PEJUANG 'GIGIH' PENDIDIKAN
TAN SRI AINUDDIN WAHID
DALAM KENANGAN
Pengetua Maktab Teknik (1969-1972)
Rektor ITK (1972-1975)
Naib Canselor UTM (1975-1989)
Berita Pemergian
Perdana Menteri memberitahu, Allahyarham telah memberikan sumbangan amat besar terhadap negara dan merupakan seorang tokoh pendidikan yang dihormati serta disegani.
"Sumbangannya terutama sewaktu di UTM sebagai Naib Canselor dan saya tahu Allahyarham rapat dengan ayahanda saya dalam usaha untuk membangunkan bidang pendidikan negara.
"Kita sentiasa kenang jasa beliau dan percaya bidang pendidikan lebih maju kerana sumbangan dan jasa Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas melawat jenazah di kediaman Allahyarham di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, dekat sini, hari ini.
Beliau meluangkan masa selama kira-kira setengah jam bagi memberikan penghormatan terakhir serta bertanya khabar keluarga Allahyarham.
Ainuddin merupakan anak Melayu pertama dilantik sebagai Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) pada tahun 1969 dan melakukan pelbagai transformasi sehingga dinaikkan status menjadi UTM pada 1975.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.25 petang ini akibat strok di kediamannya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada pukul 10 pagi esok.
Allahyarham meninggalkan dua orang anak, Saifudin, 53, dan Aida, 50, serta 12 cucu sementara isteri beliau, Puan Sri Rahmah Abdul Hamid meninggal dunia kira-kira 25 tahun lalu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, jasa besar Allahyarham dalam bidang pendidikan dizahirkan dengan pengwujudan Biasiswa Ainuddin sejak tahun lalu dan dilaksanakan bermula tahun ini.
"Dana biasiswa itu adalah sebanyak RM10 juta dan diberi kepada pelajar bumiputera yang layak untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di mana-mana institusi pengajian tinggi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada pukul 11 malam bagi menziarahi jenazah Allahyarham bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selepas pulang daripada satu majlis.
Menurut beliau, Ainuddin merupakan seorang pejuang bangsa dan sinonim dalam arus pembangunan pendidikan negara serta merupakan pengasas kepada UTM hari ini.
Katanya, Allahyarham merupakan contoh insan yang sentiasa berusaha bagi membina masa depan negara yang lebih baik.
"Sudah tentu banyak perkara dipelajari daripada semangat juang beliau kerana pandangannya sentiasa dihormati dan nasihatnya diterima baik semua pihak. Kita rasa kehilangan besar kepada negara dan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," katanya.
Dalam pada itu, Saifudin memberitahu, ayahnya menghidap strok sejak lima tahun lalu dan tidak mampu berbual bermula dua tahun kebelakangan ini.
"Arwah juga sering keluar masuk hospital bagi mendapatkan rawatan kebelakangan ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130529/dn_13/Ainuddin-Wahid-meninggal-dunia#ixzz2UeT7G2NX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130529/dn_13/Ainuddin-Wahid-meninggal-dunia#ixzz2UeT7G2NX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Apa kena mengena aku dengan almarhum dengan diriku?.
Kalau membaca riwayat hidupku di awal blog ini di bawah TAJUK 008 (UNCOMPLETED MISSION) aku ada menceritakan mengenai kegagalan besar pertama dalam sejarah kehidupanku.
Setelah mencapai keputusan SPM yang agak menyerlah dalam tahun 1976 (menyerlah di tahap sekolah kampong), pada tahun 1977 aku melanjutkan pengajian ke Tingkatan 6 di Sekolah Alam Shah, Jalan Cheras. Tetapi aku hanya sebulan sahaja di situ kerana mendapat tawaran mengikuti kursus Integrasi Senibina di UTM Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak).
Itulah kali pertama aku berhijrah keluar dari kepompong Parit Lapis Mahang. Di situ aku berjumpa ramai teman baru dari seluruh Negara. Sebahagian besar dari mereka kini telah menjadi arkitek yang terkenal d Tanah air. Antaranya Ar Hj Norzam Darmin (Johor Bahru), Ar Rahim Ahmad (JKR), Ar Badrul Hisham Daud (POLISAS), Mohd Fadzilah Mohd Ali (KL- bertanding PRU13 melawan mantan MB Kedah), Prof Dr Ar Shaari Omar (UTM), Ar Mohd Kamal Latif, Ar Hj Saifudin Ahmad (Presiden PAM), Ar Zuraina Leily Awaluddin (LAM), Prof Dato' Dr Ar Hjh Asiah Abd Rahim (UIAM) dan lain-lain.
