Friday, March 6, 2015

M 133 ADAT PERPATIH


Image result for adat perpatih


Pada tahun 2012 aku telah mengambil keputusan untuk menghabiskan usiaku (selepas bersara) di negeri yang mempunyai keunikan adat tersendiri, iaitu Negeri Sembilan. Aku membeli sebuah rumah di Taman Ampangan, Paroi, Mukim Ampangan, Seremban. Andainya Allah memberikan aku usia yang lebih panjang, dengan izinya aku bakal bermastautin di Taman Ampangan, Negeri Sembilan.

Insyaallah jika diizinkan Allah juga, dengan ilmu dan pengalaman yanga ku miliki, aku ingin menabur bakti kepada masyarakat setempat.

Sebelum, memulakan langkah untuk menjadi warga NS, aku ingin membuat sedikit research berkaitan adat istiadat Perpatih yang berkait rapat dengan NS ini melalui wikipedia.

SEREMBAN - 23 OGOS 2006 - SLUG : 240806-NSS-MEGAADAT - PERHATIAN

ADAT PERPATIH


Negeri Sembilan mempunyai adat, kebudayaan, sejarah, tradisi dan sistem politiknya yang agak unik. Peribahasa "biar mati anak, jangan mati adat" telah menjadi pegangan hidup rakyat yang berketurunan Minangkabau. Adat perpatih telah wujud di Tanah Melayu sejak kurun ke-14, kekal menjadi adat yang unik di Negeri Sembilan sehingga kini. Ia amat jelas diterangkan dalam pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku yang memihak kepada kaum wanita. 

Menurut sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi susurgalur keturunan seseorang itu adalah "mengikut perut" iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Melalui persemendaan ini jugalah masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali dengan nama "suku".

Related image

Adat Perpatih Di Negeri Sembilan

Keunikannya adat adalah berdasarkan kepada sumber adat tersebut dan sistem nasab ibu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Disebabkan itu, ia merupakan peraturan atau undang-undang dalam masyarakat orang Melayu di Negeri Sembilan dan kata-kata yang diungkapkan dalam adat perpatih iaitu "perpatah-pertitih" mempunyai nilai-nilai kesenian yang tinggi. Para sarjana pernah mencatatkan hasil sastera lama Melayu adalah pancaran masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Oleh itu, perpatah-petitih ini dapat menyingkap tentang weltanschuung atau pandangan hidup masyarakat Melayu secara umum dan etos Melayu khususnya. Adat Perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat itu boleh menerima perubahan masa ke semasa. Ini boleh dilihat dari segi politik dimana sistem Yamtuan Besar dan Dato'-Dato Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat termasuklah institusi Dato' Lembaga dan buapak-buapak. Dari aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan. Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik.

Adat Perpatih should keep up with times

Suku dan Perut

Masyarakat Melayu Negeri Sembilan dikelaskan mengikut nenek moyang mereka. Pengkelasan ini dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan yang daripada sebelah ibunya. Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu:

1.    Biduanda
2.    Batu Hampar
3.    Mungkal
4.    Sri Lemak
5.    Paya Kumboh
6.    Tiga Nenek
7.    Sri Melenggang
8.    Batu Belang
9.    Tanah Datar
10.  Anak Acheh
11.  Anak Melaka
12.  Tiga Batu


Seseorang yang membuat tafsiran mengenai nilai-nilai yang terdapat dalam adat sehubungan dengan ungkapan "biar mati anak, jangan mati adat" ini hanya melihat dari sudut kategori yang keempat di atas sahaja. Pepatah "biar mati anak jangan mati adat" yang menjadi pegangan asas sistem hidup bermasyarakat dalam Adat Perpatih ini sering disalah tafsir bukan sahaja orang biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin Melayu. Semua ini berlaku adalah disebabkan mereka kurang memahami maksud sebenarnya yang dikatakan mengenai adat tersebut.


Asal Usul Adat Perpatih


Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi. Adat ini mungkin berumur 3000-4000 tahun berdasarkan dari banyaknya persamaan adat ini dengan orang Polynesia, Micronesia dan Melanesia yang telah berhijrah ke sana dan membawa adat resam ini bersama mereka. Contohnya orang Palau ,salah satu etnik penutur bahasa-bahasa Melayu-Polinesia masih mewariskan harta sepenuhnya kepada anak perempuan dan dijaga oleh anak lelaki, ketua suku dan raja mereka

Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Naning. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.


Struktur Masyarakat Adat Perpatih

Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku dan Luak

1.    Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak. Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. 

2.    Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga

3.    Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang

Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.

Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.

Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. 

Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.

Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menyatakan, Undang Luak Johol, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau, Tunku Besar Tampin dan Yang di-Pertuan Besar adalah Raja dan Pemerintah bagi Negeri Sembilan.

