepatutnya berlaku begitu. Saya harap mereka (keluarga bekas
Undang Luak) faham.
“Apa
yang mereka buat itu seolah-olah menghalang penjawat awam menjalankan tugas
kerana Balai Undang Luak Johol adalah bangunan kerajaan,” katanya pada sidang
media di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Menurutnya
perbuatan menduduki bangunan kerajaan secara tidak sah adalah satu kesalahan
dan boleh dikenakan hukuman mengikut kanun jenayah.
Sebelum
ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan notis pindah keluar dari Balai Undang
Luak Johol kepada Mohd Jan, yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lepas
kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.
Tempatnya
digantikan dengan Datuk Muhammad Abdullah yang sebelum ini adalah Baginda Tan
Mas (Timbalan Undang Luak Johol).
Pelantikan
Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan
Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lepas dan beliau telah
menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol pada 15 Dis lepas.
KRISIS UNDANG LUAK JELEBU
Jurutera diumum Undang Luak Jelebu ke-16
09 April 2016 1:03 AM
JELEBU 8 April – Pengurus Besar Jualan (Automotif) di Ichikoh (M) Sdn. Bhd., Nilai, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, hari ini diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Bagaimanapun, pelantikan beliau itu mencetus kontroversi apabila dianggap tidak sah oleh Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Ismail Md. Zin yang mendakwa ia dilakukan tidak mengikut aturan adat yang menjadi amalan di Luak Jelebu.
Majlis pengisytiharan pelantikan Muhamad Azafean dijalankan di Balai Undang Luak Jelebu, Kuala Klawang dekat sini pada kira-kira pukul 10 pagi ini.
Pengisytiharan itu mengakhiri penantian kira-kira hampir dua tahun berikutan kematian Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab pada 11 September 2014.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Datuk Mat Tarmizi Selamat dalam majlis yang turut dihadiri lima daripada lapan Ahli Tiang Balai Datuk Lembaga Adat Luak Jelebu.
Sebaik pengisytiharan dibuat, Muhamad Azafean dan isteri, Rozijihan Kaliwon Ahmad, 33, dijemput datang ke Balai Undang Luak Jelebu dan pengumuman pelantikan dibuat sekali lagi oleh Mat Tarmizi.
Muhamad Azafean kemudian telah dipakai tanjak sebelum lima Datuk Lembaga melafazkan ikrar taat setia dan menghadap Undang Luak Jelebu yang baharu.
Muhamad Azafean yang fasih berbahasa Jepun mempunyai kelulusan Ijazah Elektrikal dan Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Nagasaki, Jepun dan Ijazah Bersekutu Elektronik dan Kejuruteraan Kawalan dari Kolej Kebangsaan Teknologi Sasebo, Nagasaki, Jepun.
Dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut, Mat Tarmizi berkata, sebanyak 25 calon disenaraikan untuk jawatan Undang Luak Jelebu pada peringkat awal dengan lapan orang terpilih dalam senarai pendek.
Menurutnya, proses mengenal pasti calon layak dan sesuai mengambil masa kerana tapisan perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil faktor seperti giliran, salasilah, ketrampilan dan kepemimpinan.
Jelasnya, beliau bersama Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela, Kadim Kidam akan menyembahkan pengisytiharan Undang Luak Jelebu yang baharu itu kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.
Katanya, pertabalan Undang Luak Jelebu yang baharu itu juga akan dibuat mengikut kesesuaian masa dan peruntukan daripada kerajaan negeri tetapi persiapan untuk majlis itu akan mula dibuat oleh Datuk Undang Yang Ke Delapan.
Ditanya mengenai kedudukan beliau yang didakwa telah dipecat sebagai Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Mat Tarmizi memberitahu, beliau menyerahkan perkara itu kepada Undang Luak Jelebu yang baharu untuk memutuskan mengenainya.