Namun, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Aku gagal setelah dua tahun mencuba. Meninggalkan kampus UTM dengan hati yang tersayat kerana gagal menunjukkan segulung diploma atau ijazah buat kdua orang tuaku yang amat mengharap kejayaan anaknya (yang pertama kali) dapat menjejaki kaki ke menara gading.
Almarhum adalah Rektor pertama ITK (1972) sebelum dinaiktaraf kepada UTM pada tahun 1975 di mana almarhum dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama sehingga tahun 1989.
Almarhum seorang NC yang wara', berprinsip tegas dan berdisiplin. Apa yang aku ingat ialah belaiu amat tegas dengan kes membuli (ragging) student baru dan students lelaki yang menyimpan rambut panjang. Jika ada laporan yang mengesahkan kes-kes ragging, pelajar akan digantung dari pengajian. Mana-mana student yang berambut panjang akan menghilangkan diriapabila melihat kelibat almarhum dari jauh lagi. Sesekali, beliau akan membuat laluan mengejut ke asrama atau celah-celah bangunan dan menangkap sendiri student yang melakukan kesalahan ini.
Beliau adalah NC pertama yang menetapkan pakaian konvokesyen adalah baju kebangsaan warna hitam dan bersongkok. Waktu itu, walaupun terdapat penentangan dari kalangan bangsa bukan melayu, khususnya kaum Punjabi/Benggali. Namun beliau tegas dengan keputusannya walaupun terdapat penentangan melalui parti politik dan NGO untuk memberikan kelonggaran.
Aku tak tau, bila masanya ketetapan tersebut dilonggarkan dan UTM bersetuju graduan memakai long-suit bertali leher dan memakai mortar-board.
Aku juga ingat logo UTM adalah direka sempena naik taraf ITK kepada UTM- dalam zaman almarhum menjadi NC juga. Cogan kata asalnya ialah Untuk Tuhan dan Manusia (UTM). Yang ini juga beliau bertegas walaupun terdapat bantahan dari pelbagai pihak. Beliau mempunyai fakta dan hujjah untuk mempertahankannya. Pada masa itu (1977), apa yang aku faham maksud cogan kata itu ialah 'mahasiswa UTM menuntut ilmu adalah untuk tujuan ibadah kepada Allah swt dan ilmu yang diperolehi dari Allah melalui UTM perlu disebarkan untuk kebaikan manusia (dan alam)".
Semasa di bawah pentadbirannya, kedua-dua keputusan ini berjaya dipertahankan. Menteri Pendidikan (Pelajaran) pun tidak berani menongkah arus menentang keputusan berani almarhum. Mereka (Menteri-menteri ini) hanya bertindak mempersetujui penukaran selepas persaraan almarhum. Kurang pasti sama ada pertukaran itu atas arahan politik atau atas inisiatif NC-NC selepas almarhum. Almarhum tidak seperti yang pernah berlaku kepada salah seorang yang terpaksa (dipaksa) mengundur diri apabila berbeza pendapat (menegur) Pak Menteri. Mungkin ramai yang dah lupa dengan pantun NC berkenaan 'siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi Menteri'.
Namun idea yang almarhum turut diubah oleh kepimpinan baru UTM kemudiannya. Cogan kata ini telah diubahsuai menjadi 'Kerana Tuhan Untuk Manusia' kemudiannya setelah beliau bersara dari UTM. Aku tidak apsti, bila masanya cogan kata ini diubahsuai.
Itulah serba sedikit tentang almarhum Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid yang masih terlekat dalam sanubariku walaupun setelah 35 tahun lalu.
SEMOGA ALLAH
MELIMPAHI RAHMAT DAN KEAMPUNAN KE ATAS RUH ALMARHUM
AINUDDIN WAHID
PEJUANG DEGIL MELAYU
Zaman Persekolahan
Almarhum Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid berasal dari Teluk Intan, Perak. Ayahnya, Abdul Wahid bin Badu seorang guru lepasan Maktab Perguruan Matang. Datuknya Badu, pula adalah orang Mandailing yang kuat bekerja setelah belayar meninggalkan Kampung Sipirok, di Selatan Medan. Kerajinannya bekerja kuat di lombong bijih timah telah menambat hati pihak istana. Beliau dikurniakan sebidang tanah yang dapat pula diusahakannya untuk pertanian.
Seluruh biografi ini mendedahkan kedegilan Ainuddin dalam pekerjaannya untuk memajukan bangsa Melayu. Keutamaan Ainuddin ialah bagi menggandakan jumlah lulusan dan profesional Melayu dalam semua bidang. Kegilaan Ainuddin ialah pada kuota dan angka anak Melayu yang masuk ke universiti. Kerana kedegilan, keutamaan dan kegilaannya yang terlalu tertumpu kepada anak bangsanya, Ainuddin mengabaikan keperluan dirinya sendiri.
Ainuddin tergolong dalam kalangan sejumlah kecil Naib Canselor yang panjang tempoh perkhidmatannya. Sebelum itu beliau berkhidmat 13 tahun dengan Jabatan Kerja Raya (JKR). Pada 1969 ketika berusia 40 tahun, Ainuddin dipinjamkan menjadi Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL), menjadi Rektor Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan kemudiannya menjadi Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sewaktu kecil Ainuddin bersekolah di Sekolah Melayu Lelaki Telok Anson. Pada sebelah petang beliau mengaji fardu ain di Madrasah Insaniah. Kemudian Ainuddin memasuki Anglo Chinese School Telok Anson hingga tamat darjah sembilan. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah workshop JKR. Ainuddin tertarik melihat pekerja di workshop itu yang ayahnya menyebutnya sebagai engineer. Itulah kali pertama dalam hidupnya beliau mendengar kalimat engineer. Sejak itulah terbetik impiannya untuk menjadi seorang engineer.
Jurutera
Ainuddin tidak lama di MCKK. Pengajiannya di situ tidak akan membawanya menjadi seorang jurutera. Dalam tahun yang sama, 1949, Ainuddin berpindah menyambung pengajiannya di Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL). Ketika itu, tidak ramai anak Melayu yang bermimpi untuk menjadi jurutera. Maka cuma Ainuddin seorang sajalah daripada sekolahnya yang masuk ke MTKL.
Pada tahun 1953 Ainuddin belayar dengan kapal menuju United Kingdom untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan. Hampir sebulan kemudian beliau pun menjejakkan kakinya di Universiti Bristol. Pada 1956 beliau pun lulus untuk menjadi seorang jurutera awam. Beliau perlu bekerja sebelum dibenarkan pulang. Ini bagi melengkapkan dirinya dengan pengalaman. Dalam tempoh itulah Ainuddin sering bertemu dengan pemimpin UMNO yang sering datang dan pergi bagi merundingkan kemerdekaan dengan British. Beliau menjadi akrab dengan Datuk Abdul Razak dan ramai pemimpin lain. Hubungan inilah yang memudahkan Tun Razak kemudian melantik Ainuddin menerajui MTKL dan kemudiannya UTM.
Setelah kembali ke tanah air, Ainuddin mula bekerja dengan JKR di Kuantan selama sembilan bulan pada 12 Ogos 1957. Kemudian beliau bertukar ke Temerloh dan bekerja selama tiga bulan sebelum menjadi Penolong Jurutera Daerah di Batu Pahat pada 1958.
Semasa zaman mudanya, Ainuddin seorang yang mengkagumi Aminuddin Baki. Aminuddin Baki melancarkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Ipoh pada 1946. Ainuddin menubuhkan cawangan PERMI di tempat beliau. Selain itu Ainuddin juga terlibat secara langsung dalam Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung -GPMS dan Persatuan Perikatan Melayu Perak (PPMP), dan Persatuan Melayu Perak. Sayangnya Aminuddin Baki yang dikaguminya lebih awal meninggal dunia.