Mereka bersama mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal adat Melayu, agama Islam, melantik Menteri Besar, dan menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini

Prinsip-prinsip Adat Perpatih

Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.

1.    Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.

2.    Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.

3.    Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

4.    Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat mereka.

5.    Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pembahagian Harta

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja). Adat ini menepati ayat Quran 4:34 bahawa lelaki bertanggungjawab menjaga makan minum dan tempat tinggal saudara-mara perempuan yang tidak berkahwin dan isteri mereka.


Institusi Kerajaan Dibawah Tunku Besar Tampin 
By Ameer Khan - 5 March 2017 

Tunku Besar Tampin merupakan nama gelaran yang diperkenalkan Inggeris pada awal tahun 1830an dahulu. Pada masa itu Inggeris yang menjajah Melaka sedang berperang dengan Naning, wilayah di utara Melaka yang enggan mengakui ketuanan Inggeris. Dato’ Naning dan para pengikutnya dengan bantuan Undang Rembau Ke-13, Dato’ Lela Maharaja Ngonit berusaha mempertahankan wilayahnya daripada dijajah Inggeris. Inggeris mengalami kesukaran menakluki Naning. Inggeris menyedari bahawa tanpa bantuan orang tempatan, tidak mungkin mereka berjaya mengalahkan Dato’ Naning. 

Pada masa yang sama, Undang Rembau, yang mentadbir wilayah Rembau berada dalam keadaan “bermasalah” dengan Yang Dipertuan Muda Rembau, Syed Syaaban dihalau keluar dari wilayah Rembau. Bagaikan menangguk di air keruh Inggeris berjaya “memujuk” Syed Syaaban membantunya mengalahkan Dato’ Naning, sekutu Rembau. Inilah detik permulaan nama Tampin mula menjadi sebutan. Sebelumnya Tampin, yang menjadi sebahagian daripada wilayah Rembau Baruh adalah daerah yang dibuka sepenuhnya. Inggeris menjanjikan kepada sekutu tempatannya andainya Naning dapat ditakluki maka Tampin akan diserahkan kepada sekutunya setelah membuat perjanjian dengan Rembau. 

Syed Syaaban dianggap sekutu Inggeris yang banyak membuka rahsia kekuatan Dato’ Naning hingga akhirnya musuh utama Inggeris itu berjaya dikalahkan. Disebabkan itu, Yang Dipertuan Muda Rembau, Syed Syaaban “ditabalkan” sebagai Tunku Besar Tampin, maka terpisahlah Tampin daripada wilayah Rembau. 

Wilayah pentadbiran di bawah Tunku Besar Tampin ialah Repah, Keru, Tebung dan Tampin Tengah. Gelaran Tunku Besar Tampin ini hanyalah untuk keluarga dan keturunan Syed Syaaban dan Tunku Syed Razman, anakanda beliau Tunku Dato’ Syed Idrus yang merupakan waris ketujuh dianugerahkan gelaran ini. 

Kedudukan Tunku Besar Tampin dalam jenjang pentadbiran adat di Negeri Sembilan, beliau hanyalah sebagai salah seorang ahli penuh Dewan Perundangan dan Keadilan Negeri Sembilan yang dipimpin Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan termasuklah ahli-ahli lain iaitu Undang Yang Empat dan Menteri Besar Negeri Sembilan. Lazimnya gelaran Tunku Besar Tampin ini akan disebut bersamaan dengan nama Undang Yang Empat dengan kedudukan di bawah Yang Di Pertuan Besar. Namun, Tunku Besar Tampin tidak memiliki kuasa untuk memilih dan melantik Yang Dipertuan Besar. Kuasa itu adalah hak Undang Yang Empat. Maka jelas, kedudukan keluarga keturunan Syed Syaaban ini telah berubah yang dari asalnya sebagai Yang Dipertuan Muda Rembau kepada hanya Tunku Besar Tampin. 

Berkenaan bagaimana perubahan kuasa ini berlaku adalah disebabkan oleh penjajah Inggeris yang sentiasa mencari kesempatan dalam kesempitan suasana politk. Kelicikan Inggeris ini telah berjaya memecahbelahkan orang Melayu. Lebih parah lagi, sistem politik Rembau yang satu ketika dahulu begitu tersusun, habis lebur begitu sahaja. Walaubagaimanapun, ada hikmah di sebalik kekacauan politik yang berlaku akibat campur tangan Inggeris di Rembau, Tampin dan Naning. Setidak-tidaknya wilayah Tampin sekarang dari sudut geopolitik hari ini, ternyata Tampin lebih menonjol berbanding dua daerah kembarnya, Rembau dan Naning (kini lebih popular dengan nama Alor Gajah). 

