Tuesday, July 28, 2015

M 163 TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

TIMBALAN PERDANA MENTERI
MALAYSIA
KESAH LALUAN LURUS DAN BERLIKU


Jawatan TIMBALAN PERDANA MENTERI (TPM) mula diwujudkan dalam pembentukan Jemaah Menteri (Kabinet) pertama Persekutuan Tanah Melayu setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Secara tradisinya pemilihan nama untuk jawatan TPM adalah individu penyandang jawatan Timbalan Yang DiPertua (kini Timbalan Presisen) UMNO ketika itu. UMNO adalah parti teras dalam Kerajaan berasaskan keputusan Pilihan Raya Umum pra- merdeka pada 27 Julai 1955. Perikatan memenangi 51 dari keseluruhan 52 kerusi Parlimen. Agihan kerusi dalam Kerajaan ialah UMNO: 34; MCA: 15; dan MIC: 2. Timbalan YDP UMNO ketika itu ialah Dato' Abdul Razak bin Hussein.

Bagaimanapun, melalui pembacaan penulis dari pelbagai sumber maklumat, perjalanan setiap penyandang jawatan TPM tidaklah semudah yang disangkakan.

TPM adalah pewaris jawatan PERDANA MENTERI (PM), iaitu Ketua Kerajaan Malaysia. Oleh kerana jawatan TPM adalah tangga terakhir untuk menaiki persada pemimpin NOMBOR SATU NEGARA dan ia menjadi impian  dan cita-cita setiap tokoh politik. 

TPM layak menerima panggilan hormat (salutation) Yang Amat Berhormat (YAB), sama seperti Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri. 

Namun POLITIK tetap POLITIK. Walaupun jawatan TPM popupar sebagai Orang No. 2 atau Next-in-linesejak jawatan TPM diwujudkan pada tahun 1957, ia dikatakan menggambarkan dua situasi berikut:

(1)  Jawatan TPM bukanlah kedudukan yang selamat atau telah menjamin penyandangnya menggantikan PM. Ramai yang kecundang, sama ada disingkir, dipintas (sailang) atau mengundur diri menyerah kalah.

(2)  Walaupun TPM dilantik oleh PM, ia juga mengancam kedudukan PM sendiri. Terdapat TPM yang memberi tekanan (secara senyap/taktikal) kepada PM supaya mengundurkan diri.

Mari kita memerhatikan ujian yang dilalui oleh TOKOH yang pernah  menyandang jawatan TPM.

TPM PERTAMA

ALMARHUM TUN DATO' HAJI ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSEIN
(31 OGOS 1957 - 21 SEP 1970)

Tarikh lahir: 11 Mac 1922.
Tempat kelahiran: Pekan, Pahang.
Isteri : Toh Puan Tun Rahah binti Mohamed Noah.
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Lincoln's Inn, London).
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 35 tahun.
Tarikh meninggal dunia: 14 Jan 1976 (pada usia 54 tahun).

Ahli Parlimen: Semantan (1955 - 1959); Pekan (1959 - 1964), (1964 - 1969); (1969 - 1974); dan (1974 - 1976)

Jawatan dalam parti: Ketua Pemuda UMNO (1950); Timbalan Presiden UMNO (1952 - 1970); dan Presiden UMNO (1970-1976).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Menteri Pelajaran (1955 - 1957).
(2)  Timbalan Perdana Menteri (1957 - 1970)
(3)  Menteri Pertahanan (1957 - 1974) dan (1974-1976).
(4)  Menteri Pembangunan Luar bandar (1957 - 1970).
(5)  Menteri Tanah dan Perlombongan (1957 - 1959).
(6)  Menteri Dalam Negeri (1967 - 1969).
(7)  Perdana Menteri (1970 - 1976) .
(8)  Menteri Kewangan (1970 - 1972).
(9)  Menteri Luar (1970 - 1975).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : DMN, DK(Kedah) DKI(Johor) DK(Pahang) DKI(Selangor) DK(Perlis) DK(Kelantan) DK(Terengganu) DK(Brunei) SMN DUK SPMS SIMP DUNM SPMB. 

Nota 1 :  Tunku Abdul Rahman memilih Dato' Abdul Razak (kemudian Tun) sebagai TPM kerana kebolehan, kesetiaan, pengalaman pentadbiran yang luas, dan keyakinan dengan kemampuan Abd Razak, yang masih muda (35 tahun) memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan luar bandar. Selain itu, darah bangsawan Abd Razak akan memudahkan untuk berkomunikasi dengan dengan Raja-Raja Melayu yang mempunyai keistimewaan dan status tersendiri.

Nota 2 :  Selaku TPM, Tun Razak juga dikatakan berfungsi sebagai Prime Minister de facto kerana hampir semua keputusan besar negara dirujuk kepada beliau terlebih dahulu sebelum Tunku membuat keputusan. Malah ramai tokoh-tokoh kanan yang menemui Tunku untuk mendapatkan nasihat dan keputusan telah diarah supaya menemui Tun Razak untu mendapatkan keputusan.


TPM KEDUA

ALMARHUM TUN DATO' DR ISMAIL BIN DATO' ABDUL RAHMAN
(22 September 1970 -  3 Ogos 1973)

Tarikh lahir: 4 Nov 1915. 
Tempat kelahiran: Johor Bahru, Johor.
Isteri : Toh Puan Norashikin binti Mohd Seth.
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Queens College, University of Melbourne.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 55 tahun.
Tarikh meninggal dunia: 03 Ogos 1973 (pada usia 58 tahun).