Profesional
Menjelang 1966 Ainuddin Abdul Wahid telah pun menjadi Jurutera Kerja Kanan di Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur. Dengan berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969, timbul keperluan meningkatkan jumlah profesional Melayu. Ada tekanan supaya lebih banyak pelajar Melayu diberi peluang melanjutkan pengajian peringat tinggi. Institusi pengajian tinggi yang ada ketika itu cumalah MTKL. Akan tetapi di MTKL, anak Melayu didiskriminasi.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyampaikan memo kepada Menteri Pelajaran mendesak supaya melantik seorang profesional Melayu bagi mengetuai MTKL. Mereka mencadangkan nama Ainuddin Abdul Wahid. Cakap-cakap supaya Ainuddin Wahid dipinjamkan ke MTKL pun semakin rancak. Akhirnya Tun Razak bersetuju dengan cadangan itu dan Ainuddin pun dipinjamkan ke MTKL pada 1 Ogos 1969.
Dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Ainuddin, MTKL dinaik taraf menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) setaraf ITB di Bandung ada 1972. Kemudian, institusi itu melonjak pula menjadi Universiti Teknologi Malaysia pada 1975. Dalam tempoh kepimpinannya yang panjang di UTM itulah babak-babak kedegilan Ainuddin Wahid dalam pentadbirannya dapat dilihat. Banyak perkara yang menimbulkan kontroversi sepanjang pentadbiran Ainuddin di UTM. Daripada isu pemakaian jubah dan songkok graduan hinggalah kepada isu penerapan ilmu berteraskan Tauhid.
Ainuddin mewarisi ketegasan dan kegarangan Cikgu Wahid yang terkenal kerana kerajinannya mengejar pelajar yang ponteng sekolah di Telok Anson. Demikianlah watak yang telah berjaya membawa UTM ke mercu tanda pengajian tinggi negara. Itulah formula yang telah berhasil melahirkan ribuan graduan, golongan profesional dan teknokrat Melayu. Inilah orangnya yang telah mengubah nisbah pelajar Melayu dan bukan Melayu di UTM daripada 10:90 menjadi 90:10. Siapa lagi kalau bukan Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid yang degil, ketegar dan keras kepala ini.
Banyak babak awal yang telah menambat hati Tun Razak bagi melantik Ainuddin memimpin UTM. Ainuddin Wahid adalah seorang tokoh Melayu yang terbilang dan besar sumbangan baktinya kepada negara dan bangsa. Bangsa yang mulia, menghormati sumbangan tokohnya.
Terima kasih kepada Fatini Yaacob. Sumber di atas dicedok dari: http://bumiyang.blogspot.com
.
Sinonim antara nama Naib Canselor dengan nama IPTA hanya berlaku kepada DUA individu sahaja. Sebut sahaja UM orang tidak lupa dengan Prof Ungku Aziz (NC UM 1968-1988) dan UTM dengan Ainuddin Wahid. Itu sahaja. IPTA atau NC yang lain sukar diingat kerana terlalu kerap bertukar ganti walaupun ada di antara mereka pernah menjadi NC lebih dua kali di IPTA yang berbeza.
Dalam sejarah Malaysia hanya TIGA individu sahaja yang pernah menjadi NC IPTA lebih dari sekali. Mereka ialah; Prof Tan Sri Dr Rashdan Baba pernah menjadi NC pertama UKM (1969-1971) dan NC pertama UPM (1972-1982). Prof Dr Awang Had bin Salleh merupakan pernah menjadi NC kepada dua buah Universiti, iaitu NC keempat UKM (1980-1984), NC pertama UUM (1984-1989), ini tidak termasuk sebagai Pengarah ITM (1978-1980) - sebelum ITM dinaiktaraf menjadi Universiti pada tahun 1996. Manakala Prof Tan Sri Mohd Noh Dalimin, NC UMS (2005-2008) dan NC UTHM (2008 hingga kini)
NC yang lain tidak berapa diingati sangat oleh orang ramai kerana tempoh perkhidmatan yang singkat (kerana sudah terlalu banyak NC bertukar ganti) atau bertukar tempat atau beralih kerjaya ke sektor swasta.
Prof DiRaja Ungku Abd Aziz (1922- kini)
NC UM kedua (1968-1988)
Tan Sri Rashdan (1935 - kini)
NC UKM pertama (1969-1971)
NC pertama UPM (1972-1982)
Almarhum Tan Sri Awang Had (1934 - 2013)
NC keempat UKM (1978-1980)
NC pertama UUM (1980-1984)
No comments:
Post a Comment