Tuesday, May 15, 2018

M 189: MUHYIDDIN: HERO PRU 14

Image result for ppbm logo
MUHYIDDIN YASSIN
PEMBINA TITIAN TUMBANGNYA KERAJAAN BN
Image result for tan sri noorainee

Kesah PRU 14

PRU 14 telah selamat dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun terdapat pertembungan hebat antara Pakatan Harapan atau PH (satu coalition baru) dengan Barisan Nasional atau BN (parti pemerintah Malaysia).

BN telah ditubuhkan sejak tahun 1973 (oleh almarhum Tun Razak) mengandungi 11 buah parti dari seluruh Malaysia (Perikatan (UMNO. MCA dan MIC), GERAKAN, PPP, PAS, PBB, SUPP, USNO, SNAP, SCA). PAS kemdiannya keluar dari BN. Apabila UMNO masuk ke Sabah pada 1991, USNO dibubarkan. Keahlian BN kemudian terus bertambah dengan kemasukan PBDS, PBS, LDP, SAPP, UPKO. PRS, SPDP dan lain-lain. Malah sejarah BN bermula dari Perikatan yang diasaskan oleh Almarhum Tunku Abd Rahman dalam tahun 1952 (bersama mendian Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan) telah berkuasa sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan PRU Pertama 1959.

PH adalah gabungan tidak rasmi (secara MOU) di antara tiga buah parti PKR, DAP dan AMANAH. PPBM yang ditubuhkan pada Sep 2016 bergabung dalam PH tetapi pendaftarannya digantung oleh ROS sebaik sahaja Parlimen dibubarkan pada bulan Apr 2018. Sehingga PRU 14 dilangsungkan, pendaftaran PH masih belum diluluskan. Oleh itu semasa PRU 14, ketiga-tiga parti (PKR/DAP/AMANAH) dan ahli PPBM bergabung secara MOU menggunakan lambang PKR.

PRU 14 menamatkan legasi BN yang diterajui oleh UMNO selama 63 tahun (sejak 1955) sebagai parti yang diamanahkan untuk memerintah, apabila rakyat Malaysia menggunakan kuasanya memberi kemenangan kepada PH.

Peralihan Kuasa PM Malaysia


Sejak merdeka peralihan kuasa dari satu PM ke satu PM berjalan dengan baik. Walaupun terdapat sedikit krisis sebelum peralihan kuasa antara Tunku (PM 1) dengan Tun Razak (PM 2) pada tahun 1970. Terdapat tekanan dari Tun Razak untuk Tunku meletak jawatan setelah berlaku Peristiwa 13 Mei 1969.  Tun Hussein (PM 3) mengambil alih jawatan PM apabila Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1976. 

Pada tahun 1981, Tun Hussein meletak jawatan (masalah kesihatan) dan digantikan oleh Tun Dr Mahathir sebagai PM 4. Tun Dr Mahathir meletak jawatan pada tahun 2003 dan diambil alih oleh Tun Abdullah Badawi (sebagai PM 5). Tun Abdullah meletak jawatan pada tahun 2009 (atas desakan ahli UMNO) dn digantikan oleh DS Najib sebagai PM 6. DS Najib menghadapi banyak skandal kewangan, ditekan oleh pihak pembangkang yang disokong oleh Tun Dr Mahathir.



Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO

Apabila Datuk Seri Abdullah Badawi (Pak Lah) dilantik jadi PM pada Okt 2003, Pak lah berhasrat melantik Muhyiddin jadi TPM tapi Tun M menasihatkan Pak Lah supaya lantik Najib. Pak Lah mengikuti nasihat Tun M.

Muhyiddin adalah pemimpin UMNO yang berani membuat cadangan peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib disegerakan pada awal 2009 bukan akhir 2010 seperti yang dipinta oleh Pak lah. Atas desakan berterusan dan disokong oleh bekas PM Tun Mahathir, akhirnya Pak Lah akur dan meletak jawatan pada Apr 2009 untuk memberi jalan kepada DS Najib. Jawatan Menteri Muhyiddin hampir terkorban (kemungkinan dipecat Pak Lah) lantaran kelantangannya. 


Kenapa Muhyiddin Jadi Hero

Peranan Tun Dr Mahathir sebagai Panglima Perang dalam Kempen PRU 14 dan mengubah senario politik Negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Tapi apa asas Mahathir untuk mengepalai Pakatan Harapan yang mana kesemua Ketua-Ketua Parti dalam Pakatan Harapan merupakan  musuh ketat Tun Mahathir sejak zaman berzaman?. 

Mana mungkin Tun Dr Mahathir akan terhegeh-hegeh menemui pemimpin PH supaya dilantik untuk mengetuai PH? Tak mungkin Tun M masuk DAp atau PKR atau AMANAH dan terus diangkat menjadi Pengerusi atau Ketua salah satu Parti tersebut. 

