Saturday, September 19, 2026

MTA 224 : PENYATUAN UMMAH - APA YANG UMNO MAHU?


PENYATUAN UMMAH
"KERJASAMA UMNO DAN PAS"
 FORMULA MANA YANG UMNO MAHU?

Sebelum memulakan isu KESANGSIAN, mari kita mengimbau kesah lampau kerjasama UMNO dan PAS.

Sejarah Ringkas Pencapaian PAS

Parti Islam SeTanah Melayu (PAS) ditubuhkan pada 24 November 1951 dan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan pada 31 Mei 1955. Nama asalnya adalah Persatuan Islam Se Tanah Melayu. PAS ditubuhkan hasil gabungan tokoh-tokoh agamawan bekas ahli Hizbul Muslimin (17 Mac hingga 18 Jun 1948 - diharamkan British) dan Bahagian Agama UMNO (mereka tidak bersetuju dengan cara UMNO meraikan syariat Islam dalam Perlembagaan negara.

PAS mula menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) seawal PRU pertama Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu sebelum merdeka pada  27 Julai 1955.  Jumlah kerusi Parlimen adalah 52 dan PAS bertanding di 11 kerusi dan berjaya memenangi satu kerusi melalui Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussein di Krian (Perak). Peratus di Parlimen: 1.9%.

Seterusnya setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, PRU pertama Parlimen/Negeri diadakan pada 19 Ogos 1959. Jumlah kerusi Parlimen ialah 104 dan PAS bertanding dikesemua kawasan. PAS berjaya memenangi 13 kerusi (9 di Kelantan dan 4 di Terengganu). Peratus kerusi di Parlimen: 12.5%.

Dalam PRU pertama ini juga PAS berjaya membentuk Kerajaan di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu.

Krisis PAS I : Kejatuhan Kerajaan PAS di Terengganu

Dalam PRU pertama 1959, PAS memenangi 13/24 kerusi DUN Terengganu. PAS menubuhkan kerajaan dan Tuan Haji Daud bin Abdul Samad dilantik menjadi MB demokrasi pertama Terengganu. Barisan pembangkang adalah 7 dari Perikatan (UMNO) dan 4 dari Parti Nagara (PN).

Krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu menyebabkan terdapat ADUN PAS yang keluar masuk PAS. Pada 8 Oktober 1960, seorang ADUN PN melompat ke PAS menjadikan kerusi PAS meningkat ke 14 kerusi.

Tindakan DUN PN tersebut menimbulkan kemarahan 3 ADUN PN yang lain. Mereka bertindak menyertai UMNO. Pada masa yang sama UMNO berjaya memujuk dua orang ADUN PAS menyertai UMNO. Penyertaan (lompat parti) oleh  3 ADUN PN dan 2 ADUN PAS ke dalam UMNO menjadikan kedudukan kerusi dalam DUN Terengganu berubah kepada 12 PAS dan 12 pembangkang.

Pada 31 Oktober 1961, seorang ADUN telah membawa usul Undi Tidak Percaya (UTP) ke atas MB Terengganu. 13 menyokong dan 5 tidak bersetuju. Dari mana datangnya 13 undi menyokong dan ke mana hilangnya 7 undi DUN PAS?. 

Sokongan 13 ADUN ke atas usul UTP adalah UMNO (7) , PN (3), PAS lompat (2) PAS belot (1). Manakala undi menolak pula hanya 5 ADUN dari PAS. Mana 6 lagi? MB dabn Speaker tidak mengundi, dua ADUN PAS berkecuali dan seorang telah diarah keluar Dewan. Dengan hanya 5 undi, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang pada 31 Oktober 1959. Pada 8 November 1961, Mohd Daud Abdul Samad telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar dan digantikan oleh Ibrahim Fikri dari UMNO.


Dalam PRU kedua pada 25 April 1964, jumlah kerusi di Parilimen ditambah menjadi 159 (kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak), PAS yang bertanding di 53 kerusi di Semenanjung dan hanya berjaya memenangi  9 kerusi sahaja. Peratus di Parlimen: menurun ke 5.6%.
 
Dalam PRU ke 3 pada 10 Mei 1969, sebanyak 144 kerusi dipertandingkan (Singapura keluar dari Malaysia) dan dari jumlah 62 kerusi yang ditandingi, PAS berjaya memenangi 12 kerusi. Peratus di Parlimen: 8.3%.