“Kalau ikut peraturan adat, saya masih memangku jawatan Undang Luak berdasarkan surat tauliah yang dikeluarkan oleh Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela. Dalam masa sama, saya disokong oleh lima daripada lapan Datuk Lembaga yang telah menandatangani surat,” ujarnya.
Sementara itu, Ismail memberitahu, tindakan Mat Tarmizi mengisytiharkan nama Undang Luak Jelebu ke-16 itu bercanggah dengan aturan adat kerana ia perlu melalui persepakatan Tali Pesako dan Tali Adat.
“Setelah mendapat persepakatan tersebut, baharulah Datuk Menteri Sah Mangku Alam diiringi Tali Pesako dan Tali Adat mempersembahkan nama kepada Dewan Keadilan,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jurutera-diumum-undang-luak-jelebu-ke-16-1.225090#ixzz5AOQx1JUg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Adat Perpatih Perlukan Rawatan
13 Oktober 2016 6:25 PM
DUA tahun berlalu. Pemilihan Undang Luak Jelebu yang ke-16 masih belum selesai. Kumpulan-kumpulan yang menuntut jawatan ini masih bertelingkah dalam mengutarakan kesahihan calon masing-masing.
Calon Undang pertama, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, pengurus jualan di Nilai di sokong oleh Dato’ Tarmizi Selamat, bekas Dato’ Menteri Mangku Sah Alam Raja Sari serta penyokongnya. Encik Muhamad Azafean ialah anak buah isteri Dato’ Tarmizi Selamat justeru melibatkan pelanggaran petua adat pua condong ke perut.
Calon kedua, Maarof bin Mat Resat, 55, pegawai Pendidikan Jelebu-Jempol yang disokong oleh Ismail Md. Zin, Dato’ Menteri Mangku Sah Alam Raja Sari yang baharu. Encik Maarof dan Lembaga Delapannya juga mewakili Perut dan Jurai Kemin.
Kini ada beberapa calon lagi yang tampil mewakili “Perut Kemin”, salah satu daripada tiga “perut” Undang Jelebu. Dua “perut” yang lain ialah Ulu Jelebu dan Sarin.
Seseorang calon Undang hendaklah dari keturunan suku Biduanda menurut nisab ibu. Beliau harus mempunyai beberapa ciri peribadi mengikut kriteria adat semenjak 1775 lagi, dua tahun selepas Raja Melewa dari Pagaruyung ditabalkan sebagai Yang Di Patuan Basa di Penajis, Rembau pada tahun 1773.
Istilah Undang hanya dirasmikan selepas British memulakan pemerintahan mereka di NS pada tahun 1887. Sebelum itu Undang dipanggil Pangulu Luak.
Perlembagaan adat di Jelebu, seperti di tiga luak ‘berUndang’ yang lain (Sungai Ujong, Johol dan Rembau) tidak pernah dikanunkan sebagai Perlembagaan bertulis.
Ini merupakan salah satu sebab kenapa pertelingkahan berlaku apabila meninggal seseorang Undang yang di bawah Pelembagaan NS diiktiraf sebagai Di Raja Bersama (Co-Ruler).
Jawatan Undang di NS dikhaskan kepada empat Luak atau Daerah beradat – Sungai Ujong (Seremban sekarang), Jelebu, Johol dan Rembau. Tunku Besar Tampin, diiktiraf di bawah Fasal 14(2) Perlembagaan NS, berasal daripada pengaruh Arab pimpinan Tengku Syed Shaban semenjak awal abad ke-19. Sebagai Tunku Besar Tampin, beliau tidak terlibat dalam penentuan Di Raja Yang Di Pertuan Besar.
Di bawah setiap Dato’ Undang ada jawatankuasa adatnya sendiri–Lembaga Delapan. Seseorang Dato’ Lembaga pula dipilih oleh “Buapak” atau tua-tua adat, “anak buah” termasuk “soko” atau kumpulan adat kaum ibu di bawah perut berkenaan.