Tampin hari ini adalah panggilan popular kepada pekan yang berkembar dipisahkan sempadan Melaka-Negeri Sembilan, dengan Pulau Sebang di belahan Melaka dan Tampin sendiri di belahan Negeri Sembilan. Kedua-dua saling menyaingi mengejar arus pembangunan. Kedua-duanya sebising dan sesibuk yang diungkapkan Blue’s Gang dalam nyanyiannya “Apo Nak Dikato”. 

Menurut orang lama yang menetap di salah sebuah tempat di Tampin, “Tampin hari ini adalah hasil kejayaan orang terdahulu yang diketuai Syed Syaaban dan warisan keturunannya. Kalaulah bukan kerana usaha mereka membangunkan Tampin dengan bantuan Inggeris tempat yang saya diami sekarang mungkin masih hutan dan didiami orang buangan dari Rembau.” – Rujukan Norhalim Ibrahim (Ahli Sejarah Negeri Sembilan)


Artikel Penuh: https://www.orangnogori.com/institusi-kerajaan-dibawah-tunku-besar-tampin.html



KRISIS UNDANG LUAK JOHOL

Undang Luak Johol pertama dilucut jawatan
SYAIRAH ABDUL LAJIS & SARINAH MAT KASIM
29 Mac 2016

KUALA PILAH – Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, dilucutkan jawatan sebagai Undang Johol ke -14 berkuatkuasa 27 Mac lalu.

Perlucutan jawatan tersebut hasil kerapatan dan permuafakatan hampir kesemua datuk-datuk tertinggi Lembaga Adat dalam Luak Johol dan dibacakan secara rasmi oleh Datuk Jenang Zakaria Mohammad, di hadapan Datuk Mohd Jan, yang dihadiri oleh Buapak Yang Enam, dan Datuk Batin di Balai Undang Luak Johol, di sini, Ahad lalu.
Disebabkan perlucutan itu, mengikut tradisi jawatan tersebut akan diisi oleh Timbalan Undang Luak Johol, Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah.

Pada pengumuman itu, Datuk Jenang turut membaca 13 kesalahan yang telah dilakukan oleh Datuk Mohd Jan dalam adat Luak Johol sepertimana yang termaktub dalam buku ‘Gemuk Berpupuk Segar Bersiram’ yang diterbitkan pada 1996.

Ketua Buapak Yang Enam, Datuk Nenggarang Hasanuddin Ahmad berkata, kesalahan yang dilakukan beliau telah mula dikesan sejak dilantik menjadi Undang Luak Johol pada 13 Mac 2007.

“Kesemua 13 kesalahan beliau itu telah ‘menghina pesaka dan adat istiadat’ di bawah ‘Kesalahan Berat’ merujuk kepada buku ‘Gemuk Berpupuk Segar Bersiram’.

“Banyak perkara yang beliau lakukan membelakangkan Buapak Yang Enam, sebaliknya sistem pentadbirannya dipengaruhi oleh orang-orang di sekelilingnya yang mempunyai kepentingan peribadi serta puak-puak tertentu.

“Kami telah beberapa kali menegur namun, teguran kami tidak diambil peduli. Justeru, kami  beberapa kali melakukan mesyuarat dan mesyuarat terakhir dilakukan jam 10.30 pagi tadi (kelmarin).

“Mesyuarat telah mengambil keputusan untuk memecat beliau kerana didapati tidak layak lagi untuk memegang jawatan sebagai Undang Luak Johol Ke 14,” katanya ketika ditemui di rumah Jenang di Kampung Renggoh, malam Ahad lalu.

Terdahulu mengikut kronologi, pada 27 Mac jam 8 pagi, satu rombongan terdiri daripada Datuk Jenang dan Buapak Yang Enam, telah menghadap beliau di Balai Undang Luak Johol bagi membacakan 13 pertuduhan terhadapnya.

Kata Hasanuddin, kehadiran mereka ke Balai Undang Luak Johol meminta agar beliau membela diri, selepas pertuduhan kesalahan dibacakan, namun beliau gagal untuk berbuat demikian.

“Setelah kertas kesalahan selesai dibacakan, kami mengadakan satu mesyuarat khas bagi memutuskan hukuman terhadap beliau, dan sepakat untuk memecatnya.

“Kemudian tepat jam 3 petang , kami datang semula menghadap beliau di Balai Undang Luak Johol untuk menyerahkan surat pemecatan jawatannya berkuat kuasa 27 Mac,”katanya.

Sehubungan itu, pada jam 3.15 petang, Datuk  Jenang turut melantik Timbalan Undang Luak Johol, Datuk Muhammad, bagi mengisi kekosongan jawatan Undang Luak Johol yang baharu.

Pengumuman dibuat di hadapan Dato’ Batin, Buapak Yang Enam, Datuk’-Datuk’ Lembaga Adat, Datuk’-Datuk’ Buapak kepada Lembaga serta Juak-Juak dikediamannya di Kampung Tanggai.

Sinar Harian difahamkan, sekitar jam 12 tengah hari semalam, Ketua Buapak, Buapak Yang Enam, Datuk Jenang dan Tok Batin menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap Seremban, bagi menyerahkan satu salinan surat pelucutan bagi pemakluman kepada Tuanku.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan berkenaan isu yang berlaku di Luak Johol, dan membiarkan Datuk-Datuk Lembaga Adat menyelesaikan permasalahan berlaku di luak berkenaan.
Katanya, pihaknya serahkan kepada luak tersebut dan Datuk Lembaga Adatnya untuk membuat keputusan, kerana ia melibatkan hukum adat di luak berkenaan, tidak melibatkan kerajaan negeri.

Difahamkan sejak pelantikan Undang Luak Johol yang pertama pada 1723 iaitu Undang Pertama- Datuk Sitiawan 1, ini adalah kejadian pertama perlucutan jawatan berlaku.
Usaha mendapatkan reaksi dari Undang Luak Johol yang dilucutkan jawatan setakat ini masih belum berjaya.

Sebelum ini, pelantikan baharu hanya dibuat setelah penyandangnya mangkat.

Berikut adalah 13 dakwaan salahlaku yang kenakan ke atas YTM Undang Luak Johol:

1. Y.T.M Dato' telah membenarkan perlantikan Allahyarham Hj. SULAIMAN bin KICHUT sebagai Tok Pawang dari suku yang lain.

2. Semasa kerjan Y.T.M Dato' yang diadakan pada 13 hingga 18 MEI 2018 sembelihan yang dibuat adalah lembu sedangkan dari segi adat Johol sembelihan mestilah 5 ekor kerbau untuk jamuan selama 5 malam.

3. Y.T.M telah menidakkan perlantikan Tok Pawang AMERUDIN bin ISMAIL sebagai Tok Pawang sedangkan perlantikan beliau sebagai Tok Pawang dibuat oleh anak-anak buah suku Biduanda Kebangsa.

4. Y.T.M Dato' pernah memalukan dan menjatuhkan air muka YAM Dato' Baginda Tan Mas di khalayak ramai.

5. Y.T.M Dato' tidak mahu menerima perlantikan Tn Hj. HASANUDDIN bin AHMAD sebagai Dato' Mengarang Buapak Yang 6.

6. Y.T.M Dato' telah melantik MOHD SHARI bin ABD RAZAK sebagai Tok Pawang sedangkan beliau cacat anggota badan (tempang).

7. Y.T.M Dato' tidak sepatutnya melantik MOHD SHARI bin ABD RAZAK sebagai Tok Pawang sedangkan beliau berkahwin dengan orang luar luak Johol.

8. Y.T.M Dato' telah mengelirukan orang ramai di dalam dan diluar luak johol dengan menamakan Balai Undang Johol sebagai istana kediaman DYTM Undang Luak Johol.

9. Y.T.M Dato' ketika menyambut hari Keputraan Yang Ke-75 telah melakukan perlanggaran adat.

10. Y.T.M Dato' pada sambutan Hari Keputraan ke-75, beliau tidak sepatutnya membenarkan isteri Y.T.M Dato' Puan, KHUZAIMAH bte RIDUAN memakai selimpang.

11. Y.T.M Dato' telah mewujudkan gelaran baru.

12. Y.T.M Dato' telah berkahwin secara senyap-senyap secara tanpa pengetahuan Dato-dato adat.

13. Y.T.M Dato' telah mengarahkan penebangan kayu balak untuk kepentingan peribadi di Tanah Hutan Gunung Tampin.


Pertabalan Undang Luak Johol ke-15 Penuh Adat Istiadat
SYAIRAH ABDUL LAJIS
23 MAC 2017

KUALA PILAH - Majlis istiadat Kerjan (pertabalan) Undang Luak Johol ke-15 Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah berlangsung penuh adat istiadat yang bermula hari ini sehingga 27 Mac bertempat di Johol sekali gus melengkapkan perisytiharan Undang Luak Johol ke-15.

Bermula dengan upacara adat menurunkan alat kebesaran di kediaman rasminya di Kampung Tanggai, kemudian adat istiadat diteruskan kepada Mandi Berlangir untuk bersiram di perigi Godang di Kampung Bukit Istana yang diiringi oleh datuk Jenang dan Buapak Yang Enam Luak Johol jam 9 pagi tadi.

Sejurus selesai majlis bersiram, Muhammed diarak ke Makam Gobah bagi bertujuan menaikkan daulat diiringi penduduk kampung dan datuk-datuk adat.