Kerjasama UMNO-PAS Episod I

Pembentukan Barisan Nasional

Barisan Nasional (BN) telah diwujudkan menggantikan Parti Perikatan (1954) iaitu gabungan tiga buah parti, iaitu UMNO, MCA dan MIC yang didaftarkan secara rasmi pada 30 Oktober 1957.  Gagasan penubuhan BN adalah inspirasi Tun Abd Razak berasaskan selepas konflik politik perkauman yang menyebabkan berlakunya Darurat akibat Tragedi Berdarah 13 Mei 1969.  Selepas MAGERAN dibubarkan dan Parlimen dipulihkan semula pada tahun 1971, rundingan bermula dengan parti pembangkang seperti Gerakan dan PPP dan diikuti oleh PAS. 

Bermula 1 Januari 1973,  kerjasama politik ini semakin berkembang dan turut melibatkan parti-parti di Sabah dan Sarawak seperti USNO dan SCA di Sabah; PBB dan SUPP di Sarawak. BN didaftarkan secara rasmi pada 
1 Jun 1974. BN  menyertai PRU ke 4 (24 Ogos 1974) dan mendapat kemenangan besar.

Hubungan politik antara PAS dan UMNO dalam BN turut membentuk Kerajaan Campuran di Kelantan, Terengganu dan Kedah selain menyertai Kabinet Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 1973. Presiden PAS, Dato' Hj Mohd Asri bin Hj Muda dan Timbalannya Dato' Hj Hassan Adly Arshad dilantik menjadi Menteri. Dua orang Naib Presidennya Tuan Hj Abu Bakar Umar dilantik menjadi Timbalan Menteri manakala Tuan Hj Yusof Abdullah Rawa dilantik menjadi Duta Besar Ke Iran. 

Dalam PRU ke 4 pada 24 Ogos 1974jumlah  kerusi di Dewan Rakyat adalah 154PAS yang berada dalam komponen BN diberikan 14 kerusi untuk ditandingi dan PAS berjaya memenangi 13 kerusi.

https://www.akauntanharaki.com/2016/06/01-jun-1974-pas-turut-serta-asaskan.html

Krisis PAS II : Darurat Kelantan, Kekalahan PAS Kelantan, PAS Keluar Dari BN dan Penubuhan BERJASA

Kerjasama UMNO dan PAS di dalam BN mampu bertahan selama 3 tahun sahaja.
Kewujudan UMNO dalam Kerajaan Campuran Kelantan memberikan ruang kepada UMNO mencampuri urusan PAS di dalam DUN Kelantan. Krisis politik Kelantan  tercetus pada  13 Mac 1975 apabila ramai ADUN PAS telah melahirkan ketidakpuasan hati terhadap MB, Dato' Mohamad Nasir. Dikatakan beberapa tindakan MB lebih berpihak kepada UMNO dan dianggap merugikan parti dan mendesak beliau meletakkan jawatan. Pada 20 November 1976, Dato' Mohamad Nasir telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada parti berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977. Namun atas pengaruh UMNO, beliau membatalkan hasratnya dan telah  menimbulkan kemarahan pimpinan PAS Kelantan.

Pada 10 Oktober 1977, Dato' Mohamad Nasir telah dipecat sebagai ahli PAS dan diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Mohamad Nasir kemudiannya disokong oleh sebuah badan, Barisan Bertindak Rakyat Kelantan yang dipimpin oleh Ibrahim Ali yang menganjurkan siri-siri demonstrasi yang kemudiannya bertukar menjadi rusuhan yang berkemuncak pada 22 Oktober 1977 dan perintah berkurung diisytiharkan. Situasi ini digunakan oleh Kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan darurat.

Pada 2 November 1977, Perdana Menteri telah menyatakan cadangannya untuk mendaruratkan Kelantan dan memberi tempoh sehingga 7 November 1977 untuk PAS membuat pendirian. Namun pada 4 November 1977, Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan cadangan ini di Parlimen, diikuti perinciannya oleh Dato' Hussein Onn pada 6 November 1977, sehingga pendirian PAS pada 7 November 1977 tidak bererti lagi. 

Pada 6 November 1977, PAS mengarahkan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen PAS meletak jawatan untuk membantah cadangan mendaruratkan Kelantan itu.

Perdana Menteri kemudiannya pada 8 November 1977 telah mengemukakan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Dewan Rakyat. PAS dan DAP telah membantah rang undang-undang ini, tetapi ia diluluskan dengan 118 undian menyokong berbanding 18 undian membangkang. Dua wakil rakyat PAS yang membelot (menyokong RUU) ialah Dato' Hassan Adli Mohd Arshad dan Ustaz Lokman Abdul Kadir. Pada 9 November 1977, Dewan Negara pula telah meluluskannya dengan 46 undi menyokong dan satu undi membangkang. Dengan kelulusan oleh Dewan Negara pada 9 November 1977 ini, Akta Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 telah berkuat kuasa dengan Tan Sri Hashim Aman dilantik menjadi Pengarah MAGERAN Kelantan. 

