MAHATHIR
- DARI KACA MATA SAHABAT
NOTA
UCAPAN UNTUK MAJLIS ANJURAN BERSAMA UNIVERSITI MALAYA PERLIS (UniMAP) DAN
INSTITUT PEMIKIRAN TUN DR. MAHATHIR DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) PADA 8
MAC, 2011 DI DEWAN §2020, KANGAR PERLIS.
SALAM
Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Selamat Pagi kepada hadirin hadirat sekalian
KATA-KATA SAMBUTAN
Yang Berbahagia Tuan Pendaftar UniMAP selaku Pengerusi Majlis,
Yang Dihormati Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, UUM
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Tenaga Akademik UniMAP, UiTM dan UUM,
Ketua Jabatan, Agensi dan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Pusat,
Para Pelajar,
Kawan dan Sahabat,
Hadirin dan Hadirat sekalian.
SALAM
Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Selamat Pagi kepada hadirin hadirat sekalian
KATA-KATA SAMBUTAN
Yang Berbahagia Tuan Pendaftar UniMAP selaku Pengerusi Majlis,
Yang Dihormati Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, UUM
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Tenaga Akademik UniMAP, UiTM dan UUM,
Ketua Jabatan, Agensi dan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Pusat,
Para Pelajar,
Kawan dan Sahabat,
Hadirin dan Hadirat sekalian.
1.
Saya merasa bertuah kerana diberi penghormatan untuk menjadi pengucap utama
dalam majlis pada pagi ini.
PENGHORMATAN
2.
Rasa terhormat ini meningkat apabila tajuknya ialah mengenai tokoh yang digelar
'The Giant of Asia' atau 'Gergasi Asia'.
3.
Gergasi inilah yang perlu saya bicarakan sebagai sahabat melalui kacamata saya.
Perlu saya jelaskan bahawa sahabat saya, Tun Dr. Mahathir, bukanlah rakan
persekolahan saya, bukan rakan sepermainan saya dan bukan juga rakan kongsi
dalam apa jua jenis perniagaan.
KESUKARAN
MENULIS
4.
Agak susah untuk saya menulis ucapan ini kerana sebagai penulisan politik ianya
tidak dapat dibincangkan tanpa rujukan kepada watak yang terlibat, kerana
politik itu ialah mengenai kuasa yang menjadi rebutan berbagai watak.
Kebanyakan watak yang terlibat pula masih hidup. Oleh kerana bukan semua
huraian yang dibuat berbentuk pujian maka sebarang kritikan mungkin dianggap
sebagai sesuatu yang patut dilupakan atau dikesali oleh yang berperanan.
5.
Banyak sungguh buku yang telah ditulis mengenai Tun Dr. Mahathir dan banyak
juga buku yang ditulis sendiri oleh Tun Dr. Mahathir mengenai berbagai tajuk
ditambah pula dengan kumpulan ucapan-ucapannya yang bernas yang telah
dibukukan.
6.
Oleh itu ucapan saya pada pagi ini hanya sekadar menyusun semula apa yang sudah
diketahui umum dengan ditambah di sana-sini untuk melengkap, menambah atau
meminda di mana perlu sesuai dengan pandangan atau persepsi peribadi saya
mengenai sesuatu isu atau kejadian.
WAWASAN
2020
7.
Sebagai contoh ialah Wawasan 20 20.
8.
Sebelum saya menjadi Menteri saya sering balik ke Kedah dan menginap di Grand
Continental Hotel di Alor Setar. Saya sering duduk di meja tepi dinding dalam
coffee-house. Dari coffee-house itu saya dapat melihat MAHA Klinik di mana Tun
Dr. Mahathir bekerja sebelum menjadi Menteri. Kalau kita lihat ke MAHA Klinik
pasti ternampak kedai cermin-mata 2020.
9.
Oleh itu selepas mesyuarat kabinet di hari Tun Dr. Mahathir mengumumkan Dasar Wawasan
2020 pada tahun 1991 beliau telah memanggil saya dan bertanya 'Your know what
is 2020?' Saya jawab 'Yes ... the spectacles' kerana saya teringat kedai
cermin-mata 20 20 di tepi MAHA Klinik. Tun berkata 'OK ...... make sure the
logo for Merdeka Day reads twenty-twenty and not two thousand and twenty'.
Arahan itu ialah kerana saya bertanggungjawab menyiapkan logo Hari Merdeka
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan.
10.
Maksud Tun Dr. Mahathir dengan Wawasan 2020 ialah 'wawasan atau penglihatan
yang jelas'. Jika mata kita diperiksa oleh doktor mata dan kedua belah mata
bacaannya 20 20 maka kita tidak perlu pakai cermin-mata kerana pandangan kita
tidak kabur. Berertilah Wawasan 20 20 ialah 'Wawasan Yang Jelas' dan seseorang
yang berwawasan yang jelas dapatlah membangun negeri dan negara dengan cepat
dan menguntungkan rakyat. Dengan wawasan yang jelas kita boleh menjadi negara
yang maju pada tahun 2020, atau sebelumnya, seperti negeri Selangor yang
mengaku sudah menjadi negeri maju pada tahun 2005 kerana pemerintahan bijak
Barisan Nasional.
11.
Tetapi apa yang kita dengar hari ini ialah Wawasan 2020 itu ialah Malaysia akan
menjadi negara maju pada tahun 2020 dan aspek cermin-mata tidak pernah disebut
lagi.
ANTARA
BUDI DAN PRINSIP
12.
Hasil menungan saya sebagai Wakil Rakyat selama
40 tahun dan menjadi ahli UMNO selama 48 tahun saya dapati kebanyakan
orang-orang Melayu lebih mementingkan kawan daripada prinsip. Banyak yang saya
lihat sukar meninggalkan kawan jika kawannya itu sudah terbukti menyeleweng
sekalipun; dan kebaikan yang ada pada musuh sukar diterima sebagai modal yang
boleh membaiki semula perhubungan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pemimpin
yang pernah membantu kawan atau kenalannya.
13. Seperkara lagi yang sangat menonjol ialah
perubahan sikap seseorang itu bila sudah berkuasa atau sudah berada di
peringkat atasan. Ada yang ingin melupakan kawan-kawannya yang tahu bagaimana
asal usul atau sejarah hidup dan perjuangannya kerana setelah berada di atas
dan merasakan diri begitu hebat, atau insan kamil, maka segala bukti, termasuk
kawan-kawan lama, yang mengetahui sejarah kebaikan dan kekurangannya, hendak
diketepi dan dihapuskan, supaya yang wujud hanya kebaikan dan kedewaannya.
14.
Sikap ini tidak ada pada Tun Dr. Mahathir. Tun Dr. Mahathir agak lambat, kerana
beliau sangat teliti, sebelum menghukum seseorang yang dilaporkan salah, tetapi
dia mudah memaafkan, walau pun sukar melupakan.
TIDAK
PERNAH BERGURAU DAN TIDAK PERNAH MINTA
15.
Sejak saya kenal beliau pada tahun 1956, waktu saya sakit batuk di Langkawi,
sehinggalah sekarang, saya tidak pernah bergurau dengan beliau, hanya sekadar
turut tertawa bila orang lain bergurau, dan saya juga tidak pernah meminta
sesuatu darinya untuk diri saya baik semasa bertugas atau pun sebagai bekalan
untuk hari-hari bersara.
TEMPOH
BERSARA DARI UMNO
16.
Di Negeri Sembilan, di waktu kami sama-sama 'bersara' sebentar dari UMNO, untuk
boleh bebas bersuara dan mengkritik tokoh yang kami sangkakan kawan, Tun Dr.
Mahathir telah menafikan kenyataan bahawa saya tidak pernah meminta apa-apa
darinya. Lantas Tun ingatkan saya bahawa saya telah meminta untuk berhenti dari
menjadi Menteri Besar Kedah setelah Barisan Nasional menang dengan majority
lebih 2/3 dalam pilihanraya di peringkat negeri Kedah.
DI
LANGKAWI
17.
Tun Dr. Mahathir memulakan profesyennya di Langkawi sementara saya pula berada
di Langkawi pada masa yang sama kerana bapa saya menjadi pemandu lori Tauke
Teik yang mengangkut tanah merah untuk ditambak dalam pembinaan jalan yang
menghubungi pekan Kuah dengan Padang Matsirat.
TARIKH
LAHIR YANG SAMA
18.
Selain dari persamaan berada di Langkawi pada tahun yang sama, kami juga
mempunyai tarikh lahir yang sama iaitu 10 Julai walau pun perbezaan antara umur
kami ialah 18 tahun.
19.
Mungkin kerana perbezaan umur maka di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi pemimpin
MAYC di peringkat kebangsaan, sebagai Naib Presiden, saya menjadi ahli Kelab
Belia Seremban, yang aktif bermain ping-pong, yang menjadi kelab gabungan MAYC.
20.
Waktu saya baru menjadi ahli UMNO pada 13 Oktober, 1963 Tun Dr. Mahathir sudah
pun terkenal sebagai pejuang bangsa dan telah menjadi ahli UMNO sejak tahun
1946.
21.
Waktu saya menjadi Setiausaha Dewan Peniagaan Melayu Negeri Sembilan pada tahun
1965 Tun Dr. Mahathir sudah menjadi Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu
Malaysia.
22.
Waktu saya menghadiri Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia waktu di bawah
pimpinan Dato' Senu, pada tahun 1965, Tun Dr. Mahathir sudah menjadi pembentang
kertas-kerja. Menteri Besar Perlis Penghulu Jaafar pun turut hadir dalam
konvensyen itu, yang diadakan di Morib, Selangor.
23.
Bila saya menjadi Ahli Parlimen mulai tahun 1974 Tun Dr. Mahathir sudah jadi
Menteri Pendidikan. Bila Tun Dr. Mahathir jadi Timbalan Perdana Menteri pada
tahun 1978 saya menjadi Timbalan Menteri, seterusnya bila Tun Dr. Mahathir jadi
Perdana Menteri pada tahun 1982 saya menjadi Menteri.
24.
Tetapi, dalam satu hal saya mendahului Tun Dr. Mahathir iaitu saya berhenti
jadi Menteri Besar Kedah dan Tun Dr. Mahathir pula 'ikut contoh saya apabila
beliau kemudiannya' berhenti dari menjadi Perdana Menteri.
EMPAT
IDOLA
25.
Sebenarnya semenjak dari kecil saya mempunyai 4 (empat) idola yang, mengikut
ibu saya, patut dicontohi.
26.
Mereka ialah:
26
a - Tan Sri Hanafiah Nyak Hussain iaitu anak Malaysia yang pertama lulus dalam
bidang Chartered Accountant,
26
b - Tan Sri Pendita Professor Dr. Ismail Nyak Husin sebagai anak Sungai Limau
Yan yang mendapat Kepujian Kelas Satu dalam Pengajian Melayu di Universiti
Singapura; beliau ialah adik Sasterawan Negara Dato' Abdullah Nyak Husin
pengarang INTERLOK,
26
c - Dato' Kasim Nyak Ma'on yang merupakan anak Melayu pertama lulusan dari
Taiwan National University. Beliau mendapat biasiswa Dewan Perniagaan China
untuk melanjutkan pelajaran di Taiwan setalah mendapat keputusan cemerlang di
sekolah Chung Ling High School, Penang.
Ketiga-tiga
mereka ini berasal dari daerah Yan, Kedah. Yang bukan dari Yan ialah:
26
d - Tun Dr. Mahathir sebagai doktor yang terkenal menonjol di waktu itu.
27.
Walau pun dari segi profesyenal saya mendapat inspirasi dari Tan Sri Hanafiah
Hussain, dalam kegiatan politik saya mempelajari cara Tun Dr. Mahathir.
ASPEK
YANG MENGKAGUMKAN PADA TUN DR. MAHATHIR
28.
Kita tidak dapat melupakan Dasar Pandang Ke Timur yang dilancarkan oleh Tun Dr.
Mahathir di bawah pemerintahannya. Kebanyakan pemimpin dan rakyat memikirkan
dasar ini terbatas kepada melihat pencapaian ekonomi negara-negara Jepun, Korea
Selatan dan kemudiannya termasuk Taiwan.
29.
Apa yang saya faham ialah dasar ini melibatkan nilai. Iaitu nilai-nilai yang
ada pada orang Jepun dan Korea Selatan yang telah membawa kepada kemajuan
negara mereka. Di waktu nilai-nilai ini diketengahkan kerajaan telah menumpu
perhatian kepada pembentukan sikap berani, amanah, disiplin, rajin dan setia
dalam konteks Dasar Pandang Ke Timur. Inilah nilai-nilai yang selalu dihuraikan
oleh Tun Dr. Mahathir dalam kursus-kursus yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara
untuk pegawai dan kakitangan kerajaan.
30.
Setelah beberapa waktu nilai-nilai ini diketegahkan di bawah Dasar Pandang Ke
Timur, oleh kerana nilai-nilai ini juga adalah yang dituntut oleh Islam maka
penerapan nilai-nilai ini diteruskan di bawah Dasar Penerapan Nilai-Nilai
Islam.
31.
Nilai-nilai ini jelas ada pada Tun Dr. Mahathir.
PERTAMA
- BERANI
32.
Tun Dr. Mahathir tidak takut dan gentar untuk membuat apa jua keputusan dan
menyatakan apa jua pendapatnya di semua forum baik di dalam atau di luar
negara, baik secara peribadi, tertutup atau pun secara terbuka.
KEPETAHAN
TUN DR. MAHATHIR
33.
Waktu melawat USA beliau telah makan tengahhari di White House bersama Presiden
Ronald Reagan. Saya, sebagai menteri pengiring dalam lawatannya itu, berada di
sisinya, berdepan dengan Ronald Reagan di meja makan. Ronald Reagan telah
bertanya 'Kenapa Umat Islam suka berperang.'
33
a - Tun menjawab 'Adalah tidak benar Umat Islam suka berperang kerana majoriti
Umat Islam berada di Tenggara Asia, di Malaysia, Indonesia dan Brunei dan
mereka tidak berperang. Di Bangladesh dan Pakistan juga mereka tidak berperang,
malahan di India paling ramai Umat Islam yang hidup damai tanpa perang.'
33
b - 'Kalau begitu yang berperang itu ialah Arab dan mereka yang di Timur
Tengah?' tanya Ronald Reagan.
33
c - Tun menjawab 'Bukan semua, kerana di Morocco dan Mesir tiada peperangan,
yang ada peperangan ialah di beberapa negara sahaja dan itu tiada kaitan dengan
Islam.'
33
d - Lantas Ronald Reagan bertanya 'Kenapa mereka itu berperang?'
33
e - Tun Mahathir menjawab 'Kerana Amerika Syarikat dan Russia jual senjata pada
mereka, maka senjata itu tidak boleh digunakan untuk tujuan lain kecuali
berperanglah.'
33
f - 'Jadi kami yang salah?' tanya Reagan.
33
g - 'Saya tak kata begitu, tetapi kira-kira begitulah.' Tun Dr. Mahathir
mengeluh.
34.
Mereka berdua pun ketawa.
BUY
BRITISH LAST
35.
Walau pun Tun Dr. Mahathir kelihatan memusuhi pihak Barat dengan dasarnya
seperti 'Buy British Last' dan ucapan-ucapannya yang lantang dan berani menegur
dasar luar Amerika Syarikat, dan penentangannya terhadap IMF dan Bank Dunia tetapi
beliau, demi kepentingan ekonomi negara, bersikap 'pro-business' atau
'menyebelahi perniagaan' dan dasar-dasarnya itu hanya menyinggung politik Barat
dan tidak menentang perniaga dan pengusaha Barat. Itulah sebabnya sementara
beliau mengkritik Britain dan Amerika Syarikat pelabur-pelabur dari kedua
negara itu tetap mendatangi Malaysia. Berertilah keberanian Tun Dr. Mahathir adalah satu keberanian
yang penuh dengan perhitungan dan bukan sebarang keberanian yang merugikan
negara.
TUN
DR. MAHATHIR MEMILIH YANG TERBAIK DI DUNIA UNTUK MALAYSIA
U.
S. A.
36.
Waktu di Amerikalah Tun Mahathir menyedari kewujudan lapangan terbang Dallas
sebagai lapangan terbang yang terbesar di dunia, menara Sears sebagai menara
tertinggi di dunia, Washington D. C. sebagai ibukota masonic yang terancang
indah di dunia. Tun Dr. Mahathir telah menandingi ketiga pembinaan ini dengan
mewujudkan KLIA sebagai lapangan terbang yang terbesar indah di dunia, KLCC
sebagai sepasang menara yang tertinggi di dunia sehingga ke akhir alaf kedua
dan Putrajaya sebuah ibukota yang megah dan indah menyaingi semua ibukota di
dunia.
CANADA
37.
Bila sampai di Canada Tun Mahathir telah makan tengahari bersama dengan Perdana
Menteri Trudeau di Menara Telekom di Ontario. Apabila diberitahu bahawa menara
itu adalah antara yang empat tertinggi di dunia Tun Mahathir, sekembalinya ke
Malaysia telah memutuskan pembinaan Menara Telekom Kuala Lumpur yang tegak
megah di tengah-tengah Kuala Lumpur, sebagai salah satu daripada 5 menara
telekom yang tertinggi di dunia.
PERANCIS
38.
Dari Canada rombongan Tun Dr. Mahathir telah berangkat ke Perancis yang Presidennya
di waktu itu ialah Presiden Mitterand. Menteri Pengangkutan Perancis telah
mengiringi Tun Mahathir ke kawasan industri di mana terletak sebuah kilang
'optic fibre'. Kini, selain Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Cyberjaya kita
juga mempunyai keretapi laju antara KL dan KLIA seperti keretapi yang Tun
Mahathir naiki bersama Menteri Pengangkutan Perancis itu dari Paris ke Taman
Teknologinya.
39.
Tun Dr. Mahathir bersemangat membina Cyberjaya apabila beliau mengetahui lebih
60% tenaga kerja di Taman Teknologi Perancis itu datangnya dari negara-negara
Islam kerana mereka memberitahu negara-negara Islam tidak mempunyai Taman
Teknologi dan kepakaran mereka tidak diperlukan di negara-negara mereka
sendiri. Kata Tun kepada mereka 'Datanglah ke Malaysia nanti.'
SWITZERLAND
40.
Dari Perancis rombongan Tun Mahathir berangkat ke Berne ibu kota Switzerland.
Di sana kami telah melihat bagaimana negara itu melindungi rakyatnya dari
penderitaan jika berlaku perang nuklear. Kami juga telah dibawa masuk dalam gua
yang sekaligus menjadi lapangan terbang untuk jet kapalterbang perang yang
terbang keluar dari pergunungan jika berlaku sebarang serangan yang mengancam
keselamatan negara mereka.
41.
Saya ternampak dari kata-katanya betapa Tun Dr. Mahathir begitu terpukau
melihat keindahan kota dan persekitaran seluruh negara Switzerland.
Switzerlandlah saya kira yang difikirkan oleh Tun Dr. Mahathir apabila beliau
menyatakan keinginan supaya Kuala Lumpur diperindahkan dan dinamakan 'The
Garden City of Light.'
42.
Saya mendapat tahu dua kota yang bergilir-gilir bersaing sebagai kota terbersih
di dunia iaitu kota Zurich dan Singapura. Alangkah hebatnya jika Kuala Lumpur
menjadi pesaing ketiga.
43.
Sebagai menyambut hasrat Tun Dr. Mahathir untuk melihat kota dan negaranya yang
bersih indah maka saya juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari
Kebangsaan telah menganjurkan pertandingan kampung indah setiap tahun kita
menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan.
PROJEK
MEGA JADI BAHAN FITNAH
44.
Projek-projek besar atau mega inilah yang yang tersebut di atas inilah yang
kemudiannya menjadi bahan fitnah apabila Tun Dr. Mahathir dicabar untuk jawatan
Presiden UMNO pada tahun 1987.
SIFAT
KEDUA - AMANAH
45.
Sehingga hari ini Tun Dr. Mahathir masih berpegang kepada amanah yang
termeterai di dalam Perlembagaan UMNO dan Malaysia.
BAHASA
MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
46.
Keputusan beliau supaya matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris adalah
kerana kekecewaan beliau atas lambatnya, dan terbatasnya kemampuan, para ahli
bahasa dan ilmuan menterjemahkan semua buku ilmu dalam bahasa Inggeris dan
bahasa-bahasa lain ke bahasa Melayu. Ianya tidak boleh ditafsirkan sebagai
pengkhianatan kepada bahasa dan bangsa Melayu, Baginya kesetiaan kepada bangsa
tidak bererti menghalang bangsa itu daripada pendedahan kepada berbagai jenis
ilmu yang ada, semata-mata kerana enggan membenarkan bangsa itu pintar dalam
bahasa lain yang mempunyai banyak ilmu tertulis di dalamnya. Beliau mengambil
dirinya sebagai contoh seorang yang menguasai bahasa Inggeris tetapi tidak
kurang semangat Melayunya.
KEDAULATAN
RAJA-RAJA MELAYU
47.
Dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu beliau telah menghapuskan
punca kemungkinan raja-raja boleh difitnahkan kerana menggunakan kuasa tidak
mahu meluluskan undang-undang sehingga mendapat sesuatu yang dikehendakinya.
Dengan meminda Perlembagaan yang membolehkan undang-undang diluluskan tanpa
bergantung kepada persetujuan raja maka punca fitnah sedemikian dapat
dihapuskan.
48. Walau bagaimanapun ada pihak
yang mentafsirkan tindakan ini sebagai menghakiskan kuasa raja. Ini bukanlah
niat dan tujuan Tun Dr. Mahathir yang telah sama-sama berjuang menentang
gagasan Malayan Union, yang dirancang oleh British, yang menghina kedudukan
Raja-Raja Melayu.
ISLAM
SEBAGAI UGAMA PERSEKUTUAN
49.
Tun Dr. Mahathir tidak berganjak
mempertahankan Islam sebagai ugama yang diredhai Allah. Beliau mempertahankan
'fundamental' Islam itu sebagai baik dan seseorang itu tidak perlu takut
diangap sebagai fundamentalis kerana seseorang yang berpegang kepada
fundamental Islam tentulah baik orangnya kerana fundamental Islam itu baik.
50.
Beliau tidak akan memberi katanama lain, seperti hadhari, kepada Islam hanya
untuk mengambil hati orang bukan Islam dan beliau tetap mempertahan fundamental
Islam. Bagi beliau Islam itu ialah ugama untuk diamal, sekadar mampu, dan Islam
itu di atas politik dan tidak boleh diletak di bawah politik hanya untuk
diperalatkan untuk memenangi pilihanraya. Kerana mempertahankan Islam dan Umat
Islam Tun Mahathir sangat dibenci oleh Yahudi khasnya Yahudi Zionis Kristian.
Malangnya Tun Mahathir juga dibenci oleh tokoh-tokoh Islam di negara ini yang
mampu menidakkan Islamnya dan keislaman partinya semata-mata kerana tokoh Islam
itu samaada berkawan dengan Yahudi atau dengan tokoh, di negara jiran, yang
menjadi sahabat setia golongan Zionis di Israel dan ingin Umat Islam di
negaranya merubah sikap dan cara mereka berugama.
HAK
ISTIMEWA ORANG-ORANG MELAYU
51.
Tun Dr. Mahathir tidak pernah berhenti mempertahankan hak istimewa orang-orang
Melayu dan kedudukan Melayu sebagai Bumiputra dan bukan pendatang di negara
ini. Beliau ditohmahkan sebagai rasis kerana mempertahankan hak dan kedudukan
Melayu. Dalam mempertahankan Dasar Ekonomi Baru Tun Dr. Mahathir tidak berhenti
menyeru orang-orang Melayu supaya merubah sikap dan berpegang dengan
nilai-nilai murni yang boleh membawa kepada kejayaan.
52.
Waktu beliau menjadi Perdana
Menteri Tun Dr. Mahathir tidak pernah mengurangkan kuota biasiswa kerajaan
untuk pelajar-pelajar Melayu tetapi pihak bukan Melayu tidak membantah terhadap
dasar ini kerana Tun Dr. Mahathir terus membantu mereka untuk memajukan sektor
ekonomi negara; dan swasta bukan Melayu bebas memberi kesemua peruntukan
biasiswa mereka kepada kaum mereka sendiri. Walau pun 95 % biasiswa kerajaan
telah diberi kepada pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputra tetapi biasiswa
swasta, yang tidak kurang jumlahnya, adalah 100 % untuk bukan kita.
SIFAT
KETIGA - DISIPLIN
53.
Tun Dr. Mahathir adalah seorang yang cukup disiplin dalam aspek waktu dan
jadual bekerja dan beribadat. Contoh disiplin yang ingin diterapkan ke dalam
jiwa pekerja kerajaan di Malaysia ialah dengan memperkenalkan mesin perakam
waktu bekerja. Kita juga masih teringat kepada slogan 'Bersih, Cekap dan
Amanah" sebagai usaha mendidik rakyat supaya berdisiplin.
54.
Yang penting ialah bukan sahaja Tun Dr. Mahathir mahukan rakyat bersikap
disiplin tetapi beliau sendiri mengamalkan disiplin yang dikehendakinya dari
rakyat. Apabila beliau mengarahkan pekerja kerajaan di semua peringkat memakai
tanda-nama beliau juga memakainya.
SIFAT
KEEMPAT - RAJIN
55.
Tidak ada orang yang mengenal Tun Dr. Mahathir yang tidak mengetahui betapa
beliau rajin membaca, menulis, bercakap dan bekerja.
SIFAT
KELIMA - SETIA
56.
Tun Dr. Mahathir terkenal sebagai seorang yang setia kepada kawan dan
perjuangan.
57.
Hubungan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah adalah satu contoh hubungan
setia dan mesra antara suami isteri yang jarang ada di kalangan pemimpin
politik yang berjaya di dunia ini. Jika kita lihat kepada sejarah pemimpin
ulung di Amerika Syarikat seperti John F. Kennedy (dengan Marilyn Monroe),
pemimpin ulung di Eropah seperti Napoleon Bonaparte (dengan Eva Braun) dan
pemimpin ulung di zaman Empayar Rom seperti Julius Caesar (dengan Cleopatra)
jelas sekali apabila lebih meningkat populariti seseorang maka lebih hebat
godaan yang mendampinginya kerana 'Power is Aphrodisiac'. Untuk kita tidak
anggap itu kisah pemimpin dulu kita boleh lihat kepada rekod Presiden Bill
Clinton (dengan Monica Lewinsky) yang sudah bersara dan bagi yang masih
berkhidmat kita perhatikan pula perkembangan kes Perdana Menteri Berlusconi di
Itali.
58.
Kalau kita lihat kepada watak sebagai Tony Blair pula kita akan dapati
ketidaksetiaannya termasuk kepada bidang ugama. Walau pun beliau penganut ugama
Kristian Anglican di waktu menjadi Perdana Menteri Britain beliau berubah ke
ugama Katholik apabila berhenti dari menjadi Perdana Menteri.
59.
Kesetiaan Tun Dr. Mahathir kepada kawan-kawannya adalah luar biasa dan saya
boleh menulis ratusan muka surat bagaimana kesetiaannya kepada kawan-kawannya
telah membantu beliau membangunan negara dan banyak pula masalah yang
dihadapinya yang berpunca dari kesetiaan itu.
DUA
PERISTIWA YANG SANGAT BERERTI DALAM HUBUNGAN SAYA DENGAN TUN MAHATHIR
PERISTIWA
PERTAMA - PERLETAKAN JAWATAN TUN MUSA HITAM
60.
Setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan dan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana
Menteri pada 16 Julai, 1981 UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agong Tahunan (
1981 ) dan Tun Dr. Mahathir, kerana susah memilih antara dua sahabat untuk
menjadi Timbalannya telah membenar UMNO untuk membuat pemilihan melalui
pertandingan.
61.
Oleh itu Tun Musa Hitam telah bertanding dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk
jawatan Timbalan Presiden UMNO. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir memberitahu kepada
saya beliau akan lebih aman bekerja jika Tun Musa menjadi Timbalannya maka saya
telah menyokong Tun Musa Hitam. Tengku Razaleigh, kerana kurang rapi
persiapannya, telah kalah dengan 205 undi ( 722 - 517 ).
62.
Walau pun Teungku Razaleigh kalah, kerana 517 undi yang diperolehinya lumayan
banyak, beliau terus dikekalkan oleh Tun Mahathir di dalam kabinet sebagai
Menteri Kewangan sementara Tun Musa Hitam, sebagai Timbalan Perdana Menteri,
merangkap Menteri Dalam Negeri. Tun Dr. Mahathir berpendapat dengan pengekalan
ini penyokong-penyokong Teungku Razaleigh akan merasa selesa dan terus mantap
menyokong UMNO dan kepimpinannya. Tun Mahathir berpegang kepada prinsipnya 'If
you win you cannot win all just as if you lose you cannot lose all'.
63.
Tun Musa jelas tidak selesa dengan prinsip Tun Dr. Mahathir ini kerana Tengku
Razaleigh kelihatan bertambah popular dengan jawatannya sebagai Menteri
Kewangan. Tun Musa juga tidak selesa dengan kemasukan Dato' Seri Anwar Ibrahim
ke dalam UMNO pada tahun 1982, atas inisiatif Tengku Razaleigh dan Dato' Harun
Idris, setahun setelah pertandingan antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa pada
tahun 1981. Penyokong-penyokong Tengku Razaleigh terus membuat persiapan untuk
pertandingan kali kedua antara dua tokoh ini.
PERHIMPUNAN
AGUNG UMNO TAHUN 1984
64.
Dalam Perhimpunan Agong UMNO ke 2 selepas Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana
Menteri dan Presiden UMNO beliau sekali lagi pada tahun 1984 menang untuk
jawatan Presiden tanpa bertanding. Timbalannya Tun Musa telah ditentang sekali
lagi oleh Tengku Razaleigh untuk jawatan Timbalan Presiden. Yang aneh ialah
Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipermudahkan kemasukannya ke dalam UMNO oleh
Tengku Razaleigh telah tidak menyokong Tengku Razaleigh, sebaliknya, Anwar
sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dimenanginya pada tahun itu, telah menyokong Tun
Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden.
65.
Setelah Tengku Razaleigh dikalahkan oleh Tun Musa buat kali kedua pada tahun
1984 maka Tun Dr. Mahathir telah mengurangkan kuasa dan pengaruh Tengku
Razaleigh dengan menurunkan jawatannya dari Menteri Kewangan untuk menjadi
Menteri Perdagangan Antarabangsa. Tun Dr. Mahathir telah melantik Tun Daim
Zainuddin menjadi Menteri Kewangan.
PERISTIWA
MEMALI
66.
Setahun kemudian pada tahun 1985, dalam mesyuarat kabinet sebelum Tun Dr.
Mahathir berangkat ke negeri China, saya telah diminta menghubungi kenalan saya
Ibrahim Libya yang dikehendaki menyerah secara aman kepada pihak polis. Saya
telah menyampaikan hasrat saya untuk berjumpa Ibrahim tetapi, sepeninggalan Tun
Dr. Mahathir ke China, dan belum sempat saya berjumpa Ibrahim, beliau telah
terbunuh dalam peristiwa Memali. Pada waktu itu Tun Musa menjadi Menteri Dalam
Negeri dan memangku jawatan Perdana Menteri.
TUN
MUSA KIRIM SURAT PERLETAKAN JAWATAN
67.
Beberapa waktu selepas Tun Dr. Mahathir kembali dari China beliau telah
menerima sepucuk surat dari Tun Musa yang memberi tempoh satu tahun untuk
meletak jawatan. Surat ini telah disimpan sebagai rahsia oleh Tun Dr. Mahathir.
68.
Pada mulanya Tun Dr. Mahathir ingin menunggu sehingga diadakan Perhimpunan
Agung UMNO sekali lagi setelah Tun Musa meletak jawatan, tetapi, oleh kerana
kawan-kawan Tun Musa sedang berusaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas, kerana
hanya dengan keputusan Mesyuarat Agung Khas Tun Musa akan menarik balik
keputusan letak jawatannya.
CADANGAN
TUN DR. MAHATHIR UNTUK MELETAK JAWATAN
69.
Sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan untuk menimbang cadangan untuk
mengadakan Mesyuarat Agung Khas Tun Dr. Mahathir telah memanggil saya dan
memberitahu bahawa beliau akan meletak jawatan jika usul untuk mengadakan
Mesyuarat Agung Khas, yang akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pada
keesokan malamnya lulus maka beliau akan meletak jawatan kerana beliau yakin
Mesyuarat Agung Khas tetap akan meluluskan usul mendesak Tun Musa untuk kembali
memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
70.
Apabila saya bertanya alasan atas keputusan demikian Tun Dr. Mahathir berkata
'Wakil UMNO hanya berfikir mengenai perpaduan sedangkan saya berfikir mengenai
kerja. Jika Tun Musa yang mengetahui kemenangannya ialah dengan sokongan saya
pun tidak dapat menyokong saya di dalam menjalankan tugas gambarlah apa akan
jadi jika dia terpaksa saya lantik kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri
kerana keputusan Mesyuarat Agung Khas. Lagi-lagilah susah dia hendak bantu
saya.'
PANDANGAN
DATO' SENU, TAN SRI KHIR JOHARI DAN TUN DATO' MUSTAFA
71.
Saya pun merasa gelisah dan mencari jalan untuk mempertahankan kedudukan Tun
Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO. Sebagaimana biasa saya telah cuba mendapat
nasihat dan petunjuk dari tokoh-tokoh yang lebih dewasa dan lebih
berpengalaman. Saya telah hubungi Dato' Senu Abdul Rahman yang saya kenal
sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di waktu saya menjadi Setiausaha
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban Timur. Saya juga bertemu dengan Tan
Sri Mohd Khir Johari yang pernah menjadi guru bahasa Inggeris kepada Tun Dr.
Mahathir di Alor Setar dahulu. Kedua-dua tokoh dari Kedah ini enggan membantu
kerana mereka adalah orang kuat Tengku Abdul Rahman.
72.
Tokoh ketiga yang saya temui
ialah Tun Dato' Hj. Mustafa. Beliau juga rakan karib Tengku Abdul Rahman. Bila
dia melihat wajah sedih saya apabila dia kelihatan gembira mendengar Tun Dr.
Mahathir akan berhenti jika usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas UMNO
lulus, maka Tun Dato' Mustafa bertanya 'Apakah anak mahu usul itu kalah?' Bila
saya mengesahkan kerana saya belum nampak seorang tokoh yang layak mengganti
Tun Dr. Mahathir maka Tun Dato' Mustafa bertanya lagi ' Apakah fikiran orang
UMNO, khasnya kebanyakan ahli-ahli Majlis Tertinggi mengenai usul itu, akan
menang atau kalah?' Saya menjawab 'Hampir semuanya fikir usul itu akan
diluluskan oleh Majlis Tertinggi dan apabila Mesyuarat Agung Khas UMNO diadakan
usul itu akan lulus dengan sebulat suara kerana ahli-ahli UMNO berpendapat
itulah caranya untuk menyatupadukan UMNO.' Tun Dato' Mustafa terus menyampuk
'Kalau ramai fikir usul itu akan menang maka menanglah; kalau ramai fikir usul
itu akan kalah maka kalahlah .... yang penting ialah apa orang fikir.'
73.
Mendengar pandangan Tun Dato' Mustafa saya pun berhenti makan malam dan meminta
izin untuk balik ke pejabat UMNO walaupun sudah pukul 10 malam. Sebelum sampai
di pejabat saya telah telefon Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Tan Sri Megat
Junid Megat Ayob dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Kip Bahadon. Bertiga kami
telah menghubungi hampir kesemua ahli-ahli Majlis Tertinggi yang rapat dengan
kami untuk menyatakan pendirian masing-masing sekaligus memaklumkan secara
tidak langsung bahawa usul yang akan dibentang dalam Majlis Tertinggi pada
besok malam akan kalah.
74.
Pada keesokan malamnya hanya 3 orang sahaja dari ahli Majlis Tertinggi yang
menyokong usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas. Semua yang hadir merasa
terkejut termasuk saya sendiri.
MAJLIS
TERTINGGI MENOLAK USUL MENGADAKAN MESYUARAT AGUNG KHAS TETAPI MENERIMA USUL
MENGHANTAR ROMBONGAN UMNO JOHOR KE LONDON
75.
Walau pun Majlis Tertinggi telah menolak cadangan mengadakan Mesyuarat Agung
Khas, tetapi Majlis Tertinggi bersetuju menghantar satu rombongan UMNO dari
Johor, yang dipimpin oleh Dato' Syed Zain, untuk memujuk Tun Musa, yang berada
di London, untuk menarik balik perletakan jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dapat ditarik balik kerana
Tun Dr. Mahathir sahaja yang berkuasa membuat perlantikan semula dan beliau
tidak bercadang membuat demikian.
76.
Di waktu rombongan UMNO Johor berangkat ke London saya lihat di dalam surat
khabar sepanduk yang mengutuk saya, Tan Sri Megat Junid dan Kip Bahadon.
Sepanduk ini berbeza dengan sepanduk yang dibentang di bangunan UMNO sebelum
mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan di mana tiga tokoh yang disalahkan atas
perletakan jawatan Tun Musa Hitam ialah apa yang disingkatkan sebagai A. I. D.
S untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi Junid. Rupanya
ahli-ahli rombongan sudah mengetahui mengenai kegiatan panggilan telefon kami
bertiga Megat, Kip dan saya.
ROMBONGAN
UMNO JOHOR BERJAYA MEMUJUK TUN MUSA MEMBATALKAN PERLETAKAN JAWATAN TIMBALAN
PRESIDEN UMNO
77.
Walau pun Majlis Tertinggi telah diberi jaminan oleh 3 orang ahlinya, yang
menyokong usul yang kalah untuk diadakan Mesyuarat Agung Khas, bahawa Tun Musa
tidak akan menarik balik surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden
ternyata Tun Musa menarik balik perletakan jawatannya kerana beliau bimbang
atas nasib penyokong-penyokongnya kerana pemegang jawatan Timbalan Presiden
biasanya juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang ditakuti akan
bertindak ke atas penyokong-penyokongnya.
TUN
ABD. GHAFAR BABA JADI TIMBALAN PERDANA MENTERI
78.
Kerana usaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas berjalan terus dan
desakan-desakan terus membara maka Tun Dr. Mahathir telah memutuskan untuk
tidak menunggu Perhimpunan Agung UMNO untuk memilih Timbalan Presiden baru
sebaliknya terus melantik, pada tahun 1986, Tun Ghafar Baba untuk menjadi
Timbalan Perdana Menteri.
PERISTIWA
KEDUA - CABARAN DARI TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
PERHIMPUNAN
AGUNG UMNO TAHUN 1987
79.
Oleh kerana Tun Ghafar Baba ialah sahabat karib Tengku Razaleigh dan tidak
dianggap oleh Tengku Razaleigh sebagai saingan yang sepadan dengannya maka dalam
Perhimpunan Agong UMNO ke 3 selepas Tun Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO,
iaitu pada tahun 1987 Tengku Razaleigh tidak menentang Tun Ghafar yang
mengganti Tun Musa, sebaliknya telah mencabar Tun Dr. Mahathir untuk jawatan
Presiden UMNO. Tun Musa telah menyokong Tengku Razaleigh dan masuk ke dalam
'Team B' untuk menentang Tun Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden.
80.
'Team B' telah dikalahkan oleh 'Team A' dalam pertandingan ini.
81.
Perlu diingat bahawa Tengku Razaleigh ialah seorang menteri kabinet di waktu
beliau menentang Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang terus melantiknya
sebagai menteri walau pun beliau telah dua kali dikalahkan oleh Tun Musa dalam
pertandingan pada tahun 1981 dan tahun 1984.
82. Sikap toleran Tun Dr. Mahathir
terhadap orang yang tidak mengenang jasanya jarang sekali terdapat dalam dunia
'realpolitik'.
TENGKU
RAZALEIGH BERTAMBAH POPULAR
83.
Waktu saya mendapat tahu populariti Tengku Razaleigh telah meningkat dan banyak
mereka yang sering datang ke rumah Tun Dr. Mahathir juga tidak kelihatan lagi
maka saya telah pergi ke rumah beliau untuk bertanya apa strategi beliau untuk
mengekalkan kedudukannya. Beliau berkata 'saya serahkan kepada Allah dan
kebijaksanaan ahli-ahli perwakilan UMNO'.
KEBIJAKSANAAN
DALAM 'REALPOLITIK'
84.
Oleh kerana saya tahu dalam 'realpolitik' kebijaksanaan orang-orang politik itu
biasanya ialah hanya dalam menjaga kepentingan dan keuntungan peribadi di
atas kepentingan agama, bangsa dan tanahair maka saya mencadangkan satu majlis
penerangan diadakan sebagai usaha untuk mengasahkan kebijaksanaan ahli-ahli
UMNO supaya memihak kepada Tun Dr. Mahathir. Oleh itu satu kempen telah
diadakan di Hilton Hotel, Jalan Tun Ismail dua hari sebelum Perhimpunan Agung
UMNO diadakan.
KESAN
UCAPAN PERASMIAN
85.
Biasanya apabila Tun Dr. Mahathir menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agong
UMNO banyaklah masalah terkupas dan kemusykilan berjawab dan
penyokong-penyokong Tun Dr. Mahathir mengharapkan ucapan beliau akan membantu
untuk memenangkannya.
KECOH
KUNCI PETI UNDI
86.
Walau bagaimana pun satu kejadian telah berlaku pada malam 23 April, 1987 yang
keesokan harinya ada pemilihan dalam Perhimpunan Agong UMNO. Saya telah
menerima telefon dari seorang wartawan M. G. G. Pillai yang memberitahu saya
kemungkinan ada masalah dalam pemilihan esok kerana katanya dia melihat
beberapa orang pegawai di ibu pejabat UMNO, di dalam Dewan Merdeka telah
bermain-main dengan kunci-kunci kotak mengundi yang dia lihat terlonggok dan
mungkin tidak dapat dicari esoknya. Saya ucapkan terima kasih dan tidak berbuat
apa-apa kerana saya percaya penuh kepada staf ibu pejabat yang telah mengurus
semuanya dengan baik.
87.
Pada 24 April, 1987 selepas ucapan perasmian Perhimpunan Agong UMNO dilakukan
dan pegundian untuk jawatan Presiden hendak diadakan sementara para perwakilan
masih terkesan dengan ucapan perasmian itu tiba-tiba didapati peti-peti undi
tidak dapat dibuka kerana kekusutan kunci sebagaimana yang M. G. G. Pillai
beritahu pada malam tadi.
KEBIJAKSANAAN
TERCEMAR DENGAN POLITIK WANG
88.
Pengundian terpaksa ditangguhkan sehingga selesai sembahyang Juma'at maka pada
waktu Juma'at itulah berbagai cara kempen dilakukan oleh penyokong Tengku
Razaleigh pasti tanpa diketahui olehnya) terhadap perwakilan yang tidak
berjuma'at kerana musafir. Akibatnya Tun Dr. Mahathir menang dengan perbezaan
undi yang tipis (761 - 718 undi). Jika pengundian telah diadakan sebelum
sembahyang Jumaat, iaitu selepas ucapan perasmian oleh Presiden UMNO maka, oleh
kerana 'kebijaksanaan para perwakilan' yang diasahkan oleh ucapan perasmian
itu, belum dicemarkan oleh 'politik wang', mungkin majoriti kemenangan Tun Dr.
Mahathir bertambah.
HARAPAN
SEMUA PEMIMPIN NEGARA-NEGARA ISLAM
89.
Jika ada yang masih mencurigai
pandangan saya mengenai Tun Dr. Mahathir mungkin elok juga saya nyatakan apa
yang disampaikan sendiri oleh Presiden Musharraf dari Pakistan kepada saya di
waktu beliau menghadiri Persidangan OIC yang diadakan di Putrajaya dari 11
hingga 18 Oktober, 2003, iaitu 13 hari sebelum Tun Dr. Mahathir menyerahkan
kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Oktober, 2003. Kata Presiden
Musharraf 'You have to tell Mahathir that the delegates to the last conference
of OIC decided to bring this year's conferene to Kuala Lumpur because they
would like to hand over the leadership of OIC to him, and not to Malaysia. We
chose Malaysia because we want Mahathir to lead us, not just anybody from
Malaysia.'
89
a - Saya tanya 'All leaders of OIC countries?'
89
b - 'Yes all, not one exception. Please tell him not to step down from being
the Prime Minister. He should stay for more years to lead the OIC. Please do us
a favour.' Saya tidak sampaikan rayuan Presiden Musyarraf kepada Tun Dr.
Mahathir kerana saya mengetahui Tun Dr. Mahathir tidak akan berganjak dari
keputusannya. Bermaknalah, bukan saya saja, tetapi semua pemimpin negara-negara
Islam di dunia menyanjung kemampuan kepimpinan Tun Dr. Mahathir.
PENUTUP
90.
Saya merasa bangga kerana pihak penganjur majlis hari ini menganggap saya
sebagai sahabat Tun Dr. Mahathir. Bagi saya apa yang telah saya lakukan dalam
perjuangan politik ini ialah ibadat belaka, termasuk usaha membantu Tun Dr.
Mahathir dalam menjalankan tugasnya. Jika ada yang lebih layak darinya, di
zamannya, sudah pasti saya tidak bersamanya.
91.
Oleh kerana saya terlibat di dalam berbagai pergolakan sepanjang menjadi Wakil
Rakyat, menjadi Timbalan Menteri, berada di dalam Kabinet dan menjadi Menteri
Besar; menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Setiausaha Agung, Naib Presiden dan
Ketua Perhubungan UMNO Kedah, maka bahang dari akibat terhunusnya keris dan
pedang, di waktu dalam pergolakan itu, masih saya rasai sehingga masa kini.
Pada kesempatan seperti inilah saya dapat meluahkan sebahagian dari pengalaman
itu, dalam masa yang terbatas, dengan harapan generasi muda masa kini dan masa
depan dapat mempelajari dan memahaminya semoga tidak terjebak dengan ranjau
yang merugikan agama, bangsa dan tanah-air.
92.
Sekian, selamat berjuang.
Wabillahi
Taufik Wassalaamu'alaikum
Sanusi
Junid
No comments:
Post a Comment