Adat ini sebagai simbolik membersihkan jasmani dan rohani Muhammed sebagai Undang Luak Johol yang baharu.

Kemudian, beliau dibawa ke kediaman rasminya di Kampung Tanggai sebelum diarak ke sekitar Johol menggunakan kereta kuda bagi menemui penduduk kampung.

Hadir sama memeriahkan majlis, datuk-datuk adat, ketua-ketua jabatan dan penduduk yang dianggarkan 500 orang.

Menurut Batin Mukim Luak Johol, Datuk Batin Alam Suhut, pengisian dalam pertabalan atau Kerjan adalah upacara yang dianggap kemuncak Undang Luak Johol ditabalkan sebagai pemerintah sebuah kerajaan yang berdaulat bagi jajahannya di Luak Johol.

Katanya, Gobah ialah gelaran bagi Almarhum Datuk Abu Bakar yang menjadi Undang Luak Johol yang keenam pada tahun 1820-1840.

"Datuk Gobah dikatakan Undang yang berdaulat, memiliki ilmu kesaktian yang luar biasa sehinggakan jika ada orang yang melintas belakangnya tanpa izin orang itu akan rebah (gobah).

"Disebabkan kehebatan ilmu kesaktian datuk Gobah itu, maka adat istiadat Mandi Berlangir itu menjadi satu tradisi yang wajib diikuti dalam adat istiadat Kerjan bagi sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan," katanya.

Dalam pada itu, Kerjan diakhiri dengan istiadat menjunjung kasih dan ikrar taat setia oleh datuk adat, Ibu Waris dan Ibu Soko serta pembesar lain di Luak Johol, di kediaman rasmi Datuk Undang di Kampung Tangai di sini.

Muhammed, 50, yang sebelum ini adalah Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol), dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammed disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember lalu.


Undang Luak Johol enggan pindah, bekalan air rumah dipotong
Thursday April 6, 2017

SEREMBAN, 6 April Bekas Undang Luak Johol Datuk Mohd Jan Abdul Ghani enggan berpindah keluar dari kediaman rasmi menyebabkan kerajaan bertindak memotong bekalan air, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kerajaan Negri Sembilan bertindak memotong bekalan air dan elektrik di Balai Undang Luak Johol, yang merupakan kediaman rasmi Undang Luak Johol, setelah bekas undang luak itu Datuk Mohd Jan Abdul Ghani enggan berpindah keluar.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihak berkuasa turut diarah berkawal di luar bangunan berkenaan.

“Saya merasa kesal kerana kerajaan negeri terpaksa berbuat sampai ke tahap begini...ia tidak sepatutnya berlaku begitu. Saya harap mereka (keluarga bekas Undang Luak) faham.

“Apa yang mereka buat itu seolah-olah menghalang penjawat awam menjalankan tugas kerana Balai Undang Luak Johol adalah bangunan kerajaan,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini, hari ini.  

Menurutnya perbuatan menduduki bangunan kerajaan secara tidak sah adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman mengikut kanun jenayah.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan notis pindah keluar dari Balai Undang Luak Johol kepada Mohd Jan, yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lepas kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Tempatnya digantikan dengan Datuk Muhammad Abdullah yang sebelum ini adalah Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol).


Pelantikan Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lepas dan beliau telah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol pada 15 Dis lepas.


KRISIS UNDANG LUAK JELEBU


Jurutera diumum Undang Luak Jelebu ke-16
09 April 2016 1:03 AM

JELEBU 8 April – Pengurus Besar Jualan (Automotif) di Ichikoh (M) Sdn. Bhd., Nilai, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, hari ini diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.

Bagaimanapun, pelantikan beliau itu mencetus kontroversi apabila dianggap tidak sah oleh Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Ismail Md. Zin yang mendakwa ia dilakukan tidak mengikut aturan adat yang menjadi amalan di Luak Jelebu.

Majlis pengisytiharan pelantikan Muhamad Azafean dijalankan di Balai Undang Luak Jelebu, Kuala Klawang dekat sini pada kira-kira pukul 10 pagi ini.

Pengisytiharan itu mengakhiri penantian kira-kira hampir dua tahun berikutan kematian Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab pada 11 September 2014.

Pengisytiharan itu dibuat oleh Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Datuk Mat Tarmizi Selamat dalam majlis yang turut dihadiri lima daripada lapan Ahli Tiang Balai Datuk Lembaga Adat Luak Jelebu.

Sebaik pengisytiharan dibuat, Muhamad Azafean dan isteri, Rozijihan Kaliwon Ahmad, 33, dijemput datang ke Balai Undang Luak Jelebu dan pengumuman pelantikan dibuat sekali lagi oleh Mat Tarmizi.