Ketua Lembaga Delapan di Jelebu ialah Dato’ Menteri Mangku Sah Alam Rajo Sari yang semenjak zaman Moyang Salleh lagi (1775) dipilih dari keluarga campuran Biduanda-Minangkabau seperti mana halnya dengan Allahyarham Dato’ Menteri Osman Bagindo Labieh (1964–1989).
Dato’ Menteri berkuasa melantik seseorang calon Undang setelah disyorkan oleh Dato’ Umbi yang menerima calon-calon. Dato’ Cincang, salah seorang Dato’ Lembaga kanan meneliti kewibawaan seseorang calon Undang. Ketiga-tiga Dato’ Lembaga tersebut – Menteri, Umbi dan Cincang harus bermuafakat sebagai ‘talitigo sepilin’ dalam semua hal ehwal adat di luak mereka, khasnya menentukan siapa layak menjadi Undang.
Penapisan ini telah tidak dipatuhi dalam beberapa proses penentuan setakat ini, menyebabkan ramai meluahkan rasa kecewa.
Fasal 14 Perlembagaan NS hanya memperuntukkan bahawa Undang Yang Empat “hendaklah daripada orang yang dipilih mengikut adat-istiadat di luak masing-masing”.
Dengan tiadanya prosedur dan syarat-syarat bertulis amat mudah bagi advokat adat di luak-masing-masing membelakangi peraturan-peraturan lisan zaman silam. Ketua-ketua adat semasa pula tiada latihan atau pengalaman untuk meneruskan tuntutan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Bahasa beradat juga sudah tidak diketahui lagi oleh kebanyakan Dato’ Lembaga Delapan.
Perkembangan mutakhir di Luak Jelebu ini boleh dianggap sebagai perkembangan yang mencabul institusi adat; ia merosot dari sudut membelakangkan tradisi dan jahil dari segi implementasi Perkara 16 Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
Mengikut adat, Undang baru mesti diumumkan dalam tempoh satu hari selepas kematian atas prinsip “patah tumbuh, hilang berganti”.
Sebab itulah Dato’ Menteri Mangku Sah Alam diberi gelaran Rajo Sari untuk memikul tanggungjawab Penghulu Luak atau Undang selama sehari sebelum diumumkan Undang yang baharu. Menurut piagam adat, pengumuman atau pemasyhuran boleh dibuat dalam tempoh satu minggu atau tempoh yang tidak melebihi 3 bulan purnama selepas kematian Undang.
Ini bukan kali pertama krisis adat berlaku. Boleh dikatakan setiap luak ‘berundang’ di NS pernah mengalami krisis adatnya masing-masing. Setiap kali seseorang Undang atau Dato’ Shahbandar Sungai Ujong meninggal dunia setiap kali pula ‘rebutan jawatan’ berlaku.
Di Sungai Ujong kes Dato’ Shahbandar pernah menjadi rebutan sengit selama 11 tahun, di Rembau pertembungan adat antara Perut di Air dan Perut di Darat, di Johol sengketa ‘siapa jadi Tan Mas’, jawatan gantian Undang Luak Johol.
Di Jelebu sahaja semenjak 1967 tiga krisis ‘rebutan pusaka’ berlaku, termasuk kes Dato’ Musa Wahab 1981 yang sampai ke Mahkamah Persekutuan. Nas kes ini menyebabkan Fasal 16 Perlembagaan NS 1959 dipinda untuk memberi kuasa kepada Dewan Keadilan bertindak mengatasi sebarang masalah yang muncul berkaitan pemilihan, pelucutan atau apa-apa hal bersangkutan isu adat di luak ‘berundang’ di NS. Selepas kes ini mana-mana kekecohan adat tidak lagi dibenarkan jadi kes di mahkamah.