Ahli Parlimen: Johor Timor (1955 - 1959); (1959 - 1964), (1964 - 1969); dan (1969 - 1973)

Jawatan dalam parti: Timbalan Presiden UMNO (1951, 1957 dan (1970 - 1973); dan Naib Presiden UMNO (1958 - 1967).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Menteri Hasil Bumi (1955 - 1957).
(2)  Wakil Tetap ke PBB bertaraf Menteri (1957 - 1970)
(3)  Menteri Luar (1959 - 1961).
(4)  Menteri Keselamatan Dalam Negeri (1961 - 1964).
(5)  Menteri Dalam Negeri & Menteri Kedilan (1964 - 1967).
(6)  Menteri Dalam Negeri (1969 - 1973).
(7)  Timbalan Perdana Menteri (1970 - 1973) .
(8)  Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1970 - 1973).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : SSM PMN SPMJ. 

Nota:  Tun Razak memilih Tun Dr Ismail sebagai TPM bukan dari kalangan Naib Presiden (NP) UMNO ketika itu ialah: Sardon Jubir, Ghaffar Baba dan Khir Johari. Tun Razak mempunyai kepercayaan yang amat tinggi kepada Tun Dr Ismail kerana sikapnya yang tegas dan menggadaikan jiwa raganya hanya untuk negara.  Sikap ini amat penting untuk membawa negara Malaysia yang masih muda bergerak ke hadapan terutamanya selepas Tragedi 13 Mei 1969.  Jelas, Tun Razak amat kecewa dan amat kehilangan dengan kematian orang harapannya Tun Dr Ismail.

TPM KETIGA

ALMARHUM TUN DATO' SERI HUSSEIN BIN DATO' SIR ONN
(13 OGOS 1973 - 14 JAN 1976)

Tarikh lahir: 12 Feb 1922 (meninggal dunia pada 29 Mei 1990 pada usia 68 tahun)
Tempat kelahiran: Johor Bahru, Johor.
Isteri : Toh Puan Tun Suhailah binti Mohamed Noah.
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Lincoln's Inn, London.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 51 tahun.
Tarikh meninggal dunia: 29 Mei 1990 (pada usia 68 tahun).

Ahli Parlimen: Johor Bahru Timor (1969 - 1974); dan Sri Gading (1974 - 1978) & (1978 - 1981).

Jawatan dalam parti: Ketua Pemuda UMNO (1949), Setiausaha Agong (1950); keluar UMNO (1951 - 1968); Ahli MT (1969 - 1972); Naib Presiden UMNO (1972 - 1973); Pemangku Timbalan Presiden UMNO (1973 - 1975); Timbalan Presiden UMNO (1975 - 1976); Pemangku Presiden UMNO (1976 - 1978); dan Presiden UMNO (1978 - 1981).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Menteri Pelajaran (1970 - 1973).
(2)  Timbalan Perdana Menteri (1973 - 1976) .
(3)  Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1973 - 1974).
(4)  Menteri Kewangan (1974 - 1976).
(5)  Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam (1974 - 1976).
(6)  Perdana Menteri (1976 - 1981).
(7)  Menteri Pertahanan (1976 - 1978) dan (1980 - 1981).
(8)  Menteri Wilayah Persekutuan (1978 - 1980).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : DKI(Johor) DK(Selangor) DK(Terengganu) DK(Kelantan) SMN SPMJ SPCM SIMP SSIJ SPDK DUPN DP SPNS PIS 

Nota:  Pemilihan Dato' Seri Hussein sebagai TPM juga menimbulkan kontroversi di kalangan pemimpin kanan UMNO. Selain dari baru penggal pertama sebagai Ahli Parlimen, Hussein juga Naib Presiden III UMNO (yang paling junior)- di bawah Ghaffar Baba dan Tengku Razaleigh). Secara kebetulan, Hussein juga adalah biras Tun Razak (isteri Hussein adalah kakak kepada isteri Razak). Namun, pengalaman Tunku dan Tun Razak, masih memegang formula bahawa bakal PM perlu mampu berkomunikasi dengan Raja-Raja Melayu. Keturunan Hussein dari bangsawan Johor banyak membantu apabila berlaku krisis antara MB dengan istana di Pahang dan Perak. Walaupun Tengku Razaleigh juga keturunan bangsawan dan lebih senior, Tun Razak lebih mempercayai Hussein kerana Tengku Razaleigh masih terlalu muda untuk menggantikannya. Ketika itu, Tun Razak telah mengetahui bahawa beliau mempunyai masalah leukemia dan tempoh hidupnya yang singkat. Beliau memerlukan seorang yang benar-benar dipercayai untuk menggantikannya. Hussein hanya mengambil masa kurang 6 tahun dari hari pertama menyertai Kabinet hingga menduduki kerusi PM pada 15 Jan 1976.  Hussein menerima anugerah dengan gelaran Tun sebaik sahaja bersara dari jawatan PM.

TPM KEEMPAT

TUN DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMMAD
(15 SEP 1976 -  16 JUL 1981)

Tarikh lahir: 10 Jul 1925 (kini berusia 100 tahun)
Tempat kelahiran:  Alor Setar, Kedah.
Isteri : Toh Puan Tun Dr Siti Hasmah binti Mohammad Ali.
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya, Singapura.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 51 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia hari ini 100 tahun 5 bulan).

Senator : (1973 - 1974).
Ahli Parlimen: Kota Setar Selatan (1964 - 1969), Kubang Pasu (1974 - 1978), (1978 - 1982), (1982 - 1986), (1986 - 1990), (1990 - 1995), (1995 - 1999) & (1999 - 2004); dan Langkawi (2018 - 2022).

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (1946), dipecat dari UMNO (1969 - 1972), Naib Presiden UMNO (1975 - 1976); Pemangku Timbalan Presiden UMNO (1976 - 1978); Timbalan Presiden UMNO (1978 - 1981); dan Presiden UMNO (1981 - 2003).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Menteri Pelajaran (1974 - 1977).
(2)  Timbalan Perdana Menteri (1976 - 1981) .
(3)  Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1978 - 1981).
(4)  Menteri Kewangan (1974 - 1976).
(5)  Perdana Menteri (1976 - 1981).
(7)  Menteri Pertahanan (1981 - 1986).
(8)  Menteri Dalam Negeri (1986 - 1999).
(9)  Menteri Kewangan (1998 - 1999) dan (2001 - 2003).
(10) Perdana Menteri (2018 - 2020).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : DKI(Johor) DK(Kedah) DK(Terengganu) DK(NS) DK(Perlis) SMN SPMJ SPCM SSDK SSAP SSMT SPNS DUPN SPDK DUNM SBS SUMW DP PIS.

