Saturday, October 6, 2018

M 192 USTAZ TAN SRI HAJI HASSAN BIN AZAHARI

PADAMNYA KILAUAN PERMATA ILMU NEGARA: USTAZ TAN SRI HAJI HASSAN BIN AZAHARI 

Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia banyak melahirkan ulamak tersohor. Mereka mempunyai legasi tersendiri di zaman mereka. Satu demi kita kehilangan ulamak besar yang menyinari alam keilmuan sama ada di negara ini atau di negara lain. Antara ulamak besar sebelum Perang Dunia II dan sebelum merdeka adalah Sayid Abdul Rahman Sayyid Muhammad alIdrus atau Tok Ku Paloh (meninggal 7 Sep 1918), Sheikh Tahir Jalaluddin (meninggal 26 Okt 1956), Haji Abdullah bin Ibrahim atau Sheikh Abdullah Fahim (meninggal 28 Apr 1961), Haji Muhammad  Idris bin Abdul Rauf atau Sheikh Idris alMarbawi (meninggal 13 Okt 1989). Walaupun sebelum ini negara kita melahirkan (dan kehilangan) beberapa ulamak yang tersohor seperti , Sheikh Abdul Qadir alMandili (meninggal di Mekah pada 31 Jul 2012). Ilmu mereka hanya dapat disebarkan melalui sekolah pondok, masjid dan kitab-kitab serta anak murid mereka yang bertebaran di seluruh dunia. 

Namun kemasyhuran mereka adalah berbeza dengan kemasyhuran yang dimiliki oleh Hassan Azahari. Kelebihan Hassan ialah di zamannya terdapat alat media massa moden seperti radio, televisyen dan internet yang membantu mempercepatkan kepopularannya.

Ulamak modern seperti Prof Dr Muhammad Uthman El Muhammady (meninggal 23 mac 2013), Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat (meninggal dunia pada 12 Feb 2015) dan Tuan Guru Prof Dato' Harun Din (meninggal dunia 15 Sep 2016)  mempunyai peranan dan legasi mereka tersendiri dalam menghadapi cabaran di zaman moden dan dunia tanpa sempadan.

Hari ini, 6 Oktober 2018, MALAYSIA kehilangan satu lagi permata ilmu yang terkenal seantero dunia khususnya dalam bidang Tajwid dan Qiraatul Qur'an. Beliau adalah Ustaz Tan Sri Hassan bin Azhari yang meninggal dunia pada usia 90 tahun. Almarhum menemui penciptanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada jam 5.07 petang, 6 Oktober 2018.

Pemergian Almarhum Ustaz Tan Sri Hassan merupakan kehilangan besar kepada Negara Malaysia dan Dunia Islam amnya. Sejak berdekad lalu, malah ketika aku mengenal suaranya yang berkumandang (kelas alQuran) di radio sejak tahun 1960an, kerana televisyen hanya masuk ke kampungku pada awal tahun 1970an. Dan ketika setiap tahun namanya sentiasa disebut sebagai salah seorang Hakim Tajwid dalam Tilawah AlQuran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

Nama Hassan Azhari dan Tajwid sudah sinonim dengan rakyat Malaysia. Ribuan anak murid yang ditinggalkannya. 

Keratan berita dari Utusan Online:

Jenazah almarhum akan dibawa ke kediaman di Persiaran Keramat Hujung, Kuala Lumpur, sebelum dikebumikan.

"Bapa saya disahkan meninggal dunia kira-kira 5 petang tadi di HKL" kata anak sulungnya Tan Sri Musa.

Almarhum akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Allahyarham dimasukkan ke HKL Ahad lalu selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Beliau pendidik terkenal dalam rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Hassan-azan.jpg

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Almarhum mempunyai 22 orang anak dari tiga orang isteri (Puan Sri Hajjah Sahara Abd Samad, Puan Hajjah Maimunah Abdul Ghani dan Puan Hajjah Khadijah Yusof). Selain Tan Sri Musa, dua lagi anak lelakinya dikenali ramai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Datuk Fuad Hassan (allahyarham) dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

Manakala dua orang lagi anak almarhum yang mengikui jejaknya menjadi pakar Tajwid dan Qiraat ialah  Dr. Abd Rauf yang kini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ustaz Mohd Toha, keduanya juga tenaga pengajar program Qiraatul Quran.



RINGKASAN BIODATA


Datuk Hassan Azhari (lahir 18 Ogos 1928) adalah seorang rakyat Malaysia berketurunan Melayu (etnik Banjar) merupakan seorang pendidik terkenal dengan rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM. Beliau merupakan orang yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Beliau dilahirkan di kampung Syu’ib Amir di Mekah pada 18 Ogos 1928. Ayahnya bernama Azhari Abdul Khaliq, tokoh agama terkenal di Selangor manakala ibunya ialah Fatmah Abdul Hakim, berketurunan campuran Arab Mesir al-Shanani dan Padang, Indonesia.

Beliau mempunyai 22 orang anak dari tiga orang isteri. 13 orang anak yang pertama hasil perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad, yang meninggal pada April 2004, Tiga orang anak lelaki yang amat dikenali ramai iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas ADUN Hulu Klang dan bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan, Dato' Fuad Hassan; CEO Alam Flora, Dato' Mohd Zain; dan pelakon terkenal Dato' Jalaluddin Hassan. Seorang lagi anaknya, Mohammad Izzat Hassan megikuti jejak langkah abangnya Musa di dalam bidang kepolisan.

Dua lagi anaknya mengikuti jejaknya sebagai 'pakar' dalam bidang ilmu alQur'an ialah Prof Dya Dr Abdul Rauf dan Ustaz Mohd Taha.



almarhum bersama isteri pertama, Almarhumah Puan Sri Sahara Abd Samad (meninggal dunia pada 2004)

almarhum bersama isteri kedua, Puan Hajjah Maimunah

Image result for ustaz tan sri hassan azhari terima anugerah Tan Sri
almarhum bersama isteri ketiga, Puan Hajjah Khadijah

Beliau dikhabarkan sangat tegas dalam agama tetapi masih seorang bapa yang penyayang.

Beliau dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan beragama. Beliau mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah. Di peringkat rendah, mempelajari secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.

Antara guru beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah)

Ketika berusia lapan tahun, berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan. Di Malaya, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta al-‘Ulum al-Diniyah di Kuala Langat, Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah di Kampung Jawa, Selangor. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama dua tahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab. Antara gurunya ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih.

Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Maahad al-Ulum (kini Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh sijil Rabi’ Thanawi. Bagi mendalami pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan Sheikh Ismail Tamim.

Beliau kemudiannya mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama terkenal antaranya Syed Mahmud Lutfi Amir. Guru-guru al-Quran yang lain ialah Sheikh Mahmud al-Bukhari (riwayat Hafs), Sheikh Muhammad Abdul Samad, Dr. Ahmad Nuaina dan Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’).

Beliau telah memberi sumbangan besar kepada negara dengan melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Beliau turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Beliau juga merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah 2002, yang merupakan penghormatan tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan Islam di dalam negara.

Beliau juga telah mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hinggalah 2000. Beliau juga turut mengacarakan rancangan agama selama lapan tahun di TV1 yang bertajuk Muqaddam pada 1970-an. Rancangan ini memberi pendedahan yang mudah untuk membaca al-Quran daripada permulaan.

Pada 1997, beliau mendapat Anugerah Khas Seri Angkasa kerana penglibatannya selama 40 tahun bersama RTM.

Hassan juga merupakan hakim Pertandingan Tilawan al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara. Hampir 46 tahun berkhidmat sebagai hakim, beliau juga menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai, Brunei dan Thailand.

Hassan juga pemenang tempat pertama Pertandingan Tilawan al-Quran yang diadakan di Malaya pada 1947, anjuran UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) ketika itu.

© JAKIM

SATU KAJIAN

Semasa menyediakan penulisan di blog ini, aku membuat penyelidikan sendiri dalam internet dan menemui satu artikel yang lengkap dalam Jurnal Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) seperti berikut:

TAN SRI DATO’ HAJI HASSAN AZHARI: SUMBANGANNYA
DALAM PENGAJIAN AL-QURAN DI MALAYSIA
Oleh: Khalid b. Isa dan Muhammad Lukman b. Ibrahim
(di salin dari Jurnal KUIS)




TAN SRI DATO’ HAJI HASSAN AZHARI: SUMBANGANNYA DALAM PENGAJIAN AL-QURAN DI MALAYSIA
Oleh: Khalid b. Isa 1 dan Muhammad Lukman b. Ibrahim 2

Abstrak

Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari merupakan salah seorang tokoh ilmuan yang terkenal dalam bidang pengajian al-Quran. Beliau telah banyak berjasa dan memberi sumbangan dalam perkembangan ilmu alQuran kepada masyarakat di Malaysia. Kepakaran beliau dalam bidang ini seperti tarannum tajwid dan qirāāt yang menyebabkan beliau sampai ke tahap menjadi seorang pakar rujuk. Antara sumbangan beliau yang terbesar ialah sebagai hakim majlis tilawah alQuran, tenaga pengajar, pembentang kertas kerja dan lain-lain. Namun, ulama seperti beliau yang dianggap sebagai ejen pencetus kepada perubahan masyarakat perlu ditonjolkan dan didedahkan sumbangannya supaya menjadi warisan kepada generasi yang akan datang.

Kata Kunci: Tilawah al-Quran, Tajwid, Tarannum, Qari

PENGENALAN

Kajian mengenai sumbangan 3  tokoh adalah satu kajian yang terpenting dan banyak manfaatnya. Apatah lagi jika kajian tersebut melibatkan sumbangan seorang tokoh yang masyhur seperti Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari. Beliau adalah anak kelahiran bumi anbiyā iaitu tanah suci Makkah al-Mukarramah dan dilahirkan dalam suasana keluarga alim ulama. Beliau juga seorang yang fasih berbahasa Arab, mengetahui selok belok ilmu fiqah, tafsir, hadis, tasauf dan lain-lain. Beliau banyak mencurahkan jasa,  pengorbanan, fikiran dan tenaga demi meningkatkan perkembangan ilmu al-Quran di Malaysia.

LATAR BELAKANG TAN SRI DATO’ HAJI HASSAN AZHARI

1.   Nama dan Kelahiran

Nama penuh beliau ialah Tan Sri Dato’ Hj. Hassan b. Hj. Azhari.4   Dalam kalangan keluarga dan anak-anak muridnya, beliau lebih dikenali dengan panggilan “Abu Ya”.5   Beliau dilahirkan pada 18 Ogos 1928 di sebuah kampung yang dikenali dengan Syu’ib ‘Amir 6  di Makkah alMukarramah.7

2.   Latar Belakang Keluarga

Salasilah keturunan Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari adalah merupakan keturunan alim ulama. Ayahanda beliau bernama Hj. Azhari b. Hj. Abdul Khaliq yang merupakan seorang tokoh agama terkenal di negeri Selangor. Dilahirkan pada tahun 1880 di Kampung Arang-arang Pantai, Membaram, Sungai Gatal Barabai Banjarmasin, Kalimantan, Borneo, Indonesia. Datuk beliau pula bernama Hj. Abdul Khaliq b. Hj. Abdul Rauf juga merupakan seorang tokoh ulama di Banjarmasin
Indonesia.8

Bonda Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari bernama Hjh. Fatimah bt. Hj. Abdul Hakim. Hj. Abdul Hakim seorang yang berketurunan Padang, Sumatera Indonesia dan juga merupakan seorang tokoh ulama yang belajar lama di tanah suci Makkah al-Mukarramah. Isteri beliau bernama Hjh Zainab, seorang yang berkacukan Arab al-Ashnani dan Padang Indonesia. Secara tidak langsung, bonda beliau adalah merupakan seorang yang berketurunan campuran Arab Mesir alAshnani dan Padang Indonesia (Minangkabau al-Khatib). Bonda beliau seorang fasih dalam pertuturan bahasa Arab kerana beliau lama tinggal di Makkah al-Mukarramah. 9

Menurut Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari, sebenarnya hasil perkahwinan ayahanda dan bonda beliau, kedua-duanya telah dikurniakan zuriat seramai tujuh orang anak. Adik-beradik beliau semuanya dilahirkan di tanah suci Mekah. Lima orang daripada adik-beradik beliau meninggal dunia di sana sewaktu kecil. Dua orang meninggal dunia disebabkan keguguran dan tiga orang meninggal sewaktu umur dalam lingkungan dua atau tiga tahun. Dua orang yang baki lagi ialah Hj. Abdul Hakim dan Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari. Beliau adalah merupakan anak yang bongsu.10

Beliau mempunyai 22 orang anak daripada tiga orang isteri. 13 orang anak yang pertama hasil perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad yang meninggal pada April 2004. Tiga orang anak lelaki yang pertama amat dikenali ramai iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Musa Hassan, bekas ADUN Hulu Klang, allahyarham Dato’ Haji Fuad Hassan juga bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas atau JASA, Kementerian Penerangan dan pelakon terkenal Dato’ Haji Jalaluddin Hassan. Seorang lagi anaknya dengan isterinya Maimunah Abd. Ghani, Mohammad Izzat Hassan mengikuti jejak langkah abangnya Musa dalam bidang kepolisan.11

Image result for tan sri musa hassan
Tan Sri Musa bin Hassan

Image result for fuad hassan
Almarhum Dato' Fuad bin Hassan

Related image
Dato' Jalaluddin bin Hassan

Image result for dato' Mohd Zain hassan Alam Flora
Dato' Mohd Zain bin Hassan

Related image
Prof Madya Dr Abd rauf bin Hassan


Ustaz Muhammad Taha bin Hassan


abangnya Musa

Tiga lagi anak almarhum yang juga dikenali ialah Dato' Mohd Zain (CEO Alam Flora Sdn Bhd), manakala dua orang lagi anak almarhum yang mengikui jejaknya menjadi pakar Tajwid dan Qiraat ialah  Dr. Abd Rauf yang kini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ustaz Mohd Toha, keduanya juga tenaga pengajar program Qiraatul Quran. (Nota tambahan oleh penulis blog ini)

3.   Pendidikan

Tan Sri Dato’ Haji Hassan Azhari dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan beragama. Beliau mempelajari alQuran sejak kecil di Mekah. Pada peringkat rendah, beliau belajar secara formal di Madrasah Dār al-Ulūm, Mekah. Antara guru beliau di sini ialah Syeikh Yasin al-Fādānī dan di Masjid al-Haram, gurunya yang lain ialah Syeikh Ismāīl Tamīm (salah seorang imam masjid di Mekah).12

Ketika berusia lapan tahun, beliau berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan. Di Malaya, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta, al-‘Ulūm al-Diniyyah di Kuala Langat, Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayāt al-Mardiyyah di Kampung Jawa, Selangor. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah alJunayd, Singapura selama dua tahun untuk meningkatkan penguasaan
bahasa Arab. Antara gurunya di sana ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqāf
dan Syeikh Abdullah al-Faqīh.13

Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Maahad al-‘Ulūm (kini Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh Sijil Rābi Thanawī. Bagi mendalami pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan Syeikh Ismail Tamīm.14 Beliau kemudiannya mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama terkenal antaranya Syed Mahmud Lutfi Amir. Guruguru al-Quran yang lain ialah Syeikh Mahmud al-Bukhārī (riwayat af), Syeikh Muammad ‘Abd al-amad, Dr. Amad Nu’aynā dan Syed Mamud Amīn anawi (riwayat Warsh Imām Nāfi).15

Image result for ustaz tan sri hassan azhari selamat dikebumikan

4.   Keistimewaan

Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari mempunyai keistimewaan dari segi suaranya yang merdu dan lunak.16 Beliau telah diberi penghormatan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj untuk melaungkan azan sempena menyambut hari kemerdekaan Malaysia. Seminggu sebelum 31 Ogos 1957, Datuk Abdul Rahman Talib yang ketika itu Menteri Pelajaran telah datang
meminta persetujuan daripada beliau untuk melaungkan azan. Ini adalah bertujuan untuk melahirkan keadaan gembira dan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana negara Malaysia telah bebas daripada penjajah.17  Selain daripada suara beliau yang merdu, beliau juga seorang yang sangat petah bercakap bahasa Arab sama ada, ‘ammī atau fuṣḥah.

Beliau salah seorang penal penceramah kepada peserta-peserta tilawah al-Quran peringkat antarabangsa untuk menerangkan bagaimana syarat-syarat dan peraturan-peraturan tilawah. Kebanyakan pesertapeserta datang dari negara Arab seperti Mesir, Jordan, Maghribi dan sebagainya.18

5.   Pujian Masyarakat

Antara pujian kepada diri beliau ialah pujian yang diberikan oleh masyarakat dan para qari. Pujian itu berbunyi: “Abu Ya seorang pakar dalam ilmu tarannum dan tajwid, jika dia mengajar mudah difahami”.19
Yang paling hebat diberi pujian oleh salah seorang gurunya iaitu al-muqri’ Mesir Syeikh Mamūd Khalīl al-Huarī: Hassan pembacaannya cukub bagus menepati kehendak tajwid al-Quran dan mempunyai irama lagu yang indah”. Sehinggakan Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari mendapat pengiktirafan daripadanya kerana bacaan alQuran beliau yang berlahjah Arab.20

6.   Karya, Makhṭūṭāt 21 dan Kertas Kerja

Dalam kesibukan beliau menggalas tanggungjawab mendidik anak-anak bangsa mendalami ilmu-ilmu al-Quran, beliau sempat menghasilkan beberapa hasil karya tulisan sebagaimana berikut:

a.     Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Muqaddimah Ilmu Tajwid yang diterbitkan oleh Persatuan Qurrā Malaysia pada tahun 2001.

b.    Terdapat beberapa karya yang turut dihasilkan tetapi masih dalam bentuk makhṭūṭāt yang bertajuk:

(1)   Faṣāḥah Dalam Pembacaan al-Quran
(2)   Siri Khas Mengenai Hukum Tajwid Amali dan Syaratnya Bacaan al-Fātihah.
(3)   Perbezaan Nasyid Tradisi dan Nasyid Moden.

c.     Beliau juga telah menulis kertas kerja dan membentangnya pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, antaranya:

(1)   “Pemahaman Tajwid al-Quran Dalam Masyarakat Globalisasi” yang dibentang dalam Seminar Kebangsaan Pengajian al-Quran di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor pada 1-2 September 2001.

(2)   “Penghayatan Ilmu Tajwid al-Quran dan Amalannya Dalam Masyarakat Hari Ini” yang dibentangkan dalam Seminar Tajwid dan Qirāāt yang diadakan di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya pada tahun
2003.

(3)   “Keistimewaaan dan Kelemahan Tajwid Dalam Pembacaan al-Quran: Pengamalan Penghakiman Tilawah alQuran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa” yang
dibentangkan dalam Kursus Peningkatan, Pengembangan Tarannum dan Qirāāt Sabah, Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran Kementerian  Pendidikan Malaysia pada 29 Oktober 1998.

7.   Pengaruh Beliau Dalam Masyarakat

Penulis telah membuat satu analisis melalui temu bual secara formal dengan beberapa orang anak murid beliau, para hakim tilawah alQuran dan beberapa qari-qariah yang menyertai majlis tilawah alQuran. Penulis mendapati ilmu al-Quran yang ada pada beliau boleh dikatakan amat meluas, diibaratkan seperti lautan ilmu. Tambahan lagi, ilmu-ilmu al-Quran yang berkembang di Malaysia ini adalah sebahagian besarnya daripada ilmu beliau yang telah disebar kepada seluruh lapisan masyarakat. Hal ini terbukti melalui penelitian penulis dari sudut kaedah pengajian dan pengajaran ilmu al-Quran yang telah diamalkan di negeri-negeri Malaysia oleh guru-guru al-Quran. Begitu juga dari sudut pembacaan para qari-qariah semasa majlis tilawah al-Quran. Secara keseluruhan boleh dikatakan pengamalan mereka dalam bacaan al-Quran mengikut gaya dan teknik tarannum yang disebarkan oleh beliau sama ada dari segi burdah-burdah lagu, harakat lagu, istilah-istilah, suara dan sebagainya. Begitu juga dalam bidang penghakiman majlis tilawah al-Quran. Kebanyakan para hakim yang menghakimi majlis tilawah al-Quran sama ada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa adalah mengikut cara dan kaedah yang beliau amalkan.

8.   Penganugerahan

Sumbangan yang telah diberikan oleh Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari kepada agama, bangsa dan negara adalah amat besar terutamanya dalam meningkatkan pengajian tilawah al-Quran dari sudut tajwid, makhraj dan tarannum. Sumbangan tersebut telah diberi pengiktirafan dan mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak dalam bentuk penganugerahan, pengisytiharan tokoh dan pengurniaan pingat atau darjah kebesaran.22

(1)    Pingat Jasa Kebaktian Selangor (P.J.K)- 1964
(2)      Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M)- 1978
(3)    Kesatria Mangku Negara Kerajaan Persekutuan (K.M.N) - 1981
(4)    Darjah Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Selangor (D.S.S.A)- 1986
(5)    Johan Setia Mahkota Kerajaan Persekutuan (J.S.M)- 1989
(6)    Anugerah Tokoh Guru Agama Negeri Selangor - 1989
(7)    Anugerah Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan-  1990
(8)    Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor - 1991
(9)    Anugerah Khas Malam Seri Angkasa RTM - 1997
(10)    Anugerah Kehormat Dalam Pendidikan dan Dakwah Kolej Darul Ehsan Selangor - 1999
(11)   Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada tahun 1423H - 2002
(12)   Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang Dipertuan Agong 23 - 2009
(13)   Ijazah Kehormat Sarjana (Pengajaran al-Quran) Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Insaniah Ke-11 - 2009

Senarai tambahan selepas artkel diterbitkan:

(1)   Anugerah Khas Maal Hijrah  1434 WP KL- 2012
(2)   Anugerah Tokoh Melayu Terbilang (sempena HAUT ke 68 penubuhan UMNO)- 2014

Image result for ustaz tan sri hassan azhari terima anugerah
Anugerah Khas Maal Hijrah WP KL (2012)

Image result for ustaz tan sri hassan azhari terima anugerah
Anugerah Tokoh Melayu Terbilang (2014)


SUMBANGANNYA DALAM PENGAJIAN AL-QURAN DI
MALAYSIA

1.   Hakim Majlis Tilawah Al-Quran

a.     Hakim Majlis Tilawah al-Quran Anjuran Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Keilmuan Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari dalam bidang alQuran tidak dapat dinafikan lagi. Malah ada yang berpendapat bahawa tiada siapa yang dapat menandingi keilmuan beliau dalam bidang al-Quran di Malaysia. Banyak jasa dan sumbangan beliau terhadap kerajaan Malaysia yang tidak pernah jemu diberikan sampai sekarang ini. Sumbangan Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari dalam bidang al-Quran terbukti apabila beliau sering dijemput menjadi hakim pada semua peringkat sama ada daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.  Beliau menceburkan diri dalam bidang penghakiman tilawah al-Quran pada peringkat daerah dan jajahan khususnya seluruh daerah negeri Selangor dan Kuala Lumpur pada tahun 1959.24  Bermula tahun itulah beliau mula dijemput dalam penghakiman majlis tilawah al-Quran yang dianjurkan bagi peringkat negeri-negeri, antaranya Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang,
Perlis, Sabah dan Sarawak.25

Dengan keilmuan, kepakaran, pengalaman dalam bidang al-Quran, Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari bukan sahaja menjadi hakim peringkat antarabangsa di Malaysia, malah peringkat antarabangsa di luar negara. Antara negara-negara yang beliau pernah menjadi hakim tilawah al-Quran peringkat antarabangsa luar negara ialah seperti Makkah al-Mukarramah sebanyak 14 kali daripada tahun (1979-1993), Mesir pada tahun (1993 dan 1994), UAE Dubai, Iran, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan lain-lain.28

Pengalaman beliau dalam menghakimi majlis tilawah al-Quran sudah melebihi 50 tahun. Dengan pengalaman ini bolehlah disimpulkan bahawa beliau adalah seorang yang mahir dalam sudut penghakiman tilawah al-Quran. 29

b.   Hakim Majlis Tilawah al-Quran Hafazan (JAKIM) Bidang hafazan menjadi minat Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari sejak kecil lagi, sehinggalah membawa beliau menjadi hakim di majlis tilawah al-Quran hafazan pada pelbagai peringkat hinggalah ke peringkat antarabangsa.  Majlis tilawah al-Quran hafazan yang pertama dihakimi beliau ialah Majlis Tilawah Hafazan al-Quran di Arab Saudi pada awal tahun 90-an. Kemudian beliau telah memperkenalkannya di tanah air dengan menyuarakan pandangan beliau untuk mengadakan majlis tilawah al-Quran hafazan di Malaysia.

Pandangan dan cadangan beliau dipersetujui oleh pihak Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  Secara tidak langsung pihak Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjadi salah seorang hakim dalam majlis tilawah al-Quran hafazan tersebut. Kebiasaannya beliau dipertanggung jawabkan menjadi hakim fāith. Sehingga sekarang ini, majlis tilawah al-Quran hafazan di Malaysia berkembang sampai ke peringkat kebangsaan. 30

c.   Hakim Majlis Tilawah al-Quran Anjuran Badan-badan Kerajaan dan Swasta. Termasuk juga sumbangan beliau dalam bidang penghakiman ialah menjadi hakim dalam majlis tilawah al-Quran anjuran badan-badan kerajaan dan swasta seperti Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2002 hingga sekarang dan hakim peringkat kebangsaan Petronas pada tahun 2000 hingga sekarang.31  

Pada tahun 1997 hingga sekarang ini, beliau menjadi hakim majlis tilawah al-Quran anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan hakim majlis tilawah al-Quran peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) daripada tahun 2001 hingga 2003.32 Pada tahun 2006 hingga sekarang, beliau telah dijemput sebagai hakim majlis tilawah al-Quran anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) peringkat kebangsaan.33 Selain itu, baru-baru ini beliau dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Hakim Akademi al-Quran TV9 yang berlangsung pada hari Jumaat 6 Ogos 2010.34

2.   Penggubal Undang-undang Penghakiman Tilawah al-Quran

Beliau telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Malaysia iaitu Jemaah Jawatankuasa Pusat dengan melantik beliau salah seorang penggubal undang-undang penghakiman tilawah al-Quran. Perlantikan ini adalah berdasarkan pengalaman beliau dan atas dasar beliau merupakan salah seorang hakim terawal yang menghakimi majlis tilawah al-Quran di Malaysia sejak tahun 1959 lagi. Undang-undang penghakiman ini bertujuan untuk membantu para jemaah hakim majlis tilawah al-Quran menjalankan tugas penghakiman untuk memberi markah kepada peserta qari dan qariah dalam majlis tilawah al-Quran sama ada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Hasil daripada penggubalan undangundang penghakiman tersebut, terdapat bahagian-bahagian yang perlu dihakimi seperti berikut:35

a.   Tajwid 40 markah.
b.   Tarannum 25 markah.
c.   Faṣāḥah 20 markah.
d.   Suara 15 markah

3.   Menubuhkan Persatuan Qurrā Malaysia 

Sepanjang penglibatan dalam bidang al-Quran, beliau telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Persatuan Qurrā 36 Malaysia di atas persetujuan Kerajaan Malaysia. Tujuan beliau adalah untuk mengeratkan hubungan yang baik dengan persatuan qurrā di luar negara seperti Indonesia, Mesir, Iran, Pakistan, Singapura dan lainlain.37 Beliau telah mengatur program untuk mengeratkan hubungan qurrā Malaysia dengan qurrā luar negara melalui program ziarah atau lawatan. Cara ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara qurrādari negara-negara lain malah menjadikan Malaysia semakin dikenali pada peringkat antarabangsa.38 Dalam masa yang sama, beliau telah dilantik sebagai Jawatankuasa Persatuan qurrā antarabangsa yang berpusat di Baghdad dan Iraq dengan memegang jawatan penting iaitu sebagai Timbalan Pengerusi Jam’iyyah al-Qurrā wa al-Mujawwidīn daripada tahun 1975-1980.39

4.   Tenaga Pengajar alaqah-alaqah

Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari mencurahkan ilmu al-Quran dengan mengajar kepada masyarakat semenjak tahun 1959 hingga sekarang. Beliau biasanya menyumbang ilmu al-Quran dengan mengajar kelas-kelas atau alaqah-alaqah yang diadakan di surau-surau, masjidmasjid, rumah-rumah orang perseorangan dan di rumahnya sendiri. Pengajaran beliau disampaikan kepada pelbagai peringkat masyarakat termasuk penduduk kampung, pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, golongan profesional seperti guru, pensyarah, jurutera dan sebagainya.

Dalam menyampaikan ilmu al-Quran, beliau menggunakan kaedah tersendiri supaya masyarakat mudah menerima dan memahaminya. Menurut beliau, masyarakat ada tahap-tahap pembacaan al-Quran yang berbeza, jadi kaedah mengajar mestilah mengikut kesesuaian tahap ilmu masyarakat masing-masing.

Kebiasaannya, beliau menggunakan kaedah talaqqī dan mushāfaah40 iaitu anak-anak muridnya berhadapan dengan beliau seorang demi seorang memperdengarkan bacaan mereka dan beliau terus menegurnya jika ada kesilapan.41

5.   Penceramah di Masjid-masjid dan Surau-surau.

Masjid-masjid adalah tempat Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari mencurahkan segala ilmu yang dimilikinya kepada masyarakat. Boleh dikatakan kebanyakannya beliau menyampaikan ceramah atau kuliah mengenai bidang al-Quran seperti kelebihan al-Quran, ilmu tajwid,42 tarannum 43 dan qirāāt 44 terutama di seluruh negeri Selangor dan Kuala Lumpur. 45 Terdapat masjid dan surau yang mana beliau sering menyampaikan ceramah seperti Masjid Jamek Sultan Sulaiman Alauddin Shah di Klang Selangor, Masjid al-Ghufran di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur, Madrasah Ittifaqiyah di Keramat Hujung, Dato’ Keramat Kuala Lumpur dan sebagainya.46

6.   Pembentang Kertas Kerja Dalam Kursus dan Seminar

Selain mengadakan kelas-kelas pengajian al-Quran, beliau juga diundang untuk membentang kertas kerja dalam kursus-kursus dan seminar-seminar. Di sini juga beliau dapat menyumbang dan menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat khususnya kepada peserta-peserta yang hadir. Kebanyakan kertas kerja yang dibentang oleh beliau adalah dalam bidang tarannum dan tajwid.47 Keterlibatan beliau dalam program-program pengajian al-Quran ini melahirkan anak murid yang bergelar qari dan qariah yang ramai.48 Beliau membentangkan kertas kerja kepada organisasi-organisasi agama pada peringkat negeri-negeri seperti membentang kertas kerja dalam khusus imam-imam, khatib dan ketua jabatan tahun 2001 dan 2004 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kursus Imam-Imam Wilayah Persekutuan tahun 1989 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI). 

Beliau turut membentang kertas kerja dalam Kursus Guru-guru Kualiti Johor pada tahun 2002 anjuran Jabatan Agama Islam Johor (JAIL) dan membentang kertas kerja dalam bengkel bilal, imam dan khatib anjuran jamāah al-qurrāSingapura pada tahun 2002.49 Kemudian beliau juga diberi kepercayaan oleh pihak Kerajaan Malaysia untuk membentangkan kertas kerja kepada para hakim tilawah al-Quran peringkat kebangsaan iaitu kursus tentang kaedah-kaedah penghakiman dalam tilawah al-Quran. Antara kertas kerja yang dibentangkan beliau ialah aspek dan teknik penghakiman majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dalam Muzakarah Hakim Tilawah alQuran Peringkat Kebangsaan 2003 JAKIM.50

Begitu juga beliau telah memberi kursus kepada peserta-peserta tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan memberi penerangan tentang kaedah-kaedah dan cara-cara penghakiman di Malaysia. 51

Terdapat banyak kertas kerja yang dibentang oleh beliau bermula daripada tahun 1995 hinggalah sekarang ini. Antaranya seperti:52

(1)    “Ahammiyyah Qirāāh al-Qurān bi Luḥūn al-Arab. Seminar al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Kedua pada 1 Ogos 2010 di Dewan Muktamar Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI).

(2)   Muzakarah Tarannum al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 15-8 Mac 2004 anjuran Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

(3)   Aspek dan teknik penghakiman majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dalam Muzakarah Hakim Tilawah alQuran Peringkat Kebangsaan 2003 Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

(4)   Kursus kepada peserta-peserta tilawah peringkat antarabangsa dengan memberi penerangan tentang kaedah-kaedah dan caracara penghakiman di Malaysia.

(5)   Kursus Tasīn Qirāāt Peringkat Negeri Selangor pada 25-27 April 2000.

(6)   Kursus Tasīn Qirāāt al-Quran Peringkat Kebangsaan daripada tahun 1992 hingga 2004 anjuran Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

7.   Pembimbing Qari dan Qariah

Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari telah mencurahkan segala bakti dan ilmunya dengan membimbing qari-qariah Malaysia yang akan menyertai majlis tilawah al-Quran ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa terutamanya qari dan qariah dari negeri Selangor.

Kerajaan Malaysia memberi kepercayaan kepada beliau untuk melatih qari dan qariah yang menyertai tilawah al-Quran ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa setiap tahun bermula tahun 1959 sehingga sekarang.53 Beliau bukan sahaja pembimbing qari dan qariah Malaysia malah kerajaan Malaysia memberi kepercayaan kepada beliau untuk membimbing qari dan qariah dari luar negara yang mewakili negara mereka masing-masing dalam majlis tilawah alQuran peringkat antarabangsa di Malaysia.54 Ini adalah kerana beliau mempunyai kehebatan dalam berbahasa Arab. Antara lain, beliau juga merupakan seorang ahli panel pembimbingan kursus Tasīn al-Quran dan kursus Tahfiz al-Quran Petronas pada 25 November 2004.55

8.   Ahli Lembaga Tasīn al-Quran

Merujuk kepada kemahiran Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari dalam bidang al-Quran, beliau telah dipertanggungjawabkan untuk menyemak mushaf al-Quran yang dicetak di Malaysia atau di luar Malaysia. Tugasnya ialah untuk memastikan ketepatan al-Quran dengan mushaf al-Quran rasm Uthmānī. Maka dengan tugas itu, beliau telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Tasīn al-Quran Kementerian Dalam Negeri dari tahun 1985 hingga 2004.

9.   Tenaga Pengajar di Media Massa

Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari merupakan tenaga pengajar dimedia massa. Pengajarannya melalui televisyen, radio dan penerbitan elektronik bermula pada tahun 1960 hingga 2000. Banyak rakamanrakaman telah dibuat semata-mata untuk mengembangkan ilmu beliau kepada masyarakat. Antara rakaman-rakaman beliau: 56

a.  1960-1998 - 400 siri pelajaran al-Quran di radio RTM
b.  1979-1984 - 400 siri pelajaran al-Quran di televisyen RTM
c.  1990 - 45 siri VCD pelajaran al-Quran

10.   Pakar Rujuk

Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari telah berkecimpung dalam bidang alQuran sejak bepuluh-puluh tahun hinggalah sekarang. Pengalaman ini menjadi beliau pakar rujuk dan sumber rujukan masyarakat di Malaysia dalam semua bidang al-Quran seperti tarannum, tajwid, qirāāt, rasm Uthmānī dan lain-lain.

Terdapat pelbagai golongan yang datang merujuk kepada beliau. Ada antaranya golongan mahasiswa-mahasiswa universiti luar negara seperti pelajar-pelajar Mesir, Jordan, Madinah dan Indonesia. Mahasiswa dalam Malaysia pula seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lain-lain. Terdapat juga
golongan qari dan qariah sendiri yang mewakili negeri masing-masing merujuk kepada beliau. Manakala dalam kalangan orang-orang awam, terdapat juga para ulama, pensyarah, ustaz, penulis dan pengkaji yang menjadikan beliau sebagai sumber rujukan.

KESIMPULAN

Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari merupakan antara tokoh al-Quran yang terulung di Malaysia. Tanggungjawab menyebarkan ilmu alQuran kepada masyarakat tidak mengenal jemu sehingga ke peringkat umurnya melewati lebih 80 tahun. Dengan pengorbanan beliau dalam menyebarkan ilmunya kepada masyarakat telah membuka lembaran baru dalam pengajian al-Quran. Inilah antara sumbangan beliau yang besar khususnya kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Nota kaki:

1 Khalid b. Isa, calon Ph.D di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian
Islam Univsiti Malaya (UM) Kuala Lumpur.
2 Muhammad Lukman b. Ibrahim, (Ph.D), Penyelaras dan Pensyarah Prog.
Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur.
3 Sumbangan bermaksud sesuatu yang diberikan sebagai bantuan, sokongan atau
pertolongan. Lihat Noresah bt. Baharom (2002), Kamus Bahasa Melayu, ed. 2, Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd., h. 189.
4 Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari, Temu bual pada 24 November 2008.
5 Hjh. Maimunah bt. Abd Ghani iaitu isteri tokoh. Temu bual pada 17 November
2008.
6 Kampung Syu’ib ‘Amir merupakan sebuah kampung yang terletak berhampiran
dengan Masjid al-Haram dan bersebelahan kampung Syu’ib ‘Ali iaitu tempat kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
7 Temu ramah dengan Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari, op. cit. 8 Ibid.
8 Ibid
9 Abd Rauf Hassan & Wan Norainawati Wan Hamzah (2007), Biografi Dato’ Haji
Hassan Azhari, Kuala Lumpur: Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
h. 9.
10 Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari, op. cit.
11 Lihat http://www.alquran.gov.my/tilawah/sejarah.
12 Ibid.
13 Ibid.
14 Ibid.
15 Ibid.
16 Hjh. Maimunah bt. Abd Ghani, isteri tokoh. Temu bual pada 24 November
2008.
17 Abd Rauf Hassan & Wan Norainawati Wan Hamzah (2007), op. cit., h. 52 - 53.
18 Ustaz Karim Bahagian Urusetia Antarabangsa Putrajaya. Temu bual pada 17
Februari 2009.
19 Us. Jamari b. Muhammad. Temu bual pada 10 September 2009.
20 Ibid.
21 Makhṭūṭāṭ ialah kitab atau nas yang ditulis dengan tangan yang belum dicetak.
22 Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari. op.cit., lihat juga Abd Rauf Hassan & Wan
Norainawati Wan Hamzah (2007), op.cit., h. 131-135. 
23 http://www.kedah.gov.my/kedah/isi.asp. Lihat juga Tan Sri Dato’ Haji Hassan b.
Haji Azhari, op. cit.
24 Tan Sri Dato’ Haji Hassan b. Haji Azhari. Temu bual pada 13 Mac 2009.
25 Ibid.
26 Ibid.
27 Ibid.
28 Berita Harian: Isnin, 17 September 2001, h. 25.
29 Ibid.
30 Abd Rauf Hassan & Wan Norainawati Wan Hamzah (2007), op.cit., h. 75
31 Ibid. 
32 Ibid. 
33 Tan Sri Dato’ Haji Hassan b. Haji Azhari, op. cit. 
34 Ibid. 
35 Ibid
36 Qurrā bermaksud para qari dan qariah. 
37 Abd Rauf Hassan & Wan Norainawati Wan Hamzah (2007). op.cit. h. 104-105. 
38 Ibid. 
39 Ibid.
40 Perkataan talaqqī bermaksud guru membaca ayat-ayat al-Quran dan pelajar
mendengarnya dengan penuh teliti. Mushāfaah pula bererti sebutan yang diambil
dari pergerakan dua bibir mulut guru. Lihat ‘Abd al-Salām Muqbil al-Majīd (1421H/
2000M), Talaqqī al-Nabī Alfāz al-Qurān al-Karīm: Bayrūt: Muassasah al-Risālah, h.
129. 
41 Tan Sri Dato’ Haji Hassan b. Haji Azhari, op. cit. 
42 Tajwid dari segi bahasa bermaksud memperelokkan bacaan. Dari segi istilah pula iaitu mengeluarkan setiap huruf-huruf al-Quran dari makhrajnya di samping memberi hak-hak huruf dan sifat-sifatnya (sifat jahr, syiddah, isti’la’ dan lain-lain). Lihat Su’ad ‘Abd al-amīd (2003), Taysīr al-Ramān fī Tajwid al-Qurān, al-Qāhirah: al-Azhar al-Sharīf, h. 25.
43 Tarannum merupakan suatu ilmu yang membincangkan tentang lagu-lagu dalam
bacaan al-Quran dengan suara yang merdu dan elok didengar dan tidak melanggar
kaedah-kaedah hukum tajwid. Lagu-lagunya seperti bayati, hijaz, rast, sikah dan lainlain. Lihat Norakyairee Mohd Raus & Adnan Mohamed Yusoff (2008), Pengajaran
Ilmu Tarannum al-Quran, c. 1, Kuala Lumpur: Meteor Doc, Sdn. Bhd., h. 2. 
44 Menurut Imam al-Jazarī: Qirāāt ialah suatu ilmu tatacara mempraktikkan
kalimah-kalimah al-Quran dan perbezaannya yang disandarkan kepada perawiperawinya. Lihat Ibn al-Jazarī, Shams al-Dīn Abū al-Khayr Muammad b. Muammad (t.t), Munjid al-Muqri’īn, al-Qāhirah: Maktabah al-Quds, h, 13. 
45 Tan Sri Dato Haji Hassan b. Haji Azhari, op. cit. 
46 Ibid.
47 Dr. Abdul Rauf b. Haji Azhari, anak tokoh. Temu bual ada 16 Januari 2009.
48 Tan Sri Dato’ Haji Hassan b. Haji Azhari. op. cit. Temu bual pada 30 Disember
2009.
49 Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2006), Biografi Tokoh
Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, Kuala Lumpur: Jabatan Agama Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM), h. 445.
50 Tan Sri Dato’ Haji Hassan b. Haji Azhari. op. cit.
51 Ibid.
52 Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Azhari, op.cit,. Lihat Abd Rauf Hassan & Wan
Norainawati Wan Hamzah (2007), op. cit. h. 87-88 dan 91. Lihat juga Tan Sri Dato’ Hj.
Hassan b. Hj. Azhari, (2010), “Ahammiyyah Qirāah al-Qurān bi Luḥūn al-Arab.
(Kertas Kerja Seminar al-Quran Peringkat Kebangsaan kali kedua sempena Majlis
Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-52, 1 Ogos 2010).
53 Ibid.
54 Ibid.
55 Ibid.

56 Abd Rauf Hassan & Wan Norainawati Wan Hamzah (2007). op.cit., h. 66.


 TESTIMONIAL

KUALA LUMPUR: "Abuya nak sujud," itu merupakan permintaan terakhir Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari sebelum keadaan kesihatannya merosot pada Sabtu lepas.

Anak Allahyarham, Datuk Mohd Zain Hassan berkata selepas Allahyarham meminta untuk sujud beliau sudah tidak boleh bercakap dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur keesokan harinya untuk mendapatkan rawatan.

"Saya dan abang Abdul Rahman bantu arwah untuk sujud dalam 15 minit... arwah kata dia minta ampun kepada Allah dan bersyukur umur dia panjang, ada keluarga dan anak yang baik.
Itulah permintaan terakhir arwah kepada kami sebelum tidak boleh bercakap pada hari Ahad," katanya kepada pemberita di kediaman bapanya di Keramat, di sini hari ini.

Hassan, 90, tokoh agama terkenal negara meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Zain berkata mereka sekeluarga mula mengetahui mengenai penyakit kanser bapanya pada Ogos lepas.

"Arwah ada demam sebelum kelenjarnya bengkak... selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan arwah mengidap kanser. Sebelum ini arwah tidak menunjukkan simptom menghidapi kanser," katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd.

Allahyarham, yang juga bapa kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan mempunyai 22 anak termasuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang telah meninggal dunia pada Disember 2014.


Image result for ustaz tan sri hassan azhari
Almarhum menyiram air ke pusara anakandanya Fuad (Dis 2014)

Jenazah akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam kira-kira pukul 9 pagi esok sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, katanya.

Jenazah Hassan Azhari selamat dikebumikan 
Khairul Azran Hussin
khaiazr@nstp.com.my

JENAZAH tokoh agama, Tan Sri Hassan Azhari selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Shah Alam, 9.40 pagi, hari ini (7 Okt 18).

Allahyarham yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser linfoma, meninggal dunia petang semalam, pada usia 90 tahun.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah berkenan berangkat ke pengebumian itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarham.

Allahyarham ialah pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM, selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.


Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Image result for ustaz tan sri hassan azhari selamat dikebumikan
Image result for ustaz tan sri hassan azhari selamat dikebumikan

Allahyarham Hassan dikebumikan di Makam Diraja atas jasa dalam bidang al-Quran
MOHD. YUNUS YAKKUB
07 Oktober 2018 1:06 PM

Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) menyiram air mawar di atas pusara Allahyarham Hassan selepas selesai pengkebumian di Makam Di raja Shah Alam hari ini. - Foto oleh Bernama

SHAH ALAM - Jenazah tokoh Qari negara, Tan Sri Hassan Azhari dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di sini sebagai tanda penghormatan terakhir atas jasa dan sumbangan Allahyarham khususnya dalam pengajian al-Quran di negara ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengebumian jenazah di makam berkenaan adalah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri.

Katanya, Allahyarham Hassan juga merupakan guru agama kepada kerabat Istana Selangor sejak zaman nenda, ayahanda dan Tuanku sendiri.

"Berikutan jasa tersebut, Sultan Sharafuddin memberi perkenan supaya Allahyarham dikebumikan di sini sesuai dengan sumbangan arwah kepada negara.

"Saya mewakili rakyat Selangor turut mengucapkan takziah atas pemergiaan Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ahli keluarga diberikan kesabaran menghadapi ujian ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di sini hari ini.

Allahyarham Hassan merupakan individu yang melaungkan azan semasa perasmian Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Mac 1988 selain semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham dikurniakan beberapa anugerah dan penghormatan termasuk dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2002 dan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang pada 2014.

Allahyarham Hassan juga merupakan hakim Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara dan di peringkat antarabangsa dengan turut menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai dan Brunei.

Mengulas lanjut, Amirudin menyifatkan pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar dalam bidang keagamaan di negara ini.


"Ini jelas apabila tokoh agama itu amat aktif berdakwah terutama pada awal pembabitannya menerusi rancangan televisyen Muqadam tidak dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia," jelasnya. - K! ONLINE


No comments:

Post a Comment