Sunday, March 15, 2015

M 154 ISTIADAT KEMAHKOTAAN SULTAN JOHOR KELIMA

.


Tajuk ini ditulis khas sempena Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Johor ke 5 pada hari Ahad, 3 Jamadil Akhir 1436 Hijriyyah bersamaan dengan 23 Mac 2015.




Istiadat Pemahkotaan atau di negeri-negeri Melayu lain disebut Istiadat Pertabalan ini merupakan istiadat yang istimewa bagi Negeri Johor Darul Taazim.

Dalam sejarah Kesultanan Johor Moden yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885, istiadat ini hanya berlaku tiga kali sahaja.

Istiadat Pemahkotaan yang pertama ialah untuk Almarhum DYMM Sultan Abu Bakar ibni almarhum Temenggung Ibrahim pada 29 Julai 1886. Istiadat Pemahkotaan kedua adalah untuk Almarhum DYMM Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Abu Bakar yang dilangsungkan pada 2 Nov 1895. Jarak antara dua istiadat ini adalah 9 tahun.

Seterusnya Istiadat Pemahkotaan ketiga adalah untuk Alhamrhum DYMM Sultan Ismail ibni almarhum Sultan Ibrahim yang berlangsung pada 10 Feb 1960. Ia mengambil masa 65 tahun selepas istiadat yang kedua.


 
 
Istiadat Pemahkotaan DYMM Sultan Ismail, Sultan Johor ke 3 adalah kali yang terakhir sebelum ini iaitu pada 10 Feb 1960


Sultan Johor yang keempat iaitu Almarhum DYMM Sultan Iskandar ibni almarhum Sultan Ismail tidak mengadakan Istiadat Pemahkotaan sehinggalah baginda mangkat pada 22 Jan 2010.

Ini bermakna, sehingga kini rakyat Negeri JDT tidak sudah tidak menyaksikan Istiadat ini selama lebih 55 tahun.

DYMM Sultan Ibrahim telah diisytihar dan mengangkat sumpah menaiki tahta Sultan Johor pada 23 Jan 2010  berikutan dari kemangkatan paduka ayahandanya Sultan Iskandar Alhaj.


ISTIADAT KEMAHKOTAAN
SULTAN JOHOR KE 5




Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor adalah suatu istiadat diraja Johor yang memahkotakan Sultan Ibrahim selaku Sultan Johor ke-5 dengan mahkota kerajaan negeri. Istiadat ini diadakan pada 23 Mac 2015 di Istana Besar Johor, Johor Bahru.

Istiadat Kemahkotaan ini diadakan bukan dengan kuasa dan kehendak undang-undang bahkan ia merupakan warisan tradisi Diraja Johor mengikut fasal 4, bahagian ke-5 Lembaga Aturan bagi Perintah Majlis Raja, Majlis Istana dan Agama 1922 memperuntukan kemahkotaan boleh diadakan pada sebarang masa mengikut budi bicara dan kehendak Sultan Johor.

Kali terakhir Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor ialah kemahkotaan DYMM Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan Sultanah Ungku Tun Aminah pada 10 Februari 1960.

Istiadat yang diperkenalkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar ini memaparkan kesinambungan tiga unsur budaya yang mempengaruhi Kesultanan Johor Moden iaitu Melayu, Islam dan Barat.

Istiadat ini diadakan secara eksklusif dengan kehadiran Raja-raja Melayu dan Paduka Sultan Brunei, Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri Singapura, kerabat terdekat Sultan Johor dan dif-dif kenamaan. Walau bagaimanapun, rakyat kebanyakan negeri dapat menyaksikan perjalanan Istiadat Kemahkotaan itu secara langsung melalui televisyen.

Istiadat-istiadat

Bagi mengiringi keberlangsungan Istiadat Kemahkotaan untuk menzahirkan kemeriahan tradisi diraja johor, terdapat istiadat-istiadat lain yang turut dijalankan sebelum dan selepas Istiadat Kemahkotaan tersebut.