Nota 1:  Seperti pemilihan Tun Hussein sebagai TPM, pemilihan Dato' Seri Dr Mahathir juga kurang diterima oleh pemimpin-pemimpin kanan UMNO. Seperti Hussein, Mahathir baru sahaja kembali dalam UMNO dan ketika dibawa masuk kabinet, beliau dua tahun sebagai Ahli Parlimen.  Mahathir juga Naib Presiden III UMNO (yang paling junior selepas Ghaffar Baba dan Tengku Razaleigh.  Namun, Hussein mengambil risiko memilih Mahathir sebagai bakal penggantinya. Hussein memandang jauh ke hadapan tentang nasib bangsa Melayu. Beliau mampu membaca cita-cita dan keberanian Mahathir.  Pengalaman Hussein juga membuktikan bahawa, bagi memastikan bangsa Melayu terus maju dan relevan,  perasaan dan kehendak Raja-Raja Melayu tidak perlu dipenuhi kesemuanya. Hanya Mahathir yang mampu melakukannya. Banyak usaha dari pemimpin UMNO yang lain untuk menjatuhkan imej Hussein dan Mahathir termasuk mengaitkannya dengan ideologi komunisme. Namun usaha tersebut gagal. 

Nota 2:  Kesihatan Hussein mempercepatkan perjalanan Mahathir ke persada PM. Disamping masalah kesihatan, Hussein juga turut menerima tekanan dari Mahathir.  Banyak keputusan Hussein yang kurang dipersetujui oleh  Mahathir dan banyak juga cadangan Mahathir yang dinamik dan futuristik tidak dipersetujui oleh Hussein. Namun, sebagai subordinatm Mahathir tetap akur sehingga Hussein mengundur diri pada tahun 1981.  Seperti Hussein, Mahathir hanya menerima anugerah bergelar Tun sebaik sahaja bersara dari jawatan PM (2003).


TPM KELIMA
  
TUN DATO' SERI MUSA BIN HITAM 
(18 JUL 1981 -  16 MAC 1986)

Tarikh lahir: 18 Apr 1934.
Tempat kelahiran:  Alor Setar, Kedah.
Isteri : Datin Maria @ Ines Maria Reyna binti Abdullah (1959 - 1985) & Toh Puan Zulaikha binti Sheardin (1986 - kini).
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Sastera (B.A) dari Universiti Malaya dan Master in International Relations, University of Sussex.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 47 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini 91 tahun).

Ahli Parlimen: Segamat Utara (1968 - 1969) dan (1969 - 1974); Labis (1974 - 1978), (1978 - 1982); Panti (1982 - 1986); dan Kota Tinggi (1986 - 1990).

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (19xx), Pemangku Setiausaha Agong UMNO (1960an); dipecat dari UMNO (1969 - 1971); Naib Ketua Pemuda (1971 - 1972); Ahli MT UMNO (1971 - 1978); Naib Presiden UMNO (1978 - 1981); dan Timbalan Presiden UMNO (1981 - 1986).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)   Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1970 - 1974)
(2)  Menteri Perusahaan Awam (1974 - 1978)
(3)  Menteri Pelajaran (1978 - 1981).
(4)  Timbalan Perdana Menteri (1981 - 1986).
(5)  Menteri Dalam Negeri (1981 - 1986).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : SSM PMN SPMJ SSIJ SPMS SPNS DUNM SPDK PIS.

Nota:  Musa dilantik oleh Dr Mahathir menjadi TPM kelima setelah Musa memenangi pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO tahun 1981, mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam tempoh dua atau tiga tahun pertama pasangan Mahathir-Musa dilihat sebagai ideal dan mantap. Namun Musa hanya mampu bertahan sebagai Orang No. 2 Negara selama 5 tahun sahaja. Musa meletak jawatan sebagai TPM pada Mac 1986 kerana memiliki banyak perselisihan pendapat politik dan pengurusan dengan bossnya, Dr Mahathir. Musa cuba mengekalkan jawatan TP UMNO tanpa jawatan TPM pada tahun 1987 namun tewas ditangan TPM ketika itu, Ghaffar Baba. Musa menerima anugerah bergelar Tun pada tahun 2006.


TPM KEENAM

ALMARHUM TUN ABDUL GHAFFAR BIN BABA 
(10 MEI 1986 - 15 OKT 1993)

Tarikh lahir: 18 Feb 1925 (meninggal dunia pada 3 Apr 2006 ketika berusia 81 tahun).
Tempat kelahiran:  Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Isteri : Toh Puan Asmah binti Alang (19xx - 2004) & Dayang Heryati binti Abdul Rahim (1993 - 2003).
Kelulusan akademik : Sijil Perguruan (MPSI), Tanjung Malim.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 61 tahun.
Tarikh meninggal dunia: 03 April 2006 (pada usia 81 tahun).

Ahli Dewan Undangan Negeri : Tanjung Kling (1950 - 1964) dan (1964 - 1969).
Ahli Parlimen: Melaka Utara (1969 - 1974); Alor Gajah (1974 - 1978); Jasin (1978 - 1982), (1982 - 1986), (1986 - 1990), (1990 - 1995) & (1995 - 1999); dan Batu Berendam (1999 - 2004).

