Tuesday, February 24, 2015

M 102 ANAK JOHOR TERSOHOR 1

.
 Anak-anak Johor Tersohor  

BAHAGIAN 1 

Sejak di bangku sekolah lagi, aku amat meminati sejarah dan juga politik. Sehingga sekarang aku masih gemar membaca buku-buku biografi dan memoir pemimpin-pemimpin negara.

Aku bukan sahaja menyanjung jasa-jasa mereka kepada negara, malah turut mengkagumi sebahagian dari mereka yang meningkat melalui jalan yang sukar sebelum menjadi pemimpin atau tokoh dalambidang masing-masing.

Masa aku sekolah dahulu tidakbanyak ketokohan pemimpin negara yang diketengahkan. Tiada nama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail atau oun Temenggung Jugah dalam sejarah negara. Kita belajar tentang siapa itu Abraham Lincoln, George washington, Winston Churchill, Thomas Edison, Louis Pasteur, Mahatma Ghandi, Asoka, Aurangzeb, Chulalungkorn, Mao Tze Tung, Maharaja Meiji, Chiang Kai-shek dan sebagainya.

Johor merupakan salah satu negeri yang melahirkan banyak pemimpin di peringkat kebangsaan. Dalam blog ini, aku mengajak warga JOHOR DARUL TAAZIM untuk mengenang kembali dan mengenali tokoh-tokoh dari Johor yang telah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa (dalam bidang dan kepakaran masing-masing) yang semakin dilupakan oleh sejarah.

Untuk mereka yang beragama islam dan telah meninggal dunia, marilah kita hadiahkan al Fatihah kepada mereka. Mudah-mudahan Allah memberi ganjaran ke atas segala pengorbanan mereka kepada nusa dan bangsa. Diatas apa jua kesilapan mereka, mudah-mudahan Allah ampunkan dosa mereka.  

Mula-mula sekali, marilah kita kenali Tokoh yang lantang menentang Malayan Union serta menyelamatkan Raja-raja Melayu dari kehilangan takhta seterusnya menubuhkan UMNO yang menjadi tulang belakang pemerintahan Negara hingga ke tarikh ini. Walaupun beliau dibesarkan di dalam istana, namun jiwanya adalah jiwa rakyat..

 Tokoh 1 

almarhum
DATO SIR ONN BIN JAAFAR
(12-2-1895 - 19 Jan 1962)

Onn bin Dato'Jaafar mengasaskan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Beliau juga merupakan Yang Di Pertua UMNO yang pertama. Dato' Sir Onn dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Feb 1895. Ayahnya, Dato' Jaafar bin Muhammad merupakan Menteri Besar Johor yang pertama. Dua orang abangnya, Almarhum Dato Abdullah dan Almarhum Dato Mustapha juga adalah Menteri Besar Johor yang ke3 dan ke4. Semasa kecil beliau dipelihara oleh almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Johor) dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar dan di England.

Setelah tamat pengajian di England pada tahun 1930, Onn bekerja sebagai wartawan setahun kemudian menjadi pengarang akhbar Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Disamping itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun (1942-1945) Dato Onn dilantik menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.


 
Onn pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat dalam pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah dasar-dasar jajahan. Semasa menjadi DO Batu Pahat inilah beliau menghalang orang Melayu Batu Pahat yang diketuai oleh Kiayai Salleh untuk menghapuskan China Batu Pahat yang rata-rata menyokong Bintang Tiga (Parti Komunis). Mereka (China BP) ni telah banyak 'menangkap dan menyembelih' orang-orang Melayu sesuka hati mereka. Antara orang yang gugur dibunuh oleh Bintang Tiga ini ialah DATUKku sendiri, almarhum Haji Mustapha bin Pajoyo

Pada 1 hingga 4 Mac 1946 bersama 41 buah persatuan Melayu, beliau menghadiri 
Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk untuk menentang Malayan Union yang dilihat sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu. Hasil daripada mesyuarat ini, sebuah badan yang mewakili orang Melayu telah ditubuhkan ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946 dan Dato Onn telah dilantik sebagai presiden pertama.


