Friday, February 8, 2019

M 197 PAHANG DAPAT SULTAN BARU MALAYSIA DAPAT YDP AGONG BARU



PAHANG
DARUL MAKMUR MENDAPAT SULTAN BARU

Image result for bendera pahang ANIMASI

KETIKA rakyat Malaysia masih termangu-mangu, terpinga-pinga dengan berita yang mengejutkan - perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong XV pada 6 Januari 2019, Negeri Pahang Darul Makmur pula digegarkan dengan berita peralihan tahta Kesultanan Pahang lantaran keadaan KDYMM Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sejak lebih setahun yang lalu. Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang telah membuat keputusan untuk menurunkan DYMM Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah dari tahta Pahang disebabkan kegeringan yang berat dan tidak mampu melaksanakan tugas sebagai Raja dan Pemerintah Negeri Pahang - sejajar dengan peruntukan yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang.


Reject IS militants, says Pahang Sultan


Tengku Abdullah bakal Sultan Pahang?
10 Januari 2019 2:59 AM
UTUSAN ONLINE

KUANTAN 9 Jan. – Adakah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bakal ditabal sebagai Sultan Pahang bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang dikhabarkan sedang gering?

Khabar angin juga menga­takan Tengku Abdullah bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sejurus ditabal sebagai sultan.

Sumber istana memak­lum­­­kan, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang dipengerusikan Teng­ku Abdullah akan me­ngadakan pertemuan Jumaat ini di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, sumber ter­sebut enggan mengulas berhubung agenda pertemuan yang akan diadakan selepas solat Jumaat itu.

Berdasarkan kepada Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, spe­kulasi yang bertiup kencang itu hanya menjadi kenyataan jika Sultan Ahmad Shah turun takhta atas keredaan hati ba­ginda serta perlu menandatangani Surat Perintah.

Surat Perintah berkenaan itu pula hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu. 

Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menerangkan sekiranya Raja Pemerintah tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah mengesahkan turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dan diletak cap Mohor Negeri yang ditandatangani Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang. 


Tengku Abdullah Sultan Pahang VI
HARIAN METRO

Kuantan, 10 Januari 2019. PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang VI, berkuat kuasa serta merta.

Majlis pemasyhuran itu akan diadakan 11.00 pagi hari Selasa, 15 Januari 2019, di Istana Abu Bakar, Pekan.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, 30 Ahli Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bermesyuarat di Kuala Lumpur, semalam bersetuju dengan sebulat suara.

“Dalam keadaan sedih dan dukacita saya dan keluarga terima hakikat bahawa ayahanda (Sultan Ahmad Shah) tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pemerintah.

“Mesyuarat yang saya pengerusikan semalam juga bersetuju dan meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada ahli majlis jumaah untuk menurunkan takhta raja disebabkan kegeringan yang besar dan berat.

“Pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang ini hanya membabitkan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan tidak perlu dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” titah baginda pada sidang media khas di Istana Abu Bakar, hari ini.

Tengku Abdul Rahman juga bertitah, ayahandanya, Sultan Ahmad Shah kini digelar Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.


Image result for sultan abdullah pahang  
Related image  

AL SULTAN ABDULLAH RIAYATUDDIN AL MUSTAFFA BILLAH SHAH
IBNI
SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL MUSTA'IN BILLAH
IBNI ALMARHUM
SULTAN SIR ABU BAKAR RI'AYATUDDIN AL MUADZAM SHAH
IBNI ALMARHUM
SULTAN ABDULLAH AL MU'TASSIM BILLAH SHAH
IBNI ALMARHUM
SULTAN AHMAD AL MUADZAM SHAH
IBNI ALMARHUM
BENDAHARA TUN ALI

Titah baginda, mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang semalam bagaimanapun tidak membincangkan mengenai isu pelantikan Tengku Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan terbaru itu juga bakal memungkinkan Tengku Abdullah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat oleh Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Pada 6 Januari lalu, Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah Kesultanan Pahang Sekarang


Kesultanan Negeri Pahang dikatakan telah wujud semenjak zaman Melaka apabila Sultan Muhammad Shah iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan isterinya yang bernama Puteri Onang Sari yang dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang. Sebelum itu, Pahang berada dibawah pemerintahan Kerajaan Siam.

Sultan Muhammad Shah (Raja Muhammad) dirajakan di Pahang sebagai hukuman buang negeri setelah melakukan kesalahan membunuh (menikam) Tun Besar (anak Bendahara Tun Perak) setelah bola raga yang disepak oleh Tun Besar terkena tanjak (destar) Raja Muhammad yang kebetulan lalu berhampiran dengan tempat Tun Besar bermain sepak raga dengan kawan-kawannya.

Senarai Sultan Pahang dari Keturunan Sultan Melaka

1470 –1475: Sultan Muhammad Shah I ibni almarhum Sultan Mansor Shah.
1475           : Sultan Abdul Jamil Shah ibni almarhum Sultan Muhammad Shah (diturunkan tahta) - mangkat 1511.
1475           : Sultan Mansur Shah ibni Sultan Abdul Jamil Shah.
1475 - 1497 : Sultan Ahmad Shah I ibni Sultan Mansur Shah.
1497 –1519 : Sultan Mansur Shah ibni Sultan Abdul Jamil Shah (kali kedua).
1519 –1530 : Sultan Mahmud Shah ibni almarhum Sultan Muhammad Shah.
1530 –1542 : Sultan Muzaffar Shah ibni almarhum Sultan Mahmud Shah (mangkat dibunuh).
1540 –1555 : Sultan Zainal Abidin Shah ibni almarhum Sultan Mahmud Shah.
1555 –1560 : Sultan Mansur Shah II Ibni almarhum Sultan Zainal Abidin Shah (mangkat dibunuh).
1560 –1575 : Sultan Abdul Jamal Shah ibni almarhum Sultan Zainal Abidin Shah (mangkat dibunuh).
1575 –1590 : Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah ibni almarhum Sultan Zainal Abidin Shah (mangkat dibunuh).
1590 –1592 : Sultan Ahmad Shah II  ibni almarhum Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah.
1592 –1614 : Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah ibni almarhum Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah (mangkat dibunuh).
1614 –1615 : Sultan Alauddin Riayat Shah ibni almarhum Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin Shah. Pada tahun 1615, Pahang dikalahkan oleh Acheh di bawah pimpinan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan Sultan Pahang dan keluarganya di bawa ke Acheh.  Dikalahkan oleh Acheh dan melarikan diri lalu menubuhkan Kerajaan buangan hingga 1641.

1615             : Sultan Abdul Jalil Shah III ibni almarhum Sultan Alauddin Ri'ayat Shah III (nama asal Raja Bujang), anakanda kepada almarhum  Sultan Alauddin Ri'ayat Shah III Zillullahi fil-Alam ibni almarhum Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah, (Sultan Johor, Pahang dan Lingga). Baginda telah dilantik menjadi Sultan Pahang oleh Kerajaan Acheh. Pada tahun 1623 baginda dilantik menjadi Sultan Johor lanjutan dari kemangkatan ayahanda saudaranya di Johor yang tidak mempunyai putera. Selepas itu, Pahang bergabung di bawah Kesultanan Johor. 

Seterusnya,pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan Johor yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang). Apabila Sultan Mahmud Shah II mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana).

Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikan Bendahara yang memerintah di Pahang. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja,Wan Ahmad.

Kesultanan Pahang SEKARANG adalah berasal dari keturunan Bendahara Pahang yang mentadbirkan Pahang bagi pihak Sultan Johor (meliputi Johor-Pahang-Lingga)

1688–1697 : Tun Habib Abdul Majid bin Tun Mat Ali -Bendahara Johor.
1697–1699 : Tun Abdul Jalil bin Tun Habib Abdul Majid - Bendahara Johor (mengisytiharkann diri sebagai Sultan Johor)
1699–1708 : Tun Mas Anom bin Tun Habib Abdul Majid - Bendahara Johor
1708–1716 : Tun Abdullah bin Tun Habib Abdul Majid - Bendahara Johor
1718–1721 : Tun Abdul Djamal bin Tun Habib Abdul Majid - Bendahara Johor

1722–1724 : Tun Abbas ibni Sultan Abdul Jalil IV - dilantik menjadi Bendahara Pahang.
1724–1734 : Tun Husain ibni Sultan Abdul Jalil IV - Bendahara Pahang
1734–1748 : Tun Mutahir I ibni Sultan Abdul Jalil IV
1748–1777 : Tun Hasan bin Tun Abbas
1777–1802 : Tun Abdul Majid bin Tun Hasan
1802–1803 : Tun Muhammad bin Tun Abdul Majid
1803–1806 : Tun Koris bin Tun Abdul Majid
1806–1847 : Tun Ali bin Tun Koris
1847–1863 : Tun Mutahir bin Tun Ali
1863–1881 : Tun Ahmad (Wan Ahmad) ibni Tun Ali (Baginda mengisytiharkan diri sebagai Sultan Pahang - berpisah dengan Johor)

Bendahara Wan Ahmad (Tun Ahmad) yang mengisytiharkan diri sebagai Sultan Pahang (1881) dengan gelaran Aultan Ahmad al Mu'adzam Shah.


Dengan termetrinya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, telah mengakibatkan pemisahan pemerintahan diantara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa Raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang yang ada pada hari ini telah bermula apabila Bendahara Wan Ahmad mula memakai gelaran Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada tahun 1882 dan dari zuriat Baginda, kekalnya Raja Pemerintah Negeri Pahang hingga ke hari ini.

Sultan Pahang Moden

1881 - 1914 : Sultan Sir Ahmad al Muadzam Shah ibni almarhum Bendahara Seri Maharaja Tun Ali.
1914 - 1917 : Sultan Mahmud Shah ibni almarhum Sultan Ahmad al Muadzam Shah.
1917 - 1932 : Sultan Sir Abdullah al Mustain Billah Shah ibni almarhum Sultan Ahmad al Muadzam Shah.
1932 - 1974 : Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin al Muadzam Shah ibni almarhum Sultan Abdullah al Mustain Billah Shah. 
1974 - 2019 : Sultan Haji Ahmad Shah al Mustain Billah ibni almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin al Muadzam Shah.
2019 - kini   : Al Sultan Abdullah Riayatuddin al Mustaffa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah al Mustain Billah.

Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustaffa Billah Shah

Baginda Sultan Abdullah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal dengan nama Tengku Abdullah. Baginda adalah anakanda keempat (putera sulong) kepada DYMM Sultan Ahmad Shah daripada tujuh beradik hasil perkahwinan Sultan Ahmad Shah dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan.

Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik Tengku Mahkota Pahang (ketika berusia 16 tahun) dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.




Ketika berusia 20 tahun, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 selepas ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-VII, pelantikan baginda itu adalah untuk tempoh lima tahun

Baginda dilantik semula sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi Kerajaan Pahang bertarikh 28 Disember 2016.

Tengku Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan, Sekolah Rendah St Thomas, Kuantan dan Sekolah Menengah St Thomas, Kuantan

Baginda melanjutkan pengajian di Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School (1975-1978), Davies College, London – Advance School (1978-1979), Royal Military Academy, Sandhurst, England (1979-1980) dan Worcester & Queen Elizabeth College (Foreign Affair & Diplomacy) (1981).


Related image

Baginda berkahwin dengan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti almarhum Sultan Iskandar Alhaj (Sultan Johor ke 4) pada Mac 1986. Tunku Azizah diputerikan di Istana Stulang, Johor Bahru pada 5 Ogos 1960, merupakan puteri ke 4 kepada almarhum Sultan Iskandar Alhaj dengan isterinya almarhuman Enche' Besar Hajjah Khalsom binti Abdullah (nee: Josephine Ruby Treverrow). Tunku Azizah merupakan Presiden Persatuan Pandu Puteri Pahang, Presiden Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF). Baginda juga seorang penulis buku dan memiliki kemahiran memasak yang amat tinggi. Baginda menulis buku Air Tangan Tengku Puan Pahang dan Masakan Tradisional Pahang (2005).


Baginda Sultan Abdullah juga berkahwin dengan Cik Puan Julia Aisha binti ‘Abdul Rais (dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 19 Feb 1971). 

Perkahwinan dengan Tunku Azizah dan Chik Puan Julia, baginda dikurniakan empat putera dan lima puteri.


(1)   Yang Mulia (YM)  Tengku Ahmad Iskandar Shah - diputerakan dan mangkat pada 24 Jul 1990 (bondanya Tunku Hajjah Azizah).

(2)   Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah diputerakan pada 17 Sep 1995 (bondanya Tunku Hajjah Azizah)- Tengku Mahkota Pahang (mulai Jan 2019).

(3) YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah -diputerakan pada 3 Ogos 1997 (bondanya Tunku Hajjah Azizah).

(4)  YM Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah diputerakan pada 11 Sep 2001 (kembar kepada Tengku Afzan Aminah) (bondanya Tunku Hajjah Azizah).

(5)  YM Tengku Putri Iman Afzan - diputerikan pada tahun 1993 (Che Puan Julia).

(6)  YM Tengku Putri Illisha Amira (bondanya Julia).

(7)  YM Tengku Putri Ilyana  (bondanya Che Puan Julia).

(8)  YM Tengku Putri Afzan Amina Hafizatullah diputerikan pada 11 Sep 2001  (bondanya Tunku Hajjah Azizah).

(9) Y.M. Tengku Putri Nur Jahan Khalsom Athiy’atu’llah diputerikan pada 27 April 2002 (bondanya Tunku Hajjah Azizah).

Sultan ‘Abdullah juga mempunyai dua orang anak angkat: 

(1)  YM Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim. Diputerakan pada 25 Ogos 1986.


(2)  YM Tengku Ahmad Iskandar.



Image result for sultan abdullah Agong XVI


Pemasyhuran Sebagai Sultan Pahang VI

Pengumuman Perlantikan

13 Januari 2019. Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman berhubung pelantikan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baru dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar di Pekan hari ini. Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan pada 15 Jan 2019.

Cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan sakit, dan dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 Jan 2019 setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

"Dalam keadaan sedih, dan dukacita saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah.

"Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat berpendapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah untuk dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang," katanya dalam sidang media khas di Istana Abu Bakar hari ini (12 Jan).

Rujuk: https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/tengku-abdullah-sultan-pahang-yang-baru/4222540.html

Istiadat Pemasyhuran

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang ke-6 menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Pemasyhuran penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar diumumkan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membacakan Pengisyitiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka, dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 dan mengikut hukum syarak bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Tengku Mahkota, Tengku Abdullah menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuatkuasa 11 Januari 2019.

“Maka yang demikian, ketahuilah pada semua yang hadir, seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.”

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baru hari ini melayakkan baginda dalam senarai pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Mesyuarat khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Agong baru, berikutan peletakan jawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Agong ke-15 pada 6 Januari lalu, akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.

Mengikut konvensyen penggiliran senarai 9 negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Pada istiadat pemasyhuran itu, selesai membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja, Tengku Abdul Rahman mempersembahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja kepada Sultan Abdullah.

Orang Kaya Indera Pahlawan kemudiannya dititah menghadap sebelum menyembahkan Titah Ikrar kepada Sultan Abdullah, 59, yang sejurus itu menyempurnakan ikrar berkenaan.

Sultan Abdullah yang berbaju Melayu tenun Pahang berwarna kuning diraja, kemudiannya melafazkan sumpah sebagai sultan dan raja pemerintah bagi Pahang dan dan segala jajahan takluknya.

“Bahawa beta dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku dan taat setia bagi menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya mengikut sebagaimana undang-undang tubuh jajahan Pahang yang telah dan akan disahkan serta dimasyhurkan dari semasa ke semasa,” titah baginda.

Sultan Abdullah berikrar dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat serta Pahang setiap masa.

Selepas Sultan Abdullah menyempurnakan Titah Ikrar, ungkapan takbir “Allahuakhbar” dilaungkan 3 kali, diikuti laungan “Daulat Tuanku” sebanyak 3 kali.

Sultan Abdullah yang diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, pada 30 Julai 1959 merupakan cahaya mata ke-4 dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Sebelum dilantik menjadi raja pemerintah negeri ini, Sultan Abdullah 2 kali diamanahkan menjadi pemangku Raja Pahang, iaitu kali pertama pada 28 April 1979 semasa Sultan Ahmad Shah menjadi Agong le-7 dan kali ke-2 pada 28 Disember 2016 semasa kesihatan Sultan Ahmad Shah mula merosot.

Istiadat pemasyhuran diadakan tepat 11 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah yang diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda berdua berangkat dari Istana Mahligai Mahkota kira-kira 1km dari Istana Abu Bakar dengan menaiki kereta Bentley berwarna hitam.

Turut mengiringi baginda berdua, Tengku Abdul Rahman dan Cik Puan Muda Pahang, Julita Aishah Abdul Latiff dan Tengku Ariff Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’dzam Shah.

Perarakan masuk ke Balairung Seri dengan 7 pembawa cogan kerajaan, pedang terhunus, pedang kerajaan dan keris kerajaan.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian bersemayam di atas singgahsana sebelum lagu “Allah Selamatkan Sultan” dimainkan dan sejurus lagu itu dimainkan, Timbalan Datuk Paduka Maharajalela menghadap memohon perkenan untuk memulakan istiadat pemasyhuran.

Tengku Muda Pahang mewakili Kerabat Bergelar, ahli Jumaah Pangkuan Diraja, kerabat dan orang-orang besar Pahang membaca perutusan taat setia dan diikuti persembahan ucapan sembah ikrar taat setia oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mewakili exco, wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun dan rakyat Pahang.

Kemuncak istiadat, Sultan Abdullah menyampaikan titah diraja sempena pemasyhuran baginda.

Sejurus itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman membacakan doa dengan diiringi Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain dan Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam Abdul Manan.

Selesai istiadat, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Balairung Seri.


d
Sultan Pahang dipilih Agong Ke-16, Sultan Perak kekal Timbalan

KUALA LUMPUR, 24 Januari 2019: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah, hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat terbabit turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, hari ini.


Sultan Abdullah Angkat Sumpah Yang Di Pertuan Agong XVI

KUALA LUMPUR 31 Januari 2019. - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini. – BERNAMA

Image result for sultan abdullah Agong XVI  
Image result for sultan abdullah Agong XVI  
Image result for sultan abdullah Agong XVI  


Perlantikan DYMM Sultan pahang sebagai Yang Di Pertuan Agong XVI turut mencipta sejarah sebagai pemerintah yang paling singkat memerintah Negeri iaitu mulai  dari tarikh dilantik menjadi Sultan sehingga tarikh mengangkat sumpah sebagai Yang Di Pertuan Agong - iaitu hanya 21 hari sahaja.