Selain dari itu, usaha Tun melalui Deklarasi Rakyat (mendapat tandatangan 1.4 juta rakyat Malaysia meminta Najib meletak jawatan) dan mengadap SPB Yang DiPertuan Agong (almarhum Sultan Kedah) pada 16 Sep 2016 (supaya mengambil perhatian kepada salah laku Najib) tidak mendapat sambutan secara terbuka. YDP Agong berpendirian berkecuali dan tidak mengambil tindakan lanjut.

Tun pernah dipecat dari UMNO pada 26 Sep 1969 dan masuk semula ke UMNO pada 7 Mac 1972 setelah dipujuk oleh Tun Razak. Setelah itu Tun M tidak menoleh ke belakang dan dalam masa 9 tahun (1981), Tun M dilantik menjadi PM dan memegang jawatan tersebut selama 22 tahun (hingga 2003). Dalam tahun 2008 Tun M keluar UMNO kerana memprotes Pak Lah yang enggan meletak jawatan sebagai PM dan masuk semula pada tahun 2009 setelah Pak Lah meletak jawatan. Pada tahun 2016, Tun M sekali lagi keluar UMNO kerana menentang kepimpinan DS Najib. Beliau menyertai Muhyiddin menubuhkan PPBM untuk melawan UMNO dalam PRU 2018.

DAP ditubuhkan dalam tahun 1966 dan Lim Kit Siang menjadi pembangkang sejak tahun 1969 dan tidak pernah berjaya menjadi parti pemerintah walaupun berjuang melalui pelbagai cara sehingga terpaksa bergabung dengan PAS dan PKR dalam PRU 11, PRU 12 dan  PRU 13.

Ahmad Sabu berjuang dalam PAS sejak 1981, pernah beberapa kali menjadi Ahli Parlimen dan pernah menjadi Timbalan Presiden PAS (2011-2013). Semasa dalam PAS Mat Sabu adalah penentang tegar Tun Mahathir. Pernah dua kali ditahan di bawah ISA. Kemudian keluar dari PAS untuk menubuhkan (dan mengetuai) Parti Amanah Negara pada tahun 2015.

Wan Azizah menyertai Anwar menubuhkan Parti Keadilan Nasional (ADIL) pada 1999 kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menentang UMNO (Tun M) dalam PRU 10 (1999) dan terus berjuang sehingga PRU 13. Wan Azizah menjadi Presiden PKR sejak ditubuhkan (sebagai proxy Anwar yang dipenjarakan sebanyak dua kali). Walaupun pernah bergabung dengan PAS dan DAP (melalui Pakatan Rakyat), satu PRU demi satu PRU, PKR masih gagal menumbangkan BN.

Sepanjang kempen PRU 14, tidak pernah ada orang terfikir bahawa Tun M akan berkempen bersama musuh ketatnya Lim Kit Siang dan Ahmad Sabu. Malah tidak sama sekali dengan DS Wan Azizah (isteri DS Anwar Ibrahim, bekas Timbalannya yang pernah dipecat dalam tahun 1998). 

PPBM yang ditubuhkan oleh Muhyiddin (Presiden) dan Tun M sebagai Pengerusinya telah menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan AMANAH (serpihan PAS).


Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin sebagai Presiden PPBM

Pada 10 Mei 2018, PH berjaya menumbangkan BN dalam PRU 14.

Kalau Muhyiddin tidak melawan Najib, dia kekal sebagai TPM, tidak akan dipecat dari UMNO, tidak akan menubuhkan PPBM. Tanpa PPBM Tun M tidak ada platform untuk menentang Najib secara demokrasi. Tak mungkin Tun M diterima oleh PKR, DAP atau AMANAH mahupun PAS.

Tanpa PPBM (serpihan UMNO), PKR hanya berjuang dengan DAP dan AMANAH. Sukar untuk menembusi tembok kebal UMNO. Dengan jalan yang dilorongkan oleh Muhyiddin, Tun M bergerak melancarkan serangan (menggunakan kepakaran, kemahiran, sisa pengaruhnya serta kehebatannya) berkempen menentang Najib dan BN.

Pada 10 Mei 2018, Gabungan (MOU) PH bukan sahaja menumbangkan BN dan kuasa UMNO bahkan hampir melenyapkan membunuh MCA, MIC dan Gerakan. Ketiga Presiden parti tersebut kecundang.

Mahyuddin Jadi Hang Jebat

Apabila DS Najib dilantik menjadi PM (ke 6), TS Muhyiddin dilantik menjadi TPM pada 10 April 2009.  Kedudukan yang selesa dalam perjuangan politik Malaysia. Apabila berita mengenai skandal Najib mula tersiar di luar negara ( issue 1MDB dan 1.2 billion masuk dalam akaun peribadi PM), Muhyidddin mula menyoal Najib akan kesahihan berita itu. Najib enggan menjawab. Berita semakin melarat. Najib terus membisu dan setiap jawapan yang diberi sentiasa berbeza dan semakin menimbulkan kesangsian. 


Image result for tan sri noorainee

Dari jumlah begitu ramai ahli Jemaah Menteri, hanya Muhyiddin, Shafie Apdhal dan Husni Hanadzlah (serta Mukhriz MB Kedah) yang berani menentang arus untuk mempersoalkan  integriti Najib berkait dengan Isu 1MDB (malangnya Husni kemudiannya membuat U-Turn untuk menyokong semula kepimpinan Najib sebelum PRU 14 - dan beliau tewas mempertahankan kerusi Parlimen 
nya)

Berikut adalah antara sedutan ucapan Muhyiddin dalam tahun 2015 (sebelum dipecat dari UMNO dalam tahun 2016) di UMNO Bahagian Cheras. Dan kesemua apa yang disebutkan oleh Muhyiddin dalam ucapan tersebut, benar-benar berlaku.



 Pemimpin UMNO tidak berani menafikan penglibatan Najib dalam skandal 1MDB

Kalau UMNO tak mahu bertindak dan berubah, UMNO (BN) akan tewas dalam PRU 14



Lagi kuat media hentam Tun Mahathir, lagi meningkat populariti nama beliau, dan lagi menurun populariti UMNO

Apabila Muhyiddin mempersoalkan kedudukan beliau yang tidak diberikan ruang untuk membuat ucapan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2015, dan berterusan menegur salah laku PM (merangkap Menteri Kewangan), Presiden UMNO dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan berjuang bersama-sama pakatan pembangkang dalam Deklarasi Rakyat yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang antaranya ingin menyatakan kebimbangan terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial dalam negara. Akhirnya, Najib menggunakan budibicara sebagai PM untuk memecat Muhyiddin dari kabinet  pada 28 Julai 2015. Namun jawatan-jawatan beliau yang lain dalam UMNO dikekalkan. Oleh kerana beliau tidak lagi mendapat sokongan sebahagian besar ahli UMNO  untuk memperjuangkan kebenaran, maka beliau tidak mempunyai pelantar lain untuk menemui rakyat, KECUALI; sama ada menyertai mana-mana parti politik yang ada ATAU menubuhkan parti politik yang baru.

Muhyiddin terus mempertikaikan kejujuran Najib. Tidak tahan dengan sikap Mahyuddin, Najib (menggunakan saluran MT) telah memecat Muhyiddin dari menjadi ahli UMNO pada 25 Jun 2016. Turut dipecat ialah Mukhriz Mahathir (MB Kedah). Shafie Apdhal yang digantung jawatan kemudiannya keluar dari UMNO.

Pemecatan Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemecatan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO terhadap beliau adalah satu dugaan Allah kepada dirinya pada bulan Ramadan ini.

Katanya, beliau telah menjangkakan keputusan yang dibuat oleh MT walaupun menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan atau mengkhianati UMNO.

"Keputusan pemecatan saya ini telahpun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya.

"Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng," katanya menerusi satu kenyataan yang dibuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

Majlis Tertinggi UMNO semalam memecat Muhyiddin dan Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin manakala Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.


Image result for muhyiddin yassin dan keluarga

Berikut merupakan kenyataan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pemecatan beliau daripada UMNO:


KENYATAAN 
YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerana kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah SWT. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba.

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. Insya-Allah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah SWT terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:
"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat Tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah


Kebangkitan Muhyiddin

Seperti disebutkan lebih awal tadi, Tun Dr Mahathir dianggap Panglima Perang yang mengetuai bala tentera Pakatan Harapan (PH) yang menumbangkan BN yang diterajui oleh UMNO.

Muhyiddin bukan orang baru dalam UMNO. Dari segi kepimpinan, beliau lebih senior dari Najib dan Ahmad Zahid. Jauh sekali Hishammuddin dan Khairy. Walaupun Najib mulai menjadi Wakil Rakyat Pekan sejak tahun 1976 (menggantikan ayahandanya), Najib adalah calon payung terjun. Beliau memulakan kerjaya politik menggunakan nama Tun Razak. Muhyiddin telah menjadi Wakil Rakyat sejak tahun 1978 setelah hampir 10 tahun memimpin UMNO di peringkat Bahagian dan Negeri Johor. Setelah bersama UMNO selama 50 tahun, sudah tentu beliau juga mempunyai penyokong akar umbi di Johor dan Malaysia. Lagipun, Muhyiddin dipecat dari UMNO bukan kerana ada skandal atau menentang parti. Beliau dipecat atas sebab prinsip integriti, mempersoalkan skandal Presiden UMNO yang memalukan negara, bukan menentang Presiden UMNO. Sudah pasti pemergian Muhyiddin diiringi dengan tangisan dan simpati ratusan ribu ahli UMNO. Tetapi mereka tidak bersuara kerana TAKUT. Bayangkan, kalau Timbalan Presiden pun boleh kena pecat, apa lagi Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan? Lagi satu siapa mahu mendengar suara Ketua Bahagian biasa?

Muhyiddin tiada pilihan lain, terpaksa menubuhkan parti baru untuk menentang UMNO. Muhyiddin pun seperti Mahathir, tak mungkin melutut kepada DAP, PKR atau AMANAH atau PAS supaya dipilih sebagai pemimpin. Beliau menubuhkan dan mengetuai (Presiden) Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 Sep 2016. Tun Mahathir menyertai PPBM dan dilantik sebagai Pengerusi.

(RASAnya) Niat asal Muhyiddin bukan menjatuhkan BN atau Kerajaan. Tetapi hanya untuk mengumpulkan ahli UMNO yang sealiran dengannya (menentang kemungkaran dalam UMNO) menyertai PPBM untuk berlawan dengan UMNO dengan harapan satu hari nanti PPBM akan mengambil-alih kedudukan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu.


Tetapi untuk berjuang menentang BN/UMNO secara berseorangan memang sukar dan  mustahil. Sambutan dari kalangan ahli UMNO amat perlahan kerana mereka melihat risiko menyertai parti baharu. Oleh itu, sekali lagi PPBM membuat keputusan menyertai PH untuk menentang BN. Kenapa tidak menyertai PAS? Menyertai PAS mungkin sukar untuk mendapat undi bukan Melayu dan pada masa yang sama PAS telah menunjukkan tanda-tanda banyak bersetuju dengan cara UMNO mentadbir negara malah tidak pernah mempersoalkan skandan Najib. 

Pada tanggal 13 Disember 2016, di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, beliau telah mewakili PPBM bagi menandatangani perjanjian dengan Pakatan Harapan untuk bekerjasama dalam menghadapi Barisan Nasional PRU ke-14. Beliau telah bersetuju untuk bekerjasama, tetapi masih belum bersedia untuk menjadi parti komponen dalam PH. 


PH juga telah bersetuju untuk menggunakan satu logo bagi mewakili parti pembangkang yang bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pakatan Harapan-Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bagi menentang Barisan Nasional semasa pilihan raya tersebut.


Dugaan Besar

PPBM bukan sahaja memulakan langkah (sebagai parti baru) dengan sukar kerana terpaksa melalui pelbagai proses perundangan bahkan juga halangan demi halangan dari pihak pemerintah serta sabotaj dari ahlinya sendiri yang bertindak keluar parti (kerana kecewa- pelbagai sebab). Pilihanraya semakin dekat. Pada masa yang sama proses kerja sama dengan PH juga memerlukan langkah dan tindakan yang berhati-hati kerana PH pastinya masih sangsi dengan 100% ahli PPBM dari bekas pemimpin dan ahli UMNO.

Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah melengah-lengahkan proses permohonan pendaftaran PPBM. Motifnya MUNGKIN supaya PPBM tidak dapat membuat persiapan untuk bertanding dalam PRU 14.  Juga, gabungan Pakatan Harapan tidak dapat diwujudkan bersama PPBM dan tidak dapat menggunakan lambang tunggal dalam PRU 14.




Related image
Simbol PAKATAN HARAPAN yang dicadangkan untuk menjadi simbol tunggal

Pada 4 April 2018, 24 hari sebelum hari penamaan calon, ROS mengeluarkan arahan supaya PPBM dibubarkan sementara kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. 

PUTRAJAYA, 4 April 2018: Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, berkata perintah itu memperuntukkan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan ROS dan jika ada rayuan dan ditolak, PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.

Beliau berkata, PPBM juga tidak boleh menggunakan nama dan logo parti dalam tempoh perintah pembubaran sementara itu serta tidak dibenar melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti.

Kejatuhan BN

NAMUN, PH telah mengambil alternatif yang tidak dijangka oleh PH apabila gabungan tidak rasmi dan tidak diluluskan itu menggunakan simbol PKR sebagai simbol tunggal untuk digunakan oleh calon-calon PKR, DAP, AMANAH dan PPBM yang bertanding dalam PRU 14 (kecuali di Sabah dan Sarawak)


Image result for logo pakatan harapan
Simbol PKR

Bendera yang sejak tahun 1998 digunakan oleh PKR dalam Langkah Reformasi (yang diketuai oleh Anwar Ibrahim) untuk menentang dan menjatuhkan Mahathir dan UMNO (BN) selama hampir 20 tahun, kali ini digunakan oleh Mahathir untuk menjatuhkan UMNO, BN dan Najib.


Dipendekan cerita RENCAH paduan dari Tun Mahathir, Wan Azizah (juga Azmin dan Rafizi), Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng telah berjaya menghasilkan RESIPI yang sesuai dan memenuhi selera sebahagian besar pengundi Malaysia.

Selain dari BERBAGAI SKANDAL kewangan yang dikaitkan dengan exPM Najib, faktor PENTING lain yang menjadi bahan RENCAH tambahan untuk menambah kelajuan payung terjun BN ialah kewujudan manusia-manusia yang bertopengkan XXXXXXX yang bermati-matian dan membabi buta mempertahankan bahawa Najib TIDAK MEMBUAT APA-APA KESALAHAN:

(1)  Mohamad Nazri Aziz (ditambah dengan sikap bongkak dan takabbur ala ganster)
(2)  Mohd Salleh Said Keruak
(3)  Abd Rahman Dahalan
(4)  Abdul Azeez Rahim
(5)  Tajuddin Abd Rahman (juga ala gangster)
(6)  Shahrir Samad (walaupun dulu terkenal sebagai MP yang mempunyai prinsip integriti yang paling tinggi)
(7)  Tengku Adnan Kassim
(8)  Ahmad Zahid Hamidi (sudah mula nampak peluang dan harapan dapat menggantikan Najib, jika kes Najib sangkut)
(9)  Ahmad Maslan
(10)  Azlina Othman Said
(11)  Noh Omar
(12)  Annuar Hj Musa
(13)  Jamal Yunos
(14)  Puad Zharkasi

Selain dari, wujudnya watak-watak dari kalangan penjawat awam yang membantu menyembunyikan fakta, menghalang siasatan,  menghentikan siasatan dan menolak laporan malah membantu dan melindungi aktiviti Najib untuk meneruskan kemungkaran seperti:

(1)  Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
(2)  Ketua Polis Negara
(3)  Peguam Negara
(4)  Ketua Pesuruhjaya SPRM
(5)  Pengerusi PAC

Tindakan individu-individu di atas seolah-olah semua rakyat Malaysia (khususnya orang Melayu yang mendokong UMNO) adalah orang kampung yang tak bersekolah, bodoh dan  Rakyat semakin

HASILnya dalam PRU 14 pada 9 Mei 2018, PH telah berjaya menumbangkan Kerajaan BN yang telah memerintah (Tanah Melayu dan Malaysia) lebih dari 60 tahun. Selain dari memenangi Parlimen, PH juga berjaya menumbangkan BN di Dewan Undangan Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Sabah disamping mengekalkan DUN Selangor dan Pulau Pinang. PAS mengekalkan DUN Kelantan dan menumbangkan BN di DUN Terengganu. BN hanya berjaya mempertahankan Perlis dan Pahang.


Kesah dan Nasib Timbalan PM Malaysia

Tun Razak Hussein melalui kerjaya politik bermula sejak sebelum merdeka dan setelah Tanah Melayu merdeka, Razak dilantik menjadi Timbalan PM pertama, kemudian menjadi PM ke 2 sehingga meninggal dunia pada Jan 1976.

Tun Dr Ismail menjadi ahli UMNO sejak  ditubuhkan 1946. Beliau telah menjadi Timbalan YDP UMNO pada tahun 1951. Walaupun beliau lebih senior dari Tun Razak, Tunku telah memilih Tun Razak sebagai Timbalan PM dalam tahun 1957. Tun Dr Ismail meletak jawatan kabinet antara tahun 1967- 1969 atas masalah kesihatan. Kembali ke kabinet pada tahun 1969 untuk membantu Tun Razak dalam menangani pergolakan politik/kaum pada 13 Mei 1969. Dilantik menjadi Timbalan PM ke 2 pada tahun 1970 dan meninggal dunia dalam tahun 1973 semasa memegang jawatan.

Tun Hussein Onn adalah SU Agung UMNO pada tahun 1950, meninggalkan UMNO pada tahun 1951, aktif semula pada tahun 1968, menjadi MP tahun 1969, dilantik menjadi Menteri pada tahun 1970, kemudian menjadi Timbalan PM ke 3 pada Ogos 1973 dan akhirnya menjadi PM pada Jan 1976 sehingga Jul 1981. Hussein keluar UMNO pada tahun 1987 sehingga meninggal dunia pada tahun 1990.

Tun Dr Mahathir menyertai UMNO sejak 1946, mula menjadi MP pada tahun 1964 (PRU 2), tewas dalam PRU3 (1969) dan dipecat dari UMNO pada Sep 1969 oleh Tunku Abd Rahman kemudian dipujuk masuk oleh Tun Razak pada tahun 1972. Kembali mejadi MP pada tahun 1974 (PRU 4) dan dilantik menjadi Menteri  Pelajaran seterusnya dilantik menjadi Timbalan PM ke 4 pada tahun 1976 dan akhirnya menjadi PM ke 4 selama 22 tahun mulai 1981 sehingga 2003. Setelah bersara dari PM, Mahathir pernah keluar UMNO dua kali. Keluar UMNO pada tahun 2008 dan kembali masuk pada tahun 2009. Kali kedua pada tahun 2015 dan menyertai PPBM pada tahun 2016. Kembalik aktif dalam politik dan menyertai Pakatan Harapan (PKR/DAP/PAN) pada tahun 2017 dan berjaya menumbangkankan BN dalam PRU 14 pada 9 Mei 2018 dan dilantik sebagai PM ke 7.

Tun Musa Hitam menyertai UMNO di awal tahun 60an, mula menjadi MP pada tahun 1968 dan pernah dilantik jadi Menteri Muda. Dipecat dari UMNO oleh Tunku pada tahun 1969 dan kembali pada tahun 1971. Dilantik menjadi Timbalan Menteri (1974-1978) dan Menteri penuh mulai 1978 dan dilantik menjadi Timbaan PM ke 5 antara tahun 1981-1986 sebelum meletak jawatan. Kekal sebagai ahli UMNO dan gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam tahun 1987.

Tun Abdul Ghaffar  mula menjadi ahli UMNO sejak tahun 1955, aktif di peringkat Negeri dan pernah jadi Ketua Menteri Melaka. Mula menjadi MP pada tahun 1969 sehingga 2004. Mula dilantik menjadi Menteri pada tahun 1972 hingga 1976. Dalam tahun 1987 Ghaffar kembali ke kabinet dan dilantik menjadi Timbalan PM ke 6 sehingga 1993 apabila beliau tewas dengan Anwar Ibrahim dalam pertandingan jawatan Timlaban Presiden UMNO.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan terpilih menjadi MP dalam tahun 1982  (dalam PRU 6) dan dilantik mejadi Tim Menteri, dan menjadi Menteri Penuh dalam tahun 1983. Menjadi Timbalan PM ke 7 pada Dis 1993 hingga dipecat pada Sep 1998. Menubuhkan ADIL (PKR) dalam tahun 1999 dan menyertai PRU ke 10 (1999), 11 (2004), 12 (2008) dan 13 (2013), partinya tetapi gagal. Dua kali dipenjarakan (2003-2006) dan 2015-2918. Dalam tahun 2018 Anwar menyertai Mahathir bersama PH telah berjaya menumbangkan BN. Anwar diberi pengampunan penuh oleh YDP Agong dan dibebaskan.

Tun Abdullah Badawi mula menjadi MP pada tahun 1978 (selepas PRU 5) dan dilantik menjadi SUPAR, kemudian menjadi Timbalan Menteri pada tahun 1980 dan Menteri Penuh pada tahun 1982. Pernah digugurkan dari kabinet antara tahun 1987-1991. Kembali dalam kabinet pada tahun 1991 dan dilantik menjadi TPM ke 8 pada tahun 1999. Abdullah mengambil alih jawatan PM ke 5 pada tahun 2003 dan memegang jawatan sehingga 2009.

Dato Seri Najib menjadi MP (ketika masih belajar di UK) untuk menggantikan ayahnya Tun Razak yang meninggal dunia dalam tahun 1976. Kerjaya politiknya tidak mempunyai halangan kerana UMNO menghormati ayahnya. Menjadi Timbalan Menteri semasa berusia 25 tahun (1978) dan MB Pahang pada tahun 1982 (29 tahun). Bermula tahun 1986 Najib mengekalkan kerusi Parlimen Pekan sehingga sekarang (2018). Dilantik menjadi Menteri penuh mulai 1986 dan menjadi TPM ke 9 pada tahun 2003 dan menjadi PM ke 6 pada tahun 2009. Dibawah pimpinannya Kerajaan BN yang memerintah Tanah Melayu dan Malaysia sejak tahun 1955 ditumbangkan. 


Tan Sri Muhyiddin Yassin mula menjadi MP dalam tahun 1974 hingga 1982. Pernah menjadi SUPAR dan Timbalan Menteri. Dari 1982 - 1990 menjadi ADUN dan dilantik menjadi MB Johor. Pada tahun 1990 kembali dalam kabinet. Dilantik mejadi Timbalan PM ke 10 pada tahun 2009 sehinggalah dipecat oleh PM Najib pada tahun 2015. Dipecat dari UMNO pada tahun 2016 dan menubuhkan PPBM lalu menyertai PH dalam PRU 14 (2018) dan berjaya menumbangkan Kerajaan BN. Dilantik menjadi Menteri dalam Kerajaan baru PH.

Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mula menjadi MP dalam tahun 1995 hingga kini (2018). Dilantik menjadi Timbalan Menteri pada tahun 2004 dan Menteri Penuh pada tahun 2008. Dilantik menjadi TPM ke 11 pada tahun 2015 untuk menggantikan Muhyiddin yang dipecat dari UMNO. Menamatkan tugas sebagai TPM pada 9 Mei 2018 apabila BN tewas dalam PRU 14 (2018).


BIODATA
Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin PSM SPMJ SHMS SPSA SPMP SUNS SPDK DP PNBS SMJ BSI (I) PIS (I) 

JAWATAN SEKARANG

Menteri Dalam Negeri (mulai 12 Mei 2018)

JAWATAN DALAM PARTI SEKARANG

(1)   Presiden, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (mulai 9 Sep 2016)
(2)   Timbalan Pakatan Harapan (PH).
(3)   Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PH
(4)   Ahli Majlis Presiden PH.
(5)   Pengerusi Pakatan Harapan Johor (2017 - kini)

JAWATAN KERAJAAN SEBELUM INI

(1)  Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-10 (10 Apr 2009 – 28 Jul 2015)
(2)  Menteri Pendidikan I (12 Ogos 2013 – 28 Julai 2015)
(3)  Menteri Pelajaran (10 Apr 2009 – 11 Ogos 2013)
(4)  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (19 Mac 2008 – 9 Apr 2009)
(5)  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (27 Mac 2004 – 18 Mac 2008)
(6)  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (15 Dis 1999 – 26 Mac 2004)
(7)  Menteri Belia dan Sukan (4 Mei 1995 – 14 Dis 1999)
(8)  Menteri Besar Johor Darul Ta'zim ke-13 (12 Ogos 1986 – 3 Mei 1995)
(9)  Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian I Malaysia (1983 - 1986)
(10) Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia (1982 - 1983)
(11) Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri Malaysia (1981 - 1982)
(12) Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim (Bahagian Latihan dan Biasiswa) (1970 - 1974) 
(13) Penolong Pegawai Daerah Muar (1974 - 1978)