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (1946), Ahli MKT UMNO (1957 - 1962); Ketua Penerangan UMNO (1959); Naib Presiden UMNO (1962 - 1987); dan Timbalan Presiden UMNO (1987 - 1993).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Ketua Menteri Melaka (1957 - 1959) (1959 - 1964) dan (1964 - 1967).
(2)  Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar (1970 - 1972)
(3)  Menteri Pembangunan Ekonomi Desa (1972 - 1974).
(4)  Timbalan Perdana Menteri (1986 - 1993).
(5)  Pemangku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (1986).
(6)  Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar (1986 - 1993).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : SSM SUMW PPM.

Nota:  Perlantikan Abdul Ghaffar sebagai TPM oleh Dr Mahathir ketika Mahathir berada dalam keadaan kritikal selepas perletakan jawatan Musa Hitam. NP I, Abdullah Badawi masih terlalu kurang pengalaman disamping diliat sebagai pro kepada Musa. Ghaffar merupakan NP II UMNO No 2 manakala NP III, Dato' Wan Mokhtar bukan Ahli Parlimen.  Ghaffar mempunyai pengaruh yang besar dalam UMNO khususnya ahli di luar bandar.  Sokongan Ghaffar amat diperlukan setelah kehilangan Musa dan Tengku Razaleigh.  Namun kehadiran Anwar Ibrahim ke dalam UMNO telah membunuh kerjaya Ghaffar dalam UMNO. Anwar yang berjaya menduduki jawatan NP II UMNO dalam pemilihan 1987 mula mengancam kedudukan Ghaffar. Anwar yang sememangnya bercita-cita tinggi dan sangat teruja untuk menggantikan Mahathir menggunakan sokongan Pemuda serta pemimpin radikal dalam UMNO seperti Muhammad Taib, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak untuk menyingkirkan Ghaffar. Anwar mencabar Ghaffar untuk jawatan TP UMNO dalam pemilihan 1993. Mahathir yang pada awalnya menyokong Ghaffar untuk mengekalkan kedudukan sebagai TP UMNO, mula berubah fikiran di saat akhir setelah melihat perubahan trend ahli UMNO, beralih menyokong Anwar. Merasai dirinya ingin dimalukan oleh Anwar dan demi kestabilan parti, Ghaffar menarik diri dari bertanding jawatan TP UMNO.


TPM KETUJUH

DATUK SERI ANWAR BIN IBRAHIM 
(1 DIS 1993 - 2 SEP 1998)

Tarikh lahir: 10 Ogos 1947.
Tempat kelahiran:  Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Isteri : Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail (1980 - kini).
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Sastera (B.A) dari Universiti Malaya; dan Sarjana Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 46 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini 78 tahun).

Ahli Parlimen BN : Permatang Pauh (1982 - 1986), (1986 - 1990), (1990 - 1995) dan (1995 - 1999).
Ahli Parlimen PKR : Permatang Pauh (2008 - 2013) dan (2013 - 2015); Port Dickson (2018 - 2022); dan Tambun (2022 - kini).

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (1982), Ketua Pemuda UMNO (1982 - 1987); Naib Presiden UMNO (1987 - 1993); dan Timbalan Presiden UMNO (1993 - 1998).
Ketua Umum PKR (2003 - 2018); dan Presiden PKR (2018 - kini).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)   Timbalan Menteri di JPM (1982 - 1983)
(2)  Menteri Belia dan Sukan (1983 - 1984)
(3)  Menteri Pertanian (1984 - 1986).
(4)  Menteri Pelajaran (1986 - 1991).
(5)  Timbalan Perdana Menteri (1993 - 1998).
(6)  Menteri Kewangan (1991 - 1998).
(7)  Pemangku Perdana Menteri (1997 : 2 bulan).
(8)  Perdana MMenteri ke 10 (2022 - kini)
(9)  Menteri Kewangan (2022 - kini)

Darjah Kebesaran Dalam Negara : SPMK SSSK SSPJ SPCM SSAP SPNS DUPN SPDK DGSM DMPN.

Nota 1: Perjalanan Anwar dari hari pertama menjadi ahli UMNO (1982) hanya mengambil masa 11 tahun untuk mengecapi jawatan TPM. Ia terlalu istimewa dalam sejarah UMNO. Namun kerana itu adalah restu PM sendiri, maka semua pemimpin kanan UMNO hanya memendam rasa. Anwar berjaya mengabui mata Mahathir untuk mengiktiraf beliau sebagai harta UMNO yang paling berharga sehinggalah Mahathir mengenali siapa sebenarnya sosok Anwar. Di puncak kwrjayanya, untuk melangkah ke persada kerjaya politiknya, Anwar dipecat keahliannya dari UMNO dan semua jawatan Kerajaan kerana dakwaan terlibat dalam kes rasuah dan jenayah seksual (luar tabi'i). Beliau kemudiannya menjalani hukuman penjara 6 tahun (1999 -2004) dan sekali lagi dipenjara 5 tahun (2014-2019) sebelum diberi pengampunan Diraja pada tahun 2018. 

Nota 2.  Perjalanan kedua Anwar ke arah mencapai cita-citanya, Anwar mengambil masa 24 tahun melalui arah yang berbeza, iaitu melalui pelantar sebagai pembangkang. Kejayaan laluan kedua Anwar itu juga dapat dicapai dengan pertolongan Mahathir yang aktif semula dalam politik setelah 14 tahun bersara. Dengan pertolongan Mahathir juga, Anwar mendapat pengampunan penuh Diraja dalam tahun 2018 dan akhirnya menjadi PM ke 10 pada tahun 2022.


TPM KELAPAN


TUN DATUK SERI ABDULLAH BIN AHMAD 
(8 JAN 1999 - 31 OKT 2003)

Tarikh lahir: 26 Dis 1939 (meninggal dunia pada 14 Apr 2025 pada usia 85 tahun)
Tempat kelahiran:  Alor Setar, Kedah.
Isteri : Toh Puan Hendon binti Mahmud (1965 - 2005) & Toh Puan Jeanne binti Abdullah (2007 - 2025) (Jeanne Danker).
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Sastera (B.A) dari Universiti Malaya.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 64 tahun.
Tarikh meninggal dunia: 14 Apr 2024 (pada usia 85 tahun).

Ahli Parlimen: Kepala Batas (1978 - 1982);  (1982 - 1986); (1986 - 1990), (1990 - 1995); (1995 - 1999); (1999 - 2004); dan (2004 - 2008).

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (1964); Ahli MKT UMNO (1981 - 1984); Naib Presiden UMNO (1984 - 1993) & (1996 - 1999); Timbalan Presiden UMNO (1999 - 2003);dan Presiden UMNO (2003 - 2009).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan (1978 - 1980).
(2)  Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan (1980 - 1981).
(3)  Menteri di JPM (1981 - 1984)
(4)  Menteri Pelajaran (1984 - 1986).
(5)  Menteri Pertahanan (1986 - 1987).
(6)  Menteri Luar Negeri (1991 - 1999).
(7)  Timbalan Perdana Menteri (1999 - 2003).
(8)  Menteri Dalam Negeri (1999 - 2004).
(9)  Perdana Menteri (2003 - 2009).
(10) Menteri Keselamatan Dalam Negeri (2004 - 2008).
(11) Menteri Pertahanan (2008 - 2009)

Darjah Kebesaran Dalam Negara : DK1(Johor) DK(Kelantan) DKI(Pahang) DK(Brunei) SMN DUK SPMS SUMZ SSSJ SPSA SSAP SPNS SPNS DUPN DGPN SPDK DUNM SUMW DP DSSA DMPN DJN KMN AMN.

Nota:  Abdullah adalah Timbalan ke 4 untuk Mahathir selepas Musa, Ghaffar dan Anwar. Ketika dilantik, Abdullah adalah NP II UMNO selepas Najib Razak. Seorang lagi NP ialah Muhammad Mat Taib. Kedudukan Abdullah untuk mengambil alih jawatan PM kerana ketika dilantik sebagai TPM, Mahathir sudah berada di pusingan terakhir dan telah mengambil keputusan untuk bersara. Keyakinan ini ditambah dengan sikap dan sifat Abdullah yang tenang dan setia kepada ketua dan partinya. Abdullah mengambil alih jawatan PM ke 5 pada 31 Okt 2003. Abdullah menerima anugerah gelaran Tun setelah bersara dari jawatan PM pada tahun 2009.


TPM KESEMBILAN

DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
(7 JAN 2004 - 7 APR 2009)

Tarikh lahir: 23 Jul 1953.
Tempat kelahiran:  Kuala Lipis, Pahang.
Isteri : Datin Seri Tengku Puteri Zainah binti Tunku Iskandar (1976 - 1987) & Dain Seri Rosmah binti Mansor (1987 - kini).
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Ekonomi Industri dari University of Nottingham,United Kingdom.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 51 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini (2025) 72 tahun).

Ahli Parlimen: Pekan (1976 - 1978), (1978 - 1982), (1986 - 1990), (1990 - 1995), (1995 - 1999), (1999 - 2004), (2004 - 2008), (2008 - 2013); (2013 - 2018) dan (2018 - 2022).
Ahli Dewan Negeri : Bandar Pekan, Pahang (1982 - 1986)

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (1976), Ahli MKT UMNO (1981 - 1993); Naib Ketua Pemuda UMNO (1982 - 1987); Ketua Pemuda UMNO (1987 - 1996); Naib Presiden UMNO (1993 - 2004); dan Timbalan Presiden UMNO (2004 - 2009); dan Presiden UMNO (2009 - 2018).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)   Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos (1978 - 1980).
(2)  Timbalan Menteri Pelajaran (1980 - 1981)
(3)  Timbalan Menteri Kewangan (1981 - 1982).
(4)  Menteri Besar Pahang (1982 - 1986)
(5)  Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (1986 - 1987).
(6)  Menteri Belia dan Sukan (1987 - 1990).
(7)  Menteri Pertahanan (1990 - 1995).
(8)  Menteri Pendidikan (1995 - 1999).
(9)  Menteri Pertahanan (1999 - 2008).
(10) Timbalan Perdana Menteri (2004 - 2009).
(11) Menteri Kewangan I (2008 - 2018).
(12) Perdana Menteri ke 6 (2009 - 2018).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : DKII(Pahang) DK(Brunei) SPMK DMK SSSJ SPSA SSAP SPDK DUNM DA PNBS SPNS DUNM.

Nota 1:  Najib dilantik oleh Abdullah sebagai TPM kesembilan atas kapasitinya sebagai NP UMNO yang terkanan. Dikatakan, Abdullah lebih berat untuk memilih Muhyiddin sebagai Timbalannya. Namun beliau akur dengan nasihat Tun Dr Mahathir supaya melantik Najib. Selain Najib dikatakan lebih bernakat, Mahathir juga ingin membalas jasa ayah Najib (Tun Razak) yang membawanya masuk kembali dalam UMNO. Najib kemudiannya memenangi jawatan TP UMNO tanpa bertanding.  Selepas membawa kemenangan besar kepada BN dalam PRU 2004, nama Abdullah mendapat sanjungan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir. Namun mulai tahun 2006, populariti Abdullah mula menurun. Beliau menerima tekanan dari ahli kabinetnya dan juga ahli MKT UMNO dan disokong oleh mantan PM Dr Mahathir, yang mendesak beliau supaya segera  meletak jawatan dan menyerahkan jawatannya  kepada Najib. Sebagai TPM, Najib serba salah, tersepit antara desakan majoriti pemimpin UMNO dengan kesetiaannya kepada Pak Lah. Najib enggan dicop sebagai mendapat jawatan melalui penderhakaan. Akhirnya Pak Lah mengalah dan mengundur diri pada 3 Apr 2009 untuk memberi laluan kepada Najib.

Nota 2 : Semasa menjadi PM, Najib dibabitkan dengan Skandal 1MDB -skandal kewangan yang terbesar setelah Bumiputera Finance 1983. Skandal ini bukan sahaja menjadi punca utama kecundangnya BN dalam PRU-14 setelah memerintah negara selama 60 tahun bahkan turut menghumbankan Najib ke penjara selama 12 tahun.


TPM KESEPULUH

TAN SRI DATO' SERI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
(9 APR 2009 - 28 JUL 2015)

Tarikh lahir: 15 Mei 1947 (kini berusia 78 tahun)
Tempat kelahiran:  Muar, Johor.
Isteri : Puan Sri Dato' Seri Noorainee binti Abdul Rahman (1972 - kini).
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 62 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini (2025) 78 tahun).

Ahli Parlimen BN: Pagoh (1978 - 1982), (1982 - 1986); (1995 - 1999), (1999 - 2004); (2004 - 2008); (2008 - 2013); dan (2013 - 2018).
Ahli Parlimen PH : Pagoh (2018 - 2020).
Ahli Parlimen PN : Pagoh (2020 - 2022) & (2022 - kini).
Ahli Dewan Undangan Negeri : Bukit Serampang, Johor (1986 - 1990) & (1990 - 1995)

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (1971), Ahli MKT UMNO (1986 - 1993); Naib Presiden UMNO (1993 - 1996) & (1999 - 2009); dan Timbalan Presiden UMNO (2009 - 2015), kemudian Presiden BERSATU (2017 - kini).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri (1978 - 1982). 
(2)  Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan (1982 - 1984).
(3)  Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1984 - 1986).
(4)  Menteri Besar Johor (1986 - 1995)
(5)  Menteri Belia dan Sukan (1995 - 1999)
(6)  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1999 - 2004). 
(7)  Menteri Pwertanian dan Industri Asas Tani (2004 - 2008).
(8)  Menteri Perdagangan dan Antarabangsa dan Industri (2008 - 2009)
(9)  Timbalan Perdana Menteri (2009 - 2015).
(10) Menteri Pelajaran (2009 - 2015).
(11) Menteri Dalam Negeri (2018 - 2020).
(12) Perdana Menteri ke 8 (2020 - 2021)

Darjah Kebesaran Dalam Negara : PSM SPMJ SHMS SPSA SPMP SUNS SPDK DUNM DP PNBS SMJ PIS BSI.

Nota 1:  Dalam pemilihan UMNO 2004, Muhyiddin terpilih sebagai NP III. Dua NP di atasnya ialah Mohd Isa Samad (NP I) dan Ali Rustam (NP II). Namun kemenangan Isa dibatalkan kerana melibatkan politik wang. Ali pula bukan Ahli Parlimen. Maka Najib hanya mempunyai satu pilihan sahaja di kalangan NP. Kebetulan Muhyiddin adalah NP yang paling lantang mendesak supaya peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib disegerakan.

Nota 2 : Semasa menjawat TPM, Muhyiddin juga menjadi pemimpin UMNO yang paling lantang mendesak supaya siasatan dibuat ke atas kes 1MDB yang isu terbesar yang menghantui politik negara yang boleh membunuh UMNO. Kes ini melibatkan secara langsung PM Najib. Sudah pasti tindakan beliau tidak boleh diterima. Akibatnya, seperti yang dijangka, Muhyiddin digugurkan dari jawatan TPM pada 28 Jul 2015 dan seterusnya dipecat dari UMNO pada 26 Feb 2016. Lanjutan dari itu, Muhyiddin menyertai Tun Dr Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).


TPM KESEBELAS

DATO' SERI DIRAJA DR AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
(28 JUL 2015 - 9 MEI 2018)

Tarikh lahir: 4 Jan 1953.
Tempat kelahiran:  Bagan Datuk, Perak.
Isteri : Datin Seri Hamidah binti Khamis.
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Sastera (B.A) dari Universiti Malaya dan Doktor Falsafah (Komunikasi) dari Universiti Putra Malaysia.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 62 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini (2025) 72 tahun).

Ahli Parlimen: Bagan Datuk (1995 - 1999), (1999 - 2004), (2004 - 2008), (2008 - 2013 - 1986),(2013 - 2018), (2018 - 2022) dan (2022 - kini).

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (19xx), Ketua Pemuda UMNO (1996 - 1999); Ahli MT UMNO (x); Naib Presiden UMNO (2009 - 2018); Pemangku Timbalan Presiden UMNO (2015 - 2018); Pemangku Presiden (2018) dan Presiden UMNO (2018 - kini).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)   Timbalan Menteri Pelancongan (2004 - 2008)
(2)  Menteri Di Jabatan PM (2008 - 2009)
(3)  Menteri Pertahanan (2009 - 2013).
(4)  Menteri Dalam Negeri (2013 - 2018)
(6)  Timbalan Perdana Menteri (2015 - 2018).
(7)  Timbalan Perdana Menteri I (2022 - kini).
(8)  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2022 - kini).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : SPSN SSAP SJMK SPDK DUNM DP SPMP PNBS DPMK DPMP DMSM AMP PPT PJK JP.

Nota 1:  Semasa Muhyiddin membangkit isu 1MDB di dalam Kerajaan, Ahmad Zahid bijak memainkan peranannya. Selaku Menteri Dalam Negeri beliau berjaya menggunakan PDRM untuk tidak meneruskan siasatan ke atas laporan tersebut. Beliau berusaha melindungi dan mempertahankan Najib kerana beliau sudah nampak cahaya yang menyinari perjalanan politiknya.

Nota 2:  Apabila Muhyiddin dipecat dari UMNO pada 26 Feb 2015, Ahmad Zahid selaku NP I UMNO telah dilantik memangku tugas TP UMNO, maka secara tidak langsung beliau adalah pilihan pertama Najib sebagai Timbalannya. Pada 28 Jul 2015, Ahmad Zahid telah dilantik menjadi TPM ke 11. Namun perjalanan Ahmad Zahid untuk menaiki tangga seterusnya tersekat apabila BN tewas dalam PRU ke 14 tahun 2018. Namun sejak menjadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996, Ahmad Zahid memang sudah terkenal dengan cara beliau bermain siasah. Kekalahan BN pada tahun 2018 menyebabkan Najib segera mengakui tanggungjawabnya dan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Maka, cita-cita Ahmad Zahid untuk menjadi Presiden UMNO semakin pantas dicapai. Melalui jawatannya sebagai Presiden UMNO beliau berjaya menggunakan kedudukannya untuk mengubah landskap politik negara yang meletakkan parti yang kalah tetap memerintah mulai tahun 2020 hingga 2022 (dengan Perikatan Nasional) dan seterusnya dengan Pakatan harapan mulai 2022 hingga kini.


TPM KEDUA BELAS

Image result for wan azizah
DATUK SERI DR WAN AZIZAH BIN WAN ISMAIL
(10 Mei 2018 - 24 Feb 2020)

Tarikh lahir: 3 Dis 1952.
Tempat kelahiran:  Singapura.
Suami : Datuk Seri Anwar bin Ibrahim.
Kelulusan akademik : Bachelor of Medicine and Surgery dari Royal College of Surgeon of Ireland.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 66 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini (2025) 73 tahun).

Ahli Parlimen: Permatang Pauh (1999 - 2004), (2004 - 2008), (2015 - 2018); Pandan (2018 - 2022); dan Bandar Tun Razak (2022 - kini).
Ahli Dewan Undangan Negeri : Kajang, Selangor (2014 - 2018)

Jawatan dalam parti: Ahli ADIL (1998), Presiden ADIL (1998 - 2003); Presiden PKR (2003 - 2018).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)   Timbalan Perdana Menteri (2018 - 2020).
(2)  Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat (2018 - 2020).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : DPPN.

Nota 1:  Peranan Dr Wan Azizah dalam politik adalah jelas. Beliau bukan ahli politik, bukan ahli keluarga politik dan tidak berminat dalam politik. Beliau adalah isteri ahli politik yang bercita-cita besar. Wan Azizah adalah seorang isteri yang sangat taat kepada suami, menjaga nama dan kehormatan suaminya. Beliau sanggup berbuat apa sahaja demi untuk melindungi suaminya. Jadi sejak memulakan langkah sebagai ahli politik pada tahun 1998, Wan Azizah hanya melaksanakan peranannya sebagai seorang isteri yang taat kepada suami

Nota 2:  Apabila Parti Keadilan Nasional (ADIL) ditubuhkan pada tahun 1998, Dr Wan Azizah mematuhi perintah Anwar untuk mengetuainya (sebagai Presiden)  dan apabila ADIL bergabung dengan Parti Rakyat Malaysuia (PRM) membentuk Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) pada tahun 2003, Wan Azizah kekal sebagai Presiden. Biar apa pun yang akan terjadi Wan Azizah akan terus menjadi Presiden sehingga Anwar bersedia mengambil alih jawatan tersebut. Dan itulah hakikatnya, beliau menyerahkan jawatan Presiden PKR kepada Anwar pada tahun 2018 apabila Anwar diberi pengampunan oleh YDP Agong.

Nota 3:  Dalam PRU-14 (2018) PH bersetuju berkerjasama dengan BERSATU yang baru ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir dan bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai PM jika gabungan itu menang. Semua menjadi kenyataan. PH menang dan Mahathir dilantik sebagai PM ke 7. Atas kapasitinya sebagai Pengerusi PH, Presiden PKR Dr Wan Azizah telah dilantik menjadi TPM ke 12.


TPM KETIGA BELAS

DATO" SRI ISMAIL SABRI BIN YA'AKOB
(7 JUL 2021 - 16 OGOS 2021)

Tarikh lahir: 18 Jan 1960.
Tempat kelahiran:  Temerloh, Pahang.
Isteri : Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin (1986 - kini).
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti Malaya.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 61 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini (2025) 65 tahun).

Ahli Parlimen: Bera (2004 - 2008), (2008 - 2013), (2013 - 2018), (2018 - 2022) dan (2022 - kini)..

Jawatan dalam parti: Ahli UMNO (1987); Ahli MT UMNO (x - 2018); dan Naib Presiden I UMNO (2018 - 2023).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)  Menteri Belia dan Sukan (2008 - 2009).
(2)  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (2009 - 2013)
(3)  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013 - 2015).
(4)  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2015 - 2018).
(5)  Menteri Kanan Keselamatan dan Menteri Pertahanan (2020 - 2021)
(6)  Timbalan Perdana Menteri (11 Jul - 20 Ogos 2021) - 40 hari.
(7)  Perdana Menteri IX (21 Ogos 2021 - 24 Nov 2022)

Darjah Kebesaran Dalam Negara : SSAP DP DUNM SPDK DGSM DIMP DMSM ADK.

Nota 1:  Perjalanan Ismail Sabri ke tahap yang dicapainya adalah sesuatu di luar jangka atau tidak pernah di bincangkan dalam mana-mana strategi politik, khususnya partinya sendiri iaitu UMNO. Ketika BN tewas dalam PRU-14, Ismail Sabri pun bukan salah seorang dari 3 NP UMNO. Ismail Sabri hanya dipilih menjadi NP I UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan Sep 2018, iaitu selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018.

Nota 2:  Pada 1 Mac 2020, Muhyiddin yang dilantik menjadi PM ke 8 dan dalam barisan Kabinet yang dibentuk pada 10 Mac 2020, beliau tidak melantik TPM. Ismail Sabri dilantik menjadi seorang dari 4 Menteri Kanan, iaitu Menteri Kanan Keselamatan merangkap Menteri Pertahanan. Tiga lagi adalah Dato' Seri Mohd Azmin Ali, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Amar Fadillah Yusof)  Mac 2020, BN menyertai Kerajaan Perikatan Nasional. Muhyiddin hanya melantik seorang TPM apabila UMNO (pimpinan Ahmad Zahid) menggugat kedudukannya sebagai PM. Pada 7 Jul 2012 Muhyiddin telah melantik Ismail Sabri sebagai TPM.

Nota 3: Asas perlantikan Ismail Sabri sebagai TPM ialah:
(1)  Muhyiddin tidak ada pilihan, mesti melantik TPM dari UMNO.
(2)  Calon utama UMNO ialah Presiden UMNO, namun Muhyiddin tidak berhasrat melantik Ahmad Zahid kerana beliau masih menghadapi kes di mahkamah.
(3)  TP UMNO, Dato' Seri Mohammad bin Hassan tidak layak dilantik menjadi TPM kerana beliau bukan Ahli Dewan Rakyat.
(4)  Ismail Sabri adalah NP I UMNO dan telah berada dalam Kabinet - merupakan calon yang paling layak.

Nota 4: Ismail Sabri merupakan penyandang TPM yang tersingkat dalam sejaran Malaysia iaitu hanya 40 hari sebelum dilantik menjadi PM ke 9 pada 16 Ogos 2021.

Selepas PRU ke 15 pada 19 Nov 2022, Kabinet Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk telah mewujudkan dua jawatan TPM, seorang dari Semenanjung dan seorang dari Sabah/Sarawak.

TPM KEEMPAT BELAS

TPM I

DATO' SERI DR AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
(3 DIS 2022 - KINI)

Tarikh lahir: 4 Jan 1953 (kini berusia 72 tahun)
Tempat kelahiran:  Bagan Datuk, Perak.
Isteri : Datin Seri Hamidah binti Khamis.
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Sastera (B.A) dari Universiti Malaya dan Doktor Falsafah (Komunikasi) dari Universiti Putra Malaysia.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 69 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini (2025) 72 tahun).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : SPSN SSAP SJMK SPDK DUNM DP SPMP PNBS DPMK DPMP DMSM AMP PPT PJK JP.

Nota 1  Perlantikan Ahmad Zahid sebagai TPM I pada 2 Dis 2022 menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat dan juga kepimpinan parti Kerajaan dan juga pembangkang kerana ketika dilantik menjadi TPM, beliau masih menghadapi perbicaraan ke atas dakwaan 47 kes rasuah pecah amanah di Mahkamah Tinggi. Pada 4 Sep 2023, Jabatan Peguam Negara telah menarik balik dakwaan ke atas Ahmad Zahid dan Mahkamah memutuskan bahawa Ahmad Zahid DILEPAS TANPA DIBEBASKAN atau DISCHARGED NOT AMOUNTING TO ACQUITAL (DNAA).

Nota 2 : Sepanjang  kempen PRU-15, jurang antara BN dan PH amat jauh. PH melabelkan pemimpin BN sebagai perompak dan penyakau dan perlu dihumban ke penjara. Manakala BN (khususnya pemimpin UMNO) telah bersumpah lafaz No DAP No Anwar (+ No BERSATU). Namun selepas keputusan PRU-15 kedua-dua pihak menelan semula semua muntah dan kahak busuk yang dihamburkan selama berminggu-minggu. Malah ada pihak yang memunjukkan bukti bahawa telah wujud persepakatan antara Anwar dan Ahmad Zahid jauh lebih awal dari kempen PRU-15.

Rujuk silang dengan maklumat  TPM KESEBELAS

TPM II

DATUK AMAR FADILLAH BIN YUSOF
(3 DIS 2022 - KINI)

Tarikh lahir: 17 Apr 1962 (kini berusia 63 tahun)
Tempat kelahiran:  Sibu, Sarawak.
Isteri : Datin Sri Ruziah binti Mohd Tahir.
Kelulusan akademik : Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti Malaya.
Usia ketika dilantik menjadi TPM: 60 tahun.
Tarikh meninggal dunia: BELUM (usia kini (2025) 63 tahun).

Ahli Parlimen: Petrajaya (2004 - 2008), (2008 - 2013), (2013 - 2018), (2018 - 2022) dan (2022 - kini).

Jawatan dalam parti: Ketua Pemuda PBB (2007 - 2017); dan Naib Presiden Kanan PBB (2017 - kini).

Jawatan portfolio kabinet yang pernah disandangnya sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet adalah:

(1)   Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (2008 - 2013).
(2)  Menteri Kerjaraya (2013 - 2018).
(3)  Menteri Kanan Pembangunan Infrastruktur dan Menteri Kerjaraya (2020 - 2021);
(4)   Menteri Kanan Kerjaraya (2021 - 2022).
(4)  Timbalan Perdana Menteri II (2022 - kini).
(5)  Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (2022 - kini).

Darjah Kebesaran Dalam Negara : DA SSAP DGSM PNBS PGBK ABS.

Nota:  Fadillah dilantik menjadi TPM II sebagai mewakili rakyat di Sabah dan Sarawak. Fadillah adalah Presiden Kanan Parti Pesaka-Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang merupakan parti yang terbesar dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS). Jumlah kerusi GPS dalam Dewan Rakyat (23) adalah paling besar di kalangan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Selain dari penyandang jawatan parti dari Sabah/Sarawak yang paling kanan, Fadillah juga merupakan anggota Jemaah Menteri dari Sabah/Sarawak yang paling kanan.



BEGITU KESAH SINGKAT 15 SOSOK MELAYU YANG PERNAH BERPELUANG DAN SEDANG MENYANDANG JAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI
SEMOGA BERMANFAAT
SEBAGAI TELADAN DAN SEMPADAN


KEMAS KINI TERAKHIR: 14 DIS 2025


1 comment: