Sunday, August 28, 2016

M 166 UGAMA ISLAM DI MALAYSIA

ISLAM DI MALAYSIA

Islam adalah Agama Persekutuan

Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa "Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. (Perlembagaan Persekutuan).


Kita telah menyaksikan bahawa mutakhir ini (selepas tahun 2000) terdapat beberapa golongan atau kumpulan (NGO dan kumpulan agama lain) yang mempersoalkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Perkara begini tidak sepatutnya berlaku memandangkan telah lama kita mengecapi kemerdekaan dan kontrak sosial yang dibina sebagai pengukuh yang menyokong kestabilan negara selama ini, semenjak lebih 50 tahun dahulu tidak patut dipersoalkan. 

Perkara yang telah persetujui bersama oleh pengasas-pengasas dan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu tidak patut dipertikaikan lagi. Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka tidak layak menggelar atau mengakui bahawa diri mereka adalah rakyat negara ini. 

Islam telah lama bertapak di Tanah Melayu semenjak daripada dahulu lagi. Islam mula bertapak di Asia Tenggara pada abad ke 17. Agama Islam dikembangkan di Tanah Melayu melalui pedagang-pedagang Arab yang berdagang di AsiaTenggara. Agama Islam telah dibawa oleh pedagang-pedagang ini ke Melaka dan seterusnya menjadikannya sebagai pusat penyebaran Islam di rantau ini. Pengaruh agama Islam dapat dilihat dalam pentadbiran sistem kerajaan Melayu Melaka sepertimana yang telah dibuktikan oleh sejarah. Ini dapat dilihat semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488) yang telah memerintah Melaka berdasarkan corak pemerintahan Khalifah Islam iaitu Saidina Umar al-Khattab. Raja Melaka menjadi ketua agama Islam dan menggunakan Sultan bagi mencerminkan seorang pemerintah yang beragama Islam. 

Undang-undang Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut juga dibentuk berdasarkan kepada hukum-hukum Islam. Tanah Melayu telah dijajah oleh beberapa kuasa asing. Namun, Islam tetap utuh dan tidak mudah disingkirkan daripada penduduk Tanah Melayu. Kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu contohnya tidak dapat mengubah agama Islam sebagai anutan penduduk tempatan pada masa itu. Sistem pentadbiran sahaja yang dapat diambil alih oleh pihak British. Tetapi kuasa berkaitan agama dan adat istiadat masih diberikan kepada Raja-raja di negeri-negeri berkenaan. Misalnya negeri-negeri yang dikategorikan sebagai Negeri-negeri Melayu bersekutu seperti Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan diletakkan di bawah satu pentadbiran kerajaan pusat. Semua hal ehwal pentadbiran di peringkat kerajaan negeri dilaksanakan mengikut nasihat Residen-General, kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan adat istiadat Orang Melayu dan Agama Islam. 

Tanah Melayu telah mengalami zaman penjajahan yang panjang bermula daripada penjajahan kuasa Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan seterusnya kembali semula kepada Inggeris. Inggeris kembali ke Tanah Melayu dan membawa cadangan penubuhan Malayan Union. Namun cadangan penubuhan Malayan Union mendapat tentangan daripada masyarakat Melayu pada masa itu. Penentangan init telah membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Reid pada tahun 1956 untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu dan seterusnya membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan bebas daripada penjajahan. Ahli suruhanjaya ini terdiri daripada Lord Reid (British), Sir Ivor Jennings (British), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). 

Suruhanjaya telah bersidang sebanyak 131 kali untuk merangka suatu memorandum bagi pembentukan perlembagaan yang memiliki segala elemen keadilan dan diterima oleh setiap penduduk sebagai kontrak sosial yang mengikat semua rakyat untuk penubuhan negara yang merdeka. Dalam proses ini berlakulah tolak ansur antara kaum dari segi perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan mereka. Secara tidak langsung berlaku satu perjanjian murni di antara kaum-kaum di negara ini demi untuk kepentingan bersama.
.
Suruhanjaya ini bertanggungjawab merangka draf perlembagaan yang adaseperti sekarang. Namun, penyertaan rakyat tempatan juga penting kerana ia menunjukkan betapa perlembagaan yang ada sekarang bukanlah sesuatu yang diwariskan oleh suruhanjaya berkenaan. Suruhanjaya berkenaan dipandu oleh syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh persidangan di London yang meminta suruhanjaya menyiapkan perakuan dan draf perlembagaan yang mengandungi perkara-perkara seperti berikut:

  1. pembentukan sebuah persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat;
  2. pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak Raja-rajaMelayu;
  3. pewujudan jawatan ketua negara bergelar Yang di Pertuan Agong; 
  4. pemeliharaan hak-hak istimewa orang-orang Melayu serta hak-hak yang sahmilik kaum-kaum lain serta; dan
  5. pembentukan sebuah sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruhMalaya.
Laporan suruhanjaya yang lengkap dan siap pada awal tahun 1957 kemudiannya dikemukakan kepada Kerajaan British dan juga kepada raja-raja Melayu. Ini diikuti oleh siri-siri mesyuarat di London dan Kuala Lumpur bagi membincangkan isi laporan tersebut. Hasil daripada siri perbincangan ini telah membawa kepada Kertas Putih yang merupakan kumpulan syor tambahan yang sebahagian besarnya merupakan hasil semakan terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid. Kedudukan dan kuasa Majlis Raja-raja, kedudukan istimewa orang-orang Melayudan kedudukan agama Islam adalah antara perkara-perkara penting yang dikemukakan oleh Kertas Putih. Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang adalah hasil daripada cadangan tambahan yang dikemukakan oleh Kertas Putih.
.
Draf tersebut mula wartakan sebagai sebuah dokumen undang-undang pada 31 Ogos 1957 yang mengandungi perkara-perkara berikut :

  1.  Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Akta KemerdekaanPersekutuan  Tanah Melayu 1957 yang diluluskan oleh Parlimen Britain diLondon;
  2.  Ordinan Perlembagaan Persekutauan 1957 yang diluluskan oleh Majlis Perundangan  Persekutuan di Kuala Lumpur; dan
  3.  Pelbagai enakmen yang diluluskan oleh majlis-majlis perundangan negeriyang  bertujuan memberi kuatkuasa undang-undang kepada draf perlembagaan yang  dikemukakan oleh Kertas Putih tadi. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-  undang yang tertinggi di Malaysia. Perkara berkaitan agama di dalam perlembagaan  dinyatakan di bawah perkaraberikut seperti berikut :


Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan

(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan ; tetapi ugama-ugama lain bolehdiamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu,dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.


(3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam dalam negeri itu.


(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-manaperuntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.

Image result for yang dipertuan agong



Perkara 11

(1)  Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dantertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

(2)  Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatandari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atausebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripadaugamanya sendiri.

(3)  Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak :-

       (a) menguruskan hal-ehwal ugamanya sendiri.

       (b)  Menubuh dan menyenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud ugama atau
        khairat; dan


        (c)  Memperolehi dan mempunyai harta serta memegang danmentadbirkannya   
        mengikut undang-undang.

(4)    Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan KualaLumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawalatau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugamaantara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

(5)    Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanandengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awamatau akhlak.

Perkara 12

(1)   Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak menubuhkan dan menyenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam ugama kumpulan itu sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab ugama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam ugama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.

(2)   Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa ugama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(3)   Bagi maksud Fasal (3), ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Merujuk kepada apa yang termaktub di atas, kepercayaan kepada agama adalah satu perkara yang paling asas dalam kehidupan. Kepentingan agama ialah dapat memupuk nilai-nilai murni bagi melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan bermoral. Bagaimanapun penerapan nilai agama dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia adalah satu yang amat mencabar.

Peruntukan Perlembagaan yang memberikan perhatian seimbang kepada semua agama serta sokongan adil yang diberikan oleh kerajaan untuk mewujudkan keyakinan rakyat bagi mengamalkan kepercayaan agama masing-masing dalam keadaan selamat. Ini akan meningkatkan toleransi dalam masyarakat Malaysia dan seterusnya berjaya memupuk perpaduan dikalangan masyarakat yang berbilang kaum. Islam adalah agama persekutuan. Peruntukan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan adalah sangat jelas menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan mengancam hak bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan kepercayaan beragama secara bebas di Malaysia.

Selain itu dinyatakan di dalam perlembagaan bahawa pihak berkuasa boleh menggunakan wang awam yang dipungut melalui cukai untuk tujuan-tujuan agama Islam. Ini menunjukkan bahawa Islam diberikan kedudukan yang lebih istimewa berbanding agama lain sepertimana yang dilihat semenjak daripada dahulu lagi berdasarkanbukti-bukti yang terdapat dari sejarah negara ini.

Dalam Perkara 11 di atas, ia mengandungi peruntukan utama mengenai hak kebebasan beragama yang merangkumi segala hak yang meliputi aspek-aspek menganut, mengamal dan mengembangkan agama-agama lain yang terdapat dinegara ini.

Bagaimanapun hak mengembangkan agama tertakluk kepada peruntukan bahawa pengembangan agama-agama lain tertakluk kepada sekatan undang-undang. Sekatan ini termasuklah larangan mengembangkan ajaran agama lain selain Islam kepada penganut Islam. Undang-undang yang menyekat penyebaran agama lain dikalangan orang Islam masih belum ada di negeri Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

Keperluan kepada undang-undang ini ialah untuk melindungi orang Islam daripada dipengaruhi kepercayaan lain. Seperti yang disebutkan, peruntukkan ini menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada Agama Islam. Keistimewaan ini sebenarnya berkait rapat dengan sejarah dan latar belakang negara. Walaupun terdapat perbahasan bahawa ianya tidak mengikuti prinsip kesamarataan, tetapi kesedaran bahawa orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu telah diberikan hak-hak yang adalah Islam tidak memaksa orang bukan Islam menerima Islam.

Namun di Negara kita kebebasan beragama ini boleh disekat melalui undang-undang. Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan ini tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama yang lain daripada Islam di kalangan umat Islam.

Selain itu perlembagaan juga menyebut bahawa kebebasan agama tidak boleh digunakan untuk menyalahi undang-undang awam mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak. Perlembagaan menyatakan bahawa kebebasan beragama adalah salah satu hak yang dijamin di bawah bab mengenai kebebasan asasi. Kedudukan ini termasuk dalam hak-hak lain di bawah bab mengenai kebebasan asasi di dalam perlembagaan yang tidak boleh digantung atau dinafikan oleh undang-undang yangdiluluskan di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Perbincangan berkaitan Agama dan Perlembagaan ini perlu diteliti dari segisejarahnya. Kedatangan Islam ke negara kita telah lama berlaku sejak zaman dahulu lagi. Manakala semasa penggubalan Perlembagaan yang di lakukan oleh Suruhanjaya Reid turut mengambil kira berkaitan dengan agama sebagai salah satutonggak bagi membentuk perlembagaan negara ini. Mahkamah dan keputusan berkaitan dengannya juga turut mempengaruhi bagaimana penaksiran berkaitan kedudukan Agama Islam dalam Perlembagaan. Setiap kes yang di bawa dan diberikan keputusan oleh mahkamah mempengaruhi pandangan terhadap kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan negara. Secara kesimpulannya, kefahaman berkaitan dengan perlembagaan adalah penting. Masyarakat tidak faham apabila mereka tidak mengetahui perkara yang sebenarnya ditafsirkan oleh perlembagaan. Agama Islam adalah bersifat terbuka dan universal, bukan hanya untuk sesuatu kaum sahaja. Sebaliknya untuk semua umat manusia. Oleh itu pendidikan berkaitan Perlembagaan negara perlu ditekankan kepada semua lapisan masyarakat. Dengan cara ini dapat membentuk masyarakat yang mengetahui hak dan keperluan sebagai warganegara dan juga hak Negara terhadap individu yang menjadi warga negaranya.

Bagaimanapun penerapan nilai agama dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia adalah satu yang amat mencabar. Peruntukan Perlembagaan yangmemberikan perhatian seimbang kepada semua agama serta sokongan adil yang diberikan oleh kerajaan untuk mewujudkan keyakinan rakyat bagi mengamalkan kepercayaan agama masing-masing dalam keadaan selamat. Ini akan meningkatkan toleransi dalam masyarakat Malaysia dan seterusnya berjaya memupuk perpaduan dikalangan masyarakat yang berbilang kaum. Islam adalah agama persekutuan. Peruntukan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan adalah sangat jelas menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak akan mengancam hak bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan kepercayaan beragama secara bebas di Malaysia.






























.

No comments:

Post a Comment