Pada 1 Okt 1946, Datuk Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor tetapi meletak jawatan 3 tahun kemudian untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO telah berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu dan mengekalkan 
kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan serta memberi hak istimewa Melayu. 

Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951, malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954 beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Beliau berjaya memenangi kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam PRU 1959 dengan bantuan parti PAS.

Dato Onn Jaafar telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein dan antara anak beliau ialah Hussein Onn dan Lt Jen Jaafar Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 jan 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru. AL FATIHAH. 

.
 Tokoh 2  


Almarhum
TUN DR ISMAIL BIN ABD RAHMAN
(4 Nov 1915 - 2 Ogos 1973)

Almarhum Tun Dr Ismail bin Dato Abd Rahman merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kedua apabila Tun Razak menjadi Perdana Menteri menggantikan Tunku Abd Rahman Putra Alhaj pada tahun 1970. Almarhum merupakan tokoh yang menjadi IDOLAku semenjak aku di bangku sekolah lagi.

Almarhum Tun Dr. Ismail dilahirkan di Parit Bakar,Muar pada 4 Nov 1915 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Bukit Zaharah, Johor Bahru, dan seterusnya melanjutkan pelajaran di English college (kini maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke King Edward Medical College, Singapura. Pada tahun 1943, beliau melanjutkan pengajian ke dalam bidang perubatan di Universiti Melbourne Australia. Beliau memperolehi Ijazah doktor perubatan tahun 1945 dan merupakan anak Melayu pertama yang memperolehi ijazah doktor perubatan dari universiti Melbourne. 

Almarhum terdorong menceburi politik selepas perletakan jawatan Dato' Onn Jaafar sebagai Presiden UMNO dan diganti oleh Tunku. Beliau menceburkan arena politik setelah dilantik sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1951. 


Almarhum Tun Dr. Ismail dilantik menjadi Duta Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ke Amerika Syarikat pada tahun 1957 dan juga diberikan tauliah menjadi Duta negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kedua-dua jawatan ini dipegang oleh beliau sehingga tahun 1959. Merupakan individu pertama dibenarkan membawa senjata ke dalam dewan perhimpunan PBB atas dasar memakai pakaian rasmi,baju Melayu bertanjak dan berkeris. Almarhum dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada 1 Sep 1960 hingga Mei 1967, apabila beliau meninggalkan kabinet atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang dikosongkannya diisi oleh Tun Abdul Razak. Selepas peristiwa13 Mei 1969, beliau kembali ke dalam kabinet dan dilantik sekali lagi menjadi Menteri Dalam Negeri , Menteri Perdagangan dan Perusahaan seterusnya Timbalan Perdana Menteri sehingga meninggal dunia pada 2 Ogos 1973. 



Pada 2 Ogos 1973, Tun Dr Ismail meninggal dunia dan dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara dan menjadi pemimpin pertama yang disemadikan di situ. Tun Dr Ismail telah mendirikan rumahtangga dengan Toh Puan Norashikin binti Mohd Seth pada tahun 1950 dan dikurniakan 6 orang anak; Mohd Tawfik, Zailah, Badriah, Zamaqshari, Mohd Tarmizi dan Mohd Ariff.

SEMOGA ALLAH RAHMATI RUH ALMARHUM
AL FATIHAH

PENULISAN BERKAITAN ALMARHUM SECARA LEBIH TERPERINCI BOLEH DIBACA DI TAJUK 137
"SPECIAL TRIBUTE TO TUN DR ISMAIL"

 Tokoh 3  
.
almarhum
TUN HUSSEIN ONN

(12-02-1922 - 29-05-1990)
Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn merupakan PM Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 hingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".
Hussein dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari 1922. Pada tahun 1941 memasuki Indian Military Academy, Dehra Dun dan menyertai tentera India pada tahun 1942 dan turut terlibat dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq. Pada tahun 1945, ketika berusia 23 tahun Hussein yang berpangkat Kapten pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru. Pada tahun 1946 menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan Hussein dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO. Pada tahun 1950 beliau dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.Pada tahun 1951 keluar dari UMNO mengikut ayahandanya dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.




Hussein melanjutkan pengajian ke London dan mendapat ijazah undang-undang (Barrister of Law) dari Lincoln's Inn, London pada tahun 1958. Menyertai semula UMNO pada tahun 1964 dan menang pilihanraya kawasan JB Timur pada tahun 1969, menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO dan seterusnya pada tahun 1970 telah dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Beliau menang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1972 dan berikutan dengan kematian Tun Dr. Ismail pada 2 Ogos1973 Hussein dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO pada tahun 8 Ogos 1973 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan turut memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pada tahun 4 Jan 1976, berikutan dengan kematian Tun Abd Razak bin Hussein (PM kedua), Hussein telah dimasyhurkan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari 1976. Pada tahun 1978 beliau menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding. Pada bulan Julai 1981 atas sebab kesihatan, Hussein telah meletak jawatan Perdana Menteri dan digantikan oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Tempoh almarhum mula dilantik menjadi Menteri sehingga mencapai jawatan Perdana Menteri, hanya mengambil masa 5 tahun sahaja


Pada 29 Mei 1990, Hussein Onn telah pulang ke Rahmatullah di sebuah hospital pakar di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara. AL FATIHAH

Makam Tun Hussein

Toh Puan Suhailah

Beliau meninggalkan Toh Puan Suhaila binti Mohammad Noh serta 6 orang anak iaitu Suraya Hani, Roquaiyah Hanim, Surya Hanis, Hishamuddin (mewarisi ketokohan almarhum, kini adalah salah seorang Menteri Kabinet) dan Harith.
.
 Tokoh 4  

TUN MUSA BIN HITAM
(lahir:18 April 1934)
Tun Musa bin Hitam adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 (1981-1986) di bawah kabinet Tun Dr Mahathir bin Mohamad.

Musa dilahirkan di Segamat Johor pada 18 April 1934. Mendapat didikan di English College, JB (kini "Maktab Sultan Abu Bakar"), dan kemudian melanjutkan pengajian ke UM dan memperoleh ijazah Sarjana Muda. Beliau kemudian mengambil Sarjana dalam bidang 'International Relations' di University of Sussex, UK. Selain daripada menerima pelbagai anugerah dan penghargaan, termasuk Doktor Kehormat dari Universiti Sussex, Musa juga pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat antarabangsa beberapa kali. Ini termasuklah Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel, Ahli Lembaga UNESCO, Ketua Perwakilan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya umum Malawi serta Ahli Perwakilan Menteri Komanwel keiji dan Gambia. Nigeria, Pakistan, Fiji dan Gambia.


  

Musa pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Tan Sri Sardon Jubir. Beliau mula menjadi Ahli Parlimen dalam usia 35 tahun dan dilantik menjadi Menteri Muda di Jabatan Perdana Menteri oleh Tunku Abd Rahman untuk suatu tempoh yang singkat kerana dipecat. Musa kemudian dipecat daripada UMNO akibat tidak mempersetujui gaya pengurusan Tunku, Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu. Semasa dipecat, beliau mengambil sarjananya di UK dan sekembalinya ke Malaysia pada tahun 1971, beliau diterima semula menyertai UMNO oleh Tun Razak. Musa dilantik sebagai Timbalan Whip Parlimen untuk Parti Perikatan dan dipilih sebagai ahli Ahli MT UMNO. Beliau juga dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 1978 dan Timbalan Presiden pada tahun 1981 seterusnya dilantik menjadi Timbalan PM. 

  


Sebelum menjawat TPM merangkap Menteri Dalam negeri beliau pernah menjawat beberapa jawatan dalam kerajaan seperti Pengerusi FELDA, Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Menteri Perusahaan Utama (1974-1978) dan Menteri Pelajaran (1978-1981).Musa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986, disebabkan percanggahan pendapat dengan Perdana Menteri Dr. Mahathir terhadap dasar-dasar negara. Pada 1987, beliau tewas ditangan Ghaffar Baba (Tun) untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO. 

Antara tahun 1990 dan 1991, Musa dilantik sebagai Utusan Khas Malaysia untuk Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (UNO) dan sejak 1995, beliau merupakan Utusan Khas Perdana Menteri untuk Kumpulan Bertindak Peringkat Menteri Komanwel PBB (CMAG). Beliau juga mengetuai perwakilan Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (UNCHR) dari 1993 sehingga 1998, dan dipilih sebagai Pengerusi Sesi Ke-52 untuk Suruhanjaya tersebut pada tahun 1995. Musa dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari 1999 hingga 2002.
 

Musa berkahwin dengan Ines Maria Reyna pada tahun 1959 (kemudian dikenali sebagai Datin Maria) seorang wanita keturunan Spanish Peruvian dan dikurniakan 3 orang anak, Mariana, Carlos Rashid dan Rozana. Setelah berpisah dengan Maria, Musa berkahwin pula dengan Zulikha Sheardin (Toh Puan) pada tahun 1986 dan dikurniakan seorang anak bernama Hanif.

.
 Tokoh 5 


IbrahimIsmail.gif
JENERAL TUN IBRAHIM ISMAIL SSM PMN SPMJ JMN MBE fdc psc
(19 Okt 1922)

Jeneral (Bersara) Tun Ibrahim bin Ismail adalah Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT) atau PAT Malaysia yang ketiga (1971-1977). Perlantikan beliau unik kerana beliau asalnya pegawai kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor (JMF). Tidak kurang uniknya, beliau satu-satunya bekas Panglima Angkatan Tentera yang menerima gelaran 'Tun'.


Ibrahim dilahirkan di Johor Bahru pada 19 Okt 1922. Ayahnya Dato Ismail bin Abu Bakar merupakan seorang Pegawai Kanan Kerajaan Johor yang bersara sebagai Bendahari Negeri dan juga pegawai dalam Johore Volunteer Force. Beliau mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Ayer Molek dan Sek Inggeris Ngee Heng serta Sek Inggeris Bukit Zaharah sebelum ke English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar). Beliau ingin menyertai Askar Melayu tetapi tidak layak kerana masa itu, Johor bukan salah satu dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Negeri-negeri Selat. Lalu, beliau menyertai Johor Military Force pada April 1941. Beliau dihantar mengikuti latihan kedet di Indian Military Academy IMA), Dehra Dun bersama dua lagi anggota JMF, iaitu Hussein Onn dan Ungku Ahmad Ungku Abd Rahman.



Ketika Perang Dunia II berlarutan di Eropah, Inggeris berpendapat pasukan Tentera British India perlulah diperbesar dengan segera. Beliau dan rakan-rakan sepasukannya menamatkan latihan pada Februari 1942 ketika kemuncak penyerangan Jepun ke atas Tanah Melayu. Beliau kemudiannya menerima tauliah sebagai Lt Muda dalam Rejimen Hyderabad dari King George VI. Semasa di India, beliau telah berkenalan dengan Mej Tengku Mahmood Mahyiddeen, tokoh penting yang terlibat dalam Force 136. Dengan pertemuan inilah beliau menawarkan diri menyertai pasukan yang menyusup ke Tanah Melayu untuk menentang Jepun. Beliau juga berkesempatan berkenalan dengan Claude Fenner, yang kemudiannya menjadi KPN Malaysia pertama.

Beliau mengetuai pasukan kecil anak-anak Melayu di perantauan telah melakukan cubaan menyusup beberapa kali sehingga akhirnya tertangkap dan dijadikan tawanan perang oleh Kempeitai, polis tentera Jepun. Beliau ketika itu hanya berpangkat Lt beliau telah berjaya memperdaya pihak Jepun dengan berpura-pura berpaling tadah. Tindakan bijak beliau dan pasukannya bukan sahaja beberapa kali menyelamatkan nyawa mereka tetapi dapat mengelirukan perisikan Jepun yang mereka bekalkan dengan maklumat-maklumat palsu. Untuk perkhidmatan beliau, Raja George VI telah mengurniakan pingat Member of the Order of the British Empire, MBE.