Istiadat Meletak Kerja

Istiadat Meletak Kerja atau turut dikenali sebagai Istiadat Mula Kerja merupakan istiadat yang diperkenalkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dengan mencipta satu bendera khusus pada 1871. Istiadat ini adalah untuk mengisytiharkan permulaan kerja-kerja rasmi sebelum berlangsungnya istiadat yang sebenar.

Istiadat Meletak Kerja sempena Istiada Kemahkotaan ini diadakan pada 16 Mac 2015, bersamaan 25 Jamadilawal 1436H di Tugu Peringatan Istana Besar Johor Bahru. Upacara ringkas ini dimulakan dengan pengumuman oleh Dato’ Penghulu Istiadat Menyeru Memulakan Majlis, diikuti dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, tujuh das letupan meriam dan Bendera Istiadat Kerajaan dinaikkan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Bendera ini akan terus berkibar sehingga tamatnya tempoh Istiadat Kemahkotaan iaitu 20 April nanti.

Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran

Pada hari Jumaat sebelum berlangsungnya Istiadat Kemahkotaan, 20 Mac 2015 bersamaan 29 Jamadilawal 1436H, YAM DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan kerabat diraja yang terdekat telah berangkat hadir ke Masjid Abu Bakar bagi melangsungkan majlis bacaan Surah Yaasin, tahlil dan doa selamat sempena hari istimewa itu.

Majlis bacaan dan doa akan diketuai oleh Mufti Negeri Johor.

Istiadat Siram Tabal

Pada hari Sabtu, 21 Mac 2015 bersamaan 30 Jamadilawal 1436H, DYMM Sultan Ibrahim bersama DYMM Raja Zarith Sofiah telah melangsungkan Istiadat Siram Tabal, suatu istiadat yang diwarisi sejak Kesultanan Melayu Melaka dan dilakukan oleh kebanyakan Raja-raja Melayu. Istiadat ini diadakan sebagai simbolik pembersihan diri dan menjauhkan bala bencana.

Sebuah "Panca Persada" iaitu sejenis pentas diraja yang dijadikan tempat mandi telah didirikan di Perkarangan Bukit Bintang, Istana Besar, untuk istiadat tersebut. Istiadat bersiram ini juga menggunakan air daripada hulu sungai di setiap 10 daerah di negeri Johor sebagai lambang kekuasaan baginda ke atas seluruh negeri dan jajahan takluk baginda. Air itu nanti akan dicampur bersama air tahlil dan doa serta air zam-zam.

Istiadat ini khusus kepada kerabat terdekat dan jemputan diraja sahaja.

Tunku Kamariah Binti Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Puteri Johor yang juga kakanda sulung Sultan Ibrahim yang telah menyempurnakan istiadat ini. Istiadat ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Negeri dan Istiadat Tepung Tawar oleh ibunda Sultan Ibrahim iaitu Enche’ Besar Hajah Khalsom binti Abdullah.

Istiadat Kemahkotaan

Istiadat Kemahkotaan ialah kemuncak bagi perayaan gilang-gemilang negeri Johor ini. Istiadat ini diadakan di Bilik Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru.

Istiadat dimulakan dengan kehadiran dif-dif kehormat dan kenamaan, keberangkatan tiba tetamu kehormat mengikut turutan:

  • Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor dan isteri,
  • YAB Menteri Besar Johor, Dato' Seri Mohamed Khaled dan isteri.
  • Tunku Besar Zabedah Binti Almarhum Sultan Iskandar.
  • Tunku Kamariah Binti Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Puteri Johor dan Tengku Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tengku Panglima DiRaja Selangor,
  • Tunku Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
  • Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
  • Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor.
  • Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
  • Tunku Abdul Majid Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Aris Bendahara dan Tunku Teh Mazni.
  • Enche’ Besar Hajah Khalsom Binti Abdullah.
  • Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
  • Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan Che’ Puan Khaleeda.
  • Perdana Menteri Republik Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri.
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib dan isteri.
  • Yang di-Pertua Negeri dan Toh Puan-Toh Puan.
  • Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Raja-Raja Permaisuri.
  • Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
Selepas semua jemputan kenamaan dan tetamu diraja berangkat tiba, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pula berangkat dan membuat Pemeriksaan Barisan Kehormatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor dengan iringan Lagu Bangsa Johor. Kemudian, baginda berdua akan berangkat ke Bilik Persemayaman buat sementara.
Tatkala itu, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja akan berangkat masuk ke Bilik Singgahsana dengan diiringi oleh Tuan-Tuan Yang Dipertua, Perdana Menteri dan pasangan masing-masing. 

Selepas semua jemputan dan tetamu diraja mengambil tempat yang disediakan, DYMM Tuanku Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pula berangkat masuk ke Bilik Singgahsana. Lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum Istiadat dimulakan.

Istiadat Kemahkotaan pun bermula. Istiadat ini akan menyaksikan Mufti Negeri Johor memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim dan juga Mahkota Permaisuri di kepala Raja Zarith Sofiah. Dengan pemakaian mahkota di kepala Raja Zarith Sofiah, adalah dengan rasmi dimasyhur baginda dengan gelaran "Permaisuri Johor", gelaran pertama digunakan buat suri Sultan Johor dalam sejarah Kesultanan Johor.

Selesai Istiadat Kemahkotaan, Timbalan Mufti Negeri Johor membacakan doa dengan disambut Lagu Bangsa Johor dan 21 das Bedilan Selamat. Majlis Mengadap Takzim pula diadakan. Setelah tamat, DYMM Sultan dan Permaisuri Johor berangkat pula ke Anjung Istana untuk menyaksikan Lintas Hormat Udara. Istiadat diakhiri dengan pasangan diraja ini berangkat ke Perarakan DiRaja dan keberangkatan balik semua tetamu diraja dan jemputan khusus sebelum majlis bersurai.

Majlis Santapan Diraja

Majlis Santapan Diraja diadakan pada malam hari Istiadat Kemahkotaan untuk DYMM Sultan dan Permaisuri Johor meraikan hari istimewa baginda bersama tetamu diraja dan kerabat baginda. Santapan ini juga bagi memberi peluang kepada baginda untuk meluaskan diplomasi antara kerajaan baginda dan negeri-negeri sekitar.

Tetamu diraja yang hadir semasa Istiadat Kemahkotan dijemput hadir sekali lagi ke Majlis Santapan Diraja ini dengan diserikan juga kehadiran Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Al-Haj dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Majlis Santapan ini diadakan di Istana Besar Johor.

Istiadat Kurniaan Darjah dan Pingat

Seminggu selepas Istiadat Kemahkotaan, iaitu Isnin, 30 Mac 2015 DYMM Sultan Ibrahim berkenan pula untuk mengurniakan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Johor kepada penerima yang dirasakan baginda berhak untuk menerimanya. Majlis ini turut diadakan di Istana Besar.

Majlis Santapan Negeri

Majlis Santapan Negeri adalah Majlis Santapan rasmi sempena Istiadat Kemahkotaan di peringkat negeri. Berbeza dengan Majlis Santapan Diraja, Majlis Santapan Negeri menerima tetamu dari kalangan pembesar negeri, penerima-penerima darjah kebesaran negeri dan tokoh-tokoh yang menaikkan negeri Johor.

Majlis Santapan Negeri ini diadakan di PERSADA Johor Bahru pada 31 Mac 2015.

Pengurniaan Gelaran Permaisuri

Pada Januari 2015, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan satu gelaran baru kepada suri baginda, Raja Zarith Sofiah ibni Almarhum Sultan Idris Shah sebagai "Permaisuri Johor" yang pertama kali digunakan dalam negeri ini.

Ketika baginda Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada Januari 2010, orang ramai kebanyakannya menggelarkan suri baginda, Raja Zarith Sofiah dengan gelaran Sultanah. Walau bagaimanapun, perkara ini ditegur oleh pihak istana kerana gelaran Sultanah itu adalah hak Sultan Johor dan perlu dikurniakan Sultan melalui suatu majlis istiadat sebelum memakainya. Gelaran rasmi untuk baginda ialah Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan dibahasakan Tuanku dalam semua ucapan dan persuratan.