Muhamad Azafean kemudian telah dipakai tanjak sebelum lima Datuk Lembaga melafazkan ikrar taat setia dan menghadap Undang Luak Jelebu yang baharu.

Muhamad Azafean yang fasih berbahasa Jepun mempunyai kelulusan Ijazah Elektrikal dan Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Nagasaki, Jepun dan Ijazah Bersekutu Elektronik dan Kejuruteraan Kawalan dari Kolej Kebangsaan Teknologi Sasebo, Nagasaki, Jepun.

Dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut, Mat Tarmizi berkata, sebanyak 25 calon disenaraikan untuk jawatan Undang Luak Jelebu pada peringkat awal dengan lapan orang terpilih dalam senarai pendek.

Menurutnya, proses mengenal pasti calon layak dan sesuai mengambil masa kerana tapisan perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil faktor seperti giliran, salasilah, ketrampilan dan kepemimpinan.

Jelasnya, beliau bersama Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela, Kadim Kidam akan menyembahkan pengisytiharan Undang Luak Jelebu yang baharu itu kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pertabalan Undang Luak Jelebu yang baharu itu juga akan dibuat mengikut kesesuaian masa dan peruntukan daripada kerajaan negeri tetapi persiapan untuk majlis itu akan mula dibuat oleh Datuk Undang Yang Ke Delapan.

Ditanya mengenai kedudukan beliau yang didakwa telah dipecat sebagai Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Mat Tarmizi memberitahu, beliau menyerahkan perkara itu kepada Undang Luak Jelebu yang baharu untuk memutuskan mengenainya.

“Kalau ikut peraturan adat, saya masih memangku jawatan Undang Luak berdasarkan surat tauliah yang dikeluarkan oleh Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela. Dalam masa sama, saya disokong oleh lima daripada lapan Datuk Lembaga yang telah menandatangani surat,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail memberitahu, tindakan Mat Tarmizi mengisytiharkan nama Undang Luak Jelebu ke-16 itu bercanggah dengan aturan adat kerana ia perlu melalui persepakatan Tali Pesako dan Tali Adat.

“Setelah mendapat persepakatan tersebut, baharulah Datuk Menteri Sah Mangku Alam diiringi Tali Pesako dan Tali Adat mempersembahkan nama kepada Dewan Keadilan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jurutera-diumum-undang-luak-jelebu-ke-16-1.225090#ixzz5AOQx1JUg
© Utusan Melayu (M) Bhd


Adat Perpatih Perlukan Rawatan
DATO’ MUSA WAHAB (1980-2014), Undang Luak ke-15.
13 Oktober 2016 6:25 PM

DUA tahun berlalu. Pemilihan Undang Luak Jelebu yang ke-16 masih belum selesai. Kumpulan-kumpulan yang menuntut jawatan ini masih bertelingkah dalam menguta­rakan kesahihan calon masing-masing.

Calon Undang pertama, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, pengurus jualan di Nilai di sokong oleh Dato’ Tarmizi Selamat, bekas Dato’ Menteri Mang­ku Sah Alam Raja Sari serta penyokongnya. Encik Muhamad Azafean ialah anak buah isteri Dato’ Tarmizi Selamat justeru melibatkan pelanggaran petua adat pua condong ke perut.

Calon kedua, Maarof bin Mat Resat, 55, pegawai Pendidikan Jelebu-Jempol yang disokong oleh Ismail Md. Zin, Dato’ Menteri Mangku Sah Alam Raja Sari yang baharu. Encik Maarof dan Lembaga Delapannya juga mewakili Perut dan Jurai Kemin.

Kini ada beberapa calon lagi yang tampil mewakili “Perut Kemin”, salah satu daripada tiga “perut” Undang Jelebu. Dua “perut” yang lain ialah Ulu Jelebu dan Sarin.

Seseorang calon Undang hendaklah dari keturunan suku Biduanda menurut nisab ibu. Beliau harus mempunyai beberapa ciri peribadi mengikut kriteria adat semenjak 1775 lagi, dua tahun selepas Raja Melewa dari Pagaruyung ditabalkan sebagai Yang Di Patuan Basa di Penajis, Rembau pada tahun 1773.

Istilah Undang hanya dirasmikan selepas British memulakan pemerintahan mereka di NS pada tahun 1887. Sebelum itu Undang dipanggil Pangulu Luak.

Perlembagaan adat di Jelebu, seperti di tiga luak ‘berUndang’ yang lain (Sungai Ujong, Johol dan Rembau) tidak pernah dikanunkan sebagai Perlembagaan bertulis.

Ini merupakan salah satu sebab kenapa pertelingkahan berlaku apabila meninggal seseorang Undang yang di bawah Pelembagaan NS diiktiraf sebagai Di Raja Bersama (Co-Ruler).

Jawatan Undang di NS dikhaskan kepada empat Luak atau Daerah beradat – Sungai Ujong (Seremban sekarang), Jelebu, Johol dan Rembau. Tunku Besar Tampin, diiktiraf di bawah Fasal 14(2) Perlembagaan NS, berasal daripada pengaruh Arab pimpinan Tengku Syed Shaban semenjak awal abad ke-19. Sebagai Tunku Besar Tampin, beliau tidak terlibat dalam penentuan Di Raja Yang Di Pertuan Besar.

Di bawah setiap Dato’ Undang ada jawatankuasa adatnya sendiri–Lembaga Delapan. Seseorang Dato’ Lembaga pula dipilih oleh “Buapak” atau tua-tua adat, “anak buah” termasuk “soko” atau kumpulan adat kaum ibu di bawah perut berkenaan.

Ketua Lembaga Delapan di Je­lebu ialah Dato’ Menteri Mangku Sah Alam Rajo Sari yang semenjak zaman Moyang Salleh lagi (1775) dipilih dari keluarga campuran Biduanda-Minangkabau seperti mana halnya dengan Allahyarham Dato’ Menteri Osman Bagindo Labieh (1964–1989).

Dato’ Menteri berkuasa me­lantik seseorang calon Undang setelah disyorkan oleh Dato’ Umbi yang menerima calon-calon. Dato’ Cincang, salah seorang Dato’ Lembaga kanan meneliti kewibawaan seseorang calon Undang. Ketiga-tiga Dato’ Lembaga tersebut – Menteri, Umbi dan Cincang harus bermuafakat sebagai ‘talitigo sepilin’ dalam semua hal ehwal adat di luak mereka, khasnya menentukan siapa layak menjadi Undang.

Penapisan ini telah tidak dipatuhi dalam beberapa proses penentuan setakat ini, menyebabkan ramai meluahkan rasa kecewa.

Fasal 14 Perlembagaan NS hanya memperuntukkan bahawa Undang Yang Empat “hendaklah daripada orang yang dipilih mengikut adat-istiadat di luak masing-masing”.

Dengan tiadanya prosedur dan syarat-syarat bertulis amat mudah bagi advokat adat di luak-masing-masing membelakangi peraturan-peraturan lisan zaman silam. Ketua-ketua adat semasa pula tiada latihan atau pengalaman untuk meneruskan tuntutan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Bahasa beradat juga sudah tidak diketahui lagi oleh kebanyakan Dato’ Lembaga Delapan.

Perkembangan mutakhir di Luak Jelebu ini boleh dianggap sebagai perkembangan yang mencabul institusi adat; ia merosot dari sudut membelakangkan tradisi dan jahil dari segi implementasi Perkara 16 Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

Mengikut adat, Undang baru mesti diumumkan dalam tempoh satu hari selepas kematian atas prinsip “patah tumbuh, hilang berganti”.

Sebab itulah Dato’ Menteri Mangku Sah Alam diberi gelaran Rajo Sari untuk memikul tanggungjawab Penghulu Luak atau Undang selama sehari sebelum diumumkan Undang yang baharu. Menurut piagam adat, pengumuman atau pemasyhuran boleh dibuat dalam tempoh satu ming­gu atau tempoh yang tidak melebihi 3 bulan purnama selepas kematian Undang.

Ini bukan kali pertama krisis adat berlaku. Boleh dikatakan setiap luak ‘berundang’ di NS pernah mengalami krisis adatnya masing-masing. Setiap kali seseorang Undang atau Dato’ Shahbandar Sungai Ujong meninggal dunia setiap kali pula ‘rebutan jawatan’ berlaku.

Di Sungai Ujong kes Dato’ Shahbandar pernah menjadi rebutan sengit selama 11 tahun, di Rembau pertembungan adat antara Perut di Air dan Perut di Darat, di Johol sengketa ‘siapa jadi Tan Mas’, jawatan gantian Undang Luak Johol.

Di Jelebu sahaja semenjak 1967 tiga krisis ‘rebutan pusaka’ berlaku, termasuk kes Dato’ Musa Wahab 1981 yang sampai ke Mahkamah Persekutuan. Nas kes ini menyebabkan Fasal 16 Perlembagaan NS 1959 dipinda untuk memberi kuasa kepada Dewan Keadilan bertindak meng­atasi sebarang masalah yang muncul berkaitan pemilihan, pelucutan atau apa-apa hal bersangkutan isu adat di luak ‘berundang’ di NS. Selepas kes ini mana-mana kekecohan adat tidak lagi dibenarkan jadi kes di mahkamah.

Di bawah Fasal 16(2) pula, Menteri Besar dibenarkan merujuk kepada Dewan apa-apa jua hal berkaitan adat Melayu di mana-mana kawasan di Negeri Sembilan termasuk soal pemilihan atau penggantian atau pemberhentian seseorang Undang.