Di bawah Fasal 16(2) pula, Menteri Besar dibenarkan merujuk kepada Dewan apa-apa jua hal berkaitan adat Melayu di mana-mana kawasan di Negeri Sembilan termasuk soal pemilihan atau penggantian atau pemberhentian seseorang Undang.
Jika Fasal 16 berkenaan tidak dioperasikan, krisis adat di Jelebu akan terus memberi gambaran negatif kepada adat di negeri berkenaan. Adat yang begitu luhur dan penting di sisi orang Melayu apatah lagi di sisi Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan akan turut dipersenda.
Tiga isu harus di selesaikan: (a) setakat mana Dewan Keadilan berupaya “menjernihkan yang keruh” melalui Fasal 16 Perlembagaan NS; (b) kesediaan pihak-pihak berwajib mengadakan kursus bimbingan adat di setiap luak, termasuk Lembaga Delapan, Ibubapak, anak buah, ketua-ketua kampung dan pentadbir kerajaan tertentu mengikut petua adat lisan masing-masing; dan (c) kesediaan mengkanunkan undang-undang perlembagaan adat di setiap luak bagi sistem yang kekal dan tanpa keraguan.
Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia.
Pesara
guru diumumkan Undang Luak Jelebu
20
Disember 2018 5:09 PM
JELEBU
20 Dis. - Dato' Lembaga Luak Jelebu, Dato' Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari,
Ismail Mohd. Zain hari ini mengumumkan seorang pesara guru, Maarof Mat Rashad,
63, sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu majlis di Kampung Kemin dekat
sini.
Ismail
mendakwa pengumuman itu dibuat mengikut Kanun Adat Luak Jelebu dan dihadiri
semua Dato' Lembaga Delapan kecuali Dato' Mengiang Merah Bangsa.
"Saya
telah mengumumkan Waris Kemin, Maarof Mat Rashad daripada Perut Kemin sebagai
Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu ke-16," katanya
dalam satu kenyataan di sini.
Untuk
rekod, ini adalah kali ketiga Maarof diumumkan sebagai Undang Luak yang baharu
menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Musa Abdul Wahab meninggal dunia pada 11
September 2014.
Pengumuman
yang sama pernah dibuat pada 26 Jun tahun ini dan 2 Jun 2017 tetapi tidak
mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.
Semalam,
dalam satu kenyataan media, Ismail mendakwa majlis pengumuman hari ini dibuat
selepas meneliti surat Pengerusi Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang
Negeri Sembilan, Dr. Razali Ab. Malik yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri
bertarikh 28 November lalu.
Bagaimanapun,
Waris Maharaja Inda, Ahmad Razin Aminuddin berkata, pihak yang mengadakan
majlis di Kampung Kemin hari ini telah mengelirukan masyarakat adat di sini
menggunakan surat berkenaan.
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/pesara-guru-diumumkan-undang-luak-jelebu-1.808268
Anggota polis
diisytihar Undang Luak Jelebu
JELEBU
14 Mac 2019. Seorang anggota polis
berusia 59 tahun hari ini diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam
satu majlis di Kampung Bemban dekat Durian Tipus di sini.
Baharuddin
yang berpangkat Sarjan Mejar dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera,
Pahang dipilih dalam kalangan 10 individu yang disenarai pendek oleh para Dato’
Lembaga Delapan luak tersebut.
Seramai
30 orang waris Kemin telah memohon jawatan itu melalui Dato’ Maharaja Inda
Mohd. Nordin Mansor.
Pengisytiharan
itu dibuat oleh Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ibrahim Harun di
Telapak Kemin Bemban.
Yang
turut hadir, Dato’ Ombi Pangkal Maharajalela, Kadin Kidam; Mohd. Nordin; Dato’
Senara Angsa, Rosli Mohd Zain; Dato’ Paduka Menti Abdul Aziz Zaini dan wakil
Dato’ Cincang, Raja Maizani Shah Raja Musa.
