Sunday, October 14, 2018

M 193 POLITIK MALAYSIA SELEPAS 100 HARI PRU 14

PADA 17 OGOS 2018, GENAPLAH 100 HARI PEMERINTAHAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN YANG MENUMBANGKAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL DALAM PILIHANRAYA UMU KE 14 PADA 9 MEI 2018.

Adakah Kerajaan PH telah berjaya memenuhi segala janjinya yang termaktub dalam MANIFESTO PAKATAN HARAPAN?




100 Hari Kerajaan PH: Teks Ucapan Tun Dr Mahathir
Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2018 8:30 PM

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua rakyat Malaysia.

Lebih 100 hari yang lalu kita berusaha untuk menukar Kerajaan Barisan Nasional yang dikenali dunia sebagai sebuah kleptokrasi iaitu sebuah kerajaan pencuri. Berkat semangat rakyat yang begitu kuat kerajaan kleptokrasi ini dikalahkan, sesuatu yang dianggap sukar dan tidak mungkin berlaku.Sesungguhnya kejayaan rakyat amatlah besar dalam sejarah politik Malaysia.

Kejayaan ini pasti akan tercatat di dalam lipatan sejarah negara sebagai satu kemenangan rakyat yang tidak ada tolok bandingannya.Ada yang anggap kemenangan ini sebagai “miracle” atau keajaiban. Lebih-lebih lagi apabila ia dicapai tanpa pertumpahan darah ataupun pertembungan antara rakyat dengan pihak berkuasa seperti yang kita saksikan di serata dunia.

Namun setelah kalah BN masih cuba mengeruhkan keadaan dengan memainkan politik perkauman dan agama, bahkan cuba mengheret kedudukan Raja-Raja supaya menimbulkan kebencian terhadap Kerajaan Pakatan Harapan.

Setiap pelantikan ke jawatan penting dalam Kerajaan dicemuh dari kaca mata bangsa dan agama. Mereka lupa apabila mereka melantik pegawai, yang diutamakan ialah sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti mereka.Undang-undang yang mereka cipta bertujuan menjadikan mereka kebal dan menekan musuh mereka tanpa alasan.

Akhbar dan media kepunyaan mereka diguna untuk menutup salah laku dan pembohongan mereka. Setelah Pakatan Harapan ambil alih kerajaan, kita dapati kerosakan yang dilakukan oleh mereka jauh lebih buruk dari yang disangka oleh kita.

Semua jabatan dihasut dan diperguna oleh mereka untuk membuat kerja parti mereka dan bukan pentadbiran negara dengan baik. Hutang mereka berjumlah trilion Ringgit, angka yang tidak pernah kita dengar dahulu. Namun dengan sombongnya mereka nafi yang mereka melakukan kerosakan ini. Dengan tidak merasa malu mereka mengaku wang berjuta Ringgit yang dikesan adalah untuk parti mereka.

Bagaimana mereka boleh ada sebegitu banyak wang tidak dijelaskan.Secara langsung juga kita menamatkan falsafah “cash is king” atau pun wang itu raja. Wang hanya menjadi raja kalau memiliki jumlah yang besar. Untuk parti politik mendapat wang yang sebegini banyak, tidak ada jalan lain dari mencuri.Beban yang besar yang ditinggal oleh pemerintah dahulu ialah hutang bertrillion Ringgit.

Untuk membayar faedah sahaja boleh jadi kita muflis. Apatah lagi dengan bayaran hutang pokok.Kalau hendak cerita tentang kesalahan pemerintah dahulu, masa berhari-hari  diperlukan. Oleh itu kita akan tumpukan kepada tindakan memenuhi janji dalam manifesto kita.

Kita bermula dengan menghapuskan GST. Tetapi untuk membawa balik Sales and Service tax memerlukan kelulusan oleh Parlimen. Proses mendiri Kerajaan dan persidangan Parlimen mengambil masa. Sementara SST menunggu kelulusan Parlimen, maka cukai SST tidak dapat dikutip. Dengan itu harga kereta dan lain-lain menurun dan rakyat menikmati keadaan jual murah.