Pada 13 Disember 1977, PAS telah dipecat dari BN dan apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan diadakan pada 11 Mac 1978, PAS tewas teruk dan BN mengambil alih Kerajaan Negeri Kelantan. Dato' Hj Mohamed bin Yaacob telah dilantik menjadi MB Kelantan.

Pada 27 Disember 1977, Mohamed Nasir mendaftarkan parti baru Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) dan menyertai BN. BERJASA bekerjasama dengan BN dalam PRN Kelantan 1978 untuk menumbangkan PAS.

Kesan dari Darurat Kelantan 1977, dalam PRU ke 5 pada 8 Julai 1978, jumlah kerusi di Parlimen masih kekal 154 kerusi. PAS yang telah keluar dari BN telah mengalami penurunan jumlah kerusi yang agak ketara, dari jumlah  88 kerusi yang ditandingi, PAS hanya berjaya memenangi 5 kerusi.

Dalam PRU ke 6 pada 22 April 1982, PAS masih gagal meningkatkan pencapaiannya. PAS yang bertanding kembali di 88/154 kerusi Parlimen hanya mampu mengekalkan 5 kerusi yang dimenangi dalam PRU sebelumnya.


Krisis PAS III : Asri Muda Keluar PAS dan Menubuhkan HAMIM

Pergolakan politik dalaman PAS telah sampai ke kemuncak apabila Dato' Mohd Asri meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23 Oktober 1982. Ekoran itu, para penyokong Asri  telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang bertujuan untuk mengembalikan kedudukan Asri. Pada 6 Januari 1983, PAS Kelantan telah membuat aduan tatatertib terhadap kumpulan ini dan selanjutnya, Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan menggantung keahlian terhadap 13 bekas pemimpin PAS termasuk Asri. 

Pada 31 Januari 1983, Dato' Sudin Wahab dan Dato' Abu Bakar Umar bersama 13 bekas pemimpin PAS tersebut telah mengadakan mesyuarat di Kota Bharu yang kemudiannya menubuhkan sebuah lagi Jawatankuasa Bertindak yang dipimpin oleh Dato' Mohd Asri. Oleh kerana kumpulan ini masih meneruskan usaha menentang keputusan PAS Pusat, pada 16 Februari 1983 mengeluarkan ancaman untuk memecat keahlian Dato' Mohd Asri dan penyokongnya.

Pada 23 Februari 1983, Asri telah mengumumkan keluar dari PAS dan selanjutnya pada 24 Mac 1983, Asri dan pengikutnya telah menubuhkan parti Islam yang baru, Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Ini menyebabkan PAS kehilangan empat daripada lima kerusi Parlimen iaitu Dato' Abu Bakar Umar (Kota Setar), Mohd Zain Abdullah (Bachok), Wan Ibrahim Wan Abdullah (Pasir Mas) dan Haji Hassan Mohamad (Rantau Panjang). Pendaftaran HAMIM (tubuh 14 Mac 1983) telah diluluskan p
ada 9 Jun 1983. Namun Asri telah meletak jawatan dan keluar HAMIM pada 17 November 1988 dan menyertai UMNO pada 22 November 1988.

Perpecahan HAMIM pada tahun 1989 telah melahirkan parti baru, iaitu 
Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) yang diketuai oleh  Ustaz Abdul Wahab Yunus. HAMIM dipimpin oleh Dato' Sudin Wahab. HAMIM kemudiannya berkerjasama dengan PAS dan Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada 1999, IKATAN telah diambil alih oleh penyokong reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN).

https://www.akauntanharaki.com/2016/03/24-mac-1983-dato-asri-muda-keluar-pas.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Barisan_Jemaah_Islamiah_Se-Malaysia
https://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Hizbul_Muslimin_Malaysia

Prestasi PAS Dalam PRU 1986 hingga 2008

Krisis kepimpinan dalam PAS sejak tahun 1982 memberi kesan negatif kepada preastsi parti itu dalam beberapa PRU selepas itu.

Dalam PRU ke 7 pada 24 Julai 1986, PAS mengalami prestasi terburuk dalam sejarah PRU selepas merdeka. Dengan jumlah kerusi Dewan Rakyat ditambah dari 154 kepada 177, PAS hanya memenangi SATU (1) kerusi sahaja dari 98 kawasan yang ditandingi, iaitu Nik Abdullah bin Nik Arshad di Pengkalan Chepa.