JAWATAN DALAM PARTI SEBELUM INI

(1)  Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (26 Mac 2009 – 26 Feb 2016)
(2)  Timbalan Presiden UMNO (26 Mac 2009 – 26 Feb 2016)
(3)  Naib Presiden UMNO (1990 - 1996) dan (2000 - 2009)
(4)  Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1985 - 1993) dan (1996 - 2000)
(5)  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan (2009 - 2013)
(6)  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (1986 - 1995)
(7)  Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor (1982 - 1986 dn (1995 - 2003)
(8)  Ketua UMNO Bahagian Pagoh (26 April 1985 - 24 Jun 2016)
(9)  Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh (1982 - 1985)
(10) Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (1982 - 1986)
(11) EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (1976 - 1985)
(12) Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (1976 - 1982)
(13) EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
(14) Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh (1976 - 1982)
(15) Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (1974 - 1976)
(16) Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh (1974 - 1976)
(17) Ketua UMNO Cawangan-Cawangan Bukit Serampang dan Jorak
(18) Bendahari UMNO Bahagian Muar-Pagoh (1972 - 1974)
(19) Pengerusi UMNO Cawangan Permatang Pasir (1971)

WAKIL RAKYAT

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir (Mei 2018 - kini)
Ahli Parlimen Pagoh (1995 - kini)
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang (1986 - 1995)
Ahli Parlimen Pagoh (1978 - 1986)

Butiran peribadi

Nama asal: Mahiaddin bin Muhammad Yassin
Tarikh Lahir: 15 Mei 1947 
Tempat Lahir: Muar, Johor Darul Ta'zim
Pasangan:  Noorainee Haji Abdul Rahman (Berkahwin pada 22 Sep 1972)
Anak-anak:
Fakhri Yassin (42 tahun)
Nabilah (40 tahun)
Najwa (32 tahun)
Farhan Yassin (25 tahun)

Bapa: Allahyarham Haji Muhammad Yassin bin Muhammad
Ibu: Allahyarhamah Hajjah Khadijah Haji Kassim

Keluarga

Beliau berasal dari Bandar Maharani, Muar, Johor Darul Ta'zim dan merupakan salah seorang daripada 47 orang anak seorang ulama terkenal di Muar, iaitu Tuan Haji Muhammad Yassin bin Haji Muhammad dan isteri kedua daripada empat orang isteri, iaitu Puan Hajjah Khadijah binti Haji Kassim.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail (sekolah aliran Inggeris) serta Sekolah Tinggi Muar di Muar (sekolah menengah). Kemudiannya beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Pengajian Melayu (1971).

Semasa di alam pembelajaran di peringkat rendah hingga ke universiti, beliau tidak terkelompok dalam kumpulan pintar atau genius.Beliau adalah seorang siswa biasa tetapi amat tekun dan kuat berusaha.

Beliau sangat berminat membaca dan sering meluangkan waktu dan menghabiskan waktu dengan membaca. Beliau seolah-olah ketagih membaca atau seperti ulat buku meskipun bukan mengenai bidang kursus yang diikutinya. Beliau mempunyai pengetahuan luas tetapi beliau tidak memperlihatkannya dalam tutur kata atau ketika berhujah. Beliau adalah seorang yang pendiam tetapi amat suka mendengar dan memberi tumpuan dalam sesuatu perbincangan. Beliau sentiasa berjaya menyelesaikan sesuatu persoalan dan masalah para sahabat dengan tindakan yang cepat dan kelihatan begitu mudah.


Related image

Isteri dan Anak

Tan Sri Muhyiddin telah mendirikan rumahtangga pada tanggal 22 September 1972 yang lalu. Hasil daripada perkongsian hidup beliau bersama Puan Sri Datin Paduka Hajjah Noorainee Abdul Rahman, mereka telah dikurniakan dengan 4 orang anak, 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan, iaitu Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin, (berkahwin dengan Datin Fara Nadia Tan Sri Haji Abdul Rahim), seorang tokoh korporat dan berjawatan sebagai Pengerusi Eksekutif; Datin Nabilah Mahiaddin, (berkahwin dengan Dato' Muhamad Adlan Berhan); Najwa Mahiaddin, (berkahwin dengan Encik Idris Koh Keng Hui), seorang penyanyi dan Farhan Yassin Mahiaddin, juga seorang penyanyi, juga dikenali sebagai Moslem Priest.


Image result for tan sri noorainee  
Related image  

Ayahanda dan Bonda

Ayahanda beliau yang bernama Haji Muhammad Yassin bin Muhammad adalah seorang ulamak terkenal di Bandar Maharani Bandar Diraja, Muar, Johor Darul Ta'zim dikatakan berasal dari Siak, Riau, Sumatera, Indonesia dan berketurunan Bugis mengikut apa yang diceritakan oleh isteri beliau, Allahyarhamah Hajjah Kintan. Hasil perkongsian hidup ayahanda beliau dengan 4 orang isterinya, mereka dikurniakan dengan 47 orang anak.

Isteri pertama ayahanda beliau ialah Allahyarhamah Hajjah Maznah binti Haji Daud, isteri kedua, Allahyarhamah Hajjah Khadijah binti Haji Kassim (ibu kandung Tan Sri Muhyiddin) berketurunan Jawa, Allahyarhamah Hajjah Sapiah binti Haji Abdullah (isteri ketiga) dan Allahyarhamah Hajjah Kintan binti Haji Ibrahim (isteri keempat).

Keluarga Allahyarham Haji Muhammad Yassin yang ramai bilangan ini tinggal di sebuah kampung di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar, Johor Darul Ta'zim di rumah-rumah ibu yang berasingan. Kampung ini masih terdapat sehingga ke hari ini.

Allahyarham juga telah mengasaskan Sekolah Menengah Md Yassin (Persendirian) di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar. Bukan setakat itu sahaja, Allahyarham telah mengasaskan Sekolah Arab Saadiah di Batu 1 1/2 Jalan Bakri yang mengambil para pelajar lelaki dan perempuan untuk mengikuti pelajaran dalam Bahasa Arab. Sekolah Arab Saadiah pada masa ini diuruskan oleh Haji Abdul Rahman bin Muhammad Yassin, anak dari isteri pertama dan guru-gurunya terdiri daripada cucu Allahyarham Haji Muhammad Yassin. Di Surau Sa'adiah yang terletak di dalam kawasan Sekolah Arab Saadiah inilah setiap tahun Tan Sri Muhyiddin bertemu dengan keluarga samada di Majlis Tahlil Allahyarham Haji Muhammad Yassin dan majlis iftar Ramadhan bersama keluarga.

Antara murid tua Allahyarham yang terkenal ialah Allahyarham Tuan Guru Haji Othman bin Haji Azhari yang telah mengasaskan Khaujakan Johor dan pengikut bertaburan di serata negeri Johor Darul Ta'zim.

Keistimewaan

Seorang pakar ekonomi dunia yang pernah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia, iaitu (Tan Sri) (Dr) Just Faaland yang berasal dari Norway, telah mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin adalah seorang pemikir dan pelaksana yang mempunyai kejituan atau ketepatan berfikir yang sangat bermutu. Penasihat ekonomi negara ini, bukanlah menilai Tan Sri Muhyiddin dari sudut sosial atau moral tetapi adalah dari sudut tindakan dan fikirannya dan dianalisis secara profesional. Tan Sri Muhyiddin dianggap sebagai seorang insan pemikir dan pelaksana yang mempunyai kualiti yang tinggi. Beliau dapat merungkai sesuatu proses atau masalah dengan terperinci dan dapat meringkaskannya dengan begitu mudah untuk dilaksanakannya sendiri, orang lain atau orang-orang yang berkaitan dengan persoalan berkenaan.

Tan Sri Muhyiddin tidak suka menunjuk-nunjuk tetapi apabila khidmat beliau diperlukan, beliau akan melaksanakannya dengan penuh perhatian, terbaik dan memberi output yang mudah diterima, mudah dilakukan dan cepat. Dalam perkataan lain, Tan Sri Muhyiddin mempunyai keupayaan dan keistimewaan sebagai seorang pemikir besar terhadap penyelesaian dan pelaksanaan sehingga menjadi mudah, berkesan dan menghasilkan output atau produk yang berkualiti.

Kerjaya Sektor Awam

Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim (Bahagian Latihan dan Biasiswa) (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974).

Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berkecimpung dalam dunia korporat. Beliau telah bertugas di beberapa buah anak syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Johor Darul Ta'zim, (GLC), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor Darul Ta'zim (PKENJ); kini Perbadanan Johor (JCorp). Antara tahun 1974 hingga tahun 1978, Tan Sri Muhyiddin telah memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn Bhd sebagai Pengurus Perjawatan; Pengarah Urusan, Sri Saujana Berhad dan Sergam Berhad serta Pengarah Syarikat, Equity Mal (Johor) Sdn Bhd.

  
Related image  
Related image  
Related image  
Image result for tan sri noorainee  
Image result for muhyiddin yassin  
Related image  
Related image  
Related image  
Related image  
  
Image result for muhyiddin yassin  
Image result for muhyiddin yassin  
Image result for muhyiddin yassin  
Image result for muhyiddin yassin  
Image result for muhyiddin yassin  
Image result for muhyiddin yassin  
Image result for muhyiddin yassin dan keluarga  
Image result for tan sri noorainee  
Image result for muhyiddin yassin dan keluarga  
Related image  
Image result for muhyiddin yassin dan keluarga  
Image result for muhyiddin yassin dan keluarga  
Related image  
Image result for tan sri noorainee  
Image result for tan sri noorainee  
Image result for tan sri noorainee  
  



No comments:

Post a Comment