Walaupun demikian proses di mula untuk menunaikan janji-janji yang lain.Harga petrol biasa dikekalkan melainkan RON97 yang kurang diguna.Skim KWSP untuk suri rumah bermula pada 15 Ogos 2018.Kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing telah dimulakan.

Pelaksanaan projek kereta api laju High Speed Rail (MyHSR) telah ditangguhkan pada 30 Mei 2018.Pelaksanaan Mass Rapid Transit (MRT) Fasa 3 dibatalkan pada 30  Mei 2018;Projek kereta api East Coast Rail Link (ECRL) telah ditangguhkan  pelaksanaannya pada 3 Jun 2018;Projek Multi Product Pipeline (MPP) dan Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) telah ditangguhkan pada 5 Julai 2018.

Menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum beransur-ansur dalam masa 5 tahun telah bermula. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

Memorandum Jemaah Menteri berkaitan perkara ini sedang disediakan. Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji tidak dilaksana kerana siasatan pelbagai agensi sedang dijalankan dan mahkamah akan tentukan keputusan kes.

- Siasatan ke atas 1MDB oleh Pasukan Khas telah dimulakan   sejak 21   Mei 2018; - Siasatan ke atas Felda, Mara dan Tabung Haji juga telah dimulakan; - Kepimpinan 1MBD telah dirombak sejak 28 Jun 2018; dan  - Kepimpinan Felda dan Tabung Haji telah dirombak  sejak 14 Mei  2018.

Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 telah dipersetujui dan akan dibentuk.Berkaitan pinjaman PTPTN pemansuhan senarai hitam telah bermula pada 24 Mei 2018 hingga 8 Jun 2018 melibatkan seramai 429,945 peminjam.

Selain itu, jumlah pelajar cemerlang yang diberi diskaun atau lupus hutang sehingga 31 Mei 2018  ialah seramai 51,272 peminjam melibatkan amaun sebanyak RM1.56 bilion.

Di dalam usaha menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda terdapat 3 mekanisme yang dikenal pasti iaitu: a) insentif pelupusan sebahagian hutang tanam semula yang ekstrem melalui penyediaan dana sebanyak RM300 juta untuk 5 tahun; b) pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang bersama sistem Felda melibatkan 90,418 peneroka dengan kos sebanyak RM452 juta; dan c) insentif pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV melibatkan 77,972 peneroka dengan kos sebanyak RM103 juta.

Inilah kemajuan berkenaan 10 janji asas 100 hari dalam manifesto. Satu lagi yang berjaya diselesaikan dalam tempoh 100 hari ialah janji untuk menyelesaikan masalah kerakyatan kaum India dan kaum lain yang memegang kad pengenalan merah berumur 60 ke atas sedang dilaksanakan. Bagi kaum India, hampir 3,500 orang akan diberi kad pengenalan biru.

Selain dari janji manifesto dalam tempoh 100 hari, beberapa perkara lain yang di capai memperlihatkan pendekatan yang holistic atau lebih menyeluruh yang telah dilaksanakan.

Antara lain, pelantikan Datuk Seri Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Ini memperlihatkan kesediaan parti pemerintah diteliti oleh ahli pembangkang.

Laporan Auditor General mengenai 1MDB tidak lagi diletakan di bawah Akta Rahsia Rasmi seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Kerajaan ini mengamal Kerajaan terbuka dan tidak akan sembunyi laporan jenayah oleh sesiapa, termasuk anggota Kabinet.

Kami juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa untuk mereformasikan institusi-institusi yang menjadi tunggak Negara dan sukacita saya melaporkan hampir 300 cadangan yang diusulkan oleh jawatankuasa itu telah diterima.Kami juga telah berjaya mendapatkan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang telah kami janjikan.

Badan-badan pencegah rasuah dan integriti negara telah diperkukuhkan. Semua anggota Kerajaan dan wakil rakyat perlu isytihar harta.Kerajaan telah merealisasikan 21 janji atau 35 peratus daripada 60 janji dalam manifesto Pakatan Harapan  untuk membebaskan Malaysia daripada isu  rasuah dan menentukan tadbir urus yang baik.

Usaha ini memerlukan satu rancangan bersepadu yang drastik dan menyeluruh. Komitmen Kerajaan mencapai prinsip mahu Malaysia dikenali kerana integriti, dan bukannya kerana rasuah. Antara perkara yang telah dilaksanakan setakat ini, termasuklah:

(1)   Mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR).

(2)   Menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) bagi membolehkan usaha menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan serta menyeluruh. GIACC diberi mandat untuk mengadakan pertemuan dengan kesemua Ketua Setiausaha Kementerian bagi mengenal pasti risiko ancaman rasuah berdasarkan isu-isu yang telah dikenal pasti oleh organisasi masing-masing. Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan dikehendaki secara peribadi memikul tanggungjawab dan berbincang dengan GIACC bagi melakar pelan tindakan untuk mengatasi masalah atau isu yang dikenal pasti.

(3)   Menggubal Pelan Anti Rasuah Nasional bagi membolehkan isu-isu governans, integriti dan antirasuah ditangani secara menyeluruh.

(4)   Satu undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai-pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran kepada dana Kerajaan akan digubal bagi tujuan ini.

(5)   Bagi membanteras politik wang, Rang Undang-undang Pembiayaan Politik sedang digubal. Sebuah pasukan khas yang diketuai oleh GIACC telah dibentuk untuk mengemukakan draf akta pembiayaan politik kepada Kabinet.

(6)   Satu dasar mengenai pemberian hadiah dan derma kepada anggota pentadbiran awam (melibatkan menteri sehingga setiausaha-setiausaha politik) sedang digubal. Pada masa sekarang, dasar ini hanya memfokuskan kepada penjawat awam.

(7)   Kerajaan telah memutuskan agar Anggota Pentadbiran (menteri dan timbalan menteri) tidak lagi mengeluarkan Surat Sokongan ke atas mana-mana projek atau urusan permohonan. Ketua jabatan juga diminta tidak lagi menganggap surat sokongan sebagai arahan atau keputusan Anggota Pentadbiran.

Rujukan: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/08/17/100-hari-ph/#KwIjAYlpstJ5o3oO.99

Antara peristiwa POLITIK yang berlaku selepas PRU14 (9 MEI 18) sehingga 17 OGOS 18

(1)   MP Bagan Serai (P058) yang memenangi kawasan itu dalam PRU14 mewakili BN, Datuk Dr Noor Azmi bin Ghazali telah mengumumkan keluar dari UMNO pada 24 Jun 2018 menjadi Ahli Parlimen BEBAS.

Image result for Datuk Dr Noor Azmi bin Ghazali

(2)   MP Parit Buntar (P059) yang memenangi kawasan itu dalam PRU14 mewakili BN, Datuk Syed Abu Husin Hafiz bin Syed Fasal telah mengumumkan keluar dari UMNO pada 27 Jun 2018 menjadi Ahli Parlimen BEBAS.



(3)   MP Masjid Tanah (P134) yang memenangi kawasan itu dalam PRU14 mewakili BN, Datuk Mas Ermieyati bt Shamsudin  telah mengumumkan keluar dari UMNO pada 1 Jul 2018 menjadi Ahli Parlimen BEBAS. Mas Ermieyati adalah mantan Timbalan Menteri Pelancongan dalam Kerajaan BN.



(4)   Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) SG KANDIS (N49 - Selangor) dilaksanakan pada  4 Ogos 2018 lanjutan dari kematian penyandang kerusi DUN, Mat Suhaimi bin Shafiei (akibat lympathic cancer) pada 2 Jul 2018. Calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni telah memenangi PRK tersebut dengan majoriti 5,842 dengan mengalahkan Datuk Lokman bin Noor Adam (BN-UMNO) dan K. Murthy (BEBAS).


Image result for Mat Shuhaimi bin Shafiei   

Peristiwa POLITIK yang berlaku selepas 17 OGOS 18

(5)   Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) BALAKONG (N27 - Selangor) dilaksanakan pada  8 Sep 2018 lanjutan dari kematian penyandang kerusi DUN, Eddie Ng Tian Chee (kemalangan jalan raya) pada 2 Jul 2018. Calon PH (DAP), Wong Siew Ki telah memenangi PRK tersebut dengan mengalahkan Tan Chee Teong (BN-MCA) dengan majoriti 18,533.


