Azan dan Muazzin
Pengertian
Azan
Azan (bahasa
Arab) atau dalam Bahasa Melayu disebut 'bang' adalah satu rangkaian lafaz
khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan
telah masuk waktu solat fardhu dan bertujuan untuk menyeru orang-orang Mukmin
(khususnya yang lelaki) boleh diseru supaya bersegera berkumpul untuk
mengerjakan solat fardu secara berjamaah di masjid-masjid.
Muazzin adalah
orang yang melakukan perbuatan azan itu. Tetapi kelazimannya di negara
kita (mungkin di negara islam lain) orang yang bertugas melaungkan azan di
masjid-masjid atau surau-surau, digelar sebagai 'Bilal'. Ini mengambil sempena
nama sahabat nabi yang bernama Bilal bin Rabbah. Nama Bilal bin Rabbah
itu sendiri mempunyai nilai istimewa dalam Sejarah islam atau Sirah Nabawi kerana
Bilal semasa hidupnya mempunyai kedudukan istimewa di sisi Rasulullah dan
di kalangan para sahabat.
Iqamah pula bermaksud sebutan, atau amaran, atau semboyan atau rangkaian lafaz tertentu untuk memberitahu para jemaah untuk memulakan solah. lazimnya setelah muazzin selesai melaungkan azan, para jemaah akan melaksanakan solah sunat qabliyah ( 2 rakaat) secara bersendirian. Selepas semua jemaah selesai melakukan solah sunat, maka muazzin akan melaungkan iqamah. Laungan iqamah jauh lebih perlahan dari azan. ia sekadar untuk didengari oleh para jemaah dalam masjid/surau berkenaan.
Latar
Belakang
Dari
segi bahasa, azan bermaksud ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’”
(seruan). Azan ialah suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu untuk menandakan
waktu solat fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu
solat. Penandaan ini dibuat dengan melaungkan dengan lafaz-lafaz tertentu.
Hukum
Hukum
melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan
sembahyang fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu Fardu
Kifayah bagi sesuatu kumpulan, dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun
tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia
merupakan satu Sunat Aini atau, dan pahala sunat akan diperolehi apabila
seseorang itu melakukannya. Bagi kaum wanita, disunatkan melakukan Iqamat
sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara
mereka.
Dalil-dalil Berkaitan Azan
Al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijmak menyatakan melaungkan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada al-Qur’an ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah: 58).
Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadis. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
.
.
Sejarah
Azan
Azan
mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun
pertama Hijrah. Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim
daripada Ibnu `Umar r. a. “Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke
Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu
tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu
hari Nabi s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang
cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke
masjid melakukan solat jemaah.
Dalam
mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya
dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, Ada yang mencadangkan ditiup
serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng.
Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah S.A.W.(kerana meniup
serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara pemanggilan sembahyang bagi
masyarakat Yahudi dan Nasrani (Kristian). Umar bin al-Khattab mencadangkan
diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul ini telah diterima oleh
Rasulullah S.A.W. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu
jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.
Pada
suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih
baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar... (dan
seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui
Rasulullah S.A.W. dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”.
Nabi
s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabbah mengumandangkan azan tersebut.
Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah S.A.W. dan
menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin
Zaid. Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah S.A.W. pada
malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan
kepadanya di atas langit yang ketujuh.
Kemudian Jibril mendatanginya,
lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi
Adam a.s. danNabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan
baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.
Sumber: www.wikipedia.com
Sesiapa
yang telah menziarahi Masjidil Haram di Makkah sudah pasti sukar untuk
melupakan keindahan azan yang dilaungkan oleh Bilal Masjidil Haram dan juga
Masjid an Nabawi. Menusuk qalbu. Biar bertahun dilalui, ia tetap
dapat didengari terngiang-ngiang di telinga kita.Lain waktu solah, lain Bilal,
lain lagunya. Ya Allah ya Rabbi.
Kelebihan
menjadi Muazzin (Bilal)
1.
Mengusir Syaitan
Hadis
daripada Abu Hurairah katanya:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila
dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil
terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi
azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk
sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu
baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan
dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah
begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah
lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.”
(Hadis
riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)
2.
Diampunkan dosanya selama bilal itu mengalunkan azan.
Dalam
satu hadis yang lain.
Daripada
Al-Barra’ bin Azib r.a, berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya
Allah dan malaikatnya berdoa untuk yang berdiri di saf pertama. Para muazzin
pula akan diampunkan sebanyak mana suaranya dan siapa yang mendengarnya menjadi
saksi. Dia akan mendapat pahala orang yang mengerjakansolat bersamanya”. (H.R
Al-Nasai).
3.
Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari Qiamat
Sebagaimana
hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman katanya:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu berkata kepadanya
(‘Abdullah bin ‘Abdurrahman): “Sesungguhnya aku melihat engkau menyukai kambing
dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing atau saharamu lalu engkau
azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah suaramu ketika melaungkannya. Kerana
tidak didengar suara orang yang azan oleh jin dan manusia serta lain-lainnya
melainkan menjadi saksi baginya di hari qiamat. Berkata Abu Sa‘id: “Aku
mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
(Hadis
riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’ie)
4.
Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab.
Sabda
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya:
“Jika dilaungkan iqamah untuk sembahyang, maka dibukakan pintu-pintu langit dan
dimakbulkan doa.”
(Hadis
riwayat Ahmad)
Sabda
Baginda lagi:
Maksudnya:
“Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak
doa orang yang berdoa, iaitu ketika iqamah sembahyang dan dalam barisan jihad
pada jalan Allah.”
Namun
kita perlu ingat, pahala azan akan hilang jika seorang muazzin itu hanya
melaungkan azan kerana dibayar atau diberi gaji. Begitu juga jika seorang
muazzin itu melaungkan azan kerana mahu menunjuk-nunjuk akan suaranya yang
sedap dan lunak. Maka dia akan mendapat dosa riyak.
Oleh
yang demikian, marilah kita merebut pahala menjadi muazzin ini. Jangan kita
membiarkan diri kita langsung tidak pandai melaungkan azan. Kerana azan ini
amat dituntut untuk kita hafal sama ada untuk kita laungkan ke telinga anak
yang baru lahir dan juga untuk tujuan-tujuan lain.
Sumber: www.zikrihusaini.com
.
Keutamaan Azan
(dicedok dari teks Khutbah yang dipaparkan dalam websait Kerajaan Brunai Darussalam: www.masjid.gov.bn
Salah satu tanda kewujudan umat Islam di suatu tempat atau di sesebuah negara ialah dengan terbinanya masjid-masjid dan kedengarannya laungan azan memanggil dan mengingatkan umat Islam supaya mengerjakan sembahyang. Inilah yang menjadi syiar dan keagungan Islam yang mesti dijaga dan dihormati.
Imam Nawawi Rahimahullah pernah berkata bahawa azan itu mempunyai empat hikmah, pertama: untuk menzahirkan tanda Islam dan kalimah tauhid, kedua: untuk memberitahu tanda masuk waktu sembahyang, ketiga: untuk memberitahu akan tempat sembahyang, keempat: untuk memanggil berjemaah. Tugas sebagai muazzin adalah tugas yang sangat mulia dan banyak kelebihannya. Bayangkan mengenai kelebihan yang diterima oleh seorang muazzin itu sebagaimana yang diperolehi Bilal bin Rabah Radiallahu-Anhu, seorang muazzin yang paling terkenal dan termasyhur di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mendengar bunyi tapak kaki Saiyidina Bilal bin Rabah di dalam syurga, sedangkan pada ketika itu Saiyidina Bilal bin Rabah masih hidup. Inilah tanda tingginya martabat sebagai muazzin di sisi Allah Subhanahu Wataala .
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadith yang maksudnya:
Dari Ibnu Amru bin Al-‘As Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tukang azan yang melaungkan azan secara sukarela adalah seperti seorang syahid yang berlumuran darah, jika dia meninggal dunia, matinya tidak berulat di dalam kubur.(Riwayat Al-Imam At-Thabrani)
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi yang maksudnya:
Barangsiapa azan tujuh tahun dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, nescaya wajib baginya lepas dari api neraka. (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi)
Kita sebagai umat Islam sepatutnya mengambil berat terhadap seruan yang menyeru ke arah mencapai kemenangan dan mengingati Allah Subhanahu Wataala. Jangan dipermudah-mudahkan dan tidak diambil indah serta berpura-pura tidak mendengar dan langsung tidak menyahutnya, kerana perbuatan sedemikian adalah dicela oleh syara’. Islam telah mengajarkan kita supaya apabila azan dilaungkan oleh muazzin, maka orang yang mendengar hendaklah mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh muazzin itu kecuali pada“Hayya ‘Alas-Solah” dan “Hayya ‘Alal-Falah” maka katakanlah “Laa Haula Walaa Quwata Illa Billah” dan pada azan subuh apabila dikatakan “Assalatu Khairum-Mininan-Naum” maka katakanlah “Sadaqta Wabararta”.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:
Dari Abi Said Al-Khudri Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Apabila kamu mendengar seruan azan, maka kamu ucapkan sepertimana orang yang azan itu ucapkan. (Riwayat Imam Al-Bukhari).
Di samping itu perlu juga diketahui bahawa azan juga boleh menjadi penawar dan obat kepada kerasukan, resah gelisah, menghindarkan daripada kejahatan jin, meredakan orang marah dan mengelokkan perangai buruk, orang yang hendak belayar dan ketika berlaku kebakaran. Azan juga sunat diperdengarkan kepada anak yang baru lahir.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Seandainya manusia mengetahui tentang apa kelebihan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka mengundi, nescaya mereka akan mengundi. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Kita ini adalah orang Islam yang sepatutnya tidak mengabaikan ajaran Islam dan hendaklah menyahut seruan-seruan ke arah kebaikan. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wataala.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Jumu'ah, ayat 9, yang tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya. www.masjid.gov.bn
.
Siekh Ali Ahmed Mullah- Bilal Masjidil Haram sedang melaungkan azan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
.
Kalaulah semua orang tahu fadhilat dan habuan akhirat untuk orang yang melaungkan azan, aku percaya satu jam sebelum masuk waktu solat, orang sudah berbaris atau berebut-rebut di masjid-masjid dan surau-surau untuk melaungkan azan.
No comments:
Post a Comment