Selanjutnya dalam PRU ke 8 pada 21 Oktober 1990, jumlah kerusi Dewan Rakyat ditambah dari 180 kerusi. PAS menyertai kerjasama politik yang dinamakan  Angkatan Perpaduan Umah (APU) bersama PMS 46, BERJASA, HAMIM dan KIMMA. PAS yang bertanding di 30 kawasan berjaya meningkatkan kerusinya di Parlimen kepada 7 kerusi.

Dalam PRU ke 9 pada 24 April 1995, PAS menyertai pula kerjasama parti-parti PMS 46, DAP, PRM, PBS (Sabah) dan beberapa parti kecil lain yang dikenali sebagai Gagasan Rakyat. PAS yang bertanding di 45 kawasan Parlimen telah menjaya memenangi 7 kerusi.

Dalam PRU ke 10 pada 29 November 1999, jumlah kerusi Parlimen telah ditambah menjadi 193 kerusi. PAS bertanding di 68 kawasan dan berjaya memenangi 27 kerusi.  Dalam PRU ini PAS menyertai kerjasama baru iaitu Barisan Alternatif (BA) yang terdiri dari DAP, ADIL, PRM, MDP dan PSM.

Prestasi PAS kembali menurun dalam PRU ke 11 pada 21 Mac 2004, jumlah kerusi di Dewan Rakyat telah ditambah menjadi 219 kerusi. Barisan Alternatif telah dibubarkan dan kerjasama tidak rasmi pembangkang yang baru diwujudkan dan dikenali sebagai Barisan Rakyat yang disertai oleh PAS, DAP, PKR dan beberapa parti kecil lain. PAS bertanding di 84 kerusi namun PAS kehilangan 20 kerusi, hanya memenangi 7 kerusi sahaja.

Dalam PRU ke 12 pada 8 Mac 2008, tiga buah parti pembangkang utama iaitu PAS, PKR dan DAP telah membentuk kerjasama baru yang dinamakan Pakatan Rakyat.  PAS telah bertanding di 66 kerusi Parlimen dan berjaya meningkatkan pencapaiannya kepada 23 kerusi.

Pakatan Rakyat dikekalkan dalam PRU ke 13 pada 5 Mei 2013.  Dalam PRU ini, PAS mengalami sedikit penurunan. Dari 73 kerusi Parlimen yang ditandingi, PAS berjaya memenangi 21 kerusi. 

Krisis IV : Gerakan Harapan Baru dan Penubuhan PAN

Krisis dalaman PAS yang bermula pada tahun 2013 adalah pertembungan antara dua golongan atau faksi dalam PAS iaitu ulamak dan professional ekstrem.  

Golongan ulamak mahukan PAS kekal teguh dengan agenda asal negara Islam dan pengukuhan kuasa Majlis Syura Ulamak sebagai pembuat keputusan tertinggi. Manakala k
umpulan Profesional juga golongan progresif atau "Erdogan" atau "Anwaristas". Golongan ini dianggap sebagai golongan islam liberal yang condong menyokong perjuangan Anwar Ibrahim. Mereka mahukan pendekatan yang lebih inklusif, menekankan konsep Rahmatan Lil 'Alamin (rahmat buat seluruh alam), dan mengekalkan kerjasama erat dalam pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat).

Kemuncak pertembungan dua golongan ini adalah semasa Pemilihan Kepimpinan PAS dalam  Muktamar ke-61 tahun 2015. Golongan ulamak menyapu bersih hampir kesemua jawatan utama parti. Tokoh-tokoh penting kumpulan Erdogan seperti Mohamad Sabu (sebelum ini Timbalan Presiden), Salahuddin Ayub, Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad, dan Dr. Mujahid Yusuf Rawa tewas dalam pemilihan tersebut. Ekoran kekalahan tersebut, golongan ini menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Pada 16 September 2015, GHB secara rasmi mengambil alih sebuah parti sedia ada (Parti Pekerja Malaysia) dan menjenamakannya semula sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan Mohamad Sabu sebagai Presiden pertama.

https://ms.wikipedia.org/wiki/Gerakan_Harapan_Baru
https://www.akauntanharaki.com/2015/

PRU ke 14 dilangsungkan pada 9 Mei 2018. Daripada jumlah 222 kerusi Parlimen PAS bertanding di 158 kerusi. PAS bekerjasama dengan beberapa parti berasaskan islam seperti BERSASA dan IKATAN membentuk gabungan tidak rasmi yang dinamakan Gagasan Rakyat (GR). PAS memenangi 18 kerusi.