  

(6)    Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) SERI SETIA (N32 - Selangor) dilaksanakan pada  8 Sep 2018 lanjutan dari kematian penyandang kerusi DUN (N32), Dr Shaharudin bin Badaruddin (kanser usus) pada 2 Jul 2018. Calon PH (PKR), Halimey bin Abu Bakar telah memenangi PRK tersebut  dengan mengalahkan Dr Halimah bt Ali (PAS) dengan majoriti 4,027.
  
  Image result for halimey abu bakar

(7)   YB Dato' Seri Mustapha bin Mohamed, MP Jeli (P030) yang memenangi kawasan itu dalam PRU14 mewakili BN telah mengumumkan keluar dari UMNO dan menjadi ahli BEBAS pada 18 Sep 2018. Mustapha adalah mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian dalam Kerajaan BN. Mustapha kemudiannya secara rasmi menyertai Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (PPBM) pada 26 Okt 2018.



(8)   YB Datuk Seri Mohd Anifah bin Aman, MP Kimanis (P176) yang memenangi kawasan itu dalam PRU14 mewakili BN telah mengumumkan keluar dari UMNO dan menjadi ahli  BEBAS pada 19 Sep 18. Anifah adalah mantan Menteri Luar dalam kerajaan BN.



(9)   Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Parlimen PORT DICKSON (P132) telah dilaksanakan pada  13 Okt 2018 lanjutan dari perletakan jawatan penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Danyal Balagopal bin Abdullah (PH-PKR) pada 12 Sep 2018. Calon PH (PKR), Dato Seri Anwar bin Ibrahim telah memenangi PRK tersebut dengan majoriti 23,580 setelah mengalahkan 6 calon iaitu  Leftenan Kolonel Mohd. Nazari Mokhtar  (Bersara)(PAS), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (Bebas), Mohd. Saiful Bukhari Azlan (Bebas), Stevie Chan Ken Leong (Bebas), Kan Chee Yuen (Bebas) dan Lau Seck Yan (Bebas).


  

(10)   MP Labuan (P166), YB Rozman bin Isli telah mengumumkan keluar dari UMNO pada 11 Okt 2018 menyertai Parti WARISAN Sabah.


Image result for YB Rozman bin Isli

(11)   Sesi kedua Sidang Parlimen ke 14 bermula pada 15 Okt 2018. Dato' Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen mewakili kawasan Port Dickson. Sesi kali ini juga melakar sejarah apabila tiga sekeluarga ada dalam satu sidang Parlimen apabila isteri Anwar, Dato' Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail mewakili kawasan Pandan (Selangor), manakala anaknya Nurul Izzah binti Anwar mewakili kawasan Permatang Pauh. Kawasan Parlimen Permatang Pauh juga pernah diwakili oleh Anwar (1982 - 1999 dan 2008 - 2015) dan Wan Azizah (1999 - 2008 dan 2015 - 2018). 

(12) Perdana Menteri membentangkan Laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK 11 di Parlimen pada 18 Okt 2018.


(13)   MAHKAMAH Tinggi Seremban pada 16 November telah memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah. Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Azimah Omar yang mengarahkan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan serta merta di kerusi itu yang sebelum ini dimenangi oleh Mohamad tanpa bertanding. Petisyen ke atas kerusi DUN Rantau difailkan oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. S. Streram yang juga calon PKR bagi kerusi itu pada 23 Mei lalu. Pada 28 April 2018, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub berikutan Streram gagal menghantar borang penamaan calon. Streram gagal menghantar borang penamaan calon selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Berikutan itu, Streram memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan PRU-14 bagi kerusi DUN Rantau di Mahkamah Tinggi Seremban pada 23 Mei 2018.


(14)   MAHKAMAH Pilihan Raya telah mengisytiharkan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, Mei lalu, yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional, adalah terbatal dan tidak sah. Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujudnya amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh. Dalam penghakimannya, Azizah berkata, beliau berpandangan bahawa pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Image result for sivarajah cameron highlands

(15)   12 Dis 2018, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 Wakil Rakyat dan 21 Ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Secara keseluruhan, 9 ADUN, 5 Ahli Parlimen, 2 Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah bertindak meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak menyertai mereka.

Senarai pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti:

Ahli Parlimen

1. YB Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.
2. YB Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat) - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.
3. YB Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.
4. YB Datuk Zakaria Edris (Libaran) - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.
5. YB Yamani Hafez bin Musa (Sipitang)

ADUN

1. YB Datuk Hajiji Noor (Sulaman) - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.
2. Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.
3. Datuk Isnin Alias (Klias)
4. Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang)
5. Matbali Musah (Lumadan)
6. Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas)
7. Datuk Mohd Ariffin Arif (Membakut)
8. Datuk Musbah Jamli (Tempasuk)
9. Datuk Japlin Akim (Usukan)

Ahli Dewan Negara mewakili UMNO Sabah

1. Senator Datuk John Ambrose - Ketua Bahagian Penampang - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.
2. Senator Datuk Abdul Ghani Yassin - Ketua Bahagian Pensiangan - menyertai PPBM pada 15 Mac 2019.

Pemimpin UMNO Negeri yang lain


1. Tan Sri Pandikar Amin Mulia - Ketua Penerangan UMNO negeri
2. Datuk Seri Salleh Said Keruak - Ketua Bahagian Kota Belud - tanding Parlimen Kota Belud
3. Datuk Ramlee Marahaban - Ketua UMNO Semporna - tanding Parlimen Semporna
4. Datuk Sapawi Ahmad - Ketua UMNO Sipitang - tanding DUN Sindumin
5. Datuk Sairin Karno - Ketua UMNO Keningau - tanding DUN Liawan
6. Datuk Abdul Rahim Ismail - Ketua UMNO Papar - tanding DUN Pantai Manis


(16)   14 Disember 2019, ENAM lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini. Mereka ialah:

(1)   Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.
(2)   Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
(3)   Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
(4)   Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
(5)   Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh.
(6)   Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

(16) Pada 26 Jan 2019. Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Parlimen CAMERON HIGHLAND (P078) telah dilaksanakan lanjutan dari keputusan Mahkamah Pilihanraya pada 5 Disember 2018 yang mengisytiharkan kemenangan calon BN, C. Sivarajah dibatalkan kerana terlibat dengan amalan rasuah semasa berkempen. Calon BN, Ramli bin Mat Noor telah memenangi PRK tersebut dengan majoriti 3,238 setelah mengalahkan calon PH (M.Manoharan) dan dua calun bebas, Salehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee.



(17) Pada 18 Feb 2019, Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan keputusan Mahkamah Pilihanraya pada 29 Nov 18 yang telah mengisytiharkan keputusan PRU 14 di DUN Rantau, Negeri Sembilan dan membatalkan kemenangan calun BN, Dato Seri Mohammad bin Hassan (BN-UMNO) dan satu pemilihan baru perlu diadakan semula. 


Image result for datuk mohammad hassan

(18) ADUN Semenyih (N24- Selangor), YB Bakhtiar bin Mohd Noor (PH- PPBM) telah meninggal dunia pada 11 Jan 2019. 


  

(19)  Pada 2 Mei 2019.Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi DUN SEMENYIH (N24) telah dilaksanakan pada  lanjutan dari kematian ADUNnya, Bakhtiar bin Mohd Noor (PH-PPBM) pada 11 Jan 2019. Calon BN,  Zakaria bin Hanafi telah memenangi PRK tersebut dengan majoriti 1,914 undi setelah mengalahkan calon PH (Muhammad Aiman bin Zainali) dan dua calun bebas, Nik Aziz Afiq Abdul dan Kuan Chee Hong.


Image result for zakaria hanafi calon bn semenyih

(20)    Pada 28 Mac 2019, Ahli Parlimen Sandakan (P186) yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 65, me­ninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu di sini pada jam 12.15 tengah hari ini




(21)  Pada 09 April 2019, Menteri Besar Johor, YAB Datuk Osman bin Sapian telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai MB Johor kepada Perdana Menteri dan DYMM Sultan Johor.

(22)  Pada 13 April 2019 satu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi DUN RANTAU (N27) telah dilaksanakan lanjutan dari perisytiharan Mahkamah PR pada 18 Nov 2018 yang membatal kemenangan tanpa bertanding calon BN, Dato' Seri Mohamad bin Hassan. Calon BN, Dato Seri Mohammad bin Hassan telah memenangi PRK tersebut dengan majoriti 4,510 undi setelah mengalahkan Dr S. Streram (PH- PKR); Mohd Nor bin Yasin (BEBAS) dan R. Malar (BEBAS).  

Related image


(23)  Pada 14 Mei 2019 YAB Dr Sahruddin bin Jamal, 43 tahun telah dilantik dan menerima watikah sebagai Menteri Besar Johor ke 17 dan seterusnya mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru. YAB Dr Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong dari Pakatan Harapan (Parti Bumiputera Bersatu Malaysia).



(24)  Pada 11 Mei 2019 satu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi PARLIMEN SANDAKAN (P186) telah dilaksanakan lanjutan dari kematian penyandangnya. Calon DAP (PH), Cik Vivian Wong Shir Yee telah memenangi PRK tersebut dengan majoriti 11,521 undi setelah mengalahkan; Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS), Tuan Hj Hamzah Abdullah (BEBAS),  Encik Chia Siew Yung (BEBAS) dan Encik Sulaiman Abdul Samat (BEBAS). Ketiga-tiga calon BEBAS telah hilang wang pertaruhan.



(25)  Pada 21 Sep 2019, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Johor  yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Dr Mohd Farid bin Mohd Rafik telah meninggal dunia di Hospital Pontian jam 0600H, dipercayai akibat penyakit jantung. Allahyarham berusia 42 tahun.



(26)  Pada 16 November 2019 satu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi PARLIMEN TANJUNG PIAI (P165) telah dilaksanakan lanjutan dari kematian penyandangnya. Calon BN  (MCA), Datuk Seri Wee Jeck Seng telah memenangi PRK tersebut dengan majoriti 15,086 undi setelah mengalahkan; Hj Karmaine bin Sardini - PH(PPBM) (10,380), Pn Wendy Subramaniam - Gerakan (1707); Datuk Dr Badrul Hisham Abdul Aziz -BERJASA (850); Dr Ang Chaun Lock - Bebas (380); Pn Faridah Aryani Abd Ghaffar- Bebas (32 undi). Calon Gerakan, BERJASA dan dua calon Bebas telah hilang wang pertaruhan.



(27)   Pada 2 Disember 2019, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Datuk Seri Anifah bin Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis (P176) pada PRU 14) 9 Mei 2018 lalu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Nallini Pathmanathan.sebulat suara menolak rayuan Anifah selepas mendapati Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam membuat penemuan fakta.  

Pada 16 Ogos 2019, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekaligus membenarkan petisyen pilihan raya raya dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) iaitu Karim bin Bujang. Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

(28)  Pada 2 Januari 2020, Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee bin Malek telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri dan telah menghantar surat perletakan jawatan kepada YAB Perdana Menteri. 

(29)  PRK Kimanis (P176) pada 18 Januari 2020.  Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin mengalahkan calon WARISAN, Datuk Hj Karim bin Bujang dengan majoriti 2,029 undi. Mohamad Alamin memperoleh 12,706 undi manakala Karim mendapat 10,677 undi.

PADA 24 FEBRUARI 2020 TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD TELAH MELETAK JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN PENGERUSI PPBM.

25 FEB 2020, TUN DR MAHATHIR DILANTIK MENJADI PERDANA MENTERI INTERIM.
.

PADA 29 FEBRUARI 2020 TAN SRI HJ MUHYIDDIN BIN MOHAMMAD YASSIN DILANTIK MENJADI PERDANA MENTERI MALAYSIA KE 8 DAN MENGANGKAT SUMPAH PADA 1 MAC 2020.

DENGAN INI KERAJAAN "PAKATAN HARAPAN" YANG MEMERINTAH SEJAK 9 MEI 2018 TELAH TUMBANG DAN DIGANTIKAN DENGAN KERAJAAN "PERIKATAN NASIONAL"









No comments:

Post a Comment