Jika Fasal 16 berkenaan tidak dioperasikan, krisis adat di Je­lebu akan terus memberi gambaran negatif kepada adat di ne­geri berkenaan. Adat yang begitu luhur dan penting di sisi orang Melayu apatah lagi di sisi Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan akan turut dipersenda.

Tiga isu harus di selesaikan: (a) setakat mana Dewan Keadilan berupaya “menjernihkan yang keruh” melalui Fasal 16 Perlembagaan NS; (b) kesediaan pihak-pihak berwajib meng­ada­kan kursus bimbingan adat di setiap luak, termasuk Lembaga Delapan, Ibubapak, anak buah, ketua-ketua kampung dan pentadbir kerajaan tertentu mengikut petua adat lisan ma­sing-masing; dan (c) kesediaan mengkanunkan undang-undang perlembagaan adat di setiap luak bagi sistem yang kekal dan tanpa keraguan.


Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia.


UNDANG LUAK SUNGAI UJONG


Yang Teramat Mulia DATO' KLANA PETRA SRI JAYA DATO' MUBARAK BIN DOHAK dilahirkan pada 11 November 1961 di Kampung Telaga Udang, Batu 9, Pantai, Negeri Sembilan.Beliau merupakan anak tunggal kepada Allahyarham Thahak@Dohak Bin Dato' Sutan Nara Haji Abu Samah dan Puan Lawiyah Binti Dato' Amar Setia Alwi. Dilantik sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 pada 29 Disember 1993. Beliau dilantik menggantikan Dato' Muhammad Kassim Nika Abdul Rashid yang meninggal dunia pada tahun 1983. Undang Luak Sungai Ujong merupakan Dato' Undang paling kanan dikalangan 4 orang Undang. Undang Luak Sungai Ujong yang melakukan pemasyhuran dan pertabalan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. 

UNDANG LUAK REMBAU

D.Y.M.M. YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN

Yang Teramat Mulia DATO' LELA MAHARAJA DATO' HAJI MUHAMMAD SHARIP BIN HAJI OTHMAN dilahirkan pada 14 Ogos 1941 di Kampung Waris Tebat, Chembong Kecil, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau telah dimashyurkan sebagai Undang Luak Rembau ke 21 pada 21 November 1998. Sebelum itu beliau merupakan Orang Besar Undang yang bergelar Dato' Shahbandar iaitu gelaran yang terkanan di antara empat Orang Besar Undang.Beliau berketurunan Lela Maharaja Suku Biduanda,Waris Nan Dua Carak(Perut Tebat).


UNDANG LUAK JELEBU
(MASIH KOSONG)

Penyandang terakhir Undang Luak Jelebu,YTM Dato' Musa Bin Wahab telah meninggal dunia pada 11 September 2014. Bermula pada tarikh ini, jawatan Undang Luak Jelebu kosong sehinggalah pada 8 April 2016, Muhammad Azafean Muhammad Fahmi diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu Ke-16

Pengisytiharan Undang Luak ke-16, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi

Namun, pada 30 Mac 2017, Dewan Keadilan dan Undang telah memutuskan tidak menerima sebarang pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16. Berikutan itu, Dewan Keadilan dan Undang memulangkan semula kepada Luak Jelebu untuk proses pemilihan calon YTM Undang Luak Jelebu hingga selesai.


UNDANG LUAK JOHOL

D.Y.M.M. YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN

Yang Teramat Mulia DATO' JOHAN PAHLAWAN LELA PERKASA SETIAWAN Dato' Muhamed Bin Abdullah dilahirkan pada tahun 1967. Beliau sebelum ini bergelar Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol). Beliau ditabalkan sebagai Undang Luak Johol Ke-15 pada 23 Mac 2017, menggantikan Dato' Muhammad Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac 2016 kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat. Pelantikan Muhammed disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember lalu


TUNKU BESAR TAMPIN


Yang Teramat Mulia TUNKU SYED RAZMAN BIN TUNKU SYED IDRUS ALQADRI diputerakan pada 14 Disember 1962 di Seremban.Baginda telah mendirikan rumah tangga bersama Tunku Isteri Sharlita binti Omar pada 14 Mei 1992. Baginda dilantik sebagai Tunku Besar Tampin setelah kemangkatan ayahandanya Tunku Syed Idrus pada 26 Disember 2005. Tugas mengisytiharkan perlantikan tersebut telah dilaksanakan oleh Yang Mulia Dato' Abdul Razak Bin Tambi, Penghulu Pusaka Adat Tampin Tengah dan disaksikan oleh YBhg Tuan Haji Mohd Yusof Bin Yunus.












No comments:

Post a Comment