Mengikut sejarah, gelaran bagi suri Sultan Johor yang pernah dikurniakan adalah Tunku Ampuan dan Sultanah. Bagi memudahkan perbezaan bagi kedua-dua gelaran tersebut, Menteri Besar Johor, Dato' Abdullah bin Jaafar melalui Percanangan Dalam Bilangan 4 bertarikh 24 Julai 1924 telah menyatakan:

"isteri yang khas bagi Sultan dari pihak gahara yakni isterinya itu dari taraf anak Raja digelarkan dia Tunku Ampuan. Jika lain dari itu digelarkan Sultanah."

Mengikut ketetapan tersebut, gelaran bagi suri Sultan Johor yang berdarah gahara iaitu mempunyai darah raja dari kalangan Kesultanan Johor Moden (lazimnya mempunyai nama awalan "Ungku") adalah layak diberikan gelaran Tunku Ampuan Johor seperti yang digunakan oleh Tunku Ampuan Mariam binti Almarhum Ungku Abdul Majid, suri Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar. Tunku Ampuan Mariam dimahkotakan dan digelar Tunku Ampuan pada 2 November 1895.

Gelaran Sultanah pula diberikan oleh Sultan Johor kepada suri baginda yang dari berdarah keturunan rakyat biasa atau orang kebanyakan seperti Sultanah Fatimah, Sultanah pertama Johor dan Sultanah Hajah Zanariah, Sultanah Johor yang terakhir sebelum Sultan Ibrahim Ismail naik takhta.

Disebabkan Raja Zarith Sofiah adalah darah gahara dari Kesultanan Perak, iaitu di luar dari susur galur darah keturunan Kesultanan Johor, dan juga puteri langsung dari Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah dan bukannya puteri kerabat yang jauh, taraf baginda sudahpun tinggi dari kalangan yang lain. Disebabkan itu, baginda berkenan untuk memperkenalkan gelaran Permaisuri Johor buat Raja Zarith Sofiah bagi menunjukkan perbezaan status asal baginda.

Gelaran Permaisuri Johor mula digunapakai secara rasmi bermula ketika Istiadat Kemahkotaan ini.

Istimewa Sempena Istiadat

Bersempena dengan Hari Istiadat Kemahkotaan tersebut, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan 23 Mac 2015 sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Johor bagi merai dan memeriahkan sambutan hari istimewa tersebut. Kerajaan negeri juga menyeru syarikat swasta untuk turut membenarkan pekerja untuk bercuti dalam semangat ingin menyambut hari kebesaran negeri itu.

Jata Kemahkotaan Sultan Ibrahim

Jata khusus Istiadat juga dikeluarkan oleh Jumuah Majlis Diraja Johor. Dua jata tersebut, yang satu daripadanya memaparkan gambar Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah bersama bendera peribadi Sultan dan Sultanah Johor manakala satu jata lagi hanya memaparkan logo peribadi Sultan Ibrahim bersama bendera peribadi Sultan dan bendera negeri Johor. Kedua-duanya mempunyai ketopong atau mahkota di atas manakala di bawahnya terdapat cogan kata "توكل كڤد الله" (Tawakal Kepada Allah) yang mempunyai sinonim kepada cogan kata jata negeri iaitu "Kepada Allah Berserah".

Pos Malaysia turut mengeluarkan Sampul Hari Pertama dan setem pos yang direka khas sempena Istiadat Kemahkotaan ini, dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM1. Bank Negara Malaysia turut membuat dan menjual medalion emas sempena Istiadat ini.

Sultan Ibrahim turut menitahkan agar penggunaan tulisan Jawi diperluaskan dalam hebahan dan iklan-iklan berkenaan Istiadat Kemahkotaan ini. Tujuan baginda adalah untuk menyemarakkan kembali penggunaan tulisan jawi di kalangan orang awam di Johor.
Istana Besar Johor Johor juga dititah Sultan untuk dinaiktaraf serta diperbaharui warna dindingnya kembali kepada warna asal iaitu berwarna kuning telur, berbeza dengan warna ketika pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar iaitu biru dan putih. Hiasan dalamannya juga dinaiktaraf sesuai untuk meraikan tetamu ketika Istiadat Kemahkotaan nanti.



Biodata ringkas DYMM Sultan Ibrahim

D.Y.M.M SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM

DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, diputerakan pada 22hb. November 1958 di Hospital Besar Johor Bahru (Sekarang Hospital Besar Sultanah Aminah). Baginda adalah putera pertama dari sepuluh (10) orang adik beradik. Baginda mula menerima pelajaran di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam Johor Bahru kemudian memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1), Johor Bahru. Baginda telah dihantar belajar di Trinity Grammer School Australia pada tahun 1968 hingga 1970.

Baginda mengikuti persekolahan menengah di Maktab Sultan Abu Bakar dari tahun 1971 hingga 1975.

Setelah tamat persekolahan, DYMM Tuanku telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Kota Tinggi, selama 3 bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan. Setelah menamatkan latihan di PULADA baginda dihantar mengikuti latihan lanjutan ketenteraan di US Infantry School, Fort Benning, Georgia dan JKF Special Warfare School di Fort Bragg, North Carolina. Ketiga-tiga kursus ketenteraan ini menjadikan baginda memiliki kelayakan penuh untuk menjadi pegawai tentera bertauliah. 

Dalam bidang kesukanan pula, permainan polo merupakan permainan yang sangat-sangat digemari dan juga merupakan seorang pemain polo yang sangat handal dan terkemuka bukan sahaja di negeri ini bahkan dirantau Asia. DYMM Tuanku pernah menyertai permainan polo di Singapura, Manila dan Brunei.

Selain bermain polo, DYMM Tuanku juga gemar bermain tenis, boating (water ski), payung terjun, menembak dan memandu kereta laju (sport car).

DYMM Tuanku sangat mengambil berat tentang kegiatan-kegiatan sosial di dalam negeri dan amat mesra dengan rakyat. DYMM Tuanku ialah Penaung Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Johor.

DYMM Tuanku telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) di dalam satu upacara yang sederhana tetapi penuh istiadat di Istana Besar Johor Bahru pada 3hb. Julai 1981. 

Semasa menjadi Tunku Mahkota, baginda telah menjalani latihan asas penerbangan helikopter di Pusat Latihan Terbang II, TUDM Kluang dan layak menerima sayap penerbangan pada bulan Julai tahun 1982.

Pelantikan ini telah dilakukan oleh ayahandanya iaitu Almarhum D.Y.M.M Sultan Iskandar dengan disaksikan oleh Yang Maha Mulia Sultanah Johor, Kerabat-Kerabat Damping, Ahli Jumaah Majlis DiRaja, Pembesar-Pembesar Negeri dan Orang-Orang Kenamaan.

DYMM telah dilantik Pemangku Raja pada Hari Jumaat 22 Januari 2010 bersamaan 6 Safar 1431 Hijrah kerana ayahandanya gering. Dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada hari Sabtu 23 Januari 2010 bersamaan 7 Safar 1431 Hijrah setelah ayahandanya mangkat.

DYMM Sultan Ibrahim berkahwin dengan Raja Zarith Sofiah (14 Ogos 1959) binti almarhum Sultan Idris al Mutawakil Allah Shah Afifullah DK SPMJ SPCM pada 19 September 1982 dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri. 
  1. Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar DKI DKII SPMJ SMJ PIS (30 Jun 1984)- Raja Muda Johor (8 April 2006) Tunku Mahkota Johor (29 Jan 2010). Berkahwin dengan Che Puan Khalida binti Bustamam (8 Nov 2014).
  2. Paduka Putri Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah DKII DPMJ PIS (8 April 1986)
  3. Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman DKI SPMJ PIS (25 Dis 1987) - Tunku Temenggung Johor (22 Nov 2012)
  4. Tunku Abdul Jalil Iskandar DKI DPMJ PIS (5 Jul 1990)- Tunku Laksamana Johor (22 Nov 2012).
  5. Tunku Abdul Rahman Hasanal Jeffri DKI DPMJ (5 Feb 1993) - Tunku Panglima Johor (22 Nov 2012)
  6. Tunku Abu Bakar Iman DK DPMJ (30 Mei 2001) - Tunku Putra Johor (22 Nov 2012).

 
Keluarga DYMM Sultan
.
Sebagai menyempurnakan tradisi kesultanan Johor moden yang diasaskan oleh almarhum Sultan Abu Bakar, majlis pemahkotaan (pertabalan) Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor yang penuh istiadat di adakan pada hari Ahad, 23 Mac 2015.



 






Istiadat Meletak Kerja

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Bermula Dengan Istiadat Meletak Kerja

JOHOR BAHARU, 16 Mac (Bernama) -- Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dimulakan Isnin dengan Istiadat Meletak Kerja sebagai simbolik bermulanya istiadat berkenaan.

Istiadat itu disempurnakan dengan upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar, di sini pada pukul 9.15 pagi.

Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsudin.

Istiadat itu disaksikan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Datuk Penghulu Istiadat Datuk Abdul Latiff Yusof ketika membacakan pengisytiharan berkata bendera berkenaan akan dikibarkan mulai hari ini dan diturunkan semula pada 21 April depan.

Tujuh das tembakan meriam kedengaran sejurus selepas bendera dinaikkan.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden akan diadakan pada Isnin depan di Istana Besar, di sini.


http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1117309















Istiadat Siram Tabal

JOHOR BHARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini menjalani Istiadat Siram Tabal di pekarangan Bukit Bintang, Istana Besar, di sini.

Baginda berdua berangkat ke istiadat itu pada 3.30 petang sebelum naik ke Panca Persada tempat bersiram diadakan.

Sultan Ibrahim yang memakai baju Melayu teluk belanga berwarna putih dan Raja Zarith Sofiah yang memakai baju kurung teluk belanga berwarna sama, bersemayam di peterana di Panca Persada setinggi sembilan tingkat.

Istiadat dimulakan dengan doa oleh Mufti Johor, Datuo'Tahrir Samsudin dan kemudiannya disusuli istiadat menepung tawar ke atas Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah oleh bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Enche' Besar Hajah Khalsom diiringi kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.
Selesai Istiadat Tepung Tawar, Istiadat Siram Tabal terhadap Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian disempurnakan Tunku Kamariah dengan menyiram air yang diambil dari 10 sungai di 10 daerah di negeri ini menggunakan batil (gayung).

Ketika istiadat berlangsung, kelihatan 19 wanita yang memegang ceper (dulang) dan batil, sembilan wanita pemegang kain tabir dan empat kerabat diraja terdekat yang membantu menjalankan istiadat itu.

Istiadat itu selesai dengan bacaan doa oleh Dato' Hj Tahrir bin Shamsudin.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat meninggalkan majlis istiadat pada kira-kira 4.00 petang.

Turut berangkat menyaksikan istiadat itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, para anakanda dan kerabat diraja lain.
Turut hadir, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar, barisan EXCO kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Istiadat Siram Tabal atau biasanya disebut istiadat raja bersiram dijalankan mengikut tradisi dan menjadi simbolik pembersihan diri serta jiwa sebelum Sultan memulakan tugas.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden akan berlangsung Isnin ini di Istana Besar, di sini.


- BERNAMA

http://www.bharian.com.my/node/42382










Istiadat Kemahkotaan


 
Raptai pada 20 Mac 2015



.
ISNIN, 23 MAC 2015 @ 10:42 AM

Sultan Ibrahim Dimahkota Sebagai Sultan Ke5 
Johor Moden

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi ini.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia.
Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu.

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir.

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri 'Diadem' di kepala Raja Zarith Sofiah. - BERNAMA







Image result for sultan ismail johor


  




.






.



.

.


.

No comments:

Post a Comment