Tuesday, November 14, 2017

MTA 175 : AKU ANAK JAWA JOHOR

.
  
 ANAK JAWA JOHOR 



SEMASA PENULIS MASIH KECIL (sebelum masuk sekolah), penulis tak tau pun yang aku ni bangsa Melayu. Penulis membesar dalam masyarakat Jawa. Kedua emak bapak aku keturunan Jawa. Jiran tetangga semua Jawa. Ke masjid, ke surau, ke majlis kenduri kendara semua Jawa. Hari-hari - pagi petang siang malam, mereka bercakap bahasa Jawa. Malah, dalam Sijil Kelahiran penulis pun tertulis BANGSA penulis sebagai Jawa.

Sejak penulis pandai bercakap, bahasa yang penulis cakapkan setiap hari ialah Bahasa Jawa (Jowo). Masa penulis mula belajar mengaji Muqaddam semasa berusia 5 atau 6 tahun, almarhum bapak mengajar penulis dan adik beradik lain mengaji gunakan kaedah Bahasa Jawa, malah sebutan huruf Qur'an pun ikut cara Jawa. "Alip, Be, Te, Tse..... Dal, Zal, Re, Ze, ...... Lam Alip, Ambiah, Yo. Bunyi "Be, Te" tu bukan macam bahasa Melayu Johor Riau sebut "ape, kenape, biase" (ejaan Englishnya beraper) tapi dalam bahasa Jawa bunyinya macam kita sebut perkataan 'tempe' atau 'satay'.

Keseluruhan penduduk Kampung Parit Lapis Mahang (tempat penulis dilahirkan) yang didiami oleh 60 buah rumah adalah berketurunan Jawa yang berkomunikasi 100% dalam bahasa Jawa. Bahasa Melayu hanya kedengaran semasa Khatib membaca Khutbah pada Hari Jumaat di Masjid. Itu pun sebut dengan slang atau telo Jawa. Kadangkala Ketua Kampung (Pak Lurah) membuat ucapan mengumumkan maklumat berkaitan dasar/peraturan Kerajaan dalam Bahasa Melayu. Itu pun bercampur aduk Jawa juga. Dalam kampung penulis hanya ada dua keluarga keturunan Banjar.

Datuk penulis sebelah bapak dan kedua-dua datuk/nenek sebelah emak datang dari Pulau Jawa. Kecuali nenek sebelah bapak dilahirkan di Tanah Melayu. Keturunan datuk/nenek aku di Pulau Jawa adalah dari Daerah (Kabupaten) Blora di Propinsi Jawa Tengah (JATENG).

Provinsi Jawa Tengah (JATENG) berwarna kuning di Pulau Jawa 

Kabupaten Blora (warna ungu) dalam Provinsi Jawa Tengah (JATENG)

KEDATANGAN ORANG JAWA KE TANAH MELAYU

Elok juga kalau kita membaca sikit cerita tentang sejarah kedatangan penduduk Indonesia khususnya masyarakat Jawa ke Tanah Melayu.

Sejarah kedatangan orang Jawa ke Tanah Melayu berlaku sebelum wujudnya negara Indonesia dan Malaysia. Kedua-dua negara Rumpun Melayu masih dijajah oleh kuasa Barat. Malah sebelum kedatangan penjajah di abad ke 16 dan 17, Kerajaan atau Kesultanan Johor meliputi Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Singapura dan Kepulauan Riau-Lingga. Malah pergerakan atau perpindahan dari satu wilayah ke wilayah yang lain tidak memerlukan urusan imigresyen.  Seluruh umat Nusantara bebas keluar masuk tanpa sekatan. 

Kedatangan orang Jawa ke Tanah Melayu sama saja dengan perpindahan mereka ke Sumatera atau ke Borneo. Ini bukan sahaja melibatkan etnik Jawa tetapi juga etnik lain seperti Bugis (Sulawesi), Minangkabau (Palembang/Bukit Tinggi), Rawa, Kerinchi, Aceh, Bawean, Madura, Banjar (Kalimantan Selatan), Batak Mandailing (Sumatra Utara). Di antara mereka akhirnya ada yang terus menetap di Tanah Melayu. Salah satu sebabnya mungkin kerana pemerintahan Inggeris waktu itu jauh lebih baik daripada Belanda. 

Sebelum pemerintahan Inggeris, penduduk dari kepulauan Nusantara telah berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka adalah dari keturunan (etnik) seperti Minangkabau, Acheh, Bugis, Banjar dan Jawa.

Orang Minangkabau dari Sumatera Barat telah berhijrah secara beramai-ramai ke Negeri Sembilan pada abad ke-14. Orang Bugis dari Sulawesi Selatan telah datang ke Tanah Melayu dan menetap di Selangor, Perak dan Johor. Orang Jawa berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20 untuk bekerja sebagai buruh di ladang kopi, getah dan juga di lombong-lombong bijih timah. Pada penghujung abad ke-19, penghijrahan masuk orang Indonesia semakin meningkat. Hal ini disebabkan keperluan buruh dalam sektor penanaman padi dan kopi diikuti oleh perkembangan perusahaan bijih timah dan getah. Kedatangan mereka adalah disebabkan oleh TIGA faktor utama.

(1)   Faktor Politik. Tekanan politik oleh pihak penjajah (Belanda) dan kesukaran menjalani kehidupan (kemiskinan) telah mendorong kemasukan orang-orang dari Kepulauan Nusantara khususnya 'Jawa' ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, orang Jawa telah dikenakan Sistem Kultur atau Cultuurstelsel (1830-1870) atau Sistem Tanaman Paksa oleh Gabnenor Johannes van den Bosch. Sistem ini telah menyebabkan rasa kurang senang orang-orang Jawa terhadap pemerintahan Belanda. Pertambahan penduduk Indonesia yang tinggi juga menyebabkan tanah pertanian di Jawa tidak cukup.

(2)   Faktor Sosial. Penduduk di Indonesia terutamanya dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan pesat. Pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pertambahan keluasan tanah pertanian atau pun pengeluaran tanaman makanan telah menyebabkan kemiskinan dan kemerosotan taraf hidup para petani. 
Kepadatan penduduk di Pulau Jawa serta tekanan hidup adalah salah satu faktor kenapa orang Jawa bermigrasi ketempat lain.

(3)   Faktor Ekonomi. Peluang ekonomi seperti sektor pertanian iaitu getah, padi, kelapa dan lain-lain adalah pendorong utama kepada kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Kestabilan politik di Tanah Melayu adalah lebih baik jika dibandingkan dengan Indonesia juga merupakan faktor pendorong bagi kemasukan orang Indonesia. Galakan pembesar-pembesar tempatan untuk mengerjakan kawasan pertanian juga telah mendorong kepada lebih ramai kemasukan orang Indonesia ke Tanah Melayu.

Sumbangan Masyarakat Jawa

Persamaan budaya Jawa dengan budaya orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari segi bahasa, agama, adat resam dan sebagainya telah menyebabkan mereka mudah menyesuaikan diri dengan keadaan di Tanah Melayu.

Orang Jawa turut menyumbangkan tenaga dalam perusahaan getah dan bijih timah di samping dalam pertanian seperti padi, kelapa, kopi, lada hitam, nanas, dusun buah-buahan dan sebagainya. Kecenderungan dalam mengusahakan pertanian yang sama dengan tempat asal mereka adalah pendorong kepada kedatangan orang Indonesia ke Tanah Melayu.

Tidak ada satu sistem yang tertentu yang dilalui oleh orang kepulauan Nusantara untuk datang ke Tanah Melayu di mana mereka berusaha sendiri untuk datang ke sini. Yang pastinya melalui laut. Sebab itu, semua penempatan perkampungan Jawa, Banjar dan Bugis berhampiran dengan pantai atau muara sungai.

Apa beza utama kedatangan orang kedatangan kaum Melayu keturunan Jawa dari Indonesia dari pulau-pulau di Indonesia ke Tanah Melayu dengan kedatangan kaum China dari Tanah Besar China dan kaum India dari Benua India?. Kedatangan kaum China dan India dibawa masuk oleh penjajah British untuk menjadi pekerja di lombong-lombong bijih timah dan ladang-ladang getah. Manakala kedatangan bangsa Indonesia (keturunan Jawa, Bugis, Banjar, Bawean dan Minang) adalah atas usaha sendiri untuk mencari kehidupan yang lebih baik.


Komposisi Penduduk Asal Indonesia di Malaysia

Nota 1 : Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kesemua penghijrah (migrant) dari Kepulauan Nusantara yang telah berada di Tanah Melayu dianggap sebagai Bangsa Melayu. Hanya disebut secara lisan sebagai keturunan atau etnik Jawa, Bugis, Banjar, Minang dan lain-lain.  

Nota 2 : Oleh kerana negara Indonesia telah dibentuk (mencapai kemerdekaan) pada tahun 1945, jauh lebih awal dari Tanah Melayu, maka penduduk Indonesia yang datang ke Tanah Melayu selepas kemerdekaan Tanah melayu dianggap sebagai secara illegal immigrant atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) - sama seperti PATI dari China, India, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Vietnam dan lain-lain.

