NEGERI SEMBILAN
Beberapa pekan kecil atau kawasan yang semakin sepi di Negeri Sembilan sering kali dipengaruhi oleh faktor pembinaan jalan pintas baharu, migrasi penduduk ke bandar besar, atau kemerosotan aktiviti ekonomi asal seperti perlombongan bijih timah.
Namun, satu-satunya bandar perlombongan di Negeri Sembilan yang sezaman dengan lombong-lombong di Perak, Selangor dan Pahang ialah bandar Seremban. Kelihatannya Seremban berjaya mengekalkan kebandarannya setelah industri perlombongan ditamatkan. Malahan Seremban terus berkembang menjadi Seremban 2 dan Seremban 3 dan bergabung dengan Bandar Baru Nilai membentuk Majlis Bandaraya Seremban.
Kewujudan beberapa bandar baru seperti Bandar Baru Nilai, Bandar Baru Senawang dan Bandar Baru Sri Sendayan yang lebih lengkap dan sistematik menyebabkan pekan-pekan kecil lama tidak dapat menarik perhatian generasi baru malah kehilangan penduduk.
Kebanyakan pekan yang menjadi lesu di Negeri Sembilan adalah akibat dari terkeluar dari laluan utama Persekutuan seperti Rembau, Kota, Pedas, Linggi, Bukit Pelandok (ada faktor tambahan), Lenggeng, Ulu Beranang, Pantai (dalam daerah Seremban) dan beberapa buah pekan lagi dalam daerah Port Dickson, Tampin, Rembau, Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah.
Daerah Seremban merupakan daerah termaju di Negeri Sembilan. Perbandaran Seremban bergabung dengan Nilai dan Senawang membentuk sebuah bandaraya (Seremban). Namun dalam daerah ini masih terdapat beberapa buah pekan yang terpinggir atau kurang berdaya saing akibat pembinaan lebuhraya yang menjadi pilihan pengguna yang dahulunya menggunakan jalan Seremban ke Kuala Lumpur yang semestinya melalui pekan Pajam , Mantin, Beranang, Semenyih dan Kajang.
Nota : Penulis tinggal di Seremban selaku peminat sejarah tanah air, masih suka menggunakan laluan lama ini. Kalau ada tugasan di Kuala Lumpur, dalam perjalanan pulang, penulis akan mengambil jalan lama sama ada masuk dari exit Bandar Seri Putra atau pun dari exit Nilai melalui jalan Mantin.
Antara pekan-pekan kecil dalam daerah Seremban yang menghadapi kelembapan pembangunan adalah Pantai, Lenggeng, Ulu Beranang dan Broga (ada beberapa lagi yang akan penulis ceritakan dalam episod ini. Pekan Rantau amat beruntung, walaupun kedudukannya terasing dari laluan popular terus menerima kemajuan kerana mempunyai Dato' Seri Mohamad Hassan (mantan Menteri Besar NS) selaku ADUN sejak tahun 2004 hingga hari ini (2026).
Pekan Rantau
(1) PANTAI. Pekan kecil (malah sangat kecil) Pantai yang terletak di jalan utama Seremban-Jelebu, jaraknya hanya 10.4 km sahaja, masih kelihatan seperti pekan tahun 1960an dengan mengekalkan dua barisan (kedua sisi jalan) kedai-kedai kayu beratap zing yang sudah uzur. Pun begitu, pekan ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti klinik, balai polis dan lain-lain. Penduduk Pantai lebih selesa dengan suasana perkampungan yang tenang kerana segala keperluan boleh diperolehi di Seremban atau Senawang. Dan, inilah satu-satunya pekan yang ada di laluan Persekutuan Seremban-Jelabu sejauh 33km.
Mukim dan pekan Pantai merupakan sebahagian daripada wilayah Luak Sungai Ujong. Walaupun lokasinya di kawasan perbukitan, ia bernama Pantai. Kenapa?. Nama tersebut dikatakan berasal daripada aliran air atau bentuk geografi tempatan yang landai, berpasir dan pemandangannya yang cantik seperti kawasan pesisir pantai.
Penduduk asal dan awal di sekitar Pantai menerima pengaruh kuat budaya Minangkabau serta mengamalkan Adat Perpatih. Kawasan ini juga menempatkan bangunan bersejarah penting seperti Rumah Warisan / Telapak Warisan Balai Undang milik Dato' Klana Petra (Undang Luak Sungai Ujong) yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Namun ketiadaan usaha yang serius untuk mempromosi Pantai sebagai destinasi pelancongan menyebabkan pekan ini kekal sepi dan lesu.
(2) LENGGENG. Pekan Lenggeng ialah sebuah pekan pendalaman di Negeri Sembilan yang bersejarah - yang dianggarkan berusia kira-kira 200 tahun. Terdapat berbagai versi cerita berkaitan asal usul nama Lenggeng. Versi pertama adalah dari nama 'ikan langging' dalam bahasa orang Rawa. Kedua, dari bahasa Minangkabau yang berkaitan dengan keadaan geografi kawasan ini yang berbukit bukau, manakala versi ketiga adalah dari perkataan Melayu Lama yang merujuk kepada bentuk muka bumi Lenggeng yang berbukit-bukau dan berbatu. Balam bahasa tempatan Lenggeng disebut sebagai 'Longging'.
Sejarah awal Lenggeng bermula dengan penempatan orang Asli (Suku Sakai) sekitar tahun 1600–1700. Sekitar tahun 1820–1830an, ia mula menerima kemasukan pendatang dari Sumatera - terutama dari Minangkabau (Luak Agam) serta masyarakat Rawa dan Jawa yang datang untuk membuka tanah dan bertani.
Pada zaman pentadbiran British, Lenggeng berkembang sebagai kawasan pertanian utama (terutamanya getah dan padi) serta menjadi laluan penting yang menghubungkan Semenyih (Selangor) dengan Seremban. Ketika Zaman Darurat (1948–1960), kawasan ini turut menjadi lokasi hitam yang mencatatkan beberapa pertempuran antara pasukan keselamatan British dan pihak komunis kerana kedudukannya yang strategik (hutan tebal bebukit bukau) dari segi peperangan gerila.
Pekan Lenggeng
Hari ini, Lenggeng masih kekal sebagai pusat komersil penduduk perkampungan sekitarnya yang melakukan aktiviti ekonomi tradisional berasaskan pertanian, terutama penanaman getah, kelapa sawit, dan padi. Lenggeng mampu berkembang jika Kerajaan meningkatkan aktiviti pelancongan desa dan agro-pelancongan. Antara destinasi pelancong adalah Hutan Lipur Lenggeng – Destinasi rekreasi dengan air terjun dan kawasan hutan simpan yang sesuai untuk riadah.