Selepas perang tamat, beliau berkhidmat dengan JVF seketika. Bagi melanjutkan kerjaya tentera, sepatutnya beliau menyambung untuk menyertai Rejimen Askar Melayu, tetapi beliau kecewa kerana layanan yang tidak setaraf diterima oleh pegawai-pegawai Melayu berbanding pegawai-pegawai Inggeris. Sekitar tahun 1949, beliau masih bekhidmat dengan tentera Johor bersama-sama (Tun) Hussein Onn melatih unit-unit polis di Johor bagi menghadapi ancaman komunis ketika Darurat. Hanya pada Jun 1951, beliau menyertai Askar Melayu setelah pegawai-pegawai Melayu diterima setaraf dengan pegawai Inggeris. Tun Ibrahim mengikuti kursus di Staff College, Camberly dan Imperial Defence College, UK.

Ibrahim ialah salah seorang dari tiga anak Melayu pertama yang menjadi Pegawai Memerintah (CO) batalion. Pada April 1958 Lt Kol Hamid Bidin sebagai CO Batalion Pertama, manakal Lt Kol Tunku Osman Jewa memerintah Batalion Kedua, manakala Ibrahim memimpin Batalion Keenam RAMD. Pada Februari 1962, beliau dinaikkan ke pangkat Brigadier dan dilantik sebagai Pengarah Pentadbiran Tentera Darat.

Pada tahun berikutnya beliau menjadi Pegawai Memerintah (kini Panglima, berikutan perubahan Brigedier kepada Brigedier Jeneral) Briged Kelima Infantri yang beroperasi di Sabah ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Pada awal tahun 1965 pula beliau mengetuai Briged Pertama. Tidak sampai beberapa bulan selepas itu beliau mengambil alih pula pemerintahan Briged Keempat di Singapura. Pada Julai 1966, beliau dilantik menjadi Panglima Divisyen Infantri Pertama (1 Div) dan dinaikkan pangkat Mej Jen. Ini ialah divisyen pertama yang ditubuhkan dan beliaulah panglima pertamanya. Dua tahun kemudian, Tun Ibrahim dinaikkan pangkat sekali lagi kepada Lt Jen ketika memegang jawatan sebagai Panglima Divisyen Infantri Kedua.   

Semasa tragedi 13 mei 1969, Ibrahim telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif kepada Pengerusi MAGERAN, iaitu allahyarham Tun Abdul Razak.  Pada penghujung tahun 1969, Ibrahim dimnaikkan ke pangkat Jeneral (4 bintang) dan pada amsa yang sama Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Panglima Tentera Darat (PTD)  juga berpangkat Jeneral.  Pada 1 Julai 1970 beliau dilantik menjadi PAT dan memecah tradisi sebagai pegawai pertama dilantik ke jawatan PAT tanpa pernah menjawat jawatan Panglima Perkhidmatan (PTD).

Sepanjang menjadi panglima tertinggi ATM, beliau banyak mengaturkan kerjasama dengannegara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis rentas sempadan. Dan tidak kurang dari tiga kali juga beliau menjadi sasaran serangan pihak komunis disebabkan keberkesanan strategi beliau. Pada 30 November 1977, Tun Ibrahim menamatkan perkhidmatan beliau setelah 36 tahun di dalam tentera. Beliau telah berkhidmat selama 7 tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera, tempoh yang paling lama dipegang oleh mana-mana pegawai tinggi ATM. Beliau telah menulis dua buah buku yang menghimpunkan pengalaman-pengalaman beliau. Buku pertama, Sudahkah Kamu Bertemu Mariam diterbitkan pada tahun 1984 menceritakan pengalaman beliau ketika Perang Dunia Kedua. Buku kedua beliau, Ibrahim, Pahlawan Melayupula mengandungi seluruh kisah kerjaya beliau ketika era menjelang Kemerdekaan Malaya hinggalah beliau bersara.  

Beliau kini masih lagi aktif dalam berbagai kegiatan masyarakat dan sering dilihat menghadiri majlis-majlis Angkatan Tentera. Perkahwinan beliau dengan Toh Puan Zakiah binti Ahmad dikurniakan empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.  Tun Ibrahim meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 23 Dis 2010.



Makam Tun Ibrahim

Kisah perjuangan Tun Ibrahim boleh dibaca melalui buku beliau yang bertajuk “ IBRAHIM PAHLAWAN MELAYU “ versi Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa & Pustaka tahun 2008 dan “ IBRAHIM : The Malay Warrior “ versi Bahasa Inggeris terbitan Pelanduk Publications tahun 2005.


1 comment: