DAWN RAID 1981
Kesah dan sejarah Dawn Raid 1981 ini ditimbulkan semula
apabila berlakunya krisis politik Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.
Khalid Ibrahim (YAB Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim)
sedang dalam keadaan genting apabila dia dipecat keahliannya dalam PKR dan
seterusnya dipaksa meletak jawatan bagi membolehkan DSAI melaksanakan niatnya
untuk meletakkan DSWA sebagai MB Selangor yang baru.
Elok juga kerana dari maklumat ini, aku teruja untuk
mencari lebih banyak maklumat tentang Dawn Raid 1981. Aku dapati banyak blog
yang menulis tentang sejarah ini. Kalau Idi Amin Dada (bekas Presiden Uganda)
yang merampas kuasa dari Presiden Milton Obote pada tahun 1971 kemudian
melakukan beberapa lakuan untuk memalukan bekas negara penjajahnya British, Dr
Mahathir Mohamad, mantan PM Malaysia apabila mengambil-alih pucuk pimpinan
Malaysia pada 1981 juga mempunyai agendanya sendiri untuk memalukan bekas
penjajah Inggeris.
Di antara pelaku utama (hero) dalam gerakan sulit ini
adalah Abdul Khalid Ibrahim.
Rujukan Utama:
http://www.jomjalan.com.my/blog/2013/04/06/dawn-raid-guthrie-1981/ dan beberapa blog lagi.
Sejarah “Dawn Raid”
Pada 7 September 1981, kota London digemparkan dengan
pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie di London. Guthrie yang
berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara syarikat perladangan terbesar
British jatuh ke tangan pihak asing di dalam masa 4 jam sahaja.
Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke
tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang baru
memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.
Latarbelakang – Kemiskinan Orang Melayu dan Kekayaan Orang
Inggeris
Pemandangan yang lazim selepas merdeka –seorang pesawah
wanita sedang menanam anak padi.
Selepas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, hampir 1 juta
bangsa pendatang seperti Cina dan India diberi kerakyatan secara
beransur-ansur. Sebagai balasannya, mereka bersetuju untuk menghormati hak
istimewa orang Melayu dalam perlembagaan.
Setelah lebih 10 tahun merdeka, pegangan orang Melayu
terhadap kekayaan bumi Malaya sangat kecil. Walaupun orang Melayu merupakan
majoriti , bangsa ini memegang hanya 1.5% bahagian harta korporat (itupun
melalui syarikat kerajaan) berbanding bangsa Cina sebanyak 22.8%. Walaupun
tidak lagi menjajah, bangsa Inggeris pula memegang lebih 60 % dari kekayaan
negara ini.
Pada masa yang sama, hampir separuh penduduk Malaya tinggal
di bawah paras kemiskinan. Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di kampung
sebagai petani dan pesawah adalah bangsa paling ramai tinggal dalam kemiskinan
(74%).
Ketidaksamarataan kekayaan dan sikap perkauman tebal
menyebabkan beberapa insiden pergaduhan terjadi berulang-ulang diantara kaum
pribumi yang miskin (Melayu) dengan kaum pendatang yang kaya (Cina). Ia berlaku
di beberapa tempat seperti di Georgetown, Pangkor dan Bukit Mertajam —
sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1969 diKuala Lumpur.
Dalam keputusan pilihanraya tahun itu, parti-parti bangsa
Cina dan parti Islam berjaya menafikan majoriti parlimen parti pemerintah,
sekaligus menyebabkan orang Melayu gusar kehilangan bukan sahaja kuasa ekonomi
malah kuasa politik mereka. Orang Cina pula merayakan kemenangan mereka dengan
berarak membawa penyapu dan melemparkan laungan provokatif dalam perarakan
besar di Kampung Baru , Kuala Lumpur – satu kawasan penempatan yang dihuni kaum
Melayu.
Provokasi ini akhirnya mencetuskan insiden berdarah 13 Mei
1969 yang mengakibatkan ratusan mati dan darurat di isytiharkan.
Antara pihak yang lantang menyalahkan kerajaan pada waktu
yang dianggap memberi muka kepada kaum pendatang ialah seorang ahli parti
pemerintah bernama Mahathir Mohammad yang mengkritik Perdana Menteri pertama
dengan satu surat terbuka.
Katanya sikap berlembut Tunku Abdul Rahman menyebabkan “…
orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu.
Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah
Tunku faham perasaan orang Melayu.”
Kerana kritikan ini, beliau dipecat dari parti itu.
Dasar Bagi Membantu Orang Melayu
Apabila Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri ke-2
(1970-1976) beliau memperkenalkan satu dasar yang dianggap radikal yang diberi
nama Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Tujuannya untuk menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan
memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30%
pada tahun 1990. Dasar ini bukan saja akan membantu orang Melayu, tetapi juga
boleh mengelakkan krisis antara kaum terjadi lagi.
Walaupun adanya dasar baru ini, pemilikan syarikat-syarikat
Inggeris sebenarnya semakin bertambah. Guthrie contohnya, mempunyai 175,000
ekar pada tahun 1970an tetapi memiliki lebih 190,000 ekar tanah kelapa sawit,
getah dan teh pada tahun 1981.
Sekitar tahun 1970an juga, seorang hartawan bijih timah
Cina dari Ipoh bernama Lee Loy Seng giat membeli tanah pertanian dari British
sehingga menyebabkan beliau menjadi salah seorang pemegang tanah terbesar di
negara ini.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat British
melengah-lengahkan usaha kerjasama dengan kerajaan dengan mengadakan perjumpaan
demi perjumpaan dengan wakil kerajaan tanpa sebarang resolusi. Guthrie juga
menolak usaha kerajaan untuk penanaman semula getah untuk pekebun kecil Melayu
dan penubuhan kesatuan sekerja yang dianggap menyusahkan British.
Tetapi atas tekanan Bank Negara Malaysia, Guthrie akhirnya
menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie yang diberi kurang 17%
dari jumlah tanah Guthrie di Malaysia. Usaha kerajaan ini bertujuan agar orang
tempatan dapat membeli sebahagian kecil tanah Guthrie melalui Bursa Saham Kuala
Lumpur. Namun begitu, tembelang British akhirnya pecah apabila didapati bahawa
kebanyakan tanah kepunyaan Guthrie-Ropel adalah tanah yang buruk untuk
pertanian dan lazimnya terletak di atas kawasan bukit.
Mahathir sewaktu sidang PBB
Mahathir yang diterima masuk semula pada 3 tahun selepas
dipecat, akhirnya menjawat kerusi Perdana Menteri pada tahun 1981.
Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir
dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak
merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf. Dan jika pemegang
jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan mengekalkan
hubungan baik dengan Inggeris, Mahathir pula belajar di Universiti Malaya
Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris dan terkenal dengan sikap
anti-penjajahnya.
Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik
dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang dari
India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.
Dua tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak
Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang
melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar asing,
tetapi tidak kepada pelajar Eropah.
Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia
di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3 kali ganda
secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu menyerap
pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah universiti.
Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan
memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka masa
panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.
Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia
agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan terbang
Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar kewibawaan kerajaan
Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde miliknya menceroboh ruang
antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke Singapura.
Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang
masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.Dato Ismail Ali Sebagai
Pemimpin Serangan. Tandatangan Ismail atas wang kertas 50 ringgit Malaysia
sewaktu menjadi Gabenor Bank Negara.
Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan
ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam seperti
pengerusi PNB, Dato Ismail Ali. Secara kebetulan, abang ipar Mahathir ini juga
adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat menggesa Guthrie menubuhkan
Guthrie-Ropel.
Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan
PNB-satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.
Sewaktu menyandang jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau
menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu pengerusi
Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan Guthrie, Eric
Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali untuk “menunggu diluar
pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat diadakan
Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang
disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank
tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka cawangan di
Malaysia.
Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan
orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada wakil
PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju syarikat. Ini
termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya kepada MPH, sebuah
syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di Malaysia pada awal 1981.
Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba
membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu) sehingga
menyebabkan Mahathir campurtangan. Agar ia tidak didominasi bangsa Cina,
Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai kepentingan dalam UMBC.
Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan
demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir mengganti orang
Inggeris menguasai ekonomi negara ini.
Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie
mesti diambilalih secepat mungkin.
Kerjasama Pelbagai Pihak
Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang
merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri
Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang untuk
mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.
Empat bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui
oleh pengurus pelaburan bernama
Khalid Ibrahim diberi tugas khas untuk meneliti dan
merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.
Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu
syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan PNB
dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd diarahkan
untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih. Jika positif,
mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana ianya boleh dibuat.
Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu
kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan
kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie boleh
dibuat. Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin hingga Inggeris
tidak sempat melakukan pertahanan.
Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan
(sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan
menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang Melayu 4
bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham Nasional (ASN).
Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan
Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh
Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan pembayaran
saham.
Mengapa Guthrie?
Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur
Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa
syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut
antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment Office dan
OCBC.
Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15%
saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% , sekaligus
menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.
Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi membeli
saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe & Pittman
pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie dari pelabur-pelabur
kecil.
Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie
di Malaysia dan di Londondibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti
dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.
Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya
sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung. Mohammad Desa
Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak diberitahu secara
terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.
Operasi Serangan Subuh atau “Dawn Raid”
Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9
pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).
Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan
persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan
mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja
— sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.
Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan
secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal
melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan
serangan hendap ini.
Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian
di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan
menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.
Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk
berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC
untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul
3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.
Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya
menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari
pelabur Inggeris pada pagi tersebut.
Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin
Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari.
Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita
kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.
Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk
tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait,
Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.
Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma
yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar
Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah
saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie
miliknya.
Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli
saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham
dari orang Inggeris.
Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya
memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari
atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.
Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam
genggaman Malaysia.
Mahathir Terus Menekan British
Laporan akhbar Glasgow Herald di London pada 8 Sept 1981,
Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa syarikatnya jatuh ke
tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di radio.
Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi
kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan
kerajaan British malu besar.
Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga
“licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai
“nasionalisasi pintu belakang”. Sebagai tindakbalas, London kemudiannya
bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan
syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan cara
sama.
Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan
pengumuman baru Mahathir.
Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot
barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan Buy
British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di London
mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah mengarahkan
agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.
Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak
semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling yang
sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal tayar kepada
kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada sebuah syarikat Amerika
Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual kepentingan mereka kepada MPH.
Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan
dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah pegangan
anak tempatan.
Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan
memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur sebagai
tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.
Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot Persidangan
Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang diterajui oleh
Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan kepentingan orang berkulit
putih.
Beliau juga mengumumkan dasar baru kerajaan iaitu Dasar
Pandang ke Timur. Dengan dasar ini , cara kerja Inggeris akan digantikan dengan
cara pengurusan dan kerja orang Jepun, Taiwan dan Korea.
Hasil Besar dari Serangan
Operasi mengejut “serangan subuh” ke atas Guthrie dan
dasar-dasar keras Mahathir memberi impak besar dalam masa yang cukup singkat.
Firma-firma British di Malaysia yang sebelum ini bersikap
acuh tidak acuh kepada arahan kerajaan Malaysia kini akur membuka pintu
rundingan.
Tidak lama selepas itu, tiga syarikat perladangan besar
British di Malaysia — Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons &
Crosfield (H&C) akhirnya tunduk menjual kepentingan mereka di Malaysia
kepada PNB. Hasilnya, tanah milik Guthrie dan tanah-tanah lain milik Inggeris
di Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.
Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa
sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di India,
New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada asset-aset
Inggeris dari seluruh dunia.
Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu
muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.
Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan,
Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar Malaysia,
keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna sewaktu Dawn Raid.
Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara
percuma.”
Nota:
1. Penulis asal artikel ini di dalam blognya merakamkan
jutaan terima kasih kepada Dr. Shakila Yacob atas kesudian memberi manuskrip
kajian beliau bersama Nicholas J. White untuk rujukan penulis.
2. Penulis memaparkan tulisan ini sebagai rencana ilmiah, dan
tidak berminat untuk memihak kepada mana-mana individu atau parti politik.
3. Penulis mendapati terdapat sumbangan penting tokoh-tokoh
lain dalam Dawn Raid seperti Ananda Krishnan dan Tengku Razaleigh. Tidak
disebut dlm artikel ini kerana kekurangan sumber maklumat.
4. Loophole/kelemahan bursa London pada waktu itu tidak
diperincikan untuk memudahkan pemahaman pembaca.
Rujukan:
Shakila Yacob & Khadijah Md Khalid (2012): Adapt or
Divest? The New Economic Policy and Foreign Businesses in Malaysia (1970-2000),
The Journal of Imperial and Commonwealth History, 40:3, 459-482
Shakila Yacob & Nicholas J. White (2010): The
“Unfinished Business” of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie
Dawn Raid, Cambridge University Press 2010
Karminder Singh Dhillo (2009): Malaysia Foreign Policy in
the Mahathir Era, 1981-2003: Dilemmas of Development
Brian Ritchie (2005): Coalitional Politics, Economic
Reform, and Technological Upgrading in Malaysia, Elsevier World Development Vol
33, pp 745-761
Abdul Rahman Embong (1996): Social Transformation, the
State and the Middle Classes in Post-Independence Malaysia, Southeast Asian
Studies, V01. 34, No. 3, December 1996
Boon Kheng Cheah (2002) : Malaysia: The Making of a Nation
Tin Price Moves Jolt Market : Reuters (The New York Times);
Financial Desk, November 28, 1981, Saturday
Surat Terbuka Dr. Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman, Jun
1969
PNB Wresjhts Control of Guthrie Corp : The Straits Times
Singapore, September 9, 1981
PNB Making Up For Lost Time: The Straits Times Singapore,
September 16, 1981
O
.
No comments:
Post a Comment