Pekan Lenggeng agak sukar untuk mengembangkan perbandarannya kerana terkekang dengan masalah tanah adat serta wujudnya pembangunan Bandar Tasik Senangin (BTS) yang sangat hampir. Bayangkan, BTS yang telah dibangunkan lebih 15 tahun masih terkial-kial untuk mengisi kekosongan, bagaimana dengan pekan lama Lenggeng yang usang dan sempit.
https://www.facebook.com/profile.php?id=61567247151356
(3) ULU BERANANG. Pekan kecil atau masih dipanggil Kampung Ulu Beranang mempunyai sejarah unik kerana terletak betul-betul di kawasan sempadan negeri dan pernah menjadi subjek pertikaian wilayah antara Selangor dan Negeri Sembilan pada abad ke-19. Berbeza dengan Pekan Beranang yang terletak di dalam daerah Hulu Langat, Selangor, kawasan Ulu Beranang secara rasminya ditadbir di bawah daerah Seremban (mukim Lenggeng/Mantin), Negeri Sembilan.
Pekan Ulu Beranang
Pada asalnya, seluruh wilayah Beranang dan Semenyih di bawah kuasa Dato' Kelana Sungai Ujong. Sekitar tahun 1870an dan 1880an, berlaku kekeliruan dan pertikaian sempadan antara Selangor dengan Negeri Sembilan lanjutan dari pemetaan hutan yang tidak tepat. Pada tahun 1883, satu perjanjian persempadanan baharu ditetapkan. Garis sempadan diambil dari puncak Bukit Ulu Beranang merentasi Kampung Jalan Enam Kaki di Selangor. Akibat pembahagian ini, mukim Beranang (termasuk Pekan Beranang) diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Selangor, manakala kawasan Ulu Beranang dikekalkan di bawah pentadbiran Negeri Sembilan.
Masyarakat asal di Ulu Beranang mempunyai pertalian darah yang kuat dengan penghijrah dari Minangkabau. Oleh itu, struktur masyarakat di sini masih dipengaruhi oleh sistem Adat Perpatih. Dari sudut adat Luak Sungei Ujong, kawasan ini ditadbir oleh Dato' Menteri Ulu Beranang (Orang Besar Lembaga Lingkungan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama dan adat di kariah berkenaan bagi pihak YM Dato' Lela Perkasa Mendom). Di bawah institusi ini, terdapat dua To' Buapak utama yang mewakili pecahan kelompok penduduk, iaitu To' Setia Menanti yang mewakili Waris Anak Melaka dan Rembau, manakala Tok Sinda pula mewakili Waris Anak Minangkabau dan Sumatera.
Kedudukan pekan Ulu Beranang yang jauh dari laluan lebuhraya serta laluan utama Persekutuan menyebabkan pekan ini terus mengekalkan sebuah pekan perkampungan yang damai, momentum pembangunan yang amat perlahan namun indah dikelilingi banjaran bukit serta menjadi pintu masuk semula jadi yang menghubungkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.
(4) BROGA. Kedudukan pekan kecil Broga di sempadan Selangor adalah sama seperti kedudukan pekan Beranang dan Bandar Enstek. Begitu juga keadaannya seperti bandar Tampin dan Air Kuning Selatan (sempadan Melaka) dan Gemas (sempadan Johor). Persamaannya ialah sebahagian dari pekan tersebut berada di dalam negeri jiran. Sebagai contoh, kedudukan Taman Kampong Tarun Broga; terdapat beberapa buah jalan/lorong dalam taman tersebut yang mempunyai dua buah negeri malah mungkin ada rumah yang ruang tamu di Negeri Sembilan tetapi dapurnya di negeri Selangor. Persempadanan ini dipersetujui dalam Perjanjian tahun 1883.
Pekan Broga
Asal-usul nama Broga mempunyai beberapa versi cerita. Pertama, dikatakan berasal daripada perkataan 'Buragas', iaitu seekor makhluk mitos (jin) atau raksasa ganas dalam cerita rakyat yang dipercayai tinggal di dalam hutan atau sekitar air terjun. Kedua, nama Broga berpunca dari perkataan 'Berharga' yang dikaitkan dengan harga bijih timah yang mahal ketika itu. Berharga menjadi Beraga - Beroga dan akhirnya Broga. Versi ketiga adalah berasal dari nama burung 'Broga' yang banyak terdapat di kawasan bukit-bukit di situ oleh penduduk kalangan
Orang Asli.
Seperti mana kesah banyak pekan lain di Tanah Melayu zaman British, Broga mula berkembang kerana aktiviti perlombongan bijih timah, disusuli dengan penanaman getah dan kemudiannya aktiviti pertanian. Kini, Broga sangat terkenal di seluruh negara melalui tarikan Bukit Broga (atau Bukit Lalang) yang menjadi tumpuan pendaki serta produk pelancongan ladang dan pertanian.
Walaupun Broga terasing di negerinya sendiri, kedudukannya di sempadan Selangor dan berdekatan dengan pekan Semenyih yang sangat pesat pembangunannya, ia menerima limpahan pembangunan itu.
https://bangi.pulasan.my/_media/laman/a_very_rough_guide_to_broga_museum_volunteers_jmm.pdf
Nota: Di puncak Bukit Broga itu, pada bulan Disember tahun 1980, penulis telah melalui pengalaman getir sebagai Pegawai Kadet (Sekolah Pegawai Kadet (SPK), Port Dickson) menjalani latihan peperangan konvensional - Eksesais WIRA JAYA.
Beberapa buah pekan kecil yang lesu juga wujud di laluan utama lama (sebelah timur PLUS) dari Seremban ke Nilai seperti Mantin, Pajam dan Batang Benar manakala pekan Labu di satu lagi laluan (sebelah barat PLUS). Penulis tidak mengambil Mantin sebagai pekan lesu kerana pekan ini mampu membangun seiring dengan peredaran zaman dan mampu membentuk perbandarannya serta menjadi pusat komersil yang mendiri. Pembukaan banyak taman perumahan di sekeliling Mantin menjadikan Manti sebagai pilihan tempat tinggal yang lebih tenang bagi penduduk yang bekerja di Seremban dan juga Bangi (Selangor).
(5) PAJAM. Pekan kecil Pajam hanya 25km dari Seremban ke Kajang - iaitu selepas pekan Mantin. Pembangunan Pajam lebih mengarah ke belakang (ke LEKAS) menyebabkan pekan Pajam yang asal tidak mendapat faedah pembangunan. Walaupun terdapat sedikit penambahan bangunan baru, barisan rumah kedai lama binaan tahun 1970an masih kekal beroperasi.
Sejarah awal kawasan sekitar Pajam dan Kuala Pajam bermula sekitar tahun 1874 apabila ia mula diterokai oleh Dato’ Kentong (anak kepada Dato’ Kelambu dari Sungai Kelambu, Kuala Langat) bersama pengikutnya yang membuka hutan di bahagian hilir Sungai Pajam. Kemudiannya diikuti oleh kemasukan masyarakat Melayu dari Berisu (Melaka) dan Linggi (Negeri Sembilan), orang Minangkabau dari Bangi, serta pekerja-pekerja buruh dan bekas pekerja pembinaan jalan kereta api Kuala Lumpur–Seremban berbangsa Jawa yang diketuai oleh Raden Dinengrat Joyo Kosumo Nogoro (Haji Husin).
Sebelum itu, terdapat juga penempatan Orang Asli yang diketuai oleh Batin Semata di kawasan yang dinamakan Kampung Sungai Semata, sebelum mereka berpindah ke kawasan lain.
Sama seperti kawasan sekitar Mukim Setul (yang merangkumi Mantin, Nilai, Pajam, dan Batang Benar), perkembangan awal rantau ini dipacu oleh kegiatan perlombongan bijih timah serta pembukaan ladang-ladang getah pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20. Oleh itu, terdapat ramai penduduk Pajam adalah terdiri dari bangsa China dan India.
(6) BATANG BENAR. Pekan kecil Batang Benar terletak betul-betul di pintu keluar Plaza Tol Nilai/Pajam. Ia merupakan sebuah kampung yang membangun menjadi pekan kerana menerima limpahan pembangunan perindustrian di Nilai dan Pajam. Malah sebuah stesen komuter KTM ada di Batang Benar- tapi agak jauh dari pekannya. Walaupun pekan kecil ia mempunyai sebuah stesen Petronas dan Balai Polis, masjid serta sekolah rendah (sejak 1948).
Pekan Batang Benar sukar untuk membesar lagi kerana kedudukan geografinya yang tersepit serta jalan utamanya yang tidak lurus. Ia hanya sesuai sebagai pekan persinggahan (R & R) sahaja - keutamaan boleh ditingkatkan di sektor itu. Keperluan penduduk boleh didapati sama ada di pekan Nilai lama, Mantin atau Seremban.
Mengikut sumber cerita rakyat, nama Batang Benar dikaitkan dengan sebatang pokok besar yang merimbun dan selesa yang digunakan oleh penghulu dan penduduk kampung untuk berteduh serta berbincang mahupun menyelesaikan pelbagai masalah atau mencari kebenaran. Lalu mereka sepakat menamakan kampung itu Batang Benar.
Pada mulanya, ekonomi tempatan banyak bergantung kepada sektor pertanian, dusun buah-buahan sehingga penemuan bijih timah pada awal abad ke-20.
(7) LABU. Pekan Labu terletak hanya 14 km sahaja dari bandaraya Seremban melalui jalan Seremban ke pekan lama Nilai. Walaupun agak lewat, Labu telah menerima limpahan pembangunan Seremban dan Nilai.
Pekan Labu
Perjalanan melalui jalan Persekutuan dari Seremban ke Kuala Pilah dan seterusnya ke Jempul atau ke arah Rembau atau Tampin juga menemukan banyak pekan-pekan kecil lama yang masih wujud dengan wajah seperti tahun 1960an.
Pekan pertama ditemui dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Pilah melalui jalan Persekutuan (FT51) ialah pekan Tanjung Ipoh diikuti oleh Seri Menanti. Sebenarnya sebelum bandar Kuala Pilah terdapat sebuah pekan kecil bernama Melang. Tetapi proses urbanisasi dari perbandaran Kuala Pilah telah bercantum dengan Melang dan menjadikan Melang sebagai sebahagian dari bandar Kuala Pilah.
(8) TANJUNG IPOH. Pekan kecil Tanjung Ipoh (Tg Ipoh) terletak 29km dari Seremban dan 7km dari Kuala Pilah melalui jalan Persekutuan (FT51). Tg Ipoh juga salah satu Mukim dalam daerah Kuala Pilah. Dalam pentadbiran Adat Perpatih, Tg Ipoh termasuk di dalam Tanah Mengandung (di bawah Istana Seri Menanti) di bawah Luak Ulu Muar. Pekan ini masih mengekalkan dua deret kedai-kedai kayu yang dibangunkan sejak tahun 1970an atau lebih awal. Terlalu sedikit pembangunan tambahan. Pekan ini dilengkapi dengan sebuah Balai Polis.
Pekan Tanjung Ipoh
Nama Tanjung Ipoh dikesahkan berasal dari kedudukan tempat asal yang ditemui di tambakan tanah berbentuk tanjung di tepi hulu Sungai Muar. Suatu waktu dulu Sungai Muar merupakan laluan utama antara Melaka dan Pahang (melalui Negeri Sembilan. Dua orang bersaudara dari Acheh yang mudik ke hulu Sungai Muar telah singgah mendarat di tanjung/tambak tersebut. Di situ terdapat sebatang pokok ipoh, lalu mereka menamakan tempat itu sebagai Tanjung Ipoh.
Di sekitar Tanjung Ipoh terdapat bangunan-bangunan bernilai sejarah tinggi seperti Masjid Kampung Raja (atau Masjid Kampung Parit Istana) yang dianggarkan telah dibina sejak sekitar tahun 1797 dan menjadi antara masjid tertua di Negeri Sembilan. Kawasan ini juga melahirkan serta dikaitkan dengan tokoh-tokoh terkemuka, antaranya Tuan Tulis (Ismail bin Jaman), seorang pendakwah dan penulis al-Quran tangan yang masyhur.
Pekan Tg Ipoh agak sukar untuk lebih maju apa lagi membangun menjadi pekan yang lebih besar kerana masalah tanah persendirian dan tanah adat. Penduduk setempat lebih selesa dengan keadaan sekarang sebagai pekan kecil penduduk tempatan kerana berdekatan dengan bandar Kuala Pilah yang telah memenuhi segala keperluan.
(9) SERI MENANTI. Seri Menanti adalah bandar Diraja Negeri Sembilan. Kedudukan pekan kecil ini agak terpencil, lebih kurang 7km dari simpang jalan utama di Tg Ipoh. Maknanya jarak Seri Menanti dengan Seremban lebih kurang 40km. Oleh kerana Seri Menanti adalah bandar Diraja, walaupun ia sangat kecil, ia dilengkapi dengan Balai Polis, Balai Bomba, Pusat Kesihatan dan Sekolah Rendah. Selain Istana Besar (persemayaman rasmi Yang DiPertuan Besar), pekan ini turut mempunyai banyak tarikan pelancong seperti Muzium Diraja, Masjid Siraja Tuanku Munawir dan Makam Diraja. Di sini terdapat juga sebuah Kelab Golf.
Istana Besar Seri Menanti
Pekan Seri Menanti
Seri Menanti diisytiharkan sebagai Bandar Diraja Negeri Sembilan sejak tahun 1773. Dalam struktur adat Perpatih, Seri Menanti terletak dalam Luak Tanah Mengandung.
Nota : Istana Lama Seri Menanti )kini Muzium Diraja) dibina antara tahun 1902 - 1908 bagi menggantikan Istana Pulih yang dibakar oleh tentera British semasa Perang Bukit Putus. Jurubinanya (tukang) adalah Tukang Kahar dan Taib dengan perincian pelan oleh Mr. Woodford. Ia merupakan binaan kayu sepenuhnya tanpa menggunakan sebarang paku besi, sebaliknya menggunakan pasak kayu keras. Istana ini mempunyai 4 tingkat dan disokong oleh 99 batang tiang, termasuk 4 tiang seri setinggi 67 kaki yang diambil dari Bukit Pergai. Yamtuan Besar yang pernah mendiami Istana ini ialah Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah sehingga 1931. Ia diwartakan sebagai Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti pada tahun 1992.
Atas faktor status sebagai bandar Diraja, Seri Menanti tidak bebas menjalani proses pembangunan prasarana yang besar selain dari faktor tanah adat yang menghadkan penggunaannya.
(10) JUASSEH. Juasseh merupakan pekan pertama selepas bandar Kuala Pilah dan terletak di persimpangan bagi laluan ke Bahau dan Ulu Jempol dan laluan ke Pelangai di sempadan Pahang. Jaraknya 10.5 km dari Kuala Pilah dan merupakan terakhir daerah Kuala Pilah sebelum memasuki daerah Jempol. Juasseh adalah sebuah pekan yang tenang dan sedang membangun - mungkin terkeluar dari senarai pekan sepi dan lesu.
Selain dari kemudahan asas penduduk seperti sekolah rendah dan menengah, Balai Polis dan Klinik Kesihatan Besar, Juasseh mempunyai kelebihan untuk maju kerana adanya Koleh Vokasional berhampiran pekan ini. Pembangunan pesat di antara Kuala Pilah dengan Juasseh bakal membantu Juasseh untuk mengubah pekan kecil ini kepada sebuah pekan satelit untuk Kuala Pilah. Untuk maklumat, i antara Kuala Pilah dengan Juasseh terdapat kampus UiTM dan SMS Tuanku Jaafar. Pembangunan bandar baru Redani bakal menawarkan kemudahan kediaman yang tidak dapat ditampung oleh Kuala Pilah.
Sejarah Juasseh berkait rapat dengan perkembangan awal penempatan masyarakat Minangkabau dan sistem laluan perdagangan sungai.
Pada zaman dahulu, Juasseh merupakan pusat perdagangan purba yang penting kerana terletak di tebing Sungai Muar. Terdapat sebuah pelabuhan perahu yang dikenali sebagai Penambang Bangkong, dinamakan sedemikian kerana terdapat banyak pokok bangkong (sejenis buah hutan yang menyerupai cempedak) di kawasan tersebut.
Kawasan ini mula diteroka dan didiami oleh masyarakat Minangkabau yang berhijrah dari Sumatera sekitar abad ke-15 hingga abad ke-16. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada wilayah pengaruh Luak Ulu Muar. Kawasan ini juga menjadi tempat persimpangan laluan perdagangan penting yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu menerusi sistem "Penarikan".
Masjid kariah tempatan mula dibina berhampiran Sungai Muar sekitar tahun 1900 sebelum dipindahkan ke tapak sekarang secara gotong-royong pada tahun 1921.
Selepas bandar Kuala Pilah ke arah sempadan Pahang di Pelangai terdapat beberapa buah pekan kecil seperti Jemapoh dan Juasseh (dalam daerah Kuala Pilah), pekan Batu Kikir (daerah Jempol), Simpang (Spg) Pertang dan pekan Simpang (Spg) Durian (daerah Jelebu). Jika ke sempadan Pahang di laluan Bera akan melalui pekan Bahau atau Seri Jempol, Ayer Hitam dan Ladang Geddes (daerah Jempol). Pekan seperti Bahau, Seri Jempol dan Batu Kikir tidak dikategorikan sebagai pekan lesu.
Pekan Batu Kikir dan Bahau agak maju berbanding pekan-pekan kecil yang lain dan telah lama menjadi pusat komersil bagi kawasan sekitarnya serta persinggahan pengguna laluan tersebut.
(11) SIMPANG PERTANG. Sebuah pekan dalam daerah Jelebu yang jaraknya 29km dari Kuala Klawang dan 32km dari Kuala Pilah. Walaupun berada di persimpangan laluan utama dari Kuala Klawang dengan laluan utama Persekutuan Negeri Sembilan ke Pahang, kedudukan pekan ini yang agak jauh dari bandar utama mahupun kawasan perindustrian menyebabkan Spg Pertang sukar bersaing dengan pekan-pekan lain. Tiada pembangunan institusi Kerajaan mahupun swasta yang boleh membantu pembangunan infrastruktur, komersil dan juga sumber manusia. Contoh: tiada kawasan industri, pusat latihan Kerajaan/swasta, IPTA dan Maktab Perguruan mahu pun sekolah berasrama yang boleh mengundang orang luar untuk memeriahkan pekan ini.
Pun begitu, dalam kelesuan Spg Pertang, ia tetap bergerak membangun bagi memenuhi keperluan semasa. Bangunan rumah kedai lama telah digantikan dengan bangunan batu yang lebih moden dan sistematik.
Spg Pertang terletak di bawah pentadbiran Majlis Daerah Jelebu, manakala pentadbiran adatnya di bawah Luak Jelebu yang diasaskan oleh penghulu dan masyarakat Minangkabau yang berhijrah dari Sumatera serta dihuni asal oleh Orang Asli Temuan (suku Biduanda).
Ia dinamakan Spg Pertang kerana kedudukan di persimpangan jalan utama Kuala Pilah ke Pahang dengan jalan ke pekan Pertang (jarak 6km dari simpang tersebut). Namun masa berjalan, menjadikan pekan di simpang ini lebih besar dari pekan Pertang itu sendiri.
Kawasan Spg Pertang pada mulanya merupakan kawasan hutan tebal. Ia mula diteroka dan mempunyai penempatan selepas kehadiran penghijrah terutamanya kaum Cina dan kaum lain sekitar tahun 1949, dengan jumlah penduduk awal kira-kira 300 orang.
Semasa dalam zaman darurat, keterpencilan Spg Pertang ini merupakan kawasan hitam. Hutan belantara di sempadan NS-Pahang adalah sarang pengganas yang strategik dan kebal. Sebuah balai polis kecil telah didirikan di sini sekitar tahun 1949 untuk mengawal keselamatan penduduk. Balai Polis Spg Pertang menjadi sasaran serangan dan gangguan oleh gerila Parti Komunis Malaya (PKM) sekitar tahun 1974 hingga 1976.
Pekan ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk masjid kariah, perpustakaan desa, balai polis, pusat kesihatan, sekolah dan sebagainya.
(12) SIMPANG DURIAN. Pekan Spg Durian merupakan pekan terakhir di Negeri Sembilan sebelum sampai ke sempadan Pahang. Jarak Spg Durian dengan garis sempadan yang terdekat adalah 10km sahaja tetapi perjalanan melalui laluan utama adalah 38.7km.
Sebelum menulis tentang pekan Spg Durian, perlu diketahui bahawa pekan besar yang asal bernama Durian Tipus yang jaraknya hanya 3.1 km sahaja dari Simpang Durian. Durian Tipus telah dibuka sebelum abad ke 20. Malah pada tahun 1908 sebuah Sekolah Melayu Duriasn Tipus telah dibina di sini. Durian Tipus telah menjadi pekan utama dan pusat pentadbiran kawasan sekitar sejak tahun 1948 sehinggalah berlaku bencana kebakaran besar yang memusnahkan pekan ini pada 13 Oktober 1975.
Pekan Durian Tipus (sebelum musnah terbakar) Kesan kemusnahan Durian Tipus
Asal usul pekan Spg Durian adalah sebuah kampung di persimpangan jalan (dari laluan utama Kuala Pilah ke Pahang ke kawasan perkampungan seperti Terang Hilir dan Sg Buloh. Di simpang itu banyak terdapat pokok durian dan di situ jugalah ramai penjual durian yang dihasilkan dari perkampungan di sekitarnya. Lama-kelamaan tempat itu terkenal dengan panggilan Simpang Durian.
Selepas tragedi kebakaran yang memusnahkan pekan Durian Tipus pada tahun 1975, lalu sebuah pekan baharu dibangunkan di Spg Durian kira 3.1km dari pekan asal. Sejak itu Spg Durian telah mengambil-alih tempat Durian Tipus sebagai pusat komersil penduduk tempatan.

Simpang Durian hari ini
Kelihatannya, pekan Spg Durian tidak boleh dipanggil pekan lesu atau sepi. Ia menjalani proses pembandaran bersesuaian dengan kedudukan (lokasi) serta dilengkapi dengan semua keperluan untuk kepentingannya kepada penduduk kawasan sekitar.
https://www.facebook.com/negeriSembilainfokini
https://en.wikipedia.org/wiki/Simpang_Durian
(13) LADANG GEDDES. Penulis mengambil Ladang Geddes ini kerana keunikannya. Ia merupakan sebuah pekan kecil dan juga sebuah Mukim dalam daerah Jempol.
Asal-usul pekan ini adalah sebuah ladang getah milik Dunlop Malayan Ltd yang dibuka pada tahun 1929. Nama Geddes adalah diambil sempena nama seorang pegawai British, Sir Eric Geddes.
Oleh kerana pekan yang terdekatnya Seri Jempol jaraknya 18.6 km dan Bahau 25.8 km, maka pekerja-pekerja ladang ini membentuk pusat komersil bagi memenuhi keperluan penduduknya. Pada tahun 1966 apabila ladang ini dijual kepada syarikat tempatan, terdapat 10 buah kampung di dalamnya. Majoriti penduduknya adalah kaum India diikuti oleh kaum Tionghua. Di pekan ini terdapat Balai Polis, Pusat Kesihatan, sekolah rendah China dan Tamil dan Telugu.
Manakala laluan Kuala Pilah ke arah Tampin/Gemas dan Rembau akan menemui pekan Johol, Ayer Mawang, Ayer Kuning Selatan, Rompin, Gemencheh dan Gemas. Pekan seperti Gemencheh dan Gemas tidak dikategorikan sebagai pekan lesu.
(14) DANGI. Pekan Dangi berada dalam daerah Kuala Pilah terletak di laluan Persekutuan (9), 4 km dari simpang jalan Persekutuan antara Kuala Pilah (13.8 km) ke Tampin (21.2 km). Ia terkeluar sedikit dalam 4 km dari simpang ke Bahau (26.5 km). Walaupun begitu, pekan ini tetap meriah sebagai pusat komersil tempatan, malah mendahului jirannya pekan Johol yang jauh lebih tua. Pekan ini menjadi tempat persinggahan pengguna laluan dari Kuala Pilah dan Tampin ke arah Bahau dan terus ke Pahang.
(15) JOHOL. Johol merupakan salah satu pusat perkembangan Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Pekan Johol terletak di pertengahan perjalanan antara Kuala Pilah (20.7 km) dengan Tampin (16 km). Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, pekan Johol tidak memperlihatkan pembangunan yang pesat, berkemungkinan kerana banyak tanah adat yang tidak boleh dikomersilkan.
Sebelum kedatangan masyarakat Minangkabau pada abad ke-17, Johol didiami oleh masyarakat Orang Asli yang diketuai oleh seorang ketua bernama Tok Batin Johol yang menetap di Kampung Air Keroh. Nama Tok Batin inilah yang diambil untuk nama tempat tersebut. Kedatangan orang Minangkabau berasimilasi dengan penduduk asal dan membentuk suku Biduanda.
Luak Johol diasaskan pada 1723 dan kemudiannya diiktiraf sebagai salah satu daripada empat Luak Berundang di Negeri Sembilan. Pengasas institusi pemerintahan ini ialah Puteri Setiawan selepas Johol tidak lagi bernaung di bawah Kesultanan Johor. Puteri Setiawan adalah Undang Luak Johol yang pertama dan merupakan satu-satunya Undang Luak dari kaum wanita dalam sejarah Negeri Sembilan. Malah gelaran rasmi Undang Luak Johol sehingga hari ini ialah Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan.
Mengikut catatan sejarah lama, wilayah asal Luak Johol adalah sangat luas, meliputi kawasan dari Ulu Pahang di utara hingga Batang Melaka di selatan, Segamat di timur, dan sebahagian Kuala Pilah di barat. Hari ini, ia meliputi kawasan seperti Johol, Kepis, Air Kuning, Gemencheh dan Pasir Besar.
Sebuah stesen minyak Shell yang dibina sebelum merdeka terdapat di pekan ini dan masih beroperasi hingga kini.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1031945/100-tahun-bekal-minyak
https://biduandarajalela.wordpress.com/sejarah/
(15) AIR MAWANG. Pekan Air Mawang terletak di laluan FT9m 26.2 dari Kuala Pilah; 4 km dari pekan Johol dan 12.4 km ke arah Tampin. Pekan ini memiliki dua versi sebelum dan selepas merdeka, iaitu bangunan kedai lama dan baru. Sebahagian dari deretan kedai lama (tahun 1960an) telah terbakar pada 9 Ogos 2020.
Pekan Air Mawang terbakar (2020)
Pekan Air Mawang menjadi laluan perhubungan darat yang penting sejak zaman dahulu, terutamanya menghubungkan kawasan Kuala Pilah dan Johol ke Tampin.
Di sini terletaknya Masjid Kariah Dato' Undang Kamat, yang diasaskan sekitar tahun 1934 sebagai sebuah bangunan papan atas usaha Dato' Undang Kamat sebelum dinaik taraf kemudiannya. Masjid ini merupakan salah satu masjid tertua di Wilayah Johol.
Kawasan ini dikelilingi oleh perkampungan tradisional Melayu (seperti Kampung Masjid Tua, Kampung Nuri, dan Kampung Tengah) serta mempunyai kemudahan asas luar bandar seperti Pondok Polis dan Klinik Desa Air Mawang. Trend pembangunan pekan ini menunjukkan ia menuju ke arah untuk mengeluarkan Air Mawang dari senarai pekan lesu dan sepi.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/07/1389950/prn-n9-kuih-tradisi-apam-johol-semakin-popular?source=widget
(16) AIR KUNING SELATAN. Suatu waktu dahulu, dalam tahun 1970an, Air Kuning Selatan agak popular di kalangan penumpang keretapi dari Kluang ke Seremban. Ia adalah antara hentian keretapi mel siang atau malam sebelum melalui Batang Melaka, Tebong dan Tampin (Pulau Sebang). Pekan ini terletak di sempadan NS-Melaka, pekan terhampir ialah Gemencheh dan Nyalas di Melaka.
Air Kuning Selatan dalam daerah Tampin berasal dari sebuah kawasan Kampung Baru China yang dibina semasa zaman darurat. Oleh kerana jumlah penduduknya yang besar ditambah dengan tradisi kaum Tionghua yang pandai berniaga, kampung ini telah mempercepatkan proses pembandaran kampung baru tersebut menjadi sebuah pekan mendiri.
Pekan ini boleh dikatakan untuk memenuhi keperluan penduduknya sahaja kerana kawasan perkampungan Melayu di sekelilingnya lebih banyak berurusan di Gemencheh (20 km) dan Gemas (25 km). Pekan agak sukar untuk menjadi lebih meriah kerana kedudukannya di luar laluan utama pengguna jalan raya, sama ada jalan Persekutuan atau pun lebuhraya.
(17) ROMPIN. Pekan Rompin adalah satu-satunya pekan yang ada di laluan Persekutuan (FT10) dari Bahau ke Gemas sejauh 38 km. Kedudukan Rompin adalah 20.7 km dari Bahau. Pekan Rompin berada dalam daerah Jempol dan dari aspek pentadbiran adat, ia tertakluk di bawah Adat Perpatih melalui Luak Johol.
Pada asalnya, kawasan Pekan Rompin terbahagi kepada tanah-tanah lot milik orang Melayu serta Kampung Baru Cina. Selepas tamat Darurat (1948-1960), sebahagian daripada penduduk telah ditempatkan di sebuah penempatan baharu yang kini dikenali sebagai Kampung Tanah Panjis (Kampung Baru Cina).
Pekan Rompin
Kegiatan ekonomi utama masyarakat di Pekan Rompin tertumpu kepada sektor pertanian, perladangan, serta peniaga-peniaga kecil. Potensi pekan Rompin adalah senasib seperti pekan-pekan jirannya Johol, Dangi dan Air Mawang. Sebagai kawasan yang terkeluar dari dunia komersil dan perindustrian, proses urbanisasi akan mengambil masa yang panjang.
Proses menilai pekan-pekan kecil seterusnya adalah di daerah Jelebu, bermula dengan pekan Kuala Klawang selaku pusat pentadbiran daerah Jelebu.
(18) KUALA KLAWANG. Berbanding dengan pusat pentadbiran daerah lain dalam NS, Kuala Klawang merupakan bandar yang paling damai dan tenang. Dengan binaan bangunan rumah kedainya yang masih berunsur senibina British Kuala Klawang adalah sebuah pekan yang lengkap untuk memenuhi keperluan penduduk daerahnya. Sukar untuk membezakan sama nama bandar ini Kuala Klawang atau Jelebu kerana semua papan tanda di laluan menuju bandar tertulis Kuala Klawang tetapi mercu tanda nama yang tersergam di pekan tersebut memaparkan nama JELEBU.
Bandar Kuala Klawang @ Jelebu
Pekan asal Jelebu (berdekatan Hospital Daerah)
Sebenarnya, Jelebu adalah nama daerah manakala bandar Kuala Klawang adalah pusat pentadbirannya.
Kuala Klawang serta pekan-pekan lain dalam daerah Jelebu amat sukar untuk membangun dari aspek perdagangan dan urbanisasi kependudukan kerana semua laluan utama dari semua arah (samada Seremban, Ulu Langat atau Kuala Pilah) terpaksa melalui jalan yang bengkang bengkok dan berbukit bukau. Sistem pengangkutan ini tidak memberi harapan yang baik kepada mana-mana pelabur untuk membina kilang industri sama ada pembuatan mahupun perladangan. Makam Kuala Klawang akan mungkin mengekalkan status bandar sepi dan tenang untuk tempoh yang lebih panjang.
https://ms.wikipedia.org/wiki/Kuala_Klawang
Laluan utama Persekutuan (FT86) dari dari Seremban berakhir di Kuala Klawang (Jelebu). Sepanjang laluan dari Jelebu ke arah sempadan Selangor di Genting Peres sejauh 30.7 km melalui jalan Negeri (N32) hanya terdapat sebuah pekan sahaja iaitu Titi. Ada sebuah lagi pekan kecil (kampung besar) di Chennah.
(19) TITI. Pekan Titi dalam daerah Jelebu berada 10.2 km sahaja dari Kuala Klawang. Kawasan Titi telah lama diduduki oleh masyarakat Orang Asli sebelumkedatangan orang Minagkabau pada abad ke 17. Banyaknya anak sungai kecil di kawasan itu memaksa masyarakat mebina banyak titi untuk memudahkan pergerakan mereka. Dari hal tersebut masyarakat di situ menamakan tempat itu sebagai 'Titi'
Masyarakat Cina yang menjadi penduduk majoriti pekan tersebut hari ini hanya datang selepas pertengahan abad ke 19. Meraka adalah kumpulan Cina (Hakka) yang melarikan diri dari Taiping semasa berlaku pergaduhan antara kumpulan Kongsi Gelap Hai San dan Ghee Hin pada tahun 1864. Jumlah mereka semakin meningkat dari semasa ke semasa untuk mengerjakan kebun-kebun sayur di tepi bukit.
Semasa Darurat (1948-1960), hutan belantara sekitar Titi menjadi antara Markas gerila pengganas PKM yang besar. Bagi memutuskan hubungan penduduk kweturunan Cina dengan kumpulan pengganas, Kerajaan British di bawah Rancangan Briggs telah memindahkan penduduk Cina dari merata tempat di Jelebu ke satu penempatan khas di pekan Titi sekarang dan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan.
Ia berasal dari penempatan semula atau Kampung Baru Cina tersebut ia terus membesar dan semakin maju menjadi sebuah pekan yang mendiri bagi memenuhi keperluan harian penduduknya.
Pekan Titi
Kedudukan pekan ini yang berada di penghujung perjalanan biasa menyebabkan proses pembangunannya menjadi tepu. Pihak Kerajaan sudah pasti tidak membina kemudahan baru begitu juga pihak swasta tidak akan melaksanakan apa-apa projek perumahan baru kerana tiada keperluan. Ia bakal kekal sebagai pusat sosial setempat dan pusat pengumpulan hasil pertanian untuk di bawa keluar.
(20) CHENNAH. Pekan Chennah terletak 35 km dari Kuala Klawang dalam Mukim Glami daerah Jelebu, merupakan pekan yang terakhir di utara Negeri Sembilan. Ia bukan sahaja pekan terakhir bahkan terletak diceruk kawasan yang dikelilingi oleh hutan dan bukit-bukau. Proses perubahan Chennah dari sebuah kampung baru (penempatan) Cina yang menjadi sebuah pekan bagi memenuhi keperluan asas penduduk adalah sama seperti pekan Titi. Penduduk Chennah bukanlah terdiri dari masyarakat China sahaja, terdapat beberapa buah kampung Melayu dan Orang Asli berhampiran dengan pekan ini seperti Kg Dusun Kubor, Kg Telekong, Kg Siamat, Kg Kekabu dan lain-lain.
Pekan kecil Chennah
Menurut cerita orang-orang tua, nama Chennah berasal daripada nama seorang wanita Orang Asli bernama "Che Nah". Beliau dilaporkan pernah hanyut dibawa arus deras ketika sedang mandi di sungai. Walaupun penduduk kampung melakukan pencarian selama beberapa hari (sambil berteriak memanggil Chennah! Chennah!), namun mayat beliau tidak ditemukan. Peristiwa itu menjadi sebutan ramai hingga penduduk sepakat menamakan perkampungan tersebut sebagai Kampung Che' Nah. Lama kelamaan untuk memudahkan sebutan ia disebut dengan sebutan Chennah sahaja.
Terdapat satu versi yang lain menyatakan bahawa nama tersebut diambil daripada nama seorang ketua kumpulan peneroka awal dari kalangan Orang ASli yang bernama Chenah.
Kedudukan Chennah yang bukan sahaja terpencil bahkan terlalu jauh dari laluan utama (N32) amat menyukarkan untuk ia membangun seperti pekan-pekan lain. Bayangkan jalan utama (N32) dari Titi ke sempadan Selangor pun amat sunyi dan jarang dilalui, Chennah pula terletak km di laluan (N25) dari simpang jalan tersebut (Kg Kongkol). Pun begitu, Chennah dilengkapi dengan Balai Polis, Klinik Kesihatan, Sekolah Menengah dan Rendah.
Dari Kuala Klawang ke Spg Pertang sejauh 26.5 km melalui jalan Persekutuan (FT86) hanya terdapat sebuah sahaja pekan, iaitu Pertang (6 km sebelum sampai ke Spg Pertang).
(21) PERTANG. Pertang merupakan sebuah pekan kecil dan mukim tradisional yang terletak di dalam Daerah Jelebu. Kedudukannya yang strategik menghubungkan beberapa kawasan utama di sekitarnya menjadikan ia antara petempatan yang mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah pentadbiran Luak Jelebu.
Pekan Pertang
Asal-usul nama Pertang dikaitkan dengan nama ketua kumpulan yang membuka kawasan ini yang bernama Mertang. Lama-kelamaan, nama Mertang atau variasi sebutan tempatan merujuk kepada kawasan petempatan tersebut berubah sebutan menjadi Pertang. Bagi masyarakat Cina tempatan, pekan ini dikenali dengan nama Huluding (葫芦顶) yang bermaksud "Puncak Labu", yang juga selari dengan sejarah nama Jelebu yang dikaitkan dengan tanaman labu yang menjalar subur (Jalar Labu).
Pembukaan Pertang berkait rapat dengan aktiviti pertanian, penerokaan hasil hutan, serta gelombang penghijrahan masyarakat Minangkabau yang berasimilasi dengan kaum Orang Asli tempatan (membentuk suku Biduanda). Kehadiran komuniti Cina bertumpu di kawasan Kampung Baru (Rancangan Briggs) sekitar Pertang pula bermula dengan kepesatan aktiviti ekonomi seperti perlombongan bijih timah dan penorehan getah pada zaman kolonial British.
Selepas zaman kepayahan era insurgensi komunis berakhir, Pekan Pertang dan kembarnya Simpang Pertang berkembang sebagai kawasan hub pertanian, terutamanya bagi sektor getah, kelapa sawit, dan tanaman buah-buahan seperti durian jelebu yang terkenal. Infrastruktur jalan raya dibina menghubungkan pekan ini terus ke Kuala Klawang (pusat pentadbiran Jelebu) serta ke daerah Jempol dan Kuala Pilah, menjadikannya sebuah pekan transit yang aman dan makmur.
Kalau kita lihat gambar (aerial) pekan Pertang, setelah hampir 70 tahun merdeka, saiz pekan Pertang masih di tahap itu membuktikan betapa tepunya proses urbanisasi pekan ini. Sudah pasti faktor utamanya ialah kedudukannya di luar laluan utama dan keduanya kedudukannya di kawasan pendalaman Negeri Sembilan.
Daerah Rembau seperti juga Jelebu dan Kuala Pilah, masih mengamalkan Adat Perpatih. Antara kesannya ialah kewujudan banyaknya tanah adat yang tidak boleh dimajukan. JIka anda berjalan di Johor, ke daerah mana pun anda berjalan, sentiasa ada perkampungan yang di selang seli dengan pekan yang meriah. Bagaimanapun di Negeri Sembilan, sebahagian besar pemandangan di kiri dan kanan laluan kita adalah perkampungan yang sunyi dan banyak kebun-kebun yang semak terbiar.
Dalam daerah Rembau terdapat beberapa pekan yang dikategorikan sebagai sepi dan sukar untuk membesar lagi. Antaranya ialah Kota, Chembong dan Pedas
(22) KOTA. Pekan Kota adalah sebuah pekan kecil yang terletak 10 kilometer dari Rembau ke arah Tampin (laluan FT1). Pekan ini tidak banyak berubah sejak berdekad yang lalu. Dua deret rumah kedai usang di kiri-kanan jalan besar Tampin-Seremban masih setia melansungkan kewujudan pekan ini. Hanya terdapat tambahan sederet bangunan rumah kedai baru yang dibina selepas tahun 2010.
Di pekan ini terdapat sebuah balai polis, bangunan pejabat pos dan sebuah stesen minyak Petronas. Senario masa kini Pekan Kota seperti tidak sepadan dengan gah dan gemilang tempat ini lima abad yang lalu. Sesiapa yang menekuni sejarah awal peradaban dan perkembangan Adat Perpatih akan turut mengakui bahawa di bumi Kota inilah terbinanya asas perkembangan adat tersebut di Daerah Rembau.
Nama purba ‘Kota’, ialah ‘GOMBIGHO’(Gembira). Dikatakan bahawa kampung ini telah dibuka oleh penduduk asal, Batin Pak Nilu di sekitar tahun 1502. Bagaimanapun, nama Kampung Gombigho telah ditukar kepada Kampung Kotor (disebut Koto dan sekarang dinamakan Kota) oleh Datuk Bungkal binti Batin Sekudai. Datuk Bungkal, dari keturunan Orang Asal Suku Jakun, ialah anak angkat kepada Datuk Leteh, yang berasal dari Tanah Minangkabau telah berkahwin dengan pembesar dari Tanah Minangkabau, Datuk Lela Balang di Kampung Kotor (Kampung Kota Lama). Mereka mendapat anak lelaki bernama Datuk Sri Rama bin Datuk Lela Balang, telah di’kerjankan’ sebagai Penghulu Rembau (sekarang dipanggil Undang Luak Rembau) yang pertama di Kampong Kota di sekitar tahun 1540. Dari keturunan anak perempuan inim maka juga lahirnya keturunan elit Suku Biduanda Lela Maharaja. Dalam sistem Adat Perpatih di Rembau, anak lelaki dari Suku Biduanda Lela Maharaja sahaja yang layak menyandang jawatan Undang Luak Rembau dan juga jawatan-jawatan penting yang lain secara bergilir dengan keturunan dari Suku Biduanda Sedia Raja. Keistimewaan tersebut kekal hingga ke hari ini.
Dikatakan, penglibatan orang Melayu/Islam di pekan ini cuma melalui sebuah kedai runcit (India Muslim), sebuah kedai gunting rambut dan dua buah kedai makan yang lain dikuasai oleh bangsa lain.
Pekan Kota
Kelesuan pekan Kota adalah disebabkan laluan Tampin-Rembau semakin kurang digunakan oleh orang luar berbanding sebelum wujudnya Lebuhraya Utara-Selatan dari Johor Bahru ke Seremban. Dalam tahun 1960an dan 1970an pengguna lauan Persekutuan dari Johor dan Melaka ke Kuala Lumpur mesti melalui pekan Alor Gajah, Tampin, Kota, Rembau, Chembong, Pedas, Senawang dan Seremban.
(23) CHEMBONG. Walaupun Chembong boleh dikategorikan sebagai pekan lesu, namun lokasinya yang sangat hampir (5 km) dengan bandar Rembau memberi kelebihan besar kepadanya. Pembangunan pesat bandar Rembau telah melimpah ke Chembong. Dengan ini, Chembong tidak boleh dianggap sebagai pekan lesu atau sepi.
Kerajaan telah membangunkan kawasan perindustrian Chembong, malah kedudukan Hospital Daerah Rembau sudah memasuki kawasan Chembong. Ini memberi banyak ruang kepada Chembong untuk menjadi pilihan pemaju perumahan membuka projek yang baru di Chembong.
(24) PEDAS. Pekan Pedas (orang NS sebut Podeh) terletak di laluan Persekutuan (FT1) antara Tampin ke Rembau - jaraknya 10.6 km dari Rembau dan 17 km dari Seremban. Walaupun terletak di antara dua bandar utama dalam NS, suasana di pekan Pedas masih seperti tahun 1970an (kecuali jumlah kenderaan yang lalu) - tenang. Sebahagian besar rumah kedainya masih dalam binaan kayu tahun 1960an dan sedikit tambahan bangunan baru.
Mengikut cerita orang-orang tua, kawasan Kampung Pedas/Gaing mula diterokai sekitar tahun 1642 iaitu selepas Melaka tewas kepada Belanda. Serpihan kumpulan penentang telah melarikan diri ke Rembau, termasuk Tok Anggun Serban Kuning, beristirahat di bawah sebatang pokok. Sebiji buah sebesar buah betik gugur dari pokok tersebut, dibelah, dan dimakan bersama-sama. Oleh kerana isi buah itu terasa pedas, kawasan tanah baharu itu dinamakan Pedas. Ketika menyusur anak sungai, serban Tok Anggun tersangkut pada ranting berduri (pokok chengkering), lalu dinamakan sungai itu Sungai Gaing

Pekan Pedas
Dalam pentadbiran Adat Perpatih, Pedas di bawah Luak Rembau. Kedatangan perantau Minangkabau dari Sumatera dalam abad ke 17 yang menyusuri sungai untuk membuka perkampungan serta mengamalkan Adat Perpatih.
Antara bukti sejarah di sini ialah Masjid Kariah Pekan Pedas yang dibina secara bergotong-royong daripada kayu pada tahun 1910 oleh Allahyarham Hj Abd Ghafar, dan kemudiannya diganti serta dinaik taraf pada tahun 1968 dan 2005. Selain dari itu, terdapat landasan kereta api dan jambatan lama yang merentasi kawasan sekitar telah didirikan sejak tahun 1920. Satu tarikan pelancong yang boleh dipopularkan dengan lebih intensif ialah Kolam Air Panas Pedas yang kini telah dijadikan taman Tema Air.
Daerah terakhir mencari pekan lesu di Negeri Sembilan ialah Port Dickson (PD). Walaupun PD pesat membangun mengekori Seremban dengan kelebihan menguasai keseluruhan garisan pantai di NS, masih terdapat beberapa buah pekan yang mengalami kesukaran untuk bersaing. Faktor utama kelesuan pekan-pekan tersebut adalah kedudukannya di luar laluan utama pengguna jalanraya mahu pun keretapi.
Kepesatan pembangunan bandar PD telah melimpah ke pekan kecil Lukut yang terletak hanya 9.6 km dari pusat bandar. Kini tidak lagi kelihatan sempadan atau ruang kosong antara PD dan Lukut - telah menjadi satu seperti Tampin dengan Pulau Sebang atau Kuala Pilah dengan Melang,
(25) LINGGI. Pekan Linggi terletak di tebing hulu Sungai Linggi (kualanya di negeri Melaka) - sebahagian dari Sungai Linggi adalah garis sempadan NS-Melaka. Suatu ketika dahulu, Linggi merupakan pelabuhan sungai yang penting dan menjadi jalan masuk penghijrah dari Sumatera ke pendalaman Tanah Melayu.
Kedudukan Linggi adalah laluan Persekutuan (FT5) dari 4 hala iaitu dari Port Dickson (FT5), Lubok China (FT5), Rembau (N9) dan Rantau (N7)
No comments:
Post a Comment