Kerjasama UMNO-PAS Episod II

Muafakat Nasional

Muafakat Nasional (MN) ialah sebuah kerjasama berpiagam antara dua parti politik teras Melayu-Islam iaitu PAS dan UMNO yang dimeteraikan semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019. Gabungan ini adalah untuk menentang PH. MN memperlihatkan kesannya apabila calon BN memenangi PRK kerusi Parlimen Cameron Highland, DUN Semenyih, DUN Rantau, DUN Chini dan DUN Slim. 

Selepas kemelut politik 2020 akibat perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai PM ke-7, 
 keahlian MN bertambah apabila BERSATU keluar daripada gabungan PH.  Ia turut mendapat sokongan Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR). Bagaimanapun UMNO tidak senang dengan kehadiran BERSATU di dalam MN.

Pada 7 Ogos 2020, Perikatan Nasional (PN) didaftarkan secara rasmi, UMNO kemudiannya menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai PM ke 8 dan digantikan oleh Ismail Sabri pada 16 Ogos 2021. Presiden UMNO telah memberi kata dua kepada PAS untuk memutuskan hubungan dengan BERSATU dan PN jika ingin menjalinkan kerjasama dengan UMNO pada PRU ke 15.

Pada 13 Oktober 2022, PAS menyatakan pendirian kekal bersama PN dalam menghadapi PRU ke 15. MN kemudiannya didaftar sebagai sebuah NGO pada 18 Disember 2022. 

Seterusnya dalam PRU ke 15 pada 19 November 2022, PAS menyertainya di bawah bendera PN (PAS, BERSATU dan Gerakan). PN berjaya memenangi 74 dari 222 kwerusi Parlimen. PAS yang bertanding di 64 kerusi berjaya memenangi 43 kerusi. Inilah kejayaan terbesar PAS dalam sejarah PRU Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan. 

https://ms.wikipedia.org/wiki/Muafakat_Nasional

Kerjasama UMNO-PAS Episod III

PRN Johor: Membuka Lembaran

Pada 1 Jun 2026, ketika semua parti politik menunggu pembubaran DUN Melaka, tanpa dijangkakan, MB Johor Dato' Onn Hafiz Ghazi telah mendapat perkenan Sultan untuk membubarkan DUN Johor.  Mengambil kira PRN Johor ke 15 diadakan pada 12 Mac 2022 dan tarikh ADUN mengangkat sumpah pada 21 April 2022, tarikh matang penggal DUN Johor adalah pada 20 April 2027. 

Johor adalah satu-satunya DUN yang dikuasai BN atau PH tidak sehaluan dengan  formula Kerajaan Perpaduan di pusat.  Dengan prestasi cemerlang Kerajaan BN di Johor dibantu oleh semangat Bangsa Johor, BN yang telah membuat persiapan awal dan siap sedia untuk bertempur. Tanpa mempunyai hasrat untuk berunding atau membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak lain, BN Johor terus mengumumkan memutuskan untuk bertanding di kesemua 56 kerusi.  

BN menolak bekerjasama dengan PH seperti di Pusat dengan alasan "No DAP". . PN sedang berada kedudukan yang agak rapuh dan tidak bersedia lanjutan dari keretakan hubungan antara PAS dan BERSATU. PAS cuba berunding untuk membentuk kerjasama (electoral pact) dengan BN namun gagal.  PAS menyedari kekuatannya di Johor masih terlalu kecil berbanding BN. Walaupun BN tewas di Johor dalam PRU/PRN ke 15 (2018), BN telah bangkit dan menawan semula (dengan penuh bergaya) Johor dalam PRN ke 15 (2022). Mereka menang 40 dari 56 kerusi DUN. PN hanya memenangi 3 kerusi (2 BERSATU; dan 1 PAS). Selebihnya 12 kerusi dimenangi oleh PH (9 DAP; 2 PAN; dan 1 PKR) dan satu kerusi lagi dimenangi oleh MUDA.

Tarikh PRN  Johor ke 16 ditetapkan pada 11 Julai 2026.  BN dan PH bertanding 56 kerusi, PAS bertanding di 11 kerusi dan BERSATU di 16 kerusi. Setelah selesai penamaan calon, Presiden PAS secara rasmi menyeru penyokong PAS supaya mengundi BN di kawasan yang tidak ditandingi oleh PN. 

Keputusan : Hasilnya BN menang besar dengan 48 kerusi; PH menang 8 kerusi dan PAS gagal memenangi sebarang kerusi, malah gagal mempertahankan kerusi tunggalnya di Maharani.

Pun begitu, bunga-bunga kerjasama antara BN dan PN telah mula berputik.


PRN Negeri Sembilan: Formula Yang Menjadi

Tiga hari selepas pembubaran DUN Johor, MB Negeri Sembilan, Dato' Seri Aminuddin Harun pula mendapat perkenan YDP Besar untuk membubarkan DUN pada 4 Jun 2026. MB NS mempunyai alasan yang kuat untuk membubarkan DUN secara tiba-tiba walaupun tarikh mamatang DUN NS hanya akan berakhir pada 25 September 2028. 

Pada 27 April 2026, kesemua 14 ADUN BN (UMNO) telah menarik sokongan kepada MB NS yang dikatakan gagal menyelesaikan konflik antara Istana dengan Undang Luak Yang Empat. Kedudukan Aminuddin menjadi goyah kerana di dalam DUN NS, PH pimpinan Aminuddin hanya mempunyai 17 kerusi, manakala PH mempunyai 5 kerusi. Walaupun BN tidak mengisytiharkan keluar dari Kerajaan Perpaduan, andainya BN dan PN mahu membentuk kerjasama, mereka mempunyai 19 kerusi, majoriti dua kerusi, maka PH akan tumbang.

Bagi mengelakkan undi tidak percaya di dalam DUN, Aminuddin telah menangguhkan sidang yang baru sahaja dirasmikan oleh YDP Besar dan segera  membubarkan DUN yang baru berusia 2 tahun 9 bulan.

Tarikh PRN ke 16 NS  ditetapkan 1 Ogos 2026Dengan membawa kuntum bunga semangat kerjasama dari Johor, BN dan PN segera membentuk Electoral Pact di Negeri Sembilan. Mereka menggunakan formula berikut:

(1)  BN dan PN mengekalkan kerusi (BN: 14 dan PN: 5 = 19) yang dipegang dalam PRN ke 15 (2023).
(2)  Baki 17 kerusi (yang disandang oleh PH) dirunding oleh kedua-dua pihak.

Hasil dari perundingan wakil-wakil BN-PN, BN akan bertanding 25 (14 + 11) kerusi manakala PN 11 (5 + 6) kerusi. Di pihak PN, 11 kerusi diagihkan seperti berikut: PAS (5); WAWASAN (1); Gerakan (1); dan MIPP (1). BERSATU yang merupakan ahli komponen PN telah diketepikan (akibat krisis dalaman yang semakin kronik) dan mengambil keputusan bertanding di 24 kerusi dengan menggunakan simbol BERSATU.

Keputusan : BN memenangi 18/25 kerusi; PN menang 7/11 kerusi. PH hanya memenangi 11 kerusi (9 DAP dan 2 PKR).  BN bergabung dengan PN untuk membentuk Kerajaan Negeri Sembilan. Formula kerjasama BN-PN di NS menghasilkan keputusan yang sangat positif. Ia memberi harapan bahawa agenda Penyatuan Ummah (Melayu-Islam) mendapat sambutan baik di kalangan pengundi Melayu-Islam.


Muktamar Agung PAS (MAP) ke 72

Sebagai memulakan salam persaudaraan, PAS telah menjemput Presiden UMNO untuk menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Agung PAS (MAP) ke 72 yang dilangsungkan di Kota Bharu, Kelantan dari 4 hingga 5 September 2026. Presiden UMNO telah diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Dalam majlis sebelumnya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh telah menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS.


Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke 80

Sebagai balasan, UMNO telah menjemput kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Majlis Perasmian Perhimpaunan Agung UMNO (PAU) kali ke 80 yang diadakan di PWTC dari 9 hingga 12 September 2026. Delegasi PAS diketuai oleh Naib Presidennya Dato' Hj Idris bin Ahmad dan Setiausaha Agung, Dato' Seri Takiyuddin Hassan. Sebelum itu, dalam Majlis Perasmian Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO di PWTC, Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin telah dijemput hadir.


UMNO Perak Pertahankan Formula UMDAP

Senario di PerakJumlah kerusi dalam DUN Perak ialah 59 kerusi. Keputusan semasa PRU ke 15 pada 19 November 2022 adalah: PN (26 kerusi); PH (24); dan BN (9). Selepas PRU ke 15 , BN telah memilih untuk menyertai musuh ketatnya PH untuk membentuk Kerajaan mengikut formula di Putrajaya. Gabungan 24 kerusi PH dan 9 BN  menjadikan jumlahnya 33 dan memiliki majoriti untuk membentuk Kerajaan (Perpaduan) Negeri Perak. 

BN tidak memilih untuk bekerjasama dengan PN kerana dengan jumlah kerusi hanya 9 berbanding 26 milik PN, harapan BN untuk menyandang jawatan MB adalah nipis. Seperti yang diharapkan, walaupun BN dalam kedudukan minoriti dalam Kerajaan Negeri, Pengurusi BN Perak, Dato' Seri Shaarani Mohamad telah dilantik menjadi MB sebagai upah di atas persetujuan BN bekerjasama dengan PH.

Ujian untuk Gagasan Penyatuan Ummah : Pada 10 September 2026, DUN Perak membuat pengundian bagi memilih Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili DUN Perak bagi menggantikan tempat Dato' Dr Mujahid Rawa yang telah tamat tempoh perlantikan (6 tahun). Pemilihan Senator baru ini dibuat ketika di seluruh negara bercakap tentang Penyatuan Ummah dan memberi fokus kepada Kerjasama UMNO dan PAS.

MB Perak (UMNO) bagi pihak blok Kerajaan mencalonkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri. Manakala Ketua Pembangkang, Haji Razman (PAS) telah mencalonkan Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Zulkifli Zakaria. Setelah diadakan undian blok Kerajaan secara solid mengundi Hairul Amir (33 undi) begitu juga ADUN pembangkang solid menyokong Zulkifli (26).

Andainya perbalahan antara BN dan PKR serta semangat Penyatuan Ummah diambil kira, semua 9 ADUN UMNO sepatutnya menyokong calon dari PAS. Namun apa yang berlaku di Perak berbeza.  Bagaimanapun, dalam pengundian tersebut, kesemua ADUN BN telah menyebelahi ADUN PH untuk memilih Mohamad Hairul Amir. Jelas membuktikan bahawa BN (UMNO) Perak masih mengekalkan solidariti  'UMDAP Mantap'.

https://www.utusan.com.my/nasional/2026/09/pengerusi-mpn-pkr-perak-dipilih-jadi-senator/

Bakal Menjelang........

PRN ke 16 Melaka (?)

Seperti yang dicatat di atas, sepatutnya Melaka adalah megeri pertama yang patut mengadakan PRNnya berdasarkan tarikh kematangan DUN. 

Setelah mencapai kejayaan cemerlang di PRN Johor dan Negeri Sembilan, UMNO (BN) begitu yakin untuk mengulangi kejayaannya di Melaka. 

Kedudukan DUN Melaka : Jumlah kerusi di dalam DUN Melaka adalah 28. Dalam PRN Melaka ke 15 pada 20 November 2021, ke[putusannya adalah: 21 kerusi dimiliki oleh BN (UMNO - 18; MCA - 2; dan MIC - 1); 5 kerusi  dimenangi PH (DAP - 4; dan PAN - 1); manakala baki dua dimenangi oleh PN (BERSATU).  

Pada 16 Julai 2024, ADUN Rembia, Datuk Muhd Jailani Khamis telah keluar dari UMNO dan menyertai PAS. 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh beberapa kali menegaskan mahu mengekalkan 21 kerusi DUN yang dimenangi dalam PRN ke 15 (termasuk Rembia).  Jika kehendak KM Melaka ini dijadikan asas perundingan maka hanya ada 7 kerusi DUN sahaja boleh dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan UMNO dalam PRN Melaka.

Empat kerusi yang dipegang oleh DAP sekarang boleh dikatakan sebagai kerusi maut untuk mana-mana parti Melayu/Islam, maka PN hanya ada 3 kerusi sahaja yang boleh ditandingi.

Jika BN di peringkat pusat bersetuju dengan kemahuan Abdul Rauf sebagaimana UMNO menerima pakai kemahuan Onn Hafiz di Johor dan Jalaluddin Alias di NS, maka rundingan agihan kerusi akan menemui jalan buntu. Ini membuktikan bahawa BN sudah menutup pintu dan enggan berkompromi untuk mengorbankan satu atau dua kerusinya kepada PN. 

UMNO ada hak untuk mengekalkan 21 kerusinya, namun ia adalah dari sudut atau perspektif kenegerian. Jika kehendak Melaka dituruti sebagaimana Johor, ia menggambarkan pemimpin UMNO di peringkat negeri berpandangan cetek atau pendek. Pemimpin negeri hanya mementingkan kuasa mereka di negeri masing-masing tanpa melihat jauh ke hadapan untuk mengambil alih Putrajaya.