Selepas
pengisytiharan itu dibuat, Ibu Soko, Azimah Idris telah menyerahkan tanda rupa
kepada Baharuddin iaitu tengkolok, keris, al-Quran dan tepak sireh.
Sementara
itu, Kadin berkata, para Dato’ Lembaga luak berkenaan akan menyerahkan laporan
mengenai pengisytiharan itu kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan
secepat mungkin.
“Kami
berharap dewan ini akan meneliti dan memberi pertimbangan sebaik-baiknya.
“Kami
amat yakin dengan kebijaksanaan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ahli
dewan ini dalam membuat keputusan yang tepat dan terbaik,” ujarnya. - UTUSAN
ONLINE.
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/anggota-polis-diisytihar-undang-luak-jelebu-1.860959
Pelantikan
Maarof sebagai Undang Luak Jelebu Ke-16 muktamad: Rais
2 Mac 2019
JELEBU
- Pelantikan seorang pesara guru Maarof Mohd Rashad sebagai Undang Luak Jelebu
ke-16 adalah muktamad, kata bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr
Rais Yatim.
Beliau
yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, ini adalah selaras
dengan peruntukan pada Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, khasnya
Perkara 16.
"Jadi,
dengan adanya nasihat Menteri Besar dan sebagainya di bawah kuatkuasa itu, maka
pemilihan (pelantikan) Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 sudah muktamad
dan mengikut lunas yang tertinggi dan tidak boleh digubal semula atau
diperbaharui.
Rais
yang juga bekas anggota Parlimen Jelebu ditemui pada majlis 'Patagak Datuek
Ampek' di Rumah Gadang Budi, Kampung Gagu dekat sini, hari ini.
Beliau
berkata demikian berikutan bantahan Datuk Lembaga Delapan (Tiang Balai) Luak
Jelebu baru-baru ini atas pelantikan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Rais
berkata berasaskan kes pelantikan Undang Luak Jelebu ke-15 Datuk Musa Abdul
Wahab pada 1981 semasa beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu, kes
itu adalah muktamad dengan penghakiman oleh Azlan Shah bahawa pertelingkahan
adat di luak atau di negeri tidak boleh dibawa ke mahkamah.
Maarof
diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu istiadat pada 20 Dis 2018
bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang
meninggal dunia pada 11 September 2014.
Terdahulu pada majlis itu, Mat Sidek Sikin, 83, dilantik
sebagai Datuek Ampek (Datuk Empat) Kampung Gagu, manakala Azahari Tasmin, 69,
pula dilantik sebagai Datuek Mangku (Datuk Mangku) Kampung Gagu.
Majlis itu dijalankan dengan penuh adat istiadat mengikut
masyarakat Minangkabau dan Rais turut menyerahkan surat pelantikan mereka
berdua.
Rais berkata selain sebagai pentadbiran adat, Datuk Empat
juga berperanan memberi keharmonian pada masyarakat.- Bernama
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/15898/EDISI/Melaka-NS/Pelantikan-Maarof-sebagai-Undang-Luak-Jelebu-Ke-16-muktamad-Rais
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.
Maarof
Undang Luak Jelebu ke-16
21
Ogos 2019 5:30 PM
JELEBU
21 Ogos 2019- Istiadat Pertabalan dimulakan secara rasmi hari ini, sekali gus
melengkapkan pengisytiharan Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat
Rashad, sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Istiadat
akan berlangsung selama lima hari, dimulakan dengan istiadat bersiram di
Telapak Kampung Kemin, dekat sini pagi ini, sebagai simbolik membersihkan
jasmani dan rohani Maarof sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu.
Usai
bersiram, beliau kemudian berangkat diiringi Datuk Lembaga Delapan,
Buapak-Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris ke istiadat menyembelih kerbau, sebagai
sebahagian daripada adat istiadat Luak Jelebu.