(1)   Orang Jawa. Orang Jawa merupakan orang Melayu yang paling banyak berhijrah ke Tanah Melayu. Menjelang tahun 1930, terdapat 17,000 orang Jawa di Tanah Melayu dan Singapura. Mereka bekerja sebagai buruh di ladang kopi dan getah atau lombong bijih timah. Kebanyakan orang Jawa terdapat di negeri Johor, Selangor dan Perak. Jumlah penduduk keturunan Jawa di Malaysia sekarang hampir dua juta orang. Antara tokoh-tokoh dari keturunan Jawa ialah Almarhum Tun Sardon Jubir,  Almarhum Tan Sri Mohammad Rahmat , Almarhum Dato' Hormat Rafie, Dato' Dr Khir Toyo,  Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dato' M. Nasir, Dato' Dr Siddiq Fadzil, Dato' Ramli Sarip, Almarhum Ustaz Abu Bakar AlBaqir, Almarhum Dato' Abd Samad Ismail, Ning Baizura, dan Amarhum Dato' Jamali Shadat.

(2)   Orang Banjar. Orang Melayu etnik Banjar berasal dari Daerah Banjarmasin. Mereka mengusahakan penanaman padi. Kebanyakan mereka mendiami kawasan-kawasan pinggir pantai dan lembah-lembah sungai di Perak, Selangor dan Johor. Pada tahun 1931, bilangan penduduk Banjar di Tanah Melayu ialah 45,382 orang dan kini (2017) berjumlah 1.26 juta. Antara tokoh keturunan Banjar ialah Datuk Khaled Nordin, Datuk Husni Hanadzlah, Tan Sri Ishak Baharom, Tan Sri Harussani Zakaria, Tan Sri Hassan Azahari, Almarhum Dato' Ishak Baharom, Almarhum Dato' Salleh Hassan Faris, Almarhum Dato' Hasan Adli Arshad, Dato' Jamal Abdillah dan Tan Sri Dr Nordin Kardi.  Kalau diamati, ramai tokoh agamawan/ulamak adalah dari etnik Banjar.

(3)   Orang Bugis. Orang Melayu etnik Bugis berasal dari Pulau Sulawesi membuka petempatan di Selangor, Johor dan Perak. Mereka menjalankan kegiatan pertanian. Berbanding dengan etnik Indonesia yang lain, etnik Bugis boleh dikatakan paling berjaya. Dari kalangan bangsawan Bugis, mereka berjaya memasuki keluarga istana raja dan akhirnya mengambilalih pemerintahan di beberapa negeri di Tanah Melayu. Sultan Selangor dan Sultan Johor sekarang adalah dari keturunan Bugis. Selain dari itu, Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak (sudah pasti anaknya Mohd Najib, Perdana Menteri ke 6), Almarhum Tun Dr Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lisa Surihani, Dato' Dr Maszlee Malik, Almarhum Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), Almarhum Dato' Meor Abdul Rahman (Mahaguru Silat Gayong) dan Dato' Yasmin Yusuff  adalah dari keturunan Bugis.

(4)   Orang Bawean (Boyan). Orang Boyan berasal dari Pulau Bawean telah menetap di bandar-bandar seperti Singapura, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Mereka mahir dalam pemeliharaan kuda lumba. Jumlah suku Bawean di Malaysia sukar diperolehi kerana sebahagiannya dianggap sebagai orang Jawa atau Banjar. Ramai orang Bawean yang tidak mahu dikenali sebagai orang Bawean (Boyan). Jumlahnya tidak melebihi 50,000 orang.  Antara tokoh tempatan yang dipercayai mempunyai darah keturunan Bawean ialah. Tan Sri Musa Hassan (Banjar?),
Almarhum Dato' Aziz Sattar; Almarhum Saleh Kamil; Almarhum S. Samsuddin; Almarhumah Datin Rafeah Buang; dan Datuk Yusni Hamid.

(5)   Orang Minangkabau. Orang Melayu keturunan Minangkabau berasal dari Sumatera Barat majoritinya menetap di Negeri Sembilan. Adat Perpatih yang kuat diamalkan di Negeri Sembilan merupakan bawaan orang Minang. Lebih signifikan lagi, sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan juga didominasi oleh orang Minang. Kebanyakan mereka terlibat dalam kegiatan perniagaan dan pertanian. Jumlah penduduk Malaysia keturunan Minang lebih kurang 540,000. Antara tokoh negara kita dari keturunan Minang ialah Dr Burhanuddin Al Helmi, Tan Sri Dr Rais Yatim, Almarhum Tan Sri Abdul Samad Idris, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, Almarhum Tun Hamdan Sheikh Tahir, Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor (angkasawan), Dato' Shaziman Abu Mansor, Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa, Dato' Aznil Nawawi dan Shamsiah Pakeh.

(6)   
Orang Acheh. Etnik Melayu Acheh ramai terdapat di negeri Kedah kerana kedudukan negeri ini yang paling hampir dengan Negara Acheh. Duhulu Acheh pernah mempunyai kesultanan yang kuat dan pernah beberapa kali berperang dengan negeri-negeri di Tanah Melayu. Sebilangan dari anggota tentera Acheh ini telah menetap di Tanah Melayu. Jumlah penduduk Malaysia keturunan Acheh lebih kurang 120,000. Antara tokoh-tokoh nasional Malaysia dari keturunan Acheh ialah Almarhum Tan Sri Sanusi  Jonid; Almarhum Prof Tan Sri Ismail Hussein; Almarhum Datuk Abdullah Hussain; Almarhum Tan Sri P. Ramlee dan Almarhum Tan Sri Siekh Mohd Salim.

(5)   Orang Batak dan Mandailing. Orang Melayu keturunan Batak Mandailing berasal dari kawasan Sumatera Utara. Jumlah etnik Mandailing di Malaysia dianggarkan seramai lebih 35,000 orang dan ramai menetap di Kedah, Perak dan Selangor. Ettnik batak/Mandailing biasanya dikenali melalui nama keluarga mereka seperti Nasution, Lubis, Siregar dan Harahap. Antara tokoh tempatan dari etnik Batak/Mandailing adalah Jeneral Tan Sri Abdullah Ahmad (Nasution); Datuk Seri Saifudin Ismail (Nasution); Datuk Ahmad Tarmimi (Siregar), Almarhumah Puan Sri Sakinah Junid, Dato' Sri Shaheila @ Sheilla Majid; Prof Emer Dr Muhd Bukhari Ahmad (Lubis) dan Baddrol Bakhtiar.

MALAYSIA sekarang wajib berterima kasih kepada penduduk atau warganegara keturunan bangsa asal dari wilayah Nusantara (kini Indonesia) kerana tanpa penghijrahan mereka dari Indonesia, pola penduduk negara Malaysia sekarang sudah tentu amat jauh berbeza. Mungkin Bumiputera Melayu dan Islam di Malaysia tidak sampai 40% dari jumlah penduduk Malaysia.

Perkembangan Penduduk Keturunan Indonesia

Pada tahun 1947, bilangan penduduk berasal dari Indonesia di Tanah Melayu lebih kurang 307,150 orang. Daripada jumlah ini, 60% terdiri daripada orang Jawa.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, peratusan penduduk etnik Indonesia di Tanah Melayu tidak lagi mempunyai statistik kerana mereka telah dianggap sebagai 'BANGSA MELAYU,'. Jumlah penduduk bangsa Melayu (termasuk keturunan Indonesia) ialah 2,427.834 orang iaitu 49.8% daripada jumlah keseluruhan penduduk Tanah Melayu.

Batu Pahat (diikuti oleh Muar, Pontian dan Kluang) adalah daerah dalam Negeri Johor (mungkin juga Malaysia) yang paling ramai mempunyai penduduk masyrakat Jawa. Selain dari wujudnya budaya 'Jawa' dan meluasnya Bahasa Jawa yang digunakan oleh penduduk di daerah ini, banyak nama kampong yang diambil sempena dari nama orang Jawa. Mungkin nama-nama inilah yang membuka atau meneroka kampong ini waktu mereka berhijrah ke Tanah Melayu. Ini dapat dibuktikan dengan nama-nama kampong berikut: Pekan Parit Jawa (Muar), Parit Subari, Parit Haji Moin, Parit Karjo, Parit Karjan, Parit Warijo, Parit Sumarto, Parit Saidi, Parit Semarang (sebuah bandar di Pulau Jawa), Parit Sonto, Parit Samijan, Parit Samion, Parit Markom, Parit Sikon, Parit Kasan, Parit Simin, Parit Karimun, Parit Rejo Sari, Parit Madirono, Parit Kasmani, 
Parit Wagiman, Parit Kerimon, Parit Mastar, Parit Kalil, Parit Simoh, Parit Hj Salleh Kairon, Parit Bingan, Parit Sairing, Parit Hj Kasnawi, Parit Tariman, Parit Jayus, Parit Yani, Parit Banyumas dan puluhan nama kampung tradisional Jawa lain.

Terdapat banyak nama kampung yang mengambil sempena nama-nama peneroka yang namanya sama seperti nama Melayu tapi sebenarnya mereka adalah keturunan Jawa seperti Parit Kadir, Parit Hj Hassan, Parit Kasim, Parit Salleh, Parit Shuib, Parit Hj Mahmud, Parit Hj Idris dan Parit Hj Ali, Parit Sidek, Parit Jamil, Parit Kassim, Parit Haji Hassan, Parit Haji Arif dan Parit Haji Hashim. 



Nama Orang Jawa

Hari ini kita sukar untuk membezakan antara Melayu keturunan Jawa dengan Melayu asal bahkan denganetnik lain seperti Banjar, Bugis, Acheh, Mainailing dan lain-lain.

Dalam tahun 1950an dan 1960an, kita mudah untuk mengenali orang Melayu keturunan Jawa melalui nama mereka. Nama-nama yang biasa untuk orang Jawa (mirip nama-nama penduduk di Pulau Jawa) seperti Wagiman, Supandi, Suparjo, Supardi, Sarmidi, Masjoyo, Paiman, Parimon, Salikon, Katimin, Salimin, Salimon, Muliono, Maryono, Karto, Sadikon, Tasripan, Karimon, Kabiron (untuk kaum lelaki), manakala nama-nama untuk kaum wanita yang popular seperti Supinah,Tukijah, Jumiton, Suparti, Kartini, Kastumi, Sumirah, Ngatijah, Kasmijah,  Tukiyem dan sebagainya.

Menurut kata orang tua-tua, di Tanah Jawa, orang Jawa terbahagi kepada Ttiga  kumpulan, iaitu Jawa Priyayi, Jawa Abangan dan Jawa Pesantren. 

Jawa priyayi bermaksud golongan bangsawan atau kelas sosial elit dalam kebudayaan masyarakat Jawa yang kedudukannya dihormati kerana mempunyai keturunan kerabat diraja atau memegang jawatan pentadbiran.

Jawa Abangan pula adalah kelompok masyarakat Jawa yang memeluk agama Islam secara nominal atau tidak bersungguh menjalankan rukun Islam, masih mempraktikkan kebudayaan yang mencampur-adukkan unsur Islam dengan Hindu-Buddha dan animisme. Mereka juga masih kuat mengamalkan ilmu hitam dan amalan-amalan khurafat.

Kumpulan kedua adalah Jawa Pesantren yang mempunyai pendidikan agama Islam lebih kuat melalui sekolah-sekolah pondok, berguru dengan Kiyai (alim ulamak). Mereka ini memperbesarkan kebudayaan yang lebih mirip dengan amalan zikir dan selawat seperti muludan, barzanji, marhaban, yasinan dan sebagainya. Kalau kita amati betul-betul, nama-nama seperti Salimon/Salimin, Solehan/Solihin/Salikin, Rakiban, Sabirin, Sodikin adalah berasal dari bahasa Arab (dari AlQur'an) yang disebut mengikut loghat atau slang Jawa. Sebenarnya, ia adalah nama pilihan (nama-nama yang baik) bermaksud orang yang soleh (Salihin), orang yang sabar (Sabirin), orang yang benar (Sadikin/Sadikun), orang yang tunduk (Salimin/Salimun). 

STRUKTUR MASYARAKAT JAWA


Namun, dalam masyarakat Jawa di Malaysia, kelas sosial tidak dititikberatkan. Ini kerana kebanyakan masyarakat Jawa di Malaysia telah mengasimilasikan kehidupan dengan masyarakat lain. 

Dalam menjalani kehidupan kemasyarakatan seharian, masyarakat Jawa adalah sistematik. Bermula dengan hari pertama berhijrah ke Tanah Melayu setiap kumpulan mempunyai ketua. Ketua ini yang akan memilih kawasan dan membahagikan tugas membuka kawasan (tanah). Kehidupan mereka diketuai oleh seorang ketua. Ketua memainkan peranan yang penting dalam menjalani kehidupan demi menjamin kerukunan masyarakat Jawa.

Ketua masyarakat Jawa di peringkat kampung (kelurahan) di gelar Bapak (Pak) Lurah dan Bapak (Pak) Kiai. Pak Lurah mempunyai tanggungjawab dan memikul amanah yang besar bagi memastikan keselesaan penduduk kampung. Lazimnya pemilihan Lurah adalah berdasarkan kebolehan, pengalaman, keturunan dan pengetahuan dalam agama. Jawatan Lurah kebiasaannya akan disandang selagi diterima oleh penduduk kampung. Jawatan Lurah akan dibantu oleh beberapa orang pembantu untuk memudahkan urusan pentadbiran. 

Kalau kita membaca sejarah daerah-daerah di Johor, ketua-ketua inilah yang kemudiannya diperkenankan oleh pemerintah (Sultan) untuk menjadi Penghulu/Ketua Kampung. Malah ada di antaranya menjadi jawatan turun temurun sehinggalah Kerajaan meminda kaedah perlantikan Penghulu dan Ketua Kampung.

Nota : Sistem pentadbiran di Indonesia bermula dengan yang terendah iaitu Kelurahan (Desa) diketuai oleh Lurah; diikuti oleh Kecamatan (Camat); diikuti oleh Kabupaten (Bupati) dan Provinsi (Gabenor). Di Malaysia, siste yang hampir sama hanya istilahnya berbeza; Organisasi terendah ialah Kampung (diketuai oleh Ketua kampung); diikuti oleh Mukim (Penghulu); Daerah (Pegawai Daerah) dan Negeri (Menteri Besar/Ketua Menteri).

Di Malaysia, gelaran Kiyai tidak digunakan, penyandang jawatan keagamaan yang tertinggi dalam sebuah kampung adalah Imam (sama ada Imam Surau atau Imam Masjid. Lazimnya dalam sesebuah kampung ada dua atau tiga buah Surau dan sebuah Masjid untuk beberapa buah kampung (tertakluk kepada jumlah penduduk atau jarak/saiz kariah. Imam Surau dipilih di kalangan penduduk kampung manakala Imam Masjid dilantik oleh pihak Kerajaan Negeri. 

Dari itu, dalam sesebuah kampung ada seorang Kampung dan beberapa orang Imam Surau. Manakala jawatan Imam Nikah (Jurunikah) atau Naib Kadhi dipilih oleh Kerajaan (Majlis Agama Islam) dan bilangannya mengikut saiz Mukim. Maksudnya dalam sesebuah Mukim ada beberapa orang Juru Nikah. Manakala di peringkat daerah, hanya ada seorang Kadhi (dipanggil Kadhi Daerah).

KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA

Kalau kita rajin menonton YOUTUBE, Penduduk Islam yang masih terlalu banyak mengamalkan budaya yang pelik-pelik malah di antaranya jelas bertentangan dengan amalan syariat Islam ialah Indonesia, tidak kira di Jawa, Sumatera, Sulawesi atau Borneo. Banyak budaya dan amalan ini di bawa ke Tanah Melayu. Walaupun 100% etnik Jawa (juga Banjar dan Bugis) adalah beragama Islam, mereka mengamalkan pelbagai kepercayaan yang diwarisi sejak turun – temurun. Ada kepercayaan yang masih diamalkan sehingga hari ini dan ada yang telah hilang ditelan zaman.

Terdapat segelintir masyarakat Jawa yang mengamalkan amalan animisme. Ia berkaitan kepercayaan terhadap makhluk halus dan semangat sesuatu tempat. Mereka mempercayai sesuatu tempat menjadi kediaman makhluk halus sehingga ada yang menganggap tempat itu keramat.

Terdapat juga sebilangan warga emas masyarakat Jawa yang mempercayai tentang semangat di tempat yang baru. Sekiranya semangat tersebut hilang atau diganggu gugat seperti membersihkan kawasan, dipercayai akan menyebabkanseseorang itu mendapat penyakit. Oleh itu, mereka perlu membuat beberapa semahan atau menjamu dengan bertih supaya semangat tersebut pulih seperti sedia kala.

Selain itu, masyarakat Jawa juga mempercayai beberapa objek yang mempunyai kuasa seperti busut, batu-batu besar atau pokok-pokok besar. Kuasa ini dikatakan mampu memberi kesan kepada mereka yang mengusik atau melakukan perkara yang tidak senonoh kepada objek tersebut. Justeru itulah ramai dalam kalangan tersebut mengambil peluang dengan menjadikan busut, batu atau pokok besar sebagai objek yang boleh mendatangkan keuntungan seperti tikam nombor ekor.

Di samping itu, bagi orang Jawa Kejawen pula, mereka mempercayai pelbagai jenis roh yang tidak kelihatan yang dapat menimbulkan bahaya seperti kecelakaan atau penyakit. Untuk melindungi semuanya itu, mereka memberi upah yang terdiri dari nasi dan aneka makanan, daun-daun bunga serta kemenyan.

Orang Jawa Kejawen juga suka melakukan kegiatan keagamaan.contohnya seperti puasa. Mereka berpuasa pada hari-hari tertentu misalnya Isnin dan Khamis atau pada hari lahir. Semuanya itu berasal daripada ajaran tarikat ynag mereka anuti. Sungguhpun demikian, amalan dan kepercayaan animisme ini semakin hilang ditelan zaman kerana Islam menegaskan amalan ini dianggap sebagai perbuatan syirik dan bertentangan dengan agama.

Masyarakat Jawa juga mempercayai bahawa hari Jumaat adalah hari yang terbaik atau penghulu segala hari. Jumaat keliwon merupakan hari yang terbaik untuk beramal dan menuntut pelbagai ilmu. Menurut masyarakat Jawa, antara keistimewaan malam Jumaat keliwon adalah sekiranya hujan turun, air hujan tersebut perlu ditadah di halaman rumah dan air itu amat mujarab untuk dibuat air penerang hati. Malam Jumaat Keliwon juga dimanfaatkan oleh orang yang mengamalkan ilmu sesat akan menguji ilmunya buat pertama kali.

Selain itu masyarakat Jawa juga mempercayai bahawasanya jika sekiranya ada orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat Keliwon, kuburnya terpaksa dijaga siang dan malam sehingga genap 40 hari kerana takut digali semula oleh golongan yang tidak bertanggungjawab untuk diambil lidahnya, kain kafan dan sebagainya untuk dijadikan tangkal untuk membuat perkara yang dilarang oleh Allah (swt) seperti merompak, sihir dan lain-lain kepercayaan khurafat.

BUDAYA & ADAT RESAM MASYARAKAT JAWA

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan, tingkah laku, kepercayaan dan cara hidup. Ianya dilakukan setiap hari atau mengikut musim sama ada mengikut bulan mahupun tahun. Adat yang dilakukan akhirnya menjadi suatu kebiasaan yang diulangi dan akhirnya dipraktikkan turun- temurun. Perkataan lain yang sinonim dengan adat ialah budaya. Adat dan budaya merupakan suatu konsep yang saling bergantung.

Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat pelaksanaannya, misalnya adat bersanding, adat meminang dan sebagainya, ia sudah menjadi suatu budaya. Ia membawa maksud budaya merupakan suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat.

Budaya bersifat tidak tetap dan boleh berubah mengikut peredaran masa dan kesesuaian . Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah. Oleh hal yang demikian bolehlah dikatakan bahawa adat ialah budaya yang asal.Resam pula ialah lembaga, peraturan, hukum , norma yang dijunjung oleh kelompok masyarakat.

Adat resam merupakan suatu peraturan yang sudah diamalkan sejak turun  temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi peraturan dan hukum yang mesti dipatuhi. Adat resam merupakan suatu cara hidup yang diwarisi.

Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa, mengamalkan adat resam mereka yang tersendiri. Adat ini merangkumi semua aspek kehidupan bermula daripada kelahiran, kehidupan sehinggalah kematian.

Di Malaysia penempatan masyarakat keturunan Jawa bertumpu di bahagian pantai Barat Semenanjung seperti Batu Pahat dan Muar (Johor), Melaka, Kuala Langat, Klang, Kula Selangor, Tanjung Karang dan Sabak Bernam (Selangor) serta Bagan Datuk di Perak. Masa penulis bertugas di Kuching pada tahun 1981-1983, penulis dapati ramai juga penduduk keturunan Jawa di sana, khususnya di kawasan Pekan Batu 6, jalan arah ke Serian.

Dalam masyarakat majmuk di negara kita, pelbagai jenis kebudayaan dan kesenian ada pada masyarakat masing-masing. Kedatangan masyarakat Jawa ke tanah air kita terutamanya di selatan Semenanjung beberapa kurun yang lalu telah membawa banyak kesenian yang kini hampir dilupakan, dibawa oleh arus kemewahan teknologi moden.

Banyak kesenian masyarakat Jawa seperti kuda kepang, wayang kulit, ketoprak, ludruk, angklong, barongan, pencak silat dan kempling hampir dilupakan oleh generasi baru kerana usaha-usaha untuk memeliharanya tiada.

Kesenian itu sesetengahnya masih hidup lagi terutama di kampung-kampung yang dihuni oleh masyarakat Jawa di mana generasi tua masih ada.

Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang ialah tarian pahlawan berkuda yang berasal dari Jawa. Ia turut dibawa oleh penghijrah ke Tanah Melayu. Permainan ini kini merupakan salah satu permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia, khususnya di negeri Johor, dan biasa dimainkan di majlis perkahwinan atau di majlis keramaian.

Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar. Sebelum tarian bermula, Tok Bomoh akan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda. Beliau menggunakan telur mentah, bunga, rumput dan air untuk persembahan. Dikawali oleh seorang "danyang" yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh "danyang" itu masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.

Ketika muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Kekadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya. Penari-penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.



Penari-penari menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka. Ketika mabuk, mereka kekadang akan bermimpi menunggang kuda yang benar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, mereka mencuba mengejar muzik itu. Keadaan ini dipanggil "naik syeh". Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawali, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, dan seterusnya Tok Bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan mereka.

Sebagai pantang larangan dalam permainan kuda kepang, pemain-pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Pemain-pemain juga tidak boleh melihat kain merah kerana ini merupakan pantang larangan semulajadi. Selain itu, pemain-pemain juga tidak boleh terlihat kaca kerana takut bahawa mereka akan makan kaca itu.

Pakej permainan kuda kepang akan lebih menarik jika ada 'barongan' (naga)dan 'pentul' (Pak Lawak).

Sumber:

Kompang adalah sejenis alat muzik yang dipercayai berasal dari Tanah Arab. Ia di bawa masuk melalui Tanah Jawa. Ia telah menjadi muzik tradisional yang diterima di seluruh Malaysia. Kalau dulu kompang hanya digunakan dalam majlis perkahwinan, khususnya menyambut dan mengiringi kedatangan pengantin, kemudian pengantin duduk di atas kerusi di halaman (ada silat pengantin) dan hinggalah pengantin duduk di atas pelamin.


 
Image result for silat pengantin 
SILAT PENGANTIN

 
 
Kumpulan Kompang

Pada masa ini, paluan kompang tidak terhad untuk majlis perkahwinan (menyambut kedatangan mempelai) tetapi diperluaskan kepada perarakan maulidurrasul, menyambut kedatangan VIP, sebagai muzik pengiring untuk kumpulan nasyid dan sebagainya. 

Sumber : https://ms.wikipedia.org/wiki/Kompang

Kempelingan

Kempling merupakan salah satu kesenian masyarakat Jawa yang telah wujud sejak dahulu lagi dan kini hampir dilupakan oleh masyarakat itu sendiri tanpa ada inisiatif untuk menghidupkannya agar tidak pupus dari ingatan generasi yang ada. Kesenian kempling ini pada kebiasaannya dipersembahkan di majlis-majlis keramaian seperti majlis berkhatan, perkahwinan, Maulidur Rasul, menyambut kelahiran bayi, potong jambul dan sebagainya.

Pada dasarnya, kumpulan kempling ini ditubuhkan sebagai kesenian hiburan masyarakat Jawa kerana pada ketika itu tiada alat-alat hiburan seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan adanya kumpulan kempling di sesebuah kampung, masyarakatnya sama ada golongan tua atau muda dapat disatukan dan berkumpul mempelajari kesenian nenek moyang mereka.

Permainan kempling ini mempunyai unsur-unsur keagamaan yang memuji-muji kebesaran Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Nazam atau lirik bagi permainan kempling ini berpandukan kepada berzanji atau rawi.

Terdapat enam jenis alat permainan kempling yang mempunyai bunyi dan fungsi yang berlainan. Alatan itu ialah jidur, gendang, karon, kempling dan dua buah kempol. Kesemua alat-alat ini diperbuat dari kulit kambing manakala baluhnya daripada kayu. Kombinasi keenam-enam alatan kempling ini melahirkan satu bunyian yang indah dan menarik. Ada ketikanya, ia dapat didengar sehingga beberapa kilometer terutama pada waktu malam.

Sebenarnya permainan kempling tiada had masa yang tertentu tetapi ia memerlukan masa yang agak panjang bergantung kepada berapa lagu dan bab di dalam berzanji.

 
 
Kumpulan Kempling

Pada kebiasaannya, permainan kempling ini dimainkan pada waktu malam dan akan membawa ke pagi. Ia juga boleh dimainkan atau dipersembahkan pada waktu siang atau malam mengikut kehendak tuan rumah. Mereka akan bermain secara bergilir-gilir dan berjaga dari malam hingga ke pagi atau dipanggil "lek-lek'an" dalam bahasa Jawa. Permainan ini sebenarnya mempunyai peranan sampingan itu menghibur dan menemani orang kampung atau penanggah yang berkerja keras sepanjang malam itu bagi menyediakan juadah/masakan untuk majlis pada keesokan harinya.

Masyarakat dahulu yang tinggal di desa-desa menggunakan kesenian seumpama ini untuk memupuk semangat kerjasama dan muhibah sambil berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung itu. Untuk itu, bagi memelihara kesenian tradisional ini agar ia terus wujud dan kekal sebagai kesenian warisan, generasi muda perlulah berusaha untuk mewarisinya.

Pihak yang bertanggungjawab dalam bidang ini perlu sama-sama mengambil daya usaha tertentu demi kesinambungan kesenian tradisional ini supaya tidak luput dibawa arus kemodenan dan kebudayaan liar.

Sumber: http://kemplingan.tripod.com/gendang.html

Angklong

Semasa penulis berada dalam Tingkatan 3 di sekolah menengah (Sekoah Tunku Mahmud Iskandar (STMI), sekolah penulis sangat aktif dalam aktiviti kebudayaan. Macam-macam aktiviti seperti pencak silat dan kumpulan angklong ditubuhkan. Kebetulan di kalangan pelajar sekolah penulis terdapat beberapa  pelajar yang datang dari keluarga yang aktif dalam bidang kebudayaan Jawa. Saadun Suraji (pelajar Tingkatan 5) dan Katran Sawi (pelajar Tingkatan 3) berasal dari Kampung Perpat, sebuah kampung di Mukim 11 (Rengit) yang sangat aktif dalam memelihara budaya masyarakat Jawa. Tokoh-tokoh tempatan seperti Wak Suraji Pangat (ayah Saadun Suraji), Ketua Kampung Punggur Darat - juga seorang guru silat), Wak Sawi (ayah kepada Katran), merupakan perantara dengna pihak-pihak yang mempunyai kepakaran dan authority dalam hal ehwal kebudayaan di peringkat daerah Batu Pahat.

Dengan bantuan dan kerjasama mereka, STMI telah dipilih untuk dijadikan sekolah perintis untuk menghidupkan semula budaya tradisi masyarakat Melayu (Jawa). Lalu ditubuhkan Kumpulan Angklong STMI.

Set Angklong
Kumpulan Angklong

Angklong merupakan sejenis alat muzik yang diperbuat daripada buluh dalam kategori idiofon. Ia lazimnya terdiri dari dua hingga empat tiub yang diikat pada rangka yang dikenali sebagai 'ancak'. Angklung biasanya digetarkan agar ia berlaga antara dua bahagian. Angklung tidak dipukul tetapi ia menghasilkan bunyi apabila kedua bahagian alat muzik ini berlaga ketika ia digetarkan.

Muzik Angklung bermula dari Jawa Barat. Alat muzik ini merupakan alat muzik perkembangan darng dan kemudian diciptamula sebagai muzik persembahan untuk Dewi Seri, yakni dewi hal-ehwal percucuk tanaman. Muzik ini digunakan pula dalam usaha menjana kemerdekaan Indonesia sebagai muzik penyemangat khalayak ramai untuk mendukung usaha berkait.

Pada 1908, kumpulan tertentu membawa muzik ini diperluaskan hingga ke seluruh Asia Tenggara meliputi,Semenanjung Tanah melayu dan Thailand. Angklung biasanya terdiri daripada ancak (rangka buluh) dengan sepasang atau lebih tiub buluh yang menggelunsur dalam ancak tersebut. Tiub ini mempunyai panjang yang berbeza dan dipotong satu pertiga pada bahagian atas. Hujung kedua bahagian ditutup dengan penyumbat. Dua unjuran terpacak keluar dan dipasangkan dengan longgar kepada slot tiub melintang.

Kedua tiub disuaikan berbeza satu oktaf setiap satu (tiga tiub boleh membentuk dua oktaf atau satu kord). Apabila digetarkan, gegaran tibu menghentam dasar dan menghasilkan nada. Disebabkan setiap alat hanya menghasilkan satu nada, ia memerlukan sekumpulan angklung bagi menghasilkan irama yang lengkap.

Sumber : https://ms.wikipedia.org/wiki/Angklung

Ludruk

Ludruk adalah kesenian drama tradisional dari Jawa Timur. Huruf 'd' dalam perkataan ludhruk hendaklah disebut seperti huruf Jawi 'dhot' (Ludhruk). Ludruk merupakan suatu drama tradisional yang diperagakan oleh sebuah grup kesenian yang di gelarkan disebuah panggung dengan mengambil cerita tentang kehidupan rakyat sehari-hari, cerita perjuangan dan lain sebagainya yang diselingi dengan lawakan dan diiringi dengan gamelan sebagai musik.

 
 
Persembahan kumpulan Ludruk

Dialog/monolog dalam ludruk bersifat menghibur dan membuat penontonnya tertawa, menggunakan bahasa khas Surabaya, meski kadang-kadang ada bintang tamu dari daerah lain seperti Jombang, Malang, Madura, dan dengan logat yang berbeda. Bahasa lugas yang digunakan pada ludruk, membuat dia mudah diserap oleh kalangan non intelek (tukang becak, peronda, sopir angkutan umum dan lain-lain).

Ludruk berbeda dengan ketoprak dari Jawa Tengah . Cerita ketoprak sering diambil dari kisah zaman dulu (sejarah maupun dongeng), dan bersifat menyampaikan pesan tertentu. Sementara ludruk menceritakan cerita hidup sehari-hari (biasanya) kalangan wong cilik.

Sumber : https://id.wikipedia.org/wiki/Ludruk

Berzanji dan Marhaban

Berzanji atau Barzanji (Jawa sebut 'Bejanjen) ialah suatu doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dibacakan ketika majlis aqiqah, khatan, perkahwinan dan Maulidur Rasul. Isi berzanji menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.


Nama Berzanji diambil dari nama pengarangnya yaitu Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim. Beliau lahir di Madinah pada tahun 1690 dan meninggal dunia pada tahun 1766. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd al-Jawahir (dalam Bahasa Arab bererti kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad saw, meskipun kini nama penulisnya yang lebih dikenali.

Pembacaan Berzanji pada umumnya dilakukan di majlis-majlis dengan niat untuk mendapat keberkatan. Misalnya pada waktu kelahiran bayi, mencukur rambut bayi (aqiqah), acara khatan, perkahwinan dan sebagainya. Di masjid-masjid perkampungan, biasanya jemaah duduk secara bersila. Bacaan Berzanji dialunkan secara bergilir seorang demi seorang sambil disahuti oleh jemaah lain dengan kalimah 'ALLAH'.

Kumpulan Berzanji 

Di Malaysia, terdapat juga adat pembacaan Berzanji yang dilakukan secara bersama-sama dengan bayi yang baru lahir dicukur rambutnya dalam bulatan oleh Imam dan ahli keluarga terdekat. Sementara baju atau kain orang-orang yang sudah memegang bayi tersebut, kemudian diberi titisan minyak wangi.

Dewasa ini, bacaan berzanji semakin berkurangan walaupun Buku Berzanji masih mudah didapati.

Sumber:
http://www.youtube.com/watch?v=Q9AENvS2HB4

Rewangan

Di kampung dahulu, kalau majlis perkahwinan, tak ada istilah 'catering' seperti sekarang. Semua dibuat secara gotong royong. Bangsal tempat makan tetamu serta pinggan-mangkuk adalah hak orang-ramai (barang kongsi). Seminggu sebelum majlis diadakan, gotong royong untuk mengusung bangsal dan mengangkut pinggan-mangkuk akan bermula. Guna basikal. Dua tiga orang saja yang ada motorsikal. Setiap rumah mesti ada wakil. Kanak-kanak cukup suka masa ni, menyibuk (membantu).

Inilah rupa bangsal tempat tetamu makan dalam kenduri kahwin dulu-dulu

Semasa majlis kenduri kahwin, paling seronok jadi penanggah. Penanggah ialah melakukan kerja secara sukarela membantu tuan rumah semasa majlis perkahwinan. Tukang masak biasanya telah ada orangnya, pakar masak nasi minyak dalam kampung itu. Kerja tukang masak tak akan ada yang mengacau, dia saja yang tahu sukatannya. Yang lain cuma bantu dia membasuh beras dan jaga kayu api sahaja.

Waktu menyembelih, menyiang (bulu), memotong dan membasuh ayam, walaupun kerja agak kotor dan bau hanyir, tetap ada keseronokannya. Kumpul tongkeng ayam untuk dibakar. Patut la orang tua-tua tak bagi budak-budak makan tongkeng ayam! Sodap rupanyeeeeee.

Kerja penanggah bermula pada malam sebelum hari kenduri. Malam itu semua pemuda kampung akan datang untuk mengupas/memotong bawang, kentang, daging, dan rencah-rencah bahan masakan. Kadang kala menggoreng ayam pun bermula pada malam ini. Seronoknya malam ini ialah dapat mengintai anak-anak dara yang berkerja di dalam rumah. Peluang untuk menatap muka adalah semasa menyerahkan dulang-dulang minuman/kueh untuk hidangan penanggah.

 
Rewangan membuat persiapan memasak untuk majlis perkahwinan

Hari sebenar, kerja penanggah bermula awal pagi. Memasak nasi dan lauk-pauk. Penanggah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil seperti pembuat air minuman, pengangkat hidangan, pencuci pinggan-mangkuk, pembahagi bungkusan untuk tetamu (Jawa = berkat). Penanggah juga bertugas membungkus berkat yang perlu diselesaikan sebelum ketibaan tetamu.

Walaupun kerja pencuci pinggan kotor adalah dianggap paling kotor, tapi ia tetap seronok sebab mana-mana lauk (khususnya ayam) yang tak abis, masa tu la nak melantak puas-puas.


Rewang berasal dari perkataan Jawa yang membawa maksud gotong royong dalam menguruskan kenduri besar seperti majlis perkahwinan. Amalan ini memang telah dilakukan oleh orang melayu sejak zaman berzaman. Masyarakat veteran atau orang lama khususnya amat suka dan percaya dengan amalan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan akan menambah kemeriahan dalam sesuatu majlis. Bagi kawasan kampung dan felda terutamanya amalan ini masih menjadi satu kemestian jika dibandingkan di kawasan bandar yang menghadapi kesukaran untuk mengumpulkan sukarelawan bagi aktiviti merewang. Merewang biasanya dilakukan beberapa hari sebelum majlis berlangsung dan biasanya melibatkan jiran-jiran serta saudara-mara terdekat.

Antara kelebihan merewang ialah aktiviti ini dapat mewujudkan sikap tolong-menolong. Sesetengah masyarakat berangapan bahawa mereka tidak perlu saling tolong menolong dan hanya mementingan kehidupan sendiri. Namun, perasaan ini dapat disangkal apabila bertemu dengan jiran setempat dan saling mengenali antara satusama lain dan meningkatkan rasa ingin bantu-membantu. Selain itu, Oleh itu aktiviti rewang dapat mendidik masyarakat supaya tidak pentingkan diri sendiri melalui kerjasama yang baik dalam melaksanakan sesuatu perkara terutamanya dalam memastikan keberjayaan sesuatu majlis.

Kepentingan amalan rewang dalam majlis-majlis perkahwinan dikalangan masyarakat melayu ialah aktiviti rewang dapat memberi pengalaman kepada tuan rumah serta pengalaman tersebut dapat dikongsi dengan orang lain tentang cara menguruskan majlis perkahwinan. Hal ini kerana perkongsian pengalaman daripada orang lain dapatmemudahkan kita menguruskan sesuatu majlis perkahwianan melalui perkongsian tersebutdengan orang lain serta perkongsian tersebut boleh dijadikan sebagai satu ilmu juga dalambidang pengurusan dimana kita pelajari cara-cara menguruskan sesuatu majlis secara sistematik dan dapat mengelakkan berlakunya halangan yang boleh menyebabkan sesuatu majlis tersebuttidak dapat diteruskan.

Kesimpulannya, amalan rewang amat penting dalam masyarakat melayu kerana ia dapat mewujudkan sikap kerjasama antara satu sama lain. Walaupun terdapat pelbagai jenis perkhidmatan katering yang dijalankan tapi amalan rewang masih lagi wujud dek kerana ia adalah satu adat masyarakat melayu yang sudah turun temurun diamalkan sehingga kini. Amalan rewang ini juga mempunyai banyak nilai-nilai murni serta dapat memupuk sikap-sikap yang positif yang membolehkan sesebuah masyarakat melayu dapat hidup dengan harmoni, tenteram aman dan damai.

 
Rewang semasa majlis perkahwinan abang penulis (Khamim) pada tahun 1984

Nota : sebahagian besar warga kampung penulis yang ada dalam gambar di atas telah pulang ke rahmatullah, seperti Wak Es (Taharim bin Sardi), Lek Bajuri Hj Yusof, Lek Sarmodan, Lembek dan Ani (Rohani). Yang nampak muda pula, sekarang sudah bercucu.


Sumber : https://www.mkn.gov.my/web/ms/2023/06/27/amalan-rewang-dalam-masyarakat-melayu-di-malaysia/

Le'le'an

Kita kena sebut betul-betul -bunyi 'e' Melayu dengan 'e' Jawa. Le'le'an berasal dari perkataan 'melek' atau celik atau bersengkang mata. ('me' dibunyikan dengan 'e' tanda (e pepet) manakala 'lek' dibunyikan dengan e taling). Jadi le'le'an bermakna 'bercelik mata beramai-ramai' atau 'pakat tidak tidur'.

Le'le'an ini adalah sebahagian dari tradisi rewang, cuma ia mempunyai bidang dan waktu tersendiri.  Dalam bahasa Jawa asalnya disebut 'Midodareni' (malam sebelum akad nikah). Tradisi ini berlaku pada malam sebelum majlis kenduri perkahwinan atau malam pernikahan. Kalau majlis hari Ahad, maknanya Sabtu malam Ahad itu, masyarakat kawasan kariah tersebut akan mula bergotong royong selepas waktu isyak. Malam itu kaum Adam bertugas menyediakan bahan masakan seperti memotong bawang, cili, kentang, nenas, lobak dan lain-lain. Satu kumpulan lain akan memotong daging ayam/lembu dan menggoreng ayam untuk di masak (apa- jenis masakan pun) pada esok pagi. Ikan atau ayam atau daging perlu digoreng lebih awal kerana kalau tunggu esok, daging akan berbau (mula nak busuk).

Kaum Hawa pula bergotong royong di dalam rumah, menyediakan pelamin, mengemas rumah, menyediakan kueh mueh untuk dihidangkan esok. Mereka sama-sama bersengkang mata demi untuk membantu jiran atau saudara sekampung. Biasanya tradisi le'le'an ini akan selesai antara jam 2 hingga ke 4 pagi, tertakluk kepada saiz majlis. Dan, keesokan paginya mereka akan datang lagi untuk kerja masak memasak.

Zaman dahulu, tiada peti sejuk (tiada bekalan elektrik). Kawasan perkampungan berdekatan dengan belukar atau kebun. Bau bahan masakan khususnya daging/ikan dalam jumlah yang banyak boleh mengundang kehadiran binatang buas. Maka malam itu sekumpulan orang lelaki, khususnya pemuda (tua pun ada) akan sama-sama menunggu (tidak tidur sepanjang malam supaya kawasan masakan tidak dicerobohi binatang buas. Mereka akan bersengkang mata, berkongsi pelbagai cerita, bwerselang seli dengan gelak ketawa sambil menghisap rokok (rokok daun - gulung sendiri) dan disediakan hidangan kopi O panas (bersama kueh-kueh kering).

Begitu juga, kaum ibu di dalam rumah. Mereka juga berjaga membuat persiapan bahagian perempuan. 

Peranan le'le'an juga berperanan sebagai 'menjaga keselamatan'. Malam itu, di rumah pengantin ada banyak/pelbagai barang berharga - khususnya barang hantaran dan wang. Dalam masyarakat kampung tetap ada individu yang mencari peluang di atas kelalaian orang lain. Maka tradisi berjaga sepanjang malam juga berperanan menjaga keselamatan harta di rumah pengantin.

Nota : Penulis banyak juga mendengar cerita bahawa kebanyak kes kecurian di malam majlis perkahwinan dilakukan oleh kalangan saudara-mara sendiri yang tidak amanah atau berhati busuk.

Beginilah kuatnya semangat setiakawan dan silaturrahim dalam masyarakat Jawa, yang masih kekal hingga ke hari ini. Namun tradisi le'le'an ini sudah semakin pupus kerana tuan rumah menggunakan khidmat 'catering', yang tidak memerlukan kerja memasak dan penanggah dan kemas mengemas - semuanya dilaksanakan oleh pemilik catering.


Masyarakat Jawa mengamalkan adat resam yang cukup unik. Bermula dari bayi dalam kandungan, mereka mengamalkan adat yang tersendiri. Untuk memahami secara lebih mendalam adat resam masyarakat Jawa, adalah lebih mudah sekiranya kita membicarakannya satu persatu. Antara adat resam yang masih diamalkan ialah: melenggang perut, jagongan, bengkungan, puputan dan cukur jambul, among-among atau turun (pijak) tanah, sunatan (berkhatan), merisik/meminang, ngantenan/ngundoh mantu (perkahwinan/menyambut menantu), bara'an/marhaban (ziarah raya), rewang dan kenduri nasi ambeng.

Melenggang Perut (Tingkepan)

Adat lenggang perut juga dikenali sebagai tingkepan atau mitoni. Ia dijalankan khusus untuk seseorang wanita yang hamil buat kali pertama. Upacara ini dijalankan ketika kehamilannya memasuki tujuh bulan . Tujuan upacara ini dijalankan ialah untuk memohon keselamatan ibu dan juga bayi yang bakal dilahirkan.

Masyarakat Jawa percaya janin yang berusia tujuh bulan mempunyai roh yang perlu dijaga dan diraikan. Anak pertama dikatakan membawa tuah bukan sahaja kepada keluarga malah kepada adik – adiknya yang bakal dilahirkan kemudian. Upacara ini dikendalikan oleh Mak Bidan yang bakal menyambut kelahiran bayi tersebut. Bakal ibu terpaksa melalui beberapa peringkat upacara.

Bakal ibu yang sedang hamil akan dimandikan dengan air pelbagai jenis bunga diiringi dengan doa yang dibacakan oleh Mak Bidan. Seterusnya si suami akan memasukkan sebutir telur ayam kampung ke dalam kain isterinya. Telur tersebut dibiarkan jatuh dan pecah. Ia merupakan simbolik tanda bayi akan lahir dengan lancar tanpa sebarang halangan. Ada juga sesetengah masyarakat jawa yang mengkehendaki si suami membelah buah kelapa muda. Sekiranya belahan buah kelapa betul – betul di tengah , mereka akan mendapat anak lelaki. Sebaliknya sekiranya belahan buah kelapa tersebut senget maka mereka dikatakan bakal menerima anak perempuan.

Para tetamu upacara lenggang perut biasanya dihidangkan dengan nasi ambeng. Ketika penyediaan dijalankan, peladen atau pelayan dimestikan mengambil dulang yang berisi nasi ambeng secara satu arah. Mereka ditegah berjalan bolak- balik melawan arah. Ia untuk mengelakkan bayi yang bakal dilahirkan keluar secara songsang.

Adat melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di selatan semenanjung manakala di sebelah utara semenanjung lebih dikenali dengan panggilan kirim perut. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas seorang isteri yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut. Maka pada masa itu, bidan akan dipanggil untuk memeriksa dan menentukan isteri yang hamil itu betul-betul telah genap tujuh bulan hamil atau belum cukup bulan lagi. Jika didapati sudah genap tujuh bulan isteri itu hamil, maka mulailah bidan itu diupah untuk melangsungkan adat melenggang perut ini. Kelengkapan yang mustahak perlu disiapkan untuk menjalankan adat ini. Antara kelengkapan tersebut disediakan adalah seperti berikut:
  •  Tujuh helai kain yang berlainan warna.
  •  Satu gantang beras.
  •  Sebiji buah kelapa.
  •  Beberapa urat benang.
  •  Satu batang damar.
  •  Sedikit minyak kelapa atau minyak urut.
  •  Beberapa batang lilin.
  •  Satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya.
  •  Pengeras wang sebanyak lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.


Setelah semua barang tersebut disediakan, tok bidan akan menjalankan adat melenggang perut seperti berikut:

Mula-mula Mak Bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu secara melintang sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di atas lapisan-lapisan kain tersebut. Kemudian, perut ibu itu akan diurut dengan minyak kelapa atau minyak urut secara perlahan-lahan.

Selepas itu, kelapa yang sudah dikupas tersebut akan diguling-gulingkan secara perlahan-lahan di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali dan pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta dibiarkan jatuh bergolek daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh tok bidan itu. Tok bidan akan memerhatikan bagaimana kedudukan muka atau mata kelapa itu setelah berhenti bergolek. Jika mata kelapa itu menghala ke atas, ibu itu akan beroleh anak lelaki, dan jika ia menghala ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.


Setelah itu, sebelah tangan tok bidan akan memegang satu hujung kain lapisan atas sekali dan dengan tangannya yang sebelah lagi, dipegangnya hujung yang satu lagi. Kemudian kain itu diangkatnya sedikit sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu itu. Dari sinilah terbitnya panggilan Lenggang Perut itu. Selepas itu, kain itu ditarik keluar daripada bawah badan ibu tersebut. Perbuatan ini akan dilakukan sehingga habis ketujuh-tujuh helai kain itu dikeluarkan dari bawah pinggang ibu tersebut. Kain yang di bawah sekali akan diberikan kepada tok bidan bersama-sama dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang beserta dengan wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu.

Biasanya, pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut itu akan dipakaikan dengan pakaian yang baru dan cantik.

Sumber :
http://www.ashtech.com.my/adat/lenggang_perut.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Melenggang_perut
http://girlish87.blogpot.com
http://aniqmy.blogspot.com

Menanam Uri

Selepas seseorang bayi dilahirkan, Mak Bidan akan mencuci dan membersihkan uri dengan campuran asam beserta sedikit garam. Kemudian, uri akan ditanam di bawah rumah atau persekitaran rumah.

Si ayah, akan ditugaskan menanam uri. Uri bayi perempuan akan ditanam berserta celak, pensil , dan jarum. Mereka berharap agar anak yang akan membesar nanti menjadi seorang yang cantik, pandai dalam pelajaran dan pandai menjahit baju. Uri bayi lelaki pula ditanam berserta pensil, paku dan jarum dengan harapan apabila dewasa nanti mereka akan menjadi seorang yang pandai dan gagah.

Pada waktu malam, tempat uri ditanam akan dilengkapi pelita. Selain mengelak daripada dikorek oleh binatang , mereka juga berharap agar si bayi tidak diganggu oleh kuasa jahat. Sedikit tanah dari tempat uri ditanam akan diambil lalu dibungkus di dalam sehelai kain putih. Bungkusan tersebut kemudiannya diletakkan di bawah tempat tidur atau buai si bayi. Masyarakat Jawa beranggapan ianya dapat menemani si bayi kerana setiap bayi dilahirkan bersama kawan atau “bathir atau bathor”.

Jagongan (Muyi)

Jagong (njagong) dalam bahasa Jawa bermaksud duduk. Adat jagongan mudah dimengertikan sebagai ziarah sambil duduk-duduk. Ada juga yang mengenali adat ini dengan nama “muyi”.

Pada hari pertama hingga ke tujuh kelahiran, jiran tetangga dan saudara- mara akan datang menziarahi keluarga bayi. Biasanya kaum perempuan akan datang berziarah pada siang hari manakala bagi kaum lelaki, mereka akan datang pada waktu malam. Ketika berziarah mereka akan dihidangkan dengan kuih-kuih tradisional seperti rempeyek dan rengginang.


Tujuan mereka berziarah ialah menemani si ibu dan bayinya. Pada pandangan masyarakat Jawa, si ibu yang baru melahirkan lemah semangatnya manakala si bayi mudah disampuk oleh sesuatu kuasa jahat.

Bengkungan

Bengkung ialah sejenis tali pinggang yang dipakai selepas melahirkan bayi. Bengkung diperbuat daripada kain yang lembut sepanjang 6 hingga 7 meter. Untuk memudahkan cara pemakaiannya, kain bengkung biasanya akan diikatkan pada sesuatu seperti tiang. Si pemakai akan melilitkan bengkung tersebut pada bahagian bawah dada sehingga paha agar rahim mudah sembuh, perut tidak menggelebeh dan ponggong tidak jatuh. Pada masa kini walaupun terdapat bengkung moden yang lebih mudah dan murah namun masih ada lagi sebilangan kaum perempuan yang menggunakan kaedah tradisional demi mengekalkan adat dan budaya.

Puputan & Potong Jambul

Upacara potong jambul biasanya dijalankan selepas 40 hari bayi dilahirkan atau selepas si ibu habis tempoh berpantang. Jiran tetangga dan saudara – mara dijemput untuk majlis doa selamat. Ketika ini mereka akan membaca berzanji beramai-ramai. Selesai bacaan berzanji bayi akan dibawa keluar. Beberapa orang tetamu yang terdiri daripada Pak Imam dan mereka yang dikenali sebagai orang alim akan memotong sedikit jambul sambil membaca sedikit doa agar bayi tersebut membesar penuh keberkatan. Ada juga kalangan bayi yang dicukur sehingga botak licin. Rambut tersebut akan dimasukkan di dalam kelapa lalu ditanam di sekitar rumah.

Pada ketika ini, tuan rumah biasanya akan mengagihkan bunga telur dan bunga rampai kepada para tetamu. Supaya lebih tahan lama telur tersebut biasanya dimasak pindang. Ada juga yang menabur beras berserta sejumlah duit syiling di ruang tamu sebaik sahaja majlis potong jambul tersebut selesai sebagai simbol apabila dewasa nati anak tersebut dimurahkan rezeki dan mudah mendapat makanan(beras) dan kaya (duit)

Upacara Turun Tanah


Upacara Turun Tanah adalah salah satu upacara adat budaya Jawa untuk anak yang berusia 8 bulan (pitung lapan) di daerah lain di Indonesia juga dikenal upacara adat turun tanah ini dengan istilah yang berbeda. Upacara ini mewujudkan rasa syukur karena pada usia ini si anak akan mulai mengenal alam disekitarnya dan mulai belajar berjalan.


Among-Among

Among – among diadakan setiap tahun sejak bayi dilahirkan sehinggalah bayi tersebut fasih bercakap. Ketika menyambut setahun kelahiran, biasanya si anak akan dimasakkan seekor ayam ingkong. Ayam yang hendak disembelih mestilah ayam jantan yang tidak terlalu tua iaitu “ayam lancor”. Si anak anak diberi bahagian paha dan pada ketika ini mereka akan menjalani upacara pijak tanah.

Para tetamu yang terdiri daripada jiran tetangga dan saudara –mara akan dihidangkan dengan nasi keluban yang dihidangkan di dalam dulang. Keluban ialah sejenis lauk yang terdiri daripada campuran sayuran seperti daun pucuk ubi, tauge atau capar, kacang panjang dan kerabu kelapa.

Si anak yang diraikan pula akan dihidangkan dengan bubur abang. Bubur abang diperbuat daripada beras atau pulut yang dimasak sehingga lembut dan diwarnakan dengan warna merah. Bubur abang merupakan tradisi wajib masyarakat Jawa kerana ia melambangkan kesyukuran. Adat ini masih dipraktikan oleh sebahagian penduduk lama di kampung saya.

Sunatan (Berkhatan)

Di kampung-kampung, urusan bersunat disempurnakan oleh Tukang Sunat yang terlatih (Tok Mudim). Sebelum upacara sunat dijalankan, kanak-kanak lelaki diminta berendam di dalam kolam atau parit. Kanak- kanak tersebut diminta duduk di atas batang pisang ketika Tok Mudim menjalankan tugas. Sambil menghidu buah limau purut, beberapa orang ahli keluarga termasuk si ayah akan menemani sambil memberikan semangat.

Kanak-kanak yang baru bersunat terpaksa menjalani tempoh pantang yang agak panjang . Kadangkala mereka hanya diberi makan nasi berlaukkan bilis masak kicap sahaja sehingga mereka benar-benar sembuh.

Masyarakat Jawa akan menjemput jiran tetangga, sanak – saaudara dan rakan taulan untuk menghadiri majlis meraikan anak mereka. Biasanya majlis keraian diadakan serentak dengan majlis Khatam Al Quran.

Pada masa kini , ramai masyarakat Jawa yang menghantar anak mereka ke klinik (Kerajaan atau swasta) untuk bersunat kerana ianya lebih selamat berbanding cara tradisional. Namun terdapat juga sebilangan kecil yang memilih untuk menjalani upacara sunatan secara tradisional iaitu dengan menggunakan khidmat Tok Mudim.

Bara'an 

Masyarakat Jawa masih mengamalkan semangat kekeluargaan dan kemasyarakatan yang tinggi. Budaya ziarah-menziarahi secara beramai-ramai (rombongan) atau dikenali sebagai “baraan” masih diamalkan terutamanya ketika menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Ketika majlis baraan mereka akan berselawat bersama-sama dan bermaaf-maafan. Ketika baraan, mereka akan dihidangkan dengan pelbagai juadah raya. 

Budaya bara'an ini masih aktif di perkampungan orang Jawa sehingga sekarang. Malah dalam sesebuah kampung (sebagai contoh: kampung kelahiran penulis - Parit Lapis Mahang), budaya bara'an bermula pada hari raya pertama dan terdapat beberapa kategori rombongan seperti kumpulan pemuda (kumpulan paling besar), kumpulan orang tua (biasanya sebelah malam dan mengambil masa sehingga seminggu) dan kumpulan wanita yang mungkin sehingga dua minggu.

Kenduri Nasi Ambeng dan Berkat

Nasi Ambeng adalah specialty orang Jawa. Ia adalah tradisi makanan masyarakat Jawa apabila mengadakan kenduri sambutan kelahiran, doa selamat atau Arwah. Nasi Ambeng di letak dalam sebuah dulang besar (talam) dengan di hiasi lauk aslinya yang terdiri daripada serunding, ikan kering (gereh) dari jenis bulu ayam kacang tanah, sambel goreng dan lauk utamanya adalah ayam kukus (engkong) dan sayuran kacang panjang.

 
 
 
 

Masyarakat Jawa menyediakan nasi ambeng untuk tetamu yang datang dalam majlis kenduri doa selamat. Nasi berserta lauk diletakkan di dalam sebuah dulang besar dan dimakan oleh seramai empat atau lima orang. Nasi yang tidak habis dimakan akan dibungkus. Nasi yang dibungkus dan dibawa balik sebagai buah tangan ini dikenali sebagai “nasi berkat”. 

Antara lauk nasi ambeng yang popular dalam masyarakat Jawa ialah ayam masak ingkong, mi goreng, serunding kelapa dan sambal goreng tempe. 

Konsep nasi ambeng amatlah unik dimana ianya menerapkan persepakatan dan perpaduan dalam kekeluargaan dan kemasyarakatan tidak mengira pangkat dan darjat . Tiada beza membeza jenis makanan bagi si miskin atau si kaya. Malah mengikut satu sumber, kesan air tangan (chemistry) yang sama-sama makan dalam satu dulang boleh menghasilkan satu ramuan kasih sayang dan saling menyayangi. Dari segi kemasyarakatan ia mewujudkan satu masyarakat yang saling membantu, berkerjasama, berkompromi, kesamarataan dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

Bagi generasi akan datang, semuga akan mula bertitik tolak semula kepada asalnya, bagi usaha mengembalikan keaslian tradisi NASI AMBENG ini.

Sumber :
https://ms.wikipedia.org/wiki/Nasi_ambeng
http://www.kujie2.com/resepi/nasi-ambeng-2.html

http://ms.shvoong.com/social-sciences/education/1990798-nasi-ambeng/%20

LAIN-LAIN MAKANAN TRADISI JAWA

 Soto Ayam
Lontong (Berkuah)
Lontong Darat
Tiwol (Ketiwol)
Tempe Goreng (+ sambal kicap) 
Getuk Ubi
Lopes
Kuah Lodeh
(sesuai untuk makan bersama ketupat atau lontong)
Sambal Goreng Jawa
Sambal Godok
Opak Ubi
Kerepek Pisang
Kerepek Ubi
Kerepek Tempe
Rempeyek Kacang Tanah (Ketumpi)
Rempeyek Kacang Hijau
Botok
Ikan Pindang
Lempeng
Pecel (Pecal) 
Punten
Ayam Ungkep
Kueh Wajik
Pisang Salai Johor
Cucur Jawa
Kueh Cengkaruk
Jenang (Dodol) Kudus

Makanan tradisional etnik Jawa ini ada yang kekal popular, ada yang semakin pupus (dilupakan), ada yang masih dibuat tapi sukar diperolehi dan ada yang sudah pupus tetapi cuba dipopuarkan semula. Ada juga yang diubahsuai mengikut selera orang moden banyak sekali yang telah  dikomersilkan khususnya yang jenis kering dan tahan lama.

PERSPEKTIF JANTINA

Dalam masyarakat Jawa, sejak dari kecil anak-anak lelaki dan perempuan dilayan secara berbeza. Anak lelaki disuruh bersikap sebagai seorang lelaki yang sejati manakala anak perempuan sentiasa diingatkan agar menjaga sopan-santun.

Anak lelaki tidak digalakkan menunjukkan sikap emosi manakala anak perempuan ditegah daripada bersikap agresif. Anak lelaki akan diajak membantu tugas bapa seperti berkebun ataupun bertukang manakala anak perempuan diajar membantu ibu membuat kerja rumah seperti mengemas, memasak dan sebagainya.

Dalam masyarakat Jawa, kaum lelaki dianggap sebagai sumber kekuatan dalam sesebuah masyarakat. Jawatan ketua masyarakat seperti pelantikan Pak Lurah mesti disandang oleh orang lelaki. Mengikut kepercayaan ,orang lelaki bersikap lebih matang dan tidak mengikut perasaan berbanding kaum perempuan. Jiwa seorang perempuan yang sensitif akan menyebabkan mereka menjadi emosional dalam membuat sesuatu keputusan.

Sifat kaum lelaki yang lebih kuat juga menjadikan mereka orang yang sangat penting dan dilantik sebagai ketua keluarga. Kekuatan sifat fizikal dengan susuk badan yang sasa mekar, gagah, maskulin keras dan perkasa menjadi penyumbang penting dalam menjalankan tugas sebagai pencari rezeki. Mereka menyara keluarga dan menjaga segala kebajikan dan keselamatan keluarganya.

Lelaki kaum Jawa kelihatan tegas dari luaran tetapi sebenarnya lembut dari dalam. Mereka tidak akan memarahi anak mereka secara terbuka sebaliknya melalui isterinya. Hanya melalui pandangan atau jelingan mata sudah mampu menyampaikan mesej kepada anak-anak.

Perempuan kaum Jawa pula bersikap penuh lemah – lembut dan kasih – sayang terhadap suami dan anak-anak mereka. Oleh itu anak-anak mudah mesra dan manja kepada ibu berbanding ayah. Seorang isteri amat taat akan suami. Mereka bukan sahaja taat malahan memuliakan suami.

Isteri merupakan tulang belakang suami untuk menguruskan rumah tangga. Sikap mereka yang lemah – lembut dan penuh sopan – santun amat sesuai dengan tugas mengurus rumah tangga termasuk mencuci, memasak serta mengemas rumah.

Wanita Jawa dikaitkan dengan sifat berkorban yang tinggi. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi memelihara kebajikan dan maruah keluarga mereka. Mereka akan menunggu suami pulang dari bekerja dengan sabar. Setelah suami pulang, mereka akan dilayan dengan penuh kasih-sayang.

SEMOGA ARTIKEL INI DAPAT MEMBANTU MENGEKALKAN "NAMA, KETURUNAN, 
ADAT RESAM, BUDAYA DAN NORMA 
KE'JAWA'AN" DALAM MASYARAKAT 
MAJMUK MALAYSIA

REWANG memindahkan lokasi (mengalih kedudukan) rumah adalah pemandangan biasa dalam tahun 1950an/1960an- hari ini sangat sukar untuk ditemui.