Jika Formula Johor dan Melaka dipertahankan dan pada masa yang sama gagasan Penyatuan Ummah mahu diteruskan, BN (khususnya UMNO) akan bantut di Pahang dan Perak, dan lebih parah dari itu, UMNO akan terkubur di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Itu di peringkat Negeri. Bagaimana dengan hasrat untuk merampas Putrajaya? Di Johor mungkin PN boleh menerima hakikat bahawa peluang mereka untuk satu kerusi pun boeh dikatakan sifar. Namun kalau melihat kedudukan kerusi Parlimen BN di Melaka, kita sudah boleh membuat congak. Dari jumlah 6 kerusi Parlimen di Melaka: tiga (Jasin, Tangga Batu dan Masjid Tanah) dipegang oleh PN (PAS - 2 dan BERSATU - 1), tiga lagi dimiliki oleh PH (DAP - 1; PKR - 1 dan PAN - 1).  Kalau PN mahu kekalkan 3 kerusi, maka BN hanya ada 3 kerusi boleh ditandingi, termasuk kerusi maut (Kota Melaka). Jika jumlah undi yang diterima oleh calon-calon PN dan BN semasa PRU ke 15 (19 Nov 2022) diambil kira, BN boleh menuntut kerusi Alor Gajah dan Hang Tuah Jaya sahaja.

Buatlah percaturan berdasarkan fakta dan objektif sebenar kerjasama, bukan berasaskan keangkuhan dan kepentingan diri.


Tok Mat Potong Stim

Ketika semangat Penyatuan Umah berada di puncak, menjadi tajuk utama dalam PAU ke 80 dan MAP ke 72, tiba-tiba di hari terakhir, dalam sesi penggulungan oleh Timbalan Presiden, Dato' Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) telah mempertikaikan keikhlasan PAS untuk melaksanakan agenda Penyatuan Ummah. Kenyataannya yang pada peringkat awal menyebut secara umum (pihak yang lagi satu) berubah kepada menuju tepat ke arah PAS apabila beliau mencabar supaya DUN Terengganu dibubarkan dan mahu melihat PAS untuk membuktikan keikhlasannya (lebih tepat lagi, berapa kerusi yang PAS boleh berikan kepada UMNO).

Kenyataan ini, mempamirkan siapa Tok Mat sebenarnya dan di mana tahap pemikiran beliau dalam usaha untuk merampas Putrajaya. Ini juga membuktikan bahawa skop pemikiran masa depan UMNO dan Penyatuan Ummah adalah setaraf dengan Ketua Menteri Melaka. 

Inilah ayat-ayat ucapan Tok Mat yang paling ke lutut selepas kali pertama dilakukan tiga tahun lalu, ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda/Wanita/Puteri UMNO (sempena PAU ke 77 di PWTC) pada 11 Januari 2023.  Hayati kata-kata Tok Mat berikut:

"UMNO dan DAP saling mengenali pendirian masing-masing dan kerana itu kedua-dua parti tidak perlu berpura-pura dalam persahabatan yang dijalin. Kita memang kenal pendirian mereka. Mereka juga faham pendirian kita. DAP tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan. UMNO pun tidak perlu berpura-pura. 
Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat UMNO lakukan jika parti itu menyertai Kerajaan pimpinan PN. 
UMNO amat sukar untuk bekerjasama dengan PN yang diwujudkan hanya untuk menghapuskan UMNO. Pengalaman kita, bekerjasama dengan PAS, mereka tidak pernah, setia atau ikhlas.

Kata-kata di atas membuktikan, Tok Mat memang konsisten dalam meragui keikhlasan PAS. Tok Mat mungkin masih terlalu muda dan naive ketika UMNO mengkhianati PAS di Terengganu (1961) dan Kelantan (1977). 

Pada masa yang sama, realitinya kepimpinan UMNO (kecuali segelintir), walaupun keberadaan UMNO dalam politik Malaysia telah mengalami kepupusan di beberapa buah negeri, mereka masih merasakan bahawa UMNO masih abang besar. Mereka masih berbangga dengan jumlah Bahagian dan Cawangan di seluruh negara. Mereka masih merasa parti mereka adalah parti KERAMAT untuk orang Melayu.

Sebahagian besar pemimpin atasan UMNO termasuk Zahid Hamidi, Tok Mat dan sebahagian besar punggur-punggur reput merasakan bahawa pengundi Malaysia masih boleh menerima segala gelumangan dosa pemimpin-pemimpin UMNO.  Mereka juga masih konsisten yakin bahawa undi Melayu masih boleh ditukar dengan wang.

Pemimpin UMNO terasa kuat dan ampuh apabila patah-patah kata ucapan mereka di atas pentas disambut dengan tepukan dan sorakan. Itulah ukuran populariti dan kekeramatan pemimpin UMNO. Mereka lupa bahawa istilah KERAMAT itu hanya digunakan untuk mengenang pemimpin yang telah berada di dalam kubur.

No comments:

Post a Comment