Maarof,
62, dan isteri Tok Puan Mahawa Mohd Som, 61, kemudian dibawa menaiki kenderaan
khas dan diarak bermula dari Kampung Kemin mengelilingi Pekan Kuala Klawang
hingga ke pintu gerbang Balai Undang Luak Jelebu, sejauh kira-kira empat
kilometer dan bertemu dengan penduduk sekitar.
Sebaik
sampai di pintu gerbang Balai Undang Luak Jelebu, Maarof dan Mahawa dibawa
turun dari kenderaan khas dan diarak dengan berjalan kaki ke Balai Undang Luak
Jelebu sejauh 100 meter dan kedua-dua mereka telah disambut dengan kumpulan
Dikir Arak, persembahan tarian singa dan tarian tradisi India.
Seterusnya,
perarakan masuk kedua-dua mereka disambut oleh perbarisan murid Sekolah
Kebangsaan Undang Jelebu di kiri kanan jalan bermula daripada pintu gerbang
Balai Undang Luak Jelebu hingga ke pintu utama Balai Undang Luak Jelebu.
Majlis
diteruskan dengan Istiadat Haluan Sembah Datuk Lembaga Delapan, Buapak-Buapak,
Ibu Soko dan Anak Waris diketuai Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail
Mohd Zin pada pukul 11 pagi.
Maarof
dalam ucapannya pada istiadat berkenaan melahirkan rasa syukur atas
pelantikannya sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dan berikrar akan melaksanakan
tanggungjawabnya dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti serta berpandukan
al-Quran, Hadis dan panduan pesaka adat Luak Jelebu dan Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Negeri Sembilan.
Istiadat
Pertabalan itu, yang dihadiri kira-kira 500 penduduk Jelebu, diakhiri dengan
jamuan makan tengah hari.
Istiadat
pertabalan pada sebelah petang bermula dengan menziarahi Makam Moyang Salleh
iaitu Undang Luak Jelebu yang pertama, Makam Undang Musa (Undang Luak Jelebu
ke-15) di Kampung Peradong, Makam Undang Syed Ali Al-Jufri (Undang Luak Jelebu
ke-11) dan Undang Abu Bakar (Undang Luak Jelebu ke-14) di Chenor serta Makam
Undang Abu Bakar (Undang Luak Jelebu ke-12) di Bandar Tinggi, di sini.
Ia
bertujuan untuk mengadakan majlis tahlil serta menzahirkan penghormatan kepada
ke semua Undang Luak Jelebu yang terdahulu.
Pelbagai
acara akan diadakan sempena Istiadat Pertabalan seperti persembahan kebudayaan,
pertandingan masakan tradisional, pertandingan lancang, pertandingan kecantikan
dan kesenian ayam serama, karnival sukan rakyat, perlawanan bola sepak
persahabatan, santapan diraja serta jamuan rakyat.
Istiadat
Pertabalan itu akan diakhiri dengan istiadat menurunkan alat kebesaran pada 25
Ogos.
Maarof
yang dilahirkan pada 21 Ogos 1957 dan merupakan anak kelima daripada enam adik
beradik, adalah bekas guru dan Pegawai Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah
Jelebu.
Beliau
mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban dan Open
University Malaysia.
Maarof
diisytihar sebagai penyandang pesaka Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Undang
Luak Jelebu ke-16 dalam kerapatan di Telapak Kampung Kemin, Kuala Klawang di
sini pada 26 Jun 2018, dan disaksikan oleh Datuk-Datuk Lembaga Delapan Luak
Jelebu, Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris.
Pengisytiharan
Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang
Negeri Sembilan pada 18 Feb lepas dan pada 4 April lepas, Yang Dipertuan Besar
Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyempurnakan
Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-16, di Istana Besar Seri
Menanti, Kuala Pilah.
Maarof
menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal
dunia pada 11 Sept 2014.
Dalam
struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat
iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan
Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa mutlak di
luak atau kawasan masing-masing. - BERNAMA
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/maarof-undang-luak-jelebu-ke-16-1.957735
UNDANG LUAK SUNGAI UJONG
Yang Teramat Mulia DATO' KLANA PETRA SRI JAYA DATO' MUBARAK BIN DOHAK dilahirkan pada 11 November 1961 di Kampung Telaga Udang, Batu 9, Pantai, Negeri Sembilan.Beliau merupakan anak tunggal kepada Allahyarham Thahak@Dohak Bin Dato' Sutan Nara Haji Abu Samah dan Puan Lawiyah Binti Dato' Amar Setia Alwi. Dilantik sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 pada 29 Disember 1993. Beliau dilantik menggantikan Dato' Muhammad Kassim Nika Abdul Rashid yang meninggal dunia pada tahun 1983. Undang Luak Sungai Ujong merupakan Dato' Undang paling kanan dikalangan 4 orang Undang. Undang Luak Sungai Ujong yang melakukan pemasyhuran dan pertabalan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
UNDANG LUAK REMBAU
Yang Teramat Mulia DATO' LELA MAHARAJA DATO' HAJI MUHAMMAD
SHARIP BIN HAJI OTHMAN dilahirkan pada 14 Ogos 1941 di Kampung Waris
Tebat, Chembong Kecil, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau telah dimashyurkan sebagai
Undang Luak Rembau ke 21 pada 21 November 1998. Sebelum itu beliau merupakan
Orang Besar Undang yang bergelar Dato' Shahbandar iaitu gelaran yang terkanan
di antara empat Orang Besar Undang.Beliau berketurunan Lela Maharaja Suku
Biduanda,Waris Nan Dua Carak(Perut Tebat).
UNDANG LUAK JELEBU
(MASIH KOSONG)
Penyandang terakhir Undang Luak Jelebu,YTM Dato' Musa Bin
Wahab telah meninggal dunia pada 11 September 2014. Bermula pada tarikh ini,
jawatan Undang Luak Jelebu kosong sehinggalah pada 8 April 2016, Muhammad
Azafean Muhammad Fahmi diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu Ke-16.
Namun,
pada 30 Mac 2017, Dewan Keadilan dan Undang telah memutuskan tidak menerima
sebarang pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16. Berikutan itu, Dewan Keadilan dan
Undang memulangkan semula kepada Luak Jelebu untuk proses pemilihan calon YTM
Undang Luak Jelebu hingga selesai.
UNDANG LUAK JOHOL
Yang Teramat Mulia DATO' JOHAN PAHLAWAN LELA PERKASA
SETIAWAN Dato' Muhamed Bin Abdullah dilahirkan pada tahun 1967. Beliau sebelum
ini bergelar Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol). Beliau ditabalkan
sebagai Undang Luak Johol Ke-15 pada 23 Mac 2017, menggantikan Dato' Muhammad
Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac 2016 kerana didakwa
melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat. Pelantikan Muhammed disahkan oleh
Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lalu sebelum
menghadiri Istiadat Menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku
Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember lalu
TUNKU BESAR TAMPIN
Yang Teramat Mulia TUNKU SYED RAZMAN BIN TUNKU SYED IDRUS ALQADRI diputerakan pada 14
Disember 1962 di Seremban.Baginda telah mendirikan rumah tangga bersama Tunku
Isteri Sharlita binti Omar pada 14 Mei 1992. Baginda dilantik sebagai Tunku
Besar Tampin setelah kemangkatan ayahandanya Tunku Syed Idrus pada 26 Disember
2005. Tugas mengisytiharkan perlantikan tersebut telah dilaksanakan oleh Yang
Mulia Dato' Abdul Razak Bin Tambi, Penghulu Pusaka Adat Tampin Tengah dan
disaksikan oleh YBhg Tuan Haji Mohd Yusof Bin Yunus.
No comments:
Post a Comment